666
Kathy terjaga dari tidur. Nafas didengus. Jam di
dinding dilihatnya sekilas. Hampir menunjukkan pukul 3.00 minit pagi.
Dum!
Dum! Dum!
Bunyi
ketukan itu kedengaran lagi. Kathy menolak tubuh dan duduk di birai katil.
Lenanya serta merta hilang. Sejak hari pertama dia menyewa di situ hampir dua
minggu yang lalu, bunyi itu kerap kali menganggu lenanya. Hampir setiap malam
ketukan itu kedengaran. Bukan dari pintu biliknya sebaliknya datangnya dari
bilik yang terletak di tingkat bawah. Dia sendiri tidak tahu, apa atau siapa
yang berada di dalam bilik tersebut. Sejak dari awal dia duduk di situ, tuan
rumah telah melarang dirinya dari membuka atau mendekati bilik tersebut. Bahkan
menjelang lewat malam juga dia dilarang keluar dari bilik. Jika dia berada di
luar rumah pula selepas waktu 12.00 tengah malam, dia dilarang untuk
pulang.Walaupun syarat-syarat yang dikenakan dirasakan agak pelik dan aneh
tetapi dia tiada pilihan lain. Hanya rumah itu satu-satunya yang berdekatan
dengan tempat kerja barunya dan juga mengenakan sewa yang agak murah.
Hari
ini kesabarannya terasa diuji. Sudahlah sejak akhir-akhir ini dia mengalami
kesukaran untuk tidur. Baru sahaja mahu terlena, bunyi ketukan itu pula
menganggu. Kathy membulat tekad. Larangan tuan rumah tidak dipedulikannya.
Tombol
pintu bilik diputar. Dia melangkah keluar. Pintu bilik tuan rumah yang terletak
bertentangan dengan biliknya kelihatan tertutup rapat. Bunyi ketukan itu masih
kedengaran. Kathy menuruni tangga. Satu persatu anak tangga diinjak dengan
berhati-hati. Sesekali dia mendongak melihat ke arah pintu bilik Vivian, tuan
rumahnya. Kelihatan tertutup rapi.
Sebaik
kaki menginjak anak tangga yang terakhir, deria pendengaran Kathy menangkap
satu suara seakan-akan sedang meratib. Kedengaran tenggelam timbul dengan butir
bicara yang langsung tidak difahami. Dahi Kathy berkerut. Aneh kian menghurung
jiwa.
Perlahan-lahan
dia menjengukkan kepala dari ruangan tangga. Retinanya lekap memandang ke arah
bilik bawah yang terletak agak terbelakang. Jauh dari ruangan dapur tetapi
masih mampu dijangkau dengan pandangan mata.
Satu
susuk tubuh berpakaian serba hitam dilihat sedang duduk di hadapan pintu bilik
tersebut. Tubuhnya terhingguk-hingguk. Ketukan dari dalam pintu bilik langsung
tidak dipedulikannya. Sesekali kedua-dua belah tangannya diangkat dan memegang
permukaan pintu. Sejurus itu dia mencantumkan kedua-dua telapak tangan dan
disatukan ke dada. Sebatang lilin kelihatan terpacak di hadapannya.
Kening
Kathy bertaut melihat perlakuan aneh mirip ritual penyembahan itu. Dari ruangan
tangga itu dia hanya mampu melihat sisi tubuh berpakaian serba hitam itu. Dia
cuba menjengukkan kepala untuk melihat dengan lebih jelas. Tidak semena-mena
susuk tubuh itu memalingkan wajah melihat ke arahnya. Serta merta Kathy menarik
semula wajahnya ke belakang. Jantungnya berdebar-debar. Liur ditelan terasa
lambat melalui tekak. Berlama-lama Kathy begitu sebelum dia memberanikan diri
untuk menjenguk semula ke arah bilik tersebut. Kelibat berpakaian serba hitam
itu tidak lagi kelihatan di situ. Hilang sama sekali.
Bergegas
Kathy mendaki tangga dan masuk ke dalam biliknya. Pintu bilik dikunci rapat.
Dia berbaring di atas katil. Apa yang dilihatnya sebentar tadi berputar ligat
di fikiran. Susuk tubuh berpakaian serba hitam itu kelihatan seperti tuan
rumahnya. Tapi apa yang dibuat di hadapan bilik tersebut? Dan apa pula yang
berada di sebalik pintu bilik tersebut? Persoalan demi persoalan mengasak
minda. Dan akhirnya dia langsung terlelap.
***
Sekitar jam 8.30 minit pagi, Kathy telah siap untuk
ke tempat kerjanya. Anak tangga dituruni satu persatu. Sebaik kaki menginjak
anak tangga terakhir, kejadian semalam kembali berputar di fikiran. Dia menoleh
ke kiri. Melihat ke arah bilik yang dilarang didekati oleh tuan rumah itu. Kelihatan
tertutup rapat.
Sebaik
dia mengalihkan wajah ke hadapan, satu susuk tubuh muncul dihadapannya secara
mendadak. Kathy terperanjat bukan kepalang. Hampir-hampir dia jatuh terduduk di
situ. Nafas dihembus kasar berulang kali sambil mengusap-usap dadanya sendiri.
“Kenapa?
Ingat hantu?”soal Vivian sinis.
