POTRET LAMA
Jangan
sentuh apa-apa. Kalian hanya dibenarkan
untuk melihat sahaja.”
Ungkapan
ini sering bermain di minda Isyana apabila melihat Afiq dan Haris yang asyik
bercanda tawa“ sejak tadi. Malah, mereka langsung tidak memberi perhatian
disaat penjaga banglo, Encik Hamdi memberi sedikit peringatan ringkas.
“Hisy...
cantik betul banglo ni!” Puji Afiq sambil memetik sekuntum bunga pohon kemboja
yang ditanam berhadapan banglo putih yang dibina pada tahun 1857 tersebut.
“Kau
ni tak dengar ke apa yang Encik Hamdi pesan tadi? Jangan sentuh apa-apa.” Getus
Isyana. Mahu saja dia mencubit telinga Afiq.
Afiq
dan Haris saling berpandangan antara satu sama lain sambil bergelak tawa.
Mereka langsung tidak ambil kisah dengan apa yang dipesan Encik Hamdi. Bagi mereka,
peringatan itu tidak memberi sebarang makna yang perlu dipatuhi.
Pintu
utama banglo putih itu dikuak dengan perlahan sebaik Isyana membuka selak
pintunya menggunakan kunci yang dibekalkan Encik Hamdi. Hampir seluruh ruang di
dalam banglo itu dilitupi dengan kain putih. Habuk-habuk mula berterbangan
sebaik angin bertiup masuk.
Tanpa
sebarang kata, Afiq dan Haris segera menapak masuk serentak meninggalkan Isyana
di belakang. Isyana masih terkebil-kebil memandang susun atur gaya inggeris di
dalam banglo tersebut. Susunannya mirip dengan gambaran yang bermain di dalam
mimpinya tempoh hari.
**
“Macam
mana aku boleh ada di sini?” Hairan Isyana sambil menggaru kepalanya.
Dia
mula mendekati sebuah potret lama yang tergantung rapi dinding ruang tamu.
Jari-jemari runcingnya mula mengusap potret itu dengan perlahan. Ternyata ianya
dilukis di atas kain kanvas. Potret itu memaparkan seorang lelaki dewasa yang
duduk di atas kerusi malas sambil wajahnya menghadap ke arah lain. Tetapi, apa
yang bermain difikirannya adalah warna lukisan tersebut. Warnanya seolah-olah
pucat. Langsung tiada tarikan.
“Grr...”
Suatu
bunyi ganjil menjengah ke ruang telinga Isyana. Dia menoleh wajahnya memandang
sekeliling. Namun, tidak ada yang mencurigakan. Kelibat manusia langsung tidak
dilihatnya sejak pertama kali dia menjejakkan kaki di dalam banglo tersebut.
“Grr...”
Sekali
lagi bunyi ganjil itu muncul. Kali ini disertakan juga dengan bunyi seringai
yang garang. Isyana segera menoleh ke belakang dengan pantas. Apa yang
dilihatnya adalah satu susuk makhluk hitam berbulu yang sedang memerhatinya
dengan pandangan yang begitu tajam.
Isyana
mengerakkan tubuhnya ke belakang dengan perlahan-lahan sebelum dia ingin
melarikan diri. Mulutnya seolah-olah terkunci. Tiada yang mampu keluar melalui
ruang mulutnya disaat makhluk itu muncul dengan tiba-tiba.
“Jangan
ganggu aku...” Desis Isyana di dalam hatinya.
Malang
tidak berbau, Isyana telah terpijak sesuatu yang berbentuk seakan-akan sfera di
atas lantai. Tidak semena-mena Isyana jatuh tersembam di hadapan lembaga hitam
itu. Dia terkesima seraya melihat raut wajah makhluk berbulu yang seakan
beruang itu yang sangat pelik. Tidak seperti beruang-beruang yang pernah
dilihatnya di kaca televisyenselama ini.
Belum
sempat dia bangkit, objek yang berbentuk seakan-akan sfera itu bergolek ke arah
Isyana. Dia mengamati objek itu dengan terperinci di bahagian belakang. Sebaik
bahagian depan terkalih dengan sendirinya, dada Isyana berdegup kencang seperti
mahu meletup.
