Home Cerpen Kanak-kanak INGKAR
INGKAR
Zakuan Faizz
15/11/2015 19:38:41
6,041
Kategori: Cerpen
Genre: Kanak-kanak

TAK nak, adik nak pegang duit ni,” Farhan terus merajuk dengan kehendaknya.

“Bagilah ibu, biar ibu simpankan duit ni. Kalau kamu pegang sahaja memang ia akan hilang,” kata ibunya yang sedikit risau.

Farhan tetap berkeras dengan kehendaknya. Dia tetap mahu memegang duit yang bernilai seratus ringgit di dalam beg duit kecilnya. Banyak juga duit yang Farhan dapat sewaktu Pak Cik dan Mak Ciknya datang ke rumah. Mereka memberi duit kepada Farhan sebagai tanda bersedekah. Lagipun, Pak Cik dan Mak Ciknya orang yang sangat kaya. Kereta yang dimiliki lebih daripada satu. Rumah mereka juga lebih daripada sebuah.

“Adik nak pegang sendiri duit ni. Lagipun, adik tak pernah pegang duit sebanyak ini,” kata Farhan sambil menangis.

Ibunya terpaksa mengalah dengan sikap Farhan seperti itu. Kalau ibunya mengambil duit daripada tangan Farhan, pasti Farhan akan menangis dengan kuat. Kalau tidak Farhan akan berlari ke luar rumah kerana merajuk dengan ibunya. Ibunya terpaksa akur dengan sikap Farhan yang masih setahun jagung.

“Ibu, nanti adik nak pergi main dengan kawan di padang. Adik nak bermain bola sepak, boleh ibu?” tanya Farhan sambil mengesat air matanya.

“Tapi… .”

Ibunya tidak dapat menghabiskan kata-katanya. Kalau diberi nasihat kepada Farhan bagai air dicurah ke daun keladi. Dia pasti akan ingkar dengan kata-kata ibunya.

“Duit ini adik akan simpan baik-baik. Ibu jangan risau.”

Setelah itu, dia terus keluar bermain. Kakinya mengatur langkah laju. Ibunya hanya memerhati gerak-geri Farhan menuju ke padang dari perkarangan rumah.

Tiba sahaja di padang bola sepak, kelihatan ramai budak-budak kecil yang sedang bermain di situ. Terdapat beberapa orang kawannya yang lain sudah bersiap sedia untuk bermain bola sepak.

Dia serba salah untuk meletakkan beg duit di kawasan sekitar padang. Tiada satu tempat yang selamat untuk meletakkan beg duitnya itu. Tanpa berlengah dia terpaksa membuat keputusan terburu-buru dengan meletakkan beg duit di atas rumput di bawah pokok yang rendang. Kemudian, dia terus berlari ke tengah padang. Farhan menganggap tempat itu sudah cukup selamat untuk meletakkan beg duitnya. Dia pasti tiada siapa yang akan menemukan beg duitnya.

“Cepatlah sepak bola tu, aku dah tak sabar ni,” jerit Farhan dengan nada yang sangat kuat.

“Sekejaplah, kami baru nak mula,” kata salah seorang kawan Farhan.

Apabila bola disepak oleh kawannya, maka bermulalah permainan pada petang itu. Sungguh asyik sekali melihat Farhan yang sedang berseronok bersama kawan-kawannya. Farhan memang mempunyai minat dalam sukan bola sepak. Oleh itu, setiap petang dia tidak akan lepaskan peluang untuk ke padang. Kakinya memang hebat menendang bola hingga masuk ke dalam jaring gol. Ramai yang akan bersorak dengan gembira melihat kehebatan Farhan. Dia juga berasa sangat bangga kerana dapat membuat satu jaringan untuk pasukannya.

Sekali lagi, dia cuba mencari peluang untuk menyepak bola hingga masuk ke dalam jaring gol. Kawan-kawannya meletakkan harapan tinggi pada Farhan. Dia juga terpaksa menjadi tulang belakang pasukannya.

“Gol!”

Akhirnya, bola yang disepak masuk ke dalam jaring gol. Ramai bersorak dengan jaringan tersebut. Tidak menyangka Farhan dapat melakukan hantaran yang sangat hebat ketika itu. Ramai yang memuji Farhan. Kawan-kawannya mengangkat tubuh Farhan sebagai tanda terima kasih kepadanya. Dia tersenyum riang.

