Home Cerpen Thriller/Aksi Projek Bunuh Diri
Projek Bunuh Diri
Hana Mizari
11/4/2018 15:46:24
7,508
Kategori: Cerpen
Genre: Thriller/Aksi

Hamizah berlari-lari menaiki tangga blok A Kolej Kediaman Puteri. Dia tercungap-cungap mengambil nafas. Kakinya terasa lenguh. Dia ingin cepat sampai ke destinasi yang ingin ditujunya.

Kakinya berhenti melangkah sejenak sejurus sampai di tingkat tiga bangunan itu. Dia mencari bilik yang tertulis 302 di hadapannya. Sampai sahaja di bilik itu, dia nampak bilik itu sedikit terbuka pintunya. Suara seorang gadis sedang menangis teresak-esak kedengaran sayup-sayup dari dalam bilik itu. Suara beberapa orang lagi turut kedengaran dari dalam bilik itu, sedang memujuk gadis itu barangkali.

Hamizah menghampiri bilik itu lalu menjerit memanggil nama seseorang, "May! May!" Kedua-dua kakinya diatur laju menuju bilik itu lalu menolak pintunya.

Kelihatan beberapaa orang pelajar perempuan sedang mengerumuni seorang gadis di tengahnya. Mukanya tidak kelihatan kerana ditutup kedua-dua tangannya. Badannya terhenjut-henjut. Seorang rakannya sedang mengusap belakang badan pelajar yang sedang menangis itu untuk memujuknya.

Hamizah memanggil lagi buat kali kedua, "May, apa yang dah berlaku ni May? May okey ke?"

Mendengarkan pertanyaan itu, mereka yang sedang mengerumuni gadis itu memberi Hamizah laluan sambil memandangnya tajam. Hamizah menghampiri May dengan gerak perlahan. Dia melutut di hadapan May.

"May, cuba cerita pada saya. Apa yang dah berlaku? Kenapa awak menangis?" Lembut sahaja pertanyaan Hamizah.

"Kau boleh tanya dia lagi apa yang berlaku! Kau jangan pura-pura tak tahu! Kaulah puncanya May jadi macam ni!" Airin rakan May menjerkah Hamizah secara tiba-tiba.

"Apa maksud awak, Airin? Saya tak fahamlah." Hamizah tidak mengerti.

"Miza, kau tak baca berita ke hari ini? Katak duduk bawah tempurung betul!" marah Calisha pula.

"Berita hari ini? Tak, aku tak baca lagi. Sibuk sangat hari ini," balas Hamizah pula.

"Nah, ini surat khabar! Kau bacalah sendiri berita muka surat depan tu!" getus Linda pula dengan nada marah sambil mencampakkan surat khabar ke muka Hamizah.

Hamizah yang terpinga-pinga kemudiannya mengambil surat khabar itu lalu membaca muka hadapan seperti yang disuruh Linda. Tajuk utama surat khabar itu tertulis

Mayat wanita 49 tahun ditemui mati di dalam semak.

Wanita 49 tahun itu dipercayai dirogol dahulu secara bergilir-gilir sebelum dibunuh dengan kejam.

Hamizah melihat gambar seorang wanita yang dipampangkan di akhbar itu. Gambar itu merujuk kepada identiti mangsa rogol itu. Terbeliak matanya melihat gambar itu, kerana dia amat mengenali wajah itu. Wajah itu adalah wajah ibu kepada May. Dia melihat pula wajah di sebelah gambar wanita itu. Gambar lelaki dalam lingkungan awal 50-an. Lagi sekali Hamizah terkejut. Dia menutup mulutnya, matanya terbeliak.

"Ayah!" Perkataan itu sepintas lalu keluar daripada mulutnya. Surat khabar yang berada di tangannya terjatuh ke lantai.

"Sekarang kau dah tahu kan!" tengking Airin sambil mengambil surat khabar yang terjatuh di atas lantai.

