Home Cerpen Cinta Hadiah Hari Raya
Hadiah Hari Raya
Siti Norshimah Binti Md Yasan
10/6/2016 21:40:20
3,993
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

HADIAH HARI RAYA

Daniel memandang tepat ke arah wajah Farhan dengan seribu tanda tanya. Apakah betul apa yang diperkatakan oleh Farhan itu tadi? Atau dia yang tersalah dengar. Namun dengan riak wajah Farhan yang beria-ia dan serius membuatkan Daniel merasakan ada kebenarannya. Farhan senyap. Dia menggulungkan kertas dengan gulungan kecil.

“Kau tahu tak apa belum ada orang buat macam mana yang kau buat sekarang ni. Kau dah hilang akal ke? Kau jangan nak bergurau dengan semua ni.” Ujar Daniel dengan tidak percaya apa yang akan dilakukan oleh Farhan.

“Kau tengok muka aku ni ada macam orang nak bergurau ke?”

Daniel menggeluh. Farhan, sahabat yang dikenali sejak di bangku sekolah lagi sebelum ini tidak seperti Farhan yang sekarang ini. Farhan dulu seorang yang ceria, suka bergurau dan senyuman sering kali terukir di bibirnya. Dan sekarang? Sejak lima tahun lalu, di saat Lily meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya wajah Farhan hilang serinya. Gurauannya juga mati dengan tiba-tiba. Ceria, tiada di dalam kamus hidupnya kini.

“Muka kau sama je aku tengok. Nak senyum punyalah payah. Apa lagi kau nak gelak tawa. Orang tengok pun takut dengan kau. Jambang kau tu, bilalah nak terang.” Bebel Daniel membuatkan Farhan merenungnya tidak puas hati.

“Erm…. Kau dengan umi aku sama je. Apa? Jambang aku ni ada ganggu kau ke?”

“Bukanlah…. Aku tengok kau ni bila nak berubah? Dah lima tahun Lily pergi. Takkan kau nak terus macam ni? Aku pasti Lily pun tak nak tengok kau macam ni. Tak terurus langsung.” Daniel sedaya upaya memberi penilaian agar sabahatnya itu boleh berubah.

“Kau tak faham, Daniel. Masakan aku boleh lupakan Lily begitu sahaja. Tiada siapa yang boleh menggantikan tempat dia.”

“Itu aku tahu. Apa yang penting kau tak boleh menolak takdir. Aku yakin ada jodoh untuk kau dan kau perlu ingat tu. Tapi yang aku pelik kau nak buat apa sebenarnya ni? Aku tak faham.”

Tangan Farhan masih lagi menggulungkan kertas yang mengandungi nama.

“Kau ingat jodoh tu macam nak beli ikan kat pasar ke? Sampai kau nak semua nama staff perempuan dalam syarikat kita ni?”

“Yang kau bagi ni semua yang belum kahwin kan?” Jawapan Daniel tidak dijawab sebaliknya dia terus meletakkan kertas yang sudah di gulung di dalam bekas.

“Erm… macam yang kau minta. Dari cuci pejabat ni sampai yang atas sekali. Tapi aku tak nak ambil risiko kalau kau tersalah pilih. Buatnya kau cabut keluar nama Cik Gayah tu naya kau.” Farhan tersentak apabila nama Gayah terlintas dari bibir Daniel. Tangannya yang sedang memegang cebisan kertas tidak jadi diletakkan. Dia sudah tekad tadi. Sekali dia menarik nama dia tidak akan diletakkan semula. Ya, dia terpaksa menanggung risiko.

“Cik Gayah yang anak dara tua tu pun kau masuk juga ke?”

Daniel angguk. Farhan menelan air liur dan ianya bagaikan tersekat di kerongkong.

“Kau biar betul.”

“Dah kau yang nak macam tu. Aku ikut je. Aku mana tahu yang kau nak buat cabutan untuk ‘bakal isteri’ kau.” Sengaja Daniel menguatkan suara dengan perkataan ‘bakal isteri’.

“Aku buat ni pun untuk kebaikan aku juga.”

“Ye…. Banyaklah kebaikan kau. Jangan kau lukakan orang yang kau pilih tu sudahlah. Ni, aku nak tanya. Aku masih tak faham dengan apa yang kau nak buat.”

“Umi aku dah beri aku kata putus. Pilihan aku atau dia. Diana? Bukan pilihan aku. Dia nak tunangkan aku raya ketiga nanti. Aku tak nak bertunang dengan dia.” Terang Farhan. Kini barulah dia menceritakan segalanya yang bersarang difikirannya.

“Bukan ke sebelum kau dengan arwah Lily kau couple dengan dia?” Daniel cuba untuk mengingatkan sahabatnya itu.

“Ye, memang. Dan dia juga yang tinggalkan aku. Menduakan aku. Dan sekarang? Aku tak faham kenapa dengan umi aku yang beria-dia suruh aku pinangkan dia.” Farhan masih lagi memegang cebisan kertas yang masih belum dibuka gulungannya.

