Home Cerpen Islamik Kerana Sebiji Rambutan
Kerana Sebiji Rambutan
SeriAmar
12/1/2014 16:45:45
3,874
Kategori: Cerpen
Genre: Islamik
Bab Satu

“Abah, Nadim nak buang air.” Ujar si abang apabila melihat adiknya tidak keruan. Perjalanan berjam-jam untuk pulang ke kampung halaman di Gerik Perak sememangnya agak memenatkan.

Furqan memperlahankan kereta melewati jalan yang merimbun dengan hutan. Tidak kelihatan rumah di mana-mana, membuatkan dia teragak-agak untuk berhenti. Sinar mentari yang berbalam-balam memudarkan cahaya menuju senja, menyebabkan suasana berbaur seram.

“Nadim boleh bertahan sekejap? Abah hendak cari stesen minyak.” Furqan memecut laju untuk keluar dari daerah itu.

“Kenapa pandu laju sangat?” Safiah terjaga daripada lena. Ibu yang sarat mengandung lapan bulan itu memandang suaminya iaitu Furqan.

“Maaf, abang Cuma hendak cari ..” Belum sempat dihabiskan kata, Suara Idris mengisi ruang.

“Adik sudah terkencing!” mendengar si abang memberi laporan, Nadim menangis minta pengampunan. Furqan tiada pilihan. Kereta Proton Waja berwarna hitam merah itu diberhentikan juga di pinggir jalan. Sememangnya Furqan seorang bapa yang baik. Dia tidak melampiaskan amarahnya, sebaliknya mengusap Nadim penuh kasih-sayang. Baginya marah bukanlah jalan penyelesaian. Lebih-lebih lagi budak yang baru berusia lima tahun ini.

Usai menukar pakaian anaknya, dia menikmati hamparan langit seyojana mata memandang tanpa bintang. Furqan seakan ralit meneliti bulan sabit yang memanjang hala ke kiri. Sebuah lukisan yang tidak mungkin difikirkan oleh akal sejengkal manusia. Dia duduk di sisi jalan. Tangannya ke belakang menongkat badan. Entah mengapa dia berasa selesa. Lenyap segala kebimbangan yang membuyar dikala menelusuri kawasan ini. Tiba-tiba terpegang sesuatu. Kecil dan berbulu.

“Ah! Sebiji rambutan.”

Dia ketawa sendiri. Kecur air liurnya lantas dia mengopek kulit rambutan tanpa berfikir panjang. Rasa manis yang merangkul di lidahnya mencipta satu kenikmatan.

“Abang! Safiah mula dibalut keresahan kerana suaminya masih belum menyambung perjalanan. Furqan cepat-cepat bangun menuju ke kereta.

“Ya, abang datang.” Furqan menghidupkan enjin kereta.

“Emak pasti bimbangkan kita, kenapa abang lama sangat?” Furqan hanya mampu tersenyum.

“Jangan cepat sangat marah, nanti baby suka merajuk.” Safiah memuncungkan bibir tatkala mendengar usikan daripada suaminya yang tercinta. Memang dia agak teruja untuk meleraikan rindu kepada ayah dan bondanya. Lebih-lebih lagi dia merancang untuk tinggal di sana sehingga melahirkan anak ketiga. Mungkin kerana itu dia disambar emosi. Furqan meneruskan pemanduan menuju ke kampung halaman.

Bab Dua

Menggelintar sendirian menelusuri segenap mayapada yang luas dan gersang cukup memeritkan. Furqan melaung nama anak dan isteri.

“Safiah, kamu di mana ?” Kalbunya sesak dengan gumpalan kebimbangan. Dia mengatur langkah tanpa hala tuju.

“Nadim, Idris, kembalilah.” Dia merintih lagi. Renik peluh berjuraian di dahi. “Kenapa aku ditinggalkan di lapangan ini ?” Tiba-tiba angin berpusar laju menuju ke arahnya. Furqan menahan daya angin yang kuat menolak-nolak tampangnya. Namun, dia rebah jua. Dia menatap langit. Hitam pekat.

