Home Cerpen Seram/Misteri JANIN
JANIN
ErAisyaaa
5/9/2021 00:06:26
4,303
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

“I takut lah. Tempat apa yang you bawak I ni ?!” rungut Sabrina kepada teman lelakinya. Dia melihat sekeliling namun hampa kerana gelap menyelubungi. Hanya nampak cahaya daripada lampu picit yang dibawa oleh Alex. Dia mengikuti rapat teman lelakinya itu dengan memegang hujung baju lelaki itu. Segala ranting dan dahan pokok yang kering dilanggarnya kerana memang tidak dapat melihat melainkan jalan hadapan yang dibawa oleh Alex.

“lambat lagi ke you?” Sabrina bertanya lagi apabila tidak mendapat respon daripada lelaki itu.

“kejap lah. Nak sampai dah!” rengus lelaki itu mulai rimas dengan pertanyaan Sabrina. Terdiam Sabrina mendengar suara Alex yang mulai rimas tehadapnya. Mereka berdua berjalan menyelusuri jalan kecil yang dikelilingi dengan hutan belantara. Siapalah agaknya yang duduk di hujung kampung terpencil itu. 

Langkah mereka berhenti di sebuah rumah yang terlihat usang yang hanya mempunyai beberapa pelita yang dipasang di kiri kanan rumah. 

“betul ke tempat ni you? Macam pelik je?” Bisik Sabrina ketakutan. 

“shhh.” Alex menyuruh Sabrina diam. Dia yakin tempat itu tempat yang betul. Dia sudah mengikut semua arahan yang diberikan oleh kawan baiknya. 

“betul dah ni. Jom.” Alex menarik tangan Sabrina. Mereka menaiki tangga usang itu dan mengetuk pintu rumah. 

Tok… tok.. tok..

Pintu rumah itu diketuk namun tiada sahutan daripada sesiapa pun. Berkali-kali pintu rumah itu diketuk. Mereka pelik kerana tiada sahutan daripada sesiapa. 

“mana ada orang lah you. Rumah macam ni mana ada orang tinggal. Kita salah rumah kut.” Kata Sabrina takut-takut. Matanya meliar memandang sekeliling. Alex menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia yakin rumah itu adalah rumah yang betul. 

“kejap kita tunggu kejap. Jauh kita datang ni.” Kata Alex menenangkan Sabrina yang sudah melekat memeluk lengannya kerana ketakutan dengan kawasan itu. memang menyeramkan kerana rumah tersebut dikelilingi hutan belantara dan sunyi sepi. Tiada satu pun bunyi cengkerik atau katak. Pelik kerana pastinya akan mendengar bunyi-bunyian begitu ketika berada di kawasan sebegitu. Tetapi keadaan yang sunyi sepi membuatkan keadaan mereka jadi lebih menyeramkan. 

Alex mengetuk rumah tersebut beberapa kali. Saat mereka mengambil keputusan untuk pulang apabila tiada respon daripada tuan rumah itu tiba-tiba pintu rumah itu terbuka daripada dalam. Terjegul seorang perempuan tua yang mungkin anggaran 70 tahun umurnya. Kedutan di wajahnya tampak lebih menyeramkan kerana tiada secalit pun senyuman yang diberikan kepada kedua orang yang bertandang ke rumahnya. 

“Makcik.” Alex memanggil perempuan tua itu. mata  perempuan itu tampak menyeramkan memandang ke arah Sabrina sambil berkata.

“panggil aku Mbah.” Sabrina seram sejuk apabila ditenung tajam oleh perempuan tua itu.

“Masuk!” kata Mbah kepada mereka. Alex dan Sabrina hanya melangkah masuk mengikuti perempuan tua itu. keadaan dalam rumah itu sungguh menyeramkan kerana kiri kanan dinding rumah itu dipenuhi kain kuning. Di hujung sudut rumah itu ada tempat seperti tempat pemujaan ada bekas untuk membakar colok dan penuh dengan makanan yang dia lihat telah basi. Mual tekak mereka melihat keadaan itu. Agak kotor rumah itu. Mbah membawa mereka ke sebuah bilik khas yang mempunyai katil bujang yang sudah usang. 

