Home Cerpen Seram/Misteri Kisah Seram Malam Jumaat : BANGKIT
Kisah Seram Malam Jumaat : BANGKIT
Ninie Othman
9/6/2016 20:31:34
14,362
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

     Mayat yang dijumpai di kawasan bengkel lama menggemparkan penduduk kampung. Dari keadaan mayatnya, berkemungkinan ia sudah tertiarap di situ sekurang-kurangnya dua hari. Padanlah kawasan itu dihurung lalat dan langau dan berbau busuk mengalahkan bau bangkai.

Budin menggigil-gigil dan berdiri agak jauh dari tempat mayat itu tertiarap. Dialah orang pertama yang menjumpai mayat itu beberapa belas minit yang lepas. Apa yang disangkanya harta karun rupa-rupanya mayat yang sudah hampir reput. Benar-benar menakutkan.

Adam dipanggil untuk mengenalpasti mayat. Ada kemungkinan ia merupakan mayat saudaranya. Pak Idris selaku ketua kampung memang mengenali arwah dan mahukan pengesahan dari Adam dan bapanya, Pak Mad.

“Memang betul ni mayat saudara saya tok,” Pak Mad berkata dengan segaris senyuman pahit di bibir tuanya. Tidak pernah dia menyangka yang arwah akan bertemunya seperti ini. Sudah beberapa tahun dia tidak lagi mendengar khabar mengenai arwah.

Adam membisu. Tiada kata yang terlafaz dari mulutnya. Dulu dia dengan arwah merupakan kawan baik. Ke mana sahaja pasti bersama tetapi hubungan mereka mula renggang apabila arwah mula bergaul dengan anak-anak yang bermasalah. Arwah yang dahulunya mendengar kata berubah menjadi lelaki yang keras kepala dan panas baran.

“Eloklah bawak ke rumah saya untuk diuruskan. Saya akan maklumkan keluarga arwah pasal perkara ni,” Pak Mad memberi buah fikirannya. Lagipun yang meninggal ini merupakan saudaranya dan tidak salahlah jika membawa jenazah pulang ke rumahnya sahaja.

“Ha eloklah tu. Saya pun dah suruh Razak callMurad. Tak lama lagi dia sampailah,” Pak Idris berkata sambil mengatur-atur kopiah yang terletak di atas kepala.

Murad si pemandu van jenazah akan tiba tidak lama lagi dan Pak Mad mengambil keputusan untuk pulang tanpa anaknya, Adam. Anaknya itu akan bersama-sama Pak Idris menghantar jenazah pulang ke rumah. Dalam waktu yang sama, dia akan menghubungi keluarga arwah untuk menyampaikan berita sedih itu.

Bau busuk terasa menjolok anak tekak semua yang berada di situ. Berkerut-kerut muka semuanya menahan rasa loya. Tidak kurang juga ada yang berlari balik ke rumah akibat terlalu terkejut dengan apa yang dilihat. Pastinya ia akan meninggalkan kesan yang paling mendalam buat mereka.


     Murad memberhentikan van di tepi jalan berhampiran dengan tempat kejadian. Dia membuka pintu belakang dan mengeluarkan stretcher berserta kain batik jawa yang akan digunakan untuk menutup jenazah.

Kerja mengalih jenazah dilakukan secepat mungkin dengan bantuan beberapa orang kampung. Adam mengambil tempat di belakang manakala Pak Idris pula berada di hadapan bersama Murad.

Ternyata kedudukannya di belakang bukanlah semudah abc.

Wajah arwah beberapa kali terdedah disebabkan kain yang terselak walaupun tiada angin yang bertiup. Adam cuba menenangkan perasaan yang tidak tenteram. Sebenarnya dia tidak ingin menatap wajah arwah yang kebiru-biruan dengan mata yang terbuka separuh.

Mata arwah seolah-olah merenung tepat ke arahnya. Cepat-cepat dia mengatur kain yang terselak dan biarlah wajah arwah tersembunyi di bawah kain.

