Home Cerpen Keluarga Telekung Baru Buat Ibu
Telekung Baru Buat Ibu
Zulfati Hanis
13/4/2013 18:25:53
2,791
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

“Ha!...Petang-petang baru nak balik! Nyaring suara Suzy memarahi Airis yang baru pulang.

Airis menundukkan kepalanya memandang lantai. Tak sangka pula Ibu bangun awal hari ini. Biasanya pukul 9 malam baru Ibu bangun dari tidurnya. Menjelang jam 11 malam Ibu akan keluar bekerja di kelab dangdut.

“Mana kau pergi, ha? Kecik-kecik dah pandai melepak!” nada suara Suzy semakin tinggi.

Rasanya satu rumah pangsa ini dapat dengar suara nyaring Suzy memarahi anaknya.

“Ai…” terketar-ketar Airis ingin menjawab. Ditelan liur beberapa kali.

Dia takut bila Ibu sudah mengila. Pasti satu rumah diamuknya. Airis ketakutan. Mata Ibu merah menyala merenungnya dengan rambut yang kusut masai.

“Aku tanya jawaplah, bodoh!” Suzy menunjal kepala Airis.

Airis mengosok kepalanya. Sakit. Kepalanya masih lagi tunduk memandang lantai.

“Ai…Airis ada aktiviti kat sekolah, Ibu.” Perlahan dan tergetar nada suara yang keluar dari mulut Airis.

“Kan aku dah cakap, lepas waktu sekolah balik! Tak payah nak sibuk dengan aktiviti yang merapu tu. Kau ingat semua tu free ke? Semua perlu duit. Kau ingat aku ni cop duit ke?” tengking Suzy sambil bercekak pinggang.

“Ma…Maafkan Airis, Bu.” Perlahan suara Airis.

“Dah! Pergi masak. Aku lapar ni!” arah Suzy.

Airis berdecit lari masuk ke dalam. Diletakkan beg sekolahnya di tepi dinding dan terus masuk ke dapur. Memang rutinnya memasak untuk Ibu dan dirinya sendiri. Tapi hari ini dia lewat pulang sebab hari ini ada latihan rumah sukan. Kedatangan adalah wajib dan kalau dia tak datang tindakkan akan diambil.

Suzy mendengus dan terbaring di atas sofa panjang sambil menonton rancangan yang tersiar di skrin tv. Ikutkan hati nak tidur balik. Tapi mata tak mahu pula lelapnya.



Airis mengintai Ibu yang sedang bersiap-siap untuk pergi kerja. Suka atau tidak gelaran sebagai anak GRO telah disandar oleh Airis sejak 6 tahun lalu. Ayah meninggal dunia sewaktu dia berusia 5 tahun. Sejak itu segalanya berubah dalam hidup Airis. Ibu berubah daripada seorang yang lemah-lembut kepada seorang yang pemarah, bengis dan Ibu juga seolah sudah hilang pedoman. Tikar sejadah pun Ibu sudah lama lupakan.

“Ibu dah solat?”

Suzy yang sedang menyisir rambutnya menoleh ke belakang. Airis sedang berdiri di muka pintu bilik Suzy dengan telekung tersarung di tubuh anak kecil itu.

“Kau kalau nak solat pergi ajelah. Jangan nak sindir aku pulak!” sergah Suzy.

Airis terlompat kebelakang sedikit. Terkejut. Airis menelan liur.

“Maafkan Airis, Ibu. Tak…”

“Pergilah solat tu, Jangan nak menyemak kat sini. Rimaslah!” rungut Suzy sambil menghalau Airis dari terus berdiri di depan pintu biliknya. Terus dihempaskan daun pintu dengan kuat.

Airis berdiri kaku di muka pintu bilik Ibu. Bergenang air matanya. Niat hatinya dia teringin bersolat berjemaah dengan Ibu. Dia teringin untuk menyalami tangan Ibu setiap kali habis solat.



Suzy mencapai segelas air sebaik menyudahkan tugasnya melayan pelanggan yang membooking dirinya. Sebelah tangan mengipas dirinya sendiri. Ramai orang di dalam kelab dangdut ini sehingga sejuk penghawa dingin yang terpasang pun tidak terasa.

“Humm…panasnya.” Rungut Suzy yang kepanasan.

“Kalau panas, apa kata kita pergi hotel. Abang belanja.” Encik Murad tersengih menampakkan barisan giginya yang ronggak dan mulutnya juga berbau busuk.

Suzy menjarakkan dirinya. Nak termuntah rasanya bau mulut Encik Murad yang busuk itu.

