Home Cerpen Cinta Pilihan ke 2
Pilihan ke 2
AnnSelasih
18/12/2017 22:59:03
3,344
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Pilihan ke 2. 


Badar masih berkira-kira akan langkahnya ketika lelaki itu menyerang. Ternyata ketangkasan berjaya mengatasi keberanian. Hujung pedang Perwira milik Badar berjaya menghiris tengkuk Sang Panglima. 


Serta-merta lelaki itu menerkup ruang kulit yang ternganga biarpun darah telah membuak-buak keluar dari celahan jarinya.

"Kau terlalu memandang rendah akan pewaris sebenar tahta Inderasakti. Aku ini berdarah pejuang sejati. Keturunan Maharaja yang rela mempertaruhkan nyawanya demi jiwa yang luhur mentaati."


Aneh! Kata-kata yang dihambur Badar bersambut senyuman sinis. Meskipun di ambang maut, panglima itu masih mampu mengejeknya. Sejurus lelaki itu terduduk lalu tertirap, warna merah berlumba-lumba mencemari tanah.


Badar juga turut terduduk. Tenaga tiba-tiba sahaja meninggalkan tubuhnya. Tangan yang dilarikan ke perut diangkat separa dada. Darah memenuhi seluruh tapak tangannya.

"Bangsat!"

Ketawa kuat Badar memecah kesunyian medan tempur. Tiada lagi musuh yang masih bernyawa di situ. Kesemuanya rebah di hujung pedang Perwira. Badar telah mengatur rencana agar dia dan pasukannya berpecah. Dia rela berpetualang sendirian. Lebih mudah mencari sumber masalah. Cuma, dia tidak menyangka bahawa dia juga bakal berkongsi nasib dengan Panglima Asad. Entah bila bilah pedang lelaki itu menghiris perut, Badar tak pasti. 


Tangan masih kuat berpaut pada pedang yang tercacak di tanah tatkala muncul suara yang memanggil-manggil namanya. Dalam pandangan yang semakin kelam, wajah ibu semakin jelas.

"Bertahan Badar. Hanya kau sahaja harapan kami."

                  ~~~~~~~~~~~~


Bunyi kocakan air menyimbah bejana mengganggu lenanya. Meskipun melekat kuat, Badar berusaha membuka kelopak mata.

"Shhh... tidurlah. Kau terlalu lemah."

Merdu sungguh suara wanita yang memujuknya. Benarlah ibu yang dia lihat tadi. Bau asap yang menusuk hidung menambah kantuk. Mata Badar tertutup kembali.

                  ~~~~~~~~~~~~~~


Kali ini kokokan ayam jantan terus membuat mata Badar terbuka luas. Persekitaran kelam turut mengejutkan lelaki itu. Sebaik sahaja dia bangun dari pembaringan, kesakitan terus menyengat. Badar duduk semula di atas katil bagi mengurangkan kesakitan.

"Jangan paksa diri, anak. Lukamu agak parah. Rehatkan diri."


Badar berpaling ke arah suara tadi. Sinar cahaya dari dian api menyuluh pandangan. Seorang lelaki masih asyik memegang tasbih, kemas bersila di atas tikar sejadah.

"Di mana aku? Dan siapa kamu?"


Lelaki berusia separuh abad itu berhenti berzikir. Renungannya jatuh ke tempat sujud. Soalan Badar dijawab ringkas.

"Tempat ini bernama Bukit Tempua. Aku hanya hamba Allah yang ingin menolong."


Enggan menyambung tidur, Badar menyandarkan badan ke dinding. Tak banyak barang yang dia boleh nampak di dalam bilik itu. Sehelai kain perca ada terendam di dalam mangkuk di sisinya.

Badar bagaikan tidak wujud di situ. Lelaki itu meneruskan ibadatnya tanpa menghiraukan Badar. Setelah itu, dia keluar meninggalkan Badar di dalam kamar.


Bersendirian membawa Badar hanyut jauh di alam lamunan. Hanya satu wajah yang mengisi ruang kepala iaitu Puteri Balqis. Wanita itulah penyebab dia memulakan perjuangan yang panjang ini. Air mata dan tangisan wanita itu pula pembakar obor semangat Badar. Meskipun berjuang bersendirian, Badar tak pernah gentar demi pembelaan terhadap wanita itu. 


Hanya sekali pintu diketuk lantas terbuka luas. Seorang gadis sedang menatang dulang menuju ke katil Badar. Langkah kaki Si gadis berhenti di separuh jalan. 

