“ADOI,
motor! Kenapalah kau nak meragam masa sekarang? Masa lain tak boleh ke? Kawasan
ni dahlah gelap, tak ada orang. Tepi kubur pulak tu. Buat perut aku rasa kecut
aje.” Malik mengeluh. Dia pandang kiri dan kanan. Gelap gelita. Hanya disinari
dengan cahaya lampu depan motosikalnya sahaja. Apa dia nak buat sekarang?
Akhirnya dia
turun dari motosikal dan mengheretnya perlahan. Namun setelah beberapa langkah,
dia berasa mengah. Terasa motosikalnya begitu berat sekali. Malik berpaling.
“Allah!”
Malik mengucap panjang apabila melihat seorang wanita duduk di belakang
motosikalnya sambil kepala wanita itu terteleng memandang dia. Hatinya terus
diserang debar namun dia masih sempat memujuk dirinya agar menguatkan semangat.
Ah, tak nampak! Tak nampak! Malik baca beberapa potong ayat al-quran yang
terlintas di kepala. Dalam masa yang sama, dia terus mengheret motosikal tanpa
menghiraukan tetamu yang tidak diundang itu.
“Berat
sangat ke saya ni, bang?” soal wanita itu kemudiannya terus mengilai kuat.
“Aku tak
kacau kau. Jadi kau jangan kacau aku. Turun sekarang. Pergi balik ke tempat kau
semula!” Malik memberanikan diri bercakap dengan wanita itu tanpa berpaling.
Wanita itu
ketawa. Kemudian menangis sayu. Selepas itu, mengilai kembali sambil
menyeringai giginya ke arah Malik.
Malik pejam
mata dan tahan nafas. Bau hanyir semerbak singgah ke hidung dan membuatkan
tekaknya berasa loya.
“Allahuakbar!”
laung Malik sekuat hati disusuli dengan azan. Beberapa ketika kemudian, barulah
motosikalnya terasa ringan.
*****
DAHI yang
penuh dengan peluh diseka banyak kali. Baju t-shirt yang dipakai juga sudah
lencun. Malik menghela nafas. Penat. Perjalanannya terasa begitu jauh sekali.
Dek kepenatan, tekak dan perutnya mulai terasa kering dan lapar. Kakinya juga
turut berasa lenguh.
Malik hulur
tangan depan lampu motosikal untuk melihat jam. Sudah pukul 11.30 malam.
Matanya melilau-lilau di kawasan sekitar mencari kedai makan kalau-kalau ada.
Dari kejauhanan, dia nampak ada sebuah kedai yang masih dibuka. Mungkin dia
boleh singgah di situ sambil buat panggilan telefon kepada kawannya untuk
meminta bantuan. Dia mengheret motosikalnya menghala ke arah kedai tersebut.
“Teh ‘O’ ais
limau satu, mak cik,” pesannya sejurus sampai
dan melabuhkan punggung di atas kerusi. Dia pilih duduk di meja luar
sahaja. Badannya disandar di kerusi sambil mengibas baju. Panasnya!
“Makan,
nak?” soal mak cik yang mengambil pesanan.
“Masakan
panas ada, mak cik?”
Mak cik itu
mengangguk.
“Kalau macam
tu, beri saya Nasi Goreng Daging Merah satu. Taruh cili banyak sikit ya.”
Selepas membuat pesanan, Malik mengeluarkan telefon bimbit dari poket jean.
Dicari nombor telefon Salem, teman serumahnya. Dia cuba buat panggilan sejurus
menemui nombor Salem tetapi hampa.
“Huh! Kredit
expired pulak! Apa malang nasib aku malam ni? Tayar bocor, jumpa hantu, kredit
mati.” Malik mengeluh sambil mengeleng.
Pesanan tiba
tidak lama selepas itu. Tanpa menunggu lebih lama, Malik terus makan. Baru
beberapa suap nasi masuk ke dalam mulut, tangannya memegang perut. Tiba-tiba
sahaja perutnya rasa memulas. Dia segera bangkit.