“Eh, tak apalah Encik Murad. Saya masih duty ni.” Suzy menolak dengan baik.

“Jomlah.” Encik Murad mengeselkan badannya dengan Suzy. Dia memang dah lama terliurkan jambu muda ini. Susah sangat nak dapatnya.

Suzy semakin tidak selesa. Dia cuba menolak badan lelaki buncit itu agar jauh darinya.

“Eh, Encik Murad! Kenapa duduk aje kat sini. Kenalkan ini Ramona. Dia ni baru lagi Encik Murad. Mona, layan Encik Murad elok-elok.” Mama Gee memberi isyarat kepada GRO barunya.

Ramona GRO baru mengangguk sambil tersenyum manja pada client barunya. Tangan Encik Murad ditarik. Encik Murad seperti lembu yang dicucuk hidung, hanya mengekor saja.

Suzy melepaskan keluhan lega. Tak perlu lagi hidungnya terdera dengan bau busuk mulut Encik Murad.

“Ramai lelaki buaya yang kau dapat malam ni Zee?” Mama Gee bertanya dengan gaya ala-ala minah kepoh.

“Bolehlah. Tapi orang tua tak sedar diri nak mampus tu gatal sangatlah. Asyik nak meraba aje kerjanya.” Rungut Suzy bila teringat saat dia menari bersama dengan Encik Murad buncit. ‘Dahlah perut buncit, gigi ronggak pula tu. Masih ada hati nak bercinta dengan dia yang masih muda bergetah ni.’ Omel Suzy.

“Ha…Ha…Ha…biasalah tu. Jantan yang datang sini memang dah tahu gatalnya. Kalau tak gatal, tak datang sini dah.”

Suzy menjungkit bahunya. Apa yang dikatakan Mama Gee ada benarnya. Tak ada lelaki-lelaki gatal ni alamat tak berduitlah mereka. Suka tak suka mereka sebagai GRO perlu melayan sebaik mungkin.

“Entahlah Mama. Kadang-kadang teringat jugak nak bertaubat. Tapi bila fikirkan pasal duit…” Suzy terdiam tidak menghabiskan ayatnya. Kenapalah duit memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia.

Mama Gee senyum sinis. “Dah jangan nak merapu lagi. Tu…” Mama Gee memuncungkan bibirnya ke arah beberapa orang pelanggan yang baru melangkah masuk ke dalam kelab. “Pergi layan sumber duit kau tu.”

Suzy menghela nafas sambil mengangguk. Dia bangun dan membetulkan rambutnya. Dengan lenggok yang lentok dan mengiurkan, Suzy melangkah dengan senyuman manis terukir dibibirnya.



Tok Leman memandang Airis dari atas sampai ke hujung kaki. Airis tika ini masih lagi dengan pakaian sekolahnya. Tok Leman mengaru kepalanya.

“Tolonglah Tok. Airis perlukan kerja ni,” ujar Airis sambil memegang papan iklan jawatan kosong yang dipamerkan di depan kedai runcit Tok Leman.

“Tapi Tok iklankan kerja sepenuh masa, Airis. Lagipun kamu tu budak sekolah. Bawah umur. Mana boleh Tok ambil kerja. Salah tu.”

Airis menundukkan kepalanya ke bawah. Dia kecewa. Dia perlukan kerja ini. Dia ingin kumpul duit. Harijadi Ibu 3 bulan lagi. Dia teringin untuk memberi hadiah kepada Ibu. Hadiah yang istimewa sekali.

Tok Leman menghulurkan gula-gula lolipop kepada Airis. Tapi Airis mengeleng.

“Airis tak mau. Airis nak kerja Tok Leman. Tolonglah bagi Airis kerja. Airis bukannya nak kerja sepenuh masa. Lepas sekolah Airis datanglah kerja kat kedai Tok Leman ni. Airis boleh tolong susun barang. Lap habuk. Tok Leman cakap aje, Airis akan buat.” Airis cuba menyakinkan Tok Leman.

Tok Leman memandang anak gadis Suzy, perempuan GRO yang sering menjadi umpatan orang sekeliling. Berbeza benar anak dan emak ini. Anak cantik bertudung sopan. Tapi Emaknya seksi nak habis.

“Cuba cakap dengan Tok, kenapa tiba-tiba Airis nak kerja ni? Ibu tak bagi duit belanja ke? Atau Ibu dah tak kerja lagi?” soal Tok Leman ingin tahu.

Airis serba-salah untuk menjawab. Kalau boleh dia ingin merahsiakan sebab kenapa dia ingin bekerja.

