Aku sukar mengerti.
Dia kata dia lakukan kerana cinta. Cinta apa itu? Aku benar-benar tidak
memahami.
Lama dulu dia
menangis. Aku kurang mengerti mengapa? Dia kecewa. Kerana apa? Aku cuba
mencungkil cerita. Kisahnya, dia khilaf menghulur cinta. Cintanya dikhianati.
Cintanya tak dihargai. Dia menjadi pendiam. Seakan kesal dan meratap nasib
diri.
Aku cuba merawat luka
dihatinya. Itu semua takdir Ilahi. Ujian Tuhan menduga hati hambanya. Aku
selongkar kisah sufi. Kisah Suraya Al-Jausi ku garap penuh emosi. Gadis miskin
yang terperangkap dalam khilaf dosa dan bergelumang noda, akhirnya menjadi
pendamba cinta hakiki.
Aku terus menjalin
panglipurlara. Kisah Rabiah Al-Adawiyah, selebriti pencinta Ilahi menjadi
hiburan. Sesungguhnya Allah tak akan membiarkan hambanya menyatakan ‘bahawa
kami telah beriman’ tanpa diduga dengan ujian dan percubaan. Dalam mendamba
halawatul iman sang sufi terus berdepan rintangan. Hanya kesabaran dan doa
menjalin keakraban bersama Tuhan.
Kisah Hassan Al-Basri,
penghulu para tabi’in itu punya pedoman menusuk kalbu. Dalam mengejar hiasan
duniawi, sufi masyhur itu beroleh cinta sejati. Biar kisah silam terpalit duka,
dosa dan noda, cinta Tuhan tak pernah mati. Kecapi damai selama derita masih
merintang kerana cinta Ilahi sentiasa mekar dan subur menghias laman hayat
pencinta-Nya.
Ternyata dia terpukau
dengan ceritera-ceritera zaman sufi itu. Hingga nestapa terus memudar. Dia
bertanya di mana ku temui kisah-kisah menakjubkan itu. Aku tersenyum dengan
perasaan ingin tahunya itu. Aku membawanya ke toko buku. Dalam senyuman aku
cuma berisyarat. Dia tertawa lucu dengan tingkah ku. Terus juga mengerti
maksudku.
Dia berubah terus.
Halaman demi halaman ditatap penuh emosi. Hidupnya banyak membisu, bergelumang
cuma helaian-helaian yang melakar kisah dan peristiwa. Barangkali begitu asyik.
Satu hari aku cuba bertanya, tidak mahukah dia keluar bersama-sama teman-teman.
Mungkin bersiar-siar di pusat membeli-belah atau menonton di pawagam.
Pertanyaan setelah lama dia tenggelam sendirian. Dia seakan berubah mendadak.
Aku dilanda sedikit gusar walau aku senang dia sentiasa di sisi.
Dia menatap ku.
Senyuman tawar diukir bersungguh-sungguh seakan menenteramkan gundah hatiku.
Dia tutur lembut, mahu tumpu pada peperiksaan besar yang bakal dihadapi. Aku
senyum kembali. Harap dia benar-benar begitu.
*****
‘Kau memang bodoh.
Oleh sebab itu kau tidak layak untuk mencintai aku. Malah untuk bercinta dengan
sesiapa pun,’ kata-kata dari Amirul menusuk ke jantung hati. Aku sungguh
terluka. Sungguh aku mudah diperdaya, mungkin benar katanya, aku bodoh.
Kata-kata itu
terus-menerus membelenggu perasaanku. Benarkah tiada cinta untukku? Aku
terluka. Rasa terseksa dengan kata-kata itu. Terasa hina. Rendah diri. Aku malu
menatap wajah teman-teman. Amirul seakan tak bersalah terus melukai diriku.
Lelaki yang pernah mengisi ruang kalbu kini menikam hatiku sendiri.
Aku bersendiri. Terus
mengasing diri. Hidup seakan mahu berakhir. Inikah rasanya putus cinta? Rasa
dikhianati? Memang sakit. Memang pedih.
Aku hilang punca. Akhirnya
aku luah kepada ibu. Ibu diam lama. Ibu tatap mata merahku berbekas air mata.
Akhirnya ibu senyum. Senyuman ibu yang manis dan menenangkan. Ibu menyentuh
rambut hitamku. Rambut yang melepasi paras bahu itu diusap lembut. Tangisan dan
rasa pilu semakin pudar, seakan menghilang.
