Home Cerpen Komedi/Romantik Komedi Oh Tidak! Si Dia Metroseksual
Oh Tidak! Si Dia Metroseksual
Aurian
12/2/2014 00:00:36
11,114
Kategori: Cerpen
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Rina merenung deretan shampoo, conditioner, shaver, scrub wajah, pencuci muka, mud mask, razor, bath foam, body scrub, hair oil, err… errr… Entah apa-apa lagi di para kaca bilik air. Dia membilang semua perawatan tubuh badan itu berkali-kali. Tujuh belas, ya tujuh belas barang. Rina tak sanggup nak membuka almari kecil berdekatan bath tub pula. Di hujung bath tubada susunan lilin aromaterapi pelbagai warna. Rina mengerutkan dahi, menggerit giginya apabila bulu romanya mula meremang. Bilik air itu memang cantik dan bersih, tak kalah seperti bilik air hotel ternama. Semasa mula melangkah ke rumah ini Azrina tak putus-putus memuji kecantikannya. Air terjun di kolam kecil hadapan rumah mendamaikan suasana. Walaupun hiasan dalaman rumah ini moden dan praktikal. Pemilik rumah tak lupa akan kehijauan pepohon dan air yang menjadi nadi kehidupan. Siapa lagi pemilik rumah ini kalau bukan suami aku! Rina pantas mencapai tuala kecil mengelap tangan. Segera keluar menuju ke bilik. Dia terpaku di pintu melihat susuk ramping pinggang Azril yang tinggi lampai, sedang memegang cermin muka membelakanginya. Apa dia buat? Bercukur atau cabut bulu kening! Erk…

“Abang, Rina nak cepat ni, Rina keluar dulu okey…” Rina mencapai beg di atas kerusi dan kunci kereta. “Okey.” Azril mengerling sekilas dengan wajah berkerut melihat Rina tergesa gesa.

***

“Hoiii!” Lisa menepuk meja. Wajah Azrina terangkat dengan mata terbeliak. Dia mengetap bibir dan mengerang marah.

“Wohhh! muka macam Vampire… kau ni kenapa pagi-pagi dah moody?” Lisa melabuh punggung di kerusi hadapan Azrina. Soalan itu hanya di jawab dengan riak wajah terganggu. Lisa hanya buat-buat tak nampak, malahan memanggil pelayan untuk pesanan menu. Azrina memaling wajah masam ke ruang legar shopping mall. Kelihatan orang ramai mula berkunjung sejak pintu utama di buka.

“Wei, wei… kau dengar tak apa aku tanya? Kau kan pengantin baru, patutnya muka kau merah berseri… Bukan masam mencuka. Hehehe…” Lisa menyeringai gatal. Rina menjuihkan bibir.

“Ini aku tengok muka macam Vampire tak cukup makan.” Lisa bersungut sempat pula mencapai fresh orange Rina atas meja. Makin membulatlah mata Rina.

“Wei, habislah air aku.”

“Haus… air aku lambat. Hari ni hari pertama kau mula kerja kan. Jadiiii… aku nak tahu macam mana bulan madu dengan suami kau yang macam Lee Pace Thranduil tu… Uhhh hansemnyerr…” Rina menyatukan kedua tangan dengan wajah teruja. Rina hanya merenung sahabatnya itu dengan wajah jengkel. Lisa mengelipkan mata berkali-kali riak manja. Rina memutarkan bebola mata sambil menghembus nafas.

“Itulah masalahnya, macam kau sebut tadi…”

“Apa?” Lisa tekun memberi perhatian, badannya menyandar ke depan dengan siku di meja dan jemari bersatu.

“Vampire… A real man don’t watch Twilight!”

Makin membulat mata Lisa merenung riak muka Rina yang kelihatan kecewa. Dia menggeleng kepala tak mengerti.

“Dia tengok Twilight, so?

“Semua jenis romantic film termasuk Hindustan!”

“Oh gosh! He probably so romantic!” komen Lisa makin teruja.

“Kelengkapan mandian dia ada tujuh belas depan cermin. Aku cuma ada lima atau enam…”

“So apa masalahnya?”

“Itu cuma yang depan cermin, belum kira dalam almari bilik air, dalam almari bilik tidur, dalam almari baju, dalam rak kasut…”

Wait, wait… apa kau nak cakap ni sebenarnya. Aku macam faham tapi macam tak faham, cuba cakap satu perkataan yang menjelaskan segalanya…” Rina membuat bulatan besar dengan tangannya.

