Home Cerpen Seram/Misteri KAK WOK KEMBALI Hantu Udin Jiwa Kacau Terjun Lubuk
KAK WOK KEMBALI Hantu Udin Jiwa Kacau Terjun Lubuk
Diq Na
20/4/2020 15:19:36
2,988
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

            “Eda nak ikan baung Lubuk Baung besar lengan budak tadika, ngam-ngam, jangan kecil jangan besar.”

            “Mujur Wok tak mengidam yang pelik-pelik macam Eda. Ha ha ha… sudahlah kau.”

            Man Lampung ketawa mengekek sambil menekan perut. Zaki pula memandang sepupu melalui ikatan perkahwinan itu dengan penuh rasa geram. Orang tengah sesak, boleh pula dia gelak sakan. Berlagaklah sebab tak kena batang hidung sendiri.

            “Kau pun janganlah lurus bendul sangat. Bahasa orang mengidam ni memang lain macam bunyinya. Betul, Eda cakap besar lengan budak tadika tapi kau ingat lengan budak tadika ni semua sama ke. Maksudnya tu ikan yang saiz sedang-sedanglah.”

            “Ya ke bang. Kau jangan main-main. Aku suami mithali, tak nak hampakan Eda.”

            “Apa yang susah sangat. Kau tempah aje dengan Karim Ikan Sangkar yang jual kat pekan sari tu. Yang kecil, yang besar, apa saiz pun ada belaka. Kemudian cakaplah dengan Eda yang ikan tu kau pancing sendiri kat Lubuk Baung. Alah, dia bukan tahu apa-apa. Sibuk menguli karipap di bengkel, mana reti nak beza baung sungai dengan baung sangkar.”

            “Tak baik menipu. Kalau buat macam tu, bukan setakat Eda, dengan anak dalam perut tertipu sama. Dia siap ugut lagi, kalau tak dapat yang Lubuk Baung punya, nanti anak bila lahir meleleh air liur. Kau tak rasa bersalah ke. Bukan orang lain, anak aku anak saudara sepupu kau juga.”

            “Kau orang berdua ni kan, lahir zaman cakera padat tapi mentaliti macam zaman piring hitam. Aku ada enam orang anak. Macam-macam permintaan arwah dulu. Lagi pelik daripada permintaan Eda pun ada. Tapi tak semuanya aku tunaikan. Kalau dah memang susah dapat nak buat macam mana. Yang boleh memudaratkan badan, takkan nak diikutkan juga. Tak da meleleh air liurlah. Karut semua tu.”

            “Jadi tak nak tolonglah ni.”

            “Bukan tak nak tolong tapi semenjak kahwin dengan Wok, aku memang gantung joran. Wok tak kasi aku keluar malam. Macam nilah, nanti aku minta tolong dengan ahli kelab memancing yang lain. Sekarang Lubuk Baung memang jadi pilihan. Minggu lepas pun ada yang dapat. Tapi kau siap-siaplah duitnya. Permintaan khas ni harga pun tinggi.”

            “Tak kesahlah harga tinggi ke rendah, janji dapat.”

            Sedang Zaki dan Man Lampung rancak berbual, mereka diganggu oleh bunyi telefon bimbit. Man Lampung segera menjawab panggilan isteri tersayang.

            “Ya yang, lepak depan kedai Wak Mud dengan Zaki, kenapa? Haaa… nak telur ikan baung Lubuk Baung… nak telur aje. Yalah faham, jangan risau, nanti ayang cari.”

            Dahi Man Lampung berkerut. Muka naik kelat sebaik talian dimatikan. Kali ini giliran Zaki pula ketawa.

            “Ha ha ha… ingatkan bini aku aje mengidam yang pelik-pelik. Rupanya bini kau punya mengidam lagi pelik. Jenuhlah nak cari ikan baung bertelur. Kau jangan bang, kalau Kak Wok tak dapat makan telur ikan nanti, mencari batu belah batu bertangkup dia.”

            “Ni mesti bini kau punya pasal. Sambil-sambil menguli karipap, dia buka cerita ikan baung. Dah bini aku pun berjangkit sama.”

            “Kau jangan lupa bang. Kita sama-sama naik pelamin, Eda dan Wok sama-sama mabuk sulung. Aku tambah lagi, sambil-sambil menguli karipap mesti mereka berdua tu membawang pasal. Percayalah.”

            “Dah, kau jangan gelak-gelak sangat. Ikut aku cari umpan. Malam karang kita terjah Lubuk Baung.”

            Malam makin larut. Dingin kian membalut tubuh. Zaki mendongak ke langit. Hanya gelap yang menjajah pandangan.

            Deruan air sesekali diselangi bunyian cengkerik. Tidak ketinggalan okestra katak di tepian sungai. Dengungan nyamuk juga ada kalanya menerjah corong telinga.

            Sudah dua jam berlalu. Zaki naik bosan. Sebab itulah memancing tidak pernah tercatat dalam kamus kehidupan anak kampungnya. Dia bukan seorang yang penyabar. Tidak ingat kali terakhir memegang joran tetapi yang pasti memang sudah lama benar. Man Lampung pula berjarak enam meter daripadanya. Pemancing tegar itu tenang menanti umpan disambar ikan.