"Maafkan saya May! Maafkan saya! Maafkan saya! Maafkan saya!" Hamizah mengulang-ulang ayat itu sambil menggoncangkan tubuh May. Air mata sudah mengalir membasahi pipinya lalu jatuh menitik ke bawah. Namun begitu, May tidak mengendahkan langsung kata-kata Hamizah. Dia masih bermandi air mata. Calisha bertindak menarik tangan Hamizah dengan kasar lalu menolak tubuhnya hingga jatuh ke lantai.

"Sekarang kau dah tahu kan, Hamizah? Bapa kau yang bangsat tu dah rogol ibu May. Berjemaah pula tu dengan kawan-kawan dia!" tengking Airin lagi.

"Maafkan saya. Saya dah lama lost contact dengan bapa saya." Hamizah cuba membela dirinya.

"Ah, itu cuma alasan! Hakikatnya kau sama saja dengan bapa kau! Memang dasar keturunan bangsat!" Giliran Calisha pula memarahi Hamizah.

"Sekarang kau dah tahu kan yang kau tak diperlukan langsung di sini! Pergi berambus! Berambus keluar dari bilik ni!" Airin memarahi Hamizah lagi sambil jari telunjuknya menuding ke pintu bilik itu.

Hamizah masih terpinga-pinga, tidak percaya dengan apa yang didengarnya.

"Syazamiya Hamizah Binti Yusuf! Kau tak dengar ke apa yang aku cakap ni? Aku kata keluar, keluarlah bangsat!"

Airin bertindak kasar lalu menendang Hamizah sehingga keluar dari bilik itu. Hamizah jatuh terjelopok di atas lantai hadapan pintu bilik itu. Beberapa orang yang berada di luar bilik tersebut merenungnya tajam. Hamizah berasa takut dengan renungan tajam mereka lalu melarikan diri sekuat hatinya. Dia berlari sehingga badannya berasa tidak mampu lagi untuk bergerak.

***

"Anak perogol! Anak perogol! Anak perogol!" Kata-kata itu berulang-ulang kali disebut oleh orang-orang yang berada di sekeliling Hamizah. Mata mereka merenung tajam Hamizah.

Muka orang-orang itu ada yang dikenalinya dan ada yang tidak dikenalinya. Hamizah mencangkung di tengah-tengah sekumpulan orang ramai itu. Matanya dipejamkan dan teliganya ditutup. Dia tidak sanggup lagi mendegar kata-kata nista yang dilemparkan orang-orang itu.

"Aaahhh!" Hamizah menjerit sekuat hati.

Hamizah terjaga daripada tidur. Dahinya berpeluh-peluh, tangan dan kakinya sejuk dan dadanya berdegup kencang.

"Saya bermimpi rupanya." Hamizah cuba menenangkan dirinya.

"Tak boleh jadi, esok saya mesti minta maaf semula kepada May, kalau tak hati saya tak tenang. Itu yang mimpi buruk ni," berkatanya lagi di dalam hati.

***

Awal-awal lagi Hamizah bangun untuk memulakan semangat baru. Dia sudah nekad untuk berbaik semula dengan May. Dia telah lama berkawan baik dengan May sejak dia berada di tahun satu lagi. Dialah orang yang pertama menegur May semasa melihat May duduk bersendirian.

May pada mulanya tidak banyak bercakap. Dia juga kurang bergaul dengan rakan-rakan sekuliahnya yang lain. Sejak dia berkawan dengan May, dia mula ceria dan berkawan dengan lebih ramai orang. Dia mula berkenalan dengan Airin, Linda dan Calisha pula. Walaupun mereka bertiga tidak membenarkan May untuk terus berkawan dengan Hamizah, May tetap mahu bersama Hamizah. Ke mana sahaja mereka pergi, May dan Hamizah tetap bersama.

