Cerpen: SIAPA AIN NAZIRA?
Oleh: SITI ROZILAH
DIA tidak faham kenapa mama selalu menangkan Ain Nazira
dalam segala hal. Lagi-lagi Ain Nazira! Seolah-olah Ain Nazira sahaja yang
betul, sedangkan dia tidak pernahnya betul. Asyik salah sahaja di mata mama dan
mungkin juga di mata semua orang di rumah itu.
Bukannya dia membenci Ain Nazira, bukan! Cuma dia
diselubungi rasa tidak puas hati. Serta sakit hati.
Ain Nazira baru sahaja dua bulan tinggal bersama mereka,
tetapi semua orang di rumah itu seolah-olah begitu menghormatinya,
menyayanginya. Setiap apa yang terluah dari mulutnya bagaikan semuanya betul di
mata mama mahupun papa. Sebarang pendapat yang terkeluar dari bibirnya dengan
mudah sahaja diterima mereka. Mama dan papa seolah-olah terlalu ingin menjaga
hati Ain Nazira.
Kenapa?
Bukankah Ain Nazira hanya orang asing di rumah itu?
Sebaliknya kini dia yang terasa dirinya terasing ketika mereka sekeluarga
berkumpul bersama-sama.
“Adah, kenapa asyik termenung aje, tu? Cepatlah habiskan
sarapan tu. Kita dah lambat ni.” Tegur papa yang melihat dia asyik
menguis-nguis bihun goreng di pinggannya sejak tadi.
Dia menoleh sekilas ke arah papanya. Wajahnya muram
sahaja, tidak seperti selalu. Kalau sebelum kedatangan Ain Nazira di rumah itu
dahulu, dia merupakan seorang anak yang periang dan manja dengan mama dan
papanya, tetapi kini dia lebih banyak mendiamkan diri. Dia seolah-olah memendam
perasaan.
“Adah ni, tak dengar ke apa yang papa cakap tu? Cepat
habiskan sarapan tu!” Suara mamanya pula kedengaran menegur, agak keras.
Kalau sebelum kemunculan Ain Nazira di rumah itu dahulu,
mama tidak pernah bercakap kasar dengannya, tetapi kini segala-galanya telah
berubah. Kini mama selalu memarahinya.
“Adah dah kenyang agaknya, tu.” Kata papa seolah-olah
membelanya.
Dia mengangguk perlahan.
“Kenyang pun iya, tak ada selera pun iya.” Katanya sambil
menjeling sekilas ke arah Ain Nazira yang kelihatannya sedang tekun menyudu
bihun goreng ke mulutnya.
Entah kenapa dia rasa Ain Nazira kini saingannya di rumah
itu. Walaupun Ain Nazira boleh diibaratkan sebagai ‘pendatang’, tetapi
tiba-tiba sahaja seluruh perhatian papa dan mamanya terus bertumpu ke arah Ain
Nazira.
Matanya kemudian menoleh ke arah mamanya. Dia lihat
mamanya hanya menggeleng-gelengkan kepala. Mungkin mamanya tidak senang mendengar
kata-katanya seketika tadi. Selepas itu, matanya hinggap pula ke wajah papanya.
Papanya hanya tersenyum sahaja.
“Kalau tak ada selera, nanti papa bagi duit belanja lebih
sikit. Adah boleh beli nasi lemak kat warung depan pusat tiusyen tu,” cadang
papanya.
Dia tidak menjawab. Dia juga tidak mahu membuang masa
lagi di meja makan itu. Biarlah Ain Nazira sahaja yang menghabiskan semua
sarapan yang terhidang. Dia ingin segera meninggalkan rumah dan berada di
samping kawan-kawannya di Pusat Tiusyen Bestari.
Kalau dahulu iaitu sebelum kehadiran Ain Nazira di rumah
itu, dia seringkali dihurung rasa malas hendak ke pusat tiusyen pada setiap
pagi Sabtu dan Ahad, tetapi kini perkara yang sebaliknya pula berlaku. Dia
lebih suka berada di pusat tiusyen daripada berada di rumah.
Biarlah kalau mama hendak bermesra dengan Ain Nazira di
rumah semasa ketiadaannya. Biarlah!
Selepas bersalaman dengan mamanya, dia bergegas ke
kereta. Papanya sudah sedia menunggu di dalam kereta yang sudah dihidupkan
enjinnya. Sebaik-baik sahaja dia masuk ke dalam kereta, papanya segera
menghalakan keretanya ke arah jalanraya.
