Home Cerpen Lucu RAMADHAN.. kali ini, memang penuh makna.
RAMADHAN.. kali ini, memang penuh makna.
H.A.T.I AHMAD SHAFIAI
2/7/2015 13:37:13
5,670
Kategori: Cerpen
Genre: Lucu
"Time-time pose ni le kome nak peginye, tak ade ari lain ke? Karang mula le tak larat", bebel mak aku. Aku menjeling tajam, tanda tidak setuju dengan pendapat mak aku tu. "Elleh.. orang tahan la mak", sambil mulutku mengomel-ngomel. "Sape lagi yang pegi?" tanya mak aku lagi. " Emm, Pak B, Amad, Shida, Jah, emm.. ada le lagi", boleh tak mak?" aku menyambung pertanyaanku. "Aar ye la.. pegi la". Akhirnya mak aku menyetujui permintaan dari anak perempuannya yang seorang ni.

Bandar Teluk Anson tu memang agak jauh juga dari kampung aku. Entah berapa kilometer aku sendiri tak tahu. Maklum la baru darjah 6. Aku pula kalau kemana-mana dah terbiasa dengan mak aku. Tak pernah aku buang tabiat nak pergi kemana-mana tanpa adanya mak aku tu. Tapi hari tu, entah kenapa teringin beno nak bersama-sama menyongkit dengan kawan-kawan rapat aku tu. Alasan untuk mencari buku latihan UPSR. Almaklumlah bajet-bajet macam pelajar terbaik di sekolah kesayangan aku tu, Sekolah Kebangsaan Pulau Pacat. Hahaha.. entah mana datangnya pacat, aku pun tak tahu. Sebenarnya, masa aku mula sekolah disana namanya bukanlah sedemikian lagi. Nama sekolah tu dah pun ditukar ke Sekolah Kebangsaan Pulau Tiga Kiri.. Aduhhh.. Banyak betul nostalgia-nostalgia terindah kat situ.

Kalau ditanya tentang sejarah sekolah Pulau Pacat aku tu, memang fail. Mana taknya, disebabkan mak aku seorang misi.. dia sentiasa berpindah randah. Jadinya kalau dah mak aku pindah, aku pun turut la sama pindah ikut dia. Bayangkanlah, dalam 6 tahun nak menyampaikan ke darjah 6 tu.. 6 buah sekolah aku tukar. Sebut la sekolah apa, kebanyakannya semua aku dah jejak. Haii, nasib badan la anak misi. Tapi semua itu menyimpan sejuta memori terindah dalam kotak fikiran aku.

"Horayy! Terima kasih mak, sayang mak", kataku sambil meniup flying kiss kearahnya". Aku apa lagi selepas dapat persetujuan dari mak aku. Terus aku bergegas masuk kebilik untuk bersiap. "Macam lipas kudung, sekejap je bersiap kalau nak menyongkit. Ce suruh bangun sahur, nak tunggu duduk pun ambil masa setengah jam", opah aku pulak bersuara. Tu la opah aku, dalam hidup aku cuma ada dia, mak dan adik aku. 4 orang je, selain tu bapa dan mak saudara aku serta anaknya Ana, yang aku sendiri dah anggap macam adik kandung ku sendiri. Mereka ni la pelengkap kepada kehidupan aku. Mana taknya, aku menumpang kasih sayang bapa saudara aku tu.. Walaupun kuat menyakat, tapi itu la yang aku sayang.

"kring.. kring.. kring", kedengaran bunyi loceng basikal kawan-kawanku dari arah depan rumahku. Kelihatan Pak B turut sama ada dibelakang, bertindak sebagai penjaga kami semua. Disebabkan ada Pak B la mak aku izinkan. Kalau tak jangan harap la nak merasa berjalan dengan kawan-kawan aku tu. Pak B ni adalah bapa kepada kawanku Amad. Dia juga merupakan salah seorang dari kakitangan sekolahku. Disebabkan itu la kami rapat. Boleh diibaratkan seperti anak dengan bapanya.

Kami teruskan perjalanan ke Kampung Gajah, pekan dimana terdapatnya perhentian bas nak ke Teluk Anson. Gembiranya bukan kepalang kami semua pada hari tu. Seperti ayam terlepas dari rebannya. Bersembang seperti tak jumpa lagi pada esok harinya. Lagi kuat deruman enjen bas tu. Lagi kuat la sembang kami.. 

Sepertimana yang aku dan kawan-kawanku rancangkan.. dapatlah kami cari buku rujukan UPSR kami tu. Entah apa lagi aktiviti kami pada hari tu, aku pun dah terlupa. Rasa-rasanya dah 22 tahun kenangan itu tersimpan, walau ada jalan cerita yang aku terlupa tetapi.. kemanisan memorinya tetap terasa hingga kini.