“Kalau tak beritahu, Tok tak boleh bagi Airis kerja kat sini.” Ugut Tok Leman.

Airis mengangkat kepalanya memandang Tok Leman.

“Kalau Airis cakap Tok janji bagi Airis kerja kat sini?” tanya Airis untuk kepastian.

Tok Leman mengangguk. Airis senyum lebar.

“Sebenarnya Airis nak kumpul duit, Tok.”

“Kumpul duit untuk apa?”

“3 bulan lagi harijadi Ibu, Tok. Airis teringin nak beri Ibu hadiah.”

“Apa hadiah yang kamu nak beli sampai kena kerja ni?” soal Tok Leman lagi.

Airis mengetip bibirnya. Dia memandang Tok Leman.

“Ai…Airis nak hadiahkan Ibu kain telekung. Airis teringin nak solat berjemaah sama dengan Ibu, Tok. Mungkin dengan hadiah tu nanti Ibu akan insaf dan berubah. Airis sayangkan Ibu. Airis tak nak ALLAH marahkan Ibu,” jawab Airis jujur. Dia harap dia mampu untuk menghadiahkan Ibu sepasang telekung baru yang cantik.

Tok Leman mengeleng. ‘Ya ALLAH, sucinya niat anak kecil ini.’ Sebak juga Tok Leman dengan niat Airis.

“Airis boleh kerja kat sini ke Tok?”

Pertanyaan Airis mengejutkan Tok Leman yang mengelamun. Tok Leman mengangguk. Suaranya tak terkeluar kerana terharu dengan niat anak kecil ini. Airis senyum lebar. Dia berharap agar dia mampu untuk membelikan Ibu telekung baru supaya mereka dapat menunaikan ibadah bersama-sama nanti.



Pulang dari sekolah Airis seperti biasa selepas solat Zohor, dia akan terus begegas ke kedai runcit Tok Leman. Dia membantu Tok Leman di sana. Tanpa di suruh Airis tahu apa yang harus dia lakukan sebaik tiba di kedai. Pertama-tamanya dia akan menyapu keseluruhan kedai. Kemudian dilap semua rak dan menyusun barang-barang di atas rak agar nampak kemas dan menarik.

Airis melemparkan senyuman bila bertembung dengan beberapa orang pelanggan yang masuk ke dalam kedai runcit Tok Leman.

“Airis dah makan?” Opah Yam, isteri Tok Leman menegur Airis.

“Dah, Opah.” Sopan Airis menjawab. Tangannya masih lagi menyusun sayur-sayur di atas rak di luar kedai. Dijiruskan juga sayur-sayur ini supaya nampak segar.

“Dahlah buat kerja tu. Bukan ada kerja sangat pun nak buat tu. Mari sini Opah nak cakap sikit.” Laung Opah Yam yang sedang duduk di kaunter bayaran.

Airis menoleh kembali memandang Opah Yam yang melambai ke arahnya. Kaki di atur menuju ke kaunter pembayaran.

“Dah duduk sini temankan Opah.” Opah Yam menepuk kerusi yang hampir dengannya.

“Mana boleh Opah. Airis kan di upah untuk kerja. Jadi Airis mestilah buat kerja. Takut nanti duit upah yang Airis dapat tak berkat nanti.”

Opah Yam tersenyum suka dengan kepetahan anak kecil ini berkata. Opah Yam mengusap pipi halus Airis. Dia sayang benar dengan Airis yang sudah dianggap seperti cucunya sendiri. Suaminya Tok Leman sudah memberitahunya kenapa Airis kerja di kedai runcit mereka. Ya ALLAH, dia amat terharu mendengar alasan yang diberikan. Airis memang anak yang baik. bertuah Suzy ada anak seperti Airis.

“Tak apa. Opah yang suruh, kan.”

Airis tersenyum dan duduk juga dia di kerusi yang ditepuk oleh Opah Yam tadi.

“Tok dah cakap dengan Opah kenapa Airis nak kerja. Opah terharu sangat dengar. Airis memang anak yang baik.” Opah Yam mengusap pipi Airis.

“Opah rasa Ibu suka tak dengan hadiah yang Airis nak bagi nanti?” Airis was-was pula dengan niatnya itu.

“Mestilah Ibu Airis suka. Hadiah daripada seorang anak, tak ternilai tau.”

Airis melemparkan senyuman segaris. Harap-harap apa yang dikatakan oleh Opah Yam betul. Airis mengeluarkan wang dari kocek seluar track bottomnya. Dihulurkan wang itu kepada Opah Yam.