“kau baring!” Mbah menunding jarinya ke arah Sabrina untuk menyuruhnya berbaring, Sabrina teragak-agak untuk mengikuti kata perempuan di hadapannya itu. Dia memeluk lengan Alex tanpa ada niat untuk melepaskannya. 

“Cepat!” arah Mbah itu lagi.

“Mbah tahu ke kenapa kami berdua ke sini?” tanya Sabrina ragu-ragu. Rasanya mereka tidak menjelaskan tujuan mereka ke situ tetapi perempuan tua itu sepertinya sudah tahu niat mereka. 

“kau nak buang dia kan?” kata Mbah itu dengan nada yang menyeramkan sambil menunding jari ke arah perut Sabrina. Secara automatik tangan Sabrina mengusap perutnya. Anaknya bersama Alex. Mereka berdua sudah terlanjur sehingga telah membuahkan benih yang makin membesar di dalam rahimnya itu. 

Alex mengusapkan belakang badan Sabrina untuk memberikannya kekuatan dan mengingatkan tujuan mereka ke situ. Perlahan Sabrina melepaskan pelukan lengan Alex dan menuju ke katil yang telah disediakan. Semakin dekat dengan katil itu rongga hidungnya menghidu sesuatu yang memualkan seperti bau darah. Dia menekup mulutnya dengan tangannya dan berbaring di katil itu. 

“Kau keluar! Biarkan aku buat kerja aku.” Kata Mbah dengan keras tetapi nada yang rendah. Alex berat hati meninggalkan Sabrina keseorangan di bilik itu. Namun dia melangkah keluar juga dari bilik itu apabila mendapat jelingan tajam daripada perempuan tua itu. meremang bulu tengkuknya melihat pandangan perempuan tua itu. 

Sekarang hanya tinggal Mbah dan Sabrina di bilik usang itu. Mbah menyuruh Sabrina memakai kain batik dan membuka seluarnya. Sabrina juga disuruh berbaring dengan posisi seperti orang ingin melahirkan. Mbah mendekati Sabrina dan mengusap perut Sabrina dengan lembut. Bibirnya perlahan-lahan menguntumkan senyuman yang menyeramkan. Usapan yang lembut tadi bertukar menjadi usapan yang keras. Sabrina mula terasa sakit di pangkal ari-arinya seperti dicucuk dengan benda tajam. 

“sakitnya Mbah.” Rengek Sabrina.

“Dah sampai masanya.” Kata Mbah dengan senyuman misteri. Sabrina mula dibasahi peluh kerana kesakitan di bahagian sulitnya serta ari-arinya. Mbah mula mengambil tempat di kaki Sabrina. Posisi kaki Sabrina yang sedia terkangkang memudahkan Mbah melakukan proses pembuangan janin milik Sabrina. 

Mata Sabrina tertutup rapat menahan kesakitan yang teramat. Peluh berjuraian di dahinya hanya dibiarkan sahaja. Sabrina membuka matanya dan memandang ke arah Mbah. Dia amat terkejut apabila dia terpandang suatu lembaga yang besar sedang menyedut dan memakan sesuatu daripada bahagian sulitnya. 

“Arggggggggggggghhhhhhh” Sabrina menjerit dengan sekuat hatinya kerana ketakutan dan kesakitan yang teramat. 

Alex yang berada di luar bilik terkejut dengan jeritan Sabrina dan menolak pintu bilik tersebut untuk melihat namun pintu bilik itu tidak terbuka. Padahal dia tahu bahawa pintu bilik itu tombolnya sudah rosak. Dia mengetuk pintu bilik tiu bertalu-talu.  Jeritan demi jeritan yang didengarnya membuatkan Alex risau. 

Jeritan Sabrina beransur-ansur hilang dan digantikan dengan suara seperti orang sedang merengus. Alex masih lagi setia mengetuk pintu bilik itu dengan harapan untuk mengetahui keadaan teman wanitanya. 

“Sabrina!!” panggil Alex. Tidak lama kemudian pintu bilik itu terbuka dengan sendirinya dan dia terus sahaja masuk ke bilik itu. dia melihat Sabrina sudah dalam keadaan lemah dan tidak berdaya. Alex menerpa ke arah Sabrina tanpa menghiraukan Mbah yang sedang mencuci darah milik Sabrina. 

