Home Cerpen Seram/Misteri Mambang Main Atap
Mambang Main Atap
Diq Na
11/2/2021 16:59:22
3,920
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

            Seorang gadis menunggang motosikal melintasi rumah sewa. Ketiga-tiga penyewa, Jai, Muiz dan Ayob bersorak sambil melambai tangan. Gadis itu pula membalas dengan senyuman.

            Langit petang Sabtu hampir kelam. Kesemua pemuda yang baru pulang membeli-belah memunggah keluar barangan dapur dari bonet kereta. Belum sempat masuk rumah, mereka dikejutkan dengan suara budak lelaki.

            “Bang, tunggu!” laung Rizki sambil termengah-mengah.

            “Ni mesti nak kutip duit sewa.” Muiz bersuara.

            “Jai, duit sewa pada kau kan. Bagi ke Rizki. Bulan ni tuan rumah junior jadi wakil,” arah Ayob.

            Jai segera mengeluarkan duit sewa. Rizki hanya terpinga-pinga memandang not RM100 sebanyak lima keping itu.

            “Siapa nak duit sewa?” Anak sulung tuan rumah bertanya.

            “Dah tu nak apa? Aiskrim? Sorry dik. Zaman makan aiskrim dah berlalu. Kalau kopi tongkat ali ginseng ada,” tegas Jai.

            “Bukanlah. Nak tanya pasal Cik Emma, ada nampak tak?” soal Rizki sambil tersengih-sengih.

            “Laaa… baru aje lalu. Kami siap kenyit mata lagi. Pergi pasar malam gamaknya. Penuh bakul motor. Ni mesti ralit tengok kartun sampai tak sedar mak saudara balik. Habislah ayam goreng dengan sate pulun dek Raiza. Baik kau balik cepat. Karang tinggal tulang aje,” Muiz menyakat.

            “Itu Cik Asma. Nak cari buat apa,” jawab Rizki selamba.

            “Haaa… mesti anak penyewa baru sebelah rumah kau tu kan.” Ayob meneka dengan mata yang bersinar-sinar.

            “Yang tu Cik Embun.” Rizki pantas menidakkan tekaan.

            “Dah tu siapa Cik Emma? Penyewa baru nak masuk ke? Dia tak jumpa simpang rumah? Bujang lagi? Biar Bang Jai tunggu kat tepi jalan.” Jai menawar untuk membantu.

            “Cik Emma tu kucing nak beranak. Takut beranak merata-rata. Nak kurung dalam sangkar,” jelas Rizki.

            “Laaa… kucing. Macam mana rupanya?Nanti kalau ternampak keliling rumah ni kami telefon.” Muiz mencelah.

            “Cik Emma kucing siam. Kalau ada telefon ya,” pinta Rizki.

            “Yalah. Balik cepat. Takut kena sakat mambang pintu karang. Kirim salam Cik Asma sekali. Esok dia dah nak balik kampung,” pesan Ayob.

            Dengar sahaja nama mambang pintu, Rizki bergegas pulang. Namun sebaik mencecah jalan kampung, dia berpatah semula.

            “Kata laluan?”

            Rizki merenung wajah ketiga-tiga penyewa rumah. Ada jawapan yang ditagih daripada mereka.

            “Kata laluan apa?” Kesemuanya bersuara hampir serentak.

            “Yalah, kan tengah sibuk pasal mambang pintu. Kalau nak ambil Cik Emma karang mesti kena sebut kata laluan dulu. Kalau tak sebut, tak buka pintu. Apa kata laluannya?” Rizki menanti jawapan.

            “Sambil lalu aje dia perli. Nasib baiklah anak tuan rumah.” Ayob membalas sambil mencekak pinggang.

            “Tak da kata laluan. Kami dah insaf. Tak keluar dan balik malam kecuali ke masjid aje. Kalau ketuk pintu rumah sambil sebut kata laluan maknanya itu mambang pintu. Sampai ke subuhlah kau ketuk. Cik Emma ke, Cik Asma ke, Cik Embun ke, lantaklah. Kami takkan buka. Faham. Balik lekas. Hari dah gelap ni,” terang Muiz.

