Hujan turun mencurah-curah sejak
pagi tadi. Ada ketika lebat dan ada ketikanya renyai-renyai. Sesekali terdengar
guruh berdentum dan petir membelah bumi. Kerap benar petir menyambar di
kampungku. Ada ketika terkena pokok dan ada ketika terkena rumah penduduk.
Tetapi tiada lagi orang yang meninggal akibat petir itu.
Orang
tua-tua kata, petir ‘panah syaitan’. Orang yang belajar sains kata sebab ada
bijih atau galian yang terdapat di dalam tanah menyebabkan petir ‘tertarik’ ke
situ. Macam teori elektriklah. Bila ada litar pintas, arus yang bocor akan
dialirkan ke bumi. Tetapi bagi kebanyakan penduduk di situ, ini semua kerana Pak
Hitam. Kata mereka, Pak Hitam ada membela jin dan teori petir memanah jin dan
syaitan bermain di bibir mereka.
Pak Hitam
merupakan seorang bomoh yang agak digeruni oleh penduduk kampung. Setiap kali
dia mengubati penyakit yang pelik, dia akan berjaya. Ada orang kata Pak Hitam
mengamalkan ilmu hitam untuk nampak hebat. Aku tak tahu kerana aku sendiri tak
kenal ilmu putih atau ilmu hitam kerana tidak kelihatan di mataku. Kalau tahi
cicak, tahulah aku mana hitam, mana putihnya.
Orang kata,
ilmu hitam Pak Hitam adalah dari keturunannya atau perkataan popular sekarang,
saka. Saka apa, aku tidak tahu. Orang kata, kalau saka harimau seseorang
pewaris akan berdamping dengan jin yang berbentuk harimau. Malah boleh
berkata-kata dengan ‘harimau jadian’ itu. Itu aku tidak tahu. Bab saka-saka ini
aku tidak suka.
Menyusahkan!
Dah bela, nak kena jamu. Orang kata Pak Hitam sediakan pulut kuning, ayam
golek, bertih, coke untuk bagi makan jin dia. Air coke pun ada! Biar betul jin
ni. Makan memilih juga. Makanan tu diletak dalam talam dan dibiar di sudut
rumah dia. Jin itu akan makan. Aku tak tahu sama ada Pak Hitam yang makan atau
jin dia. Sebab apa? Sebab aku tak tahu!
Hari ini aku
pulang dari tempat kerja seperti biasa. Tiba-tiba kereta yang aku naiki meragam
dan enjinnya mati berhampiran rumah Pak Hitam. Hujan masih lebat dan sesekali
guruh berdentum. Aku telan air liur kesat. Di sebelah kiriku tanah perkuburan
Islam dan di sebelah kanan rumah Pak Hitam.
Alahai! Yang
oii! Yang kau nak mati pun tempat strategik macam ni kenapa? Kau pun tahu tuan
kau ni tak kahwin lagi. Kau sengaja nak aku mati kena sakit jantungkah? Omelku
sendirian. Aku ketuk stereng kerana geram.
Aku kerling
sedikit arah kiri. Takut juga untuk memusingkan muka sepenuhnya. Bimbang jika
ada makhluk yang tidak diingini mengintaiku dari celah-celah kuburan. Cerita
yang kudengar minggu lepas tentang hantu perempuan yang membonceng motorsikal
Mat Rempit di hadapan kawasan perkuburan ini benar-benar menyeramkan diriku.
“Eh! Hana,
kau tu perempuan. Lagipun kau naik kereta, bukan motorsikal. Hantu perempuan
tak kacau perempuan. Dia kacau lelaki saja. Lagipun aku bukanlah cantik sangat
macam Maya Karin. Kalau Maya Karin lainlah,” ujarku bagi menguatkan semangat.
“Warghh!
Maya Karin...tak mau...tak mau!” Aku tergeleng-geleng untuk membuang gambaran
wajah Maya Karin sewaktu melakonkan watak hantu dalam filem Pontianak Harum
Sundal Malam.