“Teng...korak!”
Jerkah Isyana kerana begitu kaget.
**
“Hoi...
kau mengelamun apa, Isyana?” Soal Haris sebaik terlihat Isyana yang sedang
berdiri pegun di muka pintu.
Mata
Isyana berkelip-kelip pantas sebaik Haris menegurnya. Dia menggenyeh kedua
belah matanya dengan tapak tangan. Dia tahu dia baru sahaja tersedar daripada
lamunan. Namun, apa yang menjadi persoalan saat ini adalah, kenapa banglo putih
ini mirip dengan gambaran banglo yang menjengah ke dalam mimpinya beberapa hari
yang lalu.
“Kau
ni, kita datang nak kaji sejarah tentang pembinaan banglo ini. Bukan nak tengok
kau mengelamun.” Sakat Afiq sambil tertawa terbahak-bahak.
Isyana
hanya memandang Afiq bagai tiada perasaan. Dia segera menyusun langkah ke ruang
tamu banglo tersebut. Diamatinya segenap ruang tamu itu sambil mengingati
kembali gambaran di dalam mimpinya. Cuma yang membezakannya, hampir semua
peralatan dan perkakas ditutup dengan kain putih.
Jika
diikutkan hati, mahu saja Isyana menanggalkan kain putih itu namun peringatan
yang disampaikan Encik Hamdi sentiasa bermain di kotak mindanya. Mungkin ada
sebab kenapa Encik Hamdi memberi peringatan seperti itu.
“Empuk
betul sofa ni.” Ujar Afiq seraya melompat-lompat di atas sofa merah buatan luar
negara itu.
“Afiq!”
Herdik Isyana sambil menjegilkan matanya pada Afiq.
Sementara
itu, Haris dilihat sedang berjalan perlahan mendekati penjuru ruang tamu. Tiba
tiba sahaja langkah kakinya terhenti. Dia memalingkan wajahnya menghadap pada
sebuah potret yang masih diselubungi kain putih. Serta-merta tangan kanannya
menarik jatuh kain itu dan dicampaknya ke atas lantai.
“Haris...”
Desah Isyana. Kedua belah matanya terlopong kala melihat gambar potret itu.
Gambarnya
mirip seperti di dalam mimpi Isyana. Dia mulai getar. Lidahnya terkelu bukan
kepalang. Tetapi cuma ada sedikit kelainan yang kelihatan begitu jelas sekali.
Tompokkan merah pudar dilihat memenuhi di ruangan bawah potret. Sepertinya
tompokkan yang terhasil daripada titisan darah.
“Wow...
barang baik ni.” Afiq segera mendekati potret itu. Dia mengamatinya dengan
penuh keterujaan.
“Kalau
jual niconfirm kaya, Afiq.” Jawab
Haris sambil memeluk bahu Afiq.
“Ada
harga ke?” Tanya Afiq sambil tersenyum. Dia mula berminat dengan cadangan
Haris.
“Tak
silap aku, ratus ribu jugalah. Kau tengok seni lukisannya. Perfecto!” Tambah Haris lagi.
Isyana
yang mendengari perbualan mereka mula tidak senang. Lekas dia mendapatkan
mereka di penjuru ruang tamu.
“Kita
datang sini untuk siapkan tugasan. Bukan borak kosong macam kau orang ni!”
Berang Isyana sambil menjeling pada Afiq dan Haris.
“Relaxlah. Orang cakap, sambil menyelam
minum air.” Seloroh Afiq sambil mentertawakan Isyana. Lekas potret itu
diambilnya lalu dimasukkan ke dalam beg galasnya.
Isyana
tidak mampu untuk berkata apa-apa. Mulutnya terkatup rapat. Sebaliknya dia
hanya mampu menadah tangan di dalam hati supaya mereka semua selamat daripada
segala kejadian yang tidak diingini. Risau juga jika kelibat makhluk berbuludi
dalam mimpinya itu mula munculkan diri.
“Haris
mana?” Soal Isyana sambil melingas pada Afiq.
