Home Cerpen Seram/Misteri Hantu Kak Wok Melawan Virus Korona Kesuma
Hantu Kak Wok Melawan Virus Korona Kesuma
Diq Na
24/6/2020 02:10:33
3,749
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri
           “Kita buat COD. Kedai tak bukak. Mana hok kaki warung, hantu roti canai, hantu karipap, hantu pau, semua naik hantu. Bak kata dame, tak makan di kedai, hok frozen pun bulehlah. Gonna kita? Banyok permintaan weh!” Wok Maisara memulakan agenda pertemuan.

           Tauke Wok Resepi Warisan Frozen itu memandang suaminya Man Lampung, Eda dan Zaki bersilih ganti. Nun di meja yang lain, tiga orang pekerjanya, turut ditagih persetujuan. 

           “Kas setuju mat cadangan aok Kak Wok. Sian ke pelanggan tetap kita. Musim Covid ni ramai mok-mok mengeluh. Dahlah cuti sekolah, kena berkurung di rumoh pulok. Anok-anok macam murai cabut ekor, riuh rincit bila perut lapor.” Eda orang pertama yang bersetuju, tangan kanan tegak ke atas sementara tangan kiri memegang perut yang kian membesar. 

           “Kas buleh jadi runner.” Giliran Zaki. 

           “Ikutlah amenda kata aokmer. Koi tak jadi hal. Setakat jadi runner, sadey jer. Keknya, kita kena bagi nama cepat ke orang majlis. Kalau tak silap, hari ni last. Duit, duit gak. Kesihatan paling utama. SOP kena jaga, jangan main ikut dan kita aje.” Man Lampung pula mencelah. 

           Pesara ATM itu tidak terjejas apa-apa semasa PKP. Dia punya pencen. Wabak penyakit atau tidak, bengkel Wok Resepi Warisan Frozen beroperasi atau tutup, duit tetap masuk hujung bulan. Golongan peniaga dan bekerja sendiri antara yang terkesan. Premis hanya dibenarkan beroperasi secara bawa pulang atau penghantaran ke rumah pelanggan. Itupun banyak peraturan yang mesti dipatuhi. 

           “Kas setuju gak. Pada ke duduk rumoh menggemokkan badan, baik ler menguli karipap, menebor roti canai.” 

           “Koi pun. Tak dapat gaji penuh, separuh pun bulehlah. Jenuh dah melangut depan muka pintu. Macam orang mati laki gayanya!”

           “Kawan ikut aje. Janji masyukkk seketul dua.” 

           Di meja bersebelahan, berjarak sosial satu meter, Lena, Uyum dan Yati turut seia sepakat dengan cadangan bos mereka. 

           “Jadi, putus belakalah dame ni. Cantiklah. Wok, aok mesti menang!”Wok Maisara terus naik semangat.

           Dia bingkas bangun, mengangkat tangan kanan dengan tinggi. 

           “Ah sudoh. Acer bawok bersabor kit Wok. Kot ya pun, ingat anok tu. Jangan selok ngat. Meragam budok tu karang.”Man Lampung menggeleng kepala. 

           Sudah dua hari Wok Maisara meratib COD, COD, COD. Mulanya dia keberatan juga tetapi apabila memikirkan nasib pekerja terutama Zaki dan Eda, dia mengubah fikiran. Apa yang penting utamakan SOP dan jaga kebersihan. Mudah-mudahan…


           “Gini, Cik Man masuk simpang kanan sebeloh balai raya. Jalan depan kit jumpa rumoh kayu tinggi kaler kuning. Depan rumoh kayu ada simpang. Masuk, jalan terus. Bila jumpa rumoh batu kaler biru beloh kiri, jalan depan kit, nampoklah rumpun buluh. Sebelohnya ada simpang lagi. Simpang masuklah tu. Jalan terus tak da belok-belok dah. Hujung jalan nanti jumpalah rumoh kome.” 

            Man Lampung garu kepala yang sudah mula dijajah uban. Bukan mudah menjadi seorang penghantar barang. Lebih-lebih lagi rumah yang beralamat di ceruk kampung. Belum lagi rungutan tentang caj penghantaran mahal. Tidak termasuk jenis malas angkat telefon, berpandir-pandir dan segala macam fiil lagi. Belum kira faktor cuaca. Tabik mat dan minah runner semalaysia. Boleh ditubuhkan persatuan supaya suara hati mereka dapat didengar dan dibela. 

            Rumah kayu kuning sudah jumpa. Rumah batu biru pun sudah. Rumpun buluhnya mana? Sudah dua kali melewati jalan yang sama. Jangankan serumpun, sebatang buluh pun tiada. Man Lampung mencapai telefon lalu menghubungi pelanggan yang dicari. Hendak ditanya pada orang, semua berkurung di rumah. Dia pun tidak berselisih dengan sebarang kenderaan. 

