Home Cerpen Seram/Misteri Hantu Kak Wok Lenggang Kangkung Cerita 2
Hantu Kak Wok Lenggang Kangkung Cerita 2
Diq Na
2/3/2020 15:21:21
3,145
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

            Mata meliar di rak empat tingkat yang dipenuhi barang-barang runcit. Selepas dua kali berlegaran di lorong yang sama, masih belum ketemu dengan apa yang dicari. Hati menggelisah. Di luar sana, langit senja pertengahan tengkujuh semakin memberat. Kelam juga kian memekat.

            “Tak da pun Wak Mud…”

            “Apa yang tak da. Kau nak beli apa? Dari tadi asyik memusing aje.”

            “Lilin.”

            “Lilin? Apa elektrik rumah arwah mak dah kena potong ke? Takkan si Mawi tukang racun rumah tu tak bayar. Jujur sangatlah budaknya.”

            “Taklah. Saja nak simpan-simpan. Sekarang musim hujan. Bimbang bekalan elektrik terputus.”

            “Kau ni, balik kampung sibuk-sibuk bersihkan rumah kenapa ya? Nak duduk di kampung? Nak sewa? Atau nak jual? Kalau nak sewa ke, nak jual ke, aku boleh carikan orang.”

            “Wak ni, sebelum tanya banyak lagi, sebelum saya jawab semua, mana lilinnya? Dah puas cari.”

            “Tu, rak belakang sekali. Cari kat tempat barang makan, sampai aku tutup, buka kedai semula pagi esok pun tak jumpa.”

            Wok Maisara pun memanjangkan langkah menuju ke rak yang dikatakan oleh tauke kedai. Dia menemui apa yang di cari, letaknya di tingkat paling bawah. Namun lilin itu bersaiz kecil sedangkan dia mahu yang besar. Terang sikit nyalaannya. Tak kesahlah, janji ada. Dia pun capai dua kotak lalu ke kaunter bayaran.

            “Pemetik api satu.”

            Wak mud mengambil apa yang diminta oleh Wok Maisara. Sambil-sambil memasukkan barang ke dalam plastik, lelaki berketurunan Jawa itu bertanya sekali lagi.

            “Ha, nak duduk, nak sewa atau nak jual?”

            “Saya yang nak duduklah wak. Sekarang dah solo. Anak pun tak da. Jelak tinggal di bandar. Susah senang, biarlah tempat sendiri. Ada saudara-mara tempat mengadu. Saya nak lupakan apa yang berlaku. Orang putih kata, move on.”

            “Eloklah. Sayang rumah besar-besar tapi kosong macam tu aje. Cuma wak nak ingatkan, sebelum pindah masuk, elok rumah diputihkan dulu.”

            Wok Maisara mendongak ke siling. Diputihkah? Terbayang rumah batu peninggalan arwah ibunya yang berwarna biru itu.

            “Apa rumah tu nak ditukar cat putih ke? Tak naklah, elok warna biru. Putih cepat nampak kotor. Lagipun catnya okey lagi. Kalau dah pudar yalah.”   

            “Bukan tukar catlah Wok oi. Diputihkan tu maksudnya, yalah rumah kan dah lama tinggal. Takut-takut ada benda lain yang menumpang.”

            “Benda lain? Memang betul sangat wak. Macam-macam benda saya jumpa masa bersihkan rumah. Kataklah, lipaslah, cicaklah, tikuslah. Mujurlah saya ni jenis hati kering. Habis semuanya saya sapu keluar. Kalau orang lain memang terjerit-jerit dah.”

            “Alah, tak fahamlah dia. Susah betul bercakap dengan orang moden. Ni, aku luruskan, senang cerita. Benda lain yang menumpang tu maksudnya makhluk halus, jin, jembalang atau yang seangkatan. Ini pesan orang lama, jangan dibuat mudah. Dalam Islam pun ada adabnya baik sebelum masuk rumah baru atau yang dah lama tinggal kosong.”