Jam digital pada
dashboard kereta menunjukkan tepat ke pukul 8.30 pagi. Pusat Tiusyen
Bestari akan memulakan operasinya pada pukul 9.00 pagi. Perjalanan dari rumah
ke ke pusat tiusyen hanya memakan masa sepuluh minit. Dia masih sempat
bersarapan di warung yang terletak di depan pusat tiusyen itu.
“Pukul 11.30 nanti papa jemput Adah.” Kata papanya. Dia
hanya menganggukkan kepala. “Papa tengok Adah pendiam sekarang? Tak banyak
cakap macam dulu. Kalau Adah ada masalah, Adah boleh ceritakan dengan papa.”
Dia menoleh ke arah papanya yang sedang memandu. Perlukah
aku luahkan perasaan tidak senangku terhadap Ain Nazira ini di depan papa? Apa
pula kata papa nanti?
“Pa, kenapa Ain Nazira tu perlu tinggal dengan kita?”
Akhirnya, terlontar juga soalan itu dari mulutnya.
“Adah tak suka ke Ain tinggal dengan kita?”
Soalannya tidak dijawab, sebaliknya dia pula yang ditanya
oleh papanya.
“Memang Adah tak suka dia tinggal dengan kita. Dia tak
ada tempat lain ke nak tinggal? Kenapa perlu menumpang di rumah kita?” Tanpa
disedarinya, intonasi suaranya meninggi di depan papa.
“Jangan cakap macam tu, Adah. Papa tak suka. Jangan
sesekali Adah anggap Ain tu menumpang di rumah kita. Rumah kita tu, rumah Ain
jugak.” Jawab papanya.
Dia terkapa-kapa seketika. Siapakah Ain Nazira
sebenarnya? Sejak bila pula Ain Nazira boleh menganggap rumah kami itu sebagai
rumahnya juga? Bukankah Ain Nazira baharu sahaja dua bulan muncul di rumah
kami? Bukankah itu bermaksud yang dia hanya menumpang sahaja?
“Ain akan terus tinggal dengan kita ke, pa?” soalnya
dengan hati yang berbalau-balau.
“Apa salahnya kalau Ain terus tinggal dengan kita? Dia
dalam kesusahan sekarang. Ibunya baru saja meninggal dunia. Kalau orang dalam
kesusahan, kita wajib tampil menghulurkan pertolongan.” Papanya menjawab.
Dia menoleh ke arah papanya. Rasa tidak puas hati
mengasak di dada.
“Takkanlah orang lain tak boleh hulurkan pertolongan pada
Ain? Kenapa kita yang perlu tolong dia? Adah tak pernah kenal pun siapa Ain
sebelum ni. Tiba-tiba saja dia muncul dalam hidup kita. Kalaupun ibu Ain dah
meninggal dunia, takkan Ain tak punya ayah, datuk ataupun nenek untuk tinggal
bersama? Kenapa Ain perlu menumpang di rumah kita?” Bertalu-talu soalan
terkeluar dari mulutnya.
Dia mengharapkan agar papanya menjawab segala soalan yang
keluar dari mulutnya itu tetapi sehingga mereka sampai di depan Pusat Tiusyen
Bestari, papanya hanya mendiamkan diri. Dia melangkah keluar dari perut kereta
papanya dengan membawa sama rasa tidak puas hati. Entah kenapa, sejak
akhir-akhir ini dia rasa papa dan mama seolah-olah terlalu berahsia dengan
dirinya.
“Jangan lupa, ya Adah. Jam 11.30 nanti papa jemput Adah.
Lepas tu kita terus pulang ke kampung.” Pesan papanya sebelum bergerak
meninggalkannya yang hanya tercegat memandang.
Penat saja aku bertanya sedangkan papa langsung tak nak
jawab soalan aku, rungutnya dalam hati sambil melangkah ke arah warung yang
terletak di depan pusat tiusyen. Hatinya yang rusuh tiba-tiba gembira
sebaik-baik sahaja terlihatkan kelibat Badrisya, Maisarah, Hakimi dan Liyana
yang sedang minum di warung. Mereka berempat adalah sahabat karibnya.
Kereta Proton Perdana hitam milik papanya sudah sedia menunggu
ketika dia melangkah turun dari pusat tiusyen. Selepas mengucapkan selamat
tinggal kepada teman-temannya, dia terus menuju ke kereta papa.