“Jadi?”

“Inilah yang perlu aku buat.” Tekad Farhan.

“Dan melukan hati orang lain untuk melepaskan masalah kau? Sampai bila? Atau kau memang nak berkahwin dengan hubungan yang sendiri kau cipta ni. Apa yang dah merasuk dengan kau ni, Farhan.” Daniel seolah-olah tidak setuju dengan apa yang bakal dilakukan oleh sahabatnya itu.

“Aku akan pastikan sampai masa dia akan mengerti. Dan sudah pasti aku akan lepaskan dia bila Diana berkahwin.”

“Sampai bila Farhan? Sampai bila? Jangan kau patahkan hati insan yang kau pilih apalagi kau musnahkan masa depan dia.”

“Aku tahu apa yang aku akan buat, Daniel. Kau jangan risau.”

Farhan membuka dan ada kerutan pada wajahnya. Dia mengamati nama itu. Namun yang pasti bukan nama Gayah.

“Mastura? Cleaning department?” Daniel ketawa disaat Farhan membaca nama yang tertera di atas kertas kecil itu.

“Nak sangat, kan? Ambik kau. Sekarang? Macam mana? nak berundur?” Daniel masih lagi memberi harapan untuk melupakan hasrat Farhan itu.

“Pantang maut sebelum ajal. Ini akan buatkan kerja aku lebih senang. Kau panggil dia sekarang ni.” Daniel lantas menekan butang interkom dan meminta Reisya memanggilkan Mastura.

Tidak lama kemudian, pintu diketuk berkali-kali. Kelihatan masuk seorang pekerja memakai seragam biru dan tertulis Cleaning Deparment di atas saku kirinya.

“Encik Farhan panggil saya?” Mastura tunduk. Ada getaran pada suaranya. Sudah banyak cerita yang didengar dari rakan-rakan tentang Farhan. Garang, serius, dan wajahnya sering kali mempamerkan wajah yang sentiasa masam. Walau pun dia baru bekerja 5 bulan namun cerita-cerita yang didengarnya bagaikan dia sudah lama kerja di syarikat itu. Yang pasti semua cerita yang didengarinya adalah cerita-cerita yang tidak enak didengarinya. Namun pada pendapat Mastura majikannya itu adalah seorang yang setia.

Farhan memerhatikan Mastura dan dalam masa yang sama dia juga menjadi penilai. Dan memang ternyata gadis yang berdiri di hadapannya … uh! Muda tapi dah rupa macam makcik yang berumur 50 tahun.

“Saya ada buat salah ke, Encik Farhan?” Mastura tidak betah untuk bertentang mata dengan Farhan selagi lelaki itu memandangnya.

“Dah berapa lama awak kerja?” Tegas sahaja suara Farhan. Sesekali dia memandang ke arah Mastura. Nampak gadis itu penuh dengan ketakutan. Garang sangatkah dia? sampai Mastura tunduk bagai ingin tembus lantai pejabat itu.

“Baru lima bulan, Encik Farhan. Ada apa yang tak kena ke?”

“Saya rasa baik awak kemaskan barang awak sekarang juga.” Mendengarkan penjelasan Farhan serta-merta air mata Mastura tumpah. Saat itu wajah ayah, ibu dan adik-adik bermain diruang matanya. Ah, kemanakah lagi kaki ini harus melangkah andai tiada rezeki di sini? Apakah yang telah dilakukan sehingga dia diperlakukan sedemikian.

“Yang awak menangis kenapa?” Daniel yang sedari tadi menjadi penonton mula bersuara.

“Saya diberhentikan kerja.” Perlahan sahaja suara Mastura. Daniel gelak. Sedangkan Farhan? Wajahnya tiada perubahan yang ketara. Tetap dengan wajah yang serius.

“Bila masa pulak saya nak berhentikan awak kerja?” Tanya Farhan memandang Mastura dengan rasa yang bersulamkan kasihan. Teruk sangatkah arahan yang telah diberikan tadi sehinggakan Mastura boleh mengalirkan air mata?

“Encik Farhan suruh saya kemaskan barang?”

“Saya suruh awak kemaskan barang supaya saya boleh menggajikan awak di rumah ibu saya.” Mastura menggurutkan dada tanda lega. Kalau betullah diberhentikan kerja, mana lagi mahu dicari rezeki. Pulang ke kampung? Bukan pilihan utamanya.

“Tapi…. Saya baru kerja sini.”

“Saya yang menggambil pekerja dan bila masa sahaja saya boleh memberhentikan orang.” Aduh! Angkuhnya!

“Awak duduk mana? Dengan siapa?” Pertanyaan dari Farhan itu membuatkan Mastura agak terkejut. Betapa beraninya majikaannya itu. Tanpa berselindung dia bertanyakan itu dan ini.

