Home Cerpen Lucu Kelab Penyiasatan Teori Konspirasi
Kelab Penyiasatan Teori Konspirasi
Hana Mizari
14/3/2018 16:42:01
6,466
Kategori: Cerpen
Genre: Lucu

Yusri berjalan pantas menuju ke bilik kelabnya, iaitu Kelab Penyiasatan Teori Konspirasi. Dia merupakan ahli biasa sahaja di dalam kelab itu. Dia menjadi ahi kelab itu pun semata-mata dipaksa oleh rakannya, Najla rakan karibnya sejak di bangku sekolah tadika lagi merangkap jirannya.

Yusri dan Najla banyak menghabiskan masa bersama-sama semasa mereka mula berkenalan 10 tahun lalu. Ketika di usia itu, Najla tidak seperti kanak-kanak yang lain seusia dengannya. Najla merupakan seorang yang sangat lasak dan suka meneroka alam di sekelilingnya.

Berlainan pula dengan Yusri yang lebih suka menghabiskan masanya dengan membaca buku dan berkurung di dalam rumah. Dia amat tidak selesa jika diajak bermain dengan rakan-rakannya yang lain. Namun begitu, Najla jiran sebelahnya sering mengheret Yusri ke sana dan ke mari untuk meyertai alam pengembaraannya. Pernah sekali, Yusri ditinggalkan keseorangan di atas pokok sehingga malam menjelma. Yusri masih lagi fobia dengan peristiwa itu sampai sekarang.

Yusri menguak daun pintu bilik itu yang tertulis 'KELAB PENYIASATAN TEORI KONSPIRASI' di hadapannya.

"Lambat!" kata Najla merangkap pengerusi kelab itu memarahi Yusri. Ahli-ahli lain semua telah berada di bilik itu.

Kesemua ahli kelab itu adalah perempuan kecuali Yusri. Ikutkan hati Yusri, dia langsung tidak berminat untuk menyertai kelab aneh itu, namun peraturan sekolah itu yang mewajibkan mereka untuk menyertai sekurang-kurangnya satu kelab menyebabkan Yusri terpaksa menerima pelawaan rakan karibnya itu. Yusri menarik sebuah kerusi kosong di bilik itu dan melabuhkan punggungnya ke kerusi itu.

Najla bangkit dari kerusi yang didudukinya untuk memulakan sesi perkenalan di kelab itu. Dia berdehem sebelum memulakan ucapannya, "Assalamualaikum dan selamat datang ke Kelab Penyiasatan Teori Konspirasi. Saya Najla Binti Najmi selaku pengerusi kelab ini. Tujuan kelab ini ditubuhkan adalah untuk menyiasat fenomena-fenomena pelik yang terjadi di dunia ini dan merungkai kebenarannya kepada dunia. Mari kita berganding bahu untuk merungkai kebenaran yang cuba disorok oleh pihak tertentu dan menegakkan kebenaran."

Pengakhiran ucapan Najla itu disambut dengan sorakan bersemangat daripada ahli-ahli kelab yang lain. Sementara itu pula, Yusri menekup mukanya seraya berkata di dalam hati, "Teruklah aku nak melayan kegilaan budak-budak kelab ni."

Kemudian Najla menyambung lagi, "Baiklah, mari kita mulakan sesi ice-breaking sebelum kita mulakan aktiviti penyiasatan kita." Sekali lagi kata-kata Najla disambut dengan sorakan tetapi kali ini lebih bersemangat.

"Awak mulakan dulu Yusri," arah Najla sambil jari telunjuknya menuding ke arah Yusri. Yusri terkejut lalu memarahi Najla, "Kenapa pula aku!" Semua ahli kelab itu memerhatikan tingkah Yusri memarahi Najla. Yusri berasa malu diperhatikan begitu lalu berdehem untuk menutup malunya. Dia pun bangkit untuk memulakan bicaranya.

"Saya Yusri Bin Zainudin. Saya masuk kelab ini sebab dipaksa oleh kawan saya ni." Yusri memperkenalkan dirinya sambil memandang Najla dengan pandangan geram.

"Saya Munirah Bte Ali. Saya telah dilahirkan di dunia ini untuk menjadi penegak kebenaran. Motto hidup saya ialah 'truth and justice is my ally'," kata seorang pelajar perempuan yang duduk di sebelah Yusri.

"Nama saya Fazirah Binti Ziyad. Kebenaran ialah sahabat saya. Tujuan saya menyertai kelab ini ialah untuk membongkar kebenaran yang sengaja disorokkan oleh 'Illuminati'," kata Fazirah pula sambil berdiri di dalam posisi pelik.

"Nama diberi Syahindah Binti Syam. Saya ialah ejen Illuminati cawangan Asia Tenggara. Saya dihantar ke sini untuk menyampaikan agenda 'New World Order'," ujar Syahindah pula dengan nada bersemangat.

"Saya Risya Bte Rafael. Saya menerima signal daripada alien daripada Planet Xorox yang terletak 13 000 tahun cahaya dari sini. Mereka bercita-cita untuk menakluk Planet Bumi dan meluaskan empayar mereka di sini. Sampai sekarang pun saya masih menerima signal daripada mereka," kata Risya pula sambil mengurut dahinya berpura-pura sakit.

"Nama saya Sabrina Binti Sabri. Saya datang dari masa hadapan iaitu pada tahun 3333 Masihi. Saya datang untuk mengubah timeline supaya dunia ini tidak dimusnahkan pada masa hadapan," sambung Sabrina pula dengan nada selamba.