Sekelip
mata sahaja, Haris telah hilang daripada pandangan mata mereka. Suasana di
dalam banglo tersebut juga bertukar menjadi suram. Cahaya matahari yang
menerobos masuk melalui celahan tingkap mula pudar hingga akhirnya menjadi kelam.
Afiq dan Isyana saling bertukar pandangan. Jauh dilubuk hati Isyana sudah
merasakan akan ada sesuatu kejadian yang buruk bakal berlaku.
“Jom
kita cari Haris dulu.” Ajak Afiq sambil menggamit pada Isyana.
Isyana
hanya mengangguk tanda setuju.
Belum
sempat Isyana dan Afiq berganjak dari ruang tamu, suatu angin kuat menyelinap
masuk melalui ruangan tingkap yang sedikit terbuka. Hampir saja mereka berdua
ditimpa sebuah jam antik besar yang berada betul-betul dihadapan tingkap
tersebut. Segera Isyana dan Afiq mendaki anak tangga ke tingkat atas sejurus beg
galasnya yang berisi potret lama itu digalas rapi.
Belum
sempat anak tangga terakhir dipijak Isyana dan Afiq, satu lembaga hitam berbulu
lebat muncul di hadapan mereka. Bebola matanya tersembul keluar. Gigi taringnya
yang besar dipenuhi dengan cecair merah pekat.
Tidak
semena-mena kaki kanan Isyana tergeleceh di anak tangga terakhir. Dia rebah hingga
terguling-guling menuruni anak tangga. Afiq yang tidak sempat menyelamatkan
Isyana daripada rebah segera berlari turun. Namun, pergerakannya terbatas
tatkala lembaga hitam berbulu itu juga turut mengejarnya.
“Jangan
lari... kau milikku.”
**
“Aku
dimana ni?” Soal Haris terpinga-pinga.
Haris
berada di dalam satu ruang yang sempit. Hampir saja dia sesak nafas kerana
ruang itu terlalu padat baginya. Pergerakkannya juga terbatas. Dia hanya mampu
berbaring pegun sambil kedua belah tangannya ditekup di atas dada.
Haris
juga sedang berusaha untuk melepaskan diri. Tetapi tangannya seolah-oleh diikat
oleh sesuatu. Dia mula mengerang untuk dilepaskan. Namun, suaranya tidak mampu
menembusi ruang yang sempit tersebut. Haris akur. Dia mula ingatkan TUHAN kala
itu.
“Ya
ALLAH. Selamatkanlah aku!” Pinta Haris di dalam hati.
Tiba-tiba
sahaja ruang sempit itu mula terlerai dengan sendirinya. Haris segera bingkas
bangun. Tangannya yang dirasakan seolah-olah diikat itu sudah beransur bebas. Dia
memerhati semula pada ruang sempit itu. Ternyata ianya adalah sebuah keranda
katolik yang kelihatan begitu lusuh.
Haris
menoleh wajahnya memandang sekeliling. Alangkah tergamamnya diapada saat itu
lantaran berada di tanah perkuburan agama kristian yang belum pernah
dilihatnya. Menggigil kedua belah kaki Haris sebaik matanya menancap ke arah
kayu berbentuk ‘t’ yang dipacak melata di atas tanah. Langit yang gelap mempengaruhi
suasana di tanah perkuburan itu. Makin lama makin dilihat begitu suram.
“Grr...”
Haris
lekas memaling wajahnya ke arah pohon teja usang. Tidak semena-mena asap kabus putih
memenuhi kawasan itu diselang-seli dengan bunyi seringai. Haris memerhati ke
arah pohon teja itu dengan terperinci. Belum pun sempat matanya dikerlip, satu
susuk tubuh lelaki tiba-tiba muncul seraya berjalan menghampiripohon teja itu.
Lantas
lelaki misteri itu meletakkan sebuah bingkai gambar yang terpapar potret lama
di atas rumput kering. Lalu dia mengeluarkan sebilah pisau rambo bergigi tajam
dan terus membenamkan mata pisau itu ke dalam perutnya.
Lelaki
misteri itu meronta-ronta sendirian seraya menekup perutnya untuk menahan
sakit. Namun, ditolaknya lagi hulu pisau itu hingga menembusi tubuh
belakangnya. Darah pekat memercik-mercik keluar dengan laju hingga membasahi
baju yang dipakainya. Kemudian, menitis sedikit demi sedikit di atas bingkai potret
itu.