“Saya duduk di Kerinchi. Tinggal dengan kawan. Sebab mak adan ayah saya jauh di kampung.”

“Bagus! Saya nak lepas kemaskan barang di sini saya nak awak juga kemaskan barang di rumah awak. Bawa baju dan apa yang patut sebab awak akan tinggal dengan saya.”

“Apa?” Berbular biji mata Mastura bila ayat yang diucapkan oleh Farhan memang menakutkan. Daniel? Dia lebih tersenyum dari bersuara.

“Eh, bukan. Dengan ibu saya. Sebelum ni pun orang gaji di rumah ibu saya akan diberikan satu bilik khas. Dan gaji awak juga saya akan berikan satu ribu dan jika kerja awak memuaskan saya akan naikkan gaji awak.”

“Satu ribu? Angka Nampak lebih dari apa yang diperolehinya kini. Ah, rezeki jangan ditolak, dan musuh usah dicari.

Tanpa berfikir panjang Mastura menerima akan tawaran yang diberi oleh Farhan tanpa menyedari ada rancangan disebaliknya. Dia terus keluar dari bilik Farhan dan segera mengemas barang-barangnya dan segera meninggalkan pejabat apabila mengetahui Farhan menantinya di kereta. Sampai sahaja di kerata ternyata Mastura mula merasa serba salah. Farhan yang sedang duduk di tempat memandu nampak tenang walau pun jambang menghiasi wajahnya sudah cukup membuatkan Mastura merasa amat SERAM! Akhirnya Mastura mengambil keputusan untuk membuka pintu belakang. Inigin di buka pintu depan seperti tidak layak untuk dia duduk di sisi Farhan.

“Barang awak sudah letakkan di bonet?”

“Dah.”

“Habis tu kenapa awak buka pintu belakang?”

“Nak masuklah.” Entah mengapa tegas sahaja suara Mastura. Mungkin dia merasa tidak senang dengan setiap perbualannya dengan Farhan.

“Awak ingat awak tu bos ke? Atau pun kerata saya ni teksi?” Mastura segera menutup pintu kerata BMW 6 Series milik Farhan. Dia kemudiannya membuka pintu hadapan dengan rasa debaran dan tangan yang kian bergetar. Seumur hidupnya tidak pernah dia mengimpikan kereta mewah itu apa lagi duduk di dalamnya. Mastura memandang sekilas ke arah Farhan. Wajah itu dia amati sebentar. Ternyata dalam jambangan yang menghiasi wajah Farhan namun lelaki itu sebenarnya lembut. Ah, Mastura! Bangun! Mastura tersentak.

Mastura melangkah masuk ke dalam rumah banglo milik keluarga Farhan dengan wajah yang amat kagum. Susun atur perabot dan juga hiasan dalam yang di hias cantik membuatkan Mastura memandang liar. Mastura berdiri di saat Farhan hilang dari pandangan matanya. Mastura mencari kelibat Farhan. Kemudian dia menyalahkan dirinya kerana leka melihat dekorasi dalam ruang tamu itu. Namun penantian Mastura tidak lama di saat Farhan datang dengan seorang wanita yang sudah melebihi separuh abad.

“Ibu, ini Farhan kenalkan Mastura. Seperti mana yang Farhan katakan tadi.” Puan Juita memandang ke arah Mastura dan ternyata setelah Mastura bersalaman dengan Puan Juita dia dipeluk. Alangkah terkejutnya dia dengan perilaku ibu Farhan itu. Namun dia merelakan.

“Mastura…. Memang cantik orangnya. Jangan segan silu dalam rumah ni. Anggap seperti rumah sendiri.” Senyum Puan Juita. Tangan Mastura masih lagi tidak dilepaskan. Farhan berdehem.

“Saya nak ke pejabat balik. Beg baju awak boleh simpan dekat bilik belakang.” Pesan Farhan. Mastura mengangguk. Namun Puan Juita lebih suka membantah.

“Mana boleh dia duduk dalam bilik belakang tu. Tak pe…… biar dia duduk dalam bilik tetamu.”

“Eh… tak pe… bilik yang belakang tu sudah cukup untuk saya. Dekat rumah sewa saya satu bilik kecik pun dah kongsi 3 orang.” Jujur sahaja kata-kata Mastura. Puan Juita tersenyum mendengarkan pengakuan ikhlas Mastura. Seperti mana yang di katakan oleh Farhan, Mastura lebih selesa di bilik belakang. Dan akhirnya Puan Juita bersetuju walau pun tidak rela.

“Balik malam ni, kita cuba rasa masakan Mastura ni.” Kali ini Puan Juita pula yang meninggalkan pesan. Seperti biasa, Farhan mengeluh keras.

“Tengoklah nanti ibu. Kalau tak banyak kerja kat pejabat tu Farhan balik. Tapi janganlah nak tunggu saya pulak.” Farhan yang tidak serumah dengan keluarga lebih senang dan ringkas untuk hidup sendiri. Puas Puan Juita memujuknya, namun anak mudanya itu lebih senang hidup membujang bersama Daniel. Walhal bukan jauh sangat pun jarak rumah keluarganya, namun hasrat untuk berdikari Puan Juita membenarkan juga.