‘Cinta pada bunga,
bunga akan layu. Cinta pada harta, harta akan binasa. Cinta pada manusia,
manusia akan pergi. Cintailah Ilahi, kerana itu cinta abadi,’ ungkapan ibu
membuah persoalan di wajah muramku. Tapi jauh di sudut hati, aku mengerti
bicara ibu.
Ibu membuat misalan.
Jika kecil dulu ibu galak bercerita kisah gadis miskin bertemu putera raja,
memberi aku harapan dan impian. Kini ibu serap kisah cinta agung menenang
gelora duka yang menghempas jiwa, memberi aku kepercayaan dan kekuatan. Aku
menelesuri cinta sejati itu. Aku percaya ada cinta untukku. Amirul bukan
penentu arah cinta ku. Cuma aku perlu kekuatan meraih cinta.
*****
“Ibu, pernahkah ibu
dengar tentang kisah seorang ibu di zaman Rasulullah dulu yang melepaskan
keempat-empat anak lelakinya ke medan jihad? Lalu keempat-empatnya syahid. Ibu,
tidak mahukah ibu jadi seperti ibu itu? Sungguh saya lakukan ini kerana cinta.
Saya pergi untuk menuntut ilmu, bukankah menuntut ilmu itu juga fi sabilillah.
Insya-Allah ibu, kita akan selalu bertemu,” mata gadis itu berkaca-kaca cuba
meyakinkan sang ibu yang berat mengizinkan.
Seorang teman lama
yang menuntut di pantai timur ditemui cuti sekolah lalu. Sahabat baik
sebetulnya. Sejak kecil seingatnya. Terpisah kerana sang sahabat pergi merantau
jauh ke negeri serambi Makkah. Pemergian demi memenuhi ilmu di dada.
Dia pernah bertanya
dahulu, mengapa dia sanggup meninggalkan keluarga tercinta pergi ke daerah yang
tak dikenali. Sahabatnya cuma menjawab pendek, cinta perlu pengorbanan, aku juga
lakukan ini kerana cinta. Dia tidak mengerti waktu itu, tapi kini dia mengerti
sekali. Amat memahami.
Dia bercerita. Membuka
pekung di dada. Bukan meminta simpati atau memburuk sesiapa. Sekadar berkongsi
rasa bersama teman lama. Sebetulnya meluah duka yang pernah merasuk jiwa.
Lalu sahabatnya itu
lantas bertanya, bagaimana dia atasi kekecewaan yang melanda? Dia tersenyum
tenang. Merasai cinta yang mulai mengalir dalam setiap urat saraf. Kerana aku
telah temui cinta, kerana aku juga boleh memiliki cinta. Dia menjawab. Yakin
sekali. Menatap wajah sahabat yang ditumbuhi tanda tanya.
Dia terus menunjukkan
buku-buku yang memperkenalkannya dengan erti cinta. Kisah-kisah cinta zaman
lampau yang banyak memberi pengajaran. Mengajarnya cinta itu milik semua yang
kuat untuk meraihnya. Percaya cinta itu miliknya. Cuma cinta perlu usaha untuk
memilikinya. Ternyata dia sedang berusaha. Usaha yang sungguh-sungguh. Cuma
kadang-kala dia buntu. Barangkali cinta memang begitu. Penuh halangan dan
dugaan.
Sahabat setia mendengar.
Mendalami dan memahami hatinya yang dilanda perasaan. Aku juga sedang meraih
cinta itu. Sahabat meluah bicara setelah puas dia bercerita membuah kejutan di
hatinya. Di daerah terasing itu sahabatnya diajar meraih cinta. Cinta yang dia
ingin miliki. Dia terus tertarik. Mahu mendengar lagi kisah cinta yang ditemui
sahabat di sana.
*****
Dia terus memahamkan
aku tentang cinta. Tentang piramid cinta. Puncaknya adalah Ilahi. Tentang
pengorbanan dalam cinta. Dia kata dia perlu restu ku. Mengimbau kisah seorang
pemuda yang mahu sekali menuntut ilmu tapi tanpa restu sang ibu, menempuh
kepayahan dalam perjalanan, dirompak dan dicederakan. Akhirnya kerana doa ibu,
si pemuda pulang menemui ibu yang selalu merindu tapi dia pulang dengan derita
kerana telah kudung tangan dan kaki malah buta penglihatan. Dia bertegas, dia
tak mahu jadi seperti pemuda itu. Benar-benar meminta restu ku.