           “Mohlah balik bang. Tak da rezeki kita malam ni. Esok-esoklah kita cuba lagi.”

           “Syyy… ada baungnya ni. Tengok riak air tu. Sabar sikit lagi.”

           Zaki mencebik. Sejam yang lalu, begitulah juga jawapan yang diberi. Dalam tempoh dua jam ini jangankan umpan mengena, dicium ikan pun tidak. Dia menguap lagi. Mujurlah tiada tikar. Kalau tidak sudah lama dia tidur. Lantaklah Man Lampung memancing seorang diri. Namun apabila terkenangkan Eda dan anak di dalam kandungan, dia tongkat kelopak mata biar cekang. Dia capai cawan berisi air kopi di sisi lalu meneguknya. Tegukan terakhir.

           Tidak semena-mena Zaki mendengar air sungai mencebur. Alirannya bertukar menjadi ombak-ombak kecil. Seolah-olah ada sesuatu yang terjun ke dalamnya. Dia dan Man Lampung saling berpandangan.

           “Apa yang jatuh tadi? Kau nampak tak bang?”

           “Syyy… jangan tegur. Pantang. Buat-buat tak nampak aje sudah.”

           Zaki menelan liur. Ah sudah! Pemancing bila sebut ‘pantang’ maknanya ada sesuatu.

           Man Lampung mengambil lampu suluh lalu menyuluh ke tengah-tengah sungai. Alirannya tetap berombak-ombak, bagaikan ada benda yang berenang di dalam air.

           Semakin lama ombaknya semakin membesar. Kemudian muncul satu objek hitam di permukaan air tetapi tidak dapat dipastikan kerana asyik tenggelam timbul. Kemudian objek hitam itu berhenti bergerak. Arus air kembali tenang. Objek itu kelihatan menaik. Rupa-rupanya kepala tetapi wajah tidak kelihatan kerana dilitupi rambut yang basah.

           Zaki terus berlari ke arah Man Lampung. Inilah juga antara faktor mengapa dia tidak suka memancing. Cerita-cerita seram sejuk di kalangan kaki pancing sering dia dengar. Malam ini dia mengalaminya sendiri.

          “Bang, itu ke rupa hantu air kat Malaysia.”

          “Syyy… jangan tegur. Hish, mulut kau ni cabul betullah.”

          Kepala itu kian menaik lalu muncullah pula badannya. Dalam sekelip mata lembaga di dalam air itu tergawang-gawang di udara. Beberapa saat kemudian, lembaga itu terjun semula ke dalam sungai menghasilkan ombak lebih besar sehingga memercik ke tubuh Zaki dan Man Lampung di atas tebing.

          Kedua-duanya menjerit ketakutan. Man Lampung terus tarik tangan Zaki. Mereka menjauhi tebing.

         “Benda tu dah mengamuk. Lari terus, jangan pandang belakang!”

         Man Lampung memberi arahan. Zaki mengikut tanpa banyak soal.  Sebaik melintasi jambatan, Man lampung memperlahankan larian namun tetap tidak berhenti hinggalah mereka tiba di jalan kampung.  Sesampai di tempat memarkir motosikal berdekatan rumpun buluh barulah mereka berhenti. Kedua-duanya mencungap-cungap menarik nafas.

         “Benda tu hantu air ke?”

         “Yalah, dah moh balik. Tadi kau yang nak balik sangat kan.”

         “Habis barang-barang kita macam mana? Joran kau tu, mahal-mahal weh. Kalau hilang…”

         “Kalau pergi semula Lubuk Baung tu, jangan kata joran, dengan kita berdua ni hilang sekali. Kalau kau berani sangat, pergilah ambil. Biar aku tunggu sini.”

         “Alah, aku sekadar mengingatkan aje. Kau tu, joran isteri pertama.”

         “Itu dulu, sebelum aku ada Wok. Lagipun si hantu air tu nak buat apa dengan joran aku. Dah, balik aje. Esok datang semula. Jangan melawan cakap orang tua.”

         Malam bak kopi hitam pekat. Bukan rezeki Zaki dan Man Lampung. Mereka pulang hampa.

 

         Pagi masih berkabus ketika Zaki dan Man Lampung tiba di Lubuk Baung. Segala peralatan memancing dan barang-barang yang mereka bawa malam tadi masih berada di kedudukan sama, tiada satu pun yang hilang.

         Bulu roma Zaki terus meremang tatkala terpandang sungai yang mengalir tenang. Hanya beberapa jam lepas, dia mengalami kejadian paling menakutkan. Kalau bukan kerana Eda yang mengidam, sumpah dia takkan pijak Lubuk Baung sampai bila-bila. Malahan dia takkan mengail lagi seumur hidupnya.

        “Aku ni, sepanjang bergelar hantu pancing, peristiwa menyeramkan yang lebih hebat daripada malam tadi pun pernah alami.”