Setelah Farhan menghantar Mastura di rumah keluarganya, maka bermulalah tugas baru Mastura di dalam rumah milik keluarga Farhan. Segala apa yang perlu dibuat maka dibuat dengan kadar segera. Ini kerana dia perlu untuk mengejar waktu makan malam. Namun sebelum sempat dia melangkah ke dapur, dia di panggil oleh Puan Juita. Dengan langkah perlahan dia mengikuti Puan Juita hingga ke tingkat atas. Setelah Puan Juita membuka salah satu pintu bilik di tingkat atas, dia melihat seorang wanita yang lepasi tiga perempat abad itu terbaring lesu. Hatinya mula ternyata.

“Ini ibu mertua makcik. Nenek Farhan. Dah lama dia jadi begini. Setelah suami makcik meninggal tiga tahun lalu.” Ujar Puan Juita sayu. Mastura lantas memegang tangan Puan Rubiah dan bersalaman dengan wanita itu. Dia pasti wanita itu tahu bahawa dia sedang menerima tetamu.

“Saya nak salinkan pampers dia. Kalau tidak keberatan, boleh Mastura tolong?” Mastura dengan ringan tulang lantas mencapai pampers di bawah katil dan dia membantu dengan hati yang terbuka.

“Mastura macam dah biasa je?” Tanya Puan Juita melihatkan Mastura tidak kekok membantu. Malahan juga Mastura yang memberi cadangan untuk memandikan Puan Rubiah memandangkan waktu menginjak petang. Wajah Puan Rubiah juga berseri dengan bedak yang disapu oleh Mastura.

“Ayah saya lumpuh, puan. Biasanya saya akan mandikan dia. Adik saya pula tugas dia pakaikan pampers. Selalunya kami angkat ayah ke bilik air. Kami tak mampu nak beli kerusi roda.” Puan Juita mengangguk faham. Lantas mereka meninggalkan Puan Rubiah setelah wanita itu tertidur. Mastura mula tersedar yang dia masih belum lagi memasak.

Dapur yang begitu asing buat Mastura membuatkan Mastura mengenali tempat di mana letaknya barang-barang asas seperti bawang, garam dan gula. Setelah meninjau barulah dia meminta izin dari Puan Juita untuk ke kedai memebeli barang dapur dan lauk untuk dia memasak. Debaran kian terasa kerana dia tidak tahu akan menu harian keluarga itu. Serba-salah pun ada. Nanti dikatakan ikut lepas tekak dia. Namun sebelum ke kedai dia telah bertanya akan majikannya itu. Dan menu yang menjadi harapan keluarga itu adalah menu masakan kampung.

Waktu berputar pantas. Jam telah menunjukkan ke angka sembilan malam. Mastura sudah pun menyediakan makanan sementara menantikan Puan Juita selesai sembahyang isya’. Mastura tersenyuma puas dengan menunya malam itu. Sayur pegaga masak lemak dengan keledek, Ikan tilapia bakar di cecah dengan air asam, sambal udang, sambal belacan mangga, ulaman dan juga sup sayur untuk Puan Rubiah. Namun sengaja dia memasak lebih seandainya Puan Juita teringin. Puan Juita turun dari tingkat atas sambil melemparkan senyuman kepada Mastura. Sebelum dia ke meja makan, sempat lagi dia meninjau keluar tingkap seandainya Farhan pulang seperti mana yang dipesannya siang tadi.

“Kita berdua sajakah Mastura?” tanya Puan Juita memecah keheningan malam.

“Nampaknya macam tu, puan.” Mastura tahu apa yang dimaksudkan oleh Puan Juita itu.

“Ala…. Dah berapa kali cakap, tak payah nak panggil puan. Panggil makcik je.”

“Tak biasalah puan. Tak manis nanti kalau Encik Farhan dapat tahu.”

“Awak ni merendah diri sangat. Dah, mari duduk makan. “ Ajak Puan Juita. Namun belum sempat mereka menjamah nasi, mereka dikejutkan dengan deruan kereta. Puan Juita mengintai dari dari dalam. Dan kemudiannya senyuman mula terukir di bibirnya. Dia lantas membuka pintu dan memberikan senyuman manis itu kepada Farhan dan Farhana.

“La… Farhan ambik Ana ke?”

“Yelah ibu… ni, Farhan beria-ia sangat nak balik dengan saya bila ibu kata suruh makan malam kat rumah”.

“Habis tu Daniel dah tahu?” Tanya Puan Juita.

“Dah…. Farhan dah beritahu dengan dia.” Farhan lantas menjawab pertanyaan itu sebelum kakaknya itu berkata-kata. Kadang-kala Farhan tidak menyangka rakan baiknya itu bakal menjadi abang iparnya. Dan sering kali nasihat yang berikan oleh Daniel membuat dia serba salah.

