Home Cerpen Seram/Misteri Watak
Watak
Zhar Aruzi Hairi
15/3/2017 17:06:51
3,977
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Senja merangkak ke malam.Warna-warna jingga kekuningan masih bersisa di dada langit. Insan di kerusi roda itu tersenyum mengenangkan saat-saat manis yang pernah terakam di mindanya suatu ketika dahulu. Ketika dia masih sempurna.

Ya. Dia pasrah dengan takdir yang menimpanya kini. Tapi hatinya tetap bersyukur walaupun nikmat menggunakan kaki telah ditarik, tetapi keupayaan akalnya untuk menulis bertambah-tambah. Apa yang dilakukannya adalah usaha untuk dia bangkit semula dari segala kekecewaanya dahulu.

Di kala ini, dia termenung seketika, Butiran-butiran fakta yang bersarang di dalam mindanya cuba disusun satu persatu. Setiap satunya diletakkan mengikut plot yang telah dirancangnya. Secara automatik tangannya mencapai pena dan buku catatan yang sentiasa terselit di poket sisi kerusi rodanya. Tangannya mula mencatat sesuatu.

Mukanya membayangkan senyum kepuasan kerana rangka untuk satu bab baru baru sahaja menjengah mindanya!

“Kali ini biar semua peminat aku terjerit lagi semasa membaca bab ini!" Gumamnya dengan senyuman melebar.

Mata Natasya Hanim terpandang ke arah adiknya, Jesnita, yang sedang bercakap-cakap dengan seseorang di luar pintu pagar.

“Dah Maghrib pun masih lagi nak berborak!” Bebel Natasya Hanim di dalam hati. Azan Maghrib yang berkumandang menjengah cuping telinganya. Kalau dulu, sudah lama dia berada di muka pintu sambil melaung memanggil adiknya masuk. Pergerakkan dia amat terbatas sekarang. Sekadar untuk meneguk air di dapur pun, dia perlu berkayuh hingga berpeluh ketiak.

“Akak, ada budak perempuan nak jumpa. Penting sangat katanya" Jesnita masuk memberitahu.

“Siapa? Akak kenal ke?”

“Dia kata Akak memang kenal sangat dia.”

“Dah Magrib baru nak datang. Panggil la dia masuk" Ungkap Natasya Hanim. Dia menyorong kerusi rodanya ke ruang tamu.



Sekujur tubuh budak perempuan muncul di muka pintu.Susuk yang tidak pernah dilihat Natasya Hanim, namun setiap perincian tubuh dan pakaian budak itu seperti tidak asing baginya.

“ Adik ni siapa? Duduk kat mana?” Tanya Natasya Hanim sebaik budak perempuan itu dipersilakan duduk di sofa.

Budak perempuan itu hanya tersenyum.Leretan senyumnya itu sesekali agak menakutkan bila dipandang.Wajahnya polos dengan riak wajah penuh dengan misteri.

“Sayalah Maisarah Kak. Takkan Akak tak kenal!” Jawab budak perempuan itu penuh yakin.

“Sumpak Dik, ini rasanya kali pertama kita berjumpa… kan!"

“ Kita dah lama kenal la Kak. Cuma Akak buat-buat lupa kan" Perli Maisarah.

Natasya Hanim tidak mampu menjawab. Kata-kata Maisarah memang tidak dapat disangkal. Dia memang kenal sangat dengan wajah dan pakaian budak perempuan di hadapannya itu.

Tapi di mana ya!

“Mak dan Ayah mana?”Natasya Hanim mengubah soalan. Soalan yang dirasakan penting sekali untuk dijawab. Riak muka budak perempuan di hadapannya itu dirasakan semakin menyeramkan.

“Mak dan Ayah Mai kan dah tak ada!” Tegas Maisarah. Cara menjawabnya itu seolah-olah Natasya Hanim sudah sedia maklum akan status dirinya.

“Adik beradik, saudara mara?”

“Pun dah tak ada!” Nada suara Maisarah mulai meninggi.