“Dia metroseksual…”

“So, apa masalahnya…”

“Apa masalahnya… metroseksual close to apa?”

“Maksud kau gay? Hey hey, tak semestinya…” Lisa menari-narikan jari depan muka Rina.

“Dia tak pandai langsung betulkan paip. Hari tu rumah kami banjir bila kepala paip tercabut, semata-mata kena tunggu tukang paip datang. Ya Rabbi…” Kini Rina menekup wajah dengan kedua tangan, siku terpaku atas meja. Wajahnya jelas kecewa. Lisa menjauhkan badan bersandar ke kerusi. “Tak sebenarnya apa masalah yang besar sangat ni?”

“Ayah aku pandai betulkan paip, boleh betulkan motor dan kereta, boleh buat reban ayam, boleh cangkul depan rumah, boleh… senang cakap boleh buat semua kerja lelaki… Tapi dia, hari tu getah pintu kereta tercabut pun hantar pergi bengkel!” suara Rina kedengaran jengkel. Kenyataannya disambut ketawa berdekah-dekah dari Lisa.

“Aduh, Lee Pace tak pandai betulkan paip. O.klah tu… Tapi Lee Pace bukan metroseksual, dia sempurna sebab dia Elf.”

“Oiii, aku cakap pasal suami aku, bukan Lee Pace!”

“Ye la, kau ni, kau ingat semua orang lelaki pandai buat kerja lelaki macam ayah kau ke?”

“Iyalah, itulah aku ingat…”

Sorrylah, boyfriend aku pun sama, aku suruh dia tolong jagakan arnab aku pun tak nak, tak reti lah, gelilah… Aduh! mengada betul. Tayar kereta pancit pun panggil PLUS. Tak pandai nak tukar sendiri. Boleh?”

“Kenapa lelaki zaman sekarang dah tak pandai buat kerja lelaki hah? pelik aku.” Rina menopang pipi dengan sebelah tangan dan wajah yang kusut.

“Lelaki bandar memang tak sama macam lelaki kampung. Samalah macam perempuan sekarang tak pandai masak! Soo… fair and square!” dengus Lisa.

“Betullah, macam aku ni la, tak pandai masak…” Rina mengangkat wajah dari tangan. Duduk tegak mengadap Lisa dengan wajah longlai.

“Dia pandai masak ke?”

“Entah, aku baru seminggu duduk dengan dia. Lepas kahwin dia bergegas outstation. Baru seminggu duduk sama ni la baru aku tahu apa dia buat. Movie apa dia tengok. Berapa lama masa dia mandi dan bersiap… entahlah, senang cakap, mengalahkan aku serba serbi…”

Lisa makin galak ketawa, lucu mendengar rungutan Rina dengan muka seposen.

“Aku kelakar la korang berdua ni. Kau uptown girl, dia uptown boy. Dua-dua orang KL sejati. Moden dari segala segi. Tapi bab kahwin ikut pilihan keluarga. Lepas tu dah kahwin baru tahu ini tak kena itu tak kena…” Lisa menggeleng kepala. Bibirnya meleret senyum sumbing.

“Kau kan tahu percintaan aku yang tak berapa nak menjadi sebelum ni. Sampai aku malas nak bercinta dah. Umur pun dah masuk 32 tahun. Bila makcik aku nak kenalkan dengan anak kawan dia, aku pun setuju la. Aku pun berharap-harap sangat dapat bercinta selepas kahwin yang kelihatan suci murni sesuci minyak zaitun tuh!” Rina menyeringai geram.

“Iyalah, nak bercinta sebelum kahwin pun selidik la dulu.”

“Sebelum ni kau kata dia o.k?” Rina menjeling tajam.

“Iyalah, kalau tengok dari segi rupa memang la o.k sangat. Tapi aku pernah cakap dengan kau kan, kita tak tahu lagi perangai dia macam mana. Lagipun takkan selama ni kau tak perasan dia tu metroseksual?”

“Macam mana nak perasan. Zaman sekarang lelaki memang kemas-kemas belaka. Lagipun dia pegawai bank, bila dia selalu pakai smart je, aku tak hairan la.”

