Home Cerpen Umum Hentian Ini
Hentian Ini
Razif AR Al-Marbawi
14/4/2020 22:50:22
3,667
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

I

PAGI. Jam 11.00. Raihanna merenung jam tangannya berkali-kali. Raihanna mengharapkan masa akan merubah situasinya tika ini. Perlahan langkahnya menuju tempat duduk di perhentian bas. Titis hujan yang turun tidak diendahnya. Esakan tangisnya belum mampu meredakan runtunan jiwanya yang dilanda duka. Pesanan ringkas yang diterimanya melalui telefon bimbit telah merubah kehidupannya, pada pandangan mata hatinya. Dirasakan kehidupan ini tidak bermakna lagi kini. Terbayang pada fikiran singkatnya, mahu terjun sahaja daripada tingkat lima bangunan.


‘Mengapa diri aku diperlaku sebegini?’ ‘Apakah salah aku?’


Berbagai persoalan melintas diruang minda Raihanna. Jenuh memikirkannya. Hubungannya dengan Fendi berakhir sedemikian rupa. Segalanya telah dia korbankan demi cinta yang kononnya suci lagi tulus. Akhirnya dia sedar siapa Fendi sebenarnya. Fendi, lelaki yang pandai bermain kata. Manis mulut. Dia tenggelam dalam kemanisan mulut Fendi itu. Mesej yang diterima telah membongkarkan segala-galanya. Perjalanan yang diatur untuk bertemu muka dengan Fendi hanya sia-sia. Dia tahu Fendi sudah tiada di situ. Dia tahu Fendi tak akan menemuinya lagi.


Tempat duduk di hentian ini masih kosong. Tiada sesiapa. Raihanna memandang kiri dan kanan. Sunyi. Bimbang mula tercetus di hatinya. Sebentar tadi dia sedang bersedih tetapi kini ia berganti pula ketakutan. Perjalanan yang diatur untuk bertemu Fendi bertukar menjadi perjalanan kosong tanpa hala tujuan. Dalam kotak akalnya, dia buntu untuk ke mana-mana. Apa yang dia tahu, dia harus mencari suatu destinasi yang boleh meredakan bebanan akal fikirannya.


Raihanna berpaling ke kanan. Terkesima seketika. Bayangan lembaga sedang menuju ke arah hentian ini. Dalam keadaan suasana yang kelam ini, rupanya tidak begitu jelas. Hendak sahaja dia menjerit tetapi dipendam. Dia memerhati dengan teliti. Nyata ia bukan lembaga menakutkan, tetapi hanya rakan sekuliahnya, Hafiz.


“Aku ingatkan siapa tadi.” Raihanna berkata separuh terkejut.


“Oh, Hanna. Maaf... maaflah kalau aku menakutkan kau. Aku... aku tak berniat begitu.” Ujar Hafiz gugup sambil membetulkan cermin matanya. Bajunya basah dek kerana hujan yang turun. Hafiz menggigil kesejukan.


Raihanna hanya tertawa kecil. Terhibur seketika hatinya dengan gelagat Hafiz. Hafiz menarik seluar yang dipakai yang hampir terlondeh itu sebelum menghenyakkan punggungnya bersebelahan Raihanna. Beg sandangnya diletakkan di tepi. Sambil memerhati kehadiran bas, Hafiz mengeluarkan botol air daripada beg sandangnya dan minum. Raihanna hanya mengeleng kepala. Memang aneh kelakuan Hafiz pada pandangan matanya. Namun secara tidak sedar, Raihanna dapat rasakan ia menggembirakan hatinya. Raihanna senyum sendirian.


“Hafiz, kau nak ke mana?” Raihanna bertanya.


“Aku... aku nak balik ke rumah sewa.” Hafiz menjawab sambil tersipu-sipu malu. Raihanna, gadis dambaannya selama ini, bersamanya di hentian bas ini. Hafiz masih tidak memandang wajah manis Raihanna.


