Home Cerpen Keluarga Perempuan Banjar Itu
Perempuan Banjar Itu
Aurian
18/12/2013 14:13:01
3,298
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga
Perempuan Banjar Itu

Perempuan itu senyum padaku yang menjenguk dari tingkap dengan sengih menampakkan gigi rongak.

“Kamu tak mahu masuk?” ajaknya. Aku hanya menggeleng kepala. Rumah itu bersepah, bau hapak menular masuk ke rongga hidung. Masakan aku mahu masuk ke rumah yang berkepam dan berterabur. Aku takut dan rasa tak selesa. Aku tak sabar menunggu Maya sepupuku keluar dari bilik. Maya sepupuku yang cantik dan comel berlari anak keluar mendapatkan aku.

“Mari kita main kat sungai…!” ajak Maya menarik tanganku yang muda setahun dari dia. Kami bermain girang. Lewat petang baru pulang. Maya tidak pulang ke rumah tadi, tetapi duduk di rumah nenekku di sebelah. Esok Hari Raya Aidilfitri. Malam ini kami mahu bermain bunga api. Setelah letih bermain kami tidur di bilik tamu rumah nenek. Rumah perempuan itu sunyi sepi, wanita itu adalah ibu kandung Maya.

Esoknya emak menarik tanganku ke rumah perempuan itu. Aku gusar dan rasa berat hati. Hari ini hari raya, emak mahu melawat semua sanak saudara. Aku masuk memerhatikan sekeliling rumah. Kusam, kelam dan tak berseri. Cuma sedikit kemas. Bukankah hari ini hari raya?

“Kamu sihat sikit?”

“Alhamdulillah...” ucap emak Maya. Aku menyorot pada wajahnya yang putih bersih. Matanya sepet seperti kebanyakkan wanita Banjar lain. Aku memerhati keliling rumah, aku lihat kuih raya dah air teh di atas lantai. Dia kah yang buat? Bukan kah dia lumpuh, bagaimana dia bangun buat air? Hati aku meronta-ronta mahu keluar dari rumah itu. Aku mahu berhari raya di rumah yang lebih kaya. Pasti ada air oren bergas. Kuih dan kek yang sedap-sedap. Di rumah perempuan ini cuma ada teh kosong dan kerepek-kerepak sahaja. Tak menggamit selera kanak-kanak sepertiku.

“Enal tak balik menjenguk kah?” soal emakku.

“Tak apalah. Dia tak balik pun tak apa. Tapi janganlah lupakan anak-anak. Mereka perlu belanja sekolah…” ucap perempuan banjar itu tenang. Aku pantas berkalih merenung matanya. Aneh, wajah itu tenang seperti air di kali.

“Dia beraya di rumah isteri sana?” Ibuku menduga. Perempuan banjar itu cuma senyum. Tidak ternampak riak marah, matanya hening, wajahnya sangat manis. Aneh, jika dilihat pada keadaannya yang lumpuh, punggungnya yang sopak akibat lama mengensot dan duduk. Bagaimana dia boleh setenang itu?

Wajahnya tidak berkerut sakit walau punggungnya sudah membusuk. Aku pernah melihat nanah di punggung di bersihkan oleh anak sulungnya. Tekakku rasa meloya.

“Anak-anak nak jumpa bapaknya di hari raya. Kasihan hati budak-budak terluka...” keluh perempuan itu. Tetapi wajahnya tetap tenang. Benar, kasihan Maya, Ilias dan Rifli. Mereka masih sekolah, butuh perhatian dan kasih sayang seorang ayah. Aku menyorot mata melihat perempuan banjar itu. Badannya boyak, almaklum sudah separuh umur dan punya empat anak. Tapi wajahnya masih cantik. Perempuan banjar ramai yang cantik-cantik. Malangnya dia lumpuh dan tidak mampu berdiri. Dia ke dapur buat air, masak dengan mengensot. Selain itu tiada apa-apa yang mampu dia lakukan. Maka itu sudah jadi sebab dan suaminya berhak kahwin lagi. Dia sudah tak mampu jalankan tanggungjawab sebagai isteri. Perempuan banjar itu umpama kain buruk yang sudah tidak ada harganya.