“Masa kau tunjuk gambar Facebook dia dulu pun aku dah boleh agak dia Metro.” Lisa menyedut air oren bersahaja, sambil Rina terbeliak merenung wajahnya.

“Oii, habis air aku, ni hah air kau!” sergah Rina sambil menolak air yang sudah dari tadi dihantar pelayan. “Ops, terlupa pulak…” Lisa tersengih menukar sedutan di straw minuman sendiri.

“Macam mana kau tahu pulak? Dari cara dia pakai?” sambung Rina penuh tanda tanya.

“Wei kau tak tengok ke cara dia bergambar?” dahi Lisa berkerut. Rina menggeleng kepala.

“Apa yang kau tengok, muka dia yang macam Lee Pace tu je lah ye?”

Rina mengangguk macam burung belatuk.

Lisa mengeluh lemah. “Kau ni betullah, kau tak tengok cara dia bergambar dengan muka macam ni…” Lisa membuat wajah comel lote. “…Lepas tu dia pegang beg LV depan dia macam ni… Nampak sangat dia sayang sangat beg dia tu…”

Serta merta Rina menutup mulut menahan ketawa melihat wajah jahat Lisa mengajuk. Dia memukul lengan Lisa. “Apa-apa pun dia laki aku, agak-agak sikit nak mengata o.k! Pasal beg tu kau takkan dapat bayangkan segala koleksi yang dia ada. Kalah aku… aku yang perempuan ni pun fikir beratus kali nak beli Louis Vuitton!” Rina memberi amaran tetapi senyumannya masih tak pudar.

“Hurmm, mestila… dah namanya lelaki metroseksual… Hah! lepas tu kau ingat tak gambar dia sebelah kapal terbang mini tu. Tangan dia siap pegang macam ni ala-ala bersandar…” Lisa gemalai meletak tangan di cermin kaca restoran, membuat gaya manja pura-pura bersandar. “…Mana ada lelaki bergambar macam tu!” tekan Lisa. Rina makin galak ketawa sebelum berdehem kecil dan diam. Wajahnya berubah rona sedih kembali.

“Itulah, apa la malang nasib aku… Dulu bercinta 3 tahun, kena tinggal…”

“Alah, Din tu memang playboy, dia tinggal kau sebab kena kahwin free lepas kena tangkap basah. Selamat kau tak kahwin dengan playboy tu. Kalau tak jenuh makan hati!” Lisa mendengus.

“Lepas tu baru kenal 2 bulan dengan Ali, kena serang dengan tunang dia. Rupanya dah bertunang. Belum kes aku kena serang dengan bini orang lagi. Kenapa Lisa, nasib aku macam ni? Kenapa lelaki semua penipu?” suara Rina bertambah sedih mengenang malang sendiri.

“Sebab kau hot chick, semua lelaki cair tengok kau, sebab tu dah bertunang berbini semua mengaku bujang depan kau!”

“Pujian kau tetap tak menyenangkan hati aku…” Rina menongkat dagu.

Lisa hanya tersengih. “Aku tahulah kau dah taknak bercinta, mengharapkan pilihan keluarga akan berkat. Tapi… kau pun satu jugak, sekali tengok muka macam Lee Pace terus gelap mata.”

“Betul lah cakap kau, masa mula-mula jumpa dia kat rumah keluarga aku. Aku tak perasan langsung gaya dia, apa dia pakai, perangai dia… Mata aku lekat kat muka dia je, tak sempat memandang ke lain.” Rina menggaru kepala tak gatal. Kata-katanya disambut gelak ketawa Lisa.

“Tahu pun kau, sekarang baru kau nampak yang lain-lain ye, setelah duduk serumah?” Rina hanya mengiyakan dengan anggukan.

“Tapi aku nak tahu juga kenapa dia tak ada calon sendiri, umur dia pun dah 34 tahun, tua sikit dari kau kan? Kenapa dia suruh mak dia carikan jodoh. Maksud aku, dia kan hensem, apa masalah dia nak cari jodoh sendiri?” dahi Lisa berkerut, terselit juga perasaan curiga kalau suami Rina betul-betul gay… Nahuzubillah!