“Apa salahku?” Dia melontarkan pertanyaan sekuat hati.

“Fikirkanlah apa salahmu.” Satu suara bergema entah dari mana. Furqan memandang sekeliling dan mencari-cari pemilik suara itu. Tiada! Hanya debu-debu kering yang berpiuh sepi.

“Kamu tidak akan bahagia.” Suara itu menikam gegendang telinganya. Furqan berlari laju tanpa menghiraukan apa yang menantinya di hadapan. Dia bertempik lagi.

“Apa salahku?” Pandangannya kelam. Dia termengah-mengah sambil meraup wajahnya yang disimbah peluh dingin.

“Astagfirullah!” Mujur Safiah masih berada di kampung. Jikalau tidak pasti dia dilanda kejutan dan itu akan menjejaskan kesihatannya. Furqan bingkas bangun untuk mengambil wuduk. Usai mengerjakan solat tahajud, dia merenung kembali mimpi yang telah mengusik ketenangan jiwanya. Perlahan-lahan peristiwa itu singgah dalam tasik hati. Titisan Kristal jernih menjerum ke bumi.

“Apakah peluang masih berbaki?” bisik jiwanya. Dia tenggelam dalam tangisan nan panjang. Sesungguhnya dia baru menyedari tentang sebuah hakikat. Bayangan sebiji rambutan terbias di skrin mindanya.

“Aku harus ke situ!” tekadnya jitu.

Bab Tiga

Jam 3 petang sinar suria hangat membakar kulit. Furqan mengabar kepanasan dengan mengibas-ngibas akhbar yang baru dibelinya pagi tadi.’ Inilah tempatnya!’ bisik hati Furqan. Terenap segala kesuraman yang membara di jiwa.

“Segalanya perlu diselesaikan hari ini.” Furqan semakin dilitupi lega. Keretanya diletakkan di pinggir jalan. Aneh! Jarang-jarang amat kenderaan lalu-lalang di kawasan itu. Langkahnya diatur mendekati sepohon pokok rambutan. Tersedia denai kecil yang seakan mahu membawanya ke sebuah tujuan. Furqan menapak penuh berhati-hati. Makin lama, dia makin terperosok di dalam perut hutan.

Derapannya ternoktah. Tunakan matanya hinggap pada sebuah bangsal buruk beratap nipah yang masih utuh berdiri biarpun pasti bakal roboh menyembah bumi. “Aku harus jujur.” Dia menetapkan nawaitu. Apabila teringat pada azab neraka yang akan mengejar saat kematian menjemputnya nanti, Furqan membulatkan hasrat untuk merungkai segala persoalan yang merantai atmanya.

“Furqan menyuarakan kalimah salam. Pantas sahaja daun pintu dibuka. Seorang perempuan tua bongkok melemparkan senyuman kepadanya.

“Silakan masuk cu.” Tangan tua berselirat urat-urat besar itu mencapai tangan Furqan dan mengheretnya masuk ke bangsal itu. Furqan bersila di atas tikar mengkuang. Sesekali dia menjeling keadaan sekeliling. Ah! Nenek ini tinggal sendirian.

“Saya Cuma mahukan kepastian.” Furqan memecahkan gemawan sunyi. Perempuan tua itu masih tersenyum. Dia menuangkan air ke dalam gelas tembaga dan menyuakan kepada Furqan. Setelah meneguk beberapa kali, Furqan bertanya lagi.

“Pokok rambutan di tepi jalan sana, milik nenek ya?” Minta halalkan sebiji rambutan yang telah saya makan sebulan yang lalu.

Suasana agak tegang apabila perempuan tua itu termenung lama.

“Ada syaratnya.” Furqan tersentak menerima jawapan daripada nenek tersebut. Namun, apabila terkenangkan daging yang tumbuh daripada makanan yang haram hanya layak dimamah neraka, Furqan mengangguk.

“saya terima.” Kalimahnya diluahkan payah.

“Tinggalkan keluargamu, lepaskan harta dan jawatanmu, dan menetaplah denganku selama 50 tahun. Barulah ku halalkan sebiji rambutan itu.” Bagaikan sebuah badai maha ganas yang merobek sangkar hidupnya, Furqan tertunduk.

