Kakinya melangkah perlahan melewati kaki lima kedai yang menjual aneka
barangan. Orang ramai sekali. Kadang-kala dia terpaksa berhimpit-himpit di
celah kesesakan manusia. Dia terus melangkah, sesekali ada keluhan halus
terucap dari bibir mungilnya. Wajahnya makin lesu, beg yang disandang terasa
begitu membebankan. Sesekali dia melempar pandangan ke jalan raya besar yang
bertali arus dengan kenderaan. Sesekali kelihatan beberapa buah basikal turut
menyibukkan lalu lintas. Dia senyum sendiri. Impiannya untuk menjejakkan kaki
ke sebuah negara moden di Asia Timur akhirnya tercapai. Sayangnya, pengembaraan
yang diangankan tidak seindah kenyataan.
Dia menggigit bibir
bawah, terus mengheret langkah. Matanya melilau mencari arah tujuan. Ada
terdetik rasa kesal tidak terus ke Nagoya. Di sana tentu lebih mudah bila ada
sepupu yang sedia menanti dan menghulurkan bantuan dan penunjuk arah. Desakan
hati untuk melihat bandaraya Tokyo terlalu kuat sehingga mengabaikan
kemungkinan yang bakal berlaku. Dia mengeluh lagi. Dia memegang perut. Langit
kelihatan mulai gelap. Dia berkira-kira untuk segera mencari tempat penginapan.
Perut yang kosong memang perlu di alas, namun, apa yang lebih penting, solat
musafir mesti segera dilaksanakan.
***
Kuburan ibu masih
merah. Dia cuma mampu merenung tanpa air mata. Sungguh, dia sudah letih untuk
meratap dan meraung. Luka yang begitu dalam terbentuk sudah terasa biasa.
Kesakitannya tidak lagi begitu terasa.
Ayah masih melutut
lama. Dia memandang kosong tubuh gempal yang sudah semakin dimamah usia.
Sungguh, dia selalu keliru mengenal erti sebuah kehidupan. Mengapa manusia
begitu aneh untuk difahami? Sama sekali dia tidak mahu menyalahkan takdir, dia
terlalu yakin, setiap yang berlaku terungkap hikmah yang tidak diketahui.
Hari itu, dia akan
meninggalkan tanah air buat pertama kalinya, merentas lautan dan angkasa ke
sebuah negara pesisir pantai yang selama ini sentiasa dia idamkan. Sungguh, dia
bukan mahu melarikan diri, namun dia sendiri tidak pasti sejauh mana dia mampu
untuk berdepan menghadapi setiap kenangan pahit.
Dia yakin untuk
memberikan cabaran pada diri dan kembali menghitung tiap detik yang berlalu,
mencari hikmah yang tersembunyi dan kekuatan yang diperlukan. Dia mendekati
ayah, senyuman tawar terukir. Dia lihat wajah ayah yang semakin tua. Hatinya
jadi simpati. Mengapa mesti ayah memilih jalan ini?
“Saya pergi dulu,”
tangan ayah dikucup dan dia terus bangun dan melangkah tanpa sekali pun
menoleh.
***
Selesai membersihkan
diri, coklat yang dibawa dari Malaysia menjadi santapan makan malam. Dia
sendiri tidak pasti untuk merasa kesal atau tidak kerana tidak membawa makanan
yang lebih berat. Mengenangkan beg yang sudah sedia terasa berat untuk
disandang, dia hanya mampu memujuk diri untuk bersabar. Sungguh, dia sendiri
yang memilih semua ini.
Sendirian di sebuah
kota metropolitan yang hanya dikenal melalui drama dan filem cukup membuatnya
buntu terus-menerus. Tambah lagi dia tidak pernah punya pengalaman mengembara
ke mana-mana tempat luar dari negaranya. Dia merebahkan diri ke atas alas tidur
setebal dua inci. Mengapa orang di negara matahari terbit ini begitu selesa
tidur hanya beralas ‘comforter’? Hatinya bertanya sendiri. Keras lantai terasa
dibelakang. Dia senyum sendiri, di Malaysia juga dia selalu tidur seperti itu
jika bermalam ke rumah saudara.
Kepenatan menghilangkan
rasa kurang selesa itu, dan dia terlena dibuai mimpi indah di tengah-tengah
kota Tokyo yang masih hidup dengan penghuninya yang masih punya pelbagai
urusan.