“Hafiz, jom temankan aku pergi makan. Kemudian, kita jalan-jalan di Jusco, boleh?” Ajak Raihanna. Hafiz diam sahaja. Dalam hatinya berbunga riang kerana gadis secantik Raihanna mengajaknya keluar.


“Ala, jomlah.”


“Baik... baik...” Jawab Hafiz dengan pantas.


Raihanna mula menyedari bahawa setiap yang berlaku ada hikmahnya. Kepergian Fendi mendatangkan Hafiz padanya. Mengapa perlu merumitkan perkara yang mudah? Mengapa perlu bersedih? Raihanna mengakui yang Fendi bukanlah teman yang secocok dengannya. Kedatangan Hafiz telah merungkai permasalahan di benak Raihanna.


Bas U45 kelihatan dari jauh. Satu-satunya bas yang akan membawa penumpang dari kawasan ini menuju ke ibu kota. Bas itu tiba di hentian tempat Raihanna dan Hafiz duduk. Fendi, pada mulanya adalah tujuan Raihanna tetapi kini ia berganti dengan kehadiran Hafiz. Tanpa banyak bicara Raihanna membayarkan tambang untuk Hafiz. Raihanna sedar yang dia tak akan hampa lagi. Dia tahu Hafiz sukakannya dan kini, dia mula menyukai Hafiz. Bas U45 itu meluncur laju meninggalkan hentian itu yang kesepian.

 

II

PETANG. Jam 2.30. Hanum membelek-belek jam tangannya. Dia harus segera sampai di Hentian Puduraya untuk menaiki bas pulang ke kampung halaman. Segera Hanum melangkah keluar dari pintu besar kolej. Hanum mengomel sendirian. Rakannya, Hafizah sudah menyatakan persetujuan untuk ke Puduraya bersama-sama. Sebentar tadi, dia menerima pesanan ringkas Hafizah yang memaklumkan dia tidak dapat menemani Hanum kerana ada urusan penting. Tidak jauh dari pintu besar kolej, Hanum teringat pada sesuatu.


‘Alamak, komputer riba aku tinggal di bilik pula. Kerja banyak. Nampaknya aku terpaksa pergi ambil juga.’ Hatinya berbisik.


Hanum menghayun kakinya sepantas yang mungkin kerana blok asrama wanita begitu jauh dari pintu besar. Sambil merenung jam tangannya, Hanum berharap bas ke Puduraya akan tiba lambat sedikit. Hanum mengomel lagi. Sudahlah blok asramanya jauh, biliknya pula di tingkat atas sekali. Penat, kata hatinya. Itulah yang menjadi kepantangan baginya. Bila sudah penat, mulalah mahu meneguk minuman. Mujur dalam biliknya ada terdapat satu botol air mineral yang tinggal separuh isinya. Pantas tangannya menggapai dan meneguk air kosong itu. Kemudian dia mengambil beg komputer riba di atas katilnya dan membawa bersama air botol mineral itu turun menuju ke pintu besar kolej.


Suasana jalan raya yang agak lengang, tidak seperti keadaan biasa mula menggusarkan hati Hanum. Sesekali kereta dan motosikal meluncur laju, sekurang-kurangnya menceriakan sebentar keadaan yang suram itu. Hanum melangkah deras menuju hentian bas di seberang jalan. Matanya melilau kiri dan kanan, melihatkan kenderaan yang lalu lalang dan melihat jika ada sesiapa di tebing jalan.


Kehairanan mula terbit di hati Hanum. Selalunya waktu-waktu begini banyak kenderaan yang akan melalui jalanraya ini. Jalan ini bukanlah sebatang jalan yang sunyi sepanjang masa. Ia sudah menjadi jalan utama menghubungkan penduduk di kawasan ini ke kota metropolitan. Hanum mendapati dirinya keseorangan.


‘Kalau Hafizah ada kan bagus.’ Getus hatinya. Apa boleh buat. Minggu ini sahaja Hanum berpeluang untuk pulang ke kampung.


Beg pakaian diletakkan di atas lantai hentian bas. Beg komputer riba pula diletakkan di sebelah beg pakaiannya. Sambil duduk dia seringkali memerhati jam tangannya. Hanum mengharapkan supaya bas datang dengan segera supaya dia boleh mengejar waktu bas di Puduraya dan dia tidak keseorangan lagi di hentian itu.