“Hah! Habis, adik tinggal dengan siapa?”

“Adik sebatang kara je Kak. Sebab tu adik datang sini"

“ Semua keluarga dan sanak saudara adik ke mana?”

“Semua orang dah mati Kak. Kecuali Mai"

“ Mati!, macam mana semua orang boleh mati" Kali ini Natasya Hanim hampir sahaja sesak nafas. Budak itu bercerita secara bersahaja, seolah dosa membunuh itu tidak sebesar mana.

“Mai yang bunuh Kak. Akak yang bagi Mai buat macam tu, kan..hik..hik" Senyum gadis kecil itu menyeringai dengan tenungan matanya yang tajam.

Bulu roma Natasya Hanim meriding serta-merta. Maisarah pula masih ketawa dan tersenyum. Kakinya diangkat-angkat ke atas seakan keriangan. Dia seolah-olah puas setelah meluahkan ayat itu.

“Bila aku pernah buat kau bunuh orang?” Bentak Natasya Hanim seolah tidak percaya. Tangannya menggenggam kuat besi pemegang di kerusi rodanya. Itu sahaja jalan untuk dia melarikan diri, kalau perlu.

“ Muka137, Bab 7, ..dalam “Waris Buruan Syaitan"” Lancar sahaja jawapan dari Maisarah. Tawanya bersambung dengan nada yang semakin menakutkan.

“ Jadi.. Kau ni…” Kepala Natasya Hanim tiba-tiba memberat sebelum pandangannya tiba-tiba kelam. Dalam samar-samar dia melihat Maisarah membulatkan mata dengan mukanya betul-betul dihadapkan di depannya!



“Aku dah pesan, jangan tinggalkan Kakak kamu sorang-sorang!” Bebelan Puan Kathy jelas ke cuping telinga Natasya Hanim.

Kini dia terbaring di dalam biliknya entah berapa lama. Matanya sempat memandang ke arah kipas siling yang berputar ligat.

“ Mirul bukan sengaja Mak. Kawan Mirul kemalangan kat simpang depan. Dia mintak tolong Mirul sebab rumah kita paling dekat..lagipun..”

“ Mak tak nak dengan apa pun alasan kamu. Kamu kan tahu, macam-macam boleh jadi kalau biarkan kakak kamu tu seorang diri…telefon Mak kalau terpaksa. Rumah Mak Ndak kamu pun bukan jauh mana pun” Sambung Puan Kathy. Nada suaranya masih keras.

Amirul hanya mengangguk. Apa pun alasan yang akan dikemukannya, pasti ditolak mentah-mentah oleh ibunya. Sebagai anak lelaki, memang dia yang diharapkan sangat untuk menjaga kakaknya yang masih belum stabil itu.


Puan Kathy bangun untuk menjenguk Natasya Hanim di bilik tidurnya.

“Kenapa kamu tiba-tiba pitam senja tadi?” Soal Puan Kathy.

“Entahlah Mak. Tiba-tiba sahaja kepala ni berat. Budak yang datang tadi Mak nampak tak?” Tanya Natasya Hanim.

“Budak mana?. Mak jumpa kamu sorang je, terbaring atas kerusi roda kamu tu”

“Maisarah?”

“Dia dah balik agaknya bila tengok kamu pitam” Teka Puan Kathy. Hatinya merasa kurang senang apabila anak gadisnya itu bercakap perkara yang bukan-bukan.

“Dah makan ubat?” Natasya Hanim mengagguk.

“Hanim nak sambung menulis Mak” Dia menggagahkan diri untuk bangun.

“Kamu dah sihat ke? Jangan paksa diri tu kalau tak sihat lagi” Pesan ibunya yang berulang-ulang itu sudah melekat di kepalanya.

“Hmmm..”



Natasya Hanim menghirup kopinya yang masih bersisa. Walaupun sudah sejuk, kepekatannya membuatkan matanya mampu bertahan lama. Kopi dari air tangan ibunya itu memang tidak pernah mengecewakan.