"Oh! Dah sedar rupanya."

Wajah yang semakin merona merah cuba disembunyikan ke sisi. Agak lama gadis itu berdiam diri sebelum berpaling untuk berpatah balik.


"Aku tak berniat nak bunuh kamu. Nak bangun pun tak cukup tenaga."

Barangkali sapaan sulungnya terlalu telus. Wajah si gadis berubah sekali lagi. Badar kalihkan renungan tajamnya tadi ke tangan.

Bunyi dentingan tembikar berlaga semakin dekat. Badar putuskan untuk membiarkan sahaja si gadis menyempurnakan tugasnya.

"Silalah makan."


Suara itu merubah keputusan Badar. Buat kali pèrtama, mereka saling bertukar pandangan. Ya, suara merdu itulah yang memujuknya dahulu, Badar pasti sangat.

"Saudari... terima kasih."


Muka yang tampak ketakutan tadi mempamerkan keindahan. Ukiran senyuman si gadis menaikkan seri wajahnya. Dia berlalu tanpa sebarang kata.


Hari berlalu terlalu perlahan di rumah kayu itu. Teratak itu hanya dihuni Pak Hamzah dan si gadis, Dara. Rutinnya juga sama. Pagi-pagi lagi gadis itu sudah menghidang makanan buat Badar. Setelah matahari mula meninggi, harinya hanya ditemani Pak Hamzah. Orang tua itulah yang akan mengubati lukanya. Menurut Pak Hamzah, luka dalamannya lebih memakan masa untuk sembuh. 


Sebaik sahaja tenaga sudah kembali, Badar segera meninggalkan katil. Tak betah dia berdiam lama-lama dengan orang asing. Dia punya perhitungan untuk diselesaikan.

Udara pagi benar-benar menyegarkan. Sebanyak mungkin Badar cuba memenuhkan rongga dada dengan angin nyaman itu. Kemudian barulah dia mula memanaskan badan dengan gerakan-gerakan ringkas.

Walaupun sepenuh tumpuan diberikan bagi memulihkan tenaga dalaman, ekor mata Badai masih menangkap kelibat Dara sedang menuruni tangga. Pakaian kotor memenuhi tangan gadis itu.


"Hamba percaya sikit masa lagi anak akan pulih sepenuhnya."

Suara Pak Hamzah mengalih perhatian Badar serta-merta. 

"Hamba terhutang budi pada bapak. Andai ada cara untuk hamba balas, ujarlah. Hamba akan cuba sedaya upaya memenuhinya."

Pak Hamzah ketawa deras.

"Berhati-hati dengan apa yang kamu tuturkan. Hajat aku mungkin tak tertunai dek anak."

"Hutang darah dibayar darah. Hutang budi dibawa ke mati. Itulah pegangan hidup hamba. Hamba akan berpegang pada setiap janji."

Bahu Badar diusap lembut. Pak Hamzah pamer senyuman lebar. 

"Itu pegangan hidup yang mulia duhai anak muda. Janji itu adakalanya sukar untuk dilunasi. Ia diluahkan dari hati. Oleh itu, hanya kepercayaan dari hati yang sama sahaja mampu mematerai janji yang ditaburi. Jika tidak, janji itu akan membusuk di mulut."


Kata-kata Pak Hamzah membekas lama di benak. Badar meningkatkan latihan tubuh sedikit demi sedikit. Payah dia nak memberi sepenuh tumpuan apabila hati asyik berkata-kata. Sedar tak sedar hari cepat sahaja berkalih ke petang. Badar menghentikan gerakan badan apabila mendengar suara lembut menyapa. Dara berdiri di depannya sambil menghulurkan kain pelikat.

"Aku tak perlukannya."

Huluran pertolongan Dara ditolak lembut.

Dara terbatuk-batuk. Nampak benar sengaja dibuat-buat. Tangan itu masih mendepa ke depan memegang kain. 

"Aku tahu. Aku bagi kau pinjam sebentar sahaja. Kau perlukannya. Sekurang-kurangnya demi aku."

Kata-kata Dara membuatkan dahi Badar berkerut. Dia masih tidak mengerti akan maksud si gadis.

"Celanamu... terkoyak."

Sebaik sahaja wajah dara menunduk ke tanah, cepat-cepat Badar menggagau ke belakang tubuh. 

"Oh!"

Kain di tangan Dara segera disentap. Seluar dilucutkan di situ juga.

