Home Cerpen Keluarga Pengemis Tua Itu
Pengemis Tua Itu
Razif AR Al-Marbawi
16/4/2020 23:21:53
3,979
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

“Syuh… ish, sibuk ajalah,” rungut seorang pelanggan restoran di suatu sudut di Jalan Tuanku Abdul Rahman itu. Sedih benar raut wajah orang tua itu. Kehadirannya dirasakan mengganggu ketenangan pelanggan yang ingin menjamu selera di situ. Simpati di tagih orang tua itu. Hanya belas kasihan di minta. Hanya sedikit wang diperlukan untuknya meneruskan kehidupan. Segera dia melangkah dari situ. Takut akan diperlakukan dengan lebih hina lagi.


Rose baru sahaja pulang dari kerja. Letih sungguh dirasakannya. Pelanggan sungguh ramai hari ini. Maklumlah, hari kemasukan gaji. Berduyun-duyun manusia datang ke bank untuk mendapatkan wang mereka. Kemudian, dibelanjakan. Dihabiskan. Itulah lumrah manusia. Tidak pernah puas dengan apa yang mereka ada. Tidak pernah terdetik di hati mereka untuk menyimpan. Rose tidak peduli semua itu. Rose memang suka menyimpan wang. Malah Rose dididik oleh ayahnya untuk menabung sejak kecil.


‘Ayah?’ bisik hati kecil Rose. ‘Di manakah agaknya ayah berada sekarang?’ tambahnya lagi. Sejak ayahnya ditimpa kemalangan, ayahnya menghilangkan diri. Kecederaan akibat kemalangan telah menyebabkan wajah ayahnya berubah. Parut yang besar menyebabkan ayahnya merasa malu dan rendah diri apabila berhadapan dengan orang ramai. Ayahnya lari dari hospital dan kebetulan pula pada hari itu Rose mahu mengambil keputusan SPMnya.


Sudah puas keluarganya mencari di merata tempat. Ayahlah satu-satunya tempat mereka sekeluarga bergantung harap. Ibunya tidak bekerja, manakala Rose pula anak sulung daripada lima orang adik-beradik. Oleh kerana ayahnya menghilangkan diri, Rose terpaksa mengorbankan pilihannya untuk ke universiti walaupun dia memperoleh keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan. Mujur dia mendapat pekerjaan di sebuah bank di pinggir ibu kota. Dapatlah dia meringankan beban yang ditanggung ibunya untuk menyara adik-adiknya yang masih bersekolah, disamping ibunya yang mula bekerja sebagai tukang cuci di sebuah kilang berhampiran dengan rumah mereka.


Namun, Rose masih menyimpan hasrat untuk mencari ayahnya. Rose ingin memujuk ayahnya pulang. Mereka tidak kisah dengan rupa paras ayah. Apa yang penting, ayah masih dapat hidup di samping mereka sekeluarga. Pernah juga dia mendapat maklumat yang menyatakan ayahnya dilihat berlegar-legar di sekitar Kuala Lumpur. Berbekalkan maklumat itu dan keyakinan dirinya bahawa ayahnya masih lagi hidup, Rose ingin meneruskan pencariannya itu.


Di meja makan, Rose masih lagi termenung. Keletihannya bekerja tidak menghalangnya daripada memikirkan nasib ayahnya.


“Rose, apa lagi yang kamu menungkan itu. Ayah sudah pasti tidak akan pulang ke pangkuan kita. Untuk apa lagi kamu fikirkan,” ujar ibunya seakan memahami isi hati Rose itu.


“Ibu, Rose percaya, ayah masih lagi hidup. Ayah hanya tidak bersemangat untuk meneruskan kehidupannya. Kitalah yang sepatutnya membantu menaikkan semangatnya,” Rose membalas.


“Ibu dah putus harapan, Rose. Entahkan hidup, entahkan mati. Tapi, ibu tetapkan sayangkan ayah kamu. Walaupun dia tidak ada sini, namun ibu masih kenangkannya. Itulah yang setiap hari ibu lakukan untuk membesarkan kamu berlima,” sayu suara ibunya. Titis air mata ibunya mula membasahi pipi.


