“Hujung minggu ni kita
nak buat apa ye?” Liesa bertanya. Jemarinya bermain-main dengan sudu kecil di
dalam mug.
Fiqah yang dipanggil
dengan panggilan Oshin mengerling ke arah Anna. Pandangan mata keduanya
bertemu. Oshin mengangkat-angkat keningnya. Dia sudah ada idea!
“Aku tau nak buat apa
Sabtu ni. Kau orang nak join ke kalau aku cakap?” Oshin memulakan misi memujuk
rakan-rakannya. Pasti ia akan menjadi kenangan ‘manis’ Liesa dan Anna sampai
bila-bila.
“Nak pergi mana?” soal
Liesa penuh curiga. Dia yang sedikit penakut mula merasa tidak senang hati.
Oshin kan suka mengajak mereka ke tempat-tempat yang keras. Berhantu la senang
cerita.
“Jap, aku nak call
Iddia,” Oshin mendail nombor telefon rakan lelaki mereka. Iddia Hasmat, seorang
pemuda yang begitu menggilai dunia paranormal. Ingin ke kawasan-kawasan yang
penuh mistik? Beritahu sahaja, pasti dia akan membawa sesiapa yang ingin ke
sana.
Liesa terkebil-kebil.
Eh gilalah! Takkanlah betul-betul mahu ke tempat berpuaka?
Anna pula sekadar
tersenyum pahit. Dia tidak menolak jika mereka benar-benar akan melawat kawasan
keras. Sempat dia memandang Liesa yang sudah pucat.
Iddia berhenti
mengunyah kuih karipap apabila mendapat panggilan telefon dari Oshin. Panggilan
itu dijawab malas, “Ye Oshin?”
“Kau bawak kitorang ke
muzium lama hari Sabtu ni…”
“Aik tiba-tiba aje?”
“Yelah, kau nak bawak
tak ni?”
“Beres! Nanti aku ke
rumah korang pukul 9 pagi Sabtu ni…”
Oshin mematikan talian
dengan mulut tersenyum lebar. Tidak lama kemudian, Liesa datang sambil mencuit
lengannya. Wajah rakannya nampak bengang.
“Oi Shin!
Memandai-mandai je kau ye? Apa kejadah nak ke muzium lama pulak ni?” Liesa
bertanya marah. Merah padam mukanya.
Rasa mahu sekeh-sekeh saja si Oshin ini.
“Ala, kau nak takut apa
Liesa? Muzium je kot..” Anna mengusik rakannya.
“Muzium je kot? Wei,
itu muzium lama! Muzium berhantu kau tau tak??” marah betul Liesa. Tawa Anna
dan Oshin berderai. Liesa memang penakut..
“Kau percaya ke muzium
tu berhantu? Kisah dongeng je semua tu,” Anna berkata yakin. Oshin mengangguk
setuju.
Liesa mengeluh.
Sabtu.
Iddia membunyi-bunyikan
hon kereta di hadapan rumah tiga sekawan itu. Dia tiba di situ tepat pukul 9
pagi. Bersemangat betul dia mahu menghabiskan masa di muzium berpuaka.
Oshin, Anna dan Liesa
beriringan keluar dari rumah. Bergegas masuk ke kereta Iddia. Agak lama juga
lelaki ini menunggu di luar tadi. Al-maklumlah orang perempuan apabila berhias
memang mengambil masa yang boleh tahan lama.
“Nak ke muzium berhantu
pun pakai mekap?” sindir Iddia. Dia tersenyum sinis.
“Ala biasalah orang
perempuan. Kau apa tau?” Oshin membuat serangan balas. Dia mencebikkan bibir.
Liesa hanya membisu
seribu bahasa di belakang. Dia tiada mood untuk bergurau senda. Sudahlah
terpaksa mengekori rakan-rakannya ke muzium berpuaka! Ada-ada sajalah plan
hujung minggu manusia-manusia ini. Hish, macam tak ada tempat lain nak pergi!
Bebelnya dalam hati.