Sahabatnya itu memang
manis. Aku dari dulu memang senang dengan kehadirannya. Dia yang tidak punya
saudara, sedari kecil sahabatnya itu sudah jadi teman sepermainan, seperti
saudara kandung, berkongsi segalanya. Lebih-lebih lagi sahabatnya itu tidak
punya saudara perempuan. Tentu sekali mereka serasi bersama.
Kini, dia mahu
mengikut sahabat itu. Pergi meninggalkanku. Aku akan sendiri. Aku tahu niatnya
baik tapi naluri keibuan ku sukar melepaskan.
Kalau dulu ketika
zaman remaja, aku juga mengejar cinta yang serupa. Cinta indah yang penuh
nikmat. Tapi masih ada kekurangan. Aku kesal kerana keluargaku tak pernah
mengerti cinta itu. Aku rasa gersang di tengah-tengah keluarga sendiri. Aku
jadi asing. Tapi cinta itu terus mekar. Biarpun sukar dipertahankan. Aku tak
mahu mengalah. Terus mengharap cinta ku tak akan gagal.
Cinta yang ikhlas
pasti punya balasan. Saat usia menginjak dewasa, hadir seorang insan menawar
diri menemani aku melalui perjalanan cinta itu. Insan yang selalu ku mimpi
walau tak pernah ku ketahui kewujudannya. Insan yang tercipta melengkapkan
dunia cintaku. Aku bersyukur, kerana bersamanya aku tak akan asing dalam meraih
cinta. Bersamanya aku akan miliki keluarga yang kuidamkan selama ini.
Kami bersama. Aku
bahagia. Bersama insan itu, dunia yang cerah yang ingin ku masuki kini
kumiliki. Aku bermimpi miliki anak-anak yang nanti akan ku ajar mereka tentang
cinta itu. Aku lahirkan dia setahun selepas itu.
Bukan mudah untuk
menjadi ibu. Aku alami komplikasi ketika dia enam bulan dalam kandungan. Doktor
menyarankan aku menggugurkannya. Kata doktor, dia tak mungkin selamat malah aku
juga turut terdedah bahaya andai tegar mahu terus hamil. Aku berdegil. Aku
sudah rasai pergerakannya dalam rahimku. Mana mungkin untuk aku membunuhnya.
Semua ahli keluargaku
memujuk. Insan itu terutamanya. Tapi aku tak mampu. Dia sudah bernyawa waktu
itu. Aku tak mampu membunuhnya. Sungguh cintaku sudah tersemi untuknya.
Barangkali aku kelihatan berkorban demi melahirkannya. Tapi bagiku, dia sudah
seperti nyawaku. Aku tak mampu hidup jika dia dibunuh. Ia seumpama membunuh
diriku sendiri. Aku tidak berkorban tapi aku mempertahankan kehidupanku.
Sungguh cinta itu satu
kekuatan dan kadang-kala keajaiban. Cinta Ilahi pasti, dia kini membesar sihat
di hadapanku. Aku juga terus dapat menghirup udara dan mengecap cinta-Nya.
Hanya puji-pujian pada Sang Pencinta. Aku benar-benar terharu dengan cinta-Nya
yang penuh dugaan. Cinta, memang tak indah tanpa ujian.
Biarpun impian untuk
miliki anak yang ramai sudah tinggal mimpi kerana rahimku telah dibuang sejak
aku melahirkannya. Tapi aku bersyukur dengan kehadirannya. Sang puteri yang
melestari cintaku. Dia adalah segala-galanya. Dia adalah kekuatan dan
kepercayaanku.
Tiga tahun bersulam
bahagia. Hidupku digegar sekali lagi. Ujian cinta hadir kembali. Insan yang
menemaniku melalui perjalanan cinta, telah bertemu destinasi sebegitu awal.
Sebuah kemalangan. Insan itu pergi. Pergi mendakap cinta yang diimpi. Seketika
aku ditimpa luka yang parah. Kecederaan yang tak kelihatan.
Aku hampir hilang
pedoman. Tapi dia menghalang. Dia yang waktu itu belum pun berusia tiga tahun.
Cintanya. Sungguh dialah kekuatan dan kepercayaanku. Dia memberi aku nyawa. Dia
buat aku terus bertahan. Aku jadi lupa pada cinta yang ingin ku raih dulu. Apa
yang pasti aku mahu lakukan terbaik untuknya. Aku berusaha hidup dengan
bahagia. Agar dia juga bahagia.