“Ini…” Farhana terkejut apabila melihatkan Mastura berada di meja makan.

“Ini Mastura. Ala… sudahlah… makan dulu. Nanti ibu ceritakan. Sedap ni. Rugi kalau tak rasa.” Puji Puan Juita sambil mengajak anak-anaknya makan. Mastura segera menyenduk nasi dan diberikan kepada Farhan dan Farhana. Namun begitu Mastura masih tidak betah memandang ke arah Farhan.

“Ini semua Mastura yang masak ke?” Mastura angguk. Dia menguntum senyum.

“Sedap. Beruntung siapa yang berkahwin dengan Mastura.” Farhana sempat menjeling ke arah Farhan. Namun lelaki itu bertindak dengan tenang. Suap demi suap mula disuakan ke dalam mulutnya. Erm… sedap juga dia masak. Jelingan dari Puan Juita dan juga Farhana tidak diendahkan oleh Farhan. Lantaklah nak buat apa pun janji perut dia kenyang.

“Esok cuti, kan?” Tiba-tiba Puan Juita bersuara membuatkan Farhan sedikit tersentak. Dia memandang sekilas kepada ibunya. Sudah…. Ini mesti ada apa-apa yang disuruhnya.

“Farhan tidur sini. Esok boleh bawa Mastura ni jalan.” Farhan dan Mastura tersentak. Mastura tunduk, sementara nafsu makan Farhan menurun. Mastura tidak berkata apa, sebaliknya hatinya bagaikan bergelora. Jalan? Macam pelik sahaja bunyinya. Farhan tersedak mendengarkan ibunya bersuara.

“Tapi kerja rumah ni siapa nak buat puan?” Mastura berdoa agar cadangan dari Puan Juita itu hanyalah satu cadangan sahaja. Dan bukannya perkara yang dianggap serius.

“Apa salahnya. Bukan selalu….” Farhan memandang ke arah Mastura seolah meminta pertolongan.

“Saya baru sahaja di sini. Takkan nak jalan-jalan pulak.”

“Okey, kalau macam tu biar makcik sekali temankan Mastura berjalan esok. Kita beli baju baru.” Ternganga mulut Mastura dengan kata-kata Puan Juita itu.

“Saya tak faham…. Macam mana orang gaji dulu boleh berhenti kerja?” Mastura pelik. Masakan penerimaan seumpama itu tidak dihargai oleh orang gajian. Farhan masih lagi tunduk. Sedangkan Mastura masih lagi dalam keadaan teka-teki. Ingin sahaja dia bersemuka dengan Farhan ketika itu. Namun Farhan lebih bijak menyembunyikan wajahnya. Dia ingin kepastian dan dia masih lagi tidak faham dengan situasi yang melanda dirinya.

Keesokannya harinya dalam keadaan terpaksa, Mastura memenuhi hajat Puan Juita. Akhirnya bukan dia keluar berduaan, namun dengan Farhan sekali. Farhana sahaja yang menanti di rumah menunggu Puan Rubiah. Dari satu kedai ke satu kedai mereka berjalan. Dan dari satu butik ke butik yang lain Mastura merasa segan dengan kebayakkan baju adalah untuk dirinya. Farhan? Dia hanya di belakang dan tidak memberi pendapat langsung!

“Mas… cuba tengok cincin ni…. Cantik tak?” Mastura mengangguk.

“Kalau Mas, yang mana cantik?” Mastura agak keberatan untuk meluahkan pendapat. Nanti apa pula dikata. Di beri bertis nak peha.

“Ala…. Jangan risau. Makcik belikan untuk Farhana. Marilah tengok.” Mastura sedikit malu dengan ajakan Puan Juita itu. Akhirnya dia memerhatikan susunan cincin yang begitu cantik. Tapi harganya? 10 bulan gajinya belum tentu dia boleh membeli.

“Kalau Cik Farhana saya rasa cincin tu nampak cantik.” Tuding jari Mastura kepada cincin permata yang berbentuk hati itu.

“Pada pendapat saya pun macam tu juga. Tak mengapa, makcik call Ana dulu.” Mastura memerhatikan sahaja kelakuan majikannya itu. Belum sempat juru jual itu mengeluarkan cincin itu, Puan Juita lebih pantas menarik tangan Mastura.

“Kenapa puan?”

“Katanya nak mencari dengan Daniel. Tak mengapalah Mas. Kita jalan ke tempat lain pulak.”

“Dah petang ni puan. Rumah tu tak masak lagi. Lagi pun dah banyak sangat barang kita beli ni.” Ajak Mastura yang merasakan dia berada di dalam keadaan serba salah. Kebanyakan yang dibelanjakan oleh Puan Juita adalah untuk dirinya. Dia tidak mahu terhutang budi.

“Baiklah…. Kalau itu yang Mas nak, kita balik dulu.”