“Makcik aku kata dia ni memilih… Dia nak perempuan yang tinggi taknak rendah. Dia nak yang kulit tak putih sangat, senang cakap tan macam aku ni la. Dia nak muka yang comel, taknak yang nampak matang sangat. Taknak yang kurus sangat atau gemuk sangat. Banyak sangat la dia punya cerewet. Aku pun tak tahu la, macam mana dia boleh setuju pulak dengan aku…”

“Haa, yang bab tu betul la kau ikut taste dia, kau kan ala-ala model sikit. Dia nak kulit gelap sikit sebab dia tu putih melepak… opposites attract. Dia nak yang tinggi sebab dia pun tinggi lampai, baru sepadan jalan bersama.”

“Lelaki patut ke cerewet macam tu?”

“Kau pun sama cerewet, memilih. Bukan sebelum ni tak ada yang baik-baik. Tapi kau nak yang baik dan hensem. Tu yang sampai terlajak!” Lisa mendengus. Rahang Rina mengeras geram. Kalau nak ikutkan mahu sahaja dia menjelir lidah pada Lisa macam budak-budak.

“Jadi kau nak kata aku tersalah pilih la ni…” Rina mengetap bibir.

“La, apa pulak… Sampai sekarang ni pun aku masih tak faham-faham apa masalah kau sebenarnya. O.k la kau gelap dia putih, nanti dapat anak hitam putih selang seli macam tahi cicak…” Lisa mula meleweh tak tentu biji butir. Makin mendalam perbualan dia dengan Rina, makin dia tak mengerti. Pening.

“Itulah masalahnya, entah bila tah nak dapat anak tu agaknya…” Rina menggumam perlahan sambil mengurut kening. Lisa terlopong mulut, dia mudah menangkap maksud sahabatnya. “Maksud kau, korang masih belum jadi suami isteri yang ‘sah’ dalam erti kata sebenar?”

Rina menjawab pertanyaan itu dengan anggukan, jemarinya memicit dahi dengan mata terpejam.

“Lailahailla… dan berapa bulan kau kahwin?”

“Baru sebulan lebih, masa majlis tu dia la yang paling sibuk. Nak buat itu, buat ini. Pelamin macam mana, baju macam mana, bergambar gaya macam mana. Penyudahnya sampai tengah malam masih tak tidur. Lepas tu terus tidur mati sebab kepenatan. Lepas tu dia kemas barang pergi outstation emergency.Lepas tu ni baru seminggu la aku pindah masuk kat rumah dia yang serba lengkap mengalahkan rumah…”

“O.k, o.k aku dah faham, kenapa kau suspek dia macam tu... Abis tu kenapa kau tak mula dulu?”

“Hah, aku mana reti!” Suara Rina yang kaget memancing gelak Lisa.

“Aduhai, sakit kepala… Aku suka tau lelaki metroseksual, diorang hensem, kemas, bergaya dan sentiasa wangi. Tapi tak semestinya gay. Kau jangan prasangka dulu sebelum mencuba!”

“Aku pun suka, nak berborak senang, minat sama, boleh pergi shopping sama-sama. Dua hari lepas sepanjang hari kitaorang habiskan masa cari minyak wangi. Berjam-jam dalam kedai pun dia tak kisah. Dia lagi lama pilih barang kau tahu!”

“Lepas ni korang boleh sama-sama pergi manicure pedicure. Tak pun Brazilian wax.”

“Iye aku tahu… tapi aku bukan setakat perlukan kawan, aku perlukan seorang suami jugak. Takkan setakat nak mengadap muka hensem dia tu. Lepas tu apa, bertanding siapa yang paling cantik?”

“Sabar la, aku doa la dia bukan gay…”

“Hahaha… lawak la sangat. Kalau dia gay macam mana? Aku kenalah cerai kan. Dah lah kahwin lambat, lepas tu bercerai pulak!”

“O.klah tu, kalau bercerai pun, kau jadi janda berhias.”

“Huwaaaa! Aku taknak… tak pasal-pasal dapat title Mak Jan! Kau ni bukan nak redakan aku, makin tambah tension adalah…” Rina menggeleng-geleng kepala dengan wajah keruh. Air matanya sudah bergenang.

“Ye lah, ye lah…” Lisa mengusap-ngusap lengan Rina. Dalam perasaan lucu, terbit juga rasa simpati. Dia harap fikiran negatif Rina tak berasas. Tak berasas sama sekali… Aduhai… Lee Pace.