Ah! Wajahnya terasa pijar ditenung Dara sebegitu. Sekali lagi gadis itu mendepa tangan.

"Biar aku jahitkan seluarmu."


Meskipun teragak-agak, Badar turuti jua kemahuan Dara. Satu pemandangan yang asing di mata Badar. Dia dan seorang gadis duduk sebelah-menyebelah di pangkin. Hidupnya tak pernah berteman perempuan selain daripada ibu. Bukan dia tak mahu, tetapi impian tidak membenarkannya untuk bersantai dan bersenang -lenang. Sinar pagi disambut dengan nyalaan dendam. Manakala harinya berakhir dengan semangat juang yang semakin mendalam.

"Tinggal di tempat terpencil sebegini hanya berdua... sudah pasti hanya kesepian yang sudi menjadi teman."


Badar cuba membuang perasaan janggal dengan perbualan. Dalam masa yang sama dia juga sedar, pembuka bicaranya hanya menambahkan lagi kejanggalan. Mungkin dia patut bertanya soalan yang ringkas sahaja, bukannya merumus.

"Tak juga. Sepi itu tetap ada biarpun kita di kelilingi manusia andai di jiwa tiada yang saling berkait."

Gadis ini pandai bermain kata. Badar mencuri pandang. Koyakan panjang celananya telah mula berjahit.

"Hidupku lebih banyak berteman sepi daripada manusia."


Dara berhenti menjahit seketika. Peryataan bersahaja yang terbit dari mulut Badar kedengaran dalam maksudnya pada Dara.

"Apa salahmu sehingga tiada yang sudi membuat teman?"

"Salah yang bukan salahku. Salah di mataku yang bukan kesalahan pun di mata orang lain. Aku hanya ingin menjadi anak yang taat. Mengabulkan impian orang tuaku."


Badar melarikan pandangan ke sekitar. Ternyata teratak itu di kelilingi hutan tebal.

"Hanya kau dan Pak Hamzah sahaja diam di sini?"

"Hmm... Ya. Ini bukan kediaman kami. Tempat ini hanya untuk perlindungan sementara."

Badar ketawa kecil sebelum meluah pendapat.

"Berlindung? Dari apa? Orang tua itu tak nampak seperti manusia yang suka mencari musuh."

Jari-jemari Dara rancak menarik benang. Dia bersetuju dengan kata-kata Badar.

"Benar. Kami tak mencari musuh tetapi mengelak dari ditemui musuh."

"Siapa musuh kalian?"

Soalan ditanya tanpa berselindung. Badar lebih gemar berterus terang.

"Musuh yang sudah ditakdirkan. Aneh sungguh takdir hidup ini. Kenal pun tidak tetapi sudah bergelar musuh. Aku tahu dia sedang gigih memburu kami."


Dara mengangkat jari- jemari runcingnya ke hadapan. Sekilas dia menoleh ke tangan Badar sebelum menjatuhkan tangannya semula. Kemudian dia tunduk menyambung jahitan. 

"Tangan aku terlalu halus untuk mengekang kemaraannya. Barangkali aku patut biarkan diri ini disembelih sahaja."

Entah kenapa luahan hati si gadis menerbitkan kegusaran kepada Badar. 

"Selagi tiada apa yang terjadi, selagi itulah tiada apa yang telah ditakdirkan. Apa yang bakal berlaku itu adalah pilihan hati kita, bukan menurut ketentuan tangan itu."

Buat seketika anak mata mereka saling bertatapan.

"Aku harap apa yang kau ujarkan itu adalah benar belaka, Badar."

Dara menyerahkan kembali seluar Badar dan beredar dari situ.


Malam itu dicemari dengan keriuhan derapan tapak kaki kuda. Halaman teratak Pak Hamzah terang benderang dengan nyalaan jamung-jamung. 


"Maafkan hamba kerana mengganggu Wazir pada waktu sebegini. Hamba membawa berita duka dari istana. Kita tak punya banyak waktu. Tahta kerajaan Inderasakti tidak boleh lama-lama tidak bertuan."


Berita yang baru diterima daripada mulut Datuk Temenggung sendiri disambut dengan ucapan peringatan kepada Tuhan. Pak Hamzah tertunduk menahan duka.

"Innalillahi wainnailaihi rajiun."


"Perajurit Puteri Balqis semakin menghampiri kota. Puteri Dara Kesuma perlu kembali ke istana sesegera mungkin untuk ditabalkan sebagai Ratu Inderasakti. Dengan adanya ketua pemerintah, rakyat jelata akan bersatu hati menentang pemberontakan Puteri Balqis."


