Home Cerpen Cinta Andai tiada jodoh
Andai tiada jodoh
30/5/2016 10:21:01
3,154
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Bayang peristiwa lalu

Masih melekat di fikiranku saat ini

Engkau seolah melambaiku

Sedangkan cinta kita telah pun berakhir…

Bibit lagu ‘Perjalanan Duka’ nyanyian Min Malik ini benar-benar membuatkan hatiku terusik. Entah mengapa… entah kenapa… Bayangannya hadir kembali. Argh… Persetankan perasaan itu. Aku tidak mahu!

“Za, betul ke ada gitu-gitu dengan budak sebelah tu?” Azie menerjah.

“Budak sebelah mana pulak ni?” Tanya Zaliza acuh tak acuh. Sebenarnya, jantung berdegup kencang ingin tahu tetapi… mesti control. Jatuh saham beb!

“Ish. Main-main pulak budak ni. Alaaa…” Azie mula memuncungkan mulutnya. Marahlah tu.

“Serius! Za tak tahu apa-apa. Skandal apa pulak ni?”

“Mus sendiri cakap. Za ada affair dengan dia,” kata Azie bersungguh-sungguh.

Mus… Siapa tidak kenal Mustafar Adnan? Muka ala-ala Zamani Slam. ‘Tidak mungkin kuberpaling lagi…’ Handsomelah kononnya tu. ‘Tapi memang handsome pun,’ bisik hatiku. Bukan sahaja handsome, kaya pulak. Umur baru 21 tahun, sudah ada kereta. Memang kereta mak ayah tapi kira OK lah. Ada kereta! ‘Ceh… Gila besi pulak aku,’ aku tersenyum sumbang.

“Za, tadi kelas Mus ada jamuan akhir tahun. Mus tahu Za suka makan spaghetti. Jadi, Mus tapaukan untuk Za,” kata Mus suatu hari.

‘Alahai mamat ni sorang. Salam tak bagi, main terjah je. Ingat Nas Melodi ape?’ bebel aku sendirian.

“Em… Dah makan tadi Mus. Tak apalah. Mus makan la ye. Za dah kenyang,” kataku ringkas lantas meninggalkannya.

Aku pun tidak tahu kenapa. Mengapalah hatiku begitu sukar memberi ruang buat Mus untuk mendekatiku. He’s my taste but don’t know why. Kadang-kadang, timbul juga keinginan untuk memulakan persahabatan dengannya tetapi sering kali kaku… kelu… terdiam tidak mampu berkata apa-apa.

“Za, budak sebelah bagi,” kata Zaki lantas menghulurkan sekeping kertas pink. Sebelum sempat aku bersuara, Zaki terus menghilangkan diri.

‘Zakiiiiiii…..’ Sekadar mampu menjerit namanya di dalam hati. Hati lagi. Bebel, ngutuk, puji… semuanya dalam hati. Bilamana hanya berinteraksi dalam diri, hanya aku sahaja yang tahu. Eh salah. Hanya aku dan Tuhan sahaja yang tahu.

Macam pelesit. Tadi ada, sekarang tak ada. Baru-baru ini, Azmir menjadi posmen tidak rasminya. Menghantar sekuntum bunga daripada Mus buatku. Kalau Zaki macam pelesit, Azmir pula macam biskut Chips More. Now you see, now you don’t. Mungkin kursus yang diterima untuk menjadi posmen anak Pak Adnan sebegitu.

I LOVE YOU

Begitulah sehari-hari. Ringkas dan padat. Mus hanya tahu menghadiahkan sekuntum bunga dan menulis ungkapan ini. Macam tidak ada benda lain. Bunga… bunga… bunga… I love you… I love you… I love you… Tak bosan ke?

Lain kali, bagilah KFC ke… PS3 ke… boleh juga aku hadiahkan kepada adik lelakiku yang kebosanan. Kasihan benar aku melihatnya. Balik rumah, laptop buruk aku yang dicapainya. Hari-hari main ‘Solitaire’. Aku yang memandang pun naik boring.

‘I love you’ bererti ‘Aku cinta padamu’. ‘So what?’ Aku bertanya dalam diri. Tahulah handsome… anak orang kaya… Namun, bukan mudah untuk membeli cintaku. Ewah ewah… berjiwang karat pulak aku.

“Za, pergi tak konsert Ahad ni?” Tanya Ernie suatu hari. Dialah satu-satunya kawan baikku di kampung ini. Yang lain pun, kawan juga tapi bukan kawan baik. Entah macam mana Ernie yang bermata bulat dan berambut Maggie ini menjadi temanku yang paling akrab. Yang pasti, dia sering kali bertandang di rumah kedaiku. Ada sahaja cerita sensasi yang hendak disampaikan.

