Home Cerpen Kisah Hidup Ingat Fikir Rindu
Ingat Fikir Rindu
SeriAmar
11/12/2021 17:48:24
3,179
Kategori: Cerpen
Genre: Kisah Hidup

   Hari ini merupakan hari pertama aku menghadiri kuliah. Aku melangkah dengan penuh debaran ke dewan kuliah iaitu Dewan Amir Hamzah. Dari jauh kulihat para pensyarah yang berada di pejabat mengukir senyuman mesra kepadaku. Saat itu, aku dapat merasakan akulah insan yang paling bahagia di dunia ini. Aku duduk di sebuah kerusi yang disediakan. Suasana pembelajaran di sini amat selesa. Tiba-tiba kenangan beberapa tahun yang lalu mengimbau di ingatan.

   Kring…! Loceng berbunyi tanda waktu belajar akan bermula. Para pelajar mengambil tempat masing-masing dan bersedia untuk belajar. Tidak seperti mereka, aku lebih suka mengusik. Dalam ramai-ramai aku lebih suka mengusik Auni Farhana kerana dia begitu tekun membaca. Aku lebih suka mengejek Auni Farhana kerana dia memakai cermin mata tebal. Ah, kadangkala kenakalanku memang keterlaluan. Aku sebenarnya sudah lali dengan jelingan tajam dan rungutan kawan-kawan serta para guruku. Semuanya tidak pernah menjadi kudis buatku. Kenyataannya, hatiku puas setiap kali mengenakan mereka.

   Aku sering dipanggil menghadap pengetua sekolah. Setiap hari ada sahaja aduan warga sekolah tentang kenakalanku. Amaran pengetua tidak pernah merunsingkan aku. Amaran beliau samalah seperti mencurahkan air ke daun keladi. Aku pernah dirotan kerana kantoi ponteng sekolah semasa waktu persekolahan. Walau bagaimanapun, aku tidak pernah menyesal.

   Pada suatu hari, seorang guru baharu ditugaskan di sekolahku. Beliau ditugaskan sebagai guru tingkatanku yang menggantikan Puan Norehan yang baru berpindah ke Johor. Ketegasan Cikgu Wan Zainida seolah-olah menjadi penghalang kenakalan buatku. Aku dapat merasakan bahawa Cikgu Wan Zainida mengawal setiap gerak-geriku. Aku seringkali menjadi sasaran beliau.

   “Hafiz, mana karangan yang cikgu suruh buat semalam?” Soal Cikgu Wan Zainida.

“Dengar sini, apabila sifat malas telah memadamkan harapan, maka penghasilannya akan berkurang. Kemahuan berusaha akan menjadi mundur dan tidak lagi mampu membela diri kerana rasa kalah telah mematahkan semangat.” Lanjut Cikgu Wan Zainida panjang lebar.

   “Eleh, sudahlah, panas telingaku tahu tak cikgu?” Tengkingku kasar.

Aku dapat melihat Cikgu Wan Zainida tersentak dan terkejut akan perlakuanku. Aku tersenyum puas. Pada sangkaanku, Cikgu Wan Zainida akan serik untuk menasihatiku. Namun demikian, sangkaanku meleset sama sekali. Beliau rupa-rupanya bukanlah seorang yang mudah berputus asa. Beliau semakin giat menasihatiku tanpa mempedulikan kebiadaban dan keangkuhanku.

   Sering nafas menghanyut usia, melekuk tanda waktu beralih, sedikit demi sedikit nasihat Cikgu Wan Zainida meresap ke lubuk jiwaku. Bila difikirkan secara mendalam, buat apa aku teruskan kenakalanku ini kalau hanya membangkitkan rasa kebencian dan luka kepada orang lain. Ibarat luka sudah hilang, parutnya tetap tinggal juga. Aku cuba untuk berubah. Usahaku mendapat sokongan daripada pelbagai pihak terutamanya Cikgu Wan Zainida. Namun demikian, biasalah manusia biasa. Setiap kali ingin berubah ke arah kebaikan,Iblis Laknatullah pasti menghasut untuk kembali berbuat jahat. Aku hanya manusia biasa, aku tidak berdaya.

   Suatu hari, Cikgu Wan Zainida memanggilku ke bilik kaunseling. Walaupun berat kakiku melangkah namun, aku gagahkan juga untuk pergi kerana rasa hormat kepada cikgu.

