Home Cerpen Fantasi Underground.
Underground.
23/3/2015 20:05:30
2,632
Kategori: Cerpen
Genre: Fantasi

Musim sejuk kali ini bertemu musim peperiksaan semester akhir. Dan musim peperiksaan semester akhir kebiasaannya tidak akan berakhir dengan baik jika dilangsungkan pada musim sejuk. Semua orang tahu tentang itu. Ceritera sejarah turun-temurun daripada pelajar senior berkongsi kesukaran menelaah dalam keadaan suhu rendah menggamit tulang dan perubahan malam yang terlalu panjang berbanding siang menyebabkan Neal lebih bersungguh-sungguh. Malah terlebih bersungguh-sungguh. Dia tidak mahu mengulangi beberapa kertas peperiksaan kerana alasan bodoh seperti suhu dan cuaca. Dia tidak suka berada lebih lama di kota asing ini, jauh dari rumah, daripada papa, daripada abang.

Neal mahu pulang. Dan untuk pulang, dia harus habiskan semester ini pada masa yang ditetapkan.

Demi mencapai matlamatnya itu, Neal memilih sebuah perpustakaan di tengah-tengah kota London, jauh dari kampusnya. Mengambil masa lebih kurang sejam menggunakan tren underground untuk sampai ke destinasi pada setiap pagi dia meredah dalam waktu genting dan satu jam setengah untuk pulang pada waktu petang juga dalam waktu genting.

Teman serumahnya pernah mempersoalkan tindakannya itu. Kenapa dia berlepas pada waktu genting sedangkan tambang pengangkutan dicaj sedikit rendah jika servis digunakan melepasi jam sembilan pagi atau tujuh malam. Selain itu, Mathew juga memberitahu yang Neal boleh sahaja mengulangkaji di biliknya. Tiada sesiapa yang akan mengganggu kerana tiada sesiapa yang berani mengganggu apabila Neal mula serius membuka buku.

Neal biarkan sahaja persoalan kawannya itu tergantung. Bukan kerana dia tidak tahu jawapannya, tetapi kerana dia tidak mahu berkongsi rahsianya itu dengan sesiapa.

Memilih perpustakaan yang jauh dari kampus adalah strategi yang bagus untuk menghadapi peperiksaan akhir. Tetapi memilih meja nombor 12 di hujung kanan dewan belajar bersendirian adalah satu bonus untuknya setiap hari. Meja nombor 12 yang terletak di sebelah meja nombor 11. Meja nombor 11 yang menjadi kunjungan tetap seorang gadis kenit berwajah masam. Gadis kenit yang sentiasa menggalas beg belakang dan berjaket tebal siap ber’hood’ berwarna biru gelap. Dan Cuma akan menanggalkan ‘hood’ yang sering menutupi wajahnya itu apabila melepasi waktu tengah hari bilamana suhu pemanas di dalam dewan itu mula ditinggikan.

Neal selalu memerhatikan kelakuannya. Neal gembira memerhatikan kelakuannya. Dari cara matanya membuntang, atau terkebil-kebil, atau mengecil, atau kembali membuntang sebagai reaksi terhadap pembacaannya, Neal suka. Juga cara jari ibu dan telunjuk kanannya yang selalu bermain-main dengan pensel kayu hitam di tangan, memutarkan pensel itu berkali-kali tanpa sedar sebelum membawa bahagian belakang hujung pensel tersebut ke bibir. Bibir yang kadangkala digigit juga tanpa sedar, yang akan menyebabkan Neal terpaksa mengalihkan pandangan kerana kelakuan yang satu itu memberikan impak yang pelbagai kepada hatinya, jiwanya, fikirannya.

Mungkin Neal perlu berhenti sahaja berkunjung ke perpustakaan ini, fikirnya pada suatu hari ketika dia mula sedar bahawa dia lebih banyak membuang masa dengan gembira tersenyum sendiri mengamati keberadaan gadis itu di sisinya sedangkan matlamat asal adalah untuk mendapatkan graduasi tepat pada masa.

Jadi, ya, Neal patut berhenti. Dia bertekad untuk berhenti. Sehinggalah buat pertama kali mereka bertemu mata dan dia kembali menurut kehendak hati.

Gadis itu menjeling ke arahnya dan tersenyum. Kemungkinan bukan senyuman dengan niat untuk memikatnya, tetapi Neal sudah melekat. Dia membalas senyuman itu dengan menelan liur pekat dan kelat. Hampir sahaja menghantar mesej berisyarat yang dia tidak berminat untuk membuka perbualan di antara mereka.

Mujur gadis itu tidak cepat mengalah. Dia membuka mulut. Buat pertama kali, dia membuka mulut, bertanya satu soalan rambang,

You suka poetry?”