“Senyap je Liesa? Ala,
jangan takut..Abang Iddia kan ada?” Iddia mengusik nakal. Oshin menyenggol
rusuk lelaki itu.
Amboi gatal!
Iddia mematikan enjin
kereta di hadapan muzium lama. Ia sudah lama terbiar. Sudah puluhan tahun tidak
terjaga. Tiada siapa yang berani ke situ walaupun pada siang hari. Iddia
tersenyum dan beredar keluar sambil berdiri menghadap ke muzium itu. Dia sudah
tidak sabar mahu memulakan misi meneroka kawasan misteri itu.
“Jom masuk,” ajak Iddia
lalu berjalan masuk.
Anna memaut lengan
Liesa. Gadis itu masih ragu-ragu untuk masuk dan rela menanti di luar sahaja.
“Jomlah masuk. Kau berdiri
kat luar ni, ingat selamat?” Anna mengugut.
Liesa menelan liur.
Okey, ada betulnya kata-kata Anna itu. Tiada pilihan lain, dia terpaksa masuk
ke kawasan muzium itu juga. Tidak semena-mena dia terjebak dengan rancangan
berani mati ini.
Iddia berjalan beberapa
langkah di hadapan. Dia teruja melihat potret-potret lama yang tergantung di
dinding. Salah satu potret itu memeranjatkan Liesa. Dia menjerit ketakutan.
“Kenapa?” soal Oshin
dan Anna serentak. Iddia pula sekadar menanti penjelasan dari Liesa.
“Potret tu bergerak!”
Liesa menunjuk ke arah potret yang dimaksudkan.
Mata Iddia, Anna dan
Oshin tertancap pada potret tersebut. Potret seorang remaja lelaki berumur 16
tahun berbangsa Inggeris. Bila dilihat, tiada apa-apa yang menarik pun. Hanya sebuah
potret lama.
“Aku tengok dia jelir
lidah tadi! Panjang kot lidah dia!”
Anna memandang Oshin. Tidak
dinafikan bulu roma mereka sudah meremang. Namun Iddia sekadar mencebik dan
tidak mempercayai Liesa. Baginya, Liesa sengaja mengada-adakan cerita supaya
mereka boleh cepat-cepat pulang. Dia tidak akan termakan dengan permainan
Liesa.
“Kita ke sebelah sana
pulak,” ajak Iddia tanpa mengendahkan ketakutan yang sedang dirasai Liesa.
Liesa mengetap bibir.
Dia bercakap benda yang betul! Memang potret itu terjelir-jelir memandang ke
arah mereka. Okey, bulu roma semakin tegak berdiri. Kini kedudukannya
betul-betul bersebelahan potret itu. Seperti ada benda yang bergerak-gerak
sahaja. Dia tidak mahu menunggu lama, dia berlari mendapatkan rakan-rakannya
yang sudah berada jauh di hadapan.
Oshin, Anna dan Liesa
terlopong melihat dinding yang diconteng dengan ayat-ayat kuno yang mereka tidak
faham apakah maksudnya. Seperti ayat-ayat pemujaan pun ada. Seriau mereka
melihatnya.
“Weh, kita baliklah. Aku
dah rasa semacam je,” Liesa berbisik. Sejujurnya ada sesuatu yang dilihatnya
beberapa saat yang lepas.
“Awal lagi kot nak
balik. Kita duduk sini dalam sejam dua lagi..” Iddia berkata tegas. Langsung tidak
mempedulikan perasaan Liesa.
“Kita baliklah!” marah
Liesa. Dia sudah tidak ingin berada di situ lama-lama!
Oshin dan Anna memujuk
Liesa. Mereka bersimpati dengan Liesa yang sudah hilang kesabaran dengan
perangai Iddia. Lelaki ini memang langsung tidak mengasihaninya.
“Didi, kita baliklah
yek? Aku pun dah semacam dengan tempat ni,” Anna menyokong keputusan Liesa. Sebenarnya
dia turut ternampak sesuatu yang dia tidak patut lihat.
