Home Cerpen Seram/Misteri Perkampungan Bunian
Perkampungan Bunian
ErAisyaaa
11/8/2020 23:20:06
8,086
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Aku membuka mata dan sedar bahawa keadaan telah berubah. Suasana nyaman. Cuaca yang redup. Ahh… sangat menenangkan jiwa sesiapa sahaja yang berada di situ. Aku menutup mataku seketika. Aku cuba untuk menikmati suasana yang tenang dan nyaman itu. Ahhh.. Tenangnya jiwa. Bagaikan hilang segala masalah yang pernah bertamu di minda. Tiada sesiapa yang datang mengganggu. Perlahan-lahan aku membuka mata semula. Aku lihat kawasan sekeliling. Pokok-pokok tumbuh segar. Bunga-bungaan yang mengeluarkan bau yang harum semerbak. Adakah aku di syurga? 

Telingaku menangkap bunyi seperti bunyi di kawasan air terjun. Sayup-sayup bunyi air itu memenuhi ruang telingaku. Kakiku perlahan-lahan melangkah mengikuti bunyi air terjun tersebut. Semakin lama semakin kuat bunyi itu. Mataku sekali lagi terpesona akan keindahan yang dipaparkan dihadapanku pada masa itu. Cantiknya!!! Indah sungguh!! Hanya itu yang mampu diucapkan olehku di saat itu. Aku duduk di sebuah batu yang sederhana besarnya. Kakiku direndamkan ke dalam air itu. Sejukkknyaa!! Sangat menenangkan. Aku tersenyum puas. Puas akan keindahan dan kenikmatan suasana yang tidak pernah aku rasakan sebelum ini. 

Sedang tanganku sibuk bermain-main air di situ. Aku terdengar seseorang menegurku dari arah belakang. Aku berpaling dan melihat seorang pakcik sedang memandangku dengan penuh tanda tanya. 

“Adakah tuan ini orang luar?” Soal pakcik tua itu. Nak kata tua pun tak tua sangat. Tapi pangkat pakcik lah. Wajahnya bersih. 

“mesti masa muda pakcik ni handsome.” Kata aku sendirian di dalam hati sambil tersengih-sengih. 

“ha’ah.. sebenarnya saya pun tak tahu macam mana saya boleh sampai kat sini.” Ujar aku menerangkan hal sebenar. Aku tidak dapat mengingati bagaimana aku boleh berada di kawasan itu. Tapi yang pasti aku suka berada di situ. Aku suka akan suasananya. Tempatnya bersih dan sangat menenangkan jiwa aku. 

“Tuan ini sudah tersesat barangkali.” Ujar pakcik itu. 

“Mungkinlah.” Jawab aku ringkas sambil mengeluarkan telefonku. Aku baru teringat akan adanya telefon itu. Aku membuka telefonku dan mendapati line dekat kawasan itu tiada. 

“Tak ada line lah pula.” Kataku perlahan.

“Tuan perlukan apa-apa bantuan?” soal Pakcik itu. aku yang mendengar soalan itu bagaikan orang mengantuk disorong bantal.

“telefon saya tak ada line. Saya nak hubungi kawan saya. Pakcik ada telefon yang boleh saya hubungi kawan saya.” Ujar aku dengan sopan. Kita kalau nak minta bantuan orang mestilah kena sopan. 

“telefon? Apa itu?” soalan yang keluar dari mulut pakcik itu membuatkan aku tercengang. Takkan lah zaman sekarang orang tak tahu apa itu telefon. Tapi aku terus husnuzon. Mungkin pakcik tu tak berapa tahu tentang teknologi zaman sekarang.

“Ni.. ni telefon. Saya guna untuk hubungi kawan saya.” Ujar aku sambil menunjukkan telefonku kepada pakcik itu. tetapi dia menggelengkan kepalanya tanda tidak tahu. Aku hanya mampu mengeluh perlahan.

“beginilah. Hari pun sudah agak gelap. Tidak mungkin tuan mahu tinggal di sini keseorangan. Mari jemput ke pondok kecil hamba.” Jemput pakcik itu. Aku mula terasa aneh akan cara percakapan yang diucapkan oleh pakcik itu. Cara percakapan seperti orang lama. Tetapi aku tidak mahu memikirkan yang bukan-bukan. Jadi aku hanya bersetuju dengan perlawaan itu.