Kathy
tidak menjawab persoalan tersebut. Dia melangkah melewati Vivian. Entah
mengapa, kejadian semalam kian kuat berlegar-legar di dalam fikirannya. Kathy
menoleh memandang tuan rumahnya itu.
“Boleh
saya tanya something?”soal Kathy.
Vivian
merenung wajah Kathy dalam-dalam. Kathy yang pada mulanya ingin menyoal
tertelan semula kata-katanya. Jujurnya tuan rumahnya itu berperangai agak
pelik. Tidak pernah Kathy melihat tuan rumahnya itu ketawa ataupun tersenyum.
Wajahnya serius sepanjang masa. Dan renungannya juga adakalanya kelihat
menakutkan.
Perlahan-lahan
Kathy menggelengkan kepalanya semula.
“Tak
apalah. Saya pergi kerja dulu.”ujar Kathy seraya terus berpaling.
“Kathy.”suara
Vivian kedengaran memanggilnya.
Kathy
berhenti dan menoleh. Vivian merenung dirinya lama sebelum bersuara.
“Rasa
ingin tahu adakalanya boleh membunuh.”ujar Vivian.
Kathy
terdiam mendengarnya. Liur ditelan terasa lambat melalui tekak. Segera kaki
dihayun melangkah keluar dari rumah. Makin hari dia berasakan suasana di rumah
itu semakin aneh.
***
Kathy tekun melakukan kerja. Selang sepuluh minit
kemudian, dia menggeliat kecil meregangkan otot. Kerusi ditolak ke belakang.
Dia melangoi. Fikirannya tidak putus-putus memikirkan perihal yang berlaku
semalam. Sikap Vivian yang aneh juga mengundang rasa tidak selesa kepada
dirinya.
“Jauh
termenung nampak? Ada masalah ke?”tegur Shahrul, rakan sekerjanya.
Kathy
menoleh. Shahrul dilihat sedang berdiri di sebelahnya. Dia melemparkan
senyuman.
“Tak
ada masalah apa sangat pun. Pasal bilik yang aku sewa sekarang ni. Tuan
rumahnya tu perangai pelik sikit. Itu aje.”ujar Kathy.
“Biasalah
tu. Tak semua manusia yang kita boleh masuk kepala. Kau menyewa rumah dekat
mana?”soal Shahrul.
“Taman
Mewangi.”balas Kathy ringkas.
Sejenak
mata Shahrul membulat. Keningnya sedikit terangkat. Kathy menjungkitkan kening.
“Kenapa
dengan kau ni? Terkejut semacam aje?”tegur Kathy kehairanan.
“Kau
tak tahu kisah tentang taman tu?”soal Shahrul.
Kathy
menggeleng.
“Aku
bukannya orang sini. Jadi memang aku tahu menahu sangat pasal taman tu.
Apesal?”
“Kau
tak baca surat khabar ke?”soal Shahrul lagi.
“Tak
minat. Banyak politik. Bosan. Boleh tak kau terus terang kenapa?”suara Kathy
agak meninggi.
“Sebenarnya
dekat kawasan taman kau duduk tu, kalau tak silap dah lima kali kes kematian
berlaku. Setiap mangsa ditemui mati di dalam rumah dengan dada terobek dan
kehilangan jantung. Sampai sekarang pembunuhnya masih tak dapat dikesan. Lebih
baik kau hati-hati.”pesan Shahrul di hujung bicara.
Kathy
terdiam mendengar berita yang disampaikan Shahrul. Hati kecilnya mula terasa
menyesal menyewa di situ. Hendak mencari bilik sewa baru dalam tempoh terdekat,
dia sudah tidak mempunyai wang. Mahu tidak mahu dia perlu tinggal juga di situ
sebelum mendapat gaji. Sudahlah sikap tuan rumah dan persekitaran rumah itu
yang aneh. Kini ditambah pula dengan berita menggerunkan dari Shahrul sebentar
tadi. Satu keluhan terhembus. Entah mengapa tidak semena-mena kejadian semalam,
sikap aneh Vivian dan berita pembunuhan itu bermain-main di fikiran.
Lekas-lekas Kathy menggelengkan kepala. Dia tidak mahu membuat andaian yang
bukan-bukan.
***
Sebaik pulang, kereta milik Vivian kelihatan tidak
kelihatan olehnya di hadapan rumah. Jarang-jarang sekali dia keluar ke
mana-mana. Kathy melangkah masuk ke dalam rumah. Matanya mengitari mencari-cari
susuk tubuh Vivian. Tetapi tidak kelihatan di mana-mana. Langkah diatur menuju
ke dapur sebelum kakinya terhenti tatkala melintas bilik yang terletak di
ruangan bawah itu.
Matanya
merenung pintu bilik yang terkunci rapat itu. Mata mengitari sekitar pintu
tersebut. Benang berwarna kuning meliliti tombol pintu. Pintu bilik dikunci
rapi dari luar. Mangga besar kelihatan tergantung di situ. Beberapa tulisan
mirip aksara Siam tertera melatari permukaan pintu bilik. Dan di tengah-tengah
pintu bilik kelihatan nombor 666.
Pandangan
mata Kathy tersorot pula ke arah ruangan kecil yang menjarakkan antara pintu
dan lantai. Perlahan-lahan dia merapati. Kathy merebahkan pipi di atas lantai.