            Misteri ketukan pintu rumah kembali panas akhir-akhir ini. Jika setahun lalu, ketukan misteri itu bermula di Pekan Batu Lapan, kali ini berlaku di sebuah kampung yang terletak di utara tanah air. Kemudian merebak ke kampung-kampung sebelah. Dari daerah ke daerah sehinggalah merentas negeri.

            Kini, ketukan misteri itu sudah menjelajah satu negara. Saban hari ada sahaja berita mengenainya di akhbar dan media sosial. Hal itu menimbulkan suasana panik di kalangan orang ramai.

            Jai, Muiz dan Ayob tidak terkecuali. Mereka antara yang terkena sewaktu kejadian tahun lepas. Kisah yang dialami oleh mereka terpampang di blog paranormal dan Youtube. Glamor sekejap ketiga-tiganya.

            “Dah baca info terbaru? Ada seorang bomoh kata bukan kerja manusia biasa tapi manusia jadian.” Jai merancakkan suasana makan malam dengan membuka cerita ketukan misteri sambil meratah ayam goreng.

            “Akupun ada baca dalam FB. Tahun lepas, benda tu cari sembilan pintu. Sekarang nak 99 pintu. Lepas tu 999 pintu. Akan datang 9999 pintu. Begitulah seterus-seterusnya. Tujuannya nak uji ilmu.” Muiz pula menambah rencah ke dalam cerita yang sedang dibualkan.

            “Agak-agaklah kan, dalam 99 pintu yang manusia jadian tu ketuk, termasuk sekali pintu rumah sewa kita ni tak?” Ayob merenung wajah kedua-dua teman dengan perasaan cuak.

            “Takkanlah. Benda tu dah pernah kacau rumah sewa kita. Kali ni mesti rumah lain,” Telahan Jai lalu menyuap nasi.

            Sedang ketiga-tiganya enak menikmati juadah, mereka diganggu dengan bunyi sesuatu berjalan di atas atap. Bebola mata pemuda-pemuda itu pantas menongkat siling. Selepas berjalan mundar-mandir, bunyi berlari pula kedengaran.

            “Kali ni dia main ataplah…” Jai yang paling penakut bersuara.

            “Syyy… jangan tegur.” Ayob cepat-cepat memintas.

            Selepas itu tidak berlaku apa-apa lagi. Mereka cepat-cepat menghabiskan makan malam walaupun selera sudah patah.

            Malam itu mereka memutuskan untuk tidur di ruang tamu. Kenangan yang menakutkan setahun lalu menerpa ingatan masing-masing. Pengalaman itu banyak memberi pengajaran kepada mereka. Rumah sewa pun dipenuhi dengan alunan ayat-ayat suci Al-Quran.

            Menjelang tengah malam, setelah yakin tiada gangguan lagi, mereka mematikan radio dan lampu. Sangkaan mereka ternyata meleset. Belumpun sempat lena, bunyi berjalan dan berlari kedengaran lagi. Bunyian di kala suasana sekeliling sunyi sepi itu lebih menyeramkan.

            Tidak cukup sekadar berjalan dan berlari, kali ini gangguan itu turut berlaku di dalam siling rumah. Bunyi seretan, bunyi mengais, sesuatu tergolek dan bermacam-macam lagi sampailah ke pagi.

            Timbul sahaja sang mentari, mereka bertiga mengadu kepada tuan rumah. Johan dan Cik Maiza tidak percaya yang gangguan itu berpunca daripada mambang pintu kerana kesemua rumah sewa sudah ‘dipagar’ oleh Tok Mubin.

            Johan meminta pertolongan sahabatnya Pudin, seorang tukang rumah untuk memeriksa bahagian siling. Dia mengesyaki ada binatang buas. Namun hasil pemeriksaan Pudin, tiada sebarang hidupan di dalam siling selain beberapa ekor cicak. Jai, Muiz dan Ayob bertambah seriau.

            “Sepatutnya tak da gangguan. Nak-nak lagi rumah sewa ni. Berlapis-lapis pagarnya tak macam yang lain. Termasuklah rumah tuan rumah sendiri. Agaknya mambang pintu ni dah up grade ilmu. Kalau dari pintu naik ke atap tu kira tahap tinggilah.” Andaian Johan.