Aku pandang
ke kanan dan terlihat rumah Pak Hitam yang terang benderang. Hanya dialah
satu-satunya orang yang boleh kuminta tolong saat itu. Jika ‘orang’ yang
memenuhi tanah perkuburan di kiriku, pastilah aku pengsan jika ‘mereka’ mahu
‘menolong’.
Nak minta
tolong ke tak? Kalau tak minta tolong, nak balik macam mana? Jauh lagi rumah
ni, bisik hatiku, takut.
Segala
cerita hantu yang pernah aku tonton terlayar di minda. “Kenapalah mereka buat
cerita hantu? Momoklah, Hantu Boncenglah, Hantu dalam botol Kicaplah, Waris
Jari Hantulah dan segala jenis hantu dijadikan filem. Itu belum masuk hantu
Korea, hantu Jepun, hantu orang putih dan hantu Siam yang aku tengok. Itulah
gatal sangat nak tonton cerita macam tu. Sekarang siapa yang susah? Aku juga!”
Aku berleter untuk diri sendiri sambil mencapai telefon.
“Alahai!
Waktu macam nilah kau nak ‘kong’.”
Telefon kucampak
dalam beg tangan. Payung yang ada di dalam kereta, aku capai. Aku nekad untuk
keluar. Sudah beberapa kali aku terkentut dan baunya terperap di dalam kereta.
Sudahlah panas, berbau pula tu. Pewangi kereta pun tidak dapat menandingi bau
yang keluar daripada gas perutku. Prrgh! Boleh pengsan.
Hari telah
menjelang senja sedangkan aku masih termangu-mangu di sisi kereta. Kenapa tiada
sesiapa yang lalu ketika ini? Kalau ada yang lalu bolehlah aku meminta tolong.
Apabila memikirkan hari kian gelap, aku menapak juga ke rumah Pak Hitam.
Teragak-agak aku hendak memanggilnya. Tiba-tiba aku terdengar seseorang sedang
bercakap dalam bahasa yang agak pelik dan tidak pernah didengari sebelum ini.
Nak kata
Siam tak Siam. Nak kata Korea pun bukan. Bahasa apa, aku tak tahu.
Aku cuba
mengintai melalui lubang pada dinding papan rumah itu. Dapat aku lihat Pak Hitam
bercakap sambil menghadap satu objek. Oleh kerana lubang tersebut agak kecil aku
tidak nampak keseluruhan objek atau wajah Pak Hitam. Aku perhatikan keadaan rumah itu dan dapat melihat tingkap yang agak renggang. Aku tahu aku akan dapat melihat dengan lebih jelas melalui tingkap itu. Bibirku mengorak senyum.
Yes! Aku boleh ‘skodeng’, bisik hatiku
sambil menghayun tangan yang tergenggam ke bawah. Isyarat yang selalu dibuat
bila gembira.
Perlahan-lahan aku menghampiri tingkap dan melihat ke dalam. Aku dapat melihat objek yang berada di hadapan Pak
Hitam dengan jelas. Objek itu merupakan seekor makhluk
yang amat ngeri. Matanya agak tersembul berwarna merah menyala
dengan gigi taring yang panjang. Tubuh makhluk itu dibaluti oleh kain putih
yang bersalut tanah. Aku terperasan, mahkluk itu seperti memandang ke
arahku. Bulu romaku meremang dan rasa sejuk merayap di bahagian tengkuk. Niat
untuk memanggil Pak Hitam aku batalkan sebaliknya aku buka langkah seribu.
Lintang
pukang aku berlari walaupun ketika itu aku memakai baju kurung. Aku tidak
menghiraukan lagi keadaan diriku. Yang penting aku kena lari. Makhluk yang
kulihat tadi seolah-olah mengejarku dari belakang. Segala ayat Al-Quran tidak
terkeluar dari mulutku. Seolah aku lupa apa yang pernah aku pelajari sebelum ini.