Pak Mad sudah menghubungi keluarga si mati. Esok mereka akan sampai dari Perlis dan membawa jenazahnya pulang untuk dikebumikan di sana. Jenazah pula akan diuruskan di sini. Kes ini juga sedang berada dalam siasatan pihak berkuasa.

Adam mengalih pandangan dari arwah. Dia tidak dapat mengawal debaran di dada. Entah mengapa arwah bagaikan akan bangun dari pembaringan.

ALLAH…Semoga rohnya ditempatkan di kalangan roh orang-orang yang beriman, amin.


     Murad memberhentikan enjin van di halaman rumah Adam. Kelihatan Pak Mad bergegas turun untuk membantu mengangkat jenazah ke dalam rumah. Rumah desa itu dibanjiri orang-orang kampung yang masih belum puas untuk melihat jenazah. Tidak kurang juga ada yang gigih mengorek rahsia tentang bagaimana jenazah itu boleh terbunuh di kampung mereka. Apa yang pasti hanya ALLAH, arwah dan beberapa orang yang tertentu sahaja yang mengetahuinya.

“Ustaz Jalani belum sampai ke bah?” tanya Adam selepas selesai mengangkat jenazah dan meletakkannya ke dalam bilik air. Jenazah akan dimandikan di situ.

Pak Mad menggeleng perlahan.

“Dah call keluarga di Perlis?” Adam bertanya lagi.

“Dah. Esok dia orang sampai. Abah dah jemput orang-orang kampung untuk baca yasin malam ni..”

Adam tidak berkata apa-apa. Sesekali matanya menjenguk ke bilik air yang berada di dapur. Arwah ada di situ, berseorangan sambil menanti kedatangan ustaz Jalani untuk memandikannya. Mereka pernah bersahabat baik ketika sekolah rendah dulu. Rasa sayu tiba-tiba menyucuk ulu hati.


     Bunyi enjin kereta seseorang menarik perhatian semua yang ada di situ. Ustaz Jalani sudah tiba bersama dua pembantunya. Ketika itu hari sudah semakin merangkak ke senja. Arwah dijumpai mati tertiarap pada waktu asar. Ustaz Jalani disambut mesra oleh Pak Mad dan Adam.

Ustaz Jalani melangkah masuk ke dalam bilik air bersama para pembantunya, Pak Mad dan Adam untuk urusan memandikan jenazah. Apa yang Adam perasan, riak muka ustaz Jalani sedikit berubah ketika melihat arwah.

Arwah selesai dimandikan. Kemudian dia dibawa ke atas semula untuk dikafankan. Urusan itu dilakukan oleh ustaz Jalani dan dibantu oleh orang-orang yang sama ketika memandikan. Arwah diurus dengan penuh tertib sehingga ikatan terakhir diikat di tubuhnya.

Arwah dibaringkan di dalam bilik belakang rumah tersebut. Ruangan itu agak luas dan boleh menempatkan belasan orang untuk membaca surah yasin kelak.

“Maafkan saya sebab kena pergi sebelum sempat baca yasin sekali malam ni,” ustaz Jalani menggenggam erat tangan Pak Mad ketika mereka bersalaman.

“Tak apa ustaz. Saya faham dengan kerja ustaz yang kena ke tempat lain untuk uruskan jenazah,” Pak Mad tersenyum. Ustaz Jalani seorang yang sentiasa sibuk. Dia bernasib baik kerana ustaz Jalani dapat hadir untuk menguruskan jenazah pada petang itu.

Akan tetapi ustaz Jalani seperti serbasalah untuk terus pulang. Para pembantunya pula sudah menunggu di dalam kereta.

“Ustaz ada benda nak bagitahu saya ke?”

“Tak ada apa sangat Pak Mad cuma…”

Adam yang berdiri di sebelah abahnya mula rasa tidak sedap hati. Ustaz ini seperti ada sesuatu yang ingin dia beritahu kepada mereka. Adakah ia tentang arwah?