Rose tahu, ibunya masih juga berharap sepertinya. Rose membiarkan ibunya melayan perasaannya. Kini, sudah masuk tahun ketujuh ayah menghilang.


“Assalamualaikum,” kedengaran suara dari pintu depan.


“Waalaikumussalam,” ibunya menjawab. “Oh, Kamil dah balik dari sekolah,”


Kamil dan abangnya, Syafie masih bersekolah. Syafie sedang menuntut di sekolah berasrama penuh dan Kamil pula bersekolah harian biasa di kawasan perumahan mereka. Adik-adik Rose yang lain, Syazana berada di tahun ketiga universiti dan Suhaila sedang mengikuti pengajian di kolej matrikulasi. Hanya Kamil sahaja yang tidak mengerti mengapa ayahnya menghilang ketika dia kecil dahulu. Apa yang dia tahu, ayahnya tidak pernah pulang ke rumah sejak dia berumur enam tahun.


Kamil selalu menemani Rose untuk menjejak ayah mereka. Walaupun Rose sibuk dengan kerjayanya, sempat juga dia mencuri sedikit masa untuk mencari kelibat ayahnya. Hampir seluruh pelusuk ibu kota Kuala Lumpur ini telah Rose dan Kamil terokai. Bayangan ayah masih belum ditemukan.


Di suatu sudut di Jalan Chow Kit, pengemis tua itu berjalan seorang diri. Terhuyung-hayang, bagaikan kemabukan. Bukan itu sebenarnya yang berlaku. Keadaan fizikalnya menyebabkan dia begitu. Mata-mata yang memandang pengemis tua itu, melihatnya dengan rupa yang jijik, kotor dan busuk. Dia masih mengharapkan simpati orang untuk membantunya.


Tidak lama kemudian, lelaki pengemis tua itu tiba di hujung lorong. Di situ, pengemis tersebut mengusung seorang lelaki yang kelihatan cengkung, dan tidak bermaya. Kelihatan mereka seperti saling memerlukan. Lelaki cengkung itu di usung sebolehnya oleh pengemis tua itu menuju ke suatu destinasi yang asing tetapi wujud di bandar raya ini, ke pondok usang mereka.


Sebuah pondok usang di tepi Sungai Kelang ini tidak kelihatan seperti  rumah pun. Malah layak dikatakan sebagai setor simpanan sahaja. Namun, setor itulah tempat mereka berdua berteduh daripada hujan dan panas. Pengemis tua itu, menyandarkan lelaki cengkung itu pada dinding buruk rumahnya. Kemudian disuapkan mulut lelaki cengkung itu dengan sedikit makanan yang dapat dibelinya hasil sedekah orang ramai yang masih ada simpati padanya. Lelaki cengkung itu juga seakan tidak berdaya, malah lebih teruk daripada pengemis tua itu. Hanya mengharapkan bantuan daripada pengemis tua itu.


Itulah rutin mereka berdua sepanjang hari. Meminta sedekah, dan pulang. Kudrat sudah tiada. Walaupun lelaki cengkung itu lebih muda daripada pengemis tua itu, tetapi fizikalnya bagaikan sudah tiada lagi. Hanya jiwa sahaja yang tinggal.


Rose dan Kamil menaiki kereta menuju rumah Fariz, teman lelaki Rose. Fariz adalah satu-satunya insan yang setia dan sanggup menemani Rose menjejaki ayahnya sejak tiga tahun mereka berkenalan. Fariz memahami kehendak Rose yang rindukan ayahnya. Rose perlu tahu sama ada ayahnya masih hidup atau telah tiada. Ini kerana dia perlu mengetahui status walinya semetelahan mereka berdua akan bertunang tidak lama lagi.


“Macam mana, Rose? Di mana lagi kita hendak cari?” Fariz bertanya.