   “Masuklah Hafiz.” Kedengaran suara Cikgu Wan Zainida memanggilku masuk sebaik sahaja aku mengetuk pintu.

   “Baiklah Hafiz, hari ini saya mahu dengar pengakuan jujur daripada kamu. Saya mahu tahu apa sebenarnya masalah kamu.”Begitulah pertanyaan yang diajukan oleh Cikgu Wan Zainida.

   “Apa yang cikgu maksudkan ini? Cikgu rasa saya ini ada masalah pembelajarankah? Kalau adapun, saya rasa tak payahlah cikgu tahu. Cikgu tidak ada hak untuk mengetahuinya!” Jawabku dengan nada marah.

   “Jangan berdalih Hafiz, cikgu tahu sebelum ini kamu seorang pelajar yang cemerlang dan bersopan-santun. Kamu juga merupakan pelajar yang berdisiplin dan menghormati para guru.” Kata-kata Cikgu Wan Zainida membuatku sesak atma mengenang.

   “Hm… itu kisah silam cikgu. Manusia boleh berubah dalam sekelip mata.” Dengan nada sayu aku menjawab.

   “Cikgu setuju dengan kamu. Akan tetapi, setiap perbuatan pasti ada sebabnya. Umpama pantai tidak akan berubah sekiranya ombak tidak menghempas pantai. Jadinya, cikgu mahu kamu terangkan sebab-sebab yang mengubah kamu jadi begini.” Ucap Cikgu Wan Zainida tegas.

   “Baiklah cikgu. Sebenarnya saya juga tidak suka dengan keadaan saya sekarang. Hal ini saya lakukan disebabkan jiwa saya memberontak dan hanya ingin mencuri perhatian daripada keluarga saya. Saya merupakan anak sulung dalam keluarga. Setiap pengharapan diletakkan harapan yang tinggi di bahu saya. Keputusan PMR saya agak teruk. Ibu bapa saya mengharapkan keputusan yang terbaik. Akan tetapi, bukan rezeki saya untuk mendapat banyak ‘A’ dalam keputusan PMR tersebut. Dengan itu, saya sering dipulaukan. Sehinggakan baju, seluar dan tali pinggang yang telah koyak dan lusuh pun mereka tidak mahu belikan. Adakalanya, saya berlapar tidak diberi makanan sebagai hukuman ke atas diri saya.“ Jawab saya panjang lebar dalam nada sendu.

   Mendengar jawapan daripada aku, secara tiba-tiba aku melihat mata Cikgu Wan Zainida bergenang air mata seakan-akan menahan sebak.

   “Sabarlah Hafiz, cikgu faham perasaan kamu diperlakukan begini. Mungkin suatu hari nanti mereka akan sedar. Walau bagaimanapun, sebagai seorang pelajar, kamu tidak patut berkelakuan begini. Banyak cara lain yang boleh digunakan untuk menarik perhatian ibu bapa kamu. Peperiksaan SPM semakin dekat. Kali ini buktikan kamu mampu memperolehi keputusan yang cemerlang berbanding peperiksaan PMR yang lalu. Buktikan kamu seorang pelajar yang pintar. Tentu nanti mereka akan berbangga dengan kamu.”Ucap Cikgu Wan Zainida bersemangat.

   Seakan-akan nafas baharu telah diberikan kepadaku. Sejak dari hari itu, aku berubah sikap. Aku mula belajar bersungguh-sungguh. Aku cuba tinggalkan tabiat burukku. Tanpa aku sedari, secara diam-diam Cikgu Wan Zainida telah berjumpa dengan kedua-dua ibu bapaku lalu menceritakan tentang harapanku.

   Alhamdulilah, keluargaku kini penuh dengan kemanisan kasih-sayang. Terasa kenangan beberapa tahun lalu berulang kembali. Kini, aku telah melanjutkan pelajaran di Institut Pendidikan Guru di Kuala Lumpur. Aku berasa sangat seronok belajar di sini. Aku ingin menjadi seorang guru yang baik seperti Cikgu Wan Zainida yang tidak jemu menasihatiku menjadi insan yang baik. Benarlah kata pepatah, elok basa’kan bekal hidup, elok budi bekal mati. Siapa sangka, keberanian dan kesabarannya telah mengembalikan kebahagiaan yang aku dambakan selama ini.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.