Matanya mengintai dalaman bilik itu menerusi ruang kecil tersebut. Tiada apa
yang mampu dilihatnya dengan ruangan sekecil itu. Pandangannya terhad dan
terbatas.
Sejenak
pipinya terasa melekit. Bau hanyir melekat di rongga pernafasan. Dia mengangkat
wajah. Pipinya dikesat. Telapak tangannya dilihat sekilas. Mata Kathy
terbuntang melihat tapak tangannya berlumuran darah merah pekat. Pandangannya
terhunjam ke arah lantai. Dari ruangan kecil itu, darah merah melimpah keluar.
Membuak-buak hingga membentuk takungan di atas lantai.
Kathy
terperanjat. Dia terbangun serta merta. Pipinya yang berlumuran darah
dikesat-kesat. Sebaik melihat telapak tangannya, Kathy kaget. Tapak tangannya
bersih dari sebarang darah. Matanya beralih ke arah lantai yang berlumuran
darah. Liurnya terasa mengental di tekak. Lantai kelihatan bersih sama sekali.
Apa
sebenarnya yang sedang berlaku?
Persoalan
itu menghentak benak fikiran Kathy. Bulu romanya dirasakan merinding. Lekas-lekas
dia mendaki tangga menuju ke tingkat atas.
Dia
menggenggam tombol. Belum sempat dibuka, telinganya mendengar suara mendengus
dan menderam. Kathy terdiam. Suara itu datangnya dari belakang tubuhnya.
Lambat-lambat Kathy menoleh. Kosong. Suara garau itu masih terdengar lagi
olehnya. Pandangan mata Kathy mati di pintu bilik Vivian. Suara itu datangnya
dari situ.
Kathy
berlibang libu. Hatinya mendesak untuk mengetahui tetapi akal melarang.
Akhirnya Kathy tunduk pada kemahuan hati. Perlahan-lahan langkah diatur
merapati bilik Vivian. Tombol pintu diramas lalu diputar. Tidak berkunci. Kathy
menolaknya ke dalam. Bau hapak menyerbu rongga hidung hingga dia
terbatuk-batuk. Persekitaran gelap dan kelam. Suis lampu ditekan. Serta merta
lampu bernyala.
Bilik
tersebut kelihatan bersepah dan tidak tersusun. Tidak kelihatan sesiapa di
situ. Suara garau yang mendengus dan menderam tadi tidak lagi kedengaran.
Mungkin apa yang didengari tadi hanyalah cetusan perasaannya semata-mata, fikir
Kathy sendirian.
Matanya
mengitari segenap inci bilik tersebut. Keningnya bertaut. Bagaimana Vivian boleh
duduk dalam bilik yang berbau busuk dan kotor sebegitu rupa?
Dia
mengitari bilik tersebut. Pandangan matanya tersorot ke arah kepingan kertas
surat khabar di atas meja. Kathy menghampiri. Tatkala itu kakinya terpijak
sesuatu yang bergaris-garis. Dia menundukkan kepala melihatnya. Ukiran bintang
berbucu enam diukir atas lantai. Dahi Kathy berkerut melihatnya. Puas dia memikirkan
tujuan apa bintang itu tetapi tiada jawapan yang muncul di fikiran.
Kathy
mendapatkan meja yang bertimbun keratan surat khabar dia atasnya. Salah satu
keratan surat khabar itu dicapai dan dibacanya sekilas. Isi kandungan
memaparkan tentang penemuan mayat seorang lelaki yang terobek dadanya dan
kehilangan jantung. Kepingan surat khabar lain dibeleknya. Isi berita yang
hampir serupa tetapi kali ini mangsanya seorang wanita.
Kenapa
Vivian begitu berminat dengan berita-berita tersebut?
Hati
Kathy mula mendendangkan satu rasa yang tidak enak. Dia mengitari sekitar bilik
tersebut. Sejenak pandangan matanya tersorot ke arah katil. Perlahan-lahan dia
menunduk. Cadar yang menutupi katil diselaknya. Matanya terbuntang sebaik
melihat di bawah katil Vivian.
Tengkorak
kambing, batang liling berwarna hitam dan putih, semangkuk cecair merah pekat
yang berbau hanyir, benang kuning dan pelbagai lagi barangan aneh berada di
bawah katil itu. Tatkala itu telinganya bunyi deruman kereta. Kathy menolak
tubuh dan bangun serta merta. Dia pasti Vivian telah pulang.
Tergesa-gesa
Kathy melangkah keluar. Lampu dipadam dan pintu bilik ditutup rapat. Dia
berlari masuk ke dalam biliknya sendiri. Kathy tersandar di pintu biliknya. Jantungnya
berdetak kencang. Nafasnya menderu. Cerita Shahrul terngiang-ngiang di telinga.
Apa yang dilihatnya di bilik Vivian membuatkan Kathy tidak betah.
Dia
dapat berasakan Vivian mempunyai kaitan dengan lima penemuan mayat terobek dada
di kawasan perumahan itu! Telefon bimbit dikeluarkan. Dia mendail 999. Jarinya
terhenti sebaik ingin menekan butang dail. Apa bukti yang boleh dikaitkan Vivian
dengan pembunuhan itu? Bagaimana kalau telahannya silap? Kathy membatalkan niat
untuk membuat panggilan kepada pihak polis. Dia sendiri akan mencari bukti
tersebut. Jika benar Vivian bersalah, wanita itu harus dihadap ke muka
pengadilan!