Alex mengusap lembut ubun-ubun Sabrina. Sedikit rasa menyesal terbit di hatinya kerana membiarkan wanita dicintainya itu melalui pengalaman yang menyakitkan. Kain batik yang dia lihat tersedia di tepi katil itu dicapainya dan dilapnya peluh di dahi Sabrina. Sabrina perlahan-lahan membuka matanya dan melihat Alex ada di sisinya.

“you bawak I balik.” Kata Sabrina lemah. Dia masih lagi dalam keadaan ketakutan tidak mampu memandang ke arah Mbah. Alex mengangguk laju.

“Ya sayang. I bawa you balik. I dah sediakan set berpantang khas untuk you.” Kata Alex sambil mencium dahi Sabrina dengan kasih sayang. Dia mengangkat perlahan tubuh Sabrina untuk di bawa pulang tetapi dia dihalang oleh Mbah.

“Tunggu hari terang!” tegas suara Mbah menghalang Alex membawa Sabrina pergi dari situ.

“Mbah. Dah selesaikan semua? Kenapa tak boleh balik ?” soal Alex.

“Darahnya masih segar. Nanti timbul masalah lain! Tunggu hari terang. Pakaikan dia kain bersih dulu.” Arah Mbah dengan nada yang tegas. Alex menyambut kain batik yang bersih diberikan oleh Mbah untuk dipakaikan kepada Sabrina. 

Alex menukarkan kain batik itu kepada Sabrina dengan berhati-hati. Dia mencuci semua sisa darah yang tertinggal. Jika mereka berkahwin pastinya dia akan menjadi suami yang penyayang terhadap isterinya. Tapi sayangnya hubungan mereka tidak mahu diakhiri dengan perkahwinan. Mereka hanya mahu hidup sebagai pasangan kekasih atau dikenali sebagai hidup berkohabitasi. 

Hal ini kerana, Alex tidak mahu menukar agamanya daripada buddha kepada islam. Tetapi mereka saling mencintai. Mahu tidak mahu mereka teruskan sahaja hidup mereka walaupun di jalan yang salah. Nafsu mebataskan segalanya. Itulah yang terjadi kepada mereka. 


Seminggu selepas Sabrina mengugurkan kandungannya, dia sering didatangi mimpi pelik yang menyeramkan. Terkadang sehingga menggangu tidur Alex kerana perlu berjaga tiap malam untuk menenangkan Sabrina yang meracau-racau.

Walaupun Sabrina disediakan perkhidmatan berpantang kelas pertama dia tetap merasa tidak selesa. Sudah 3 orang pekerja berpantang Sabrina ditukar oleh Alex kerana ingin menyelesakan teman wanitanya itu. tetapi keadaan Sabrina sepertinya sama sahaja. Sabrina sering meracau-racau, menjerit-menjerit dan terkadang matanya terbeliak memandang sesuatu sudut. Sepertinya sedang melihat sesuatu yang menakutkan. 

“dia nak bunuh I Alex! Selamatkan I!” rayu Sabrina supaya Alex menyelamatkannya daripada sesuatu. 

“sayang.. sabar. You nampak apa ? taka da siapa-siapa kat situ. I kat sini temankan you.” Kata Alex sambil memeluk tubuh Sabrina. Sabrina menangis tersesak-esak di dada sasa milik Alex. 

“dia salahkan I Alex! Dia nak I ikut dia sekali..” Rintih Sabrina kepada Alex. Buntu Alex dibuatnya. Alex sudah beberapa hari tidak masuk kerja kerana perlu menjaga Sabrina yang keadaannya semakin teruk. tidak ada selera makan, sering muntah dan lesu. Apabila malam menjelma pula, Sabrina akan meracau seperti ingin melarikan diri daripada sesuatu yang menakutkan.

“siapa sayang? Siapa yang you takutkan ni?” tanya Alex. Sabrina memegang wajah Alex dan menatapnya dengan mata yang ketakutan. 

“Anak kita Alex! Dia datang dekat I. dia marah kenapa kita buang dia.” Rintih Sabrina sambil matanya meliar memandang kiri dan kanan. Dia memeluk tubuh Alex dengan erat. Dia juga menyembunyikan wajahnya di dada Alex. Dia benar-benar ketakutan. Alex terpaksa memberikan Sabrina ubat tidur supaya Sabrina kekal tenang. 