‘Beratnya hukuman yang aku terima hanya kerana sebiji rambutan.’ Batinnya menangis. Furqan bingung mengenangkan liku hidupnya yang meruncing. Bisik hatinya.

‘Aku bukannya seorang yang abrar walhal aku sekadar hamba Malikulmanan (Allah) yang hina dan lemah.’ Desis jiwanya lagi. Sebiji rambutan menjadi mahar untuk menempah sebuah kehidupan yang menyeksa kelak. Furqan seakan terperangkap dalam sebuah kisah yang menguji ketakwaan seorang kekasih Allah yang bernama Abu Salih. Bezanya, beliau termakan sebiji epal lalu pinta dihalalkan dan hasratnya itu tercapai usai 12 tahun bekerja di rumah pemilik pokok epal tersebut. Akhirnya, dia meledani kehidupan yang bahagia bersama isteri yang jelita dan cerdas akalnya, iaitu Ummu Khair Fatimah.

“Bagaimana?” perempuan tua itu menduga. Amarah Furqan menunjal-nunjal jemala. Nafasnya berombak. Perasaannya luka parah tetapi tegar dibebat secepatnya bagi mengelakkan dia hilang pertimbangan.

“Saya bersetu…” Bunyi nada dering telefon bimbitnya mematikan kata-kata. Dia menjawab panggilan dengan debaran masih memuncak di dada.

“Safiah sudah hampir bersalin, cepat pulang!” Ibunya memberitahu situasi yang tepu cengkaman emosi.

“Nenek saya perlu pergi sekarang.” Furqan bergegas ingin meninggalkan perempuan tua itu.

“Pergilah dan peluang itu akan turut pergi bersama jejakmu nanti.” Furqan terkedu dan terpaku seketika. Dia terduduk di atas tanah lalu menangis teresak-esak. Dia membayangkan Safiah yang menantinya untuk mengazankan zuriat mereka-bukti cinta mereka. Dia benar-benar tersepit untuk membuat pilihan. Pergi menemui isteri tersayang, bermakna peluang untuk menebus dosa akan hilang. Memanjangkan penantian Safiah, bakal menambahkan kecelaruan yang besar dalam hidupnya. Esakannya makin galak. Dia terlalu buntu.

Rahmah atau musibah?’ Atmanya diasak gelisah. Dia berharap di dalam sendu.

Furqan mengesat titis hiba yang gugur dari tubir matanya. Hatinya tersayat pedih apabila mengenangkan Safiah yang bergelut dengan maut untuk melahirkan seorang cahaya mata buat dirinya. Kenyataannya, dia harus memilih.

Dunia atau akhirat?’ Hidup atau mati? Semuanya bergulir dan menerobos ruang katarsisnya. ‘Aku redha, semoga hatiku dilapangkan Ilahi untuk menggempur seberkas onak duka yang melukai hati.’ Furqan maju selangkah dan menghampiri perempuan tua itu.

“Saya terima seikhlas sanubari.”

Dia merelakan derita memeluknya. Dunia terlalu hina untuk diratapi. ‘Seharusnya aku bersyukur ditimpakan sebuah ujian,’ Furqan memujuk diri. Bayangan isteri dan anak terpaksa dipudarkan. Sesungguhnya musibah itu satu cara meluruhkan dosa-dosa yang menjijikkan.

“Kamu rela?” Perempuan tua itu mahukan kepastian. Furqan menelan air liur. “Ya.”

“Meninggalkan semuanya?”

“Saya maklum kehidupan dunia terlalu indah untuk ditinggalkan. Namun, dunia juga bakal hancur oleh kiamat. Jadi, saya memilih jalan lurus untuk menggapai redha-Nya yang kudus.” Bicaranya mantap. Baginya rona kebahagiaan sudah kabur.