Aku mengikuti pakcik itu tanpa sebarang suara. Dia membawa aku melalui Lorong kecil untuk keluar daripada kawasan air terjun itu. Sepanjang perjalanan keluar daripada kawasan air terjun itu, setiap laluan pasti ada pokok buluh yang sepertinya dijaga rapi. Tidak kelihatan terbiar, bersemak. Sehingga lah aku sampai di sebuah perkampungan yang pintu gerbangnya juga diperbuat daripada pokok buluh yang telah dihias. Melangkah sahaja masuk ke dalam kampung itu, aku melihat kawasan kampung itu sungguh bersih. Tiada satu pun sampah atau daun-daun kering berguguran. 

“kampung apa ni?” 

“bersih gila.” Bisik aku di dalam hati sendirian. Dalam pada masa yang sama aku turut kagum akan suasana kampung yang bagi aku amat nyaman dan menenangkan. 

“mana semua orang kampung ni?” soal hatiku sendirian kerana aku hanya melihat beberapa orang lelaki yang masih berkeliaran. 

“ehh lupaa. Dah maghrib. Mesti lah semua dah masuk ke dalam rumah.” Bisik hatiku sendiri sambil tersenyum.

Kaki ku masih mengikuti langkah pakcik itu sehingga kami berhenti di sebuah rumah. Rumah yang kelihatan seperti rumah orang lama-lama tetapi masih cantik dan tersergam indah. Kayunya diperbuat daripada kayu yang berkualiti tinggi mungkin. Itu hanyalah tekaan ku sahaja. 

“jemput naik, tuan.” Jemput pakcik itu dengan ramah. Aku hanya mengangguk dan tersenyum lalu naik ke rumah. 

Aku disambut oleh seorang wanita yang aku fikir mungkin isteri pakcik itu. 

Aku dijemput untuk duduk. Aku hanya menurut. Walaupun rumah itu tidak dilengkapi dengan peralatan seperti sofa, televisyen atau peralatan teknologi lain namun akua mat senang berada di situ. Bagaikan terpisah daripada dunia yang penuh dengan teknologi yang kadang kala menyesakkan kepala. Aku dipelawa untuk minum. Minuman bujang kata orang. Namun begitu aku tetap berasa puas apabila dilayan dengan baik sekali. 

Aku berbual kosong dengan pakcik itu. katanya jarang orang luar seperti aku ini dapat masuk ke dalam kampung ni. Bila ditanya mengapa, pakcik itu mengatakan kampung ini tidak mudah dilihat oleh orang luar. Aku fikir mungkin kampung itu agak tersorok daripada pandangan orang luar.

Pakcik itu juga berkata, kalau orang luar ingin masuk ke kampung itu perlu ada orang dari dalam kampung tersebut yang membawa masuk. Kalau tidak takkan dapat masuk. Hebat juga lokasi kampung ni fikir aku. Kiranya aku ni orang yang bertuah lah dapat masuk kampung ni. Dah lah cantik, bersih, nyaman dan menenangkan jiwa orang seperti aku ni yang sedia maklum banyak masalahnya. 

Tak sedar masa berlalu, lama juga aku berbual dengan pakcik itu. Daripada hal kampung sehinggalah tujuan aku sampai ke kampung itu. 

Sebenarnya aku pun tak pasti bagaimana aku boleh berada di kawasan air terjun itu. Tetapi yang aku pasti, aku mula jatuh cinta dengan tempat tu. Bagaikan aku terlupa akan rumah aku sendiri. 

“pakcik, esok saya dah kena balik” kata aku kepada pakcik yang masih tidak ku ketahui namanya.

“tak usah tergesa-gesa. Pulangnya lusa sahaja.” Balas pakcik itu. kata-katanya membuatkan aku serba salah. Aku memang ada niat ingin pulang tetapi dalam masa yang sama aku ingin terus berada di dalam kampung yang menarik itu. 

“kalau macam tu. Baiklah.” Aku bersetuju untuk tinggal sehari lagi. aku dilayan seperti raja oleh pakcik dan keluarganya. Rupanya pakcik itu mempunyai seorang anak perempuan dan seorang anak lelaki. Anak lelakinya sudah pun berkeluarga dan anak perempuannya pula masih tinggal bersama mereka. 

Aku hanya pernah terserempak sekali sahaja dengan anak perempuannya itu. sangat cantik. Bagaikan bidadari yang turun daripada kayangan. Walaupun tinggal serumah tetapi aku tidak pernah melihat anak perempuan pakcik itu keluar berkeliaran. Jika tidak di dapur, pasti akan duduk di dalam biliknya. Mungkin segan denganku. 