Terketar-ketar tubuhku menahan takut dan sejuk. Petir berdentum menambah perisa
perasaan takutku.
“Mak! Abah!
Tolong Hana!” Aku menjerit, tidak malu.
Terkocoh-kocoh
ibu dan abahku muncul di muka pintu. Mereka kehairanan melihat aku yang basah kuyup
dengan kain yang terkoyak.
“Kenapa ni
Hana sampai basah lencun? Mana kereta?” soal ibuku.
“Hann...tuu,”
ujarku tergagap-gagap sambil menunjukkan arah belakangku.
“Huih!
Mengarut apa?” bantah abahku.
“Ada, abah!
Benda tu kejar Hana tadi.”
“Hmm...dahlah. Pergi masuk mandi dulu. Jangan
layan perasaan tu. Semua tu bayangan dalam kepala Hana saja. Tengok kubur dah
takut sedangkan bukan ada apa-apa pun. Abah yang lalu hari-hari selama tiga
puluh tahun, tak jumpa apa benda pun.”
“Kali ni
bukan hantu kubur tu yang kacau. Ni hantu Pak Hitam. Seram betul,” aku
menyanggah.
“Hantu Pak
Hitam pula? Dahlah. Memang patut Hana pergi mandi. Nanti boleh kita jemaah
sama-sama,” sampuk ibuku.
“Hana cuti
lagilah bu.”
“Kalau macam
tu, ibu dan abah solat dulu. Jangan lupa tutup pintu tu.” Pesan ibu sambil
melangkah mengikut abah ke bilik solat.
Aku hanya
menurut saranan ibuku dan segera melangkah ke bilik mandi. Perasaan takut masih
menguasai diri dan akhirnya aku hanya membersihkan diri secara ala kadar. Aku
takut untuk melihat cermin kerana masih terbayang rupa makhluk yang menyeramkan
itu. Tanganku pantas mencapai selimut dan membelitkannya ke tubuh. Ingin aku
panaskan diri yang masih menggigil kesejukan.
“Hana! Budak
bertuah ni. Panggil berkali-kali pun masih tak menyahut,” sentuhan tangan ibu
membuatkan aku tersentak.
“Ibu panggil
Hanakah?” soalku sambil mendongak memandang wajah ibu.
“Habis tu
nak panggil siapa lagi? Takkan nak panggil Peah.”
Aku
tersengih sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Yalah, siapa lagi yang ibu
akan panggil selain aku? Aku anak tunggal ibu dan abah. Peah pula adalah kucing
kesayanganku. Memang peliklah jika ibu memanggil Peah.
“Apa
salahnya kalau ibu nak panggil Peah,” ujarku seolah menutup rasa malu.
“Hah!
Baguslah tu. Panggil Peah tolong ibu masak? Yang tuannya asyik mengelamun ingat
tunang.” Bagai peluru berpandu ibu meleteriku.
Aku angkat
kedua-dua tangan tanda menyerah. Perlahan-lahan aku lepaskan selimut dan
kemudian menurut langkah ibu ke dapur. Walaupun aku anak tunggal tetapi ibu
sentiasa tegas dan memastikan aku melakukan kerja-kerja dapur. Kata ibu, nanti bila
dah kahwin senang, tak kekok untuk masak dan buat kerja dapur. Aku hanya
menurut walaupun sebenarnya aku agak malas untuk membuat semua kerja-kerja itu.
Akukan dah kerja? Mudah saja jika nak upah orang gaji. Orang Indonesia atau
Filipina kan ramai?
Aku menarik
kerusi dan mula memotong sayur yang telah dibersihkan oleh ibu.
“”Ibu,
betulkah Pak Hitam bela jin?”
“Macam tulah
yang ibu dengar. Abah pernah beritahu ibu, Pak Hitam guna jin untuk rasuk orang dan bila orang tu sakit,
dia akan datang untuk ubati orang tu. Dengan cara tu, dia akan dapat duit dan
orang kampung akan hormati dia.”