***
Dum! Dum! Dum!
Dentuman
itu kedengaran lagi olehnya. Kelopak mata Kathy terangkat. Jam di dinding
menunjukkan 2.35 minit pagi. Perlahan-lahan Kathy bangun. Sedari tadi dia tidak
tidur. Rasa kantuknya hilang dengan hambatan-hambatan persoalan di fikirannya. Rasa
ingin tahu bergelojak di dalam hatinya. Dia nekad untuk mengetahui apa
sebenarnya yang berada di sebalik bilik tersebut.
Dia
melangkah keluar dari bilik. Perlahan-lahan bertapak menuruni tangga. Di anak
tangga yang terakhir, Kathy menjengukkan kepalanya dari sebalik dinding. Mata
merenung bilik tersebut. Kelihatan tertutup. Dentuman masih kedengaran. Tidak
kelihatan sesiapa di hadapannya. Kathy menghela nafas lega.
Langkah
terus diatur menuju ke arah bilik tersebut. Semakin dekat langkah diatur,
semakin kuat kedengaran bunyi ketukan itu. Kathy berdiri di hadapan pintu bilik
tersebut. Tombol pintu digenggam erat. Tidak semena-mena bulu romanya dirasakan
merinding. Leher dan kepalanya terasa mengembang. Serta merta Kathy
melepaskannya. Kathy mengepal genggaman. Teragak-agak untuk mengetuk.
Dum!
Dum! Dum!
Dentuman
kuat dari dalam membuatkan dia terperanjat sehingga terundur beberapa langkah
ke belakang. Rasa ingin tahu yang mengasak jiwa membuatkan Kathy merapati
semula pintu bilik tersebut. Baru sahaja tangan diangkat untuk mengetuk, tidak
semena-mena satu bauan hanyir keras menusuk hidung. Isi perut terasa
bergelodak. Bila-bila masa sahaja dia boleh termuntah di situ.
Kathy
menekup hidung. Pintu diketuknya sekali dua. Dia berdiri di hadapan pintu itu
menanti sebarang respons. Lama menanti tiada balasan yang diterima. Baru sahaja
dia merancang untuk mengetuk sekali lagi, kedengaran satu suara sedang
merintih. Kathy terlingas-lingas sekeliling sebelum pandangan mati ke arah
pintu bilik di hadapannya itu. Suara rintihan itu datangnya dari dalam bilik
tersebut.
“Siapa
dalam sana?”soal Kathy separuh berbisik.
Suara
itu masih kedengaran merintih. Hati Kathy mula mendendangkan rasa tidak enak.
Dia seakan dapat menganggak ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku di dalam
rumah itu.
“Tolong
jawab? Siapa dalam sana?”soal Kathy lagi.
“To.long..sa..ya..”kedengaran
suara seorang perempuan menjawab dengan bersusah payah.
Mangga
itu dibelek. Dia merentap-rentap tetapi enggan terbuka. Fikiran Kathy mula
berputar ligat untuk mencari jalan bagi melepaskan wanita yang terkurung di
dalam bilik tersebut.
“Tunggu.
Saya akan selamatkan awak.”
Kathy
berlalu ke dapur. Setiap laci kabinet dapur dibukanya. Dia mencari sesuatu
untuk memecahkan mangga yang memagari pintu bilik itu. Laci terakhir dikuak.
Penukul kelihatan berada di dalamnya. Lekas-lekas Kathy mencapainya. Pantas
meluru ke arah bilik itu semula.
Belum
sempat dia menghentakkan penukul ke arah mangga tersebut, kedengaran bunyi
tapak kaki seseorang sedang menuruni tangga. Kathy menoleh. Biasan cahaya
memuntahkan bayang-bayang hitam sedang menuruni tangga.
Ah,
sudah!
Kathy
terkalih-kalih mencari ruang untuk menyembunyikan diri. Pandangan matanya
terpaku ke arah meja makan yang dilapiki kain. Hanya di bawah meja itu
satu-satunya ruang untuk dia bersembunyi. Kathy meluru pantas dan menyelitkan
tubuhnya di bawah meja. Dia membongkokkan tubuh dan berdiam diri.
Selang
beberapa saat, satu susuk tubuh berpakaian serba hitam menuruni tangga. Tidak
sukar untuk Kathy mengecami wanita itu adalah Vivian. Matanya memerhati setiap
pergerakan wanita itu.
Vivian
dilihat merapati bilik yang terkunci itu. Berdiri lama di situ sebelum
kelibatnya menghilang di sebalik ruangan dapur. Tidak lama kemudian kelibat itu
muncul semula. Sepasang kaki itu mundar mandir di hadapan bilik tersebut
sebelum perlahan-lahan bertapak menuju ke arah Kathy.
Jantung
Kathy berdegup kencang. Penukul dalam genggaman dikepal erat. Dia bersedia
menanti apa jua yang bakal berlaku. Sepasang kaki itu berdiri lama di hadapan
meja. Perlahan-lahan kain yang mentabir meja makan disingkap ke atas.
Kathy
menggenggam erat tukul. Jantungnya terasa seakan ingin melompat keluar dari
kerangka dada. Tidak semena-mena kedengaran bunyi sesuatu jatuh berselerakan
dari tingkat atas. Kain meja terhenti dari disingkap. Serta merta sepasang kaki
itu berkalih. Selajur dia berlalu memanjat tangga menuju ke tingkat atas.