Angin padang yang membuai masuk dari celahan tingkap nako. Natasya Hanim memang selesa menulis dengan tingkap terbuka. Mujur ayahnya ada memasang jaring penghalang nyamuk. Dia selesa ditemani angin malam sambil mengasah mindanya.

“Psssttt..Akak..”

Bisikan dari luar tingkap membuatkan Natasya Hanim terpisat. Nafasnya turun naik kerana terkejut. Puas juga dia menahan diri untuk tidak pitam seperti senja tadi. Bulu romanya serta-merta meriding.

“ Akak..” Suara berbisik itu kedengaran hampir benar dengan tingkap.

“Siapa?” Soal Natasya Hanim memberanikan diri.

“Mai ni!...huuu..hu..” Jawapan yang membuatkan Natasya Hanim menarik nafas panjang.

Dia sempat menjeling ke arah Jesnita yang merengkuk tidur di katil. Kalau apa-apa berlaku, adiknya dulu yang akan dikejut.

“Mai nak apa dari Kakak?” Tanya Natasya Hanim. Dia memberanikan diri walaupun tiada langsung jasad yang kelihatan di luar tingkap.

“Mai nak Akak……. ambil nyawa Mai.” Jawapan dari Maisarah, kali ini dengan nada sedih.

“Kenapa Mai nak mati?”

“Sebab Akak tinggalkan Mai sorang-sorang di penghujung cerita. Mai sunyi kalau semua dah tak ada. Lebih baik Mai pun mati sama.”

“Mai kan sekadar watak dalam cerita tu. Akhiran novel tu memang di situ Mai. Mailah satu-satunya waris keluarga Tuan Hussein yang selamat dari buruan Ifrit Merah tu” Natasya Hanim sudah boleh menangkap dengan siapa dia berbicara sekarang.

“ Ha..ha..Kan Ifrit Merah tu rasuk Mai…bunuh semua orang di dalam rumah tu..Takuutt” Suara Maisarah kedengaran lebih dekat.

“ Kan Mai sempat pecahkan loket sumpahan tu, jadi Ifrit Merah pun turut sama terkubur. Mai seorang sahaja yang selamat..” Natasya Hanim mempertahankan penghujung novel ketiganya itu.

“Ha..ha..selamat tapi… sunyi..Akak..Mai nak matiiii…”

Nada suara Maisarah semakin menakutkan. Kalau di dalam novelnya, itulah keadaan semasa Maisarah dirasuk oleh jembalang yang digelar Ifrit Merah tu.

“ Akak tak boleh matikan watak Mai macam tu saja. Lagipun novel tu tak ada sambungan pun. Publisher pun tak nak dah sambungan cerita tu, walaupun best seller

“ Akak kan ..tengah tulis tu..matikan Mai..hu..hu..” Cadangan Maisarah yang kedengaran logik.

“ Ini bukan cerita seram Mai. Lagipun Akak nak selesaikan bahagian endingnya sahaja lagi..”

“Hu..hu….sunyi….huuu” suara tangisan yang kedengaran semakin lama semakin menjauh.



“ Kenapa Maisarah tu boleh keluar dari novel Aku?” Soalan yang dikemukakan Natasya Hanim pada Zalia, editor novel yang sering mengunjunginya.

Zalia faham situasi yang dihadapi Natasya Hanim dengan kecelaruan mindanya selepas kemalangan enam bulan lepas.

“ Akak yakin ke budak tu Maisarah, dari Novel tu”

Anggukan Natasya Hanim mengiyakan soalan itu. Hanimlah yang bertanggungjawab mengedit novel itu.

“ Jesnita pun nampak..” Sambung Natasya Hanim. Zalia berdeham

Jesnita adalah adik Natasya Hanim yang sama-sama terlibat dalam kemalangan itu. Dia mati serta-merta di tempat kejadian. Cuma Natasya Hanim sahaja yang mengatakan dia masih hidup. Dan adiknya itu sentiasa ada menemaninya.