Aku membesarkannya
sendirian selama hampir dua belas tahun. Dia beri aku kekuatan untuk berdepan
apa jua derita dan dugaan. Tiap kali memandangnya, aku beroleh semangat. Aku
hidup kerananya.
Kini dia mahu pergi. Pergi kerana cinta. Cinta apa itu? Aku sukar mengerti
.
*****
“Restu ibu penting.
Taat pada ibu satu kewajipan. Ulama besar, Syeikh Abdul Qadir Jailani sewaktu
kecilnya ingin berpergian. Anak kecil yang dilepas sang ibu demi untuk menuntut
ilmu. Pesan ibu cuma satu, amanah. Dalam perjalanan, rombongan yang disertai si
anak dirompak. Berkat pesan ibu, si anak berpegang pada amanah. Apabila ketua
perompak bertanya di mana dia meletakkan wangnya, dengan jujur anak yang taat
itu memberitahu kepada ketua perompak. Kejujuran dan amanah bukan saja
menyelamatkan nyawanya tapi membuah keinsafan kepada ketua perompak. Itu secebis
kisah ibu. Saya yakin ibu juga tahu kisah itu. Ibu mengertilah, saya lakukan
ini kerana cinta,” sang gadis tak henti berbicara. Amat berharap hati si ibu
dapat dilembutkan.
Dia sudah menginjak
usia remaja. Dia membesar di hadapanku dari seorang bayi yang dilahirkan,
keluar bersama-sama sekali rahimku melalui pembedahan yang menjadi penentu
hidup dan mati hingga menjadi gadis sunti yang manis sekali.
Aku melihat dia
menangis, bertutur pelat-pelat, mengeja, membaca hingga kini bisa petah bicara
memujuk aku. Aku melihat dia mula meniarap, merangkak, bertatih, berjalan,
berlari hingga kini mahu pergi meninggalkan ku.
Akukah yang terlalu
tua tidak mengerti jiwa remajanya? Aku cuma tak bisa kehilangan nyawaku. Aku
akan mati. Akukah yang terlalu degil dan pentingkan diri? Aku bersamanya sekian
lama. Aku tak sanggup berpisah dengannya.
Aku terkenang zaman
remajaku. Aku memang jauh dari keluarga. Malah aku tak rapat sama sekali dengan
mereka. Ayahku ahli korporat, jarang di tanah air. Biasanya di seberang laut,
mengumpul dana untuk terus melabur. Bila pulang sekali-sekali ayah bawa bersama
hadiah yang pelbagai dari dunia sebelah sana. Hadiah yang mahal-mahal dan
cantik-cantik tentunya.
Mamaku aktif
berpersatuan. Mama selalu bertanya itu dan ini padaku. Nyata ambil berat
tentunya. Tapi belum sempatku bercerita pasti ada panggilan yang memanggil atau
tetamu yang bertandang.
Aku memutus untuk ke
sekolah asrama. Seperti abang dan kakak yang pintar-pintar, mereka berjaya
mendapat tempat ke sekolah berasrama penuh. Aku kurang bernasib baik, lantas
terdampar ke sebuah sekolah agama. Jauh di utara semenanjung.
Pada mulanya mama
membantah, ayah langsung tidak kisah. Terlalu sibuk untuk memikirkan tentang
soal mudah persekolahan anak-anak. Mama juga mengalah kemudiannya kerana juga
tenggelam dalam kesibukan. Aku terlepas. Sendiri menjalin hidup di negeri
terkecil itu.
Aku pergi. Aku harap
ayah dan mama menghalang. Sungguh-sungguh menghalang. Tapi aku terluka, kecewa
dengan sikap mereka. Mungkin ini takdir hidupku. Dalam kesal yang amat sangat,
aku temui cinta di situ. Cinta di madrasah. Cinta yang aneh. Cinta yang membawa
bahagia.
Aku jadi redha dengan
takdir diri. Aku berhenti menyalahkan ayah dan mama. Belajar untuk bersyukur
dengan apa yang telah kuperoleh.
Namun cintaku sering
diuji. Tiap kali kembali ke teratak itu, aku jadi asing, jiwa jadi gersang,
cinta bagai hilang. Banglo mewah itu suram tanpa cinta. Ayah dan mama semakin
tidak ku kenali, keluarga bukan lagi penting bagiku.
Aku bahagia dengan
cintaku. Tamat persekolahan aku tekad ke bumi kinanah itu. Aku terus mahu
mengejar cinta itu. Ayah dan mama tidak banyak memberi pendapat. Cuma berpesan
dan mengingatkan, mereka mahu aku tahu mereka sentiasa menyokong ku dan akan
membantu aku dalam apa jua keadaan. Aku membalas dengan senyum tawar.
