Home Cerpen Islamik Peringatan Hati
Peringatan Hati
14/7/2016 09:47:39
2,215
Kategori: Cerpen
Genre: Islamik

Kaab!! Kaab!! Kaab!!


Tidak perlu kecoh. Diam!!! Engkau siapa memandai-mandai menilai aku?


Senyum... aku adalah hatimu sendiri. Bisa saja aku tahu isi perutmu. Entah apa yang engkau sumbat di dalam jasadmu sehingga paru-paru, usus dan jantungmu turut sama terkena impak kejelikan suapanmu. Engkau tidak ubah seperti…


Seperti siapa? Munafikin yang tidak teguh dengan pendirian sehingga memporak-peranda orang di sekelilingnya? Tidak!!! Aku bukan begitu. Aku masih punya harga diri yang tinggi. Aku bukan sahabat Abdullah bin Ubay. Aku juga bukan teman si Walid Al-Mughirah. Aku punya jati diri yang sentiasa menjadi kebanggaanku.


Ha ha ha… baru dijentik, engkau sudah menggelabah. Bagaimana hendak berjuang andai engkau cepat benar mahu melatah. Ya, engkau hanya layak memikul senapang tetapi tidak cerdik menggunakannya. Lebih baik engkau simpan sahaja di kamarmu. Mana tahu bisa melindungi dirimu yang bacul, pengecut. Pandai membaling batu tetapi tanganmu kau sorok di belakang pinggulmu. Ha ha ha… engkau kata engkau marahkan Israel laknatullah tetapi engkau sebenarnya adalah kekasih musuh Allah itu!


Aku tidak ngerti. Apa sebenarnya maksudmu wahai hati? Engkau begitu dekat denganku tetapi engkau tidak cukup mengenaliku. Engkau jijik terhadap jasad yang mengendongmu? Benar sekali, ‘Melayu mudah lupa’. Lupa diri, lupa daratan… sudah lupa asal usul kejadian sendiri. Hah! Engkau begitu keji. Tidak malu pada diri sendiri.


Ha ha ha… hai manusia, aku kira engkau sang murabbi yang menjadi walid buat si mutarabbi tetapi tidak! Engkau juga bukan syeikh, ustaz mahupun qoid yang membawa manusia di sekelilingmu kepada Ar-Rahman. Aku silap rupanya. Hati diam… benar, tidak pelik andai hati sering kali membuat silap. Hati bukan Tuhan yang sentiasa benar!


Jelaskan maksudmu yang sebenar wahai hati? Aku tidak punya masa melayan karenahmu yang entah apa-apa. Gemar benar engkau membaziri masaku. Siapa yang membayarmu untuk ini? Adakah engkau terlalu lapang sehingga punya ruang mengganggu-gugat ketenteramanku? Andai engkau bukan pada jasadku, sudah pasti kan kusumbat dan kucampak dirimu yang tidak tahu diam ke dalam tahanan yang bisa membuatkan engkau tidak mampu untuk berbicara. Ya, sampai bila-bila engkau tidak akan berupaya bersuara lagi.


Aku belum habis berkata-kata wahai insan. Aku kira, engkaulah pendokong tarbiyah yang suci. Aku sangka, engkaulah sosok yang sanggup mengorbankan segalanya demi cinta nan satu. Aku … aku… aku… ah! Aku silap lagi rupanya.


Hu hu hu… aku salah sebenarnya. Engkau tidak mampu membawa insan lain kepada Tuhan. Aku sangka engkau berlari menuju puncak. Semakin lama, semakin pantas pecutanmu. Namun sayang engkau bukan menghala ke atas sana. Engkau memesongkan dirimu entah ke mana. Argh! Engkau sendiri sudah tersungkur mana mungkin engkau masih tidak malu berkata ‘Akulah pejuang agama Tuhan’.


Manusia… kadang-kadang hidupnya jahil, hidupnya dalam kerugian kerna tidak bijak membuat keputusan. Manusia itu terus sahaja menjadi makhluk bodoh di atas muka bumi. Hm… mereka bukan sahaja tidak cerdik bahkan hina, lemah dan berpecah-belah. Kalau mereka kuat, mana mungkin ditindas musuh-musuh Islam yang penaungnya bukanlah Tuhan yang Maha Agung.


Lantaran, diutuskan Muhammad sebagai pembawa nur. Pastinya engkau lebih arif tentang ini. Hidup manusia yang satu ketika gelap sudah terang disinari cahaya. Manusia yang sesat itu sudah menemui penyelamat. Mereka dibawa kepada keselamatan dengan tarbiyah. Darinya, manusia yang tidak tahu tadi sudah dapat belajar dengan tilawah… bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu.