            “Acer Cik Man cari dengan mata hati. Gerenti nampok karang.” 

            Ewah, nasib baiklah engkau lawa dik! 

            Menyirap Man Lampung mendengarnya. Kalau tidak memikirkan harga telefon yang mencecah nilai dua bulan pencennya, dan-dan itu juga dia campak ke luar tingkap. Sudahlah cuaca panas. Mujurlah ini penghantaran terakhir. 

            Kesuma oh Kecuma. Wajah dan penampilan ala-ala dara dambaan teruna Malaya. Ditemui secara tidak sengaja sewaktu tayar kereta pancit di simpang jalan besar senja semalam.Hati pelanggan kenalah jaga. Tambah-tambah lagi pelanggan baharu. Tempahan karipap pun boleh tahan banyak. Katanya untuk disedekahkan kepada saudara mara. 

            Memikirkan hal itu, Man Lampung kembali semula ke rumah kayu kuning. Mungkin tadi tersalah masuk atau terlepas pandang. Kereta yang dipandu merangkak di jalan kampung. Mata pula meliar mencari rumpun buluh.

            Akhirnya Man Lampung menemui apa yang dicari. Sebesar-besar rumpun buluh. Tidaklah terlindung. Hairan juga bagaimana dua kali pencariannya gagal. Mungkin betul kata Cik Kesuma, kena cari dengan mata hati. 

            Man Lampung membelok. Terasa lega. Rumah sudah memanggil-manggil. Wok Maisara masak gulai lemak bunga kantan ikan tilapia. Mereka berjanji untuk makan tengah hari bersama Zaki dan Eda.Semakin jauh dia masuk, semakin sunyi suasana. Jujur, dia pun bukan arif sangat dengan kampung ini. Setakat lalu di jalan besar sahaja. Penduduknya juga tidak ada seorang pun yang dia kenal. 

            Berapa jauh lagi agaknya? Hati tertanya-tanya. Di kiri kanan hanya belukar dan paya. Man Lampung naik risau semula. Hendak telefon Cik Kesuma, dia sudah malas berpandir-pandir. Selekoh demi selekoh, akhirnya jalan pun mati. 

            Man Lampung berpaling ke kanan. Dia terlongo. Tersergam indah sebuah rumah kayu dua tingkat dengan halaman yang luas. Di sebelah kiri, lanskap taman yang cantik. Di sebelah kanan, subur dengan beraneka pohon buah-buahan. 

            “Pohpaleh, bapok kaya Cik Kesuma ni. Mau juta-juta reganya. Kalo jadi pelanggan tetap, untung besor weh!” 

            Man Lampung disambut oleh seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Aduka, ayah Kesuma. Dia mengagak usia mereka mungkin sebaya. Rupa Aduka biasa-biasa sahaja. Boleh jadi kejelitaan Kesuma diwarisi daripada ibunya. 

            Kesuma muncul bersama wang. Tersenyum meleret, kelihatan lebih cantik berbanding pertemuan semalam. Turut muncul, ibu bersama dua orang lagi adik perempuannya. Puspa, Kencana dan Sari begitulah nama ketiga-tiganya. Kesemua mereka memiliki kejelitaan yang luar biasa.

            “Nama klasik, rumoh pun klasik,” kata Man Lampung. 

            “Kome nok buat homestay,” balas Kesuma. 

            “Padanlah gedang amat rumohnya. ” Man Lampung kekaguman. 

            Man Lampung dipelawa menikmati buah-buahan hasil kebun mereka. Durian, rambutan, manggis, langsat dan pelbagai lagi terhidang walaupun di luar musim. 

            “Zaman pukok hibrid, taknya ada musim dah. Derian Musang King ni, kalau nok suruh berbuoh sepanjang tahun pun buleh, takda ke halnya,” jelas Aduka. 

            Sesekali Man Lampung bagaikan terdengar kanak-kanak ketawa. Dia fikir suara adik Kesuma tetapi kedua-duanya sudah besar. Suara itu dalam lingkungan tiga ke tujuh tahun. Dia perhati di sekeliling. Memang tiada rumah lain selain rumah Kesuma. Ada ketikanya hidung terhidu bau masakan. Mungkin dari dapur Kesuma. Atau mungkin juga cuma perasaannya. 

            Man Lampung diajak makan tengah hari tetapi dia menolak tatkala teringatkan janji pada Wok Maisara. Dia meminta izin untuk pulang kena perlu keluar membeli stok tepung sebelah petang nanti.

            “Kalau kena dengan tekok, tempohlah lagi yek. Penghantaran setiap hari,” pesan Man Lampung.

            “Kome tengok karipap pun dah tahu memang sedak.” Aduka membalas. 