Kathy
menghembuskan keluhan lega. Serta merta dia menyelit keluar dari bawah meja.
Pantas dia menghampiri bilik tersebut. Tanpa menunggu lama, Kathy mengangkat
tukul tinggi lalu menghentaknya ke arah mangga tersebut. Sekali hentakan,
penyendal yang diskru ke papan pintu mula terkopak. Kathy menghayun untuk kali
kedua. Belum sempat dia menghentak untuk kali kedua, kepalanya terasa diketuk
dengan sesuatu yang bersifat keras dan tumpul.
Tukul
terlepas dari genggaman. Kathy terhuyung hayang menapak. Pandangan matanya
berbalam-balam. Vivian dilihat sedang berdiri di hadapannya sambil menggenggam
sebatang kayu.
“Kau…perempuan
setan!”Kathy mencemuh.
Satu
hentaman singgah lagi di kepalanya. Kathy rebah di atas lantai. Kepalanya berpinar.
Vivian mencengkam pergelangan kakinya. Lalu tubuh Kathy diseret. Tukul yang
tergeletak di atas lantai sempat dicapainya. Diselitkan ke dalam baju. Kathy
hanya membiarkan tubuhnya diseret sehingga ke tengah ruang tamu.
“Sifat
manusia..semakin dilarang semakin ingin dia ingin lakukan perkara yang dilarang
itu. Hingga tanpa sedar perkara itu membawa dirinya sendiri ke pintu kematian.”ujar
Vivian.
Dia
menghampiri kabinet televisyen. Sebilah pisau berukuran 9 inci dikeluarkan dari
dalam laci. Berderau darah Kathy melihatnya. Vivian menghampirinya. Pisau
berada kemas dalam genggamannya. Wanita itu duduk di atas badan Kathy. Merenung
Kathy dalam-dalam tanpa sekelumit rasa simpati. Dia mendongakkan kepala ke
atas. Pisau dijulang tinggi. Bibirnya terkumat kamit membacakan sesuatu dalam
bahasa yang tidak difahami.
“Nyawa
perempuan ini, aku serahkan kepada kau Lucifer sebagai syarat pertukaran nyawa.”gumam
Vivian di hujung ayatnya.
Dia
menarik nafas dalam-dalam. Selajur membenam mata pisau itu tepat ke jantung
Kathy. Sepantas itu juga, Kathy mengeluarkan penukul dari sebalik bajunya.
Dihentak tepat ke hidung Vivian. Vivian terhumban ke belakang. Tulang hidungnya
patah serta merta. Darah merah menyeruak. Dia terguling-guling di atas lantai
meraung kesakitan. Pisau terlepas dari genggaman.
Pantas
Kathy mencapai pisau itu. Diselitkan celah pinggang. Matanya tertancap ke arah
batang kayu yang digunakan oleh Vivian untuk memukulnya sebentar tadi. Tergeletak
di hujung sofa. Dia menunduk dan mencapainya.
“Ini
untuk apa yang kau lakukan pada aku tadi.”
Satu
hentaman singgah di kepala Vivian. Wajahnya terpaling ke kiri menerima impak.
Kulit kepalanya terkoyak serta merta. Darah merah menyeruak.
“Ini
pula untuk lima pembunuhan yang dah kau lakukan.”
Satu
lagi hentaman hinggap pula di bahagian kanan kepalanya. Vivian terkulai lemah di
atas lantai. Kathy mencampakkan kayu dalam genggamannya.
“Puas
hati aku. Mampus kau perempuan setan!”
Dia
mencapai tukul selajur berlalu ke bilik belakang.
***
Tukul dihentak. Penyendal yang diskru ke pintu
terkopak serta merta. Tombol pintu diramas lalu diputar. Pintu terkuak. Satu
hembusan angin dingin menerpa tubuhnya. Bau hapak menyeruak. Persekitaran bilik
itu agak kelam.
Pandangan
Kathy terhunjam ke arah satu susuk tubuh yang duduk di atas kerusi. Pantas dia
menghampiri. Seorang perempuan dengan kedua belah pergelangan tangan dan
kakinya terikat. Mulutnya turut diikat dengan sehelai kain. Di dahi wanita itu
terconteng aksara-aksara aneh.
Pantas
Kathy menanggalkan kain yang mengikat mulut wanita itu. Wajahnya pucat pasi.
Tubuhnya lemah longlai.
“Jangan
risau. Saya akan selamatkan awak dari perempuan setan tu.”gumam Kathy.
Kathy
menanggalkan kesemua ikatan yang membelenggu tubuh wanita itu. Lantas dia
memapah wanita itu keluar dari bilik. Sebaik tiba di ruang tamu, Kathy tergamam
sejenak. Tubuh Vivian tidak kelihatan di situ.
“Kita
kena keluar dari sini cepat!”getus Kathy.
Beberapa
langkah bertapak, satu hentaman hinggap di kepala Kathy. Tubuhnya terdorong ke
hadapan. Baru sahaja dia mengalihkan tubuh, satu tumbukan singgah pula di
mukanya. Kathy rebah di lantai. Vivian menerpa. Tumbukan dilayangkan bertali
arus ke wajah Khaty. Satu pun gagal disanggahnya. Bibirnya pecah mengalirkan
darah.