Semuanya berubah apabila May mendapat tahu ibunya hilang sejak beberapa minggu yang lepas. May sudah mula mendiamkan diri dan menjauhi Hamizah. Rakan-rakan kuliah yang lain mula mengesyaki Hamizah sebagai punca perubahan sikap May. Mereka juga bertindak menjauhi Hamizah. Namun begitu, ada juga yang masih berpihak kepada Hamizah dan sentiasa menyokong setiap tindak-tanduk Hamizah.

Hamizah melangkah ke dalam dewan kuliah dengan penuh debaran. Dia melihat jikalau May sudah sampai terlebih dahulu sebelum dia. Dia melihat sekali imbas muka pelajar-pelajar perempuan yang sampai lebih awal daripadanya.

'Itu dia May, jumpa pun,' desis hati Hamizah.

Dia menyusun langkahnya merapati May dengan penuh hati-hati. Sampai sahaja di sisi May, dia membuka mulutnya memulakan bicara, "May, pasal semalam tu, saya nak minta maaf."

May diam, langsung tidak menoleh.

Hamizah menguatkan sedikit suaranya, menyangkakan bahawa May tidak mendengar suaranya, "May, saya...."

May merenungnya tajam dan berdiri menghadapnya. Hamizah terkejut.

"Apa lagi yang kau nak dari aku? Pergi berambus! Berambus terus dari kelas ni lagi bagus. Buat menyemak je muka kau kat kelas ni!"

Jeritan May secara tiba-tiba mengejutkan pelajar-pelajar lain yang berada di situ. Mereka semua memandang May dan Hamizah. Kemudian mereka menyambung semula kerja mereka seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

"Kau dah dengarkan Miza? Apa lagi keluarlah! Apa yang kau tercegat lagi kat sini?" sergah Airin yang baru sahaja sampai di kelas itu.

"Apa salah saya, May? Apa salah saya? Apa yang patut saya buat untuk mendapatkan kemaafan daripadamu, May?" Hamizah merayu kepada May.

May dan Airin memandangnya tajam. May ingin mengucapkan sesuatu kepada Hamizah tetapi dihalang Airin. Airin membisikkan sesuatu ke telinga May.

May mengangguk seraya berkata, "Miza, aku boleh maafkan kau."

Mata Hamizah bersinar-sinar mendengar jawapan daripada May. Dia pun menghampiri May dan cuba untuk memeluk May tetapi dihalang Airin.

"Tapi dengan satu syarat." May menyambung lagi.

Hamizah mendengar dengan teliti, sudah nekad untuk berbaik semula dengan May.

"Syaratnya, kau kena sembah aku lepastu minta maaf pada aku 100 000 kali," sambung May lagi dengan nada selamba.

Airin memandang Hamizah dengan senyuman sinis. Tanpa membuang masa, Hamizah terus melakukan apa yang disuruh May seperti pak turut. Dia sujud di hadapan mereka berdua sambil mengulangkan ucapan 'maafkan saya'. Kepalanya dihantukkan ke lantai berkali-kali sekuatnya sehingga berbunyi lantai itu.

"Kuat lagi, aku tak dengar!" jerkah May tidak berpuas hati.

Hamizah meninggikan suaranya sehingga dapat didengar oleh semua orang yang berada di dewan itu. Kepalanya juga dihentak semakin kuat ke lantai.

Seluruh kelas itu terpaku melihat kelakuan mereka bertiga. Seorang pun tidak berani menegur perbuatan kejam mereka. Sementara itu, Airin hanya ketawa terbahak-bahak. May pula terus memerhatikan Hamizah dengan muka tiada perasaan.

"Alamak pensyarah dah datanglah. May, lari!"

Airin terkejut dengan kehadiran pensyarah dan mengajak May untuk meninggalkan Hamizah di situ. Mereka terus duduk di tempat masing-masing dan berpura-pura seperti tiada apa-apa yang berlaku. Pensyarah yang baru sampai itu terkejut dengan luka di kepala Hamizah dan meminta salah seorang pelajar di kelas itu membawa Hamizah ke hospital.