Alex benar-benar buntu dengan keadaan Sabrina yang pelik dan suka bicara tentang perkara yang bukan-bukan. Dia mencapai telefonnya dan mendail satu nombor yang mungkin boleh membantu mereka. 

“Hello Fauzan. Ni aku Alex.” Ujar Alex kepada orang yang dipanggil sebagai Fauzan. 

“boleh aku jumpa kau?”

“nak minta tolong sikit.” 

“hari ni boleh?”

“baik. Lagi 1 jam aku sampai.” Kata Alex dan meletakkan panggilan tersebut. Alex berpaling memandang wajah Sabrina yang sedang tidur. Wajah Sabrina kelihatan pucat dan lesu itu ditatap dengan penuh kasih sayang. 

“maafkan sayang. I buatkan you terseksa.” Kata Alex perlahan dan mencium dahi Sabrina. Dia bangun meninggalkan kekasihnya itu dan bersiap untuk berjumpa dengan Fauzan. Dia memesan kepada pembantu rumahnya untuk menelefonnya jika apa-apa berlaku kepada Sabrina. Dia mencapai kunci keretanya dan menuju ke lokasi pertemuannya dengan Fauzan. 


*** 

Fauzan sudah pun menunggu kedatangan Alex di restoran makanan jepun. Mereka berjanji untuk berjumpa di situ kerana inginkan keadaan yang senyap untuk berbincang. Alex menapak masuk ke dalam bilik yang ditempah khas untuk pertemuannya dengan Fauzan. 

Alex menyambut tangan Fauzan yang dihulur untuk bersalam. Alex mengambil tempat duduk berhadapan dengan Fauzan. Alex memesan minuman. Dia melepaskan keluhan berat. Fauzan yang perasan akan air muka Alex yang sepertinya sedang menghadapi masalah besar.

“kenapa kau nak jumpa aku?” soal Fauzan. Alex meraut wajahnya. Berat mulutnya ingin menceritakan aibnya kepada kawannya itu. 

“sebenarnya aku nak minta tolong sesuatu. Ni berkaitan dengan Sabrina.” Alex berkata. Fauzan hanya diam dan menunggu apa yang ingin Alex sampaikan.

“Sabrina. Dia sakit. Tapi sakit dia pelik. aku tak tahu apa yang jadi kat dia. Setiap malam menjerit-jerit dan nak melarikan diri daripada sesuatu yang aku sendiri tak tahu.” 

“aku tahu kau seorang yang tinggi ilmu agama. Aku harap kau boleh tolong aku dan Sabrina.” Rayu Alex. Dia tidak sanggup melihat wanita yang dicintainya it uterus berada dalam keadaan itu. Dia berkawan dengan Fauzan sejak dari zaman universiti. Dia tahu Fauzan seorang yang menjaga agamanya. Walaupun dia seorang yang sosial tetapi Fauzan tidak pernah memandang serong kepadanya. Tentang hubungannya dengan Sabrina juga Fauzan salah seorang yang tahu. 

Fauzan pernah juga mengajaknya masuk agama Islam dan menjalankan kehidupan yang sah dengan Sabrina tetapi dia yang berdegil memegang prinsip hidupnya. Kini dia buntu memikirkan masalahnya dan satu-satunya orang yang hadir dalam fikirannya adalah sahabatnya itu. 

“macam ni lah. Aku cuba bantu kau. malam ni aku datang rumah kau.” Kata Fauzan yang dapat menghidu sesuatu yang buruk telah terjadi terhadap kedua orang itu. Dia sedih kerana Sabrina iaitu wanita Islam yang memilih jalan ini semata-mata untuk nafsu dan dibutakan oleh perasaan cinta dan sayang kepada manusia. Dia pernah menasihati kedua orang itu tetapi nasihatnya itu hanya dibiarkan bagaikan mencurahkan air ke daun keladi. Kini dia hanya mampu berdoa supaya Allah memberikan hidayah kepada kedua kawannya itu. 