“Cuma apa ustaz?” Adam menyampuk. Agak lama juga dia dan Pak Mad menanti kata-kata yang seterusnya dari mulut ustaz Jalani.

Akhirnya ustaz Jalani sekadar mengukir senyuman pahit dan meminta diri. Pak Mad tidak berasa pelik tetapi Adam terus dicengkam dengan rasa tidak tenteram. Rasa seram mula menjalar ke setiap urat saraf.


     Bacaan yasin beramai-ramai mula berkumandang selepas waktu maghrib. Adam mengambil posisi di sebelah abahnya. Dalam dia membaca yasin, matanya tidak lekang dari memandang arwah yang berada di hadapan mereka. Tali yang mengikat arwah terbuai-buai ditiup angin dari tingkap yang terbuka.

Adam tersentak tatkala melihat kain kafan di bahagian kepala arwah seperti bergerak-gerak. Bagaikan arwah sedang bernafas.

“Abah…”

“Ha apa dia?”

“Nampak tak tu?”

“Apa dia?”

Perbualan anak-beranak itu berakhir di situ kerana ia menarik perhatian orang kampung. Khuatir akan menakutkan mereka, Adam akhirnya bertindak mengunci mulut. Lagipun tiada apa-apa yang berlaku selepas itu. Berhalusinasikah dia?

Selepas orang-orang kampung dijamu dengan sedikit kudap-kudapan, mereka semua beransur pulang seorang demi seorang. Ruang yang sebelum ini meriah kini bertukar sepi. Pak Mad masih bersila membacakan yasin sebagai hadiah kepada si mati.


     Mak Leha menutup dan mengunci kemas pintu utama. Manakala menantunya, Eja pula masih sibuk mengemas di dapur.

Bunyi mengerang yang datangnya dari bilik air mengejutkan Eja. Siapa pula yang sedang dalam kesakitan? Suami atau ayah mertuanya? Apa yang pasti suara itu milik seorang lelaki.

Adam yang baru turun ke dapur hairan melihat isterinya yang memandang tepat ke bilik air. Wajah isterinya cemas. Wanita muda itu segera dihampiri.

“Kenapa ni?”

“Ada bunyi dalam bilik air. Saya ingatkan awak atau abah..”

“Bunyi apa?”

“Bunyi mengerang..”

Adam menuju ke bilik air dan menolak pintu perlahan-lahan. Bilik itu kosong. Isterinya dipandang dan mata keduanya bertaut lama. Rasa aneh mula menguasai pasangan suami isteri itu.


     Kening Pak Mad terangkat apabila telinganya menangkap bunyi sesuatu. Bacaan yasinnya terhenti. Dia mendongak dan menghalakan pandangannya ke tingkap yang terbuka. Angin berpusu-pusu masuk menambahkan kedinginan dalam ruangan itu. Dia bingkas bangun dan mengunci tingkap dan berniat mahu menyambung bacaannya.

Sebaik sahaja punggungnya mencecah lantai, bunyi daun pintu tingkap berlanggar sesama sendiri menarik perhatian. Berkerut dahinya.

“Eh kenapa masih belum tutup tingkap?” omel mak Leha lalu berlenggang menutup tingkap. Kemudian dia beredar masuk ke bilik untuk berehat.

Jam sudah menunjukkan pukul sebelas setengah malam. Pak Mad masih bersila dan membaca yasin sambil ditemani anaknya.

“Abah tak mahu tidur lagi?” Adam menutup yasin dan meletakkannya ke atas meja kayu kecil yang terletak di sebelahnya. Dia sudah letih dan mahu berehat.

“Kau pergilah masuk tidur dulu. Lepasni abah menyusul,” balas Pak Mad tenang.