“bagus pakcik ni didik anak perempuannya” bisik hatiku. Jauh di sudut hatiku agak tertanya-tanya akan anak perempuan pakcik itu. 

Keesokkan harinya, aku dibawa pusing-pusing kampung. Aku yang meminta pakcik itu membawa aku untuk melihat-lihat suasana kampung. Baru ku tahu, luas jugak kampung ni. Aku kagum akan keadaan kampung itu. 

Walaupun aku agak pelik dengan keadaan kampung itu yang rumah-rumah di situ diperbuat daripada kayu keseluruhan. Pada zaman 2020 ni, kebanyakan rumah sudahpun diubah suai menjadi rumah batu atau separa batu. Aku tak tahu pula ada kampung yang masih menjalankan kehidupan seperti orang-orang dulu kala. Jika melihat keadaan kampung itu seperti hidup di zaman P Ramlee yang kita lihat di dalam filem tu. 

Orang-orang kampung itu juga amat baik. Pakaian mereka tidak seperti orang pada zaman sekarang. Semuanya berbaju melayu tetapi bukan lah sekali dengan samping. Tetapi kebanyakannya memang memakai baju melayu. Apabila aku bertanya kepada pakcik itu, dia menjawab itu adalah pakaian tradisi mereka. Yang wanita pula elok berbaju kurung ada juga yang berkain batik dengan baju seperti baju kurung kedah. Sangat manis jika dilihat. Kebanyakkan mereka memakai baju berwarna putih dan ada juga kuning. Jarang-jarang melihat mereka memakai baju selain warna-warna itu.

Aku juga dibawa mengikut pakcik itu masuk ke dalam hutan untuk mencari ulam-ulaman untuk makan. Katanya sihat untuk tubuh badan. Aku akui juga perkara itu. patutlah aku lihat pakcik itu masih lagi kelihatan kuat dan amat bertenaga. Maklumlah orang lama. pastinya banyak pengalaman untuk mengekalkan kesihatan. 

Semasa aku di dalam hutan, aku melalui satu tempat yang penuh dengan buluh. Ada satu pohon buluh yang kelihatan seperti pintu gerbang. Dan kawasan pohon buluh itu kelihatan amat bersih dan terjaga. 

“pakcik buluh tu nampak seperti pintu gerbang.” Tegurku.

“ohh yaa. Itu kira pintu masuk untuk masuk ke kampung lain.” Jawab pakcik itu.

“tuan jangan masuk ke sana. Risau-risau dihalau oleh penduduk kampung itu.” sambungnya lagi.

“kenapa pulak?”

“mereka tidak menerima tetamu seperti di kampung ini.” Jawab pakcik itu. aku hanya menganggukkan kepala tanda mengerti. 

Tidak tahu mengapa, aku sepertinya tertarik akan pintu gerbang itu. lama aku merenung pintu gerbang itu. perasaan rindu terhadap rumahku mula menyelubungi hati ini. Tak tahu kenapa aku menjadi sentimental pada saat itu. 

Aku juga seakan-akan mendengar orang memanggil-manggil namaku. Tetapi apabila aku melihat sekeliling, kami hanya dikelilingi oleh hutan. Aku tidak menghiraukan perasaan itu. mungkin aku tersalah dengar. Namun semakin aku melangkah mengikuti pakcik itu, semakin aku mendengar suara-suara yang memanggil namaku. Suara yang memanggil namaku itu sepertinya suara yang ku kenali. Aku tak tahu sama ad aitu perasaanku atau betul-betul ada orang memanggil ku.

“pakcik dengar tak ada orang panggil nama saya?” soal ku kepada pakcik itu.

“tidak. Mungkin angin?” kata pakcik itu lalu mengajak aku meninggalkan tempat itu dengan tergesa-gesa. Aku yang masih merasa aneh hanya mengikuti langkah pakcik itu. 


Pada hari malam, aku duduk di sebuah bangku di hadapan rumah pakcik itu. sangat mendamaikan perasaan apabila duduk di bawah cahaya bulan yang terang dan tiada yang datang mengganggu. Tiba-tiba aku ditegur oleh seseorang. 

“Tuan ini bukan berasal daripada kampung ini kan?” tegur seorang lelaki muda. Tinggi lampai orangnya. Wajahnya tampan dan bersih sekali. Kalau aku ni perempuan pastinya aku jatuh cinta pandangan pertama. 