“Kenapa bagi Opah?”

“Opah boleh tolong Airis tak?”

“Tolong apa Airis?”

“Ini ada duit 60 ringgit. Airis nak minta Opah tolong belikan telekung untuk Ibu gunakan duit ni.”

Opah Yam sebak. Dia tahu itu duit upah yang diberikan oleh suaminya kepada Airis. Setiap bulan mereka sengaja berikan 30 ringgit upah. Duit bertukar tangan.

“Opah belilah ikut jumlah duit yang ada tu. Kalau tak cukup nanti Airis tambah lagi.”

“Insya-ALLAH, cukup ni. Nanti Opah tolong belikan.”

“Terima kasih Opah.” Airis senyum gembira.

“Mana pulak budak bertuah ni?” Suzy yang terjaga dari tidurnya mencari-cari kelibat Airis.

Sambil menguap dan mengaru kepalanya Suzy mencari Airis. Habis semua bahagian rumah dicarinya. Tapi tak berjumpa. Namun lauk dan nasi sudah ada di atas meja makan. Orangnya saja yang menghilang.



“Mana pulak budak ni? Airis!!!...” Suzy menjerit sampai nak terputus anak tekak. Tapi kelibat Airis tetap tidak berjumpa.

Suzy mencekak pinggangnya. Kemarahannya semakin meluap bila dia pasti Airis tiada di rumah.

“Hisy! Budak ni memang nak kena dengan aku. Dah cakap jangan nak melepak. Dia buat jugak!” Suzy menyisingkan lengan bajunya seolah ingin bergaduh. Dia berdiri di muka pintu rumah sambil mengintai kot-kot ternampak Airis.

“Apa yang kau terjerit-jeritkan tu, Zee?” Rosnah jiran sebelah rumah menegur Suzy yang menjerit-jerit seperti orang meroyan.

Suzy mengosok kasar hidungnya sambil mendengus. ‘Menyebuk aje perempuan gemuk ni. Suka hati akulah nak menjerit ke apa ke. Aku menjerit pun dalam rumah aku.’ Rungut Suzy dalam hati.

“Tak ada apa-apalah. Aku cari anak aku. Entah ke mana dia menghilang tiap-tiap hari. Tahu nak melepak aje. Menyusahkan betul!” Getus Suzy.

Rosnah mengeleng. “Zee…Zee…aku rasa kau yang menyusahkan Airis tu. Dia kecik lagi dah kau suruh dia buat macam-macam kerja.”

“Apa yang kau merapu ni? Suruh buat kerja rumah ni pun salah ke? Dia anak aku ikut suka aku lah nak suruh dia buat apa pun!” sergah Suzy.

“Dia tu baru 11 tahun. Dahlah kau suruh dia memasak, membasuh. Sekarang ni kau suruh dia kerja pulak. Budak tu kecik lagi Zee. Kesian dia.” Rosnah membidas Suzy.

‘Kerja? Masa bila pulak aku suruh dia kerja ni. Hisy! Budak ni memang nak kena penampar dengan aku ni.’ Suzy mengomel sendiri sambil mengetip bibirnya menahan amarah yang meluap-luap.

“Masa bila pulak aku suruh dia kerja?” Suzy mempersoal tuduhan Rosnah padanya.

Rosnah mencebik. “Semua orang dah tahulah Zee yang Airis tu kerja kat kedai runcit Tok Leman tu. Kau tak payah nak pura-pura tak tahu pulak. Kau ni memang Ibu yang tak tahu malu.” Rosnah mencemuh Suzy.

Tanpa mempedulikan Rosnah yang masih memandangnya Suzy terus masuk ke dalam rumah dan menghempas pintu dengan kuat.

“Hisy, kurang ajar betul!” Rosnah kegeraman.



“Maaf Ibu!...Maaf!...” terlolong-lolong Airis menjerit tatkala badannya terkena libasan rotan daripada Suzy.

Habis seluruh badannya tekena libasan Ibu yang semakin mengila.

“Apa tak cukup lagi ke apa yang aku berikan kat kau selama ni? Apa jijik sangat ke duit yang aku berikan tu? Hina sangat ke kerja aku?” mulut Suzy kecoh mempersoalkan kenapa Airis perlu bekerja.