POV Sabrina

“Mama… kenapa mama buang aku? aku ingin hidup…” suara itu terus mengganggu Sabrina. Perlahan Sabrina membuka matanya yang berat akibat kesan ubat tidur yang diberikan oleh Alex. Dia melihat di celah kakinya ada janin yang masih berdarah. Dek kerana terkejut, Sabrina menendang janin yang dilihatnya. Dan dia melihat muncul satu lembaga besar seperti lembaga yang dilihatnya di rumah Mbah tempoh hari sedang memakan janin itu dengan lahapnya. 

“jangannn!!! Jangan makan dia!” rayu Sabrina. Dia bangun dan melutut sambil menangis.

“maafkan mama sayang. Mama minta maaf.” Rintih Sabrina. Dia menangis meratap. Dia mendengar suara janin itu berkata.

“mama….. selamatkan aku..” rintih suara janin itu. Sabrina memegang kepalanya yang terasa sakit.

“jangan.. jangan makan dia. Aku minta maaf. Aku nak anak aku semula!” raung Sabrina. Alex yang mendengar suara raungan Sabrina bergegas naik ke bilik mereka dan melihat Sabrina sedang menangis meratap sesuatu yang berdarah. Kali ini Alex sendiri melihat dengan mata dan kepalanya itu adalah janin. Dia terkejut dan menarik Sabrina ke dalam pelukannya untuk menjauhkan diri daripada janin tersebut. 

“kau! bunuh aku!” suara daripada janin itu bergema dalam kepala mereka. Alex terkejut tetapi tetapi tidak melepaskan pelukannya terhadap Sabrina. Sabrina pula menangis mendengar suara itu. 

“maafkan mama sayang.” Rayu Sabrina cuba mendekati janin itu tetapi ditarik oleh Alex. 

“pergi! Siapa kau!” jerkah Alex.

“Kau bunuh aku! apa salah aku? aku ingin hidup tapi kau bunuh aku!” suara itu bergema lagi. Sabrina meraung mendengar suara itu dan mula memukul dirinya sendiri. Dia menyalahkan dirinya kerana telah menggugurkan kandungan. 

Sabrina melepaskan pelukan Alex dan mengambil pisau di dalam laci. Dia cuba menusuk dirinya dengan pisau tersbut. Namun tindakannya dihalang oleh Alex.

“sayang! Apa you buat ni!” Jerit Alex terkejut dengan tindakan drastik Sabrina.

“I nak ikut anak kita. Kesian dia sorang-sorang.” Rintih Sabrina sambil meronta untuk melepaskan daripada genggaman Alex.

“Jangan buat I macam ni. You tak perlu mati!” kata Alex menenangkan Sabrina.

“ Eh! Lepaskan aku! dia anak aku! aku nak tebus kesalahan aku!” jerit Sabrina. Dia meronta minta dilepaskan. Dia memukul dada Alex untuk dilepaskan. Alex menyepak jauh gunting yang terjatuh di kakinya mengelakkan Sabrina mencapai gunting tersebut. 

Bilik mereka dimasuki oleh Fauzan secara tiba-tiba. Alex terkejut dnegan kehadiran Fauzan tetapi lega kerana penyelamatnya sudah sampai. 

“astagfirullahal ‘azim.” Fauzan mengucap Panjang denga napa yang dilihatnya. Dia melihat satu Lembaga besar yang menipu kedua orang itu. Fauzan mula membaca surah-surah lazim. Sabrina meronta mendengar bacaan yang dibaca oleh Fauzan. 

“pegang Sabrina kuat-kuat. jangan terlepas.” Arah Fauzan kepada Alex. Alex memegang Sabrina dengan kemas. 

“Fauzan. Janin tu datang kat kami. Dia marah kami..” Rintih Alex kepada Fauzan. 

“tu bukan janin Lex. Tu lembaga yang menyamar menjadi janin.” Kata Fauzan dan meneruskan bacaan surah-surah. 

“Kau siapa?! Kenapa kau datang menganggu urusan aku?!” kata Sabrina tiba-tiba dengan suara yang garau. Bukan suara Sabrina tetapi suara makhluk yang datang mengganggu mereka. 

“tinggalkan mereka! Urusan kau sudah selesai!” kata Fauzan tegas. Dia dapat mengagak apa yang berlaku kepada mereka. Pastinya suruhan bidan yang menggugurkan kandungan Sabrina datang menganggu kerana Sabrina masih lagi berada dalam pantang. Makhluk itu ingin memakan darah Sabrina kerana sudah ketagih dengan darah yang dikeluarkan Sabrina semasa proses pengguguran berlaku. 