Aku pergi mencari
cinta di bumi Musa itu. Bumi yang di sana lahir beribu insan yang turut meraih
cinta seperti cinta yang ingin kuraih. Lebih separuh dekad aku menyelami erti
cinta bersama aliran Sungai Nil. Sungai yang tenang mengalir, yang melimpahkan
cinta pada setiap warga di tebingnya.
Aku makin mengerti.
Setelah sekian lama, setelah aku kuat dan percaya betul pada cinta itu. Aku
menjejak kaki semula ke tanah air. Ayah dan mama sudah tidak begitu sibuk.
Abang dan kakak sudah mengambil alih perusahaan mereka. Aku gembira. Gembira
amat. Umpama inilah dentinasi cinta yang ingin ku tuju selama ini. Tapi aku
khilaf. Perjalanan cintaku masih panjang.
Tak sampai setahun aku
mengecap cinta yang kuimpi bersama ayah dan mama. Mereka pergi buat selama-lamanya.
Aku pilu. Tapi aku tahu aku perlu redha.
Selepas itu aku
mendirikan rumah tangga. Cinta itu terus mekar. Ya, sehingga aku bergelar balu.
Aku terlalu sibuk dalam sendirian itu.
Demi dia. Demi
membesarkannya aku seakan terlupa tentang cinta yang bertahun-tahun ku raih.
Cinta itu memudar. Dalam kelukaan aku membina bahagia bersamanya. Ya, cinta itu
masih ada, cuma aku tak baja dan siram ia. Cinta itu makin layu. Mungkin hampir
mati dalam gersang perasaan kerana segalanya adalah untuk dia.
Ini semua kerana
cinta. Dia juga mahu pergi. Akukah yang tidak mengerti?
*****
Aku mengerti hati ibu.
Ibu cuma ada aku selama ini. Tak pernah berjauhan untuk jangka masa yang lama.
Aku juga berat mahu meninggalkannya. Tapi panggilan cinta itu begitu sukar
untuk tidak dipedulikan.
Aku ingat lagi ketika
menyertai lawatan cuti tahunan dua tahun lalu, walau cuma seminggu, ibu
bersungguh-sungguh melarang. Aku kecewa sekali saat itu. Aku memberontak. Tak
puas hati ibu asyik membantah.
Akhirnya ibu ambil
cuti seminggu. Sepanjang malam memandu sendirian ke Cherating mengiring bas
rombongan kami.
Aku marah sekali. Malu
dengan tingkah ibu. Hingga saat ini masih ada teman-teman yang mengusikku anak
manja. Aku tidak lagi menyertai mana-mana lawatan atau aktiviti yang
menyebabkan aku terpaksa berpisah dengan ibu. Aku serik dengan sikap ibu.
Dahulu aku sukar
mengerti. Tapi ibu tak henti-henti memujuk dan memberi aku pengertian. Ya, aku
mengerti tingkah ibu. Aku kini makin dewasa untuk memahaminya.
Tapi aku ada impian.
Aku gadis yang mahu bebas. Bukan aku tak sayang ibu. Bukan aku mahu tinggalkan
ibu. Aku juga tak punya sesiapa selain ibu.
Dunia ini dicipta
Tuhan sangat luas. Aku tak mahu selamanya terkurung dalam dunia kecil ibu. Aku
tahu ibu banyak terluka. Aku tahu ayah yang hanya ku ingati wajahnya dalam foto
itu telah lama pergi. Ibu sudah lama derita. Untuk membesarkan aku, ibu tempuh
segala kepayahan.
Kini setelah aku mulai
boleh berdiri sendiri, aku mahu meninggalkannya. Aku tahu itu tidak wajar. Aku
rasa berdosa sekali tiap kali air matanya berlinang mendengar permintaanku.
Tapi aku sukar mengerti betapa hatiku keras. Ah, memang selama ini aku anak
yang keras kepala. Segala yang ku ingini, pasti mahu ku peroleh. Ibu yang
kasihan, dalam berat terus berusaha memenuhi permintaan ku.
Aku terkenang waktu
aku mula mengenal Amirul. Lelaki itu memang ramai peminat. Lalu umpama rembulan
jatuh ke riba, aku terus bersetuju saat lelaki itu menawarkan aku menjadi teman
wanitanya. Waktu itu, dalam ruang pandanganku yang sempit, Amirul adalah lelaki
yang hebat. Kacak dan menarik. Aku bangga. Sekurang-kurangnya tiada sesiapa
yang memandang rendah pada diriku. Biarpun ada bisik-bisik yang kurang senang.