Selepas Adam masuk tidur, tinggallah Pak Mad berseorangan bersama jenazah yang siap-siap diletakkan di dalam keranda. Entah mengapa bulu romanya meremang secara tiba-tiba. Keranda direnung buat beberapa minit. Selepas menyedari malam semakin lewat, dia akhirnya bangun dan beredar ke bilik tidurnya untuk berehat.


     12:45 tengah malam.

     Bunyi aneh yang kedengaran dari bilik sebelah menyedarkan Pak mad dari lena. Dia terpisat-pisat di dalam kesuraman bilik tidur. Dia memasang telinga dan mendengar bunyi seperti orang mengalihkan sesuatu dari bilik sebelah. Bilik di mana jenazah sedang ‘tidur’.

Apa pulalah yang dibuat Adam pada waktu-waktu begini?

Lampu di ruang tamu yang memang sedia terbuka menerangkan pandangannya. Langkah kaki dihayunkan menuju ke bilik belakang yang terletak di sebelah bilik tidurnya dan isteri.

“Kau ke tu Dam?”

Pertanyaannya tidak berjawab. Tiada Adam di situ. Hanya bunyi nyanyian unggas sahaja yang kedengaran lantang di luar. Pak Mad melangkah masuk apabila melihat keranda seperti beralih. Mungkin bunyi tadi datangnya dari bunyi keranda ini. Tetapi siapa yang mengalihkannya?

Dia membetulkan kedudukan keranda dan kembali ke bilik untuk menyambung lenanya.

    

     1:45 pagi.

     Lena Pak Mad terganggu sekali lagi. Terganggu oleh bunyi yang sama. Kali ini dia tidak membuang masa dan bergegas keluar untuk melihat apa yang sebenarnya berlaku. Berderau darahnya apabila melihat kedudukan jenazah di dalam keranda sudah berubah. Sudah tidak berbaring tetapi kepalanya tersandar di dinding keranda. Kain penutup keranda pula sudah terbang entah ke mana.

Pak Mad melangkah masuk dan mencari kain penutup keranda berwarna hijau. Tidak kelihatan di mana-mana. Puas dia tertunduk-tunduk mencari namun tiada di dalam bilik itu. Siapa pula yang mengambilnya? Aduh, pening kepala dibuatnya!

“Abah cari yang ni ke?” tegur Adam dari ambang pintu. Dia menemui kain tersebut di atas meja di ruang tamu.

Pak Mad menoleh dan matanya terpaku pada kain yang berada dalam tangan anaknya. Dia bergegas mengambilnya dan meminta supaya Adam membantunya membetulkan kedudukan jenazah.

“Siapa yang buat arwah macam ni?”

Soalan Adam tidak mampu dijawab Pak Mad. Dia sendiripun tidak tahu siapa yang punya angkara. Tiada siapa di rumah itu kecuali mereka empat beranak sahaja. Rasanya tiada siapa yang berani mengusik jenazah ini.

“Cuba kau periksa pintu dengan tingkap dalam rumah ni. Kalau-kalau ada yang tak berkunci,” arahnya pada Adam. Arahan itu segera difahami dan anaknya itu berlalu ke dapur untuk memeriksa pintu dan tingkap dapur.

Sementara itu, dia berlalu ke ruang tamu untuk memeriksa keadaan di situ. Tangannya menggoncang-goncang tingkap dan pintu dengan lembut. Memang berkunci kemas sejak malam tadi. Mungkin yang di dapur agaknya tidak berkunci. Dia menanti Adam untuk naik ke atas.

Adam memetik suis lampu dapur tetapi tidak menyala. Terpaksalah dia menggagau mencari lampu suluh di dalam kabinet dapur. Lampu segera dipasang apabila ada bunyi mengerang dan mendengus di belakangnya. Dia menghalakan lampu suluh dan ia terkena tepat pada bilik air.