            Sebelum pulang Man Lampung menjeling Kesuma. Wajah perempuan itu sugul. Tatkala mata bertentangan, Kesuma terus tunduk. Ibunya kelihatan berkata sesuatu tetapi buah butir tidak kedengaran. 

            Sebaik kereta bergerak, Man Lampung memerhati ke cermin sisi. Lima beranak itu seperti sedang berbincang. Aduka memegang bahu Kesuma, gayanya sedang memujuk. Kesuma ada masalah agaknya. Lantaklah. Hal peribadi, apa yang hendak disibukkan. Anak dara orang, jangan cari penyakit. 

            Man Lampung meneruskan pemanduan. Sebaik membelok dia terus nampak simpang. 

            Eh, takkanlah! Waktu masuk bukan main jauh. Bila keluar dekat pula.Rumpun buluh penanda simpang merimbun di sisi kanan. Man Lampung keluar dari kereta. Dia berada di kawasan lapang. Tiada jalan bertar selain jalan kampung di depannya. Hari pula sudah kelam. Dia kehairanan. Ketika datang belum tengah hari. Hendak balik sudah senja.Badan terus seram sejuk. 

            Man Lampung masuk kereta dan memecut laju. Dalam kepala cuma fikir hendak pulang ke rumah seberapa segera. 

           

            Pak Mus menghirup kopi berbaki suku cawan yang sudah suam. Sambil duduk-duduk di serambi, mata menjamah bintang. Sepanjang PKP, situlah dia menghabiskan waktu malam sebelum masuk tidur. Hendak ke masjid tidak dapat. Hendak keluar ambil angin, itu melanggar perintah. Hawa malam panas, sama seperti malam-malam sebelumnya. Begitu juga suasana kampung. Sudah sebulan, tetap sunyi. 

            Pak Mus teringatkan anak bongsu. Shamir seorang anggota polis. Antara ribuan barisan hadapan yang sedang berjuang menentang Covic-19. 

            Pak Mus terpandang kelibat sedang berjalan di jalan kampung. Dia mengamati dengan teliti. Gaya-gayanya macam Man Lampung. Ketika kelibat itu betul-betul melintasi serambi rumah, memang sah.

            “Laju business aokmer , memalam pun COD. Esok COD roti canai ke rumoh kas ya!” 

             Pak Mus menegur sambil membuat pesanan. Sayangnya Man Lampung buat tidak cakna dan terus menonong membelah malam. 

            “Awok cakak dengan sapa?” 

            Mak Besah yang baru selesai menunaikan solat terjengul di muka pintu. Dia memanjangkan leher memerhati di sekitar halaman. 

            “Man Lampung. Baru lalu keknye jalan kaki aje. Agaknya COD dekat-dekat sini. Kas tempah roti canai dengan dia.” 

            “Yas, awok bior betul. Mana ada orang COD barang time ni. Pukul 7 malam aje, semua kena duduk rumoh dah.”

           “Agoknya dia nok hantar rumoh Peah depan tu. Alah, dekat-dekat rumoh aje, taknya tangkap dek poleh.”

           “Awok tak dengor khabor ke? Man Lampung mana sihat. Balik COD senja semalam terus deman. Entoh ke mana merayap. Keluor pagi, hari gelap baru jumpa rumoh.” 

           “Aok tau di mana? Tak da sesapa pun beringor dalam grup WhatsApp kampung. Tok Empat Madi pun senyap aje. Mat dame bertinggir atas tangga gak ke PKP ni?” 

           “Grup WhatsApp lain. Awok nok tau dak, sampai merapik meraban laki Wok tu. Asyik nyebut Kesuma, Kesuma. Kesuma manalah yek. Tak da kira lainlah tu. Mesti ada hok baru. Kata dame rumoh satu lagi luor daeroh keknya rentas daeroh tokleh. Sabit dek tulah.” 

           “Yas, ada grup membawang kesannya. Padanlah aok ralit mat dengan henfon semenjok dua menjok ni. Baler dame. Badan aje PKP, mulut tetap berapi.”

           “Dah dame masuk ke nama dalam tu, takkan nok left group pulok. Mau muncung belaka sok.” 

           “Abis tu, hok melintas tadi sapa?”“Lah, manalah tau. Bukannya nampok. Hantu korona dak.”

           “Hish aok ni. Korona tu virus. Kas tak sedak hatilah. Cer telefon Wok deras. Tanya ke betul. Jangan main-main weh! Meraban merata, tangkap dek poleh pulok karang.” 


            Wak Mud sedang menikmati angin malam di beranda rumah kedainya ketika menyedari ada seseorang sedang duduk di kerusi batu. Berbekalkan cahaya lampu depan kedai yang terpasang dia pantas mengecam Man Lampung. 

            “Si Man ni mengantor karipap ke yek? Tak da pulok Wok berkhabor. Oi Man, aok bawak stok baru ke? Ha, tunggu kejap. Koi bukak pintu kedai.”