Aku tidak peduli.
Bagiku mereka cemburu.
Cemburu aku bergandingan dengan Amirul. Amirul selalu mengajakku menghabiskan
waktu hujung minggu di pusat membeli-belah. Kadang-kadang selepas sesi
persekolahan juga. Aku senang sekali memenuhi ajakannya itu. Amirul ada sesuatu
yang lebih selain ketampanannya. Setiap gadis yang berjalan beriring dengannya
pasti menerima tempias keistimewaan itu.
Ibu kurang senang bila
aku mulai tidak melekat di rumah. Ibu menegur. Tapi aku memberontak, membentak
ibu terlalu mengongkong. Aku ungkit kisah lalu ketika ibu tidak membenarkan aku
untuk mengikuti sebarang lawatan. Aku mengingatkan ibu betapa aku bukan lagi
anak kecil yang perlu dipimpin sepanjang waktu. Aku meminta sedikit kebebasan.
Ibu mengalah akhirnya.
Sedar betapa aku sudah meningkat remaja. Ingin mencuba dan merasa. Ibu berserah
dan merelakan tingkahku. Tapi ibu terus mendekatiku. Sesekali tidak
membiarkanku sebegitu saja.
Ternyata ibu wanita bijak, pendekatan ibu
tidak menekanku. Aku senang begitu. Namun itu semua sia-sia belaka. Amirul
bukan lelaki setia. Ah, lelaki kasanova seperti itu! Amirul bermain kayu tiga.
Aku marah sekali. Kami bertengkar besar. Lelaki itu tak pernah mahu mengalah
malah menghinaku.
Aku kesal mengenali Amirul. Kadang-kadang aku
terfikir, kesalkah aku nanti dengan keputusan yang bakal aku lakukan ini? Ah,
cinta itu terlalu kuat! Sukar ku pendamkan. Adakah sekuat saat aku bertengkar
dengan ibu dulu kerana Amirul? Aku keliru. Payah untuk menilai.
Ibu, ibu, mengapa
sering kita berantakan? Barangkali cinta antara kita. Sukar dimengerti cinta
yang melingkari sejak aku membenih di rahim ibu. Baik atau buruk, cinta sukar
mengerti.
Mungkin itulah, cinta
dikatakan buta. Buta untuk menilai lantas selamanya dalam kekeliruan. Ah, aku
mahu keluar!
*****
Barangkali memang aku
yang tak mengerti. Barangkali aku yang tak berlaku adil. Barangkali aku
bersikap prejudis. Barangkali aku yang mementingkan diri. Barangkali situasi
itu berbeza. Barangkali matlamat tidak serupa. Barangkali alasan tak sama. Tapi
cinta itu serupa. Kerana cinta itu sukar dimengerti aku tak daya melepaskan dia
pergi. Cinta antara kami.
Hingga aku lupa. Lalu
aku alpa. Betapa dalam urat nadi ku mengalir cinta itu. Dari rahimku dia lahir.
Pasti cinta itu mendarah daging. Walau cinta itu kian pudar hari demi hari tapi
aku tak mampu menipu betapa kini aku merindu. Kerinduan pada perasaan saat
cinta itu mekar di lubuk sukma.
Benar dia
mengingatkan. Sungguh dia menyedarkan. Lantas aku bermuhasabah. Berkira-kira
betapa selama ini aku dalam pelarian. Lalu dia entah tanpa sengaja
mengembalikan ku pada titik permulaan. Biarpun dia yang sebenarnya tercari-cari
noktah itu.
Barangkali sudah tiba
waktu itu. Barangkali aku perlu kembali. Medan darurat itu telah ku lewati.
Barangkali telah berjaya ku atasi. Dia sudah dewasa. Mungkin belum terlalu
dewasa. Tapi cukup matang untuk ku biar dia belayar mencari arah tujuan. Cuma
aku sesekali menjadi umpama ahli nujum memberi pandangan.
Barangkali aku patut
biar dia menjadi nakhoda dalam bahterakehidupannya sendiri. Ya, nakhoda memang
perlukan ahli nujum untuk merenung bintang di langit malam menentu arah laluan.
Aku juga boleh
mengenang cinta lalu. Barangkali aku bisa semai benih baru. Punya lebih banyak
waktu untuk memerhatikan cinta itu. Punya waktu menabur baja dan menyiramnya.
