“MAK, di mana Mak letak berus sabut untuk mencuci kasut sekolah
saya?” kata Raiz sambil duduk menyangkung di dalam bilik air.
Raiz memandang liar
ke kawasan sekitar bilik air. Dia mencari berus tersebut, namun tidak
jumpa.
“Raiz, berus itu Mak sudah buang. Berus itu sudah
kelihatan uzur. Bentuknya pun tidak lagi seperti asal, jadi Mak telah buangkannya
ke dalam tong sampah,” sayup-sayup kedengaran suara Maknya datang dari ruang
tamu rumah yang sedang sibuk menjahit pakaian.
“Bagaimana
aku nak cuci kasut aku yang kotor ni?” ujar Raiz dalam hatinya yang sedikit
bimbang.
Raiz sangat pembersih orangnya. Dia tidak suka melihat
pakaiannya kotor. Baju sekolah yang dia gunakan setiap hari juga akan dia cuci
selepas pulang dari sekolah. Dia tidak mahu baju sekolahnya berbau masam dan
terkena peluh. Dia juga akan seterika baju seragam sekolahnya setiap hari. Dia
akan seterika bajunya sehingga hilang kesan kedutan. Begitu juga dengan kasut
sekolahnya. Dia tidak pernah pergi ke sekolah dengan kasut yang kotor. Oleh itu,
dia sering dipuji oleh kawan-kawan sekelasnya.
Raiz juga sering digelar pelajar yang kemas pada setiap
hari isnin. Raiz menjadi malu dengan pujian daripada kawan-kawannya itu.
“Lagi dua hari nak sekolah, kasut aku masih hitam tidak
dicuci. Kalau aku pergi ke sekolah dengan berpakain kotor, pasti aku akan
diejek oleh kawan-kawan,” bimbang Raiz
ketika di dalam bilik air.
Raiz seperti
cacing kepanasan. Dia berjalan ke kiri dan ke kanan kerana memikirkan kasutnya
yang kotor itu.
“Mak, boleh tak kalau Mak belikan berus untuk mencuci
kasut saya?” kata Raiz yang buntu pada ketika itu.
“Raiz, Mak belum dapat duit jahit daripada kawan-kawan
Mak lagi. Jadi, Mak tak dapat nak beli berus yang kamu minta tu,” kata Maknya
serba salah di ruang tamu.
Raiz hanya menundukkan kepalanya selepas sahaja
mendengar kata-kata Maknya. Dia hanya terduduk diam sambil menyangkung.
Tangannya menguis-nguis tali kasut yang telah basah di atas lantai. Dia seperti
patah semangat untuk ke sekolah pada hari isnin nanti. Air matanya mula menitis
mengena pehanya. Dia menangis terkenangkan keluarganya yang hidup susah
selepas kematian ayahnya.
“Kalaulah ayah masih hidup, mesti ayah belikan berus
untuk aku, dapat aku cuci kasut ini dengan bersih,” sebak hati Raiz.
Usianya baru menjangkau 10 tahun, Raiz sudah faham benar
dengan keadaan Maknya. Raiz tahu bebanan yang Maknya tanggung selama tiga tahun
selepas ketiadaan ayahnya. Oleh sebab itu, Raiz tidak memaksa Maknya untuk
membeli barang yang dia minta itu.
Pada ketika itu, Raiz cuma menggosak kasutnya dengan
menggunakan tangan. Sedikit serbuk perncuci ditaburkan ke atas kasut itu.
Kelihatan banyak buih yang keluar daripada permukaan kasut. Sedikit kotoran
sudah tertanggal daripada kasutnya. Walaupun tidak sebersih seperti selalu dia
cuci, tetapi dia tetap berpuas hati.
Raiz berjalan keluar menuju ke ampaian. Dia menyangkut
tali kasut di ampaian belakang rumahnya. Manakala, kasutnya diletakkan di atas
batang pokok yang telah ditebang. Permukaan pokok tersebut tidak rata. Di
bahagian batangnya pula terdapat kesan bakar berwarna hitam. Tanpa berfikir
panjang, Raiz membiarkan sahaja kasutnya kering di atas tunggul pokok itu.
Setelah itu, dia berjalan masuk ke dalam rumah. Dia
terus berjalan menuju ke biliknya. Sewaktu dia melangkah pergi, Maknya memanggil
Raiz.
“Raiz, Mak minta maaf kalau Mak tak dapat belikan berus
itu. Nanti kamu cuba cuci dengan menggunakan sabut kelapa tu ya. Mana tahu
kotornya boleh ditanggalkan,” Maknya memberi cadangan.
“Tak apalah Mak, Raiz sudah cuci kasut itu. Alhamdulillah
ia tetap bersih walaupun menggunakan tangan.” kata Raiz yang baru sahaja
menjejakkan kakinya di hadapan pintu biliknya.