“Saya pun tak tahu di mana lagi bang. Harapnya maklumat yang saya terima itu masih relevan,” balas Rose.


Kamil hanya menuruti sahaja kelakuan kakaknya itu. Hendak dibantah tidak, hendak bersetuju pun tidak pasti. Terdetik juga di dalam hatinya untuk bersemuka dengan ayahnya. Selama ini pun, ramai yang mengejeknya kerana dia tidak berayah tetapi dia tidak kisah dengan semua itu. Malah dia juga seperti kakaknya, yakin bahawa ayahnya masih lagi hidup.


Mereka kemudian singgah di sebuah restoran yang terletak berhampiran dengan pasar raya Sogo. Berduyun-duyun orang lalu-lalang di hadapan pintu masuk Sogo. Mata Rose melilau ke kiri, kanan, melihat-lihat wajah ayahnya jika ada. Dalam hatinya masih berdoa supaya dia diketemukan dengan ayahnya. Tiba-tiba matanya melirik pada seorang pengemis tua yang sedang merayu daripada seorang pelanggan restoran tempat mereka menjamu selera. Pelanggan tersebut menolak kasar pengemis tua itu menyebabkan dia hampir-hampir tersembam ke bahu jalan yang sibuk dengan kenderaan. Rose hanya menggelengkan kepala melihat perilaku pelanggan itu.


Rose menghampiri pengemis tua itu. “Pak cik tak apa-apa?” Rose bertanya.


“Tak apa, nak, sikit saja ni,” pengemis itu membalas.


Rose membiarkan sahaja pengemis tua itu berdiri semula. Rose menghulurkan not RM50 pada pengemis tua itu. Terpaku seketika dia. Tidak pernah dia melihat duit sebanyak ini dan tidak pernah pula dia mendapat duit sebanyak ini.


“Ambillah, pak cik, saya ikhlas,” kata Rose sambil tersenyum. Tangan pengemis tua itu terketar-ketar menyambut duit daripada tangan Rose.


“Terima kasih, nak. Semoga Allah membalas rezeki pada kamu berlipat kali ganda,” ceria kembali wajah pengemis tua itu. Lalu, dia segera beredar dari situ sehingga dia hilang daripada pandangan Rose.


“Berapa awak bagi pada orang tua itu?” Fariz bertanya.


“RM50, bang. Alah, apa salahnya saya beri lebih sedikit. Lagipun saya nampak orang tua itu ikhlas,” terang Rose.


Jam sudah menganjak pada pukul 3 petang. Fariz mengajak mereka berdua mencari di sekitar Chow Kit yang tidaklah terlalu jauh dari situ. Setelah membayar harga makanan dan minuman mereka, mereka segera mendapatkan kereta Rose dan memulakan pencarian mereka.


“Sudahlah, Rose, mari kita balik, dah lewat petang ni, nanti lambat pulak sampai ke rumah,” Fariz mengajak pulang setelah usaha mereka gagal. Tambahan pula, dia ingin menyiapkan kerjanya yang tertangguh. Fariz mula memecut.


“Sabar bang, bawak kereta hati-hati sikit,” Rose mengingatkan.


Ketika Fariz asyik menekan pedal minyak kereta, tiba-tiba ada seseorang yang sedang mengusung sesuatu, terjatuh daripada tebing pejalan kaki betul-betul di hadapan kereta Rose. Fariz yang memandu tidak sempat mengelak,lalu melanggar orang itu. Hentakan kereta terhadapnya sangat kuat sehingga orang itu terpelanting jauh dari tempat dilanggar.


“Bang!!!” Rose menjerit.


Fariz sempat menekan brek sebelum keretanya hampir-hampir menggilis orang itu. Keadaan mula menjadi panik. Rose keluar dari keretanya dan menerpa ke arah orang yang dilanggarnya itu. Alangkah terkejutnya Rose apabila orang itu adalah pengemis tua yang Rose sedekahkan RM50 padanya. Keadaan pengemis itu sangat menyedihkan. Kecederaannya agak parah, dan darah mengalir dengan banyak. Rose terus menelefon pihak ambulans untuk meminta bantuan.