“Kalau macam tu, Liya rasa mentera sanskrit yang akak ulang-ulang dalam buku tulah puncanya. Mentera yang digunakan Seri Bayan untuk menghidupkan Ifrit merah. Kalau dah semua pembaca berulang-ulang membacakan mentera tu, tak mustahil Maisarah boleh dihidupkan “ Pendapat yang dikemukakan Zalia itu ada logiknya.

“Ya, mentera tu memang mentera sebenar yang Akak petik dari buku saskrit lama. Tapi, tak logiklah nak percaya benda-benda macam tu..”

“Kak..itu mentera membangkitkan roh..Kalau dibaca penuh penghayatan, tak mustahil menjadi..”

“Ha..ha..”

Tawa Natasya Hanim memecahkan perbualan mereka.

“Maafkan Akak, kalau dah hidup..kenapa Maisarah tu nak suruh dimatikan ?..Dah hidup tu.. hiduplah..ha..ha..”

“ Akak cakap dia sunyi kan..hidup sorang-sorang..”

Tawa Natasya Hanim terhenti.

“ Ya..sunyi. macam kehidupan Akak sekarang. Dah sunyi sangat. Tak macam dulu. Bebas ke sana sini. Mujur masih ada Jesnita..hmmm..” Jawab Natasya Hanim sambil mengusap tayar kerusi rodanya. Dia tersenyum memandang ke arah dinding yang kosong.

“Setiap yang berlaku ada hikmahnya Kak.” Zalia yang faham situasi Natasya Hanim cuba untuk meredakan keadaan. Dia tahu sangat yang penulis itu sering terperangkap di alam khayalannya.

“Pandai kamu nak sejukkan hati Akak..dah.. minum air tu, sejuk nanti”

Zalia mencicip teh yang terhidang dengan keropok lekor yang masih panas.

“ Macammana Akak nak bunuh Maisarah ni agaknya ” Soalan dari Natasya Hanim itu membuatkan Zalia berfikir seketika.

“Akak buatkan je satu cerpen seram untuk Maisarah tu …matikan watak dia di situ.”

“ Ah..cerpen. Itu salah satu kelemahan Akak.. Susah untuk kepilkan satu cerita dalam beberapa helai mukasurat. Lagipun, kau dah push Akak untuk siapkan novel baru tu..Akak tak nak hilang fokus..”

“Akak cari jer orang yang pandai tulis cerpen untuk bantu..”

“ Menjadi ke kalau orang lain pulak yang tolong bunuh watak tu…”

“Kena cuba Kak..Kalau tak nanti. Sampai bila-bila Akak kena ganggu nanti…”

“Hurmm..”



Telefon bimbitnya berdering beberapa kali, sengaja dia biarkan. Suhaimi masih menekun kertas kerja yang mahu disiapkan dalam beberapa hari lagi.

“Kalau nak ajak aku keluar, Minta maaf. Minggu ni aku kena fokus” Sengaja dia bersuara walaupun tidak ada yang mendengar.

Setelah setengah jam memerah otak menyiapkan kertas kerjanya, Suhaimi mampu tersenyum kerana hanya sedikit lagi yang berbaki.

Tanggannya mencapai telefon yang berdering tadi. Hatinya tergerak untuk melihat siapa yang menghubunginya.

“Hurmmm…nombor siapa ni?” Tanya dia sendirian melihat nombor yang sama mendailnya sebanyak tiga kali.

“Mungkin hal penting kot!” nombor itu didailnya semula.

“Dengan siapa saya bercakap ni” Tanya Suhaimi sebaik panggilannya berjawab.

“ Ni Akak Natasya Hanim Dik, Novelis buku Waris Buruan Syaitan”

“What!!” Hampir sahaja telefon di tangannya jatuh. Novelis genre seram yang diminatinya di hujung talian. Mimpi apa Akak ni telefon aku!