***

“Baby…”

Rina menggaru kelopak mata yang tak gatal. Terkial-kial dia membuka kasut depan pintu.

“Baby dah balik ke?” suara manja itu kedengaran lagi. Rina mengeluh, melangkah masuk longlai ke arah dapur. Bau masakan yang wangi menusuk hidung, mencucuk perut yang kelaparan ‘Kan aku dah kata dah… dia pandai masak… kata dah…’ Rina menggerit dengan dahi berkerut. Dia menjenguk dapur yang masih kelihatan kemas walaupun penuh dengan bahan masakan. Kelihatan Azril siap berapron putih mengerling manja padanya. Tangannya terdapat loyang panas yang baru keluar dari tempat pembakar.

“Apa ni?” soal Rina langsung tak ceria.

Sorry sebab lately abang sibuk. Tak sempat nak buat apa-apa untuk celebrate kita berdua. Ye la kita buat majlis kahwin pun terburu-buru.”

‘Tahu pun terburu-buru’ getus Rina dalam hati. Dia bungkam dengan wajah masam. Kedua tangannya disilang di pinggang, sambil bersandar di pintu dapur. Azril meletak loyang atas meja sambil menjilat ibu jari. Rina tak sedar di merenung gerak-geri suaminya dengan wajah memerah. Dahi Azril berkerut terpandang reaksi wajah isterinya, dia mencampak tuala kecil di tangan kemudian menghampiri Rina.

“Kenapa ni sayang, masam je?”

“Tak ada apa penat…” jawab Rina hambar.

“Ye ke?” Azril menarik dagu Rina dengan kedua jarinya. Matanya yang bundar dengan bulu mata yang lebat merenung anak mata Rina dalam. Dada Rina berdebar, dia terpaku merenung wajah yang sempurna itu. Dia terpesona. Tiba-tiba imbasan perkataan gay melintas difikiran. Azrina mendehem, segera berpaling.

“Rina naik atas rehat dulu, penat…”

Azril dengan jarinya masih pada kedudukan yang sama memandang Rina berlalu dengan wajah hairan. “Nanti… hari ni sayang bukan berehat kat bilik tapi…” dia menyaingi langkah Rina dan menarik tangannya. Rina kehairanan. Pada waktu itu juga kedengaran bunyi kereta memasuki perkarangan rumah. Belum sempat loceng di tekan, Azril sudah membuka pintu. Tercegat seorang perempuan berkulit cantik dan berkaca mata bingkai hitam tersenyum manis.

“Siapa ni?” Rina memandang suaminya dengan wajah hairan.

My stylist. Hari ni dia akan bawa Rina manjakan diri o.k. So enjoy…” Azril menolak bahu Rina dengan kedua tangannya dari belakang. Rina kaget kehairanan. Perempuan itu juga menggamit Rina ke keretanya.

“O.k Mr Azril, semuanya serahkan pada saya” gadis itu mengenyitkan mata. Azril melambai tangan apabila kereta berlalu membawa Rina yang terpinga-pinga.

***

Masih lagi dalam keadaan terpinga-pinga walaupun jam demi jam sudah berlalu. Tini stylist genit itu asyik menggumam perkataan rahsia apabila di asak pelbagai soalan. Geram betul Azrina, memang dasar tali barut Azril! Kini dia ditinggal di hadapan pagar rumah dengan penampilan secantik bidadari. Tadi petang hingga hampir pukul 9.00 malam dia siap berspa, berurut, berdandan rambut, make up. Malahan baju dress violet dari chiffon halus sudah siap sedia untuk disarung. Entah jenama apa, tak sempat pula Rina tengok tadi. Kasut bertali indah berkilauan warna emas di kaki. Original dari koleksi Jimmy Choo. Jangan lupa tu. Seumur hidup tak pernah terimpi nak pakai Jimmy Choo. ‘Baik hantar orang tua pergi haji dari beli kasut ni!’ Azrina mengetap bibir geram. Dia harus berbincang dengan Azril mengenai perancangan kewangan malam ini juga. Dia menghentak kaki melangkah laju ke arah pintu rumah dengan perasaan marah. Langkah kasarnya (tanpa peduli pada Jimmy Choo) yang tersarung tiba-tiba berhenti mendadak.