Kak Nani mengorat dengan Hisham anak tauke kedai foto. Ayu yang duk tergila-gilakan Mus. Yati yang tak habis-habis dengan dressing ala-ala artis baru. Alaaa… Macam Datuk Siti Nurhaliza masa mula-mula terlibat dalam dunia seni. Kan bibirnya merah menyala. Rambutnya mengerbang bak Sharifah Aini. ‘Hey, jangan lebih-lebih. Masuk court nanti,’ aku menasihati diriku sendiri.

Tidak terkecuali Ernie bercerita tentang Mus. Mus baiklah. Mus ramai peminatlah. Paling letih, Ernie menyatakan bahawa Mus sukakan aku. Entah buta atau kabur matanya. Aku tidak seperti Ayu… Yati mahupun awek-awek di tempatku. Aku wanita tetapi bukan ‘Wanita Melayu Terakhir’. Kih kih kih… Ala-ala Vanida Imran gitu.

‘Aku … akulah jua…’ bak kata Mael dalam lagunya yang berjudul Semangat Yang Hilang. Alaa… Dalam kaset XPDC Brutal tu. Masa ni, Mael masih menjadi vokalisnya. Sekarang tidak lagi. Ali pulak mengambil tempat. Sempat lagi aku memberi penerangan.

Siapa tidak kenal Zaliza? Nak kata comel, comellah juga. Kalau bukan aku yang tekan lif, siapa lagi yang mahu tekankan untuk aku. Nak kata ayu… yang ni aku tak berani nak cakap. Aku tidak sama seperti mereka. Siapa mereka tu? Bukan peserta akhir ‘Gadis Melayu’ TV9 Dekat di hati tau.

Tetapi… aku bukan tomboy. Aku juga bukan pengkid. Nauzubillah. Dilaknat Allah menyerupai lelaki. Fatwa yang dikeluarkan mufti tentang pengkid membuatkan aku mengucap sendiri. Sudah akhir zaman sebenarnya tetapi orang selalu tidak mahu ingat. Betullah kata Tun Dr. Mahathir Mohamed, mantan Perdana Menteri Malaysia keempat, ‘Melayu mudah lupa.’ Eh, melalut pulak aku. Tidaklah. Sekadar mahu berkongsi general knowledge yang aku ada.

‘Adus, bukan best pun tengok konsert ni. Asyik-asyik panggil artis dangdut. Bosan laa,’ aku membebel seorang diri.

“Alah, banyak lagi agenda malam tu. Bukan konsert aja,” Ernie membalas. Aik! Bila masa aku bercakap dengannya?

Benarlah kata Ernie. Konsert yang berlangsung bukan sekadar konsert. Ada ‘tigerwalk’ lagi. Apa punya istilah yang aku gunakan. Tidak apa. Perkataan ‘kecapaian’ pun diterima umum sebagai tema hari kemerdekaan satu ketika dahulu. Sedangkan pengertiannya begitu tidak kena dengan maksud yang ingin disampaikan. Jadi, untuk menukarkan perkataan ‘catwalk’ kepada perkataan ‘tigerwalk’ bukanlah sesuatu yang mustahil.

Waktu ini, dapat kulihat teman-teman seangkatanku dengan dressing yang mengancam bagi mereka tetapi seksa bagiku. ‘Macam tidak cukup kain’, kataku di dalam hati. Bukan itu sahaja bahkan dapat melihat ‘drama’ free. Remaja belasan tahun tanpa segan silu berpegangan tangan. Aku? Aku maintain macho.

Sedang asyik aku menikmati pemandangan yang kurang menarik itu, kusedari bahawa aku sebenarnya diperhatikan. ‘Aku salah dressing ke?’ Biasalah bagiku. Mengenakan t-shirt ‘No Fear’ di samping jeans lusuh sudah menjadi trade mark diri. Bukankah ‘Aku… akulah jua…’

“Za…”

Em… Macam kukenal suara itu tetapi di mana?

“Za…”

Pasti! Aku yakin aku mengenali suara itu.

“Za, tolonglah. Janganlah jual mahal sangat. Kurang sikit pun OK,” Mus seakan merayu.

“Iya. Apa hal?” Tanyaku dalam nada seperti biasa. Maaf salah silap. Aku tidak pandai menyusun kata.

“Za, berilah ruang pada Mus untuk mengenali Za dengan lebih mendalam,” merah mata Mus menuturkan kata-kata itu.