Wazir itu mengerti akan maksud menteri bawahannya itu.

"Bukan aku yang berhak membuat keputusan itu tetapi Puteri Dara Kesuma sendiri."

Kata-kata sang wazir segera dibidas.

"Tetapi Puteri sudah pasti akan menurut kata-katamu!"


Wazir Hamzah berpaling ke belakang. Puteri Dara Kesuma sedang berdiri ambang pintu. Air mata berderai laju di pipi puteri. Tangannya kuat berpaut di dinding, menahan diri dari terkulai. Tetamu malam membawa berita kemangkatan ayahandanya. 

"Masuk ke bilik dulu Dara. Biar aku berbicara dengan Datuk Temenggung dahulu."

Puteri Dara Kesuma menggeleng kepala. 

"Beta sudah membuat keputusan Wazir. Beta akan kembali ke istana."

Hanya satu langkah sahaja, Puteri Dara Kesuma sudah tidak dapat meneruskannya lagi. Ada mata pedang melintang di lehernya.

Semua hadirin tersentak. Pengiring Datuk Temenggung berubah rentak. Senjata tajam segera dikeluarkan lalu diarah kepada Puteri Dara Kesuma dan lelaki yang berdiri rapat di belakangnya. 

Badar berteriak, "Buka jalan! Atau riwayat bakal Ratu kamu akan aku tamatkan di sini sahaja."

"Ikuti kemahuannya!" jelas suara Wazir Hamzah membenarkan perlakuan lelaki itu. Baginya nyawa Puteri Dara Kesuma perlu dipelihara terlebih dahulu.

Perlahan-lahan tubuh Dara disorong Badar ke depan sehingga menghampiri seekor kuda. 

Acahan tombak dan pedang tidak dihiraukan. Apa yang ada di tangan Badar lebih berharga daripada dunia dan seisinya. Badar tahu gerak gerinya tak akan dicabar. Dara diangkat ke atas pelana kuda sebelum dia turut menunggang bersama. 


Badar sedar dia sedang dikejar oleh orang-orang Datuk Temenggung. Namun, ketangkasannya dalam mengawal kuda tiada bandingannya. Binatang itu bagai meluncur di udara, pantas membelah kabus dan angin malam meninggalkan musuh jauh di belakang.

Apa yang Badar tidak sangka adalah tindakan Dara. Gadis itu hanya diam dan menurut dari awal lagi sehingga Badar melonggarkan kawalannya. 


Dalam satu hayunan, tujahan siku Dara tepat mengena luka di perut Badar. Di saat Badar mengerang kesakitan, Dara meronta dan menarik tali pemacu kuda. Tersentak, binatang itu meringkik kuat seraya mengangkat tubuh tinggi sebelum berhenti mengejut. Dara dan Badar terhumban ke lurah bukit. 


Di saat kedua-duanya saling bergolek-golek, Dara sedar tangan Badar senantiasa membelit di kepala dan tubuhnya. Mereka tercampak jauh sehingga ke hujung lurah. Ketika Dara membuka mata, Badar masih terbaring di bawahnya. Tangan lelaki itu masih erat di tubuh Dara.


Sebaik sahaja Badar tersedar, dia segera melepaskan pelukan. Anak matanya meratah seluruh tubuh Dara. 

Bagai mengerti maksud pandangan Badar, Dara memaklumkan tentang dirinya.

"Aku... tak apa-apa. Bimbangkan keselamatan kau dahulu. Orang-orang aku masih mengejar di belakang."


Sungguh, sehingga di saat itu dia masih keliru. Adakah dirinya musuh bagi Badar atau sebaliknya. Dara tahu tangan kekar Badar itulah yang melindungi tubuhnya dari tikaman dahan pokok dan duri ketika mereka terjatuh tadi. Wajah lelaki itu sedikit berkerut ketika dia cuba duduk.

Tanpa segan silu, Dara segera menyelak pakaian Badar. Pada bajunya ada tompokan warna merah. Luka yang semakin bercantum kini ternganga kembali. Dara mencarik hujung bajunya lalu diikat kemas meliliti luka dan tubuh Badar.


"Adakah kau musuh yang ditakdirkan buatku? Adakah kau tahu aku ini lawanmu dari awal pertemuan kita?"

Suara lelaki itu diselubungi sebak. Dara menyudahkan lilitan yang terakhir lalu menyimpul mati ikatan itu.