Kamil pula mendapatkan orang yang diusung pengemis tua itu. Lelaki cengkung itu sangat menarik perhatian Kamil. Dilihatnya wajah lelaki cengkung itu, terdapat parut yang besar pada wajahnya. Kamil mula teringat pada cerita yang ibunya sampaikan padanya mengenai wajah ayahnya. Lalu Kamil mencari tanda kedua yang akan mengesahkan bahawa orang itu adalah ayahnya. Tanda lebam sebesar bola ping pong di bahagian belakang badan ayahnya. Nyata tanda itu wujud pada lelaki cengkung itu!


“Kak Rose! Kak Rose! Mari sini!” Kamil menjerit memanggil kakaknya. Fariz yang masih terpaku di dalam kereta keluar mendapatkan Kamil di tepi jalan. Orang ramai mula mengerumuni tempat kejadian. Rose terkesima.


 “Ayah??” Rose hampir-hampir menjerit.


Lelaki cengkung itu ingin sahaja berkata-kata, tetapi keadaannya amat lemah. Mata lelaki itu memandang dengan penuh minat pada Rose dan Kamil. Seperti ingin sahaja dipeluknya kerana sudah lama tak ketemu dengan anaknya.


“Ayah, sabar ayah. Saya sudah panggilkan ambulans,” Rose berkata dengan nada yang sayu. Ketika menunggu ambulans tiba, Rose cuba untuk berinteraksi dengan ayahnya manakala Fariz dan Kamil cuba untuk membantu pengemis tua itu. Tidak lama kemudian, ambulans tiba di tempat kejadian dan kedua mereka di bawa ke hospital.


Tiga hari kemudian.


Wad Lelaki Hospital Besar Kuala Lumpur itu nampak tenang sahaja. Pada salah satu katil di situ, seorang lelaki yang dahulu kurus dan cengkung sudah menampakkan tanda-tanda akan pulih. Badannya mula berisi sedikit.


“Ayah, kami sekeluarga masih lagi sayang pada ayah. Walaupun wajah ayah berparut, tetapi kami tidak kisah. Ayah tetap ayah. Kami semua masih memerlukan ayah,” ujar Rose.


“Ayah minta maaf pada kamu semua. Ayah silap selama ini. Sepatutnya ayah berfikir secara rasional dahulu. Jika tidak kerana ayah larikan diri dan terjatuh ke dalam Sungai Kelang dahulu, mungkin keadaan tidak seperti hari ini.” Encik Ramli membalas.


“Pak Zami inilah yang selamatkan ayah ketika ayah hampir lemas. Dan jika Pak Zami ini tidak ada, tak mungkin ayah dapat hidup sehingga ke hari ini. Dia telah menjaga ayah dengan baik kerana ayah tidak dapat bergerak bebas kerana cedera pada kaki akibat terjatuh ke dalam sungai,” sambungnya lagi.


“Pak Zami pula tak tahu bagaimana untuk bawa ayah ke hospital. Mujur Pak Zami tahu menggunakan kaedah tradisional untuk merawat ayah. Tapi malangnya, ayah terkena penyakit misteri pula sehinggakan ayah tak mampu untuk makan dan minum dengan sempurna,” jelasnya lagi.


Pak Zami, pengemis tua itu masih lagi berada di dalam wad ICU untuk dijaga dengan rapi. Rose sangat bersyukur kerana takdir telah menemukannya dengan Pak Zami, pondok buruknya serta kepulangan kembali ayahnya yang dirindui.


Rose memandang ibunya. Ibunya hanya senyum mengenangkan betapa susah-payah anaknya yang seorang ini berusaha menjejak ayahnya. Suhaila, Syazana, Syafie dan Kamil pula turut sama senyum bersama ibu mereka. Mereka tahu bahawa kehidupan mereka akan kembali bahagia seperti mana sebelum kehilangan ayah mereka. 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Razif AR Al-Marbawi