Home Cerpen Kanak-kanak SESAL
SESAL
Zakuan Faizz
10/11/2015 18:33:17
5,913
Kategori: Cerpen
Genre: Kanak-kanak

KEDENGARAN riuh-rendah suara kanak-kanak yang bermain di halaman rumah Kimi. Mereka akan menghabiskan masa bermain di situ sehingga lewat petang. Kimi hanya duduk sahaja di anak tangga melihat gelagat rakan-rakannya. Dalam hatinya ingin benar dia ikut serta kawan-kawannya. Namun, sakit yang dihadapi tidak mengizinkannya untuk bergelak tawa bersama rakan-rakannya.

“Kimi! marilah turun bermain bersama kami, janganlah duduk sahaja, tak bosan ke?” pelawa Harun kawan sekelas Kimi di darjah 3 Mawar.

“Tak apalah Harun. Aku tak larat nak bergerak, kepala aku pening,” tolak Kimi dengan nada sedih.

Kalau sakit itu tidak ada di dalam badannya sudah tentu Kimi akan ikut serta bermain. Dia juga akan menjadi kanak-kanak yang paling riang. Dia juga akan menjadi penawar perasaan bosan kawan-kawannya. Namun, itu dulu yang telah sekian lama berlalu. Sekarang, Kimi menanggung banyak penyakit. Salah satunya sakit buah pinggang. Rambut Kimi juga kelihatan nipis. Perasaan malu di dalam hati Kimi sudah mula membuak-buak. Dia sanggup ponteng kelas untuk tidak diejek oleh kawan-kawannya.

“Kimi, jadi orang tua, tak ada rambut!”

Kimi sering mengalirkan air matanya jika dia diejek seperti itu. Hatinya sekarang mudah sebak. Baginya, kehidupan sekarang membuatkannya berasa sangat menderita. Ibunya sahaja yang ada di sampingnya di dalam memberi nasihat untuk lebih yakin meneruskan kehidupan.

“Mulut orang kita tak boleh tutup, Kimi. Oleh itu, kita perlu berdoa kepada tuhan agar kita dihindari perkara buruk di kemudian hari,” kata ibunya yang sangat membangun.

“Aku bodoh! Kalau aku dengar kata-kata ibu aku dulu, ini semua mesti tak akan berlaku. Sekarang aku menyesal!” teriak Kimi di dalam hatinya yang penuh dengan kekesalan.

Kimi sering teringat sejarah lalu. Dalam fikirannya bukan lagi tentang pelajarannya. Bukan lagi soal sekolah dan kerja sekolahnya, tetapi punca sakitnya. Setiap kali melihat bungkusan mee segera, hatinya mula terasa benci. Seolah-olah, bungkusan itu ialah syaitan yang pernah menghasutnya dahulu.

“Kalau aku tak amalkan makan mee segara, mesti aku masih sihat sampai sekarang. Aku tak akan ada sakit macam ni,” kata Kimi dalam hatinya yang sangat pilu.

“Betul kata Ibu, mee segera memang tak elok untuk kesihatan, tapi aku ingkar kata-kata ibu untuk terus makan makanan macam tu,” sambung Kimi lagi.

“Kimi, beli mee segera lagi?” tanya ibunya.

Kimi hanya menganggukkan kepalanya menandakan benar. Dia akan membawa tiga bungkus mee segera selepas sahaja pulang dari sekolah. Duit yang diberikan oleh ibunya akan dia simpan sehingga tamat waktu persekolahan. Dia sanggup ikat perut demi makanan kegemarannya. Kimi tak akan makan makanan selain mee segera. Rutin hidupnya akan di penuhi dengan makanan segera itu. Perutnya akan di alas setiap hari dengan mee segera itu. Satu bungkus mee segera akan dia makan untuk sarapan. Satu bungkus lagi dia akan makan untuk tengah hari. Selebihnya akan dia simpan untuk makan malam.

Ibunya telah lali dengan rutin hidup Kimi. Ibunya hanya memandang sahaja tingkah lakunya. Kalau hendak di tegur sudah seperti mencurah air ke daun keladi. Kimi tidak pernah mendengar nasihat ibunya.

Pernah juga ibunya cuba menyorokkan mee segera yang dibeli oleh Kimi. Namun, tidak berjaya. Kimi akan memberontak untuk mendapatkan mee segeranya kembali. Dia akan meraung seperti anak kecil yang inginkan susu. Ibunya sangat serba salah. Kalau tidak di halang, kemudian hari anaknya pasti mendapat sakit. Kalau tidak dihalang, anaknya mahu makan apa? Tambahan lagi Kimi yang tidak suka makan nasi. Banyak persoalan yang bermain di dalam fikiran ibunya. Ibunya sangat buntu.

“Ibu, kepala Kimi pening,” adu Kimi kepada ibunya.