"Aku perlu kenal siapa lawanku. Bagaimana hati dan budinya sebelum membuat keputusan adakah dia layak bergelar musuh."


Tangan gadis itu dicapai. Kini jari-jemari yang halus itu berada di dalam tangan kekar Badar.

"Lalu apa kata hatimu? Apa takdir yang kau pilih?"


Di luar dugaan Badar, sebelah lagi tangan Dara yang masih bebas mencapai badik yang disembunyikan di celah betisnya.

Kini muncung tajam badik menghala tepat ke arah Badai.

Nada suara Badar amat tenang dia berkata, "Itukah keputusanmu?"

Ada rembesan air di mata lelaki itu sedangkan bibir Dara merekah senyum.

"Ia. Inilah yang aku telah putuskan. Jika kau tak sanggup melakukannya, biar sahaja aku lakukan untukmu."


Agak lama mata bundar Badar ditatap Dara, bagaikan itulah pertemuan mereka buat kali terakhir. Tenungan itu semakin lunak ketika Dara mengucapkan kalimah yang menyedarkan Badar akan niat sebenar gadis itu.

"Jadilah Raja yang melindungi rakyatmu sepertimana kau melindungi aku."

Dalam satu gerakan pantas, muncung tajam badik bertukar arah. Hujungnya menghala ke halkum Dara lalu menujah ke situ.

"Jangan Dara!!"

Terketar-ketar tangan Badar melawan kekuatan Dara. Kulit gadis itu telah mula bercalar. 

"Tak mengapa Badar. Lepaskan tanganmu. Andai ini sahaja jalan yang ada demi kemakmuran rakyat Inderasakti, biarlah aku yang membukanya buatmu. Dendam keturunanmu, kau tamatkan sahaja dengan nyawaku."

Titis jernih mengalir laju dari mata Dara. Badar dapat melihat dengan jelas akan sebuah keikhlasan yang terbias di dalam bening mata itu.

Badai memejamkan mata. Seluruh kekuatan dikumpulkan untuk melawan kemahuan Dara. Badik yang berjaya dirampas, dilempar jauh-jauh. Malunya telah hilang. Dara dibawa ke pangkuan lalu didakap erat.


"Dendam dan kesumat itu bisa memadamkan sejuta kebaikan meskipun terserlah jelas di depan mata. Mungkin itulah yang orang tua kita nampak sesama mereka. Sedangkan kita yang hanya mendengar dan merasai ceritera dendam dari mulut mereka masih mampu memilih permata dari sejuta kaca yang berderai. Aku pasti itu yang kau lihat dalam diri ini."

Belakang Dara diusap lembut. Gadis itu masih tenggelam dalam tangisnya.

"Bagi aku pula, dendam dan impian itu telah terpadam dengan siraman air matamu, Dara. Dadaku kini terisi dengan kasihmu, andai kau sudi menerimaku."

Badai melepaskan kelegaan. Dara telah membalas pelukannya. Dia membiarkan sahaja gadis itu teresak di dada. Buanglah segala yang keruh, Dara. Kita ambil sahaja yang jernih dan bina impian baru.

"Usah khuatir Dara. Andai tiada jalan yang terbentang buat kita, akan aku tarah jalan yang baru untuk kau lalui dengan selamat."

Kehangatan tubuh Dara menebarkan ketenangan di seluruh jiwa. Badar merenung purnama di langit dengan hati yang syukur.


Dua pasang mata hanya memerhati perlakuan teruna dan dara itu dari celah batang buluh. Walaupun alam kelam disuluh cahaya bulan, apa yang sedang berlaku amat jelas.


"Oh! Padanlah pelik benar kelaku Wazir tadi. Menegah pengiring hamba bersama-sama mengejar mereka. Rupa-rupanya Wazir telah dapat menduga apa yang bakal terjadi. Hurm... Siapakah gerangannya, Wazir?" Datuk Temenggung berbisik.

"Putera tunggal Puteri Balqis. Salah seorang pewaris tahta Inderasakti, Tengku Badruddin Syah. Musuh menggelar baginda Badar Perwira. Bagindalah yang telah menewaskan pasukan pertahanan Panglima Asad demi menjejaki kami. "

Datuk Temenggung melepaskan keluhan berat. Dia bertanya lagi.

"Lalu, apa rencana Wazir?"

Wazir Hamzah mengulum senyuman.

"Alhamdulillah. Munajat malamku telah dimakbulkan Tuhan. Kita patut bersiaga untuk majlis keraian yang paling gemilang di Inderasakti."

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.