Sampai sahaja di rumah, Mastura tidak menanti lama. Setelah dia bersembahyang asar dia terus ke dapur. Namun dia tersentak apabila Farhan berada di dapur seperti tikus. Mencari makanan barangkali.

“Encik Farhan nak makan ke?” Tegur Mastura di belakang. Kelakar pula bila dia melihatkan telatah Farhan itu. Sudah macam orang setahun tak makan lagaknya.

Farhan tersentak. Dia berpaling. Malu pula bila dia ditegur sebegitu.

“Tak masak ke?”

“Pagi tadi saya dah masak. Mungkin dah habis kot. Kalau Encik Farhan lapar saya masak sekarang.”

“Er….” Farhan mati dengan kata-kata. Buatnya di Mastura ni tahu yang dia lapar gara-gara ingin menikmati masakan Mastura untuk sudah tentu dia akan menyorok mukanya di dalam periuk.

“Awak masak sajalah. Banyak tanya pulak.” Farhan berlalu dan meninggalkan Mastura keseorangan. Mastura menggelengkan kepala. Uh! Ego tak pernah nak lepas. Lagi tak nak mengaku.

Semenjak bekerja di rumah Puan Juita, Mastura benar-benar gembira. Kehidupannya kini lebih teratur. Malah, kedatangannya di dalam keluarga itu bagaikan memberikan semangat untuk dia terus bekerja. Penerimaan Puan Juita dan Puan Rubiah tidak memberikan perasaan asing buat dirinya. Begitu juga dengan Farhana. Farhan? Ermmmm lelaki itu masih dingin dengan dirinya. Walau bagaimanapun perasaan rindu buat keuarga tidak pernah dilupakan. Dan saat Ramadhan kian penghujung, perasaan rindu kian mencengkam.

“Puan,” Puan Juita berpaling. Buku yang dibaca diletakkan di atas meja.

“Ye, Mas. Ada apa yang awak nak cakap?”

“Saya rasa nak balik kampung, Puan.” Tersentak Puan juita mendengarkan permintaan yang lancar dari bibir Mastura.

“Kenapa? Mas tak seronok tinggal kat sini ke?”

“Bukan itu maksud saya, Puan.”

“Yang sebenarnya saya nak balik kampunng untuk raya ni. Kalau Puan izikan saya nak balik awal sikit. Lagi pun dah lama saya tak balik ke kampung. Saya janji, puan. Lepas raya ketiga saya balik. Itu pun kalau puan izinkan.” Puan Juita mengurut dada. Rasa lega. Dia melihat ke anak mata Mastura. Semakin lama, dia mula menyayangi anak gadis itu. Kata Farhan, Mastura adalah calon isterinya. Namun Mastura menganggap dirinya sebagai orang gajian di dalam rumah besar itu. Ada kala Puan juita tidak tahu yang mana benar dan yang mana tidak.

“Baiklah…. Tapi dengan satu syarat.” Senyum Puan Juita melebar. Dia sudah mengatur strategi dari awal. Dan nampaknya strateginya itu bagaikan bulan jatuh diriba.

“Syarat?” Puan Juita mengangguk.

“Farhan akan ikut Mastura balik ke kampung dan dia juga yang akan hantar semula ke rumah ni.”

“Maksud puan?”

“Farhan dah lama tidak merasa beraya di kampung . Untuk kali ini makcik harap Mastura sudi terima Farhan untuk berhari raya bersama-sama dengan keluarga Mas.”

“Nak ke dia, puan? Saya tak fikir dia nak.” Mastura sedar, kedatangan dirinya di dalam keluarga itu bagaikan asing buat Farhan. Dan wajah Farhan sering kali mengelak saat mereka berjumpa. Ala….. dia berjumpa pun seminggu sekali. Apalah sangat.

“Makcik tengok sekarang ni ada perubahan dalam diri Farhan.”

“Maksud puan?”

“Er…. Tak pelah. Farhan akan ikut Mastura balik. Itu sahaja. Yang lain nanti makcik akan fikirkan.”

“Tapi…”

“Tak ada tapi-tapi lagi.” Akhirnya Mastura akur. Mengenangkan Puan Juita, dia kalah. Kalau mengenangkan Farhan, mati hidup balik pun dia tiada akan mengajak majikannya itu sama balik ke kampung.

26 Ramadhan….

Setelah didesak oleh ibunya akhirnya Farhan akur dengan permintaan ibunya.

“Apalah salah hantar Mastura tu balik. Lagi pun tiket bas dah habis.” Puan Juita memberikan alasan.

“Kalau dah tahu kenapa tak suruh Farhan yang beli tiket tu?” aduh! Satu bala nak hantar budak ni balik kampung.

“Salah ibu juga tak beri dia keluar. Tau-tau tiket bas dah habis. Tolonglah Farhan. Kesian tengok Mastura ni nak balik kampung.”

