Home Cerpen Kanak-kanak RAISYA KE DUSUN NENEK
RAISYA KE DUSUN NENEK
Zakuan Faizz
9/11/2015 18:37:19
5,282
Kategori: Cerpen
Genre: Kanak-kanak

RAISYA seorang anak tunggal yang sangat baik hati. Dia tinggal bersama neneknya di sebuah kampung sewaktu cuti sekolah. Nenek Raisya tinggal di sebuah Kampung Dahlan. Kampung Dahlan terkenal dengan buah-buahan tempatan. Ramai orang akan datang ke kampung Dahlan untuk membeli buah-buahan. Raisya juga turut menyuruh neneknya mengambil buah-buahan yang ada di dusun.

Apabila neneknya hendak pergi ke dusun, Raisya juga akan ikut bersama neneknya untuk mengutip buah. Dusun nenek dipenuhi dengan pelbagai jenis buah. Di sana, terdapat buah durian, manggis, rambutan dan sebagainya. Raisya juga beruntung kerana dia tidak perlu membeli buah di kedai buah-buahan.

“Banyaknya buah rambutan itu, nenek,” kata Raisya.

Buah rambutan adalah buah kesukaan Raisya. Neneknya akan memetik buah rambutan dengan menggunakan galah. Galah itu diperbuat daripada buluh. Hujung galah akan diletakkan pisau untuk memudahkan buah rambutan dipetik.

Kadang-kadang buah rambutan itu dipenuhi semut hitam. Raisya sangat takut apabila semut itu mula memanjat tangan Raisya. Raisya berasa sangat geli dengan semut hitam itu.

“Jangan takut, biar nenek yang buangkan semut itu,” kata nenek Raisya.

Nenek tersenyum melihat wajah Raisya yang sudah kemerah-merahan itu. Nenek sangat sayang kepada Raisya. Oleh sebab itu, nenek Raisya tidak mahu melihat Raisya terasa sakit di gigit semut hitam.

“Terima kasih, nenek,” balas Raisya sambil memeluk neneknya.

“Sama-sama.”

Nenek Raisya tersenyum selepas menjawab ucapan terima kasih oleh Raisya. Selepas itu, nenek Raisya pula yang akan mengupas kulit rambutan untuk Raisya. Raisya merasakan buah rambutan itu sangat manis. Dia sangat suka apabila dapat makan buah rambutan yang manis itu.

“Raisya, hati-hati apabila makan buah rambutan kerana buah rambutan itu ada biji yang besar,” pesan nenek Raisya.

Raisya menganggukkan kepalanya. Dia faham apa yang diperkatakan oleh neneknya itu. Raisya akan membuang biji rambutan terlebih dahulu sebelum menyuap buah rambutan itu ke dalam mulutnya.

Selepas banyak buah Rambutan yang dipetik oleh nenek Raisya, neneknya akan membawa pulang buah rambutan itu ke rumah. Buah rambutan itu akan disimpan ke dalam raga. Raga itu diperbuat daripada buluh. Raga itu sangat berat. Raisya berasa kasihan terhadap neneknya yang mengangkat buah rambutan yang banyak itu.

Selepas itu, Raisya membantu neneknya untuk membawa separuh daripada buah rambutan yang ada di dalam raga. Kini, nenek Raisya dapat membawa raga itu dengan mudah sekali. Raisya sungguh gembira apabila melihat neneknya mengangkat raga itu yang sudah ringan.

“Terima kasih, Raisya,” ucap nenek kepada Raisya.

“Sama-sama nenek.”

Kemudian, Raisya dan neneknya terus pulang ke rumah. Ketika itu, hari sudah petang. Dia tidak sempat bermain dengan kawan-kawannya di padang kerana membantu neneknya di dusun. Walaupun dia tidak bermain dengan kawan-kawannya, dia masih dapat belajar sesuatu perkara yang berguna dengan neneknya.

Nenek telah mengajar Raisya untuk suka membantu orang di mana dia berada. Selepas itu, neneknya pesan jangan lupa mengucapkan terima kasih. Raisya berasa sangat kagum kerana mendapat satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan. Duduk di kampung bersama nenek lebih seronok berbanding duduk di bandar.

                                 TAMAT.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Zakuan Faizz