***
“Dari Malaysia,” dia
rasa ingin melompat kegembiraan bila soalan dalam bahasa melayu itu dijawab
anggukan oleh pemuda berwajah asia tenggara itu. Dia tersenyum senang sambil
memperkenalkan diri.
“Faiz,” pemuda itu
turut tersenyum sambil tunduk hormat persis gaya orang jepun. Teragak-agak, dia
turut menunduk. Dia masih tersenyum, kelu seketika untuk memulakan bicara.
“Sendirian?” Faiz
bertanya pendek namun riak wajahnya yang ramah cukup menyenangkan. Dia
mengangguk dan teragak-agak untuk turut bertanya soalan yang sama.
“Berani sungguh seorang
perempuan datang sendirian,” dia jadi kelu dengan ungkapan itu. Adakah itu
pujian atau sindiran? Dia cuba berteka-teki pada diri.
“Cik Amira?” dia
tersedar, pemuda itu masih di hadapannya. Merenung hairan dengan tingkahnya.
“Oh, maafkan saya,
Encik Faiz tanya apa tadi?” Faiz tertawa kecil dan dia terpinga-pinga memahami
tingkah pemuda itu.
“Tiada apa. Apa kata
kita berjalan bersama. Kebetulan kita sama-sama tiada teman,” dia terus
mengangguk dengan pelawaan itu. Faiz sekali lagi tertawa, namun sebentar cuma
tapi bibirnya masih mengukir senyum.
***
“Mira,” dia berpaling.
Dia tersenyum riang melihat kehadiran lelaki itu. Dia berdiri tegak menanti
lelaki itu melangkah mendekati.
“Terima kasih sebab
sanggup datang ke Tokyo,” Amira meluah bicara sebaik lelaki itu berdiri tegak
di hadapannya. Tawa lelaki itu pecah berderai. Amira mengerutkan wajah, aneh
melihat lelaki itu tertawa besar dengan bicaranya.
“Bukankah aku yang
patut ungkapkan seperti itu?” lelaki itu meluah bicara bila tawanya reda. Amira
merenungnya, masih tidak mengerti.
“Sungguh, kau masih
lembab seperti dulu. Bukankah aku yang patut ucapkan terima kasih atas
kehadiran kau dari Malaysia ke sini?” Amira mengukir senyum mengerti.
“Kalau begitu,
sama-sama,” Amira membalas bicara lelaki itu dengan nada gurauan. Mereka tertawa
senang. Ah, keriangan! Terlalu banyak detik bahagia, mengapa yang duka juga
menguasai diri?
“Kenalkan ini Faiz, aku
baru berkenalan dengannya kelmarin. Kami tinggal di hotel yang sama. Kebetulan
kami masing-masing bersendirian di tengah Tokyo yang penuh kesibukan ini. Faiz,
in sepupu saya, Anuar,” Amira saling memperkenalkan dua pemuda itu. Faiz dan
Anuar saling berjabat sambil bertukar senyuman.
***
“Ibu dah meninggal,”
Amira akhirnya berbicara setelah lama mereka melangkah dan melawat dari satu
tempat ke satu tempat. Anuar berpaling, merenung wajah cekal gadis itu. Faiz
turut tergamam dengan kata-kata itu.
“Aku sendiri tidak tahu
apa yang perlu aku lakukan selepas ini,” Amira melabuhkan punggung di atas
sebuah bangku yang tersedia. Pandangan dilempar kepada manusia-manusia yang
melangkah pantas dengan kot labuh mereka. Barangkali menuju tempat kerja, dia
berbicara sendiri.
“Aku bersimpati,” Anuar
meluah bicara sambil mengambil tempat di sisi Amira. Amira berpaling ke arah
Anuar. Dia ukir senyuman dan menggeleng.
“Aku tak perlukan
simpati. Aku sudah terlalu dewasa untuk merasa duka menjadi piatu. Kematian itu
pasti bukan?” Amira terus bicara.
“Yeah, apa kata kalau
kau sambung pengajian di sini?” Anuar memberi cadangan. Amira tertawa kecil
sambil mengangkat bahu. Dia bingkas bangun dan melangkah mendahului dua lelaki
itu. Faiz yang sedari tadi memerhati, memandang Anuar meminta penjelasan. Anuar
menarik nafas berat sambil mengekori langkah Amira dengan pandangan mata.
