Home Cerpen Seram/Misteri Gangguan
Gangguan
Reeani Annur
5/4/2013 21:18:28
2,784
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

“ADOI, motor! Kenapalah kau nak meragam masa sekarang? Masa lain tak boleh ke? Kawasan ni dahlah gelap, tak ada orang. Tepi kubur pulak tu. Buat perut aku rasa kecut aje.” Malik mengeluh. Dia pandang kiri dan kanan. Gelap gelita. Hanya disinari dengan cahaya lampu depan motosikalnya sahaja. Apa dia nak buat sekarang?

Akhirnya dia turun dari motosikal dan mengheretnya perlahan. Namun setelah beberapa langkah, dia berasa mengah. Terasa motosikalnya begitu berat sekali. Malik berpaling.

“Allah!” Malik mengucap panjang apabila melihat seorang wanita duduk di belakang motosikalnya sambil kepala wanita itu terteleng memandang dia. Hatinya terus diserang debar namun dia masih sempat memujuk dirinya agar menguatkan semangat. Ah, tak nampak! Tak nampak! Malik baca beberapa potong ayat al-quran yang terlintas di kepala. Dalam masa yang sama, dia terus mengheret motosikal tanpa menghiraukan tetamu yang tidak diundang itu.

“Berat sangat ke saya ni, bang?” soal wanita itu kemudiannya terus mengilai kuat.

“Aku tak kacau kau. Jadi kau jangan kacau aku. Turun sekarang. Pergi balik ke tempat kau semula!” Malik memberanikan diri bercakap dengan wanita itu tanpa berpaling.

Wanita itu ketawa. Kemudian menangis sayu. Selepas itu, mengilai kembali sambil menyeringai giginya ke arah Malik.

Malik pejam mata dan tahan nafas. Bau hanyir semerbak singgah ke hidung dan membuatkan tekaknya berasa loya.

“Allahuakbar!” laung Malik sekuat hati disusuli dengan azan. Beberapa ketika kemudian, barulah motosikalnya terasa ringan.


*****


DAHI yang penuh dengan peluh diseka banyak kali. Baju t-shirt yang dipakai juga sudah lencun. Malik menghela nafas. Penat. Perjalanannya terasa begitu jauh sekali. Dek kepenatan, tekak dan perutnya mulai terasa kering dan lapar. Kakinya juga turut berasa lenguh.

Malik hulur tangan depan lampu motosikal untuk melihat jam. Sudah pukul 11.30 malam. Matanya melilau-lilau di kawasan sekitar mencari kedai makan kalau-kalau ada. Dari kejauhanan, dia nampak ada sebuah kedai yang masih dibuka. Mungkin dia boleh singgah di situ sambil buat panggilan telefon kepada kawannya untuk meminta bantuan. Dia mengheret motosikalnya menghala ke arah kedai tersebut.

“Teh ‘O’ ais limau satu, mak cik,” pesannya sejurus sampai dan melabuhkan punggung di atas kerusi. Dia pilih duduk di meja luar sahaja. Badannya disandar di kerusi sambil mengibas baju. Panasnya!

“Makan, nak?” soal mak cik yang mengambil pesanan.

“Masakan panas ada, mak cik?”

Mak cik itu mengangguk.

“Kalau macam tu, beri saya Nasi Goreng Daging Merah satu. Taruh cili banyak sikit ya.” Selepas membuat pesanan, Malik mengeluarkan telefon bimbit dari poket jean. Dicari nombor telefon Salem, teman serumahnya. Dia cuba buat panggilan sejurus menemui nombor Salem tetapi hampa.

“Huh! Kredit expired pulak! Apa malang nasib aku malam ni? Tayar bocor, jumpa hantu, kredit mati.” Malik mengeluh sambil mengeleng.

Pesanan tiba tidak lama selepas itu. Tanpa menunggu lebih lama, Malik terus makan. Baru beberapa suap nasi masuk ke dalam mulut, tangannya memegang perut. Tiba-tiba sahaja perutnya rasa memulas. Dia segera bangkit.