Setelah itu Raiz terus masuk ke dalam biliknya.
Raiz kasihan dengan kata-kata Maknya itu. Dia juga
terfikir tentang sabut kelapa yang diperkatakan oleh Mak. Raiz berasa lucu
apabila mengulang kata-kata Maknya sebentar tadi. Baginya, belum cuba, belum
tahu.
Setelah itu, dia terus mencapai beg sekolah yang berada
di sudut hujung bilik. Dia mengeluarkan buku dari dalam beg. Niatnya untuk
menyiapkan kerja sekolah sewaktu masa lapang. Raiz tidak suka membuang masa.
Sifat Raiz itu sering dipuji oleh gurunya. Kawan-kawan sekolahnya juga suka
berkawan dengan Raiz. Dia mahu mengikut sikap Raiz yang tidak suka menangguhkan
kerja sekolah.
Setiap petang, Raiz tidak keluar bermain bersama rakan-rakannya.
Dia hanya duduk di dalam bilik sambil membaca buku. Semua masa yang terluang
dia habiskan dengan membaca buku selepas menyiapkan kerja sekolah. Baginya,
masa itu emas. Raiz memegang pepatah itu sebagai panduan dalam hidupnya.
Oleh sebab itu, dia sering mendapat nombor satu di dalam
kelas Empat Harmoni. Setiap kali cikgunya memberitahu keputusan kedudukan
kelas, kawan-kawanya sudah tahu Raiz di tempat pertama. Raiz bangga dengan
keputusan yang dicapai selama ini. Namun, dia tidak riak dihadapan
kawan-kawannya. Malah, dia suka mengajar kawan-kawanya dengan ilmu yang dia ada.
Kawan-kawannya sangat sayang akan Raiz.
Setelah waktu petang, Raiz tidak ingat tentang kasutnya
yang dijemur di luar rumah itu. Dia sangat tekun membaca. Apabila terdengar
bunyi ayam berkokok, barulah dia sedar. Dia berjalan menuju ke dapur, lalu membuka
pintu belakang rumahnya. Raiz memerhati ke kawasan sekeliling rumah. Selepas
itu, matanya tertumpu pada kasutnya itu. Dia terkejut. Perasaannya bertukar
menjadi marah. Dia melihat kasutnya terjatuh dari tunggul pokok itu.
“Siapa yang jatuhkan kasut aku?” bentak hatinya.
“Mesti ayam yang tadi bermain di sini, lalu kasut aku
terjatuh ke bawah mengena arang hitam pada tunggul pokok ini!” geram Raiz
sambil mehentakkan kakinya ke atas tanah.
Air matanya mula berjurai ke pipi.
“Macam mana aku nak hilangkan warna hitam ni?” kata Raiz
sambil melihat kasutnya.
Ketika itu, dia sangat buntu. Dia memberitahu Maknya
tentang perkara itu.
“Mak! macam mana Raiz nak cuci kasut ni?” teriak Raiz
dari belakang rumahnya.
“Kasut Raiz, kotor terkena arang, warna hitam arang itu
melekat pada kasut Raiz,” sambung Raiz sambil menangis.
Maknya datang ke belakang rumah. Maknya melihat Raiz
dengan perasaan yang sungguh sayu. Maknya cuba memujuk Raiz. Dia mengambil
kasut Raiz. Lalu, dibawa masuk ke dalam bilik air. Maknya menyuruh Raiz untuk
mengambil sabut kelapa yang berada di bawah pokok jambu di belakang rumahnya.
Raiz dengan cepat bergegas pergi mendapatkan sabut kelapa itu. Dia cuba mengetuk
sabut kelapa itu untuk membuang habuknya. Setelah itu, Raiz menghulurkan sabut
kelapa itu kepada Maknya.
Dengan bersusah payah Maknya menyental warna hitam yang
terlekat pada kasut Raiz. Dia menaburkan sedikit serbuk pencuci di atas kasut. Kelihatan,
warna hitam tadi sudah luntur dari kasut itu. Maknya membilas kasut itu dengan
air yang banyak. Dia menunjukkan kasut yang bersih itu kepada Raiz. Kini, Raiz
mula tersenyum.
Dalam fikirannya, Maknya adalah benar. Sabut kelapa itu
sangat berguna untuk menggosok warna hitam pada kasut Raiz.
“Terima kasih Mak,” ucap Raiz sambil tersenyum gembira.
“Sama-sama sayang. Sudah jangan menangis lagi. Kamu
jemur semula kasut ini pada esok hari. Nasib baik esok masih cuti,” kata Maknya
dengan lembut sekali.
TAMAT.