“That’s my cousin,”
Anuar berbicara seakan mengeluh. Mereka melangkah perlahan beriringan, menurut
jejak Amira yang melangkas sedikit pantas. Faiz merenung gadis Melayu di depannya.
Ada yang menarik melihat gadis sepertinya yang datang sendirian di bumi asing
ini.
***
Amira merasa betapa
angin di negara matahari terbit ini ringan dan kering, namun kedinginan begitu
mencengkam. Beberapa kali dia memperkemaskan balutan baju panasnya. Indah namun
hingar. Itulah pandangannya terhadap bandaraya yang telah menawan hatinya lama
dahulu dari kaca elektronik dan helaian beraksara.
“Mengapa Tokyo?” Faiz
pernah bertanya ketika dia berjalan-jalan di tengah-tengah bandaraya
metropolitan itu. Dia diam sejenak, memandang pemuda berkulit sawo matang
itu beberapa ketika dan mengukir senyuman sebelum memberikan jawapan.
“Kerana saya gemarkan
filem yang negara ini hasilkan,” Amira menjawab ringkas sambil tersenyum
sendirian. Merenung asyik pada bangunan-bangunan dan jalan-jalan yang dipenuhi
manusia di setiap penjuru.
“Filem?” Faiz memandang
ke arah gadis di sisinya. Gadis itu manis bertudung hitam dan baju panasnya
yang berwarna merah jambu itu ada karakter kartun kucing ‘Hello Kitty’ di dada
kanan. Gadis itu terlalu feminin untuk sendirian dalam pengembaraan.
“Filem yang memaparkan
diri mereka yang sebenarnya. Kemodenan yang dikecapi yang semakin menghakis
nilai tradisi namun sedaya-upaya masih cuba ditonjolkan. Ya, tentu saja
nilai-nilai murni masyarakatnya yang mengagumkan setiap bangsa yang
mengenalinya,” Amira cuba memberi huraian. Dia memandang Faiz yang setia
mendengar sekilas sebelum menyambung kata-kata.
“Seakan mereka berjaya
menanamkan propaganda agar masyarakat dunia lebih memandang tinggi mereka
bukan?” Amira tersenyum sendiri, mentertawakan kenaifan diri. Faiz turut
tersenyum dengan sindiran selamba Amira terhadap diri sendiri.
“Saya juga terpengaruh
dengan seni manga dan teknologi anime mereka,” Faiz membalas spontan. Betapa
dia sedar melalui kesenian yang ditawarkan, masyarakat dunia justeru tertawan
oleh mereka.
Amira tertawa sendiri
mengenangkan perbualan ringkas itu. Tentu saja media adalah wadah paling
berkesan mempengaruhi dunia. Itulah yang dilakukan setiap negara dalam
melancarkan ideologi dan pemikiran masing-masing.
***
“Bagaimana cadangan aku
agar kau meneruskan pengajian di sini?” Anuar bertanya tiba-tiba. Waktu itu
mereka sedang menyusuri kaki-kaki lima melihat kedai-kedai yang menjual
pelbagai jenis barang di tengah kesibukan kota Tokyo. Amira masih leka
membelek-belek beberapa buah pantung elektronik yang unik. Barang permainan anak-anak
yang begitu canggih. Amira lantas terkenang Alia, gadis kecil yang
diperkenalkan Ayah. Pasti Alia senang menerimanya. Amira bercadang untuk
membeli satu.
“Mira,” Anuar memanggil
perlahan namanya bila dilihat Amira seakan tidak mempedulikan pertanyaannya.
“Aku masih ada kontrak
di Malaysia,” Amira masih ralit dengan patung-patung yang comel itu. Rambang
mata untuk memilih yang mana satu.
“Bagaimana dengan ini?
Okay tak?” Amira mengangkat sebuah patung berwarna merah jambu di depan wajah
Anuar sambil menggoyang-goyangkannya. Anuar tersenyum sambil mengambil patung
yang comel itu.
“Masih tidak berubah,
masih dengan merah jambu,” Anuar tersenyum perli. Amira tersipu sambil menarik
kembali patung itu dari tangan Anuar.
“Untuk Alia,” Amira
bersuara perlahan sambil berlalu menuju kaunter bayaran. Anuar berkerut, ada
sesuatu yang sukar dia fahami di situ. Anuar menanti Amira di luar kedai sambil
meneka-neka sendiri maksud bicara Amira.