“Mak cik, ada tandas tak?” tanyanya sambil mengerut muka tahan sakit.

“Ada. Kat belakang kedai.” Mak cik itu menjuihkan mulut ke arah yang dimaksudkan.

Malik terus beredar. Teraba-raba dia mencari tandas dalam kegelapan dengan bantuan cahaya lampu telefon bimbit. Setelah menjumpai, dia orak langkah. Tiba-tiba ada sesuatu bergolek di hadapannya. Objek bulat seperti jerami padi itu bergolek ke sana ke sini seolah-olah hendak tarik perhatiannya.

“Hoi! Aku sakit perut ni. Kalau kau nak mainkan aku, tunggu aku melepas dululah!” Malik lepas geram. Dia berdengus sebelum berlari masuk ke dalam tandas. Suasana yang gelap tidak dipedulikan lagi. Sakit perut mana boleh ditahan-tahan.

Setelah melunaskan hajat, Malik menarik nafas lega. Dia intai sekeliling kawasan belakang kedai itu dan mencari objek yang mengganggunya tadi. Entah ke mana sudah menghilang. Malik atur langkah pergi ke meja makan semula.

“Dari mana ni, nak?” tanya mak cik kedai.

“Baru balik kerja. Tayar motor saya pancit tadi kat depan kubur. Mak cik, tumpang tanya lagi. Kedai mak cik ada telefon tak? Boleh saya pinjam? Kredit telefon saya dah habis tempoh, tak boleh nak buat panggilan.”

“Ada. Pergilah masuk ke dalam kedai. Telefon dekat kaunter.”

Malik segera bangun dan pergi ke kaunter. Di situ, dia melihat seorang gadis sedang bercakap di telefon.

“Err… adik, abang nak pinjam telefon sekejap buat panggilan, boleh?” tanya Malik.

Gadis itu berhenti bercakap dan memandang Malik. Kemudian dia sambung kembali perbualannya tanpa mempedulikan Malik yang berdiri di hadapannya.

“Dik….”

“Hahaha!” Tiba-tiba gadis itu ketawa dalam nada yang menyeramkan.

Malik tersentak. Dia sudah rasa lain macam. Lebih-lebih lagi apabila matanya menangkap wayar telefon itu tidak mempunyai wayar sambungan. Habis, dengan siapa gadis itu berbual? Perlahan-lahan dia berpaling. Semput dadanya apabila melihat mak cik tadi pula berada di depan mata. Lebih memeranjatkan apabila wajahnya sudah bertukar rupa. Mukanya melecur sehingga menampakkan sebahagian isi kulit yang sudah masak. Darah menitis-menitis ke baju dan lantai. Apabila dia pandang ke arah gadis tadi, rupanya juga turut sama bertukar. Sama seperti wanita tua itu. Kedua-duanya saling mengilai kuat.

Malik terjelepok.


*****


Di rumah sewa Malik…

“DAPAT tak kau telefon Malik?” Nuar tanya Salem.

Salem geleng.

“Tak. Dia tak jawab,” balasnya sambil mengeluh.

“Mana dia pergi? Si Munir beritahu aku, dia dah lama balik dari kerja. Takkanlah tak sampai rumah lagi.” Nuar turut berasa hairan. Dia dan Salem saling berpandangan.


*****


KEESOKAN paginya, Nuar dan Salem berpakat mencari Malik setelah mendapati sahabat mereka tidak pulang-pulang ke rumah. Ketika melalui sebuah jalan kampung, Nuar menepuk bahu Salem berkali-kali.

“Eh, motosikal Malik tu,” beritahunya.

Salem segera menunggang ke arah tempat motosikal Malik diparkir. Motosikal sahaja yang ada tetapi orangnya tiada. Situasi itu menimbulkan pertanyaan kepada kedua-duannya.

“Malik!!” Nuar dan Salem saling melaung nama Malik. Meliar mata mereka mencari kelibat Malik di kawasan itu.