“Apa ni?” terpacul soalan dari bibir entah pada siapa. Terbeliak mata Rina merenung ratusan kelopak bunga rose merah dari pintu masuk hingga ke dalam rumah. Bau yang menerpa dari dalam juga harum semerbak. Hanya beberapa lampu spotlight dihidupkan menjadikan suasana rumah malap dan romantik. Ada satu papan tanda kecil memberi arahan. ‘IKUT SINI WAHAI PERMAISURI.’ Bibir Rina melopong. Dia mendengus sambil menggeleng kepala.

“Biar betul ni. Nak tanggal kasut ni ke tak ye?” dia tertanya-tanya sendiri. Kalau tanggal nanti tak boleh ditunjuk sebagai bukti.

“Ah pakai je la, lepas ni kena bersihkan jugak lantai yang penuh kelopak bunga ni. Hiiii… apa la laki aku ni. Spesies alien turun dari planet mana tah!” bebel Rina tak tentu biji butir. Kakinya terus melangkah ke papan tanda seterusnya ‘DI SINI KEKASIH SEHIDUP SEMATIMU MENUNGGU.’ Azrina menggigit bibir bawahnya.

“Tak ada maknanya aku nak ikut semata!” Rina memandang kiri dan kanan. Apabila dia yakin Azril tiada, dia menyusup naik ke bilik. Pintu bilik tidur di tolak perlahan. Lampu malap terpasang tetapi bilik itu lebih diterangi lampu lilin beraroma. Rina menelan air liur melintasi bilik air. Matanya terbeliak melihat bath tub yang dipenuhi air bergenang kelopak bunga ros. Lilin ditepi meliuk-liuk. Azrina menyelak langsir merenung ke bawah. Di tepi kolam air terjun kelihatan Azril segak memakai tuxido tenang menuang minuman di meja candle light dinner. Rina menelan air liur, bergegas turun ke bawah takut disedari mengelat naik ke bilik. Dia berdehem ketika keluar ke taman mini depan rumah. Azril yang menoleh terkaku sesaat. Botol minuman di letak perlahan atas meja.

“Oh! my beautiful princess…” dia lantas mendapatkan Azrina dan memeluknya lembut. Rina hanya tersengih. Melihat Azril yang tampan dengan tuxido hitam dan bow. Rambut yang tersisir rapi, dagu tanpa seurat jambang. Kulit yang bersih halus tanpa cacat cela. Haruman yang lebih wangi dari biasa… definitely Homo, opss.. Metroseksual… Azril memegang kedua bahu Rina dengan kedua tangannya. Dia memerhati dari atas ke bawah dengan raut wajah puas hati.

“Hurm, sayanglah wanita paling sempurna untuk saya…” selirik senyuman selari dengan kata-kata. Dia membawa tangan Rina ke bibir dan mengucup lembut. Rina hanya diam terkelu lidah dan terkaku dengan kejutan yang tak terduga ini. Semasa Azril memimpin ke meja dinner. Dia cuba mencari-cari semula perasaan marah tadi… Azril menarik kerusi mempersilakan dia duduk. Macam disihir Rina hanya menurut. Setelah lama terpaku Azrina cuba menyusun kata.

“Apa semua ni?” wajahnya keruh. Azril senyum menawan. Dia menunjuk pada makanan yang sudah siap sedia atas meja.

“Kita makan dulu, seharian abang siapkan semua ni.”

Rina memerhati atas meja yang lengkap dengan Black pepper stick, Moist Chocolate, Lasagna.

“Ini bukan beli kat Secret Recipe kan?”

“Tak la, tadi abang buat kan sayang nampak. Abang sempat buat yang senang-senang je, sebab balik dari market tadi pun dah petang. Tak sempat.” Azril menggumam dengan kepala ditelengkan. Rina mengangkat kening separuh, mulutnya sedikit ternganga.

“Senang?... Untuk apa semua ni,” jemari Rina merujuk sekeliling rumah.

“Baby, kita kan tak celebrate our love lagi kan?” Azril mengangkat kening dan menggigit bibir.

“Ni apa ni, mahal ni?” Rina menjengil mata sambil menunjuk jari pada kaki yang tersarung kasut Jimmy Choo.

“Hadiah untuk sayang la. Alah, tak seberapa nak bandingkan hidup yang sayang kena korbankan untuk abang nanti.” Keningnya masih terangkat.