“Assalamualaikum,” ucapnya kepada papa, mama dan Ain
Nazira yang berada di dalam kereta.
“Waalaikumussalam.” Sahut mereka bertiga hampir serentak.
Walaupun dia tidak berapa menyukai gadis itu tetapi dia
memboloskan juga dirinya di sisi Ain Nazira.
“Adah jangan risau. Mama ada bawa pakaian Adah sekali.
Lagipun kita pulang ke kampung bukannya lama, esok pagi-pagi dah balik semula
ke sini.” Kata mamanya.
Kenapa tiba-tiba saja perlu pulang ke kampung? Selalunya
mereka hanya akan pulang ke kampung kalau ada kenduri kendara, musim perayaan,
musim durian dan musim cuti sekolah sahaja. Banyak persoalan berlingkar di
hatinya yang masih belum diketemukan jawapannya.
Perjalanan dari Shah Alam ke Jasin, Melaka, memakan masa
selama dua jam. Lebih kurang pukul 1.30 tengah hari sampailah mereka di hadapan
rumah sekerat papan sekerat batu, milik datuk dan nenek. Sebaik-baik sahaja
papa memberhentikan keretanya, dia terus melangkah keluar lalu menerpa ke arah
datuk dan nenek yang sudah sedia menunggu di depan rumah.
Dia sayangkan datuk dan neneknya. Walaupun mereka
sekeluarga jarang dapat pulang ke kampung tetapi kalau sesekali dapat bersua
terasa sangat indahnya. Kalau diikutkan hati, dia memang ingin selalu pulang ke
kampung. Cuma kesibukan papanya di tempat kerja sahaja yang menjadi penghalang.
“Hari ni nenek masak gulai ayam kampung.” Beritahu
neneknya sebaik-baik sahaja dia melepaskan pelukannya ke tubuh tua itu.
“Hui, sedapnya gulai ayam kampung. Adah sayang nenek.”
Katanya dengan gembira. Tetapi sebaik-baik sahaja dia berpaling ke belakang,
kegembiraannya hilang serta-merta setelah terlihat wajah Ain Nazira menghampiri
datuk dan neneknya.
“Mak... ayah, inilah Ain Nazira.” Papa memperkenalkan
budak menumpang itu kepada datuk dan nenek.
Dia melihat sahaja bagaimana datuk dan nenek
mengusap-usap rambut Ain Nazira sebelum memeluknya dengan erat, sebagaimana
mereka telah memeluk tubuhnya seketika tadi. Hatinya terasa pedih. Kini bukan
sahaja papa dan mamanya telah menerima kehadiran Ain Nazira, tetapi datuk dan
neneknya juga. Dia rasa seolah-olah dirinya sudah tidak disayangi lagi. Dia
rasa seolah-olah kasih mereka semua telah berpindah ke arah Ain Nazira.
“Sikit saja makan, Adah?” soal neneknya ketika melihat
dia makan tidak bertambah sebagaimana selalu.
Dia tersenyum nipis. “Tak ada seleralah, nek.” Jawabnya
sambil menjeling tajam ke arah Ain Nazira yang sedang enak-enak meratah daging
ayam kampung.
Kebetulan pula, mata mereka bertaut seketika. Dia
terlihat Ain Nazira tersenyum. Mungkin dia sedang mengejek aku, bisik hatinya.
Seusai makan, mereka duduk berehat di ruang tamu.
“Marilah duduk sini, Adah.” Panggil neneknya ketika
melihat dia memencilkan diri di depan televisyen.
“Tak apalah, nek. Adah nak tengok cerita Hindustan ni. Bestpulak.” Sahutnya.
Di kusyen, mama, papa, Ain Nazira, datuk serta nenek
sedang duduk berborak. Walaupun dia duduk terpinggir daripada mereka, tetapi
telinganya mencuri-curi dengar perbualan mereka.
“Saya minta ampun dan maaf daripada emak dan ayah sebab
rahsiakan hal ni. Saya insaf, sampai bila saya nak berahsia daripada emak dan
ayah. Oleh sebab tulah saya bawa balik Ain untuk diperkenalkan dengan emak dan
ayah.” Papanya kedengaran bersuara.
“Masa mula-mula dengar berita ni dulu, memang kami kecewa
dengan kamu Man. Tapi lepas difikir-fikirkan balik, akhirnya kami terima
kenyataan ni. Kalau Midah pun dapat terima kenyataan ni, kenapa pulak kami tak
mampu terima. Apa sakitnya arwah?” Suara datuk pula kedengaran.