Malangnya sejak suaminya beristeri baru, batang hidungnya terus tak nampak. Nafkah pun tak diberi. Alasannya tak cukup duit. Bagaimana dengan nasib Ima, Maya, Ilias dan Rifli? Sekolahnya, makan pakainya. Ibunya sudah lumpuh tak mampu bekerja. Maka Ima anak sulung keluarga berhenti sekolah dan bekerja kilang. Dia tak ambil SPM pun, hanya semata-mata mahu menyara keluarga.

“Aku balik dulu, nak singgah rumah lain…” emak menghulur tangan. Perempuan itu menyambut. Aku juga menghulur tangan dan mengucup. Aku menunggu-nunggu. Tiada duit raya kah? Emak pantas mengheret aku keluar. Aku rasa lega, berharap selepas ini emak bawa berkunjung ke rumah saudara mara yang lebih kaya. Di rumah perempuan malang ini, sesen pun tak merasa.

“Marilah ikut Maya pergi beraya…” gamit Maya comel berbaju kebaya kuning. Nasib baik nenek dan makcik membela Maya, Ilias dan Rifli. Merasa mereka berbaju raya, mewah sedikit berbanding ibu kandung mereka. Kami menghabiskan sepanjang hari berseronok berhari raya. Perempuan banjar itu? Dia kan sudah lumpuh. Sejak dia lumpuh kerana kemalangan kereta dengan suaminya, dia tak pernah keluar rumah. Suaminya Enal cuma cedera ringan, sekarang menetap di Pahang dengan isteri ke dua. Perempuan lumpuh itu sudah tak layak menikmati segala keindahan dunia. Dunianya sudah berakhir, kelam dan kusam.

Aku bangun tidur dengan mamai, aku mencari-cari kelibat Maya. Aku menjenguk keluar dari rumah nenek. Kulihat Maya berdiri di tingkap rumahnya memanggil-manggil emaknya manja..

“Emak, emak…” panggil Maya.

“Kenapa Maya?” Aku menegur.

“Semalam emak suruh buatkan air, Maya tak pedulikan. Terus keluar main. Hari ini takut nak masuk rumah, takut mak marah…” jelas Maya. Dia masih memanggil-manggil emaknya manja. Perempuan lumpuh itu hanya menjeling Maya, tak memperduli. Mulutnya menggumam membaca surah Yassin di tangan.

“Jomlah pergi kedai beli jajan. Emak Maya tak marah tu, nanti dia o.k lah,” aku mengajak Maya beredar. Suara perempuan lumpuh itu mengalun Yassin menghilang dari pendengaran. Sepanjang cuti di rumah nenek, aku banyak meluangkan masa bersama Maya. Kerana hanya dia sepupu perempuan yang hampir sebaya denganku. Kami rapat, bermain bersama, beraya berdua. Indahnya kenangan berhari raya zaman kanak-kanak, kerana aku punya Maya. Sepupuku yang cantik, manja dan ceria. Dia mewarisi kecantikan ibunya dengan mata sepet dan kulit putih melepak.