“Aku gembira mendengar kata-katamu. Pulanglah ke pangkuan keluargamu buat kali terakhir.” Nafas Furqan tertahan. Dia diulit satu perasaan yang tidak mampu dizahirkan. Rasa syukur bertebaran memenuhi hati. Dia mendongak ke arah langit, lalu melafazkan janji.

“Saya akan kembali!”

Bab Empat

Wajah putih kemerah-merahan itu memancarkan urna-urna ketenangan. Tubuh kecil itu didakap erat usai diazankan. Bayi perempuan yang dinamakan Ummu Fatimah diletakkan di sisi Safiah yang terbaring lemah. Tercelit senyuman hambar pada raut wajah seorang ibu. Furqan mencium ubun-ubun isterinya. Isterinya yang diikat dengan janji sumpah setia, isteri yang dibelai penuh rasa cinta. Baginya hidup di samping Safiah merupakan tingkat tertinggi sebuah mahabbah.

“Abang harus pergi.” Suaranya menyusup halus ke cuping telinga Safiah.

“Kenapa harus pergi?” Ada sendu di hujung tanya. Diam. Safiah diburu ragu. Dia menarik-narik lengan kemeja suaminya. Bayang-bayangan jahat menabiri mata hati. ‘Apakah suamiku menduakan setia? Adakah suamiku menyimpan rahsia yang tidak ku ketahui selama ini? Atau, suami ku ingin meninggalkan diriku terkontang-kanting melayari lautan kehidupan seorang diri?’

“Abang harus pergi, demi redha Ilahi.” Suara Furqan tenggelam dalam keharuan. Dahi Safiah berkerut seribu. Dia cuba menggenggam tabah, agar dirinya tidak rebah. Adakah ini pengakhiran bagi mahligai kasih yang telah berdiri utuh selama 10 tahun. Furqan merapati isterinya. Dia mengatur bicara satu persatu untuk melenyapkan segala sangkaan yang membuta tuli.

“Safiah percayalah dengan dugaan ini tepu dengan makrifat walaupun pautannya melemaskan jiwa. Percayalah, Allah tidak menetapkan qadak bagi seseorang hamba-Nya kecuali qadak itu baik untuknya.” Terburai jua tangisan yang dipendam.

“Sayangku, redhalah setulus hatimu. Mungkin Syurga tempat kita bertemu.” Furqan bingkas ke pintu tanpa menoleh lagi. Safiah bungkam menerima bingkisan cinta suaminya. Dalam walang, sukmanya berdesir tenang.

Bab Lima

Furqan menyusun langkah menuju ke kawasan yang bakal menjadi tempatnya menghabiskan sisa kehidupan. Bibirnya tidak henti-henti melantunkan istighfar.

Furqan memisat-misat mata. Dia memandang kanan dan kiri di persekitaran itu. Lenyap! Kawasan itu ternyata kosong sama sekali. Sunyi! Cuma kekadang nyanyian unggas seolah-olah ingin meleraikan ikatan persoalan yang bersarang di dalam mindanya. Ingatannya masih hijau tatkala membayangkan sebuah bangsal usang yang berdegap di atas tanah itu. Kolong jiwanya terisi keanehan tiada kesudahan.

“Tak mungkin aku tersilap!” Furqan tercegat lama.

‘Mustahil!’ Dia menelusuri kembali peristiwa yang singgah di mandala hidupnya. Serta-merta manik-manik jernih bergenang memenuhi kolam mata. Kehilangan perempuan tua itu masih belum terungkai. Furqan masih tercari-cari hikmah yang tersirat. Apakah segalanya sudah berakhir? Dia membuang pandangan ke arah kawasan itu. Mungkin itu kali terakhir dia menjejaki kawasan itu. Ayat ilahi bergema mengisi ruang hati. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.

Malam itu indah nian. Furqan dibuai lena bersama Idris, Nadim, Ummu Fatimah bersama Safiah isterinya tercinta. Dalam tidurnya, muncul perempuan tua itu sambil tersenyum penuh makna. Sebersih hamparan langit seyojana mata memandang, wajah itu bercahaya menyinari kalbu Furqan. Berbahagialah hamba yang meletakkan keredhaan di dalam diri.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.