***
“Jadi awak melarikan
diri ke sini?” Faiz terburu-buru membuat andaian. Anuar dan Amira serentak
memandang lelaki yang baru mereka kenali itu. Amira tunduk dan tersenyum pahit.
“Mira dah lama mahu ke
sini, hanya mengumpul dana. Bukan?” Anuar menjadi wakil Amira menjawab tuduhan Faiz
dengan nada berlucu mengurangkan ketegangan yang melanda.
“Oh, jadi dari mana
datang dana itu?” sekali lagi Faiz seperti orang dungu bertanya. Tapi itu bukan
persoalan bodoh kerana sejak dari awal pertemuan lagi Anuar ingin bertanya
soalan serupa. Kedua-dua lelaki itu sama-sama menumpukan pandangan ke arah
Amira. Amira terdiam sejenak dan bagai terpaksa mengukir senyuman.
“Dari pampasan insurans
Ibu,” Amira bersuara ragu-ragu sambil tersengih memandang Anuar dan Faiz.
Tiba-tiba dia merasa sebak dan air mata mulai bertakung di tubir mata. Amira
mengerdipkan mata beberapa kali sambil terus tersenyum.
“Ada hikmah pada setiap
kejadian bukan?” Faiz berbicara lambat-lambat sambil merenung dalam-dalam wajah
gadis manis di hadapannya. Dia lantas menghulur sapu tangan kepada Amira. Amira
tersipu-sipu menarik sapu tangan itu dan mengesat matanya.
“Ya, bukankah kehidupan
adalah layar filem atau kotak cerita yang kita tonton dan terpesona yang
kemudiannya kita ambil pengajaran daripadanya,” Amira meluah kata dan tersenyum
memandang Faiz dan Anuar silih berganti. Faiz tersenyum cuba memberi kekuatan
pada gadis itu. Anuar hanya membisu, sungguh dia sendiri tidak pernah menyangka
jalan hidup Amira boleh menjadi seperti itu.
“Aku masih sukar untuk
percaya segala yang telah berlaku, Mira. Kadang-kadang aku merasakan masa
terlalu pantas berlalu dan baru semalam aku melihat kau bersama Pak Cik dan Mak
Cik bertandang ke rumah. Dan kita akan riang bertemu sambil rancak bercerita tentang
permainan yang baru dimiliki. Aku masih terkenang kau berambut tocang. Comel
sekali,” Anuar meluah kata-kata. Dia turut merasa sebak sendiri. Amira mengetap
bibir menahan tangis mendengar kata-kata Anuar.
“Terima kasih Nuar,
sebab menemani zaman kanak-kanak aku. Sungguh, ia sangat bermakna memiliki
kenangan zaman kanak-kanak yang begitu indah. Namun aku sudah dewasa dan kita
sama-sama sudah dewasa. Biarlah kenangan itu kita pegang sambil terus mengukir
pengalaman baru untuk dijadikan kenangan pula di hari tua,” Amira berbicara
optimis. Anuar tertawa kecil dan mengangguk-angguk. Faiz cuma memerhati sambil
tersenyum senang.
Langit Tokyo begitu
kelam. Tiada sebutir kejora pun yang menunjukkan wajah. Mereka tidak tidur
malam itu. Berbual hingga ke subuh pelbagai kisah zaman lampau mahupun
perancangan masa depan. Pertemuan teman lama dan teman baru memang begitu manis
untuk dikongsi.
***
“Ini untuk Alia,” Anuar
menghulurkan kotak yang berbalut kemas. Amira memandang dengan lirikan
mengusik.
“Katakan pada dia ada
abang kacak dari Jepun yang beri,” Anuar tersenyum miang. Amira sekadar
mencebik dan menarik muka dengan gurauan Anuar. Amira berlalu mendepani Faiz.
Pemuda itu baru dikenali. Namun keasingan diri sebagai bangsa yang datang dari
rantau yang sama menjadikan mereka tidak asing antara satu sama lain.
“Arigato na,” Amira
menahan air mata yang mahu menitis dan tunduk seperti gaya Jepun. Faiz
tersenyum senang turut menunduk.
“Jumpa lagi. Saya
gembira bertemu awak di sini. Harap kita akan bertembung lagi di Malaysia,”
Amira menyapu air mata yang membasahi pipi sambil terus menguntum senyuman. Faiz
sekadar tersenyum dan mengangguk.