Kami berdua rapat hingga usia kami meningkat remaja. Tiap kali pulang ke kampung, Maya akan bawa aku bersiar-siar keliling kampung dengan motor. Beraya di rumah kawan-kawannya, keluar membeli belah. Bila bersama Maya, ramai yang akan menegur. Maya dikenali dan disukai ramai orang, Maya punya ramai kawan. Tiap kali Raya menjelang, bayangan bergembira dengan Maya sudah bermain di mata…

***

Aku baru lepas menghadapi peperiksaan SPM apabila aku mendengar berita ini. Jantungku terasa direntap. Kami sekeluarga bergegas pulang ke rumah nenek. Air mataku sudah merembes di pipi. Aku sayangkan Maya. Tetapi sekujur tubuh Maya yang membesar sebagai gadis jelita kaku di pembaringan. Wajah cantiknya seperti sedang tidur. Gagau galau tangisan kedengaran menggumam di segenap rumah. Maya, gadis cantik yang ceria adalah permata dan penghibur dalam keluarga. Nenekku sedih tak terperi. Terjelepuk di pintu dengan tangisan meruntun hati. Makcikku sudah pengsan beberapa kali. Maya, maut dalam kemalangan jalan raya. Tubuh badannya cedera parah. Wajah cantiknya tidak bergaris luka sedikitpun, masih menyejuk hati tika dipandang. Pandangan mataku kabur dek air mata. Aku masih dapat melihat perempuan itu mengensot dengan susah payah menghampiri jenazah anaknya. Dia mahu mencium wajah anaknya buat kali terakhir. Usai kucupan terakhir si ibu, wajah jenazah ditutup. Aku merenung wajah perempuan itu. Setitik air mata pun tidak menitis di pipinya. Aku hairan, aneh. Kenapa dia tidak meraung macam orang lain? Maya bukankah darah dagingnya? Tidakkah dia sayang pada Maya? Tetapi wajah itu tetap tenang dan hening seperti selalu. Aku menggeleng kepala. Aku benar-benar tidak fahami perempuan banjar itu. Wajah tenang perempuan banjar itu kini kubenci.

“Apa terjadi?” tanyaku dengan mata masih memerah.

“Semalam petang, kawan-kawan ambil Maya tepi jalan, Kak Ima temankan…” Ima kakak sepupuku bercerita, mengesat air dipelupuk mata, kemudian menyambung.

“Belum sempat Maya kelip topi keledar, mereka sudah tekan motor laju-laju. Maya sempat lambai pada akak, dia kata ‘selamat tinggal’…” Ima terus menangis tersedu-sedu. Aku diam sahaja. Selamat tinggal untuk selama-lamanya. Maya gadis ceria itu bukan sahaja disayangi keluarga, tetapi juga disukai ramai orang dan punya ramai kawan. Kata Kak Ima berminggu-minggu sebelum pergi, Maya selalu termenung. Tidak ceria seperti selalu, seperti tahu masanya sudah hampir. Ya, ajal itu sudah tertulis.

***

Aku berada di rumah nenek setiap tahun pada hari raya. Sejak kehilangan Maya bertahun yang lalu, hari raya di rumah ini hilang serinya. Tiap tahun hari raya makin menghambar, tiada lagi kemeriahan. Mungkin juga aku yang menginjak dewasa, sudah tidak menikmati zaman kanak-kanak yang girang. Tahun ini aku merenung rumah beratap coklat ini dengan muram. Aku melangkah masuk, seperti yang telah diduga, ianya lebih pusam. Dulu rumah ini gilang-gemilang. Seingatku ketika melangkah kaki ke dalamnya, ianya diterangi limpahan cahaya kekuningan. Itulah Maya, penyeri dalam keluarga. Dia ibarat sinaran cahaya rembulan. Kini cahaya itu hilang, suasana kelam menyuram… Aku terbayang Maya memeluk nenek dari belakang dan mencium pipinya ketika orang tua itu terkejut. Dia ketawa berdekah-dekah ketika mengusik makcik masak di dapur. Bila dimarahi kerana keletahnya yang nakal, Maya hanya ketawa dan memujuk… “Nenek marah kah? Jangan lah marah nek…” bujuknya manja dengan ketawa kecil. Leretan senyuman terukir di hujung bibir nenek, tetapi suara nenek makin meninggi, kononnya marah. Walhal terhibur dan geli hati juga. Itulah Maya, si nakal yang menghibur. Dia cahaya rembulan kami, cinta hati kami… Kini dia sudah tiada, tiada lagi gelak tawa manja, tiada lagi ceria, tiada lagi bahagia. Cinta hati kami, dicintai Tuhan juga…