Suzy rasa terhina dengan tuduhan jiran-jiran terhadapnya. Selama ini dia menutup mata dan telinga hanya semata-mata untuk mencari sesuap nasi buat dirinya dan Airis. Dia dah tiada sesiapa di dunia ini melainkan Airis. Dengan hanya kelulusan SRP apa sangat pekerjaan yang dia boleh dapat di KL ini. Kerja kalau dapat pun gajinya tak seberapa. Bagaimana dia dan Airis ingin meneruskan hidup. Tekanan hidup membuatkan dia tersepit dan terdesak untuk mencari duit yang banyak.

“Ampun Ibu!...” Airis cuba menepis rotan yang singgah dibadannya.

Tapi kegilaan Ibu tiada siapa yang dapat menahannya. Akhirnya Airis terkulai lemah di atas lantai dengan seluruh badannya sakit dan luka akibat sebatan daripada Ibu. Dia menangis teresak-esak.

Suzy mendengus sambil membaling rotan ditangannya. Dia lantas masuk ke dalam bilik dan dihempas pintu dengan kuat. Airis mengerekot di atas lantai.



Opah Yam mengeluh lemah. Sudah seminggu kelibat Airis tidak kelihatan di kedai runcitnya ini. Bila ditanya pada suaminya Tok Leman, lelaki itu pun tidak tahu. Mata Opah Yam mengintai jam di dinding kedainya. Biasanya waktu begini Airis akan berjalan pulang dari sekolah. Opah Yam berharap Airis akan melewati kedainya ini. Dari jauh Opah Yam melihat sekumpulan pelajar sedang berjalan bersama. Terintai juga kepala untuk melihat samada Airis ada di dalam kelompok kumpulan itu. Namun hampa. Airis tiada.

Saat hatinya sudah hampir kecewa mata tuanya terpandang kelibat Airis yang sedang berjalan perlahan jauh sikit dari kelompok pelajar tadi. Opah Yam menanti sehingga Airis menghampiri kedainya.

“Airis!...” Opah Yam melambai kepada Airis yang semakin menghampiri kedainya.

Namun bukan Airis ingin berhenti dikedainya. Tapi sebaliknya Airis mempercepatkan langkahnya dan tanpa memandang kiri dan kanan Airis terus saja melintas jalan. Dalam masa yang sama sebuah kerata yang tidak sempat mengelak telah melanggar Airis.

“Airis!...” Opah Yam menjerit kerana terkejut bila melihat tubuh Airis melambung dan akhirnya terjatuh di atas jalan raya. Darah turut kelihatan keluar dari mulut Airis.

Beberapa orang awam yang melihat membantu Airis yang tidak sedarkan diri. Pemandu yang melanggar pun turut menawarkan diri untuk menghantar Airis ke hospital.



“Ya ALLAH, sesungguhnya akulah hambaMu yang terlalu banyak melakukan dosa. Sudah lama aku hanyut daripada mengingati Mu. Aku terlalu mudah melupakan Mu. Ampuni dosa hambaMu ini Ya ALLAH.” Menitis air mata Suzy saat menadah tangan berdoa kepada ALLAH.

Dia sudah insaf di atas apa yang telah dia lakukan selama ini. Dia tidak mahu lagi hanyut dengan gelombang dosa. Dia juga berdosa dengan Airis. Selama ini Airis terlalu banyak berendam air mata kerananya.

Suzy mengusap kain telekung yang dipakainya ini. Inilah kain telekung pemberian Airis. Opah Yam yang berikan sewaktu dia sedang menunggu Airis yang sedang bertarung nyawa di bilik pembedahan.

Terhenjut-henjut bahu Suzy sambil mencium kain telekung ini. Perasaan bersalah semakin menghimpit dirinya.

“Ibu…”

Suzy mengesat air matanya. Dia menoleh ke belakang. Opah Yam sedang menolak kerusi roda Airis. Suzy bangun dan mendapatkan Airis dan Opah Yam.

“Maafkan Ibu, Airis.” Suzy mencium dahi Airis.

“Ibu tak ada dosa apa pun dengan Airis. Jom kita solat Ibu.”

Suzy mengangguk. Dia mengambil alih menolak kerusi roda Airis. Kerana kemalangan hari itu Airis patah kaki kiri serta tangannya. Alhamdulillah kecederaannya kini beransur pulih. Cuma dia masih belum boleh berjalan lagi. Kerusi roda penganti kakinya buat masa ini.

Jemaah wanita mulai memenuhi ruang surau. Suzy, Airis dan Opah Yam mengambil tempat masing-masing.

Airis menoleh memandang Ibu yang sedang membetulkan kain telekungnya. Airis senyum suka. Terima kasih Ya ALLAH kerana Kau makbulkan doa hambaMu ini. Airis sayang Ibu.




Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.