“Adik Suhaimi ni rajin hantar cerpen seram kan. Akak pun suka baca apa yang Suhaimi hantar tu. Memang sampai mesej seram dalam karya adik”

“ Taklah Kak. Saya ni sekadar mengisi masa lapang je. Menulis tu dah jadi hobi. Karya Akak lagi hebat..Saya kagum. Kalau orang nak buat adaptasi, saya sokong sangat…Mana Akak dapat nombor saya”

“ Akak tengok kat blog kamu. Kalau kamu setuju, Akak nak bagi satu watak untuk kamu buatkan cerpen seram..”

“ Eh..Ye ke. Tak pernah pula orang offer saya macam ni”

“Kamu cuba buat watak yang Akak bagi tu mati jer…Macam mana tu, atas kreativiti kamu..”

“Akak cabar saya ke ni?”

“Kalau Suhaimi anggap macam tu lagi bagus, Berani tak?”

“Saya ni pun pantang dicabar Kak…Siapa Akak nak bagi kat saya?”

“Maisarah…dari Waris Buruan Syaitan..Bunuh Dia..”

Tap!..

Talian telefon Suhaimi mati serta-merta. Biliknya pula bergelap seketika seakan putus bekalan elektrik. Seketika itu juga bekalan elektrik pulih seperti sediakala.

“Apa ni?”

Satu mesej tertera di telefonnya.. JANGAN TERIMA..

Mulanya Suhaimi merasa bulu romanya mulai meriding. Selepas terfikir yang semuanya mungkin ujian dari Novelis yang diminatinya itu, dia kembali bersemangat.

Nombor dari Kakak Natasya Hanim disimpan di dalam telefonnya. Dengan nombor itu juga dia menghantar pesanan ringkas kepada Natasya Hanim.

“ Saya terima Maisarah untuk dibunuh, Kak. Terima kasih.”



Bunyi gelak ketawa budak-budak bujang di rumah sebelah jelas kedengaran. Mungkin mereka sedang menonton cerita jenaka.

Suhaimi menghela nafas lega. Semua kertas kerjanya siap dalam masa yang ditetapkan. Penat jerihnya selama ini di kolej hampir berbayar. Tidak lama lagi dia akan bergelar graduan.

“ Satu lagi last assignment” Terlintas di kepalanya janji kepada Novelis Natasya Hanim untuk satu cerpen istimewa.

“Aku akan tulis kematian yang paling ngeri untuk Maisarah”



Suhaimi membuka komputer ribanya.

………………………………………

Bunyi derap lantai kayu dipijak seiring dengan dengup jantung Maisarah. Setiap bunyi yang kedengaran, jantungnya berdegup kencang. Itu bererti orang yang mencarinya semakin hampir.

“ Mana kau nak lari, Waris Hantu” Suara Hanafi menerjah ruang telinganya. Dia tahu yang lelaki itu belum dapat mengesan dia di mana. Ugutan itu sekadar untuk mengumpan reaksinya. Dia memilih untuk membatu di balik susunan kotak kayu itu.

“Dulu kau bukan main hebat. Semua orang kau bunuh….ha..ha..ha…Aku pun terkencing di dalam seluar semasa kau merengut jantung John dulu. Macam sedap je kau lahap jantung yang masih berdenyut tu…Tapi sekarang..Aku dah ada pelindung. Hantu yang mana pun aku boleh hapuskan..” Hanafi memegang tangkal kain kuning yang tersarung di lehernya. Kain kuning itu mengandungi cebisan dari tengkorak orang yang mati dibunuh yang telah dipuja.

Perut Maisarah berkeriut menahan lapar. Seharian dia hanya menyorok sahaja. Lehernya pula panas dan kehausan. Cuma petang tadi dia sempat mencuri minum di bilik air semasa Hanafi keluar sekejap. Usahanya untuk mencari jalan keluar diwaktu itu juga gagal. Rumah itu berjeriji penuh di semua pintu dan tingkap.