“Oh! Begitu rupanya. Jadi yang Hana nampak
tadi memang jin peliharaan dialah. Patutlah hodoh benar. Tapi dia pelihara jin
apa? Jin Islam atau bukan Islam?”
“Orang pun
kita tak dapat beza Islam atau tidak inikan pula jin. Islam atau tidak jin tu
tetap tidak boleh dibuat kawan. ALLAH dah larang kita minta tolong bangsa jin
tak kira atas tujuan apa. Sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia. Jadi
jangan percaya pada tipu helah jin,” sampuk abahku.
Aku
menganggukkan kepala dan menyambung kerja memotong sayur. Ibu ligat menyiapkan
kerja-kerja memasak. Aku lebih banyak mendiamkan diri sehingga selesai makan
malam. Aku meminta diri untuk tidur setelah selesai kerja-kerja mengemas. Kepenatan
menguasai diri membuatkan mataku
terpejam perlahan-lahan.
Hidungku
terhidu bau busuk seperti bangkai yang amat meloyakan. Aku membuka mata dan terkejut melihat
makhluk yang sedang berdiri di hujung kakiku.
"Hani!" Makhluk itu memanggilku sambil menyuakan tangannya yang berbulu.
Peluh sejuk membasahi dahi dan
tubuhku. Aku cuba untuk lari tetapi tubuhku bagaikan diglu kuat di katil. Makhluk yang kulihat di rumah Pak Hitam itu, makin hampir denganku. Hamis, busuk,
meloyakan bersatu di rongga hidung dan kerongkongku. Aku cuba menutup mata
tetapi kelopak mataku terasa kaku. Makhluk itu makin mendekat.
“Ibu! Abah!”
Aku cuba menjerit untuk memanggil abahku tapi suaraku tersekat di kerongkong
sahaja. Kenapa suaraku tak boleh keluar ni? Apa nak buat? Aku makin panik.
Wajah hodoh
makhluk itu menyeringai menampakkan taringnya yang kekuningan. Dia makin rapat,
aku makin takut. Makin dekat, aku makin semput. Kini tinggal seinci sahaja lagi
mukanya mengenai mukaku. Perutku makin kecut, tubuhku mengeletar hingga terdengar katil bergegar. Nafas busuknya tidak dapat
kuelak. Beberapa kali aku tersedut dan tersedak. Aku cuba membaca ayat suci
yang diingati tetapi ayat-ayat itu tidak melintas di kepalaku. Berhempas pulas
aku hendak melepaskan diri.
“Tolong!
tolong!” Akhirnya aku berjaya juga menjerit memanggil abahku, sebelum duniaku menjadi gelap.
Sayup-sayup terdengar di hujung telingaku suara ibu mengalunkan
bacaan al-Quran. Merdu dan begitu mengasyikkan. Ingin aku membuka kelopak mata
tetapi masih terasa berat.
“Pak Hitam
ni dah melampau. Kita patut halau saja dia dari kampung ni.” Suara tunangku, Haziq
jelas di pendengaran.
“Tapi kita
bukan ada bukti jin dia yang menyebabkan Hana sakit.” Abah pula bersuara.
“Nak bukti
apa lagi. Dah jelas Hana disampuk jin Pak Hitam. Pak cik pun dengar apa yang
Hana racaukan tadi. Dia terjerit-jerit sebut nama Pak Hitam. Seeloknya, kita
bakar saja rumah Pak Hitam.” Makin keras nada suara Haziq.
“Haziq! Kita
nak selesaikan masalah Hana bukan nak cari gaduh.” Suara bapa Haziq Pak Cik
Hakimi turut kedengaran.
Aik!