***

Seorang jururawat sedang membalut luka di kepala Hamizah dengan berhati-hati. Hamizah hanya diam membatu. Setelah selesai membalut luka itu, jururawat itu bertanya Hamizah akan apa yang telah berlaku sehingga dia boleh terluka dengan teruk sekali. Hamizah hanya tersenyum dan enggan memberitahu perkara yang sebenar. Dia dibenarkan pulang memandangkan tiada apa-apa berlaku pada otaknya.

Hamizah pulang ke biliknya memandangkan dia diberikan cuti sakit oleh pihak hospital. Dia duduk di atas katil dan menyandar ke dinding. Hamizah tersenyum mengenangkan peristiwa yang dialaminya di kuliah pada pagi itu.

"Akhirnya aku berbaik semula dengan May. Tapi, saya tak sempat minta maaf sampai 100 000 kali, masih ada baki lagi 99 999 lagi. Takpalah, nanti bila dah baik luka ni saya sambung minta maaf dengan dia lagi. Airin pun dah semakin mesra dengan saya. Alhamdulillah, hari ini semua perkara baik berlaku pada saya." Hamizah terus ketawa seorang diri di bilik itu.

***

Beg dan alat tulis milik Hamizah dicampak kasar oleh Calisha dan Linda. Airin pula memandang Hamizah tajam sambil berpeluk tubuh.

"Kan aku dah cakapkan, orang macam kau ni menyemak je dalam kelas ni! Kenapa kau datang lagi kelas ni? Kau ni bodoh sangat ke sampai tak faham apa aku cakap?" Cercaan demi cercaan yang dilemparkan May hanya dijawab dengan senyuman oleh Hamizah.

"Oi, jawablah! Kau bisu ke?" jerkah May lagi.

Hamizah terus melutut di hadapan May dan menangkap kaki May. Dia mengangkat kaki May dan menjilat tapak kasut May berkali-kali. Lagaknya seperti orang sedang menjilat aiskrim.

May mengusap belakang badan Hamizah lalu berkata, "Bagus! Baik betul anjing aku ni kan?" May bertanya kepada Airin, Calisha dan Linda.

Mereka bertiga ketawa terbahak-bahak mendengar kata-kata May.

"Sudah, lepaslah perempuan murahan!"

May menendang Hamizah yang terus berpaut di kakinya. Hamizah jatuh tergolek. Sekali lagi gelagat Hamizah ditertawakan mereka semua.

"Sudah, sudah." Airin tiba-tiba bersuara.

"Eh Miza, kau tahu tak kenapa May kata kau ni menyemak je dalam kelas kita?" tanya Airin sambil menarik tudung Hamizah.

Kemudian dia mendekatkan mulutnya ke telinga Hamizah lalu berkata, "Sebab orang macam kau ni tak menyumbang apa-apa pun kat kelas kita! Malah kat dunia ni pun kau tak menyumbang apa-apa pun! Bawa bala adalah! Tengok, apa yang bapa kau dah buat pada ibu si May ni! Seluruh keturunan kau memang bangsat! Kamu semua memang patut mati pun, barulah dunia ni akan aman! Orang macam kau ni tak layak hidup! Pergi bunuh diri beramai-ramai lagi bagus!"

Hamizah ditolak ke lantai. Dia jatuh terjelepok. Dia tersenyum lalu membalas, "Terima kasih. Terima kasih kerana kamu semua melayan saya dengan baik selama ini."

Airin dan May memijak seluruh badan Hamizah sehingga lebam-lebam seluruh badannya. Calisha dan Linda pula mengeluarkan buku-buku yang berada di dalam beg Hamizah dan mengoyakkan kesemuanya. Tindakan mereka rakus sekali.