Penjagaan yang sempurna mungkin saja menyuburkannya, cinta itu akan tumbuh
segar, berbunga mekar dan berbuah ranum. Betapa indah. Sudah lama tidak ku
merasakan kemanisan seperti itu.
Barangkali dia cuma
gadis sunti, di bawah umur pula. Tapi dia adalah anak. Anak kepada aku, ibunya.
Dia adalah aku. Dia seperti aku. Dia sama sekali serupa aku.
Aku punya mimpi. Dia
menggantung impian. Aku tegar. Dia keras. Barangkali cita-cita tak selalu
tercapai. Biarlah dia mengejar. Jatuh sungkur bukan kekalahan. Tiap tangisan
yang dia sendukan pasti berbekas pengajaran.
Aku merenung masa
silam. Aku terluka. Aku kecewa. Bukan sekali air mataku tumpah. Tapi ia
menjadikan aku, aku hari ini. Seorang ibu tanpa bantuan sesiapa membesarkannya.
Barangkali ayah dan mama mendidik dengan begitu sempurna, hingga aku kuat
begini.
Aku tak akan mampu
melindunginya selamanya. Satu waktu aku akan tinggalkannya. Kalau aku tak mampu
melihat air matanya waktu ini, dia tak akan bisa meredakannya sendiri andai air
mata itu mengalir dan aku tiada di sisinya untuk menyeka air mata itu.
Sudah tiba waktu itu,
aku perlu percaya pada dia. Biar dia belajar menyapu sendiri air mata. Aku juga
perlu percaya pada diri aku, betapa dia cuma satu amanah. Tanggungjawab yang
perlu ku tunaikan. Sungguh antara kami ada cinta. Tapi cinta itu bukan halangan
untuknya meraih cinta-Nya. Bukan juga sekatan bagiku. Ya, aku juga perlu
belajar hidup tanpanya.
Seperti aku yang akan
meninggalkannya, mungkin saja dia dulu meninggalkanku. Aku bukan wanita lemah.
Memang dia kekuatanku. Memang dia kepercayaanku. Tapi aku yakin kekuatan dan
kepercayaan akan dapat kuraih semula kerana sebelum dia lahir aku telah miliki
kekuatan dan kepercayaan itu.
Ya, cinta yang memberi rasa kuat dan percaya.
Barangkali aku sudah mengerti. Bukan saja kerana cinta yang ingin diraihnya.
Tapi juga kerana cinta yang telah ku tinggalkan.
*****
Pantai Cahaya Bulan
berombak tenang. Dulu nama pantai itu Pantai Cinta Berahi. Entah mengapa
ditukar nama? Barangkali berahi itu tidak kena maknanya tapi cinta itu tampak
indah sekali saat ini.
Maria menggenggam
tangan Aishah. Mentari pagi masih lambat-lambat menunjukkan diri. Kaki langit
berwarna jingga. Langit kelabu semakin membiru. Suara ombak begitu
mengasyikkan.
Mereka menghayati.
Pertama kali menikmati. Suasana matahari terbit dari ufuk timur. Angin bertiup
nyaman. Bau masin Laut China Selatan dapat dihidu jelas. Maria merapatkan tubuh
memeluk bahu Aishah. Pandangan bertaut. Betapa bahagia. Kepala didaratkan di
bahu Maria. Dingin pagi hari sedikit hangat terasa. Percutiaan yang penuh cinta
di pantai cinta. Perasaan yang sukar digambarkan. Bahagia bersama tapi resah
menduga jiwa. Perpisahan bakal melanda.
Maria mengeselkan
pipinya yang dingin ke kepala Aishah yang diliputi selendang biru muda. Warna
kegemaran Aishah. Hatinya sayu sekali. Beberapa jam lagi dia akan menghantar
Aishah ke sekolah agama pilihan Aishah yang sejam perjalanan dari pantai cinta
itu.
Ingin rasa hatinya,
andai mampu, menghalang mentari pagi bersinar cahayanya. Biar hari tak
berganjak, masa tak bergerak. Biar selamanya Aishah dalam dakapan.
Tapi masa makhluk yang
taat. Tanpa jisim dan jasad terus hidup sepanjang zaman. Dia tak mampu menahan.
Dia tak kuasa menyekat. Keputusan telah tetap. Hidup perlu diteruskan.