“Baik hantar mak ayah pergi umrah, dengan segala duit yang awak bazirkan ni!” Rina mengetap bibir geram. Rahangnya tegang, dia merenung Azril kemarahan.

“Bila nak hantar, esok, lusa, bulan depan? Anytime abang boleh sediakan semua.” Azril mengungkap dengan angkuh. Kepalanya didongakkan spontan bersandar ke kerusi sambil menyilang kaki.

“Berlagak…” Rina menggumam perlahan sambil mencebik. Azril pura-pura tak dengar. “Babe, tonite is our nite. So jangan spoil dengan moody o.k…” dia bercakap dengan lembut tetapi bernada arahan. Rina hanya mendengus dan menyambut huluran makanan dari Azril. Mereka kemudian makan dengan senyap. Azrina hilang kosa kata, nak marah pun tak boleh, seolah tak hargai pula usaha suaminya itu. Nak gembira pun tak boleh. Sebab inilah kali pertama Azril beri perhatian pada dia. Selama ini dia hanya beri perhatian pada majlis, pada kerja. Azrina sedar yang suaminya seorang yang sangat fokus pada setiap perkara yang dilakukannya. Leka menikmati air tangan Azril yang boleh tahan sedapnya Rina tersentap bila merasai kakinya disentuh. Pantas dia mengangkat muka merenung Azril. Lelaki itu hanya tunduk makan dengan raut wajah sopan. Rina menjeling kemudian tunduk pada makanan semula. Kali ini dia merasakan betisnya dikuis lembut dengan kaki.

“Abang!” Azrina menjerit manja sambil ketawa.

“Apa? Khusyuk sangat makan. Sedap sangat ke?”

“Sedapla, kalau Rina yang masak tak tahu apa jadi…” Rina menunduk menahan senyum, lebih lagi menahan wajah yang merona merah. Senyum pada wajah Azril melebar. Dia sudah selesai makan, menopang dagu dengan sebelah tangan, merenung Azrina yang masih makan.

“Jangan la renung Rina macam tu, tak lalu Rina nak makan…” Azrina mengeluh lantas meletak sudu dan garfu.

“Rina cantik sangat sayang…” Azril merapatkan tubuh ke depan. Dia mengelus lembut pipi Azrina.

“Mestilah, kalau tak takkan abang nak kawin dengan Rina, dasar memilih…”

Azril hanya mengangkat bahu dan mencebik. Dia bangun dari meja mendekati Rina dan mencium ubun-ubunnya.

“Nanti sambung makan, kita menari jom…” gamit Azril sambil menekan remote entah apa, lagu romantik berkumandang tenang. Rina menggaru kepala yang tak gatal. ‘Dia dah mula dah…’ Rina serba salah ‘aku mana pandai menari!’ Tetapi renungan Azril yang menawan menyihirnya bangun. Dia mengekori langkah Azril ke tepi kolam kecil. Mereka menari perlahan mengikut irama lagu.

“Kenapa hari ni buat macam ni?” Rina menggumam lembut sambil merebahkan kepala ke dada Azril.

“Sebelum ni kan abang sibuk… Maaflah, lagipun malam ni haruslah jadi sejarah dalam hidup kita. Kena plan elok-elok.” Azril mengelus lembut rambut ikal Rina.

“Apa maksud abang dengan plan? Malam kita patut sah jadi suami isteri pun kena plan?” Rina mengangkat wajah merenung dengan perasaan tidak percaya.

“Iyalah…semestinya.” Wajah Azril berkerut.

“Hey, bukan ke orang lain lepas nikah terus celebrate. Mana ada plan bagai. Tak normal lah!” Mereka berdua sudah berhenti menari.

“Laa, takkan la lepas nikah hari tu, dengan penat, lepas tu masa tu kita pun baru kenal, segan la… Lagipun kena la buat plan. Macam dalam cerita romantic movie tu…”

“Abang, itu kat dalam movie, memanglah idealistik. Ini realiti tak payah lah nak bersusah macam ni.” Rina membentak.
“Jadi Rina tak suka abang buat macam ni?” wajah Azril berbaur kecewa. Melihat wajah itu Rina tak senang hati.

“Suka, tapi Rina… Rina dah salah sangka dengan abang...” Rina menutup mulutnya. Azril memegang kedua bahunya dengan isyarat minta dia menyambung.