‘Alahai mamat ni. Jiwang besi karat la pulak,’ aku mengomel dalam hati.

“Mus, ada hal. Jumpa lain kali OK,” kataku tanpa menoleh lagi. Lantas kutinggalkan Mus keseorangan. Mana boleh jadi? Aku kutuk mereka yang terlibat dalam ‘drama swasta’ di tapak konsert tetapi aku juga hampir melakonkan watak sampingan. (Masih belum layak menyandang watak utama).

Sudah hampir sebulan ‘dating’ tak jadi aku berlalu. Jika dahulu, Mus pasti mengusikku tetapi kini aku seakan sunyi daripada usikannya. Tiada lagi nota ringkas yang tertulis ayat ‘I love you’. Tiada lagi bunga raya… bunga ros atau apa-apa bunga yang berwarna merah menghiasi meja study-ku. Jangan tidak percaya. Aku sebenarnya menyimpan seluruh ‘harta’ pemberian Mus. Bukan itu sahaja, tiada lagi insan yang mahu berkirim salam denganku. Sunyinya…

Kenapa ni? Bukankah selama ini aku begitu berserabut dengan Mus yang tidak pernah kenal erti jemu menggangguku? Sekurang-kurangnya, kini aku bebas daripada ancaman ayat-ayat jiwangnya. Entahlah, kenapa aku berasa tidak seronok dengan keadaan ini?

Mus pula seolah-olah sudah berputus asa denganku. Adakah dia tidak ikhlas memikatku selama ini? Jika dia ikhlas, kenapa ia berhenti mencuba? Argh. Macam mana mahu membimbing wanita jika tidak tahan dengan ujian. Bukankah gagal dalam percubaan pertama mengajar kita untuk berusaha lebih keras? Namun, aku akui bahawa Mus mencuba bukan sekali dua tetapi berkali-kali bahkan tidak dapat aku bilang dengan jari. Tidak cukup meskipun ditambah dengan jari kaki.

Aku menjadi seperti orang yang hilang arah. Aku rindukan senyumannya. Aku juga mengenangkan surprise yang sering ia lakukan. Bagi bunga… bagi coklat… bagi itu… bagi ini. ‘Mus, kenapa berdiam diri?’ Aku mula merintih sendiri.

Hendak mencari Mus? Tidak sama sekali. Aku tidak akan terhegeh-hegeh mencarinya meskipun hatiku sebenarnya tidak lepas daripada menyebut namanya. Aku rindukan saat-saat membalas renungannya. ‘Mak! Dia tidak lagi tenung Za,’ aku menangis sendiri.

Aku masih lagi dengan egoku. Tidak boleh dikendurkan sama sekali. ‘Oh Tuhan, bukalah pintu hatinya buatku,’ hanya doa yang mampu aku titipkan. Itu pun sekadar di dalam hati.

‘Mus… bagilah bunga… bagilah nota… suruhlah Zaki, Rafi kirim salam.’ Sah! Aku memang sudah gila bayang. Menurut tips yang kubaca dari Majalah Remaja, simpton penyakit ini turut dikenal sebagai penyakit angau. He… He…

“Za! Za! Ada berita sensasi,” Ernie berkata suatu hari.

‘Alahai DJ tak rasmi Panas.fm ni. Tak habis-habis dengan berita sensasinya,’ aku merungut dalam hati.

“Hah, siapa yang kena tangkap khalwat?” Aku bertanya tanpa berfikir panjang. Apa punya soalan daaaa…

“Ish, ko ingat aku ni wartawan ke? Aku tak kejar isu tu,” marah Ernie. Aik, isu mana pula ni? Aku tak cakap apa-apa pun.

“Ye sayang. Apa yang sensasi sangat tu? Janganlah marah sayang. Aku gurau je. Relax brother,” kataku memujuknya kembali sambil mengunyah gula-gula chew gum yang baru aku beli… eh silap… yang baru aku ‘pau’ di kedai ayahku.