Neal menyimpulkan yang selama dua minggu ini, gadis itu sebenarnya sedar akan kehadirannya di situ dan tahu yang mereka berasal dari negara rumpun yang sama tetapi sengaja tidak mahu bertegur-sapa sepertimana dua rakyat Malaysia bertembung di negara asing yang lain. Namun, Neal tidak segera bertanya kenapa hari ini yang dipilih untuk memulakan perbualan.

Sebaliknya, dia menjawab pantas,

Depends.”

“Depends?” dia mempersoalkan kembali. Sepasang keningnya berkerut dan Neal sukakan kerutan itu.

I...jarang baca sastera. Itak pernah baca sastera since high school.

“Oh, okey.”

Perbualan mereka berhenti di situ.

Sepanjang perjalanan pulang, Neal tidak berhenti menyumpah diri sendiri. Sepanjang malam tersebut, Cuma satu ayat yang ditulis berkali-kali di atas 20 kertas A4 di atas meja belajarnya di tepi katil;

You suka poetry?

Keesokan harinya, gadis itu tiada. Buat pertama kali dalam lima belas hari mereka menghabiskan masa bersama dalam dunia masing-masing, gadis itu tiada. Neal tidak dapat mengelak dari menyalahkan dirinya yang menyebabkan gadis tersebut mengambil keputusan untuk menukar perpustakaan, atau mungkin berhenti belajar, atau mungkin mendaftar keluar terus dari kolejnya dan pulang ke tanah air buat selamanya. Tetapi pemikiran sebegitu kelihatan sangat drastik. Neal tahu ianya sangat drastik apabila gadis itu tercungap-cungap mengambil tempat di meja nombor 11 sedang dia masih memikirkan pelbagai perkara yang lebih drastik.

“Fewh! Sorry, I terlambat,” suaranya, menanti Neal membalas apa sahaja untuk memberhentikan rasa bersalahnya kerana muncul lima belas minit lewat dari kebiasaan.

“Umm, it’s okay?”

Raut gadis itu berubah. Seperti baru tersedar ada sesuatu yang dia tidak patut biarkan terluah dari bibirnya, tetapi dia telah pun melakukannya tanpa sedar. Sesuatu seperti selama ini dia turut datang ke perpustakaan ini kerana ingin memilih meja nombor 11 disebabkan Neal berada di meja nombor 12.

Perbualan mereka berhenti di situ. Dan Neal menghabiskan sepanjang malam menulis satu baris ayat baru yang dia suka;

Sorry, I terlambat.’

Empat hari lagi berlalu dan Neal masih tidak mengambil langkah yang sepatutnya. Pada tahap ini, Neal simpulkan bahawa gadis itu tidak lagi berminat untuk berkawan dengannya. Kerana gadis itu mula berhenti melakukan pelbagai reaksi yang Neal suka. Tiada pergerakan mata yang comel, atau mainan pensil yang menarik perhatian, mahupun senyuman tersembunyi di balik gigitan bibir bawah yang menjadi tabiatnya.

Gadis itu jadi dingin bukan sahaja dengan Neal, malah terhadap sekeliling. Gadis itu tidak lagi mengeluarkan buku dari dalam beg galasnya, tetapi Cuma sebuah iPod yang memainkan muzik rock metal kuat melalui corong fon telinga putih sehingga Neal di sebelahnya turut dihiburkan. Gadis itu juga tidak memegang pensil atau pen untuk menulis di atas buku nota. Meja nombor 11 itu dibiarkan kosong untuk dia rehatkan dagu di atasnya dan menutup mata sepanjang masa.

Keesokan hari Neal ditemani gadis itu, Neal diberikan sehelai kertas A4 putih sebelum gadis itu berlalu dua jam lebih awal dari waktu biasa tanpa berpaling lagi untuk sekurang-kurangnya menjeling wajah Neal yang keliru.

Neal membuka lipatan kertas tersebut dan membaca,

‘A house is like a boxing ring,

Loads of punching bags,

The more people you have in it the better you get,

Pouring all your stressful shitty but saying nothing less.

A house is like a boxing ring,

Loads of punching bags,

One time you started screaming and the others do that,

But you left the important things lingering and being all just that.

A house is like a boxing ring,

Loads of punching bags,

You thought you could rest in it and yet the more tired you felt,

You cry, you scream, you cry, you weep, you cry, you still, you cry, you –

A house is like a boxing ring,

Loads of punching bags,

You be one of it and start holding a pen,

As people won’t hear it might as well holding back,

Put it into words for whom actually care.

A house is not a home.

A home is for you to miss but I don’t feel that.

A home is for you to miss and I do feel that.

I do feel that. I do feel that.

Isabella.

Neal tidak faham sastera. Dia tidak tahu sajak. Bahasanya adalah bisnes, nombor, ekonomi dan akaun. Tetapi andai dia tahu lebih awal bahawa itu adalah hari terakhir dia akan ditemani gadis tersebut dan Cuma sekeping kertas itu sebagai ucapan selamat tinggal, Neal menyesal kerana bidang bisnes yang dipilihnya empat tahun dahulu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.