Keluarga Haziq pun adakah? Malulah kalau aku buka mata waktu sekarang. Mesti
rupa aku tak cantik. Haziq pun kata aku jerit panggil nama Pak Hitam. Kalau
panggil nama Haziq, okey lagi. Ni nama orang tua tu, malu...malu, bisik hatiku.
“Betul kata
kau Kimi. Kita bukan nak cari salah siapa. Mungkin Hana ni letih sangat dan
takut. Dia ni memang penakut. Tengok kubur dah kecut perut belum tengok
benda-benda pelik. Mungkin sebab tu dia jadi begini. Kita rawat Hana, sudahlah.
Biarlah ALLAH saja yang balas jika benar Pak Hitam yang punya angkara. Apa hak
kita nak halau atau bakar rumah dia?”
Hatiku
memberontak mendengar kata-kata abahku. Aku membuka mata dan terus duduk secara
mendadak.
“Arghh!”
Haziq yang berada di sisiku terlompat ke belakang.
Aku alihkan
kepala memandang Haziq. Penakut juga rupanya tunangku itu. Jika dia penakut dan
aku juga penakut, macam mana kami hendak hidup berdua? Sempat ragu mendiami
hatiku.
“Hana dah
sedar!” ujar ibuku lalu memelukku dengan tangisan.
“Ibu, Hana
belum matilah. Janganlah menangis.” Aku cuba merungkai pelukan ibu dan
memandang tepat ke wajah Haziq.
Tersengih-sengih
Haziq melihat wajahku. Hatiku menggerutu memarahi Haziq.
“ALHAMDULILLAH!
Hana tahu tak apa yang terjadi tadi?” soal Pak Cik Hakimi.
“Tak tahu.
Apa yang berlaku?”
“Hana
mengamuk dan menjerit-jerit panggil nama Pak Hitam. Hana kata nak balik dan
duduk di rumah dia. Ibu takut sangat tadi,” ujar ibuku sambil mengesat air mata
yang bersisa.
“Hana nak ke
rumah Pak Hitam? Oh! Tidak. Hana tak mungkin buat begitu.” Berkali-kali aku
menggelengkan kepala.
“Cuba
ceritakan apa yang Hana nampak sebenarnya,” Haziq mencelah.
Aku
menjeling Haziq tetapi tetap juga menceritakan apa yang aku alami sebelum aku
pengsan. Mereka mendengar dengan teliti dan sesekali bertanyakan aku bila
mereka tidak faham. Selesai bercerita, hatiku kembali tenang.
“Kan betul
tu! Kita kena ambil tindakan pada Pak Hitam. Jangan biar ada yang jadi mangsa
dia lagi. Haziq tahu dia sengaja kenakan orang supaya orang guna khidmat dia
untuk pulihkan kembali. Kali ni dia dah melampau sebab kenakan Hana.”
“Sabarlah!
Berapa kali abah nak kata, nak ambil tindakan bukan boleh sebarangan. Esok kita
semua pergi ke surau. Abah dah minta tolong Ustaz Harun dan jemaah dia untuk
selesai masalah ni. Ustaz Harun dah setuju dan dia minta kita semua berkumpul
di surau malam esok,” ujar Pak Cik Hakimi. Kami semua bersetuju dengan saranan
itu.
Surau kampung agak penuh malam itu dengan jemaah lelaki dan
perempuan. Ketika menunggu waktu Isyak, sempat Ustaz Harun memberikan tazkirah
berkaitan amalan yang bersyirik kepada ALLAH.
“Haram bersahabat dengan makhluk ghaib
seperti jin dengan tujuan mendapat pertolongan dalam perkara yang ditegah oleh
syarak. Menyekutukan Allah, meminta pertolongan dan mengharapkan selain
daripada Allah, merupakan amalan yang boleh membawa kita kepada amalan syirik.
Sesungguhnya amalan syirik ini merupakan dosa yang tidak diampunkan oleh ALLAH
SWT. Orang yang tidak diampunkan oleh Allah, nerakalah tempatnya.” ujar Ustaz Harun.