Bunyi itu masih bergema dari dalam bilik air. Dada Adam berdebar-debar. Setahunya isterinya sedang lena di dalam bilik dan suara ini milik seorang lelaki. Dia yakin suara ini bukan milik abahnya yang terang-terangan sedang berada di ruang tamu.

“Krekkk…” pintu bilik air terkuak perlahan-lahan.

Adam tergamam. Dia sudah tidak mampu untuk bertahan di situ dengan lebih lama lagi. Tanpa memeriksa keadaan pintu dan tingkap, dia bergegas naik ke atas untuk bersama-sama abahnya.

Pak Mad memandang anaknya dengan hairan. Wajah Adam pucat dan dahinya berpeluh-peluh dengan torchlight di tangan kanannya.

“Kau kenapa?”

Adam menggeleng-geleng. Mulutnya bagaikan terkunci. Suaranya tersekat di kerongkong. Dia meminta diri untuk menyambung tidurnya.

Pak Mad mengeluh. Ada-ada sahajalah si Adam ni.

Dia kembali ke bilik belakang dan menutup keranda dengan kain hijau. Mudah-mudahan tiada lagi bunyi atau benda yang aneh-aneh berlaku selepas ini.


     3:45 pagi.

     Pak Mad tersentak. Bunyi yang sama lagi! Apa pula kali ini?

“Bunyi apa tu bang?” kali ini Mak Leha turut mendengar bunyi yang sama. Bunyi sesuatu beralih diselangseli dengan bunyi mengerang dari bilik sebelah. Meremang pula bulu romanya.

Pak Mad tidak menjawab soalan isterinya. Dia bingkas bangun dan meluru keluar. Dia bertemu dengan anak menantunya di ruang tamu.

“Bunyi apa tu bah?” soal Adam, berbisik.

“Mari..” ajak Pak Mad. Adam membuntuti langkah abahnya dengan rasa seram sejuk. Eja dan mak Leha pula berpelukan di belakang. Sejuk lain macam pula rumah desa mereka pada dinihari itu.

Daun pintu ditolak oleh Adam.

“Allahuakbar…” ucap Pak Mad spontan.

Jenazah kini sudah keluar dari keranda. Ia terbaring di atas lantai dengan ikatan yang terbuka di kepalanya. Menampakkan sebahagian rambut dan dahi arwah.

Pak Mad bergegas masuk dengan Adam dan mengatur ikatan yang terbuka serta meletakkan arwah kembali ke dalam keranda. Urusan itu berlangsung hampir lima belas minit kerana keadaan tubuh arwah yang berat. Tidak mungkin arwah seberat itu kerana orangnya kecil dan kurus sahaja. Tidak seringan seperti mula-mula dia diangkat naik ke rumah.

Adam dan Pak Mad terduduk, termengah-mengah. Jenazah sudah selamat dikembalikan ke dalam keranda.

“Dam, ambik yasin,” usul Pak Mad dengan peluh yang masih mengalir di dahi dan di batang tengkuknya.

Adam mengangguk dan mencapai dua surah yasin lalu membacanya sehingga pukul 4:20 minit pagi. Ketika ia dibaca, suasana yang tegang serta-merta tenang dengan sendirinya.


     4:45 pagi.

     Empat beranak itu kembali berkumpul di ruang tamu selepas mendengar bunyi dahsyat yang datangnya dari bilik belakang. Ada suara lelaki melolong-lolong dengan bunyi keranda yang beralih ke sana-sini.

Pak Mad sempat mengunci bilik belakang sebelum masuk tidur tadi. Kali ini dia tidak terus meninjau keadaan di bilik itu. Isteri dan menantunya sudah menggigil dan berdiri berdekatan pintu utama sebagai persediaan. Manalah tahu kalau-kalau arwah bangun...

“Pasang ayat kursi,” Pak Mad berkata. Hanya ayat-ayat suci sahaja yang mampu menghentikan perbuatan syaitan iblis itu.