Pada masa yang sama, terdapat sekumpulan budak-budak nakal datang berhampiran padang. Mereka memerhatikan sahaja perlawanan tersebut. Farhan sempat memandang ke arah mereka semua. Dia teringat tentang beg duitnya. Beg duitnya tersimpan betul-betul di tempat budak-budak nakal berdiri dan berkumpul.

Ada kalanya dia berasa sungguh risau. Namun, tanggapan yang positif dapat menguasai dirinya ketika itu.

“Budak itu tak akan nampak beg duit aku,” kata Farhan sendirian.

Dia mengangguk dengan kata-kata sendiri. Dia berharap agar beg duitnya selamat di sana. Dengan itu, dia meneruskan sahaja permainan bola sepak tersebut tanpa menghiraukan budak-budak nakal itu lagi. Perasaan yang sangat seronok jelas kelihatan di wajah Farhan serta kawan-kawannya.

Mereka bermain sehingga lewat petang. Farhan sempat melihat jam di tangannya.

“Dah pukul 6:30 petang?” Farhan terkejut kerana sudah terlalu lewat.

Budak-budak nakal yang turut sama melihat perlawanan itu sudah pulang lebih awal daripada mereka semua. Farhan menyangka mereka semua pasti cemburu kerana tidak dapat bermain bola sepak pada petang itu. Oleh sebab itu, mereka semua terpaksa pulang awal dengan perasaan yang sungguh hampa. Farhan hanya tersenyum apabila mengenangkan budak-budak itu tidak dapat bermain di padang. Lagipun, padang itu telah mereka gunakan hampir setiap hari. Jadi, peluang yang ada perlu diberikan kepada Farhan dan juga kawan-kawannya.

Tanpa berlengah, dia terus meghampiri tepi padang. Matanya mencari beg duit yang diletakkan di bawah pokok rendang. Namun, Farhan tidak menjumpainya. Dalam fikirannya, ia pasti dicuri. Mungkin juga diambil oleh budak-budak nakal itu. Dia teringat semula kedatangan budak-budak nakal berhampiran beg duit yang dia tempatkan.

Dia tidak syak lagi. Beg duit yang diletakkan di bawah pokok itu diambil oleh budak-budak nakal. Dia sangka beg duitnya telah disorok lebih dalam di bawah pokok rendang tersebut. Oleh itu, pasti ramai yang tidak akan menemukannya. Dia terpaksa meletakkan beg duit tersebut di bawah pokok buat sementara kerana dia hendak pergi bermain bola sepak. Dia lebih takut sewaktu bemain, beg duitnya tercicir. Ketika itu, pasti lagi sukar untuk dicari.

Farhan sudah tidak tahan. Air matanya terpaksa dilepaskan daripada kelopak matanya.

“Kau kenapa?” soal salah seorang daripada kawannya.

“Beg duit aku warna biru, hilang. Nanti mesti ibu aku marah,” kata Farhan sambil menangis.

“Tak apa, aku dan yang lain akan cuba cari beg duit kau di sekitar kawasan ini,” kata budak itu dengan bersungguh-sungguh.

Mereka semua terus mencari beg duit tersebut. Ketika itu, jam sudah menunjukkan hampir pukul 7 malam. Namun, beg duit Farhan masih lagi belum dijumpai oleh mereka. Farhan berasa sangat risau. Dia terpaksa berjalan pulang tanpa membawa beg duit ditangannya seperti mana dia mula-mula datang di padang itu.

Dia berasa sangat bersalah. Kalaulah dia mendengar arahan daripada ibunya, pasti perkara seperti itu tidak akan berlaku. Farhan juga akan dapat menggunakan duit itu untuk keperluannya. Ataupun dia akan disuruh oleh ibu dan ayahnya untuk menyimpan duit bernilai seratus ringgit di dalam bank. Namun, hampa sekali kerana duit itu hilang tanpa dia duga.

Dalam fikirannya, hanya leteran daripada mulut ibunya yang akan dia dengar. Dia terpaksa berdepan dengan ibunya sehingga ibunya berasa puas untuk memarahinya.

“Sabarlah Farhan. Itu bukan rezeki kau,” kata kawannya dengan nada lembut.

Kemudian, mereka semua berpecah mengikut haluan ke rumah masing-masing. Farhan masih lagi bersedih. Dia terpaksa menguatkan semangatnya untuk berjumpa dengan ibunya. Dia pasti akan dirotan oleh ibunya menggunakan rotan buluh. Ketika itu, dia menanamkan satu azam di dalam dirinya untuk tidak akan pernah ingkar dengan kata-kata ibunya lagi. Perkara itu benar-benar membuatkannya menyesal.

                                                       TAMAT.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Zakuan Faizz