Apa yang ingin kau sampaikan wahai hati? Kata-katamu berputar ligat. Sekejap kau kata ‘A’, sekejap-sekejap engkau melafazkan ‘B’. Tidak ubah seperti… ah, tidak berani kuungkapkan. Silap hari bulan, tubuhku berkecai dek kebencian seorang manusia golongan binatang yang merasakan diri berkuasa. Engkau umpama Nadr Al-Harith yang kerjanya menyimpang hamba Tuhan daripada mendengar kalimah Allah, “Muhammad itu sama sepertiku. Dia mempunyai cerita dongeng dan khurafat…”


Senyum… mulutmu perlu aku kunci dengan plaster gajah. Bolehkah engkau dengar dahulu kata-kataku wahai manusia? Aku adalah hatimu jua dan aku punya autoriti untuk mengingatkanmu bilamana engkau terlupa. Namun sayang, acap kali engkau buat-buat lupa sehingga penat aku dibuatnya.


Setelah sudah manusia itu belajar, tiba pula masanya ia tazkiyatun nafs. Usah sekali-kali bertangguh membuang bintik hitam di dalam jiwa. Mula-mula, hanya satu. Kemudian, menjadi dua… tiga… empat… akhirnya sampai infiniti. Tahukah engkau apa itu infiniti? Jangan mengelak! Aku tahu engkau arif ilmu kira-kira. Bukankah sehari-hari kerjamu membilang uang yang entah dari mana engkau jumpa. Bilamana hatimu sudah terkatup dengan warna-warna hitam, sukar bagimu mendapat cahaya Ilahi.


Akhirnya, jadilah dirimu sepertimana hari ini. Engkau umpama Kaab bin Malek moden yang mengambil alih tempatnya sedang ia sudah tersedar daripada kealpaan. Mujur diterima taubatnya oleh Allah tetapi engkau? Masih tidak sedarkan diri dan terus berasa gah dengan dirimu sendiri. Kaab hanya tercicir dalam peperangan Tabuk tetapi dirimu sudah tersungkur dari semua sesi peperangan, tidak terkecuali jihad hawa nafsu.


Begitu senang engkau menghukum wahai hati. Aku masih lagi berdiri di sini. Mana mungkin aku terjatuh sedang kakiku masih gagah terpacak di tanah ini. Aku tidak pernah alpa menyucikan jiwaku, tapak pembentukan ruhiyah itu aku pelihara sebaiknya. Aku juga masih tidak kekok mengajarkan ilmu dalam mencapai matlamat pembentukan fikriyah. Bukan itu sahaja bahkan bibirku masih tidak terkunci mengajarkan manusia cara beramal kepada Tuhannya.


Engkau pasti? Atau engkau sedang syok sendiri? Banyak sekali manusia melaungkan takbir tetapi sebenarnya mereka sekadar menjerit tanpa knowledge. Mereka sama sekali tidak memahami hakikat ‘Allahuakbar’. Mereka sekadar taklid dengan insan-insan yang mungkin sudah mengerti peranannya sebagai khalifatullah di atas muka bumi ini.


Mereka berjalan seiringan tetapi hati mereka lain-lain. Ada yang ke timur, ada juga menuju barat. Tidak kurang pula yang melangkah ke utara dan selatan. Atau mungkin mereka sebenarnya tidak bergerak-gerak. Terus tercegat di situ sehingga diangkat oleh manusia lainnya yang kasihkan mereka. Bukan… manusia itu mungkin sahaja kasihankan mereka.


Hati sayang… aku adalah khalifah di atas muka bumi ini. Tidak ada yang yang boleh mempertikaikannya. Aku mengajak manusia kepada Tuhan yang satu. Aku juga menyeru setiap insan agar sentiasa kembali kepada Pencipta yang Maha Besar. Bukan itu sahaja bahkan aku mendorong mereka menjadi manusia yang berdaya maju… cemerlang, gemilang dan terbilang. Aku… aku… aku…


Cop cop cop… khalifah? Ya, engkau memang seorang pemimpin masyarakat yang punya kuasa terhadap mereka yang berada di bawah jajahanmu. Namun, adakah benar engkau seorang khalifah? Sudahkan engkau menjalankan tanggungjawabmu sebagai khalifah? Aku yang tidak punya mata ini menyedari khalifah itu besar taklifannya. Ha ha ha… hati sememangnya tidak bermata. Sang khalifah bukan sahaja perlu mengabdikan dirinya kepada Allah yang Esa tetapi turut berperanan memakmurkan alam serta mengajak manusia lainnya kepada Rab.


