Home Cerpen Fantasi Penaklukan Melaka 15 11
Penaklukan Melaka 15 11
SeriAmar
15/7/2024 01:16:49
703
Kategori: Cerpen
Genre: Fantasi

Tahun 2024

 

Hutan tebal di sempadan Thailand dan Malaysia. Sekumpulan tentera seramai dua belas orang, lengkap bersenjata dan berpakaian seragam, sedang meronda. Tiba-tiba, angin kencang menyedut mereka bagaikan vakum, menghilangkan mereka tanpa sempat berpaut pada mana-mana dahan. Jeritan mereka sayup-sayup hilang di dalam hutan.

 

***

Melaka, tahun 1511

 

Bunyi ledakan meriam menggoncang ruang angkasa menyebabkan dua belas orang anggota tentera yang dipimpin Kapten Amir terjaga bagaikan orang kelemasan. Mereka segera bangun dan saling memandang antara satu sama lain.

 

Mereka masih lengkap berpakaian celoreng, bersenjata dan beg tentera (FSMO) di sisi. Tiba-tiba, terdengar suara jeritan semakin mendekati. Mereka segera menyorok di sebalik belukar.

 

"Portugis serang Melaka! Portugis serang Melaka!" teriak beberapa hulu balang lelaki lengkap berperisai, senjata api seperti pemuras, terakol dan sundang yang berlari masuk ke dalam hutan.

 

"Melaka?" mereka serentak berbisik, kebingungan.

 

 Dari kawasan hutan berbukit, mereka dapat melihat kapal-kapal besar Portugis berlabuh. Sampan-sampan kecil berisi tentera Portugis mendekati jeti-jeti kecil, masuk ke jambatan yang menghubungkan bandar Melaka.

 

"Takkan tahun 1511, kapten? Kita berada di kancah peperangan antara Melaka dan Portugis?" soal Sarjan Khamis, wajahnya penuh tanda tanya.

 

"Kita kena prank ke?" tanya Prebet Hashim, matanya masih terpaku pada kapal-kapal Portugis yang mengebom bertubi-tubi Pelabuhan Melaka.

 

Kapten Amir tidak menjawab. "Mari ikut saya, kita ke Istana Melaka!" ajaknya tegas. Tidak mungkin mereka kena prank. Keadaan di Pelabuhan Melaka seperti benar belaka. Mereka berjalan mencari Istana Melaka yang terletak di atas Bukit Melaka berhampiran tempat mereka berada. Tidak sukar mencarinya. Cuma, mereka tidak pasti adakah Sultan Melaka, yakni Sultan Mahmud Syah masih berada di istana pada ketika itu.

 

Tanpa banyak soal, mereka bergerak menuju ke Istana Melaka. Penduduk Melaka memandang mereka dengan penuh kehairanan. Namun demikian, mereka terus berhati-hati, bimbang disangka tentera Portugis kerana pakaian mereka yang berbeza. Mereka menyelinap melalui pintu belakang Istana Melaka. Keadaan di kawasan itu agak sunyi, mungkin ramai askar Melaka sudah ke pelabuhan melawan Portugis.

 

Kapten Amir cuba mengingati bilik beradu Sultan Melaka yang pernah dilihat di Muzium Melaka. Sebaik berdiri di hadapan pintu yang berukir cantik, dia terus menerpa masuk. Betullah tekaannya, Sultan Melaka ketika itu Sultan Mahmud Syah sedang memerhati ke arah Pelabuhan Melaka dengan wajah penuh kecewa. Kapten Amir memerintahkan pintu dibuka. Orang-orangnya menunggu di luar untuk berkawal.

 

“Ampun, Tuanku!” sapa Kapten Amir sambil mengangkat sembah. Biarpun dalam hati berasa bimbang dan janggal dek kerana tidak pernah berlaku dalam hidupnya keadaan seperti ini. Apatah lagi berada di Istana Melaka. Pada fikirannya ini umpama sebuah mimpi yang tak terbayang logik akal.

 

“Siapakah gerangan tuan hamba? Bagaimana boleh berada di istana beta?” soal Sultan Mahmud yang kehairanan, apatah lagi melihat pakaian yang dipakai oleh lelaki yang berada di hadapannya.

 

“Hamba Kapten Amir, Tentera Darat Askar Melayu Diraja Malaysia. Hamba orang Melayu tuanku, datang dari tahun 2024, 513 tahun ke hadapan dari masa sekarang. Ampun tuanku beribu-ribu ampun, sejujurnya hamba tidak tahu bagaimana boleh berada pada zaman ini,” jelas Kapten Amir. Dia menerangkan asal kejadian. Dia bercerita tentang asal-usul Malaysia.

 

Berkerut dahi Sultan Mahmud mendengar cerita Kapten Amir. Antara yakin dengan tidak tetapi sebaik sahaja dia melihat senjata dan alat yang dikatakan seperti telefon pintar membuatkan Sultan lebih yakin lelaki ini sememangnya datang dari masa hadapan.

 

“Tahun berapakah ini tuanku?” soal Kapten Amir.

 

“1511 Masihi,” jawab Sultan Mahmud Syah.