“Pulang ke Malaysia
bila sudah tamat nanti. Negara perlukan genius seperti kau. Jangan bazirkannya
di bumi yang sudah melimpah dengan kepandaian ini,” Amira mengungkap bicara
pula buat Anuar. Dia memandang tepat wajah sepupunya yang pasti akan dirindui.
Anuar cuma tersengih dan mengangguk mengerti.
***
Pesawat penumpang yang
memuatkan lebih 300 penumpang dan anak kapal itu membelah awan menuju ke
destinasinya. Negara kepulauan Jepun sudah terhapus dari pandangan. Amira
bersandar selesa mengimbas kembali pengembaraannya di salah sebuah bandaraya termoden
dunia.
Sungguh mengasyikkan
merempuh lautan manusia dan hutan batu Tokyo namun hatinya masih merindui Kuala
Lumpur. Udara, langit, mentari dan kehijauan Kuala Lumpur memang tiada
bandingan. Barangkali singgah sebentar sebagai musafir itu perlu untuk mengubah
angin dan menikmati persekitaran baru.Namun, terus bermastautin, sungguh Amira
tidak kuat untuk melalui kehidupan yang begitu asing itu.
Keindahan dan pesona
Jepun hanya laku memenuhi kotak-kotak cerita baik drama, filem, komik mahupun
animasi. Namun, apalah bisa menghargai indahnya budaya yang begitu asing sedang
naif dan dungu pada budaya bangsa sendiri. Benar Amira masih punya kontrak
untuk bekerja setelah tamat pengajian di universiti. Namun, itu bukanlah alasan
utama dia menolak cadangan Anuar untuk melanjutkan pengajian di negara
idamannya itu sekian lama. Beberapa hari di Tokyo membuatnya banyak merenung
dan menimbang. Dia sedar hatinya masih di Malaysia biarpun bumi itu menyimpan
seribu satu kisah duka namun di tanah itu juga tertanam segala memori indah
yang dilaluinya.
Amira terfikir betapa
mungkin satu hari nanti akan ada warga Jepun sepertinya, mendamba sekian lama
untuk menjengah Malaysia. Dia menyedari betapa merasainya sendiri dan menonton
di kaca televisyen itu ada berbeza namun dia puas menghayati dan menikmati
pesona itu sendiri. Merasai sesuatu yang selama ini hanya terhad pada
pancaindera tertentu. Dia mahu Kuala Lumpur turut digambarkan sebegitu hingga
berduyun masyarakat dunia berasa teruja untuk mengujunginya.
Amira tersenyum sendiri
melayan angan di pedu minda. Dia akan tiba di Kuala Lumpur. Menamatkan
pengajian dan bekerja di sektor awam seperti dalam kontrak biasiswanya.
Pastinya dia tidak punya banyak masa untuk itu semua. Malah dia sendiri tidak
punya bakat dalam urusan seni ini. Dia tersenyum menyindir diri. Amira memejam
mata.
‘Selamat tinggal Tokyo,
terima kasih atas kejujuran yang kau paparkan kepadaku hingga aku sedar betapa
aku cinta tanah airku,’ Amira mendesis dalam hati dan terlena di buai mimpi
kenangan-kenangan indah di Tokyo. Pesawat terus merentas langit.
***
‘Aku berlari ke Kuala
Lumpur’. Itulah tajuk drama terbaru yang memaparkan jalan cerita seorang gadis
Jepun yang membawa diri ke Kuala Lumpur kerana masalah keluarga. Drama usaha
sama dua syarikat penerbitan dari Tokyo dan Kuala Lumpur itu tidak pernah Amira
ketinggalan untuk menonton saban malam. Untung saja ia ditayangkan pada waktu
malam hari bekerja. Kalau di siang hari pasti dia tidak berkesempatan untuk
menonton.
Kisah itu seringkali
mengenangkan peristiwa yang berlaku tiga tahun lalu. Ya, seakan-akan gadis
Jepun itu jelmaan dirinya. Bezanya dia gadis melayu yang melarikan diri ke
Tokyo. Waktu itu dia tertekan dengan kematian Ibunya yang terlibat dalam
kemalangan setelah mengetahui Ayahnya telah berkahwin lain malah sudah punya
anak perempuan berusia lima tahun waktu itu. Duka yang terguris serta keinginan
yang meluap-luap untuk menjejakkan kaki ke Tokyo membuatkan dia menggunakan
sebahagian besar wang pampasan insuran Ibu untuk perbelanjaan ke sana.