“Penakutlah korang ni. Tu
la, nak pergi sangat..” Iddia berkata mengejek. Jika dia tahu menjadi begini,
sudah tentu awal-awal lagi dia tidak bersetuju dengan plan Oshin untuk ke situ.
“Kau nampak tak tadi?”
Liesa bertanya. Anna mengangguk.
“Korang nampak apa?”
tanya Oshin.
“Kain putih penuh darah
kat balik dinding tu…” bisik Anna. Mata Oshin terbuntang. Biar betul?
“Kau tak cium ke bau
hanyir sekarang ni?” tanya Anna lagi.
Oshin menarik nafas dan
kemudian menghelanya perlahan. Ya, ada bau hanyir seperti darah. Tidak lama kemudian,
bau busuk seperti bangkai pula menyerang rongga pernafasan mereka. Pantas
mereka menutup hidung dengan tangan. Mahu termuntah!
“Di, jomlah balik. Aku pun
rasa tak sedap hati ni,” Oshin memujuk Iddia.
“Ala lecehlah korang
ni. Jom lah balik!” akhirnya lelaki itu mengalah. Dia mengajak para gadis itu
pulang walaupun dia masih belum puas meneroka. Masih banyak lagi sudut yang dia
ingin terokai.
“Eh, kat sini balik?”
Oshin melilau memandang ke sekeliling. Mereka kembali ke tempat tadi.
“Rasanya dah agak jauh
kita berjalan…” Iddia menggaru kepala.
Bunyi desiran di lantai
simen menakutkan mereka. Semua mata tertumpu pada lantai di hadapan mereka. Sudut
itu kelam sekali. Pandangan mereka sedikit terbatas. Ada kain putih yang
terseret di situ. Makin lama makin panjang kainnnya. Ada kesan tompokan darah
di situ.
Mereka bertempik hingga
ke puncak suara. Berlari mencari jalan keluar walaupun mereka akan tetap
kembali ke tempat yang sama. Selepas Anna, Liesa dan Oshin membaca ayat suci
al-Quran, akhirnya mereka berjaya mencari jalan keluar. Di luar, langit jingga
yang menyapa mereka. Oshin memeriksa jam di tangannya, sudah pukul 6:40 petang.
Tidak lama lagi waktu maghrib akan tiba.
Padahal mereka berada
di dalam tidak sampai dua jam. Sudah berapa lama sebenarnya mereka terperangkap
di dalam?
“Iddia mana?” Anna
bertanya cemas.
“Ya Allah! Dia
terperangkap kat dalam kot?” Oshin juga panik.
Kedengaran suara Iddia
menjerit-jerit meminta tolong dari dalam muzium. Mereka serbasalah. Mereka mesti
menyelamatkan Iddia tetapi mereka tidak berani untuk kembali ke dalam. Jadi bagaimana??
Telefon Oshin
berbunyi-bunyi.
“Hello?”
“Oshin! Kenapa baru
angkat call?”
“Ni siapa?”
“Ni Iddia lah. Kau dah
kenapa tak kenal dengan aku lagi?”
“Ha??”
“Aku dari pagi tadi
call kau nak cakap yang hari ni aku ada hal kecemasan. Tak jadi ikut korang ke
muzium tu. Next week okey?”
Oshin ternganga. Matanya
memandang tepat ke wajah Liesa dan Anna.
“Kenapa Oshin? Siapa
yang call?”
Kemudian Oshin
memandang muzium tidak berkelip-kelip. Suara ‘Iddia’ masih lantang meminta
tolong. Dan dia juga baru sedar yang kereta juga tiada di situ…
“Oshin, kenapa ni?”
Liesa dan Anna menyoal Oshin bertubi-tubi.
Siapa yang bersama
mereka sepanjang hari tadi? Itu bukan Iddia yang sebenarnya?
Kemudian matanya
bertemu dengan ‘Iddia’ di pintu utama muzium. Dia sedang tersenyum sambil
menghadap ke arah mereka tanpa bebola mata.
*TAMAT*