Nampaknya seperti mana yang mak aku katakan tadi.. Telah nampak tanda-tandanya pada wajah kami yang kepenatan. Terngiang-ngiang suara mak aku ditelingaku. "Karang mule le tak larat", dushh terkena batang hidung sendiri. Ingat senang.. Upacara mengayuh basikal beramai-ramai 10 km ke Kampung Gajah, tiba di Teluk Anson berjalan kaki kegembiraan, entah berapa km jauhnya aku sendiri tak sedar. Bersambung pula bila balik 10 km ke rumah masing-masing. 

"Oii kome, balik ni kita ikut jalan baruh ye, redup sikit!", entah siapa punya permintaan aku pun tak pasti. "ok", sepatah jawapan yang terkeluar dari mulut kami. Didalam mulut, air liur masing-masing telah pun pekat membeku. Hiihi, bukan senang. Bulan Ramadhan bulan yang sememangnya menguji keimanan. 

Setibanya kami disebuah kampung yang ada dijalan baruh, aku menyuarakan hasratku untuk berhenti seketika. Kami masing-masing berehat sambil memandang kearah sungai yang mengalir deras. Seakan-akan tidak mengenal erti kepenatan yang ada pada wajah kami. Masing-masing diam membisu, bayang-bayang air pula, mula melambai-lambai dihadapan mata kami. Entah dari mana datangnya hasutan syaitan ini. Seperti berbisik-bisik halus ketelingaku. "Oii kome, aku dah tak larat ni. Moh le kite beli ayor", tiba-tiba aku menyuarakan hasrat kepada kawan-kawanku. "Oii tak baik", salah seorang dari mereka menyuarakan apa yang terlintas difikiran. 

Bukan tak tahu, tapi sengaja.. "Ehh, moh le, aku pun sebenonye dah tak tahan ni", hihihi. Tapi sape nak beli ayor nye, karang kena marah dengan orang kedai karang cam mana?" kata salah seorang kawanku. "Biar aku pergi, kome tunggu sini, dengan tanpa segan silunya mengoffer kawan-kawanku untuk jadi sukarelawan pada masa tu. "Err, assalamualaikum.. err makcik, nak beli air tin. Nak beli untuk berbuka puasa karang". Padahal makcik tu tak tanya aku pun bila nak minum. Hehehe, macam tu la kalau dah buat salah. Perasaan aku masa tu jangan cakap la.. peluh sejuk pulak dah banjir kat dalam tudung aku ni. Nak tergelak pun ada. Tapi bila dah dapat air.. Lupa semuanya. 

Deguk.. deguk.. deguk dengan rakusnya kami minum. Rasa-rasanya entah berapa tin COKE la yang kami sebat waktu tu. Tak toleh kiri kanan. Takut kalau-kalau ada orang yang lalu kat jalan baruh tu, yang kami tahu nak cepat habuskan.. Lepas tu berdecum.. tin COKE tu kami baling ke Sungai.. Selamat. Muka masing-masing tersenyum. Puas, lega.. Tapi dalam hati rasa menyesal tak habis-habis. Walaupun kami ni nakal, tapi dengan didikan agama yang kami terima dari Sekolah Agama Rakyat kami tu cukup membuatkan kami beringat tentang apa yang kami dah lakukan tadi. "Oii lepas ni kene le ganti puasa.. tak baik oii tak ganti. Tadi, tak ape le dah tak lalu sangat", saja kawanku memujuk hati yang sedang dilanda perasaan sesal antara kami. 

Hahaha.. Berdekah-dekah ketawa kami. Sambil mengayuh basikal untuk pulang ke rumah. Masing-masing memandang muka antara satu sama lain. "Macam tak puasa je!" kata salah seorang kawan aku. Hahaha.. kami ketawa lagi. Begitu la gembiranya kami pada hari tu. Sehingga semuanya selamat sampai ke rumah masing-masing.

"Hihihi.. Nasib baik Pak B tak ada. Kalau ada, tak dapat nak buat projek tadi", fikirku sendiri. 

Setibanya dirumah, "Puasa ke?" tanya mak aku. "Puasa", jawabku pula. Huhuhu.. melakonkan watak seperti seorang yang sedang kepenatan dihadapan mak dan opahku. "Orang penat ni, orang masuk bilik ye", sambil berjalan longlai ke bahagian atas rumahku.. Dummm, bunyi pintu bilikku.. Sambil memandang cermin, melihat wajah yang sebenar. Sempat menganga, menghempuskan sedikit nafas ketanganku.. "Hahhh", yesss selamat.

RAMADHAN.. kali ini, memang penuh makna!






































Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.