Tahun berikutnya aku di hadapan rumah ini lagi. Aku sudah hidu bauan hambar rumah ini. Rona pusam, malap dan kelam suasananya tidak seperti raya-raya yang sudah. Tiada ceria seperti hari raya di zaman kanak-kanakku semasa Maya masih ada. Tetapi aku terus melangkah masuk juga kerana, nenekku, makcik-makcikku sepupuku yang lain masih ada. Kecuali perempuan banjar itu. Ibu kepada Maya. Ya, malangnya raya kali ini aku terlewat. Perempuan banjar itu sudah meninggal dunia sebelum raya menjelang. Pada waktu itu aku tak dapat pulang ke kampung kerana menghadapi peperiksaan akhir semester di Universiti. Aku merenung rumah sunyi di sebelah rumah nenekku. Makcikku datang meletakkan seteko kopi di meja. Aku duduk di beranda bersama nenek dan makcik. Sesekali bila mengenang arwah Maya dan ibunya, mata tua nenek bergenang.

“Dia itu penyabar, macam air sungai yang mengalir tak pernah keringnya… Sabar terus menerus...” Makcikku memecah keheningan. Aku mengangguk- angguk kepala. Masakan aku lupa segala penderitaan perempuan banjar itu. Yang aku hairankan wajahnya tak pernah sedih atau muram. Menelan kepahitan umpama menelan segantang gula.

…………………………………

Perempuan banjar itu datang mengensot. Dia duduk di hujung pintu. Nenek datang duduk di beranda. Mereka berbual kosong.

“Mak, tolong ambilkan aku air…”

Nenek bangun ke dapur kemudian bawakan segelas air kosong. Air itu diminum tak bersisa.

“Mak, airnya manis sekali. Manisss sangat. Seumur hidup aku tak pernah minum air sesedap ini..”

“Manis apanya, air kosong saja...” Nenek menyambut cawan kosong dengan dahi berkerut. Usai dia berpaling wajah perempuan banjar itu terkulai ke sisi, dalam keadaan duduk. Nenek biarkan, fikirnya anaknya itu tertidur. Seketika kemudian, nenek datang mengejutkan. Malangnya perempuan itu tak bangun-bangun.

Aku mendengar cerita nenekku dengan penuh perhatian. Timbul rasa kagum, alangkah mudah ajal perempuan lumpuh itu. Terus terlentok seperti tidur usai meneguk segelas air. Terasa aneh juga. Tetapi dia wajar di ringan kan azab sakaratulmaut. Hidupnya sendiri sudah penuh sengsara dan derita.

***

Aku meneruskan kehidupan dengan penuh rasa syukur. Aku tahu hidupku masih panjang, masih banyak ujian dan cabaran. Yang pergi sudah habis perjuangannya. Manakala yang hidup harus meneruskan amanah Tuhan. Aku berada di Masjid, mendengar ceramah agama usai solat Maghrib.

“Malaikat Maut tidak mahu memaksa mencabut nyawa orang yang suka membaca Yassin sehingga datang Malaikat Redwan dari syurga membawa minuman untuknya. Ketika dia meminumnya alangkah nikmat perasaannya dan dimasukkan ke dalam kubur dengan rasa bahagia dan tidak merasa sakit ketika nyawanya diambil.”

Hatiku berdebar-debar mendengar ustaz membaca kitab, yang menerangkan fadilat mengamalkan surah Yassin. Aku terus teringat cerita nenek dan makcikku perihal perempuan banjar yang lumpuh itu. Meneguk air kosong yang lazat hanya beberapa saat sebelum roh bercerai dari badan. Aku meraup wajah lalu bertakbir. “SubhanALLAH, AlhamduLILLAH, WalailahaillALLAH, ALLAHUAKBAR...” Aku meraup air mata yang mengalir di pipi.