Bas yang diharapkan masih tidak kunjung tiba. Kerisauannya makin bertambah. Tetapi ia sedikit reda apabila melihat seseorang sedang menuju ke hentian bas ini. Seorang wanita. ‘Nasib baik perempuan. Kalau lelaki, tak tau lah apa yang akan terjadi.’ Hatinya berbisik lega.


“Nak ke mana dik?” Perempuan bertudung litup itu bertanya pada Hanum.


“Ke Puduraya. Nak balik kampung.” Balas Hanum.


Hanum meneka perempuan ini dalam lingkungan umur 30-an berdasarkan raut wajahnya. Wajah yang cerah dan matanya yang ayu menampakkan yang perempuan ini adalah orang yang baik, pada tanggapan Hanum. Wanita itu hanya menguntum senyum pada Hanum tanpa melanjutkan bicara.


Tidak lama kemudian, sebuah teksi bergerak menuju ke arah hentian bas itu. Wanita pertengahan usia itu cuba menahan teksi tersebut dan ia berhenti di hadapan hentian itu. Setelah tiba di hentian, pemandunya keluar dengan pantas dan terus menuju ke arah Hanum.


“Serahkan segala barangan berharga yang ada!” Pemandu teksi itu terus menyergah Hanum. Wanita yang menahan teksi itu mengeluarkan sebilah pisau lipat dari koceknya dan menghalakannya pada Hanum. Hanum yang terkejut dengan kejadian itu hanya berdiam diri sambil dalam hatinya berdoa agar tidak diapa-apakan. Lalu segala wang yang ada dalam dompetnya dan beg komputer riba yang dibawa bersama, diserahkan pada sang perompak ‘profesional’ itu. Segala-galanya berlaku dengan pantas. Hanum hanya terkedu.


Usai mengaut hasil rompakan, pemandu teksi dan wanita itu terus sahaja berlalu pergi, meninggalkan Hanum keseorangan. Malang baginya, bas U45 itu tiba lewat daripada kejadian tadi. Bas U45 yang sepatutnya dinaiki, dibiar berlalu begitu sahaja. Seluruh fikiran Hanum kosong. Tidak tahu apa yang harus dilakukan. Gementar. Takut. Hiba. Seolah-olah tiada apa yang ada lagi yang tinggal pada dirinya. Hendak dihubungi sesiapa, telefon bimbitnya juga dirompak. Hanum berlari terus menuju ke pondok jaga di tepi pintu besar kolej. Segala yang berlaku diceritakan semula oleh Hanum pada penjaga di situ yang kemudian melaporkannya pada pihak polis.


Hasliza yang berada di pondok jaga terpinga melihat kelakuan Hanum. Terus sahaja Hasliza bertanya padanya dan akhirnya Hasliza mengetahui kejadian yang berlaku. Hanum pula bersyukur kerana masih ada lagi teman untuk dia menuju ke Puduraya dan kebetulan pula Hasliza lambat sedikit keluar daripada bilik asramanya. Ya, semuanya kebetulan. Kebetulan yang memeritkan Hanum tetapi terpaksa diterimanya dengan redha.

 

III

PAGI. Jam 11.30. Matahari bersinar terang setelah hujan turun mencurah beberapa jam sebelumnya. Bas U45 akan tiba tak lama lagi. Baik aku segera menunggu bas kerana selepas waktu itu, bas akan tiba lebih lambat lagi. Tak sanggup aku menunggu lama-lama di hentian itu.


Minggu lalu, Raihanna menceritakan kisahnya pada aku. Kisah dia dan Hafiz. Dan juga Fendi. Sebagai teman baiknya, aku hanya mendengar. Ya, aku hanya membiarkan dia meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Dan aku menjadi pendengar yang setia tanpa banyak bicara. Dan apabila dia meminta nasihat daripada aku, aku berikan apa yang termampu.