“Aaa..aku
dd..dah tunaikan ppper..permintaanmu. Ambillah dar..darahku.” Tutur lelaki
misteri itu termengah-mengah.
Sepantas
kilat lelaki itu terus rebah betul-betul di atas bingkai potret itu. Haris yang
melihat kejadian itu terkesima buat seketika. Mahu saja dia mendapatkan lelaki
misteri itu namun ada sesuatu yang membuatkan hasratnya terhalang. Lembaga
hitam berbulu yang muncul sejurus lelaki misteri itu tersungkur.
Lembaga
hitam berbulu itu menyeringai sendirian sebelum dia mendekati lelaki misteri
tersebut. Dipandangnya tubuh lelaki itu yang lencun berlumuran dengan darah.
Lekas lembaga hitam berbulu itu membuka mulutnya dengan luas. Serta-merta
lidahnya terbit sepanjang enam kaki laluterus menjilat cecair merah pekat itu
hingga licin.
“Allahuakhbar!”
Tempik Haris sekuatnya.
**
“Isyana,
Isyana...”
Afiq
menggoncang tubuh Isyana yang masih terbaring kaku. Darah yang mengalir di
kepalanya hampir saja kering kerana sudah lama mereka terbaring di atas lantai.
Sebaik goncangan Afiq makin kuat, Isyana mula membuka kedua belah matanya
dengan perlahan. Lalu terkebil-kebil memandang wajah Afiq yang dipenuhi dengan
lebam.
“Ddd...dah
jumpa Haris?” Tanya Isyana. Biarpun keadaannya terlalu lemah, dia tetap memaksa
dirinya untuk bersuara.
Afiq
menggelengkan kepalanya dari kiri ke kanan. Lantas dia memapah Isyana ke ruang
tamu dan terus merebahkan Isyana di atas sofa. Dia melihat wajah Isyana yang
sedang menahan sakit. Entah mengapa perasaan serba salah mula menyemai
dibenaknya. Belum sempat dia menghenyak pinggul di sebelah Isyana, bunyi kuakkan
pintu yang deras kedengaran dengan begitu jelas.
“Siapa
tu?” Afiq bingkas mengatur langkah ke arah pintu masuk banglo tersebut.
Dia
memerhati daun pintu itu dengan teliti. Langsung tiada kesan pergerakan keluar
masuk yang terjadi. Keadaannya sama sahaja seperti tadi semasa mereka mula
menapak masuk ke dalam banglo itu. Perasaannya ketika itu sangat
berdebar-debar. Dadanya bagai dipalu kuat. Lekas dia menyusun langkah ke ruang
tamu semula. Dimindanya hanya memikirkan tentang Haris. Entah kemana dia
menghilangkan diri.
Tidak
semena-mena sekali lagi susuk lembaga hitam berbulu itu muncul di hadapannya.
Kali ini bebola matanya tidak tersembul keluar. Tetapi, bersinar-sinar bak biji
saga merah. Afiq tergamam disaat makhluk itu menunding kuku runcing lagi tajam
itu dilehernya. Dia tidak mampu berbuat apa-apa lantaran kedua belah kakinya
seolah-olah dipaku kemas. Afiq memejamkan kedua belah mata. Dia tidak sanggup
melihat dirinya dikorbankan oleh makhluk tersebut.
“Afiq!
Lepaskan beg kau.” Tiba-tiba sahaja Haris muncul dibelakangnya sambil
menarik-narik beg galas Afiq yang tersimpannya potret lama itu.
Afiq
segera meloloskan beg itu pada Haris. Tanpa berlengah masa, Haris terus
mencapai beg tersebut dengan pantas. Dia bingkas berlari dengan laju ke arah
ruang tamu tanpa menghiraukan makhluk berbulu yang mula mengejarnya. Alangkah
malang nasibnya kala kakinya tersadung dek bucu meja kopi yang berada di ruang
tamu. Beg yang terkandungnya potret lama itu terlepas dari genggaman tangannya.