“Ibu, saya akan meraih
cinta itu. Saya tak mampu untuk berjanji, tapi saya akan berusaha sedaya-upaya
saya. Ibu doakan saya ya,” Aishah menggenggam erat tangan Maria. Suaranya
kedengaran sayu sedikit tersekat-sekat.
“Ibu mengerti sayang,”
Maria membalas bicara. Nada yang perlahan tapi penuh perasaan. Langit sudah
cerah. Mentari bersinar terang. Angin semakin kering. Ombak terus menghempas.
Aishah merungkai pelukan Maria.
“Ibu, mari pergi
sarapan. Saya lapar la,” anak matanya memandang tepat mata sang ibu. Maria
membalas renungan, tersenyum pahit lantas mendakap erat tubuh langsing Aishah.
Aishah dapat merasakan sebak dalam diri Maria. Rasa serba salah bertaut
kembali. Dia kelu untuk menutur kata-kata. Resah untuk menenangkan gelora rasa
di hati Maria.
“Jangan risau sayang,
ibu mengerti cinta itu,” Maria melonggar pelukan. Air mata berkolam di tubir
mata.
“Ibu, saya...” Aishah
terhenti bicara.
“Ibu mengerti sayang,”
Maria menatap wajah anak daranya yang manis itu. Tangannya mengusap kepala
Aishah.
“Tapi ibu menangis...”
Aishah masih mahu terus berbicara.
“Ibu tak sangka anak
ibu dah besar, cantik pula. Tentu ramai yang minat dekat sekolah baru nanti,”
Maria terus lembut berkata-kata. Wajah Aishah memerah mendengarnya.
“Ibu ni, ada-ada
saja,” Aishah menahan malu.
“Sudahlah mari kita
pergi sarapan,” Maria menarik tangan Aishah. Aishah bingkas berdiri. Mereka
berjalan beriringan melintasi pantai yang putih pasirnya. Terasa betapa lembut
pasir itu, selembut cinta.
Ah, pantai itu sesuai
sekali dengan gelarannya! Cahaya dan cinta itu serupa.
*****
Aku mencari erti
Pada susunan aksara itu
Pencarianku buntu
Hampir sekali putus asa
Malam berganti siang
Detik berlalu waktu
Masa tidak menanti
Erti itu bukan satu
Kerna cinta ku mengaku
Sampai bila perlu menari
Pabila mentari hilang cahaya
Sampai waktu akan berlaku
Tarian sinar purnama
Kerana cinta ku mengerti
Ada cahaya yang menyeri
Gelita hati tidak mati
Kejora masih menghiasi
Biar mentari dan purnama bersembunyi
Tepukan bergema. Aku
menunduk tanda hormat. Segaris senyuman bahagia terukir di bibir umi dan nenek.
Aku ukir senyuman dari pentas serba indah itu. Petang yang harmonis. Aku
peserta terakhir. Para hadirin dijamu minum petang. Selepas itu barulah para
pemenang akan diumumkan.
Puisi itu ku nukil
sempena kisah cinta kami. Bukan kemenangan yang kuburu tapi kepuasan dalam
berkarya. Ah, barangkali ini cintaku! Aku puas dapat memperdengarkan suara
hati, mendeklamasi puisi cinta di hadapan khalayak yang turut mencintai seni
itu.
Aku harap ada yang
mengerti. Paling tidak, aku meluahkan pada dua insan itu betapa bererti cinta
mereka padaku. Aku melamun lama. Minuman kotak di tangan hanya sekadar
kugenggam. Dewan sekali lagi dipenuhi hadirin yang menanti keputusan diumumkan.
“Johan Pertandingan
Puisi Antara Sekolah-sekolah Agama Zon Selatan jatuh kepada Suraya Habib binti
Salehuddin,” suara juruacara majlis bergema. Jelas sekali di pendengaran. Aku
tergamam di tempat duduk sebelum peserta di sebelah kiri menyiku, menyedarkanku
untuk tampil ke atas pentas.
“Dipersilakan Adik
Suraya Habib untuk sekali lagi memperdengarkan bacaan puisinya,” suara
juruacara menampar gegendang telinga. Seumpama refleks aku atur langkah ke
pembesar suara di tengah pentas. Mataku mencari-cari kelibat umi dan nenek.
Mereka memandangku penuh perhatian. Aku mengukir senyuman dari pentas itu khas
buat mereka. Percayalah, aku bahagia dengan cinta yang ku raih.
“Ini dedikasi untuk
bonda saya Aishah binti Abu Bakar dan nenda saya Maria binti Imran. Sungguh ku
mengerti cinta ini,”