“Rina ingat abang gay…, err.. . atau metroseksual…” Rina tergagap-gagap sambil menjeling sekilas wajah Azril. Dia menduga Azril marah, sebaliknya lelaki itu tergelak besar. Rina terpaksa menunggu gelak Azril pudar, lelaki itu mengesat tubir mata yang bergenang kelucuan. Dia menarik wajah Rina sedikit kasar mendekati wajahnya. Dada Rina berdebar, nafasnya serasa sesak.

“Baik, mungkin abang metroseksual tapi definitely bukan gay. Mungkin betul abang idealistik tetapi lebih tepat lagi perfectionist.. Maaf, abang dah terbiasa dengan cara macam tu.”

Rina mendehem meredakan gugup di hati. Dia menelan air liur sebelum menyusun kata.

“Bagi abang itu kesempurnaan, tapi bagi Rina ianya kelemahan. Mungkin bagi abang sesuatu itu kekurangan tapi bagi Rina ianya kelebihan.”

“Jadi bagi Rina sikap abang yang pentingkan kesempurnaan ini satu kelemahan?”

Rina hanya menggangguk lemah. Azril mendengus kecil, kemudian jemarinya melorot menggenggam kedua tangan Rina.

“Baiklah Azrina Ariffin, sudikah awak menjadi isteri lelaki yang penuh kelemahan ini? Menerima segala kekurangan dan kelebihan,” dia mencium belakang tangan isterinya. Mata Rina berkaca, dia mengangguk dengan senyum.

“Tapi, ada syaratnya… Abang kena belajar betulkan paip dengan repair kereta…”

What! Kenapa pulak, taknak la, habislah calar kuku abang…” Azril menyanggah.

“Aduhhh…,dasar metro, Hisy… dahlah!” Rina pura-pura marah dan menghentak kaki mahu beredar. Spontan tangannya ditarik Azril dari belakang. Rina berpaling, Azril membalas pandangan itu dengan badan dilerengkan.

“Tiru kuch kuch hota hai la tuh!”

“Of course, my favorites Hindustan movie…”

Rina hanya menggeleng kepala. Azril menarik isterinya kembali ke pangkuan.

“Tak apalah abang, tak pandai betulkan paip pun takpe, abang masak je lah. Rina boleh betulkan paip tu, pandai betulkan mesen basuh, pandai betulkan kereta sikit-sikit. Ayah pernah ajar dulu. Cuma Rina saja buat-buat tak tahu. Takut abang terkejut pulak.” Rina memutarkan bebola matanya.

“Ye ke, la terbalik pulak kita ye…”

“Tak apalah terbalik pun takpe, yang penting kita bahagia…”

“Sayang tahu tak apa kelebihan kahwin lelaki metroseksual?”

Rina hanya menggeleng. Mereka berdua kembali menggerakkan badan mengikut irama.

“Lelaki metroseksual mudah bergaul dengan wanita tetapi tak mudah terpikat tau. Sebab tu abang ambil masa lama nak kahwin walaupun ramai kawan perempuan.”

“Iya ke? Kenapa pilih Rina?”

“Sebab Rina memang wanita sempurna impian abang. Tak sangka akhirnya abang berjumpa wanita impian abang,” pelukan pada Rina makin erat. Rina hanya menggeleng perlahan. Dia malas mahu bertanya butir-butirnya. Lelaki cerewet macam dia, lebih baik tak payah ditanya kalau tak mahu pening kepala. Azrina membenamkan wajah ke dada bidang Azril. Dia menarik nafas dalam-dalam… Harumnya, inilah salah satu keistimewaan lelaki metroseksual. Sentiasa wangi, sebatu dah boleh bau wanginya…

(Jangan lupa Rina ada tiga jenis pewangi ; Versace, Estee Lauder dan Thierry Mugler.

Azril ada Hugo, Armani, Paco Rabanne, CK, Chanel, D&G, Thierry Mugler, Dunhill, Mont Blanc, Jaguar, Merc-Benz, Jean Patou, Tom Ford… O.k cuba kira dah ada berapa banyak tu? Itu baru atas meja solek. Belum dalam laci) Rina masih memikir-mikir cara macam mana mahu sorokkan separuh barang Azril dari meja solek, supaya dia boleh letak barangnya di situ. Tak sangka pula kena bersaing dengan suami sendiri!… Oh tidak, si dia metroseksual!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.