Tiada
pilihan lain yang dapat diambil. Pisau yang terselit di pinggang dicapainya.
Tumbukan terakhir Vivian berjaya disanggahnya. Pisau berukuran 9 inci itu
ditebak tepat ke dada kanan Vivian. Mulut Vivian terlopong. Matanya terbuntang
luas. Wanita itu rebah ke lantai. Menggelupur menahan sakitnya saat maut
menjemput. Beberapa saat kemudian Vivian terkedang kaku. Tidak lagi bernyawa.
Khaty
menolak tubuh. Berdiri perlahan-lahan. Darah berjabeh di mulut disekanya.
Nafasnya termengah-mengah.
“Mari
kita keluar dari sini. Kita buat laporan polis atas apa yang dah berlaku.”ujar
Kathy.
Wanita
itu tidak berganjak. Dia menghampiri mayat Vivian dan duduk mencangkung di
sebelahnya. Pisau yang tertusuk di dada kanan Vivian dicabut. Dia menjulang
tinggi lalu menebak dada kiri Vivian. Dia membelah dada Vivian dengan penuh
bernafsu sebelum menyeluk tangannya masuk ke dalam.
Seketul
daging dikeluarkannya. Tidak sukar untuk Khaty mengenali ianya adalah jantung.
Wanita itu mengangakan mulut seraya melahap jantung itu. Hampir-hampir
termuntah Kathy melihatnya. Liur bercampur darah merah menjelejeh di bibir
wanita itu. Dia kelihatan begitu bernafsu melahap jantung Vivian. Persoalan
besar menghentak benak fikiran Khaty.
Siapa
sebenarnya perempuan yang dia selamatkan itu?
Selesai
meratah jantung Vivian, wanita itu merenung Khaty. Bibirnya menyeringai
senyuman. Kelihatan cukup menyeramkan.
“Sudah
lama aku tidak memakan jantung manusia. Sejak kakak keparat aku ini mengurung
aku di dalam bilik itu.”gumam wanita itu. Matanya mengerling ke arah mayat Vivian
yang telah terburai dadanya.
Liur
terasa mengental di kerongkong Kathy. Dia terundur selangkah dua ke belakang.
“Siapa
sebenarnya kau?”tergugup gagap Kathy menyoal.
Soalan
Kathy disambut dengan ilai tawa. Sejenak dia merenung Kathy tajam.
“Terima
kasih sebab bebaskan aku yang telah lama dibelenggu oleh kakak aku sendiri. Aku
Christine. Aku dikurung di dalam bilik itu setelah melakukan lima pembunuhan di
kawasan taman ini. Vivian tidak mahu aku ditangkap oleh pihak polis. Dia
menganggap aku sakit dan perlu diubati.”ujar Christine. Dia mencangkung sebelah
mayat kakaknya itu. Dibelai rambut penuh mesra sebelum menjilat tangannya yang
berlumuran darah.
“Dan
akhirnya dia sedar kenapa aku membunuh dan meratah jantung manusia. Aku telah
mengikat sumpah dengan Lucifer untuk menjadi hambanya. Dan syaratnya, aku perlu
memakan tujuh jantung manusia. Jika aku berjaya, maka aku akan menjadi hambanya
yang paling mulia dan manusia paling berkuasa di atas muka bumi. Tetapi jika
gagal maka nyawa aku menjadi galang gantinya. Vivian berusaha untuk meleraikan
ikatan sumpah antara aku dan Lucifer. Maka pelbagai pemujaan dan persembahan
diserahkan kepada Lucifer dengan menggunakan aku sebagai perantaranya tetapi
semuanya gagal. Sehinggalah Lucifer meminta satu nyawa korban sebagai ganti
diri ku. Dan dia telah memilih diri kau untuk dipersembahkan kepada Lucifer.
Tetapi sayangnya, dirinya yang mati dahulu.”lanjut Christine lagi. Tertawa di
hujung bicara.
Berderau
darah Kathy mendengarnya. Ketakutan mula merasuk jiwa. Kakinya terundur-undur
ke belakang sehingga tubuhnya tersandar di dinding. Tidak menyangka sama sekali
wujud manusia yang mengamalkan ritual sesat sedemikian rupa.
“Enam
nyawa telah aku persembahkan kepada Lucifer. Hanya satu nyawa lagi yang
tinggal. Dan aku memilih kau untuk melengkapinya.”getus Christine.
Serta
merta dia meluru ke arah Kathy dengan pisau yang terhunus di tangan. Pisau
ditebak. Kathy pantas mengelak. Sekali lagi pisau dihayun ke dadanya. Kathy mengundur
ke belakang. Kekalutan itu membuatkan kakinya tersalah memijak. Kathy jatuh
terbaring. Dia menyeringai kesakitan.
Christine
menggenggam pergelangan kakinya. Kathy menggelepar cuba meloloskan diri. Jari
jemarinya mencengkam permukaan lantai. Kayu sebesar lengan berada di sebelah
mayat Vivian. Dia berusaha untuk mendapatkannya. Tidak semena-mena tubuhnya
terseret ke belakang.
Christine
menerpa tubuh Kathy. Pisau ditebak. Pantas Kathy menghadang. Kedua belah tangan
Kathy menggenggam erat pergelangan tangan kanan yang menghunus pisau. Christine
mengerah kekuatan. Mata pisau ditolak mendekati dada Kathy.