“yaa. Saya orang luar.” Jawab ku sambil tersenyum.

“ohh patutlah. Izin kan saya memberikan satu pesanan kepada tuan?” sopan pemuda itu meminta izin. Aku hanya menganggukkan kepala tanda memberi keizinan.

“lebih baik tuan keluar daripada kampung ini secepat mungkin. Tempat ini tidak sesuai untuk tuan.” Katanya serius. Aku mula tidak sedap hati apabila mendengar kata-kata pemuda itu. 

“Khalas!” teguran tegas membuatkan aku dan pemuda itu sedikit terkejut. Pemuda itu tunduk tanda hormat kepada pakcik yang menegurnya tadi. 

“Tok.” Tegurnya sambil menundukkan kepalanya tanda hormat.

“ada hal yang mustahak ?” soal pakcik yang disapa sebagai tok oleh pemuda yang bernama Khalas itu.

“tiada tok. Hanya menegur.” Kata pemuda itu lalu cepat-cepat meminta diri untuk beredar. Sempat juga dia menepuk belakang badanku tiga kali dan matanya menunjukkan suatu arah kepada ku. Dia menunjukkan arah hutan yang aku lalui siang tadi bersama pakcik itu. 

“apa yang dibualkan oleh Khalas dengan tuan?” soal pakcik itu dalam nada serius. 

“tiada apa. Dia Cuma bertanya kepada saya jika saya ini orang luar atau bukan.” Jawab ku sambil tersenyum. Pakcik itu kelihatan sedikit lega dengan jawapanku.

“Khalas itu tidak berapa waras. Tak usahlah tuan berbicara dengannya.” Pesan pakcik itu. aku hanya menganggukkan kepala walaupun aku merasakan pemuda tadi tidak seperti yang dikhabarkan oleh pakcik itu kepadaku. 

“esok pagi pakcik boleh hantar saya keluar dari kampung ni?” soal ku.

“mengapa tuan tergesa-gesa ingin pulang? Apa di kampung ini tidak menarik?” soalanku terbiar sepi malah aku pula disoal kembali.

“kampung ini sangat menarik pakcik. Nyaman, damai dan menenangkan jiwa. Tetapi saya tetap rindukan rumah saya.” Jawabku jujur. Pakcik itu mengeluh kasar, lalu bangun dan meninggalkan aku yang terpinga-pinga.

“aku salah cakap ke?” bisik aku sendirian. Aku terasa ada seseorang memandangku. Aku berpaling ke sekelilingku dan aku terlihat pemuda yang menegur aku tadi di sebalik pokok besar. Dia memanggil aku untuk mendekatinya. Aku agak teragak-agak untuk mengikuti pemuda itu. namun melihatnya sangat bersungguh-sungguh mengajak aku ke arah pokok itu. akhirnya aku turutkan juga. Aku mula mendekatinya. Dia terus menarik lenganku lalu berlari masuk ke dalam hutan. Aku yang terkejut, cuba melepaskan diri namun pegangannya amat kuat dan aku hanya mampu mengikuti langkahnya. 

Kami berhenti betul-betul hadapan pintu gerbang yang aku lihat siang tadi bersama pakcik itu. 

“kenapa!?” soal aku dalam nada yang agak tinggi dan termengah-mengah.

“tempat tuan bukan di sini. Ini bukan dunia tuan.” Kata pemuda itu. aku merasa aneh akan bicaranya.

“apa yang kau merepek ni. Dah lah aku nak balik. Karang pakcik itu cari.” Kata ku sambil bersedia untuk meninggalkan kawasan itu. sebelum sempat aku melangkah, pemuda itu terlebih dahulu menahan aku daripada pergi.

“Tok Ali. Tok tum ahu menjodohkan tuan dengan puterinya. Jika tuan tidak keluar daripada kampung ni. Tuan tidak akan jumpa jalan keluar lagi.” kata pemuda itu bersungguh-sungguh. Aku fikir, mungkin benar kata pakcik tu yang pemuda ni ada masalah mental. 

Aku tidak menghiraukan pemuda itu. Tetapi aku tiba-tiba ditolak melintasi pintu gerbang itu. aku tidak mampu berbuat apa-apa. Pemuda itu hanya berkata.

