Home Cerpen Keluarga ADIK
ADIK
H.A.T.I AHMAD SHAFIAI
2/7/2015 00:32:32
2,868
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga
"Ko ikut ko kena.. Ko faham tak? Tak faham bahasa betul ko kan!" Dalam gelap subuh tu, dia mengikut aku dari arah belakang. Sengaja aku tinggalkan dia jauh dibelakang sana .Entah bagaimana riak wajahnya pun aku tak tahu. Memang aku benci, aku benci sangat.

Hah.. Padan muka ko kan! Aku mengayuh laju sehingga tiba di perkarangan sekolah, yang kira-kira 10km jauhnya dari rumah. Aku seolah-olah tidak mempunyai perasaan bersalah terhadap apa yang aku lakukan itu. Kerasnya hatiku sepertimana kerasnya batu dijalanan yang aku lalui.

Jam telah pun menunjukkan jam 9 pagi. Tika ini aku mula merasa resah dan gelisah. Bagaimana dia yang tadi aku tinggalkan. Ya.. dia, dia adikku. Air mata makin deras mengalir dipipi.

"Ya Allah, sanggup aku melakukan sedemikian rupa terhadap adik aku!" Sesal hatiku.

Seorang adik yang baru sahaja berumur 10 tahun ketika itu, yang masih perlukan perhatian dari satu-satunya adik beradik yang dimilikinya.. Ya Allah kejamnya aku.

"Mak, mak! tadi ada tak adik kat rumah?" tanyaku pada ibuku, sambil termengah-mengah dek kerana memecut laju mengayuh basikalku. Padahal jam ketika itu baru menunjukkan jam 10 pagi. Sepatutnya pada masa ini aku masih didalam kelas.

Ya, ini la diri aku.. Hari itu aku berani meninggalkan sekolah tanpa pengetahuan guru-guru. Saat itu tiada apa lagi yang ada difikiranku, selain adik. Aku mencapai basikalku.. menuju ke klinik, tempat dimana ibu mencari rezeki untuk menyara aku dan adik.

3 jam itu sudah cukup membuatku derita. Tudung sekolahku telah pun dibasahi oleh tangisanku. Aku benar-benar menyesal dengan perbuatanku. Kejam.. ya kejam! Aku sendiri mengatakannya.

"Ha kenapa?" tanya ibuku, seolah-olah tidak mengerti apa yang sedang aku alami. Rakan sekerja ibuku juga sedang legat memerhatikan diriku yang masih memegang basikal dihadapan pintu utama klinik kesihatan itu.

"Arrr.. arrr adik ada tak mak?" tanyaku.
"Entah", hanya perkataan itu yang terpacul dari mulut ibuku.

Aku makin resah, sedih, kecewa dan menyesal. Air mataku lebat mencucuri uniform putihku. Habis comot, habis berbekas dek tangisan serta mukus-mukus yang keluar dari rongga-ronggaku. Aku tatapi wajah ibuku, seakan-akan menanti jawaban dari bibirnya. Ahh, biar.. biar ianya menjadi peringatan dan pengajaran pada insan yang sekejam diriku. Darah dagingmu sendiri.. Tegarnya kau melakukan sebegitu pada satu-satunya adik yang engkau miliki.

"Ada kat rumah.. mak dah hantar kesekolah. Naik motor je dengan mak tadi". Allah.. Lega. seperti langit jatuh menyembah bumi. Perasaan ku ketika itu bercampur aduk. Gembira, sedih, takut dengan perbuatan yang aku sendiri lakukan. Jika tiada dia, atau terjadinya apa-apanya pada dia, sudah tentu sesalan yang aku miliki seumur hidupku.

"Alhamdulillah", hanya itu yang mampu aku ungkapkan ketika itu.

"Adik menangis tadi, katanya kamu tinggalkan dia", aku terus diam menyepi. Sesalan yang tak mampu aku ungkapkan. Membayangkan dalam gelap pekat subuh itu, adikku ketakutan memgayuh basikal bmx birunya pulang semula kerumah dengan air mata mengalir dipipinya. Sedih dan pilu hati aku mengenang satu-satunya adik yang aku ada.