“Midah tak ada cerita dengan ayah ke?” tanya papa.
“Ada. Tapi kami nak dengar dari mulut kamu sendiri.” Kata
datuk.
Dia mendengar papanya mengeluh perlahan. Mendengarkan keluhan
itu, dia berpaling untuk melihat. Dilihatnya, papa menengkurkan kepalanya,
seolah-olah orang yang sedang dilanda kesedihan. Kenapa papa perlu bersedih
sebab ibu Ain Nazira telah meninggal dunia? Dia bukannya sesiapa pun, yang papa
hendak bersedih sangat.
Sekali pun aku tak pernah bertemu muka dengan ibu Ain
Nazira. Siapakah ibu Ain Nazira sampaikan papa perlu bersedih begitu sekali?
Matanya dihalakan pula ke wajah mamanya. Dia lihat mamanya hanya membatukan
dirinya. Apakah yang difikirkan oleh mama ketika itu?
“Arwah meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan
tekanan darah tinggi ketika hendak melahirkan anak kedua kami. Dia mati
bersalin.” Kata papanya dengan sebak. Diraihnya Ain Nazira ke dalam dakapannya
lalu menangis teresak-esak.
Dia terkejut melihat panorama itu kerana selama ini dia
tidak pernah melihat papanya menangis. Suasana di ruang tamu berubah murung.
Dia juga lihat mamanya mengesat mata yang berair dengan tisu.
“Dahlah tu, yang dah pergi jangan diratap pemergiannya.
Hati orang yang masih tinggal ni harus dijaga.” Kata datuk seolah-olah
menasihati papanya.
“Ampunkan saya, ayah... mak, sebab saya nikah dengan arwah
dulu langsung tak beritahu mak dan ayah. Saya sebenarnya tak mahu sakitkan hati
ayah dan mak, sebab tulah saya rahsiakan pernikahan kami.” Tingkah papanya
sambil terus memeluk bahu Ain Nazira.
“Kami pun terkejut apabila Midah beritahu kami yang
isteri kedua kamu dah meninggal dunia sebab kami langsung tak tahu kamu dah
berkahwin satu lagi. Pandai betul kamu ni simpan rahsia. Midah pun turut
bersekongkol dengan kamu. Dahlah... kami dah maafkan kamu. Ini hal rumah tangga
kamu. Kalau Midah sendiri dapat terima kenyataan yang dia dimadukan, kenapa
pula kami tak boleh terima? Semua ni ketetapan TUHAN.” Panjang datuk berhujah.
“Kamu kena berterus-terang pada Adah yang dia sekarang
bukan lagi anak tunggal dalam keluarga. Dia ada adik walaupun Ain ni hanya adik
tirinya. Kamu berdua juga harus berikan kasih sayang sama rata kepada Adah dan
Ain. Midah, walaupun Ain ni hanya anak tiri kamu tapi jangan pula kamu jadi ibu
tiri yang zalim. Berdosa.” Sambung datuk lagi.
“Ya, ayah. Midah akan cuba jadi ibu yang baik pada Ain.”
Mama menjawab, cuba meyakinkan datuk dan nenek.
“Eh, Adah nak ke mana tu? Adah!!!”
Nurul Syuhada tidak mengendahkan panggilan papa, mama,
datuk dan neneknya yang memanggil-manggil namanya. Dia meluru turun dari rumah
lalu berlari laju mengikut alunan langkah kakinya. Air matanya meleleh di pipi
sepanjang-panjang dia berlari itu.
Akhirnya dia terjelepok di pangkal pokok kekabu yang
terletak di tengah-tengah sawah yang sedang menguning. Dia tidak pernah sampai
ke situ sendirian. Dia sendiri tidak menyangka kejutan yang diterimanya
seketika tadi membuatkan dia nekad berlari sejauh itu.
Dia sukar hendak menerima kenyataan bahawa tiba-tiba
muncul seorang adik dalam hidupnya. Adik tiri pulak tu! Sejak bila papa
berkahwin dengan ibu Ain Nazira? Kalau dihitung, Ain Nazira sudah berusia
sembilan tahun. Lamanya papa merahsiakan perkahwinan keduanya daripada
pengetahuan aku.