 

“Melaka akan jatuh ke tangan Portugis, tuanku. Jangan terkejut. Itulah yang telah tertulis dalam sejarah Tanah Melayu. Tuanku akan berpindah keluar dari Melaka. Hamba semua akan membantu tuanku melawan Portugis. Sejarah tetap sejarah, kita tidak boleh mengubah keadaan. Tetapi ketahuilah tuanku. Musuh dalam selimut lebih berbahaya berbanding musuh yang terang dan nyata,” kata Kapten Amir panjang lebar.

 

Sultan Mahmud terkejut mendengar cerita lelaki asing itu. Sukar untuk dia mempercayainya, tetapi kelancaran Kapten Amir bercerita tentang susur jalur kejadian membuatkan dia yakin kepada lelaki itu.

 

“Apa maksud tuan hamba musuh dalam selimut?” soal Sultan Mahmud Syah ingin tahu.

 

“Datuk Syahbandar iaitu Raja Mendeliar adalah tali barut Portugis. Begitu juga orang suruhannya, Si Kitul. Mereka wajib ditangkap dan dipenjarakan. Pedagang Cina dan Gujerat juga membantu Portugis untuk menyerang Melaka,” cerita Kapten Ali.

 

Terlopong mulut Sultan Mahmud mendengarnya. Disebabkan kata-kata Raja Mendeliarlah dia menghukum bunuh Bendahara Tun Mutahir dan keluarganya. Termasuklah Tun Hasan, temenggung ketika itu. Kali pertama Melaka diserang Portugis, dua insan yang bijaksana itu masih hidup, Melaka selamat daripada dijajah.

 

“Beta menyesal!” ucap Sultan Mahmud Syah lalu duduk di birai tempatnya beradu. Baginda mengeluh.

 

“Tiada guna bersedih, tuanku. Ayuh, kita terus berjuang mempertahankan bumi Melaka, hamba dan orang-orang hamba sedia membantu,” ujar Kapten Amir penuh semangat.

 

“Benarkah Melaka akan dijajah?” soal Sultan Mahmud Syah dengan wajah sugul.

 

“Itulah yang tercatat dalam sejarah tuanku. Perkara sudah berlaku. Tiada guna dikesalkan. Tuanku masih boleh mengubah keadaan. Jadilah sultan yang memerintah dengan penuh bijaksana, tidak hanya mendengar cerita semata-mata. Setiap apa yang disampaikan hendaklah disiasat dan diperiksa kesahihannya terlebih dahulu. Rasuah atau suapan akan melemahkan bangsa dan merosakkan kekuatan sesebuah negara. Musuh dalam selimut tidak boleh dibiarkan bermaharajalela, perasaan iri hati dan dengki sesama sendiri akan merosakkan Melaka,” nasihat Kapten Amir.

 

Sultan Mahmud terdiam seribu bahasa, dahinya berkerut seperti memikirkan sesuatu.

 

“Beta dan keluarga beta sudah siap bersedia meninggalkan bumi Melaka, segala kemasyhuran, kemegahan dan kebanggaan sebagai negeri pedagangan lenyap hanya kerana sikap beta yang mengikut hawa nafsu semata-mata. Inilah hukuman setimpal yang layak beta terima,” luah Sultan Mahmud Syah lagi.

 

“Kapten, tentera Portugis sudah hampir sampai ke kaki bukit istana Melaka. Kita perlu bergerak segera!” ujar Sarjan Khamis.

 

“Baik, ayuh tuanku! Kita angkat senjata. Biar kalah melawan daripada kalah menyerah,” kata Kapten Amir.

 

Mereka masuk ke Balairong Seri. Rupa-rupanya ramai pembesar Melaka berada di situ. Sebaik terlihat Kapten Amir dan pasukannya, terkejutlah mereka. Tiada masa untuk memperkenalkan diri.

 

Sultan Mahmud Syah mengarahkan Raja Mendeliar dan Si Kitul segera ditangkap dan dihukum seberat-beratnya. Pedagang yang bersekongkol dengan Portugis segera dihalau keluar dari Melaka.

 

Dengan bantuan pengetahuan dan teknologi dari masa hadapan, tentera Melaka mula mempersiapkan diri dengan lebih baik. Mereka memperkenalkan senjata baru, teknik bertempur yang lebih hebat dan strategi perang yang belum pernah dilihat oleh Portugis. Ketika pertempuran besar berlaku di pelabuhan Melaka, tentera Portugis terkejut dengan kekuatan dan kecekapan tentera Melaka yang telah diperbaharui.

 

Pertempuran sengit berlarutan tetapi dengan kerjasama erat antara tentera Melaka dan pasukan dari masa hadapan yakni Tentera Darat Diraja Malaysia, mereka berjaya mematahkan serangan Portugis dan memaksa Portugis berundur. Melaka tidak dijajah oleh Portugis! Kapten Amir dan pasukannya gembira. Mereka telah mengubah sejarah. Namun demikian, dengan tidak semena-mena, tiba-tiba angin bertiup kencang dan seperti vakum menarik Kapten Amir dan para pasukannya. Hanya terdengar jeritan suara mereka sayup-sayup menghilang.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.