“Mak cik,
ada tandas tak?” tanyanya sambil mengerut muka tahan sakit.
“Ada. Kat
belakang kedai.” Mak cik itu menjuihkan mulut ke arah yang dimaksudkan.
Malik terus
beredar. Teraba-raba dia mencari tandas dalam kegelapan dengan bantuan cahaya
lampu telefon bimbit. Setelah menjumpai, dia orak langkah. Tiba-tiba ada
sesuatu bergolek di hadapannya. Objek bulat seperti jerami padi itu bergolek ke
sana ke sini seolah-olah hendak tarik perhatiannya.
“Hoi! Aku
sakit perut ni. Kalau kau nak mainkan aku, tunggu aku melepas dululah!” Malik
lepas geram. Dia berdengus sebelum berlari masuk ke dalam tandas. Suasana yang
gelap tidak dipedulikan lagi. Sakit perut mana boleh ditahan-tahan.
Setelah
melunaskan hajat, Malik menarik nafas lega. Dia intai sekeliling kawasan
belakang kedai itu dan mencari objek yang mengganggunya tadi. Entah ke mana
sudah menghilang. Malik atur langkah pergi ke meja makan semula.
“Dari mana
ni, nak?” tanya mak cik kedai.
“Baru balik
kerja. Tayar motor saya pancit tadi kat depan kubur. Mak cik, tumpang tanya
lagi. Kedai mak cik ada telefon tak? Boleh saya pinjam? Kredit telefon saya dah
habis tempoh, tak boleh nak buat panggilan.”
“Ada.
Pergilah masuk ke dalam kedai. Telefon dekat kaunter.”
Malik segera
bangun dan pergi ke kaunter. Di situ, dia melihat seorang gadis sedang bercakap
di telefon.
“Err… adik,
abang nak pinjam telefon sekejap buat panggilan, boleh?” tanya Malik.
Gadis itu
berhenti bercakap dan memandang Malik. Kemudian dia sambung kembali
perbualannya tanpa mempedulikan Malik yang berdiri di hadapannya.
“Dik….”
“Hahaha!”
Tiba-tiba gadis itu ketawa dalam nada yang menyeramkan.
Malik
tersentak. Dia sudah rasa lain macam. Lebih-lebih lagi apabila matanya
menangkap wayar telefon itu tidak mempunyai wayar sambungan. Habis, dengan
siapa gadis itu berbual? Perlahan-lahan dia berpaling. Semput dadanya apabila
melihat mak cik tadi pula berada di depan mata. Lebih memeranjatkan apabila
wajahnya sudah bertukar rupa. Mukanya melecur sehingga menampakkan sebahagian
isi kulit yang sudah masak. Darah menitis-menitis ke baju dan lantai. Apabila
dia pandang ke arah gadis tadi, rupanya juga turut sama bertukar. Sama seperti
wanita tua itu. Kedua-duanya saling mengilai kuat.
Malik
terjelepok.
*****
Di rumah
sewa Malik…
“DAPAT tak
kau telefon Malik?” Nuar tanya Salem.
Salem
geleng.
“Tak. Dia
tak jawab,” balasnya sambil mengeluh.
“Mana dia
pergi? Si Munir beritahu aku, dia dah lama balik dari kerja. Takkanlah tak
sampai rumah lagi.” Nuar turut berasa hairan. Dia dan Salem saling
berpandangan.
*****
KEESOKAN
paginya, Nuar dan Salem berpakat mencari Malik setelah mendapati sahabat mereka
tidak pulang-pulang ke rumah. Ketika melalui sebuah jalan kampung, Nuar menepuk
bahu Salem berkali-kali.
“Eh,
motosikal Malik tu,” beritahunya.
Salem segera
menunggang ke arah tempat motosikal Malik diparkir. Motosikal sahaja yang ada
tetapi orangnya tiada. Situasi itu menimbulkan pertanyaan kepada kedua-duannya.
“Malik!!”
Nuar dan Salem saling melaung nama Malik. Meliar mata mereka mencari kelibat
Malik di kawasan itu.