            Wok Maisara meneguk liur. Patutlah sewaktu dia berada di rumah itu terasa seperti sedang diperhatikan tidak kira siang ataupun malam. Tiba-tiba dia rasa meremang. Wak Mud pun satu. Senja-senja sebegini buka topik seram.

            “Nah wak, ini duitnya. Saya balik dululah. Takut hujan turun tengah jalan. Hari pun dah gelap.”

            “Kau naik apa?”

            “Naik kaki aje. Esok-esoklah kita sambung cerita lagi.”

            “Hati-hati Wok. Apa-apa hal telefon pak saudara kau. Dia yang paling dekat.”

            Wok Maisara memasukkan bungkusan barang ke dalam beg mengkuang. Pesanan yang terakhir itu antara dengar dengan tidak. Guruh mula berdentum. Dia mempercepatkan langkah. Harap-harap sempatlah sampai ke rumah.

 

            Zaki memecut laju masuk ke perkarangan kedai runcit Wak Mud. Pintu kedai sudah separa tutup. Mujurlah dia sempat.

            “Wak Mud, Wak Mud!”

            “ Ha, kenapanya. Ada benda mengejarkau?”

            “Taklah, saya ada berita tergempar. Memang sah itu jelmaan Wok Maimon. Semalam Rafi nampak masa dia balik main bola. Duduk mencangkung bawah pokok mangga belakang rumah.”

            “Kau ni Zaki, tak sudah-sudah dengan jelmaan Wok Maimon. Yang Rafi nampak semalam tu bukan jelmaan Wok Maimon tapi Wok Maisara, anaknya.”

            “Mana Wak tahu. Sekarang ni wak yang nampak ke, si Rafi yang nampak? Lagipun Wok Maisara kan duduk di KL.”

            “Betul Wok Maisara. Dia ada datang kedai aku beli barang. Baru lagi balik. Katanya dua tiga hari jugalah dia di kampung. Nak sambung bersihkan rumah pusaka tu.”

            “Bersihkan rumah, apa ada orang nak sewa ke?”

            “Taklah, dia nak duduk di kampung. Dah letih jadi orang bandar.”

            “Ooo… Wok Maisara ada sini rupanya. Jadi bukanlah jelmaan Wok Maimon.”

            “Bukan. Jangan dengar sangatlah auta Rafi tu. Dia memang penakut ya amat. Kau datang nak beli apa? Cepatlah. Dah maghrib, aku nak tutup kedai.”

            Zaki pun mengeluarkan dua keping not RM100 dari dompetnya. Wang kertas itu kelihatan masih baru lagi. Tersenyum simpul dia tatkala menghulurkannya kepada Wak Mud.

            “Bukan nak beli barang tapi nak tukar duit.”

            “Tukar duit. Apa kau ingat aku ni bank ke?”

            “Bolehlah Wak Mud. Duit ni nak bagi abah sikit, mak sikit, adik sikit. Sama-sama merasa. Bukan salah saya Wak Mud. Dah mesin ATM tu bagi semua not macam ni. Saya ambil jelah.”

            “Yalah, Yalah. Bak sini.”

            Selesai menukar wang, Zaki bergegas ke kereta. Wok Maisara hendak menetap di kampung, nampaknya ada berita yang lebih panas. Wajah janda muda itu muncul di benak. Semenjak anak arwah Wok Maimon muncul di majlis kenduri kesyukuran Bang Medan, namanya menjadi sebutan. Yalah, orang baru bercerai. Saham pun naiklah, apa lagi.

            Apabila orang kampung bercerita tentang jelmaan Wok Maimon, nama Wok Maisara akan menyusul. Kejelitaannya menjadi kegilaan ramai. Terutama sekali Man Lampung. Bila berborak macamlah Wok Maisara itu sudah menjadi miliknya.