Kathy mengetap rahangnya erat. Dia tidak akan
sesekali mengalah dengan mudah. Nyawa nan satu itu akan dipertahankan dengan apa
cara sekalipun. Sisa kekuatannya dikerah. Tubuh Christine ditolaknya hingga
rebah ke sisi. Bingkas Kathy bangun untuk melarikan diri.
Pergelangan
kakinya dipaut. Kathy rebah tertiarap. Dia menyeringai kesakitan. Sebaik
mengangkat wajah, kayu sebesar lengan berada atas lantai di hadapannya. Pantas
Kathy mencapai. Dia mengalihkan tubuh pantas. Serentak, kayu itu dihayunkan
tepat ke wajah Christine. Wanita syaitan itu rebah di atas lantai. Khaty
bingkas bangun menuju ke pintu keluar.
Dia
cuba membuka malangnya berkunci. Kathy panik. Dia meraba-raba poket seluarnya.
Malang kuncinya tertinggal di bilik. Kathy tercari-cari kunci di sekitar ruang
tamu tetapi tidak dijumpai. Christine masih terbaring di atas lantai. Satu
persatu daun tingkap cuba ditolak malangnya tidak berjaya. Khaty berlari ke
dapur. Pintu di ruangan dapur cuba dibukanya tetapi ianya juga berkunci. Dia
menampar-nampar daun pintu geram. Nafasnya menderu kencang. Otaknya berputar
ligat memikirkan cara untuk keluar dari rumah tersebut.
Sebaik
dia berkalih, Christine dilihat sedang berdiri di belakangnya. Wajahnya
berlumuran darah. Mulutnya menyeringai. Pisau tergenggam kemas di tangannya.
“Kau
tak akan boleh larikan diri dari aku.”gumam Christine.
Selangkah
demi selangkah dia merapati. Kathy terundur-undur sehingga belakang tubuhnya
tersandar di dinding. Jantungnya berdegup kencang.
“Christine
tolong sedarkan diri kau sendiri. Apa yang kau lakukan ini salah! Kau hanya
mengikut jalan syaitan!”Kathy cuba menyedarkan Christine biarpun harapannya
terasa tipis.
Christine
menyeringai. Pisau dihayun tepat ke wajah Kathy. Lengannya diangkat menghadang
wajah.
Zas!
Kulit
lengannya terkoyak. Darah menyeruak. Sekali lagi wanita syaitan itu melancarkan
serangan. Kathy mengelak pantas. Mata pisau terbenam di kabinet dapur. Tubuh Christine
dirempuhnya sehingga jatuh terlentang. Bersusah payah Kathy berlari mendaki
tangga masuk ke dalam biliknya sendiri. Darah merah menitis-nitis jatuh di
lantai.
***
Pintu bilik berkeriut terbuka. Kelibat Christine
dilihat melangkah masuk. Pisau melekap dalam genggamannya. Dia bersiul sambil
mengitari bilik itu mencari Kathy. Siulannya kedengaran seperti seruling yang
menjemput kematian. Cukup menyeramkan!
Jantung
Christine berdegup kencang. Keringat membasahi tubuh. Sepasang matanya melihat
pergerakan Chrisitine. Saat itu dia enggan bernafas sekalipun. Ketakutan
benar-benar merasuk jiwa. Hampir-hampir dia menangis di situ juga.
“Munculkan
diri kau. Aku berjanji akan mencabut nyawa kau dengan penuh halus kalau kau tak
menyusahkan aku.”ujar Christine.
Dia
terpusing-pusing sekitar bilik tersebut. Darah Kathy menitis di serata arah
lantai bilik itu. Hingga sukar sekali untuk dia mengesan di mana wanita itu
bersembunyi. Christine membongkokkan tubuh. Cadar yang menutup katil diselak.
Kelibat Kathy dilihat tiada di situ. Dia berdiri lurus. Mata terhunjam ke arah
almari yang tertutup rapi. Bibirnya menguntum senyuman.
Langkah
demi langkah diatur menuju ke arah almari pakaian itu. Jantung Kathy kian
berdegup kencang. Dia menekup mulutnya sendiri. Liur ditelan terasa lambat
melalui tekak.
Pintu
almari dikuak. Wajah Christine berubah riak sebaik melihat almari itu hanya
dipenuh pakaian. Kelibat Kathy tidak kelihatan di situ. Sebaik dia memutarkan
tubuh, sebuah pasu menghentam kepalanya.
Kathy
yang bersembunyi di sebalik kabinet kecil berdekatan katil sememangnya
menantikan saat tersebut. Pasu kaca pecah berderai. Christine bertapak
terhuyung hayang. Tendangan padu tepat dihayun ke perut Christine. Wanita itu
rebah ke lantai. Kathy mengerah kekuatan sedaya upaya. Almari pakaian itu
ditolak sepenuh tenaga sehingga terbalik menyembam tubuh Christine. Berdentum
kuat bunyinya. Suara Christine kedengaran meraung kesakitan sebelum
perlahan-lahan bertukar sepi.
Nafas
Kathy termengah-mengah. Keringat membasahi wajah dikesat. Selajur dia melangkah
keluar dari bilik tersebut. Dia terkocoh-kocoh menuruni tangga menuju ke arah pintu
keluar. Anak kunci yang sempat diambil dari dalam biliknya tadi dikeluarkan. Dicucuk
ke dalam tombol lalu pemegang pintu ditolak ke bawah. Serta merta ia terbuka.