“keluar dari dunia ini.” Katanya sambil tersenyum. Aku yang ditolak melintasi pintu gerbang itu tiba-tiba mendapati aku berada di sebuah kawasan hutan. Dan pintu gerbang tadi tidak lagi kelihatan. Pemuda atau kampung yang ku lihat tadi kini sudah lenyap daripada pandangan mata. Aku menjadi sangat aneh. Bukan itu sahaja, baru sahaja tadi aku berada di dalam kampung tu pada waktu malam tetapi kini aku berada di dalam hutan pada waktu siang.

“apa yang jadi pada aku ni?” berbagai persoalan berlegar-legar di fikiranku. Tiba-tiba aku terdengar suara memanggil aku. 

“wan!!!!!” kau pergi mana?! puas kitaorang cari!!! Dah seminggu kau hilang.” Kata suara itu lalu menerpa kearah aku. Aku kenal akan suara itu. Aku tak mampu mengeluarkan sebarang suara. Aku masih lagi dalam keadaan yang keliru. Aku dibawa ke hospital. 


2 hari aku ditahan di hospital. Aku baru teringat seminggu yang lepas, aku dan kawan-kawan aku pergi bercuti di sebuah kawasan air terjun. Tetapi aku tersesat dan dan terpisah daripada kawan-kawan aku yang lain. Aku penat mencari kawan-kawan aku yang lain dan akhirnya aku berehat disebuah batu besar. Aku tidak sedar yang aku tertidur di atas batu itu. 

Apabila aku tersedar aku terdengar bunyi air terjun. Aku fikir mungkin aku boleh berjumpa semula dengan kawan-kawanku yang lain. Namun apabila mendekati kawasan air terjun itu, aku bagaikan jatuh cinta dengan tempat itu dan terlupa tujuan sebenar aku berada di situ sehinggalah aku terjumpa dengan pakcik dan masuk ke sebuah kampung yang misteri. 

Menurut orang alim yang dibawa berjumpa denganku, aku telah pun masuk ke alam bunian atau lebih tepat lagi perkampungan bunian. Pada mulanya aku sukar untuk percaya tetapi apabila aku mengingati kembali apa yang berlaku di kampung itu, aku mula percaya bahawa apa yang aku alami itu adalah sebahagian daripada pengalamanku di kampung bunian. 

Aku juga diberitahu, jika aku terlambat keluar daripada kampung itu sehingga 12 tengah malam pada hari aku dijumpai, pastinya aku tak akan menjumpai jalan keluar daripada kampung itu lagi. dan lebih parah lagi, aku akan lupa akan dunia aku yang sebenar kerana telah pun menjadi sebahagian daripada orang-orang di kampung bunian itu. jadi aku sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pemuda yang bernama Khalas itu. Jika dia tidak membantu aku mungkin aku akan terperangkap selama-lamanya di kampung itu. 

Aku telah bermimpi. Dalam mimpi tersebut aku berjumpa dengan Khalas. Dia segak berpakaian baju melayu kuning siap dengan tanjak di kepalanya. Wajahnya putih bersih. dalam mimpi itu, dia berkata bahawa dia bersyukur dapat membantu aku keluar daripada alam itu. katanya juga ramai yang mampu masuk tetapi tidak mampu untuk keluar. Aku antara orang yang bertuah. Aku juga mengucapkan ribuan terima kasih kepadanya. Khalas hanya tersenyum manis. Dia juga berkata aku bernasib baik kerana Tok yang membantu aku itu telahpun berkenan kepada aku untuk dibuat menantu. Makanan dan minuman yang dijamu kepada ku adalah untuk membuatkan aku lupakan dunia sebenar. 

Tetapi mungkin berkat doa keluarga dan kawan-kawan membuatkan aku masih lagi ingat akan rumah sendiri. Oleh itu, Tok itu ingin mencuri masa lebih untuk membuatkan aku lupa akan rumah aku dan terus tinggal di dunia mereka. Khalas yang sedar akan perkara itu cuba sebaik mungkin untuk membantu aku keluar daripada dunia mereka. 


NOTE: Perkampungan Bunian yang membuatkan ramai orang tertanya-tanya akan keadaannya. Itulah serba sedikit keadaan kampung mereka. Bukan semua bunian itu jahat, ada juga yang baik dan ingin membantu orang lain walaupun bukan daripada spesies mereka. Perkampungan yang diceritakan adalah perkampungan bunian bukan islam. Mereka hidup seperti orang melayu tetapi mereka bukan islam. Buat pengetahuan pembaca, ini merupakan kisah benar yang diolah mengikut kreativiti penulis sendiri. Sekian..


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.