Malik terjaga apabila dengar namanya dipanggil sayup-sayup. Dia angkat kepala dan tenyeh mata beberapa kali. Dalam pandangan yang kabur, dia nampak dua batang tubuh lelaki yang sedang mundar-mandir di hadapan kedai.

“Nuar! Salem!” Malik menyahut dalam suara yang serak.

Nuar dan Salem berpaling dan terus bergegas mendapatkan Salem.

“Apa kau buat kat sini, Malik? Kau tidur kat sini ke semalam?” soal Salem sambil memapah Malik bangun. Hairan.

Malik pegang kepala sambil cuba ingat apa yang telah dilaluinya pada malam tadi.

“Malam tadi, masa aku balik kerja, tayar motor aku bocor. Aku singgah makan kat sini sekejap buat hilang lapar dan dahaga. Aku cuba telefon kau, tapi kredit aku dah tamat tempoh.”

“Kau singgah makan kat sini?” Mata Salem buntang pandang Malik sebelum beralih ke wajah Nuar yang turut tampak terkejut.

Malik angguk.

“Kau biar betul. Kedai makan ni mana wujud dah. Kan tiga hari lepas, kedai ni terbakar. Tengok ni, tinggal tapak je,” kata Salem lagi.

Malik pandang sekeliling. Benar bagai yang dikata oleh Salem. Kiri dan kanannya hanya tinggal kesan kayu terbakar yang sudah rentung.

“Tapi semalam, kedai ni elok. Ada orang. Seorang mak cik dan seorang gadis. Sumpah! Aku tak tak tipu. ” Bersungguh-sungguh Malik memberitahu. Fikirannya cuba membayangkan kembali wajah-wajah yang ditemuinya semalam.

“Tapi sebelum aku pengsan, wajah mak cik dan gadis tu bertukar jadi….” Kata-kata Malik mati di situ. Bulu romanya meremang tiba-tiba.

“Kau dah kena main ni, Malik. Kedai ni, memang kepunyaan mak cik tu. Gadis tu, anak dia. Masa kedai ni terbakar, mak cik tu dan anak dia tak sempat selamatkan diri. Dia orang terperangkap dalam kebakaran tu,” terang Nuar pula. Dia tahu cerita itu sebab semasa kedai itu terbakar, dia turut berada di tempat kejadian menyaksikan anggota bomba memadamkan kebakaran.

Malik telan air liur. Peluh di dahi sudah jatuh menitis ke pipi. Patutlah wajah mereka semalam kelihatan seperti kulit melecur. Kemudian Malik teringat sesuatu. Dia berjalan ke bahagian luar kedai tersebut. Tekaknya tiba-tiba berasa mual.

“Kau makan apa semalam?” soal Salem.

“Nasi Goreng Daging Merah.”

“Nasi Goreng Daging Merah ke Nasi Goreng Ulat?” Laju Nuar menyampuk. Tekaknya terasa kembang melihat beberapa ekor ulat bergeliat di dalam pinggan plastik separuh terbakar itu.

Mereka bertiga saling berpandangan. Bisu.


*****


Beberapa hari kemudian….

HATI Malik berdebar-debar melalui kawasan perkuburan itu. Pandangannya ditumpukan ke hadapan tanpa menoleh ke kiri dan kanan. Dia cuba mengosongkan fikiran daripada ingat perkara mistik yang telah dilalui beberapa malam yang lepas.

Motosikal Malik tiba-tiba menjadi perlahan. Terasa seperti sedang membawa beban yang berat. Malik intai melalui cermin sisi motosikal. Jantungnya berdetak.

“Tayar dah tak bocor ke, bang?” soal wanita itu sebelum melepaskan hilaian ketawa yang kuat. Kemudian kelibatnya berlegar-legar di hadapan motosikal Malik.

Malik hilang kawalan dan motosikalnya terbabas melanggar pokok.

Hilaian itu terus bergema.


© Reeani Annur 2013


-TAMAT-

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.