Mungkinkah papa juga telah merahsiakan perkahwinan kedua
itu daripada mamanya selama ini? Dia ingin sekali bertanya kepada mama soalan
itu, tetapi mama tiada di situ. Dia bersendirian di tengah-tengah bendang yang
menguning.
“Alangkah seronoknya kalau aku ada adik-beradik lain
macam kau. Taklah aku kesunyian di rumah seperti sekarang.” Dia pernah berkata
begitu kepada Badrisya yang mempunyai seorang abang dan dua orang adik.
Dia membayangkan wajah Ain Nazira yang comel. Selama ini
dia memang teringinkan seorang adik, abang atau kakak yang menemaninya kalau
kesunyian. Tetapi, sejak Ain Nazira muncul di rumah mereka dua bulan lalu, dia
menjadi begitu cemburu. Dia rasa kasih sayang papa dan mama lebih bertumpu ke
arah Ain Nazira. Setiap permintaan Ain Nazira akan dituruti.
Dapatkah dia menerima hakikat bahawa kini hidupnya tidak
kesunyian lagi? Mampukan dia menerima kehadiran Ain Nazira sebagai adik dalam
hidupnya?
“Assalamualaikum, apa awak buat kat sini?” tegur satu
suara. Nurul Syuhada terkejut lalu menoleh ke arah orang yang menegurnya.
Budak lelaki berkepala botak yang hanya berseluar pendek
tanpa baju itu merenungnya. Ketika ketawa terlihat giginya yang rongak.
“Emak, ayah dan adik awak tengah sibuk cari awak tu. Cepatlah
balik.” Kata budak lelaki itu.
“Dia bukan adik aku! Dia hanya adik tiri.” Getusnya.
“Adik tiri pun, kira adik jugalah tu. Awak masih
beruntung sebab masih ada emak, ayah dan adik tiri. Tapi saya ni dah tak ada
sesiapa lagi. Emak, ayah dan dua orang adik saya meninggal dunia setelah
terlibat dalam kemalangan kereta. Sekarang ni saya menumpang rumah nenek. Kalau
awak nak tahu, tulah rumah nenek saya... rumah papan bercat kuning tu. Nama
nenek saya Habibah.” Tanpa dipinta budak lelaki itu menceritakan kisah malang
dirinya.
“Iya ke? Saya bersimpati dengan awak.” Ucap Nurul
Syuhada.
“Tak apa. Itu takdir saya. Dah ALLAH tetapkan macam tu,
saya terima saja. Lupa pula saya nak perkenalkan diri saya. Nama saya Ismail.
Awak boleh panggil saya, Mail saja. Nama awak Adah kan?”
Nurul Syuhada mengangguk.
“Pergilah balik, Adah. Hargailah keluarga awak semasa
mereka masih berada di sisi awak.” Kata Ismail.
“Terima kasih, Mail, sebab sudi nasihatkan saya. Saya
balik sekarang, ya.” Kata Nurul Syuhada. “Nanti bila-bila saya balik kampung,
kita jumpa lagi ya, Mail.”
“Okey.” Sahut Ismail. Nurul Syuhada bersalaman dengan
Ismail sebelum menghayun langkah meniti batas sawah untuk pulang ke rumah.
“Satu langkah.” Dia mula membilang.
“Dua langkah... tiga, empat...”
Dan sebelum menghayun langkah yang kelima, dia menoleh
semula ke belakang. Tetapi, kelibat Ismail sudah ghaib daripada pandangan
matanya. Dia tercengang seketika. Cepatnya Ismail menghilang.
“Assalamualaikum.” Dia mengucapkan salam di muka pintu.
“Eh, Kak Adah dah balik. Mama, Kak Adah dah balik!” suara
Ain Nazira yang menjengah di muka pintu menyapa telinganya. Tiba-tiba sahaja
dia rasa suara itu teramat indah.
Dia melangkah mendaki tangga batu rumah Melaka itu lalu
mencapai tangan Ain Nazira. Mereka berjalan bergandingan untuk bertemu papa dan
mama di ruang tamu.
“Maafkan Adah sebab lari keluar macam tu tadi. Adah
terkejut dengar berita yang Ain ni sebenarnya adik tiri Adah.” Dia segera
bersuara sebelum dimarahi mama dan papanya.
Papa dan mamanya tersenyum.
“Tak apa. Papa faham perasaan Adah. Sekarang Adah dah ada
adik. Ain ni dah jadi tanggung jawab Adah.” Tingkah papa lagi.