Yusri ingin bertanya kepada Sabrina bagaimana dia boleh terselamat tetapi soalan itu tersimpan erat di dalam hatinya. Dia hanya tersenyum memandang Sabrina. Sabrina merupakan orang terakhir di dalam kelab itu yang memperkenalkan dirinya kepada semua orang.

Sejak daripada tadi Yusri menahan gelak dengan tingkah aneh ahli-ahli kelabnya, tetapi dia tidak mahu reaksinya itu mengundang kemarahan dalam kalangan ahli lain lalu didiamkan sahaja.

"Aku tak sangka betul kat sekolah ni ramai betul orang-orang berperangai pelik seperti Najla, eh?" kata Yusri di dalam hati.

"Baiklah, Kelab Penyiasatan Teori Konspirasi akan memulakan agenda mereka yang pertama!" kata Najla penuh bersemangat sambil mengangkat tangan kanannya ke atas.

Sorakan penuh bersemangat daripada ahli-ahli kelab itu menyusuli ucapan Najla. Najla membuka fail manila di atas mejanya dan membukanya. Di dalam fail itu terdapat beberapa keping gambar dan beberapa helai artikel.

Najla mengambil salah satu artikel dari dalam fail itu. Beberapa keping gambar turut terkeluar bersama semasa Najla mengeluarkan helaian artikel itu. Terdapat gambar Piramid Giza di Mesir, gambar Stonehedge di Yorkshire, gambar-gambar obelisk di serata dunia, gambar Chupacabra, gambar 'little grey man' dan gambar 'crop circle'. Najla menyelak helaian artikel itu. Tajuk artikel itu bertulis 'Konspirasi Illuminati dan New World Order'.

Najla berdehem sejenak sebelum memulakan bicaranya, "Hari ini kita akan membincangkan tentang konspirasi Illuminati. Illuminati merupakan secret underground organization yang bertujuan menyebarkan agenda New World Order ke serata dunia. Mereka menyebarkan agenda mereka melalui senibina yang boleh dilihat di serata dunia. Contohnya piramid dan obelisk boleh dilihat di serata dunia kerana bangunan-bangunan itu dibina oleh ejen-ejen Illuminati." Najla tercungap-cungap sambil menunjukkan gambar-gambar yang berterabur di atas meja.

"Bantahan! Bantahan!" Tiba-tiba sahaja Risya bersuara.

Kemudian dia menyambung semula, "Maaf, Najla saya kurang bersetuju dengan teori konspirasi yang anda kemukakan. Sebenarnya piramid itu dibina oleh masyarakat Mesir kuno dengan bantuan teknologi alien dari Planet Xorox. Tujuan pembinaan piramid adalah untuk menjadi markas rahsia keturunan Mesir kuno untuk berhubung dengan alien dari Planet Xorox bagi memudahkan mereka menguasai Planet Bumi suatu hari nanti."

Fazirah pula berdiri dalam posisi peliknya lalu berkata, "saya setuju dengan teori daripada Najla tadi. Organisasi Illuminati itu sendiri telah ditubuhkan sejak zaman Babylon lagi."

"Hahahaha!" Syahindah tiba-tiba sahaja ketawa terbahak-bahak.

"Nampaknya kamu semua sudah nampak semua agenda kami! Maka dengan ini terpaksalah saya mendedahkan identiti saya yang sebenar kepada kamu semua."

Yusri menahan gelak sambil bermonolog dalam hati, "Bukan kau sendiri yang dedahkan identiti kau sendiri tadi."

Najla mengubah posisi berdirinya persis pahlawan yang bersedia untuk berlawan lalu berkata, "Illuminati Agent detected! Semua serang!" Sejurus selepas itu ahli-ahli kelab yang lain turut bersedia untuk menyerang Syahindah. Yusri terkejut melihat tindak balas ahli-ahli yang lain.

Sebahagian daripada ahli kelab mencapai penyapu yang ada di bilik itu dan memegangnya seperti memegang pedang. Secepat kilat Syahindah melompat ke atas meja untuk mengelak daripada diserang oleh rakan-rakan kelab yang lain.

Melihatkan tindakan pantas Syahindah, Najla terus melompat ke atas meja untuk menyerang Syahindah. Keadaan dalam bilik itu menjadi huru-hara dalam masa beberapa minit sahaja. Kerusi dan meja menjadi tunggang langgang. Yusri yang panik itu bersembunyi di salah sebuah meja di bilik itu.

"Saya rasa nama kelab ini patut ditukarlah. Ini bukan Kelab Penyiasatan Teori Konspirasi tetapi ini Kelab Chuunibyou. Tak sebenarnya penyiasat teori konspirasi itu sendiri chuunibyou," monolog Yusri sambil menutup mata dan telinganya ketakutan.

Selang beberapa minit, kesemua ahli-ahli kelab itu sudah terlentang di lantai kepenatan. Yusri yang ketakutan sejak dari tadi keluar dari bawah mejanya untuk melihat keadaan di sekitarnya. Bilik kelab itu menjadi senyap sunyi, tidak kecoh seperti beberapa minit yang lalu, suasananya ibarat di dalam zoo. Tiba-tiba sahaja pintu bilik kelab itu dibuka dengan kuat sekali.

"Korang boleh senyap tak! Suara korang semua boleh dengar sampai bilik kami kat sebelah ni tahu tak!"

Kedengaran suara seorang pelajar perempuan yang terjongol di hadapan pintu bilik kelab itu. Dia berasa amat terkejut melihat keadaan di bilik itu yang tunggang langgang seperti medan perang. Mulutnya melopong sejenak.

"Apa yang dah berlaku ni sebenarnya?" tanya pelajar perempuan itu pula. Yusri yang mendengar pertanyaan itu hanya tersengih sambil memandang pelajar itu.

-Tamat-


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hana Mizari