“Keluar hari ini?” Pak cik jaga menegur aku ketika aku mengisi nama pada buku rekod keluar masuk kolej.


“Ya, pak cik. Cari ilham.” Balasku bersahaja.


Terimbas pula di fikiranku mengenai kisah Hanum yang dirompak dulu. Aku amat simpati dengan apa yang berlaku. Ya, jenayah itu tak kenal batas masa dan tempat. Asal ada peluang, pasti digapai oleh sang penjenayah yang licik waima di tempat yang paling selamat pun. Kota metropolitan ini memang tidak ada belas kasihan pada manusia. Hidup di dalam hutan batu ini sangat perit, tidak seperti apa yang dikhayalkan oleh mereka yang tidak pernah merasai hidup di dalam perut hutan ini.


Banyak lagi kisah yang aku dengar mengenai hentian ini. Hentian tempat cinta pandang pertama berputik. Hentian yang menjadi tempat mangsa rompakan pada manusia yang bernasib malang yang singgah padanya. Hentian yang penuh dengan makna tersendiri.


Aku melangkah ke hentian bas bersama kisah-kisah yang ku dengari. Berseorangan. Aku biasa berseorangan. Mudah melangkah ke mana jua yang aku suka. Pastinya ia lebih bahaya apabila berseorangan di kota ini. Dan aku pernah dilanda bahaya itu. Hasilnya, wang dan telefon bimbitku lenyap bersama si pemukau. Aku anggapkan ia bukan rezeki aku. Mereka di kolej hanya tertawa apabila aku menceritakan perihal itu. Mereka berkata usahlah berseorangan. Walhal aku selesa dengan cara itu. Ada sebabnya aku begitu.


Aku duduk di atas batang besi yang disediakan sebagai tempat duduk di hentian ini. Hanya batang besi. Bukan tempat yang selesa. Pemandangan biasa di sekitar bandar raya ini. Mungkin juga ini salah satu sebab pengangkutan awam tidak digemari warga kota. Barangkali iahanya satu alasan kerana mereka ingin membawa kenderaan yang mereka gemari dan seterusnya menyebabkan kesesakan di perut kota.


Aku hanya memerhati kenderaan melintas di hadapan aku. Gah. Dengan pendapatan yang mereka ada, apa sahaja boleh dimiliki. Itulah gaya hidup terkini, kononnya. Saat itu juga aku lihat beberapa orang rakan sekolej yang seronok menunggang motosikal bersama temanita masing-masing melalui hentian ini. Jelik pada pandangan mata aku. Gembira apabila sang betina memeluk sang jantan.


Mereka tidak tahu, hidup ini bagaikan sebuah hentian. Kegembiraan, kedukaan, semua itu hanya sementara. Ia seperti sebuah persinggahan dan apabila tiba masanya, kita akan bergerak meninggalkannya. Sementara atau kekal, bergantung pada waktunya. Dan kita akan singgah di hentian itu untuk menunggu bas membawa kita daripada penyeksaan. Benar, penantian itu satu penyeksaan. Penyeksaan yang pelbagai rupa. Dan aku akui hakikat itu di hentian ini.


Hentian ini telah menyaksikan pelbagai peristiwa. Suka duka manusia yang melintasi atau bersama dengannya cukup menggambarkan bahawa hentian ini penuh dengan memori yang terakam oleh masa dan suasana. Jika hentian ini hidup, pasti ia akan menceritakan apa yang telah terjadi di hadapannya. Barangkali hentian ini akan menjadi sang penglipurlara yang lebih hebat daripada manusia.


Bas U45 tiba. Aku sebagai penanti yang setia dan kini saat untuk aku melangkah pergi meninggalkan hentian ini bersendirian tanpa pengunjung. Setelah membayar tambangnya, aku bergerak ke tempat duduk. Sambil aku memasang earphone untuk mendengar lagu XPDC bertajuk 'Hentian Ini', sekali lagi mata aku tertumpu pada hentian tadi. Tetap sama. Tetap tegak berdiri di situ. Menunggu manusia lain untuk menjadi penanti yang setia.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Razif AR Al-Marbawi