“Ha, yang awak ni pun satu. Kalau tak balik kampung tu tak boleh ke?” Nada Farhan lembut tetapi tegas. Air mata Mastura tumpah lagi.

“Itulah dia. Kalau tak menangis memang tak sah.”

“Farhan….. Mas ni rindu dengan keluarganya. Tak salah kita tolong dia.” Melihatkan air mata Mastura hati lelaki Farhan kalah.

“Yelah…. Yelah….” Puan Juita tersenyum dengan keputusan Farhan itu.

“Encik Farhan nak singgah R & R?” Farhan tersentak. Lamunannya putus dan hilang.

“Apa?” Sudah…. Berangan pulak dia…

“Nak singgah R & R tak? Saya nak sembahyang asar.” Ujar Mastura melihatkan R & R Seremban yang hanya 5 kilometer sahaja pemanduan. Farhan angguk tanpa bersuara.

Usai sahaja sembahyang asar, Mastura merehatkan diri di bawah pohon tatkala melihatkan Farhan yang sedang berehat di dalam kereta tidak betah untuk dia mengejutkannya. Maklumlah…. Panas ditambah pula dengan berpuasa sudah tentu dia letih. Setengah jam lamanya Mastura menantikan Farhan bangkit. Namun apabila Farhan bangkit, dia segera mendapatkan lelaki itu.

“Berapa lama saya tertidur?” Tanya Farhan setelah dia membasuh muka.

“Setengah jam.”

“Kenapa tak kejutkan saya?”

“Saya kesian tengok Encik Farhan. Encik Farhan tentu letih. Maafkan saya kalau saya buatkan Encik Farhan marah.” Sekali lagi Farhan mati dengan kata-kata. Dia lantas menghidupkan enjin kereta dan segera meninggalkan R & R Seremban.

Mereka sampai di Merlimau, Melaka di saat azan maghrib berkumandang. Mastura membuka bonet kereta dan segera memberi salam. Wajah ibunya terpancar di muka pintu. Rindunya tidak dapat dibendung lagi. Dia memeluk ibunya dan deraian air mata diseka dengan baju kurungnya.

“Masuklah… kenapa tercegat lagi. Tu…. Farhan, kan? Jemput dia masuk dulu. Berbuka.” Sebelum balik ke kampung Mastura telah memberitahu ibunya akan dia pulang bersama-sama dengan Farhan, majikannya. Kerana dia tidak mahu ibunya itu akan berfikir yang tidak elok dan membuatkan hati ibu itu risau.

Farhan membuka kasut dan melangkah kaki dengan amat berat sekali. Bukannya dia tidak sudi untuk bertandang ke rumah itu. Namun begitu hatinya mula melonjak untuk pulang segera ke Kuala Lumpur. Farhan masuk ke rumah dengan perasaan yang amat kekok sekali. Dia mengikut Mastura sehingga di dapur. Ramainya! Farhan bersila dan dia hanya menjadi pemerhati. Adik-adik Mastura yang paling kecil adalah 7 tahun. Dengan keadaan adik-beradik yang masih sekolah, Farhan dapat mentafsir betapa susah Mastura mencari rezeki.

“Ayah mana mak?”

“Ada dalam bilik. Tidur agaknya.” Kemudian Farhan tersedar ayah Mastura tiada di sisi. Mastura yang sudah pun menghabiskan hidangan segera ke bilik untuk menjenguk ayahnya. Farhan yang juga merasa tidak senang di kalangan adik-beradik Mastura juga turut membasuh tangan.

“Itu abang ipar kita ke?” Tanya salah seorang adik Mastura yang berusia lingkungan tingkatan 2.

“Hish! Kamu ni…… makan je. Jangan banyak cakap.”

Mastura mendapatkan ayahnya yang lumpuh seluruh badan itu. Farhan hanya menjadi pemerhati di belakang. Namun dia turut bersalaman dengan orang tua Mastura itu.

“Ayah jadi macam ni sejak enam tahun lalu. Kemalangan sehingga dia jadi begini. Sejak itu juga Mas mencari kerja untuk menyara keluaga dan segala keperluan ayah. Nasib baik ada Angah yang kini sudah bekerja. Ringan beban mak nak menyekolahkan adik-adik. Hanya mata dapat membaca isi hati ayah. Betapa dia rindu untuk memeluk anak-anaknya.” Farhan terkedu. Mastura menggenggam erat tangan ayahnya. Entah mengapa dia begitu ringan untuk bercerita.

Tiba-tiba telefon bimbit Farhan berbunyi. Mastura dapat menangkap bahawa yang menelefon adalah Puan Juita.

“Apa?” Mastura tersentak dan terus bangun.

“Kenapa Encik Farhan?” Pertanyaan Mastura tidak berjawab malahan tindakan Farhan yang terus keluar dan membuka pintu membuatkan Mastura berada di dalam tanda tanya.

“Kenapa ibu buat Farhan macam ni? Habis tu macam mana sekarang ni?”