        “Hantu-hantu jangan sebut bang, karang keluar penunggu lubuk macam malam tadi, mengidam lagilah Eda dan Kak Wok nanti.”

        “Hari dah siang apa yang nak ditakutkan. Sambung memancing balik. Mana tahu ada rezeki pagi ni.”

        Namun sebaik umpan menjejak air, Zaki dan Man lampung dikejutkan dengan bunyi air yang mencebur sekali lagi. Kedua-duanya tersentak apabila melihat sekujur tubuh berenang menuju ke arah mereka. Nampaknya perhitungan antara mereka dan penunggu Lubuk masih belum selesai.

        Beberapa meter mencecah tebing, tubuh itu berhenti lalu mendongakkan kepala. Seorang lelaki, separuh wajahnya terlindung dek rambut panjang yang basah. Kemudian dia berdiri di dalam air sambil terkernyih menampakkan sebarisan gigi yang kekuningan.

        Zaki terus merapati Man Lampung. Peristiwa malam tadi berulang lagi. Cuma bezanya rupa si penunggu lubuk tidak kelihatan.

       “Alah, siang-siang pun ada hantu air ke. Macam mana ni bang?”

       “Syyy… kan aku cakap jangan tegur. Berapa kali aku nak ingatkan kau.”

       Kemudian mereka mendengar suara riuh-rendah di seberang sungai. Beberapa orang lelaki muncul di sebalik semak.

       “Hah, tu dia budak Udinnya. Cepat weh, sementara dalam air. Karang dia naik ke darat, tak terkejar kita.”

       Kesemua lelaki itu terjun ke dalam sungai. Keadaan menjadi semakin kecoh.

       “Oi Man Lampung, kau halang sikit anak saudara aku tu. Jangan bagi dia naik ke tebing.”

       Man Lampung memandang ke arah lelaki yang menyebut namanya. Jais Vespa, orang kampung sebelah juga salah seorang ahli kelab memancing daerah mereka.

       “Tolong Man, jangan biar Udin terlepas!”

       Suasana di Lubuk Baung terus kelam-kabut apabila Udin berjaya memanjat tebing. Man Lampung yang masih kuat jiwa kelasakan tenteranya pun menerkam kaki Udin. Kedua-duanya jatuh ke tanah.

       “Oi Zaki, takkan tengok aje. Tolong aku pegang. Kuat tenaga si Udin ni.”

       Kali ini giliran Zaki pula menerkam ke tanah. Udin pun berjaya dijinakkan.

      “Budak Udin ni jiwa kacau. Dia hilang duit berpuluh ribu ditipu scammer. Dah tu kena buang kerja sebab stres dan hilang tumpuan. Putus tunang lagi. Semua datang bertimpa-timpa, tak tertanggung dek dia. Dah puas berubat di hospital. Ni mak ayahnya bawa balik ke kampung, nak ikhtiar cara kampung, kot merasi,” terang Jais Vespa.

      Zaki memandang Udin yang begitu berselera makan biskut kering cicah air kopi sejuk bekalan malam tadi sambil dipujuk oleh bapanya. Dia mengagak usia Udin lebih kurang usianya. Melihatkan tampang Udin, boleh tahan kacak juga. Kasihan, harap-harap Udin sembuh semula.

      Selesai masalah Udin, mereka segera mengemas. Man Lampung sudah tawar hati untuk memancing lagi.

      “Hantu punya budak Udin…”

      “Jangan cakap macam tu bang. Dia tengah jiwa kacau, tak sedar apa pun.”

      “Habis gempar, bukan setakat suku-sakat baung, siput sedut pun mencanak lari. Baliklah, esok lusa sambung. Lambat lagi budak berdua tu lahir. Adalah rezekinya nanti.”

      “Jangan-jangan yang terjun lubuk semalam Udin.”

      “Taklah. Yang semalam tu betul hantu air. Aku dah pernah kena.”

      “Ya ke?”

      “Ya, pernah sekali. Entah lubuk mana, aku pun lupa. Lagipun benda yang kita tengok semalam boleh terapung di udara kan. Takkanlah si Udin jiwa kacau mampu buat macam tu. Memang hantu air, percayalah.”

      “Orang bila jiwa kacau, macam-macam perangai keluar. Yang tak terjangkau dek akal pun boleh jadi.”

      “Tak, bukan kerja manusia tu.”

      Sambil berjalan pulang Zaki dan Man Lampung terus berbalah tentang Udin dan penunggu Lubuk Baung. Zaki tetap percaya ‘benda’ yang dilihat malam tadi ialah Udin yang keluar dari rumah secara senyap-senyap tanpa pengetahuan keluarga. Man lampung pula bertegas bahawa ‘benda’ yang mengacau mereka itu hantu air penunggu Lubuk Baung.

      Tepian sungai pinggir pekan itu kembali tenang. Hanya sesekali kedengaran unggas melintas lalu sambil berkicau mengusik kesunyian.

      Di tengah sungai, alirannya tiba-tiba berkocak dan berbuih putih. Semakin lama ombaknya semakin tinggi, menghempas tebing disusuli bunyi nyaring dari dasarnya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.