Kelakuan mereka berempat hanya diperhatikan sahaja oleh orang yang lalu-lalang di situ. Mereka tidak berani menegur, apatah lagi menolong Hamizah. Setelah puas mengerjakan Hamizah, mereka berempat berlalu pergi sambil ketawa terbahak-bahak. Beberapa orang pelajar datang membantu Hamizah untuk bangun dan mengemaskan barang-barang milik Hamizah.

"Awak, bersabar ya. Saya harap awak banyak-banyakkan bersabar," pujuk salah seorang pelajar perempuan di situ yang bertudung labuh. Sementara itu, pelajar-pelajar lain pula meninggalkan tempat itu seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Hamizah tersenyum simpul mendengarkan semula setiap bait-bait kata yang dituturkan Airin. Kata-kata Airin yang terakhir itu menarik perhatiannya. Ya, bunuh diri. Itu yang sedang difikirkannya sekarang. Pelajar-pelajar yang membantunya ingin menghantarnya pulang, tetapi Hamizah menolak pelawaan mereka.

Hamizah membuka laptopnya. Dia memastikan laptopnya itu disambung dengan Internet melalui wifi milik universiti itu.

"Ah, signal bagus! Cantik! Senang aku nak jalankan projek aku," desis Hamizah di dalam hati.

Dia membuka Facebook dan log masuk ke akaun miliknya. Dia juga membuka aplikasi Whatsapp dan mula menaip sesuatu.

Dia memuat naik status baru di laman sosial itu dengan mesej yang sama ditulis di Whatsapp. Dia juga memanggil beberapa rakan-rakan kuliahnya untuk datang ke biliknya pada malam itu. Dia ingin membincangkan sesuatu yang amat penting bersama mereka.

Anda mahu tak menyumbang sesuatu kepada dunia ini? Anda mahu tak menggembirakan dan membahagiakan orang-orang di sekeliling anda? Anda ingin menyebarkan keamanan ke serata dunia? Tetapi anda tidak tahu bagaimana?

Anda tahu tak ada suatu perkara di dunia ini yang mana jika kita lakukannya semua orang akan berasa bahagia. Malah, mereka pasti bahagia. Dunia ini akan menjadi aman dan tenteram jika kita semua berganding bahu untuk menjayakan projek ini.

Kita semua selalu terlepas pandang perkara ini sehingga ramai orang di dunia ini telah menderita disebabkan masalah ini. Sahabat karib saya antara yang menjadi mangsa disebabkan kurang pekanya kita kepada perkara ini.

Anda mahu tahu apakah ia?

Ianya adalah PROJEK BUNUH DIRI. Ya, anda mendengarnya betul, bunuh diri. Bunuh diri boleh membahagiakan semua orang, tetapi sesuatu sedang berkonspirasi untuk menyorokkan perkara ini daripada pengetahuan umum.

Mari, mari semua kita menjayakan projek ini supaya dunia ini boleh menjadi aman semula.

Bagaimana caranya untuk menjayakan projek ini? Mudah sahaja.

Anda hanya perlu membunuh diri, seterusnya anda perlu menunjukkan bagaimana anda membunuh diri sama ada melalui muat naik status di laman sosial cara-cara anda membunuh diri, atau memuat naik video rakaman anda membunuh diri atau apa sahaja cara sekali pun.

Oh, ya tidak lupa juga anda perlu meminta tolong orang yang anda ingin bahagiakan untuk melakukan langkah kedua ini. Jika tidak, bagaimana anda ingin melakukannya sebab anda telah pun mati.

Seterusnya jangan lupa 'hashtag' PROJEK BUNUH DIRI. Jangan lupa untuk forward mesej ini seberapa banyak yang boleh jika anda ingin membahagiakan orang lain dan menyebarkan keamanan ke serata dunia. Segala kerjasama anda didahului dengan jutaan terima kasih. Jangan lupa #PROJEKBUNUHDIRI.