“Mus nak kahwin. Risik tak, tunang tak. Tiba-tiba nak naik pelamin. Kena tangkap basah ke apa,” kata Ernie bersungguh-sungguh. Mulut minah ni memang tak ada insuran. Dah la dunia sekarang tidak dapat lari daripada saman menyaman. Salah sikit, saman. Silap sikit, masuk court. ‘Jangan harap aku nak jamin kalau kau masuk jel,’ bisik hatiku. Apa punya kawan la…

Eh, kejap! Mus nak kahwin? Dengan siapa? Mana comel daripada aku? Kejap! Mana boleh dia kahwin. Kan Mus suka aku. Kan dia tergila-gilakan aku. Eh, mana boleh macam ni. Kan jodoh dia memang dengan aku. ‘Za! Istighfar. Jodoh pertemuan, ajal maut di tangan Tuhan,’ aku mengingatkan diri. Oh, tidak! ‘Oh Tuhan tolonglah aku.’ Sempat lagi aku menyanyikan lagu Min Malek. Sebenarnya, lagu-lagu Min Malek menjadi pilihanku kerana bagiku… meleret-leret pulak aku.

“Jadinya?” Aku berlagak selamba dengan Ernie. Mana boleh gelabah. Jatuhlah saham aku. Hilanglah kemachoan aku selama ini. Oh tidak! Aku tidak sanggup menerima hakikat bahawa ada mata-mata memandangku dan di dalam hatinya berkata, “Zaliza sudah hilang machonya.” Aku tidak sanggup. Tetapi, apa yang harus aku lakukan?

Ernie terkaku melihat reaksiku. Diam seketika.

“Jadinya kenapa sayang?” Aku bertanya lagi.

“Em.. Eh..” Ernie tiba-tiba menjadi gagap. Matanya mula menjadi merah.

“Hei kawan. Relax la. Dia nak kahwin. Bukannya sakit tenat pun. Kalau sakit, kita pergi ziarah,” aku sempat buat lawak meskipun hatiku meronta-ronta kehibaan.

“Mus cakap. Sebelum dia kahwin, dia nak bagi kad khas untuk Za,” kata Ernie lagi. Belum sempat aku bertanya lanjut, ia berkata, “Petang ni, kat loji air jam 5.30.”

“Eh, mana boleh 5.30 petang. Muzik-muzik tu,” kataku.

“Za, please. Buat kali terakhir,” Ernie seakan merayu.

“Ye la, ye la,” kataku. Sebenarnya, aku takut berdepan dengannya. Takut menangis.

“Dahlah Selasa hari tu tak sempat nak tengok cerita Detektif Conan. Nak pergi awal ke tapak konsert la kononnya,”aku berpura-pura merungut di hadapan Ernie.

“Hello brother. Tak macholah tengok cerita kartun,” kata Ernie lantas meninggalkanku.

Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 5.30 petang. Aku nak pergi tak ni? Aku tak sanggup sebenarnya. Takut tiba-tiba aku menangis kesayuan. Hilanglah kemachoaanku selama ini.

“Wei Za, ko tak pergi lagi ke?” Tanya Ernie tatkala ia melihat aku masih terkebil-kebil di hadapan kedai ayahku.

“Malaslah,” aku menjawab ringkas.

“Pergilah. Kali terakhir…” Rayu Ernie.

“Okay.. Okay.. Ko teman aku.”

Alamak! Sudah pukul 6.00 petang. Budak tu ada lagi tak?

Aku mencari-cari. Sah, dia tak ada pun. Kupandang kanan, kupandang kiri… Pandang kanan sekali lagi. Kemudian, lintas. Eh, silap. Aku bukan nak melintas jalan. Aku nak cari Mus.

Macam kukenal sosok tubuh itu. Pasti! Mus masih menungguku. Aku tercari-cari. Manakah kad istimewa yang ingin diberikan kepadaku. Tiba-tiba, hatiku menjadi sayu. Kenapa ni? Oh, tidak. ‘Zaliza, macho beb!’ Kataku dalam hati menguatkan diri.

Kulihat Mus tertunduk. Di tangannya, ada sekeping sampul kad berwarna pink. Ah, sayunya. Aku berjalan menuju ke arahnya. Jantungku berdegup kencang. ‘Ya Allah. Kuatkan hati hambamu. Aku tidak mahu menangis. Ya Allah, ya Allah,’ aku berdoa di dalam hati.

Mus kini berada di hadapanku. Namun, kepalanya masih ditundukkan ke tanah. Aku? Hilang machoku apabila aku juga tertunduk ke tanah. Mataku mula berkelip, sebagai tanda hujan mahu turun. Hujan? Sejak bila hujan turun dari mata. Betullah kata ayahku. Potensi diriku tidak melayakkan aku menjadi guru. Kasihan anak muridku… mendapat ajaran sesat lagi menyesatkan.

Tanpa memandangku, Mus menghulurkan sampul pink yang dipegangnya. Tidak semena-mena, air mataku tumpah. Walaupun tiada esakan, ia turun laju umpama tendangan bola daripada kasut ciptaan Profesor Agasa kepada Conan.