            “Habis tu macam mana bang. Dahlah semalaman tadi tak tidur. Buatnya malam karang benda tu kacau lagi, masak kami. Esok kerja. Ada yang pergi kerja dengan mata beruang panda nanti.” Muiz meluahkan kegusaran.

            “Kita lawan! Kalau benda tu dah up grade ilmu, kita kenalah top up pagar selapis dua lagi. Barulah betul,” usul Johan.

            “Nak up grade ke, upload ke, up date ke, up to date ke, ikutlah. Janji tak kacau dah.Tak terbayang muka kucing hitam mata merah yang garang macam singa tu tiba-tiba muncul nak terkam kami. Eee…,” celah Ayob.

            “Kau orang jangan bimbang. Serahkan perkara tu pada aku dengan Tok Mubin,” sambung Johan.

            Selepas maghrib, Johan dan Tok Mubin pergi ke rumah sewa. Pengamal perubatan alternatif itu baru hendak memulakan upacara ‘memagar rumah’ apabila gangguan muncul semula. Muka Jai, Muiz dan Ayob terus berubah.

            Johan mengamati bunyi yang kedengaran di atas atap. Seakan pernah didengar sebelumnya dan dia mengerah seluruh ingatan.

            “Ini ke bunyinya?” Tuan rumah itu bertanya.

            Ketiga-tiga penyewa mengiakan pertanyaan dengan anggukan. Masing-masing sudah tidak mampu membendung ketakutan lagi.

            “Aku tahu siapa punya kerja. Jom tengok betul ke tak tekaan aku,” ajak Johan penuh berani.

            “Biar betul bang. Buatnya benda tu terkam kita karang.” Jai yang terkenal dengan sifat penakutnya tidak bersetuju dengan tindakan Johan.

            “Jangan takut. Yang jadi mambang atap tu bukannya benda lain, percayalah.” Sekali lagi Johan menyatakan keyakinan.

            Antara berani dan tidak, ketiga-tiga pemuda itu mengekor di belakang. Di perkarangan rumah Johan menyuluh ke bumbung namun tidak kelihatan apa-apa. Bunyi berjalan juga sudah senyap.

            “Cik Emma ke tu?”

            Tetap tiada apa-apa yang muncul. Jai, Muiz dan Ayob kecut perut. Nampaknya peristiwa menyeramkan setahun lalu berulang lagi. Cuma kali ini berbeza. Mambang itu terjun dari atap dan bukannya kabinet dapur.

            “Cik Emma ooo Cik Emma. Cik Emma ke tu?”

            Kali ini kedengaran bunyi leguh-legah di atas atap. Satu objek putih pun muncul. Johan segera menghalakan lampu suluh ke sudut hujung rumah. Bunyi mengeong memecah gelap malam.

            “Haaa… kan betul. Jadi kaulah yang menyakat bebudak ni ya. Tunggu situ diam-diam. Jangan terjun, karang terberanak. Abah balik ambil tangga kejap. Tunggu ya. Kejap aje.”

            Setelah Cik Emma turun, keadaan yang tegang kembali tenang. Johan tidak putus-putus mentertawakan penyewa rumahnya.

            “Kamu bertiga ni kan, kalau tak menghuru-harakan kampung, tak sah. Tahun lepas masa mambang pintu buat kacau, kamu jugalah yang menaikkan nama Pekan Batu Lapan. Jai, Muiz dan Ayob, satu Malaysia kenal. Sesak nafas aku tadi. Rasanya dah betul pagar yang aku buat. Jangan kata mambang. Mak, pak, tuk, nek dan segala cucu cicit keturunannya pun tak boleh lepas,” omel Tok Mubin.

            “Misteri mambang atap terjawab. Masuklah tidur. Cik Emma, kita balik ya,” Johan mengusap kucing kesayangan.

            Ketiga-tiga pemuda itu meluru ke pintu rumah. Walaupun telah terbukti Cik Emma lah mambang atap namun berlama-lama di luar hari malam sebegini tetap membuatkan mereka seram sejuk. Lebih-lebih lagi kejadian ketukan pintu penuh misteri itu sudah sampai ke daerah sebelah.