Adam memasang cd playerdan memainkan cd bacaan ayat kursi. Semakin kuat pula amukan yang sedang berlaku di bilik tersebut. Mujur Pak Mad sempat menguncinya. Mereka hanya menunggu keadaan reda.

Blackout.

“Takde elektrik bah!” Adam berkata panik. Bacaan ayat kursi sudah tiada. Ia terpadam sekali dengan arus elektrik.

“Bawak bertenang. Baca sendiri..”

Namun bacaan Adam, Eja dan Mak Leha lintang-pukang kerana dibawa rasa cemas. Hanya Pak Mad sahaja yang membacanya dengan tenang. Tangannya meraba-raba lampu suluh yang terbongkang di atas meja.

Beberapa minit selepas itu…

“Krekkk…”

Bunyi daun pintu yang terbuka membuatkan Pak Mad menyuluh ke bilik belakang. Ya, pintu bilik itu sudah terbuka separuh. Debarannya kian terasa menghentam tulang dada.

Pak Mad menguatkan bacaannya. Dia tidak akan membiarkan dirinya dikuasai ketakutan pada syaitan dan iblis!

“Kreekkk……..”

Daun pintu terkuak semakin luas. Bacaan Pak Mad terhenti. Dia terkedu.

“Astaghfirullahaladzim…” Mak Leha beristighfar panjang melihat kain putih yang kelihatan di sebalik daun pintu yang terbuka itu.

“Dia ada kat situ bang…” bisiknya pada suami. Pak Mad mengerut kening. Arwahkah yang dimaksudkan isterinya?

“Adam, teruskan bacaan..” Pak Mad meneruskan bacaan kursi selepas mengarahkan anaknya supaya membuat benda yang sama.

Kali ini Adam lebih tenang walaupun jantungnya berdegup pantas. Dia memejamkan mata dan bacaannya tidak lagi lintang-pukang. Eja dan Mak Leha pula masih tidak dapat membaca ayat-ayat suci dengan betul akibat rasa takut dengan apa yang sedang berlaku di depan mata.

Mak Leha dapat melihat dengan jelas bagaimana kain putih itu seolah mengintai mereka dari balik pintu. Lampu yang dipegang suaminya tersuluh tepat ke situ. Dia bagaikan mahu pengsan. Kepala lututnya sudah lembik.

Arus elektrik yang kembali berfungsi melegakan mereka. Bacaan kursi dari cd bermain semula. Pak Mad dan Adam memberanikan diri untuk ke bilik belakang kerana keadaan sudah tidak setegang tadi.

Daun pintu ditolak dengan hati-hati. Jenazah masih berada di dalam keranda dan keadaan bilik itu juga kemas. Tiada apa-apa yang diusik. Kesudahannya, mereka tidak dapat melelapkan mata sehingga pagi.

Selepas subuh dalam pukul lapan pagi, keluarga arwah tiba. Sempat mereka duduk berbual di situ dalam sejam dua dan terus bertolak pulang kerana tidak mahu menangguhkan urusan pengebumian arwah dengan lebih lama lagi.

Apa yang berlaku sepanjang dinihari itu tidak diceritakan. Biarlah ia menjadi rahsia sahaja. Khuatir jika ia hanya akan mengaibkan jenazah dan keluarganya. Mereka dihantar pulang dengan senyuman pahit di bibir masing-masing. Syukur akhirnya jenazah selamat dibawa pulang ke Perlis. Semoga urusan pengebumiannya berjalan dengan lancar.

Pak Mad kembali mengunci kemas bilik itu. Entah mengapa ia seperti meninggalkan satu kesan yang mendalam dalam dirinya dan keluarga.

Ya ALLAH ya Tuhanku, semoga Engkau mengasihi roh arwah, amin…


     Ikatan di kepala arwah terbuka perlahan-lahan. Sebahagian wajahnya terdedah dan tiada seorangpun yang perasan akan hal ini kerana dia terbaring kaku di dalam keranda.


                                                                   TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.