Adik.. Maaf akak, akak tahu akak kejam. Akak sayang, demi Allah akak sayang pada kamu. Mungkin kerana takdir kita berlainan bapa, kebencian itu semakin menguasai diri akak. Maafkan akak dik.. Maafkan akak..

Wan adalah satu-satunya adik yang aku ada, biar berlainan bapa namun aku amat menyayanginya. Kebencian antara aku dan dia hanyalah semata-mata pada bin dan binti yang berlainan antara kami. Kini, biarlah bin dan binti itu berlainan. Biar juga kisah semalam menjadi pengajaran untuk aku jadikan sebagai tauladan.

"Ha.. bunuh, bunuh terus.. senang lepas ni tak da dah adik kamu", lantang ibuku menyuarakan kesedihannya. Menyembunyi tangisan disebalik ketegasan yang dimilikinya. Bila bergaduh begitulah aku dan adikku. Nama bapa dijadikan permainan.

"bapak ko tu .... " kata adikku.
Aku pun apa kurangnya "ayah ko ....", balas aku pula. Begitulah aku dan adikku.

Pernah satu ketika.. mata pensel melekat didadanya. Semuanya gara-gara aku. Pantang adik aku bersuara, meminta sesuatu dari aku..

"Akak, nak pinjam pensel!" luahnya padaku.
Seperti terkena panahan mentari, sebagaimana peritnya kulitku dibakar oleh kehangatannya.. begitulah hangatnya mendengar permintaan kecil adikku.

Kebencian menguasai diri.. tanpa kusedari tanganku membaling sebatang pensel kearahnya. "Aduh", kedengaran seperti adikku kesakitan. Aku memalingkan muka kearahnya. Allah.. Kelihatan terpacak sebatang pensel berwarna merah didada adikku. Aku terdiam membisu.

Bukannya aku tidak sedar dengan apa yang aku lakukan. Tetapi ego menguasai diri. Ibu ku menangis, lalu bersuara, " Ya Allah Nur, begitu sekali kau benci adik kau ya?" Luah ibuku.


Aku diam, dan terus membisu. Adikku pula sedang menahan kesakitan. Kelihatan butir-butir jernih mengalir keluar dari pipinya yang putih. Ibuku berusaha mengeluarkan mata pensel yang tertanam didada anak bongsunya itu, namun gagal. Aku, ketika itu masih sama.. masih dipenuhi dengan kebencian. Tidak sekelumit pun kejadian itu, mengingatkanku bahawa itulah satu-satunya adik yang aku ada.

22 tahun berlalu..Namun mimpi semalam sentiasa menghantuiku.. Setiap kali ianya menjengah difikiran. Setiap kali itu jugalah air mata bercucuran. Aku seperti dibayangi kesilapan masa laluku.. Aku tidak mampu untuk membuka mataku sendiri, apabila setiap kali kisah itu bermain semula dikotak fikiranku, kesal dan sesal. Kasih sayang yang sepatutnya aku curahkan, kebencian yang aku berikan.

Hingga kini air mata itu masih bercucuran, biar berpuluh tahun telah pun berlalu. Entah dia ingat atau tidak akan semua kisah-kisah ini. Setiap kali aku memandang wajahnya, setiap kali itu jugalah aku ingin dia tahu betapa aku amat menyayanginya. Satu-satunya saudara yang lahir dari rahim yang sama denganku.

Adik..
Maafkan aku 
Maafkan segala kesilapan dan kesalahan akak padam
Terima kasih menjadi pelengkap kepada kehidupanku.
Terima kasih kerana hadirmu membahagiakan diriku.
Kebahagianmu akan sentiasa menjadi kebahagianku, 
Kegembiraanmu pula adalah kegembiraanku. 
Kesedihanmu akan pula menjadi kesedihanku
Semoga Allah melindungimu selalu.
Aamiin.











Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.