            Jai membuka pintu namun pintu terkunci. Mereka saling berpandangan. Bagaimana pula boleh terkunci? Muiz pula mencuba tetapi tidak berjaya. Ternyata pintu itu telah dikunci dari dalam.

            “Mak, nak susu!” Ayob dengan tidak sengaja menyebut kata laluan terakhir pintu rumah mereka.

            “Hoi, jangan sebutlah. Kan kita dah janji. Kau seru mambang pintu tu semula buat apa.” Muiz memberi amaran.

            Pintu yang terkunci terus terbuka. Semua terlopong. Bunyi berkeriut yang terhasil membuatkan jantung berdegup kencang. Ketiga-tiga pemuda itu mengundur kebelakang. Pintu yang ternganga terkatup dengan kuat.

            “Aghhh…!”

            Jai, Muiz dan Ayob menjerit lalu berlari ke arah Johan. Tuan rumah dan pengamal perubatan alternatif itu turut terkejut melihat apa yang berlaku.

            Ketukan demi ketukan di setiap pintu bilik kedengaran. Rumah bagaikan hendak runtuh. Kali ini bukan setakat ketiga-tiga pemuda itu yang takut, Johan dan Tok Mubin pun tegak bulu roma.

            Beberapa saat kemudian pintu kembali terbuka. Barang-barang yang ada di dalam rumah itu menerpa keluar. Begitu juga pakaian milik penyewa rumah. Seolah-olah ada yang melemparnya. Semua bertaburan di halaman. Nampaknya mambang pintu betul-betul mengamuk.

            Jai, Muiz, Ayob, Johan dan Tok Mubin lari balapan meninggalkan rumah sewa. Cik Emma pun pecut sama. Malahan kucing betina yang bunting itu paling hadapan.

            Sebelum pulang Tok Mubin meminta Johan mencari bomoh yang lain pula. Dia mengaku dengan jujur, kemampuannya tidak setanding mambang pintu itu. Pendapatnya senada dengan Johan. Ilmu mambang pintu itu sudah tinggi.

            “Tulah, siapa suruh main-main dengan benda tu dulu. Menyamar jadi mambang pintu kononnya. Sekarang siapa yang susah,” ujar Johan sambil menghirup air kopi.

            “Mujurlah mesin basuh, peti ais dengan set sofa aku tak dilemparnya sekali. Kalau tak parah tuan rumah,” sampuk Cik Maiza pula.

            Di sudut ruang tamu. Asma dan Rizki memunggah bantal dan selimut. Ketiga-tiga pemuda itu mencuri peluang menjeling adik bongsu Johan. Ada juga untungnya amukan si mambang pintu. Dapat mereka bermalam di situ.

            TOK! TOK! TOK!

            Seisi rumah menjerit panik. Jangan-jangan mambang pintu rumah sewa ikut balik ke rumah tuan rumah. Wajah masing-masing bagaikan tak berdarah.

            “Akulah, buka cepat!”

            Kesemuanya menarik nafas lega setelah mendengar suara Tok Mubin.

            “Dah sampai depan pintu baru aku sedar kunci rumah tak da dalam poket. Puas aku panggil Kalsom. Telefon pun tak berjawab. Hantar WhatsApp lagilah. Bini aku tu kalau dah tidur, jangan kata ketuk pintu, siling runtuh pun haram nak jaga. Aku dah tilik kat mana duduknya. Ada sekitar rumah ni. Cari cepat. Kalau tak karang dengan aku sekali kena tidur sini.” Tok Mubin menjelaskan dengan panjang lebar.

            Kecohlah pula seisi rumah mencari kunci rumah Tok Mubin. Habis diperiksa setiap celah dan ceruk namun gagal menemui apa yang dicari.

            “Mak, nak cucu!”

            Jeritan menguasai rumah sekali lagi. Raiza si bongsu yang pelat muncul dari bilik, terpisat-pisat mengesat biji mata.

            “Mak, nak cucu…”

            Ulang Raiza. Seisi rumah mengurut dada. Ingatkan mambang pintu punya angkara.

            “Haaa… tu pun kunci rumah aku!”

            Tok Mubin menunjuk ke arah rantai kunci Hello Kitty di dalam genggaman Raiza. Terjuntai dua kunci di celahan jemari kecil itu.   

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.