Dia mengangguk. Matanya bersatu dengan mata Ain Nazira.
“Ya, Adah dah ada adik sekarang. Taklah Adah kesunyian
lagi,” jawabnya sambil memeluk tubuh Ain Nazira dengan sepenuh rasa kasih
sayang.
Lewat petang itu, dia sengaja mengajak neneknya
berjalan-jalan di tepi sawah. Sebaik-baik sahaja dia terlihat rumah papan
bercat kuning, ingatannya mengimbau semula akan pertemuannya dengan budak
lelaki berkepala botak yang bernama Ismail. Dia ingin bertemu semula dengan
Ismail dan mengucapkan terima kasih sekali lagi.
“Nek, mari kita ke rumah tu kejap.” Katanya pada
neneknya.
“Nak buat apa ke rumah Nenek Bibah tu?”
“Adalah... Adah nak jumpa kawan kejap. Jomlah, nek.”
Gesanya. Tangan neneknya ditarik-tarik dan neneknya terpaksa menurut.
Mereka memberi salam. Tidak lama kemudian pintu rumah itu
terkuak. Seorang perempuan tua berusia dalam lingkungan tujuh puluhan,
menjengah.
“Eh, Munah, naiklah.” Pelawa perempuan itu.
“Tak apalah, Bibah. Kita duduk berborak kat luar ni
ajelah. Ni ha... Adah yang ajak aku singgah ke mari.” Tingkah Nenek Munah.
Nurul Syuhada tersenyum ke arah perempuan tua itu.
“Nek, boleh panggilkan Mail kejap tak? Adah nak jumpa
dia.” Pintanya.
“Mail?” soal perempuan tua itu. Matanya terakam kemas ke
wajah Nurul Syuhada. Begitu juga dengan Nenek Munah. Dia memandang cucunya
dengan mata yang tidak berkelip.
Nurul Syuhada mengangguk. “Iya, Mail... cucu nenek. Adah
nak jumpa dia. Adah nak ucapkan terima kasih pada dia.”
“Di mana kamu jumpa Mail?” soal Nenek Habibah dengan dahi
berkerut seribu.
“Kat tengah sawah, bawah pokok kekabu tu. Kenapa nek?”
soalnya yang pelik melihatkan sikap kedua-dua orang tua di depannya itu.
“Err... maafkan kami, Bibah. Kami minta diri dululah.
Mari kita balik, Adah.” Nenek Munah segera memaut lengannya.
“Tapi Adah nak jumpa Mail! Nak jumpa Mail!!!” sanggahnya.
“Dahlah tu... kita balik dulu. Nanti nenek ceritakan hal
yang sebenarnya pada Adah.” Kata Nenek Munah.
Walaupun berat hati meninggalkan rumah bercat kuning itu
tanpa dapat bertemu Ismail terlebih dahulu, Nurul Syuhada terpaksa juga
mengikut neneknya pulang ke rumah. Malam itu neneknya membuka cerita. Kata
nenek, budak lelaki berkepala botak yang bernama Ismail sudah dua minggu meninggal
dunia. Ketika dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke kampung, kereta yang
dinaiki Ismail serta keluarganya terlibat dalam kemalangan.
“Semuanya meninggal dunia ke, nek?” soal Nurul Syuhada.
Neneknya mengangguk. “Emak, ayah dan dua orang adiknya
juga meninggal dunia.”
“Innalillahi wainna alaihi roojiunn.” Ucap Nurul Syuhada sambil
menutup mulutnya dengan telapak tangan.
Bagaikan masih terngiang-ngiang lagi di telinganya, kata-kata
Ismail yang berbunyi begini: Hargailah keluarga awak semasa mereka masih berada
di sisi awak.
Terima kasih, Mail. Terima kasih! Kata-kata kau itulah
yang telah menyedarkan aku betapa pentingkan keluarga kita. Dia menghalakan
pandangannya ke arah papa, mama serta adik yang baru muncul dalam hidupnya. Ain
Nazira, kakak akan menyayangi kamu. Ini janji kakak, bisik hatinya.
“Nek, pagi-pagi esok sebelum pulang ke Shah Alam, Adah
teringin nak melawat kubur Arwah Ismail.” Kata Nurul Syuhada.
“Boleh, apa salahnya. Nanti nenek temankan.” Sahut
neneknya sambil memeluk tubuhnya, erat. –TAMAT.