Kathy melangkah keluar mendapatkan kereta yang diparkir di luar rumah.
Alarm
ditekan. Tatkala itu telinganya menangkap satu suara garau mendengus dan
menderam. Kathy terkalih-kalih mencari arah suara itu. Matanya meliar. Tiada
sebarang figura yang tertancap di retinanya. Pantas Kathy mendapatkan
keretanya.
Enjin
kereta dihidupkan. Gear ditolak. Pedal minyak diinjak. Kereta menderu laju
meninggalkan kawasan perumahan itu. Selagi dia berasa di situ, bahaya terasa
berlegar-legar di sekelilingnya.
Sebaik
kian menjauh, Kathy mula menghembuskan nafas kelegaan. Kereta yang dipandu laju
sebentar tadi mula diperlahankan. Hatinya benar-benar bersyukur terlepas
daripada menjadi mangsa perempuan syaitan itu. Dia menyeluk poket mencari
telefon bimbit. Tiada di dalam poket seluarnya. Dan dia tersedar, dia terlupa
untuk mencapainya sewaktu berlari keluar dari rumah itu.
Pandangan mata dihunjam semula ke arah jalan
raya. Tidak semena-mena sepasang tangan memaut batang lehernya. Kathy bernafas
tercungap-cungap. Kereta hilang kawalan. Hampir-hampir merempuh pembahagi jalan
tetapi Kathy pantas mengawal stereng. Dalam kekalutan itu matanya sempat
melihat refleksi menerusi cermin pandang belakang.
Christine
dilihat bersungguh-sungguh sedang memaut batang lehernya. Kathy meronta cuba meloloskan diri tetapi
gagal.
“Sesekali
aku tidak akan lepaskan kau!”gumam Christine. Tangannya semakin kejap memaut
leher Kathy. Sebelah tangannya lagi kejap menggenggam pisau.
Nafas
Kathy kian pendek. Tangan yang menggenggam stereng terasa semakin lemah. Tatkala
itu pandangan matanya tertancap ke arah penghadang jalan. Jalan yang digunakan
itu dibina merentasi sebatang sungai yang mempunyai keluasan yang cukup lebar
dan dalam. Kathy bertindak nekad. Pedal minyak diinjak sehingga rapat.
Kereta
meluru laju ke arah penghadang jalan. Tali pinggang ditanggal. Siku dihentak kuat
ke muka Christine. Pautan terlepas. Pisau terlepas dari genggaman. Kathy pantas
mencapainya. Sebaik Christine menerpa untuk menyerang sekali lagi, Kathy
mengilas tangan wanita itu hingga rapat ke kusyen. Serta merta dia membenamkan
mata pisau tepat ke belakang tapak tangan Christine. Pisau berukuran 9 inci itu
menembusi daging telapak tangannya sehingga menyebabkan tangannya melekat di
seat. Christine meraung kesakitan. Darah
merah menyeruak setiap kali ia meronta keras. Pintu kereta dibuka serta merta.
Kathy melompat keluar. Jatuh terguling-guling di atas jalan raya.
Kereta
merempuh penghadang jalan. Dentuman kuat meletus. Besi penghadang jalan tercabut.
Kereta melayang dan terjunam masuk ke dalam sungai.
Kathy
terbaring di atas jalan raya. Nafas tercungap-cungap. Tubuh calar balar. Perlahan-lahan
dia menolak tubuh dan bangun. Terhincut-hincut melangkah menghampiri penghadang
jalan. Kereta miliknya itu perlahan-lahan tenggelam membawa bersama jasad
perempuan penyembah syaitan di dalamnya. Kathy menghembuskan nafas kelegaaan.
Segala-galanya sudah berakhir.
EPILOG
Kathy merehatkan tubuhnya di atas katil. Seorang
jururawat melangkah masuk dan memeriksa keadaannya. Catatan dilakukan dalam laporan
perubatan.
Sejenak,
mata Kathy tertancap ke arah kaca televisyen. Liputan berita sedang dilakukan
ke atas kawasan kemalangan yang berlaku beberapa jam yang lalu. Kereta miliknya
yang terbenam di dasar laut telah berjaya dibawa keluar. Wartawan berjaya
merakamkan beberapa kepingan gambar. Salah satunya membuatkan jantung Kathy
terasa direntap keras. Sebilah pisau tercacak di seat pemandu. Mayat Christine
tidak kelihatan di situ.
“Nurse,boleh tolong kuatkan volum
sedikit?”pinta Kathy.
Jururawat
itu akur. Dia menghampiri peti televisyen dan meningkatkan volum.
“Sehingga
sekarang, mayat Christine yang menjadi dalang pembunuhan ngeri di Taman Mewangi
masih belum dijumpai. Pihak polis masih giat menjalankan usaha pencarian.”
Berita
yang disampaikan oleh pembaca berita itu membuatkan rahang Kathy terasa
longgar. Hatinya mula menyenandungkan rasa yang tidak enak. Imej pisau yang
tercacak di seat pemandu melayang-layang di kotak fikirannya. Satu persoalan
mendesak benak fikirannya kala itu.
Apakah
Christine masih hidup?
TAMAT