Andai engkau yang mengakui dirimu ini seorang qoid tidak menjalankan amanahmu sebaiknya, maka tergolonglah engkau bersama-sama golongan munafikin sepertimana yang telah engkau ungkapkan tadi. Engkau berkata-kata tetapi bicaramu dusta. Engkau diberi amanah tetapi sama sekali tidak berlaku jujur terhadap kepercayaan yang diletakkan di atas pundakmu.


Baru-baru ini, engkau berjanji meringankan beban mereka yang memberi ketaatan kepadamu tetapi sekali lagi engkau berdusta! Engkau tetap mahu memungkirinya. Bukan itu sahaja, engkau juga melampaui batas dalam menjatuhkan musuhmu. Tanpa gusar engkau mengaibkan mereka yang tidak sehaluan denganmu. Adakah engkau masih mahu mengaku dirimu seorang khalifah?


Senyum lagi… hati ini memang murah dengan senyum sinisnya. Hai manusia, sebelum engkau melangkah mentarbiyah mereka di hadapanmu, jangan engkau lupa membentuk peribadi Islami yang sempurna terhadap dirimu sendiri. Jika bukan jasadmu yang mahu tarbiyah dzatiyah, siapa lagi yang akan mengingatkan dirimu sedang hisab kelak bersifat individual. Setiap makhlukan punya tanggungjawab terhadap dirinya sendiri. Bukan dia atau mereka atau siapa-siapa.


Diam??? Engkau sudah tidak punya bisa untuk berbicara hai manusia. Aku tahu meskipun aku hanya sekeping hati yang terletak jauh dalam jasadmu. Aku sama sekali tidak masyhur sepertimana namamu yang sentiasa menjadi sebutan. Engkaulah penyelamat, engkaulah pembawa perubahan, engkaulah segalanya sehingga pemergianmu ditangisi. Tidak ada yang sanggup kehilanganmu.


Sudah! Sudah! Jangan engkau berbicara lagi wahai hati. Hasadmu melampaui batas. Adakah engkau mahu kenikmatan milikku hilang? Aku sudah maklum sesungguhnya kenikmatan itu tidak kekal lama. Bila-bila Tuhan boleh mencabutnya. Atau mungkin engkau turut ingin merasai kenikmatan ini? Engkau belum berasa cukup dengan apa yang telah engkau punyai. Hah!!! Aku pasti, kebencianmu membuak-buak dek kenikmatan itu. Engkau begitu keji sedang engkau sebenarnya menumpang jasadku. Engkau begitu hebat memberi aku tazkirah tetapi engkau sendiri tanpa sedar melawan ketentuan Tuhanmu. Engkau paling layak menjadi temannya iblis laknatullah.


Ha ha ha. Hasad itu lebih cocok diserahkan kepadamu hai manusia. Engkau tidak senang melihat kebahagiaan insan lain. Kalau tidak, masakan sanggup engkau memisahkan si ayah daripada isteri dan anak-anaknya. Mana mungkin engkau tega meruntuhkan pondok usang milik sang perantau. Engkau biarkan anak kecil itu menangis pilu tanpa meletakkan kakimu di dalam sepatunya. Aku tahu engkau jijik dengan sepatu yang hapak itu.


Sedarkah manusia engkau telah melampaui batas? Taghutttt… engkau menzalimi dirimu sendiri dengan menafikan hak Allah dan Rasul. Mungkin sekali engkau tidak syirik tetapi engkau fanatik! Engkau fanatik terhadap warna kulitmu sedang manusia itu sebenarnya sama, asalnya Adam. Hu hu hu… sayang sekali kepercayaanmu bukan kepada Tuhan sedang sudah jelas lagi bersuluh agama anutan ini tidak ada cela dan kurangnya. Tidakkah engkau gusar menolak hukum ketetapan Tuhanmu? Creator ini sebenarnya lebih tahu daripada apa yang engkau maklumi.


Sudah! Sudah! Aku tidak mahu dengar! Engkau menyesakkan dadaku yang sedia sesak. Engkau merumitkan kondisi yang sudah rumit. Engkau bukanlah teman akrab bagiku. Engkau hadir hanya … hanya untuk menyahkan aku dari atas muka bumi ini.


Ha ha ha… siapa aku yang mampu melenyapkanmu? Aku bukan siapa-siapa dan aku hanyalah sekeping hati milikmu. Jika engkau bukan Abdullah bin Ubay… bukan juga Walid Al-Mughirah, usah engkau melatah sehingga terpamer kejelikanmu. Aku hanya hati yang mahu memberi peringatan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.