            Ini can baik. Peluang Zaki pun cerah lantaran rumah mereka tidak jauh. Wok Maisara tujuh tahun lebih tua daripadanya tetapi muka macam 20-an. Zaman sekarang orang bukan kesah pun kalau perempuan lebih tua. Bila Wok Maisara pindah ke kampung nanti, hari-hari dia akan ikut jalan dekat tidak kiralah siang atau malam.

            Kereta menuju ke simpang. Sebelah kanan jalan dekat. Sebelah kiri jalan jauh, keluar semula ke jalan besar, masuk simpang lain. Jadi yang mana pilihannya? Ah, jalan dekatlah. Lalu depan rumah Wok Maisara. Apa nak takut. Kalau terjumpa yang akan-akan Wok Maimon, itu bukan jelmaaan tetapi anaknya bak kata Wak Mud. Muktamad, jalan dekat!

            Zaki membelok ke kanan. Sebaik melepasi selekoh dia ternampak satu susuk sedang berjalan perlahan-lahan. Hatinya langsung berdebar-debar. Kalau dilihat dari belakang dan cara berjalan itu macam kenal. Dia pun melajukan kereta untuk memintas. Beberapa meter di hadapan dia terus berhenti lalu berpaling. Memang sah, Wok Maisara!

            Zaki pun keluar dari kereta, memandang Wok Maisara yang mengatur langkah dengan lembut sambil mencebek beg mengkuang. Peluang sudah terhidang takkan hendak dilepaskan.

            “Hai Kak Wok, jalan melenggang kangkung macam gitu bilalah nak sampai. Meh saya tumpangkan. Bahaya jalan seorang diri.”

            “Alah, tak naklah aku. Kau tu lagi bahaya.”

            “Jangan cakap gitu Kak Wok. Takkan tak percaya saya. Lagipun kita bukan orang lain. Di kampung ni sepusat sepusing, bau-bau bacang belaka.”

            “Betul ke boleh percaya kau ni.”

            “Boleh punya. Tanah masih nampak. Rumah orang kiri kanan jalan. Apa yang nak dirisaukan.”

            “Yalah, aku tumpang. Tapi kau ingat, jangan buat perangai.”

            “Ya, tak.”

            “Ya ke tak?”

            “Ya… tak buat perangai. Cepatlah.”

            Wok Maisara pandang kiri dan kanan. Manalah tahu kalau-kalau ada yang sedang memerhati. Kemudian dia mendongak ke langit. Bila-bila masa hujan akan turun. Pandangan jatuh pula ke wajah Zaki. Pemuda itu tersengih-sengih macam kerang busuk. Dia pun menuju ke pintu kereta.

            “Nanti, nanti… saya bukakan pintu. Silalah Kak Wok, kereta buruk aje.”

            Zaki dengan gaya seorang hero pujaan Malaya menundukkan sedikit badan, mempelawa Wok Maisara masuk ke keretanya. Kalaulah Man Lampung tengok sekarang, pasti hatinya rentung terbakar. Sebaik pintu kereta ditutup, guruh berdentum lagi.

            “Kata Wak Mud, Kak Wok nak balik kampung mulakan hidup baru. Kalau nak kerja, saya boleh rekomen. Kat pasar raya baru buka tempat saya kerja sekarang memang nak pakai ramai orang.”

            “Aku nak jadi mak andam, ganti arwah mak.”

            “Eloklah dah ada perancangan. Saya sokong. Kalau bukan Kak Wok, siapa lagi yang nak teruskan tradisi mengandam pengantin. Bakat tu. Bukan semua orang ada.”

            Zaki sengaja bawa kereta perlahan-lahan supaya dia punya lebih masa dengan janda muda yang menjadi bualan hangat itu. Walaupun Wok Maisara tetap garang dan kurang mesra seperti mana sifatnya namun dapat berdua-duaan seperti ini sudah memadai. Perempuan, sekeras-keras kerak nasi, rendam di dalam air pasti lembut juga.

            “Lepas selekoh tu simpang rumah aku. Kau jangan buat-buat lupa.”

            “Kak Wok, maaf ya pasal kejadian malam tu. Sumpah, saya betul-betul ingatkan hantu.”