            Wak Mud menegur tetapi Man Lampung buat tidak endah. Dia bergegas turun. Sebaik pintu terkuak, Man Lampung sudah tiada. Yang tertinggal hanyalah sisa karipap. 

           “Lah, mana hilangnya? Ingat ke nok hantor karipap. Saja keluor ambik angin malam kot. Yas, mana ke buleh merayap memalam PKP ni. Poleh angkut ke balai karang. Mahal dendanya. Tak pun gian nok memancing. Ni kalo tau dek Wok, mau mengamuk sekampung, pohpaleh.”

           “Aok buat mande di luor tu. Cakak sorang-sorang. Mana buleh ke mana dah. Nok kena perambat dengan askor pegilah.” 

          “Nampok Man Lampung duduk situ tadi. Bila koi bukak pintu, dah hilang. Ingat ke nok hantor stok. Ni ha, kelim karipap aje kesannya.” 

          “Sungguh ke weh?” 

          “Sungguhlah. Apa ke dapat kalo kas mempedaoh.” 

          “Ah ya. Melarat-larat puloklah sakit si Man ni. Dahnya bantai merayap keluor. Jangan-jangan si Wok tak sedor. Kas nok telefon Wok. Aok perati ke sikit. Mana tau dia patoh balik.”

          Cik Miskiah terus mendapatkan telefon untuk memberitahu Wok Maisara. 

          Malam itu Kampung Jambu Sebatang kegemparan. Bukan saja Pak Mus dan Wak Mud, beberapa orang kampung lagi turut mengadu ternampak Man Lampung merayau-rayau di kawasan rumah mereka. 

          Oleh kerana bimbangkan kesihatan dan keselamatan suaminya, lantaran negara juga di bawah PKP, Wok Maisara membuat laporan di balai polis berdekatan supaya tindakan lanjut dapat diambil. Keesokan hari, Man Lampung ditemui oleh seorang pekebun getah, kira-kira lima kilometer dari Kampung Jambu Sebatang. Dia dikatakan sedang tidur di bawah rumpun buluh. 

          “Ada orang bukit seberang paya tu berkenan.”

          “Kesuma hok disebut-sebut tu ke?” 

          “Iya ler gamoknya.” 

          “Abis tu camna ustaz. Dunia kita dengan dunia dame tu lain.” 

          “Man tak nok. Dah dua kali cubaan, dia tetap tolak. Laki aok ni setia.” 

          “Kas ni ada soalan. Apa dunia dame tu guna henfon gak ke?” 

          “Entohlah. Kas mana pernoh sampai ke sana. Aok dah cuba telefon balik ke? Ada Kesuma tu jawab?”

          “Dah, keknya tak berjawab.” 

          “Cer hantor WhatsApp pulok. Manalah tau, segan nok bercakap dia balas WhatsApp. Tak pun SMS aje.”

          “Kat sana ada line internet bagai ke?” 

          “Ah Wok ni. Menanya ke soklan IT pulok. Manalah kas tahu. Aok cubalah dulu.” 

          Penjelasan Ustaz Ahmad yang datang mengubati Man Lampung petang tadi masih terngiang-ngiang. Wok Maisara menutup fail senarai nama pelanggan yang membuat tempahan semasa PKP. Memang ada nama Kesuma. 

          Mengulas lanjut mengenai Orang Bunian, Ustaz Ahmad menjelaskan bahawa mereka juga menjalani kehidupan seperti manusia biasa. Cuma dunia mereka tidak terlihat di mata kasar. Tambahnya lagi memang terdapat perbezaan waktu antara dunia manusia dan dunia bunian. Penjelasan itu menjawab persoalan mengapa Man Lampung pulang lewat pada hari dia mula-mula masuk ke alam sana. 

          Salam Cik Kesuma, saya Wok Maisara isteri Osman Al Hakim. Mohon jasa baik cik supaya tidak mengganggu suami saya lagi demi anak yang bakal lahir… 

           SMS penuh diplomasi itu terus dihantar ke nombor milik Kesuma menggunakan telefonnya. Wok Maisara menanti seketika, kalau-kalau ada balasan. 

           Selepas beberapa ketika, masih tiada sebarang respons, Wok Maisara terus memadamkan nombor Kesuma di telefon bimbit suaminya. Kemudian pesanan ringkas di telefon bimbitnya pula. Dicapai semula fail senarai pelanggan. Nama dan nombor telefon Kesuma turut dipotong. 

           Di satu dunia lain, Kesuma membaca sekali lagi pesanan ringkas yang diterima. Kemudian dia terus membuangnya. Nombor milik Osman Al Hakim turut dipadamkan sekali. Dia menyapu air mata yang mengalir di pipi.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.