“Sesiapa yang membaca Surah Yassin kerana Allah Azza wa Jalla, Allah akan mengampuni dosanya dan memberinya pahala seperti membaca Al-Qur’an 12 kali.

Jika Surah Yassin dibacakan dekat orang yang sedang sakit, Allah menurunkan untuknya setiap satu huruf 10 malaikat. Para malaikat itu berdiri dan berbaris di depannya, memohonkan ampunan untuknya, menyaksikan saat ruhnya dicabut, mengantarkan jenazahnya, bershalawatuntuknya, menyaksikan saat penguburannya.

Jika surah ini dibacakan saat sakaratul maut atau menjelang sakaratul maut, maka datanglah padanya malaikat Ridhwan penjaga syurga dengan membawa minuman dari syurga, kemudian memberinya minum ketika ia masih berada di katilnya, setelah minum ia mati dalam keadaan tidak haus, sehingga ia tidak memerlukan telaga para nabi sampai masuk ke syurga dalam keadaan tidak haus.”(Tafsir Nur Ats-Tsaqalayn).

Surah Yassin itulah yang selalu kudengar keluar dari bibir perempuan banjar itu. Yang sabarnya seperti air sungai mengalir yang tak pernah surutnya. Perempuan tabah tak pernah mengeluh kesah penderitaan hidup. Sabarnya tak tertanding dengan deritanya. Surah Yassin itu ku dengar di baca tiap hari sebagai penghilang duka dan walang di hati. Ditinggal suami, kehilangan anak, disisih masyarakat. Perempuan banjar itu berjiwa kental. Hanya surah Yassin itu penawar dukanya. Perempuan kampung yang lumpuh, tidak mampu keluar mencari ilmu. Hanya Yassin itu yang dia tahu. Hanya surah Yassin itu hartanya. Perempuan banjar yang tak terkenang di dunia. Lumpuh, tak berguna, tersisih, tak diambil peduli. Tetapi ku tahu dia menjadi sebutan para penghuni langit.

Seingatku rumahnya hanya ada sebuah TV buruk, itupun jarang dibuka berbanding surah Yassin yang sentiasa di tangan. Apatah lagi talian internet, YouTube untuk mendengar ceramah Ustaz Azhar Idrus atau Ustaz Bollywood.Jika Ustaz Kazim Elias berceramah di surau berdekatan juga dia tak mungkin mampu hadir. Dia tidak punya nikmat sepasang kaki seperti ku, yang mampu ke mana sahaja untuk mencari ilmu dunia dan akhirat. Aku mengucap syukur.

“Dia isteri yang paling baik... Isteri yang paling baik...” aku pernah dengar kata-kata ini bermain di bibir suaminya usai kematiannya. Aku senyum, orang yang memiliki lebih dari satu isteri pasti pandai membeza. Lumrah manusia bila sudah tiada barulah dikenang. Kubuang jauh-jauh rasa benci pada lelaki ini. Terpulanglah… kuburmu, ladang akhiratmu, adalah terletak di bahumu. Kamu sendiri menghitung dan membilang, kesenangan dunia ataupun akhirat yang lebih beruntung?

Aku bermohon supaya sifat dan kemuliaan perempuan banjar itu, meresap masuk ke jiwa ku. Dia mengajar aku erti ketabahan dan kesabaran.

“Jadikan lah aku manusia yang tabah seperti dia, makcikku itu Ya ALLAH...” sesungguhnya jauh di sudut hatiku aku tahu dia adalah antara wanita penghuni syurga.

Sesungguhnya wanita syurga yang sedikit itu, jadikanlah kami di antara penghuninya. Amin...

Al-Fatihah untuk makcik dan sepupuku…

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.