Amira kembali bersama
semangat dan azam baru. Sungguh dia sendiri tidak pasti adakah pesona Tokyo
atau onak duri pengembaraan membuatkannya sedar betapa kehidupan perlu
diteruskan. Dia kembali ke kampus, menamatkan pengajian dan kini sudah hampir
setahun dia bergelar tutor di sebuah institut pengajian tinggi awam di Kuala
Lumpur. Malah dia sudah berkira-kira untuk melanjutkan pengajian ke peringkat
lebih tinggi. Dia berfikir untuk mengembara lagi. Barangkali ke sebelah barat
dunia pula kali ini. Kembali Amira bermimpi namun kali ini dia yakin untuk
merealisasikannya.
***
Kata orang, Belanda
negara paling adil di dunia. Di The Hague terletaknya mahkamah keadilan dunia.
Di negara ini demokrasi dan kebebasan tertegak setegak-tegaknya hingga
kadang-kala melampaui batas. Amira pernah mendengar bahawa Belanda juga negara
pertama yang mewujudkan kebebasan untuk perkahwinan di antara jantina yang
sama.
Sungguh, jika lama dulu
pertama kali merentas lautan dia menuju negeri indah yang mempesonakannya
sekian lama. Namun, kali ini dia mengujungi sebuah negara yang baginya
mempunyai reputasi buruk dalam sejarah peradaban dunia. Barangkali kebenaran
dapat dia nikmati sendiri kerana bukanlah dia untuk menilai dari kaca mata luar
semata-mata. Dia hanya akan benar-benar memberikan pandangan bila telah
melaluinya barulah tulus tanpa cenderung dan condong ke mana-mana.
Indahnya tanah Holland
ini adalah bunga-bungaannya. Sengaja dia memilih musim bunga untuk membuat
kunjungan kali pertama. Pastinya keindahan itu bisa menjadi kenangan terindah
kerana kalau boleh dia tidak mahu mengukir mimpi buruk di bumi asing.
Menikmati tulip dan
lily yang pelbagai warna dan bentuk memang mendamaikan. Udara yang nyaman dan
dingin itu turut mencipta kelainan. Amira melepaskan pandangan pada ramainya
pengunjung yang turut sama menikmati keindahan flora itu. Keramaian itu sedikit
pun tidak menggugat ketenangan. Amira tersenyum senang.
“Amira,” spontan Amira
berpaling. Dia terpegun. Lelaki itu tampan berkaca mata dengan kot kulit
cokelat cair dan mafela merah jambu melilit leher. Amira mengerut kening
melihat mafela merah jambu itu.
“Tak sangka jumpa awak
di sini,” Faiz sudah berada tepat di hadapan Amira hanya berjarak beberapa inci
sahaja. Amira tersenyum senang. Sungguh dia sama sekali terkejut dengan
pertemuan itu. Kali kedua ke luar negara, dia bertemu lelaki yang sama semasa
kunjungan pertama. Bezanya negara yang dilawati berbeza sekali dari yang dulu.
Seakan berjodoh, anehnya mereka tidak berjodoh di tanah air sendiri.
“Seperti berjodoh
kita,” Faiz dan Amira bersuara hampir serentak. Mereka berhenti melangkah dan
saling berpandangan dan pecah ketawa antara mereka.
“Ya, cuma kita tidak
berjodoh di Kuala Lumpur,” Amira menyambung setelah ketawa mereka mulai reda. Faiz
mengerutkan dahi dan mengangkat bahu.
“Memang aneh bukan?
Kadang-kala hidup memang sukar untuk diduga,” Faiz mengungkap bicara pula
sambil melabuhkan punggung di sebuah bangku rehat. Amira menurut, mengambil
tempat di sisi lelaki itu. Lelaki itu jarang-jarang diingati namun melihatnya
kini membuatkan dia seakan terbayang-bayang kenangan lampau yang pernah dilalui
bersama.
“Mengapa pandang saya
begitu?” Amira terkesima, pantas mengalih pandangan. Dia tersipu sejenak
sebelum kembali menenangkan diri. Faiz tertawa kecil.