Ibunya sudah mula berasa tidak sedap hati terhadap Kimi. Ibunya sering menyalahkan mee segera tersebut dengan rintihan Kimi yang sering sakit kepala. Kadang-kadang ibunya tidak boleh duduk diam memikirkan anaknya. Kalau di bawa berjumpa dengan doktor, sudah tentu banyak spekulasi yang doktor lemparkan. Kalau tidak dibawa berjumpa doktor, Ibunya langsung tidak tahu punca penyakit anaknya. Ada kalanya ibu Kimi akan mengalirkan air mata mengenangkan anaknya itu.

“Aku ke yang salah menjaga anak?” soal hati ibunya yang penuh dengan kesulitan hidup.

Ibunya sering menyalahkan dirinya sendiri. Kimi hanya tahu mengadu sakit kepada ibunya. Dia langsung tidak tahu akan perit yang ibunya hadapi setiap hari. Ibunya faham dengan usianya yang masih setahun jagung. Oleh sebab itu, ibunya tidak mahu marah dengan perangainya itu.

“Ibu, Kimi ada beli mee segera untuk Kimi makan setiap hari. Kimi sengaja beli banyak untuk tidak sering keluar pergi ke kedai.” kata Kimi sambil memegang sebungkus besar mee segera dengan perasaan yang tidak serik-serik.

Ibunya terkejut dengan sikap Kimi yang tidak berubah. Ibunya merampas bungkusan tersebut daripada tangan Kimi. Kimi cuba menepis, tetapi tidak berjaya. Ibunya dapat mencapai bungkusan itu. Lalu, diangkatnya dengan tinggi bungkusan itu. Kimi cuba melompat-lompat untuk mendapatkan bungkusan mee segera tersebut. Namun, tidak berjaya. Ibunya mula marah terhadap sikapnya itu. Dia menangis teresak-esak. Dari sudut hujung penjuru rumah, ibunya mencapai sebatang rotan buluh yang tergantung pada dinding rumah. Kali ini, ibunya tidak boleh beralah lagi.

Ibu Kimi mula menghayunkan rotan tersebut ke kaki Kimi. Kimi menjerit kesakitan setelah mengena kakinya. Secara tiba-tiba, Kimi jatuh terjelepok. Lalu, dia terbaring ke atas lantai. Sejurus itu, kepalanya terhantuk kuat pada permukaan lantai yang keras. Ibunya mula panik melihat Kimi yang tiba-tiba pengsan. Ibunya menangis ketakutan.

Tak lama kemudian, bunyi ambulans kuat kedengaran ke kawasan rumah kampungnya. Kimi di angkat dan di sorong oleh pembantu perubatan dan juga jururawat menggunakan katil pesakit. Ibunya tidak lekang dari katil tersebut. Setelah itu, Kimi terus dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Kimi, bangun jangan buat ibu serba salah,” teriak ibunya apabila di dalam ambulans.

“Kimi!” jerit ibunya dari ruang tamu rumah.

Kimi terkejut dengan sapaan itu. Air matanya sudah mengalir ke pipi. Lamunan itu tadi hilang daripada ingatannya. Cerita-cerita lama yang diceritakan oleh ibunya juga hilang daripada bayangannya. Dia mula menggerakkan tubuhnya. Dia cuba menoleh ke ruang tamu untuk mencari suara ibunya itu.

“Kimi, masuklah dah lewat petang. Hari sudah hampir senja. Tak elok duduk sahaja ditangga itu ketika waktu begini.” kata ibunya lagi.

Kimi bergerak secara perlahan sambil mengesat air matanya. Kawan-kawannya yang bermain di halaman rumahnya sudah mula beredar dari situ. Setelah itu, dia menutup pintu rumahnya.

Ibunya hanya memerhati sahaja gerak-geri Kimi. Dalam fikirannya sudah tahu apa yang dibayangkan oleh Kimi. Dari air mata yang mengalir di pipi Kimi juga sudah menjadi tanda kepada semua jawapan di dalam fikiran ibunya.

Kimi mula berjalan menuju ke biliknya. Setelah itu, dia menghampiri meja belajarnya. Di suatu sudut tersusun buku-buku tulis sekolah. Dia mencapai sebuah buku catatannya yang tersimpan di dalam susunan buku tulis di atas meja itu. Dia mengambil sebatang pensel dan mula menulis. Setiap hari dia akan menulis dua patah perkataan yang telah lama terbuku di dalam hatinya.

“AKU MENYESAL”

Suatu perkataan yang membuatkannya berasa terkesan. Dia berjanji tidak akan ingkar kata-kata ibunya lagi. Titis demi titis air matanya jatuh ke buku. Secara tiba-tiba belakang Kimi ditepuk oleh ibunya. Kimi terkejut. Dia merenung wajah ibunya. Lalu, memeluk ibunya dengan erat.

“Kimi sayang ibu. Kimi janji akan taat kepada ibu. Kimi akan dengar nasihat ibu,” kata Kimi sambil mencium pipi ibunya.

                                                  TAMAT.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Zakuan Faizz