“Kenapa jual mahal sangat? Murah sikit pun OK,” kata Mus lantas meninggalkan aku. Kulihat ia tersenyum. Mus berjalan menuju ke arah Ernie. Tanpa menoleh kepadaku, ia terus meninggalkan aku.

Kini, kedengaran esakanku. Kulihat Ernie tetapi dia juga tersenyum. ‘Kurang asam punya kawan. Sukalah tu. Hilang macho aku apabila menangis,’ marahku dalam hati.

“Za, tengoklah kad kahwin Mus tu,” pintanya seakan tidak sabar. Al-maklumlah, bakal isteri Mus bukannya aku. Jadi, sudah pasti berkobar-kobar perasaan ingin tahunya.

Lantas, aku pun membuka sampul pink yang diberikan Mus. Eh, tak ada kad kahwin pun. Sekadar sekeping kertas pink kosong. Kata anak orang kaya, nak buat kad pun *kupit ke? Aku terus membuka kertas tersebut….

I love you.

Kenapa jual mahal sangat?Murah sikit pun OK.

Aku tersenyum sendiri. Argh… Mus dan Ernie telah mengenakan aku. Oh, tidak.

Hari-hari berlalu dengan hati yang berbunga. Lagi seminggu, aku akan menjadi milik Mus. Sesuatu yang tidak pernah kuduga walaupun sering aku harapkan. Aku begitu asyik menghitung hari. Semalam, aku dan Ernie belajar ‘tigerwalk’. OK la. Sekurang-kurangnya, dapat membantuku sewaktu berjalan di hadapan mertua.

Kring kring… Alah, siapa pula yang telefon malam-malam buta ni? Aku nak berjiwang pun payah.

“Za, Mus masuk hospital,” kata Ernie.

“Cepat bersiap. Nanti, aku dengan Zaki ambil ko kat asrama. Mak ayah semua dah ke hospital,” tambah Ernie lagi. Aku kepanikan. Teruk ke? Accident ke apa? Aku menjadi tidak keruan.

“Tak ada apa-apa,” pujuk Ernie. Air mataku sudah mula mengalir di pipi. Tidak sabar rasanya untuk tiba di hospital. Itulah, nak kahwin esok lusa tetapi mahu tinggal di asrama lagi. Bukan apa, banyak assignment belum siap. Aku tidak mahu bulan madu kami diganggu oleh tugasan-tugasan kuliahku yang bertimbun. Lagipun, Kolej Bestari dengan rumahku bukannya jauh. Tiga hari sebelum akad nikah, aku baliklah ke rumah.

Setibanya di hospital, kulihat semua orang berwajah sayu. Apa yang berlaku? Kulihat ayahku… diam. Ibuku juga diam. Kulihat semua orang terdiam. Apa sudah terjadi? Jeritku dalam hati. Tiba-tiba, ibu Mus berjalan ke arahku. Aku memandangnya dengan seribu satu harapan. Moga-moga ada berita baik buatku.

Lantas, ia menyerahkanku sebuah kotak yang sudah dibungkus. “Bukalah,” katanya. Aku cepat-cepat membukanya. Oh, tidak. Satu set CD Detektif Conan yang menjadi idamanku.

“Za tak suka bunga. Bunga macam orang perempuan,” kataku suatu hari. Eh, aku kan perempuan.

“Dah tu, Za nak apa?” Tanya Mus.

“Satu set CD Detektif Conan,” kataku tanpa berselindung. Biarlah ia tahu bahawa aku bukanlah semacho yang disangka. Terselit sikap kebudak-budakan dalam diriku.

“Mus dalam perjalanan dari Bandar KT. Katanya, nak bagi surprise kat Za. Tiba-tiba, dalam perjalanan pulang, ia dilanggar lori balak. Hancur kereta dan Mus tidak dapat diselamatkan lagi,” terang ibu Mus panjang lebar.

Tanpa berkata apa-apa, aku bergerak perlahan menuju ke pintu keluar hospital. Aku berjalan sendiri tanpa memandang sesiapa. Kutundukkan wajahku. Tidak sanggup aku melihat mata-mata yang memandangku.

Benarlah kata Mus satu ketika dahulu.“Mus yakin. Kalau ada jodoh, pasti tak ke mana. Mahal pun dapat punya,”

Ya, benar Mus. Kalau dah jodoh, pasti tak ke mana. Kalau tiada jodoh, pasti tak ke mana jua. Segalanya sudah ditentukan sejak azali.


Nota :

* kupit - kedekut

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.