Aku yang
telah suci daripada hadas besar, turut berada bersama-sama jemaah perempuan
yang lain. Tiba-tiba telingaku dapat mendengar suara memanggilku dari tingkat
bawah surau papan itu. Perlahan-lahan aku bangun dan menghampiri tingkap. Ibu
yang melihat perbuatanku turut bangun.
“Kenapa
Hana?”
“Ada orang
panggil Hana di bawah.”
“Ibu tak
dengar pun.”
“Ada. Dengar
macam suara Haziq. Dia panggil Hana banyak kali,” ujarku lalu membuka cermin
tingkap.
“Hana!
Jangan.” Ibu segera menarik tubuhku ke dalam pelukannya.
Aku
terpinga-pinga dan sempat melihat tangan yang berbulu cuba mencapaiku melalui
cermin tingkap.
“Ibu! Dia
datang lagi.”
Aku memeluk
ibuku seerat-eratnya. Perasaan takut menyaluti tangkai hati. Terasa kepalaku
mulai berpusing dan jantungku berdegup kencang. Aku tahu bila-bila masa sahaja
aku boleh hilang kawalan terhadap diri. Segera aku membaca ayat-ayat suci
al-Quran yang telah diajarkan kepadaku sebelum ini. Ibuku juga turut
membacakannya.
Suasana
surau agak gempar dengan bunyi jeritan daripada jemaah wanita yang ketakutan.
Ustaz Harun dan beberapa orang lelaki segera menghulurkan bantuan. Makhluk yang
cuba mengganggu kemudiannya menghilang. Keadaan kembali tenang dan sekali lagi
Ustaz Harun mengingatkan kami semua supaya tidak tunduk dengan tipu daya
syaitan.
“Saudara dan
saudari, selepas kita menunaikan solat Isyak, kita akan teruskan dengan solat
hajat dan bacaan Yassin. Jika terdengar sesuatu yang agak pelik, jangan
berhenti. Kalau tengah solat, teruskan solat dan kalau tengah membaca Yassin,
teruskan membaca.” Pesan Ustaz Harun.
Agak gentar
aku mendengarnya tetapi aku perlu kuatkan semangat. Aku tidak akan tunduk
kepada jin ataupun syaitan. Ibu menepuk bahuku dan memberi kata semangat.
Setelah masuk waktu Isyak, kami semua menunaikan solat. Sesekali dapat kudengar
suara memanggilku tetapi aku tetapkan hati dan memberi fokus terhadap solatku.
Sehingga berakhir solat, suara itu tidak kedengaran lagi.
Bacaan
Yassin dimulakan dan sekali lagi aku mendengar suara memanggil namaku dan bunyi
cakaran pada dinding surau. Aku pekakkan telinga dan menguatkan bacaanku.
Jemaah yang lain turut menguatkan bacaan mereka. Mungkin mereka juga mendengar
apa yang kudengar. Fikiran kutumpukan kepada bacaan secara bersungguh-sungguh.
Lama kelamaan bunyi itu menghilang.
“Prangg!!”
Bunyi petir tanpa hujan yang amat kuat mengejutkan kami semua.
Aku beristighfar
di dalam hati dan memohon perlindungan ILAHI. Keadaan kembali tenang dan kami
dapat menghabiskan bacaan tanpa gangguan. Selesai majlis, kami pulang
beramai-ramai ke rumah. Tiba-tiba seorang lelaki yang menaiki motorsikal
memberitahu bahawa rumah Pak Hitam sedang terbakar akibat terkena panahan petir.
Tanpa melengahkan masa, kami semua bergegas ke situ.
“Baru saja
Haziq sebut nak bakar rumah dia, rupanya dah pun terbakar.”
.....tak habis lagi la... nak baca sambungan kisah ni? Kena beli Antologi Cerpen Jiwa Kacau yang akan berada dipasaran tidak lama lagi...peace!! No war...eaa...hihii