Malik
terjaga apabila dengar namanya dipanggil sayup-sayup. Dia angkat kepala dan
tenyeh mata beberapa kali. Dalam pandangan yang kabur, dia nampak dua batang
tubuh lelaki yang sedang mundar-mandir di hadapan kedai.
“Nuar!
Salem!” Malik menyahut dalam suara yang serak.
Nuar dan
Salem berpaling dan terus bergegas mendapatkan Salem.
“Apa kau
buat kat sini, Malik? Kau tidur kat sini ke semalam?” soal Salem sambil memapah
Malik bangun. Hairan.
Malik pegang
kepala sambil cuba ingat apa yang telah dilaluinya pada malam tadi.
“Malam tadi,
masa aku balik kerja, tayar motor aku bocor. Aku singgah makan kat sini sekejap
buat hilang lapar dan dahaga. Aku cuba telefon kau, tapi kredit aku dah tamat
tempoh.”
“Kau singgah
makan kat sini?” Mata Salem buntang pandang Malik sebelum beralih ke wajah Nuar
yang turut tampak terkejut.
Malik
angguk.
“Kau biar
betul. Kedai makan ni mana wujud dah. Kan tiga hari lepas, kedai ni terbakar.
Tengok ni, tinggal tapak je,” kata Salem lagi.
Malik
pandang sekeliling. Benar bagai yang dikata oleh Salem. Kiri dan kanannya hanya
tinggal kesan kayu terbakar yang sudah rentung.
“Tapi
semalam, kedai ni elok. Ada orang. Seorang mak cik dan seorang gadis. Sumpah!
Aku tak tak tipu. ” Bersungguh-sungguh Malik memberitahu. Fikirannya cuba
membayangkan kembali wajah-wajah yang ditemuinya semalam.
“Tapi
sebelum aku pengsan, wajah mak cik dan gadis tu bertukar jadi….” Kata-kata
Malik mati di situ. Bulu romanya meremang tiba-tiba.
“Kau dah
kena main ni, Malik. Kedai ni, memang kepunyaan mak cik tu. Gadis tu, anak dia.
Masa kedai ni terbakar, mak cik tu dan anak dia tak sempat selamatkan diri. Dia
orang terperangkap dalam kebakaran tu,” terang Nuar pula. Dia tahu cerita itu
sebab semasa kedai itu terbakar, dia turut berada di tempat kejadian
menyaksikan anggota bomba memadamkan kebakaran.
Malik telan
air liur. Peluh di dahi sudah jatuh menitis ke pipi. Patutlah wajah mereka
semalam kelihatan seperti kulit melecur. Kemudian Malik teringat sesuatu. Dia
berjalan ke bahagian luar kedai tersebut. Tekaknya tiba-tiba berasa mual.
“Kau makan
apa semalam?” soal Salem.
“Nasi Goreng
Daging Merah.”
“Nasi Goreng
Daging Merah ke Nasi Goreng Ulat?” Laju Nuar menyampuk. Tekaknya terasa kembang
melihat beberapa ekor ulat bergeliat di dalam pinggan plastik separuh terbakar
itu.
Mereka
bertiga saling berpandangan. Bisu.
*****
Beberapa
hari kemudian….
HATI Malik
berdebar-debar melalui kawasan perkuburan itu. Pandangannya ditumpukan ke
hadapan tanpa menoleh ke kiri dan kanan. Dia cuba mengosongkan fikiran daripada
ingat perkara mistik yang telah dilalui beberapa malam yang lepas.
Motosikal
Malik tiba-tiba menjadi perlahan. Terasa seperti sedang membawa beban yang
berat. Malik intai melalui cermin sisi motosikal. Jantungnya berdetak.
“Tayar dah
tak bocor ke, bang?” soal wanita itu sebelum melepaskan hilaian ketawa yang
kuat. Kemudian kelibatnya berlegar-legar di hadapan motosikal Malik.
Malik hilang
kawalan dan motosikalnya terbabas melanggar pokok.
Hilaian itu
terus bergema.
© Reeani Annur 2013
-TAMAT-