Bahang panas turut terasa di dalam rumah kosong itu. Maisarah menggaru-garu mukanya yang berminyak. Dia hampir-hampir menangis. Semuanya berlaku secara tiba-tiba. Hanafi yang dilepaskannya semasa pembunuhan beramai-ramai di rumah kongsi pekerja binaan telah kembali. Rupanya dia berdendam sehingga kini.

Mulanya dia menganggap Hanafi telah insaf dan ingin berbaik dengannya. Sebab itu dia menerima pelawaan Hanafi untuk membawanya ke kedai makan tempoh hari. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Mulutnya ditekup dengan cecair klorofom sehingga pengsan dan dibawa ke rumah ini.

Saat seperti ini juga membuatkan dia terfikir sekali lagi untuk mempunyai pendamping seperti Ifrit Merah dahulu. Dia terasa puas sangat selepas membunuh. Tubuhnya pula ampuh dari tikaman atau tembakan sebarang senjata. Saat itu juga, dia merasa seakan tuhan yang sedang menghukum orang!!!

Ingatan itu ditepis tiba-tiba. Ifrit Merah itu hanya membuatkan hidupnya keseorangan. Manakan tidak, setiap objek bernyawa di depan mata akan dibunuh serta merta!. Mujur loket delima yang terkalung di lehernya mudah untuk dimusnahkan. Lucu juga jika mengenangkan kuasa makhluk yang hebat itu hanya disimpan di dalam batu yang rapuh sahaja.

Tap..Tap..

Bunyi tapak kaki kedengaran semakin dekat. Maisarah bernafas perlahan. Debaran hatinya tidak terkata. Mungkin inilah saat dia akan menemui ajalnya.

“Aku bosan bermain sorok-sorok macam ni!!!”

Kedengaran suara Hanafi membentak keras. Serentak dengan itu juga kedengaran bunyi objek besi dibaling ke dinding. Mungkin parang.

“Aku ikut cara kau. Membunuh dengan cepat….”

Bau petrol mula menguasai segenap ruang. Maisarah kaget mengenangkan apa yang mungkin berlaku. Dia tahu tubuhnya akan rentung terbakar jika itu yang terjadi. Dan kalau dia keluar dari persembunyian, tubuhnya pula akan mati dikelar-kelar. Maisarah buntu dalam ketakuta.

“Sekarang kita buat barbeku..Ha..ha..ha” Suara dan tawa Hanafi semakin jauh. Dan bahang api pula semakin terasa. Maisarah tidak dapat membayangkan betapa azabnya dibakar hidup-hidup. Ia umpama merasakan azab neraka di atas dunia.

Kotak-kotak kayu tadi mula terbakar satu persatu. Maisarah mula menjerit sekuat hati kerana kesakitan yang amat sangat kerana seluruh isi tubuhnya sedang dimasak. Bau hangit tubuhnya sendiri langsung tidak dihidu lagi. Rasa dahaga menerjah di kerongkong sehingga dia batuk-batuk dengan suaranya yang turut tersekat di kerongkong. Seluruh tubuhnya merasa kesakitan yang amat sangat. Kesengsaraan dan siksaan yang dirasakannya sekarang tidak lagi tertanggung. Di bergumpal dan berhempas pulas di dalam timbunan bara api sebelum perlahan-lahan kaku. Tubuhnya terus mengecut hingga rentung dibakar api.

Maisarah yang dahulunya pembunuh kini hanya tinggal arang!!!



Done!

Suhaimi menutup laptopnya dengan riang. Novelis Natasya Hanim mahu diberitahu tetapi telefonnya masih tidak berjawab dari tadi.



Keesokannya,

Hari ini hari yang ceria bagi penulis muda ini. Semua yang dirancangnya dalam minggu ini berjalan dengan sempurna. Ini termasuklah cerpen yang baru dihasilkannya untuk novelis kesayangannya.

Namun segalanya terhenti sebaik dia menatap berita kecil di dada depan akhbar.

Novelis Lumpuh Rentung Di Kerusi Roda!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.