“tidak! Dia milik aku!” tegas Sabrina berkata sambil meronta untuk dilepaskan. Beberapa kali Alex di tolak oleh Sabrina. Pelik kekuatan Sabrina sangat luar biasa. Terpaksa Fauzan menekan ubun-ubun Sabrina untuk mengelakkan Sabrina meronta-ronta. 

Fauzan membaca ayat ruqyah yang dipelajarinya semasa di pondok dahulu untuk membakar makhluk yang menumpang di dalam badan Sabrina. Sabrina mula meronta kepanasan dan menjert nyaring. Makhluk di dalam badan Sabrina kesakitan kerana ayat ruqyah yang dibaca oleh Fauzan mula menunjukkan kesan. Alex membantu dengan memegang tubuh Sabrina. 

Mata Sabrina terbeliak, menjerit kesakitan sebelum pengsan. Alex menyambut tubuh Sabrina yang lemah longlai tidak sedarkan diri. 

“Alhamdulillah. Dia dah hancur.” Kata Fauzan. Alex mengangkat tubuh Sabrina ke atas katil. 

“macam mana Fauzan? Apa sebenarnya berlaku?” soal Alex risau. 

“apa yang korang berdua dah buat?” pertanyaan Alex dibalas dengan pertanyaan. Walaupun Fauzan sudah dapat mengagak tetapi dia perlukan jawpaan daripada mulut Alex sendiri. alex serba salah ingin menceritakan hal sebenarnya. 


Setelah Alex menceritakan hal sebenar kepada Fauzan. Fauzan hanya mampu mengucap panjang, tidak sangka sejauh itu tindakan mereka.

“aku harap korang berubah. Jadikan perkara ini sebagai pengajaran.” Nasihat Fauzan kepada Alex. Alex menundukkan kepala. Dia menyesal dengan perbuatannya. 

“Zan.. Aku nak masuk Islam. Kau boleh tolong aku kan?” kata-kata Alex membuatkan Fauzan terkejut. Dan perlahan-lahan Fauzan tersenyum. 

“Alhamdulillah. Boleh Alex.” Kata Fauzan sambil menadah tangannya tanda kesyukuran keran telah membuatkan kawannya insaf dan mula menerima islam.

“aku nak halalkan Sabrina. Aku sayangkan dia. Aku taknak perkara macam ni berlaku lagi.” kata Alex perlahan. Fauzan menepuk bahu Alex sambil berkata.

“baikk. Aku akan tolong kau. jangan risau.” Fauzan memberi janji bahawa dia akan membantu Alex. 

“terima kasih, Fauzan.” 

“Sama-sama. Alhamdulillah.” 

Sabrina dan Alex atau nama Islamnya Hakeem telah selamat diijab kabulkan. Masing-masing nampak gembira. Orang yang paling gembira atas penyatuan dua hati itu adalah Fauzan. Dia sangat bersyukur dapat menjadi sebahagian orang yang dapat menyaksikan hidayah Allah SWT. 

Kedua mempelai itu mendekati Fauzan dengan senyuman manis. 

“terima kasih Fauzan. Terima kasih banyak. Kami tak dapat membalas jasa kau membantu kami berdua.” Kata Hakeem@Alex. 

“aku hanya orang tengah yang Allah hadirkan dalam hidup korang untuk membantu. Alhamdulillah. Semuanya dah selamat. Semoga korang bahagia, Aamin.” Kata Fauzan menepuk lembut bahu Hakeem@Alex.

Kehidupan Sabrina dan Hakeem berubah 360 darjah. Mereka mula mendekati diri dengan Allah. Mereka juga rajin menghadiri kuliah-kuliah agama. Kehidupan mereka dirasakan lebih tenang daripada hidup mereka sebelum ini. Berkat hidayah Allah telah menambah seorang lagi saudara islam dan juga telah menyatukan dua hati dengan cara yang sah di sisi undang-undang Islam. Mereka telah tinggalkan kehidupan mereka yang selama ini telah bergelumang dengan dosa. 

Mereka mengharapkan Allah mengampunkan mereka atas kekhilafan mereka yang lalu. 


~Tamat~


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.