Kata-kata itu merujuk kepada status yang dimuat naik Hamizah ke media sosial dan disebarkan juga melalui Whatsapp. Itu juga adalah teks ucapan yang disampaikan Hamizah kepada rakan-rakannya.

Dalam masa beberapa hari sahaja, ramai orang telah menyahut seruan 'keamanan' Hamizah. Sebahagian daripada mereka menunjukkan pelbagai cara yang kreatif untuk membunuh diri.

Ada yang mengelar pergelangan tangannya, menggantung diri, terjun bangunan atau tempat tinggi lain, terjun sungai atau laut dan sebagainya. Status tentang tips-tips membunuh diri dimuat naik ke laman sosial. Malah, #PROJEKBUNUHDIRI menjadi trending di setiap laman sosial. Video-video bunuh diri juga banyak dimuat naik ke Internet.

Hamizah tersenyum melihat usahanya membuahkan hasil yang amat memberansangkan. Hamizah menoleh ke belakang. Airin, May, Calisha dan Linda tersenyum sinis memandang Hamizah.

Hamizah berjalan menuju ke tengah biliknya. Sebuah kerusi diletakkan betul-betul di bawah kipas. Hamizah memanjat kerusi itu. Sebuah tali tergantung di salah satu bilah kipas itu. Dia menggantungkan tali yang hujungnya telah diikat berbentuk bulat. Dia memasukkan kepalanya ke dalam bulatan itu dan menjerut tali itu ke lehernya.

May menendang kerusi di bawah Hamizah. Airin pula mengambil rakaman video Hamizah yang sedang membunuh diri. Calisha pula membuka suis kipas dan Linda hanya memerhati. Mereka memerhatikan Hamizah tergodek-godek sesak nafas sambil badannya terpusing-pusing mengikut arah kipas. Apabila Hamizah sudah diperhatikan betul-betul mati, mereka ketawa terbahak-bahak.

"Bahagia aku. Bahagia! Tak pernah aku rasa bahagia sebegini sejak mak aku mati," ujar May disusuli dengan ketawa berpanjangan. Airin memuat naik video yang dirakamnya tadi dengan meletakkan #PROJEKBUNUHDIRI.

***

Beberapa hari kemudian, mayat Hamizah ditemui tergantung di kipas biliknya. Di dinding biliknya penuh dengan kesan contengan yang tertulis kata-kata kesat. Kata-kata seperti 'PERGI MAMPUS', 'KETURUNAN KAU PATUT BUNUH DIRI BERAMAI-RAMAI', 'MIZA PEROGOL' dan sebagainya memenuhi dinding bilik itu.

Mayat gadis itu ditemui kerana ada bau busuk yang keluar dari biliknya selain dia sudah berhari-hari tidak hadir ke kelas. Dia ditemui jiran-jiran yang tinggal satu aras dengannnya.

Berdasarkan kesan cap jari yang ditemui di serata bilik itu, Airin, Calisha, Linda dan May ditahan reman untuk siasatan lanjut. Mereka akhirnya dijatuhkan hukuman mati kerana melakukan kesalahan membunuh.

Akan tetapi, bagaimana dengan Projek Bunuh Diri yang dijalankan Hamizah? Mereka berempat memang sudah dijatuhkan hukuman tetapi bagaimana pula dengan projek itu yang sudah tersebar di media sosial. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya, terlajak status di media sosial buruk akibatnya.

---

Cerita ini ditulis untuk menceritakan mengenai pemikiran collective responsibility atau collective guilt. Maksudnya, jika salah seorang daripada ahli sesebuah kelompok itu melakukan kesalahan, keseluruhan ahli kelompok itu akan ditimpakan tanggungjawab atas kesalahan itu walaupun mereka langsung tiada kena-mengena.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

© Copyright Portal Ilham. Hakcipta terpelihara Portal Ilham