“Awak masih seperti
dulu. Lima tahun langsung tidak mengubah awak rupanya,” Faiz berbicara seakan
menyindir. Amira menarik muka dan pura-pura merajuk.
“Saya cuma hairan
dengan warna mafela awak. Seakan tidak sesuai saya kira,” Amira menjeling
mafela merah jambu itu. Faiz tersenyum sambil menanggalkan mafela itu.
Awak fikir merah jambu
hanya sepadan untuk awak?” Faiz seakan memerli. Amira terdiam, dia mahu
membalas tapi dia seakan hilang bicara. Faiz tersenyum dengan tingkah Amira.
Lantas di membalut leher Amira dengan mafela itu. Amira tergamam dengan perlakuan
Faiz.
“Memang hanya sepadan
pada awak. Saya pakai sekadar menjadi sumber inspirasi,” Faiz meluah kata-kata
dan bangkit dari bangku lalu melangkah perlahan sambil pandangan tertebar
melihat warna-warni kuntuman bunga. Amira terpinga-pinga sejenak sebelum turut
bingkas mendekati lelaki itu dengan seribu satu pertanyaan untuk di luah.
“Faiz, apa maksud
awak?” Amira bertanya serius. Sambil melangkah dia memandang tajam lelaki itu. Faiz
cuma tersenyum dan diam menikmati keindahan taman. Amira tidak tenang menanti
jawapan. Tapi dia juga seakan segan untuk mengulang pertanyaan.
“Kenapa awak di sini?”
tiba-tiba Faiz bertanya. Amira terdiam, lama pertanyaan itu turut terbiar.
“Saya kira awak
melarikan diri lagi. Barangkali dari sebuah perkahwinan kali ini,” Faiz
menjeling wajah masam gadis itu. Amira masih bisu. Malas pula mahu melayan
lelaki itu. Biarkan dia pula ternanti-nanti.
“Merajuk? Saya fikir rajuk
awak akan hilang di negara orang,” Faiz masih galak mengusik. Amira menjeling
tajam.
“Saya sambung belajar,”
akhirnya Amira mengalah. Faiz mengerutkan wajah.
“Betul?” Faiz bertanya meminta
kepastian.
“Iyalah, kenapa?” Amira aneh
melihat reaksi Faiz. Faiz seakan sedar dia terlalu beremosi. Segera dia
tersenyum.
“Saya sangka awak hanya selesa
menuntut di Kuala Lumpur,” Faiz memerli lagi. Amira tersenyum.
“People change,” Amira
membalas pendek. Faiz menganggukkan kepala beberapa kali. Amira aneh dengan
tingkah Faiz. Dia merenung lama ke arah lelaki itu.
“’Mengejar Mimpi di Kuala
Lumpur’, apa pandangan awak tentang tajuk itu?” Faiz tiba-tiba bersuara. Amira
mengerutkan dahi.
“Seperti ‘Aku Berlari ke
Kuala Lumpur’,” Amira bersuara perlahan. Faiz memandang wajah hairan Amira.
“Awak menonton cerita itu?” Faiz
menyoal pendek. Amira mengangguk.
“Cerita yang indah. Saya
seakan menonton drama Jepun yang dibikin di Kuala Lumpur. Menariknya
diterbitkan produksi tempatan walaupun dengan kerjasama produksi dari Jepun.
Apa yang membanggakan pengarahnya orang melayu. Namun, apa yang mencuit hati
saya jalan ceritanya seakan-akan...” Amira terhenti dan merenung Faiz di sisi
yang tersenyum lebar.
“Amira, awak benar-benar
sumber inspirasi,” Faiz menatap wajah gadis itu dengan senyuman. Amira hanya
membisu, sama sekali dia masih sukar untuk mempercayai.
“Awak Faizra, pengarah itu?
Saya sangka awak perempuan,” Amira bersuara lambat-lambat. Faiz cuma tersenyum
dan terus mengatur langkah menyusuri taman bunga yang indah itu.
Amira tersenyum sendiri
memerhati belakang lelaki itu melangkah tenang menikmati damai alam. Entah
mengapa dia diserbu rasa terharu. Dia memngedipkan mata berkali-kali. Saat itu
di terkenang Faiz pernah menghulurkan sapu tangan semasa dia menagis di Tokyo
dulu. Dia meraba leher. Mafela merah jambu masih tersemat kemas di situ. Amira
tersenyum sendiri dan mula melangkah pantas mendekati lelaki itu.