“Ya
ALLAH!” Getus Haris sebaik makhluk berbulu itu sudah menghampiri dengan beg
tersebut.
Isyana
yang baru sahaja tersedar bingkas bangkit dari sofa. Walaupun kepalanya terasa
begitu berat, diterkamnya beg itu dengan pantas. Lekas Isyana
menghampiri dinding dimana tempat asalnya potret lama itu. Tanpa sebarang
bicara, dia meletakkan semula gambar potret itu dengan menyangkut gelung besi
kecil dibahagian belakang potret tersebut dengan cangkuk besi yang terpaku di
permukaan dinding.
“Jangan
lari... kau milikku.”
**
“Afiq!
Kau kenapa ni?” Soal Isyana seraya meneliti raut wajah Afiq yang begitu
gelisah.
Isyana
dan Haris mentertawakan Afiq usai taklimat ringkas Encik Hamdi bertemu tanda
noktah. Bebola mata Encik Hamdi juga terkebil-kebil memandang pada Afiq yang
baru tersedar daripada lamunan panjang. Hujung bibirnya juga terjongket sedikit
sejurus Haris menepuk bahu kanan Afiq beberapa kali.
“Saudara.
Kamu okey tak?” Tanya Encik Hamdi sebelum dia menyerahkan segugus kunci pada
Isyana.
Wajah
pucat lesi Afiq mula menimbulkan tanda tanya. Isyana segera menyerahkan gugusan
kunci itu pada Haris sebelum dia merapati tubuh Afiq yang masih berdiri pegun
di hadapan banglo putih tersebut.
“Afiq,
kau kenapa ni? Tadi kau yang excitedsangat
nak datang sini.” Ujar Isyana sambil menatap dalam wajah Afiq.
“Aku
rasa kita kena cancel. Aku nak balik.
Aku nak kau orang juga balik. Tempat ini tak selamat.” Desah Afiq seperti
diserang histeria.
“Mana
kau tahu tak selamat? Kita baru aje sampai. Tengok, Encik Hamdi baru aje datang
nak serahkan kunci tu.” Haris menuding jari pada Encik Hamdi yang berada di
bawah pohon kemboja.
Afiq
mengerling pada wajah Encik Hamdi. Dia terkesima lantaran Encik Hamdi mengukir
senyuman sinis yang mempunyai makna tersembunyi. Serta-merta wajah Afiq
dipenuhi dengan peluh. Langit di atas juga tiba-tiba bertukar warna sebaik Afiq
menoleh wajahnya ke arah banglo putih itu. Tiupan angin juga semakin kuat hingga
memukul-mukul tubuh Afiq untuk maju ke depan pintu banglo tersebut.
“Percayalah.
Ada sesuatu di dalam banglo putih ini yang membuatkan kita tak selamat!” Herdik
Afiq pada Haris dan Isyana. Dia terus menarik lengan mereka berdua supaya
mengikut perintahnya.
Haris
dan Isyana menukar pandangan antara satu sama lain sebelum mengekori Afiq dari
belakang. Sebaik mereka tiba di kereta, sekali lagi Afiq menoleh wajahnya ke
arah pohon kemboja dimana tempat Encik Hamdi berdiri sebentar tadi. Malangnya
dia sudah lenyap.
“Kenapa
muka kau sama dengan gambar lelaki dalam potret lama tu?” Desis Afiq didalam
hati sejurus dia merebahkan pinggul di tempat duduk pemandu.
“Eh!
Kunci tu kau dah serah balik tak?” Rungut Isyana pada Haris.
Haris
segera menyeluk tangannya dalam kocek. Malangnya kunci tersebut tidak ada di
dalam kocek seluarnya. Tetapi ada sesuatu yang menggantikan kunci itu. Lekas
Haris mengeluarkan ia.
“Tulang?!”
Tempik Isyana dengan lantang. Lantas dia menghenyakkan pinggulnnya di tempat
duduk belakang.
Tulang
putih yang bersaiz kecil itu dilemparnya Haris ke luar tingkap sebelum kereta
yang dipandu Afiq menyusur keluar dari laman banglo putih itu.
“Jangan
lari... kau milikku!”