            “Manusia sekarang dah lebih kurang macam hantu juga. Sebab tu tak boleh beza antara hantu dengan manusia. Dahlah,aku pun nak minta maaf sebab buat kau terkejut.”

            “Jadi kita kosong-kosonglah ya.”

            “Emmm… berhenti sini aje. Tak payah sampai depan pintu. Tak elok kalau orang nampak.”

            Sebaik kereta berhenti, Wok Maisara terus menonong menuju ke rumah. Zaki tetap menunggu di dalam kereta. Biar sampai Wok Maisara masuk ke dalam rumah. Dia cuma hendak pastikan yang janda muda itu betul-betul selamat, barulah beredar. Sedikitpun dia tidak perasan ada sebuah kereta di belakang yang membunyikan hon berulang kali.

            Apabila Zaki sedar, hatinya tiba-tiba panas. Samseng jalan raya mana pula yang mahu mencari gaduh dengannya. Dia tidak puas hati lalu turun dari kereta. Dengan lagak seorang gangter kampung, dia pun menuju ke kereta tersebut.

            Cermin di bahagian pemandu diketuk berulang kali dengan penuh keberanian. Tatkala cermin kereta terlorot, tengok-tengok perempuan. Anak Mat Apam Balik rupanya. Dia berasa kelakiannya tercabar.

            “Oi mak cik, kau apa hal. Hon kereta memekak senja-senja ni. Kan boleh lalu tu, lalu jelah ke mana pun kau nak pergi. Mentang-mentanglah kereta baru beli, berlagak!”

            “Oi pak cik, kaulah apa hal. Kami bukan nak lalu. Kami nak masuk. Yang kereta kau tu blok simpang rumah aku dah kenapanya.”

            Pandangan beralih ke penumpang sebelah. Juga seorang perempuan. Wok Maisara! Baju yang sama, beg mengkuang yang sama. Zaki terlopong.

            “Cepatlah alih. Buat apa tercegat lagi.”

            “Kak Wok…”

            “Yalah, aku ni.”

            Zaki masih tidak percaya. Apakah betul perempuan di sebelah pemandu itu Wok Maisara?

            “Tadi Kak Wok ke kedai Wak Mud kan…”

            “Ha, memang aku ke kedai.”

            “Balik jalan kaki kan…”

            “Ya.”

            “Macam mana Kak Wok boleh ada dalam kereta ni?”

            “Aku jalan kaki sekerat jalan aje. Singgah rumah pak saudara. Si Eda hantar. Sajalah, nak rasa naik kereta baru dia. Kau banyak sangat tanya, malas aku nak jawab. Alihlah cepat tukun tiruan buruk kau. Hari dah malam ni.”

            Kalau yang di dalam kereta ini Wok Maisara, siapa pula yang berjalan melenggang-lenggok kemudian menumpang keretanya tadi?

            Adakah? Tidak semena-mena Zaki jatuh pengsan. Wok Maisara dan Eda meluru keluar dari kereta.

            “Abang Zaki pengsanlah Kak Wok.”

            “Aduh! Pelik betul Zaki ni. Asal tengok aku aje pengsan. Aku kena mandi bunga agaknya Eda.”

            “Kak Wok nak mandi bunga ke, mandi herba ke, belakang ceritalah. Kita nak buat apa sekarang ni?”

            “Buat apa lagi. Ke rumah mak ayahnya minta bantuanlah. Kau nak angkat ke? Jangan, bala nanti.”

            “Nak biar terbaring situ aje?”

            “Lantaklah situ. Siapa suruh dia pengsan.”

            Wok Maisara dan Eja pun memecut kereta menuju ke rumah Pak Razak. Di dalam rumah pusaka peninggalan Wok Maimon, ada seraut wajah mengintai di sebalik langsir jendela. Lampu di ruang tamu tiba-tiba terpasang. Kemudian berkelip-kelip dan padam semula.

 

             

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.