“Yang lain tak boleh tolong ke? Kereta syarikat ke?”

“Ha? Tak boleh? Habis takkan Farhan kat sini? Dah nak raya ni.” Farhan segera mematikan talian. Dia meraup wajahnya. Terduduk tatkala melihatkan BMW 6 series miliknya ‘hilang’ dari halaman rumah Mastura.

“Mana….. kereta…..”

“Diam boleh tak?” Mastura tersentak dengan suara Farhan yang kasar itu. Farhan terhenyak di atas kerusi. Nak melaung? Tiada guna. Farhan menggarukan kepalanya. Mastura masih lagi setia. Menantikan Farhan bersuara.

“Kereta saya bukan hilang. Pak Mat dah bawa balik KL.” Berbular biji mata Mastura mendengarkan butir kata Farhan itu.

“Kenapa dia tak bawa Encik Farhan sekali?”

“Itu yang saya pelik. Ibu kata kereta dia dengan kak Long rosak. Masakan boleh rosak kedua-duanya sekali? Nak pinjam kereta syarikat? Bukan untuk peribadi, ye Encik Farhan. Ibu dah beri peringatan.”

“Habis tu macam mana? Encik Farhan tak telefon dengan Encik Daniel?” Mastura cuba memberi pandangan.

Farhan menggeleng.

“Dia dah balik kampung. Kedah sana. Takkan dia nak ke sini semata-mata nak ambil saya? Awak ingat Kedah dengan Melaka ni 15 minit je ke?” Melihatkan perubahan wajah Farhan membuatkan Mastura rasa kasihan.

“Tak mengapalah Encik Farhan. Tidurlah sini dulu. Mungkin tak lama kereta puan tu rosak. Mungkin esok atau lusa okey lah tu.”

“Kalau tak okey juga sampai raya?”

“Hish! Janganlah Encik Farhan cakap macam tu. Bulan-bulan puasa ni…. Doa tu tau!”

“Saya ni sehelai sepinggang je. Mana ada bawa baju.”

“Tak pe…. Encik Farhan pakai dulu baju Angah. Esok nanti saya suruh Angah temankan Encik Farhan ke Bandar beli baju. Tapi…. Encik Farhan pernah naik motor, kan?” Motor?

Farhan menggeleng perlahan. Nak naik motor?

“Kak Long, abang Murshid kirim salam… Ops!” Ternyata jeritan Najwa itu membuktikan bahawa dia lupa akan kehadiran Farhan.

“Apa kena mengena dengan Kak Long pulak?” Mastura merasa tidak senang dan lantas menarik tangan Najwa.

“Dia kata nak pinang akak.” Farhan masih lagi menangkap kata-kata Najwa walau pun sayup kedengaran.

Namun belum sempat Farhan bangkit Mak Sinah datang menantang kopi dan kuih lebihan berbuka tadi.

“La…. Kenapa muka macam tu? Tak selesa rumah makcik ke?” Farhan ternyata serba-salah.

“Bukan macam tu makcik. Kereta saya.”

“Hilang ke? Kita buat report polis ye.”

“Bukan…. Saya tahu siapa yang ‘bawa’ kereta tu. Sebab saya….. sehelai sepinggang je.”

“O… itu jangan risau. Boleh pinjam baju angah. Ala… kita tak tahu… ada rahmat apa yang nak terjadi. Makcik harap Farhan janganlah segan. Anggap saja kami ni macam keluarga Farhan juga.” Senyum Mak Sinah.

“Makcik, saya nak tanya sikit boleh?”

“Banyak pun tak pe….”

“Siapa Murshid?”

“Murshid? Ermmm…. Bakal menantu tak menjadi. Dulu dia pinang si Mastura tu. Bertunang. Dah tetapkan hari pun nak bernikah. Tup tap satu bulan lagi nak bernikah dak Murshid ni datang nak minta putus. Katanya nak teruskan pelajaran. Terima sajalah kawan ni. Tapi yang bagusnya tiga bulan lepas tu nikah dengan orang lain. Sekarang dah bercerai nak balik dengan si Mastura tu. Hari-hari datang nak bertanya nombor telefon Mastura. Takdenya makcik nak bagi.”

“Habis tu bila dia datang nak meminang Mas?” Farhan bagaikan seronok mendengarkan cerita yang dicanangkan oleh Mak Sinah. Seronok juga dia mengorek rahsia Mastura. Gadis yang dikenalinya dua minggu lalu.

“Raya kot? Itu yang makcik dengar.” Mak Sinah berterus-terang.

“Habis makcik terima?”

“Hish! Kamu ni…” Alamak! Baru Farhan sedar dia sudah melepasi batasanya.

“Makcik tak tahu nak cakap. Bergantung pada Mastura. Sebab ini soal hidup dia. Makcik tak boleh nak paksa. Tuan badan yang kena buat keputusan. Bukannya makcik. Nanti kalau makcik terima mahu amuk pulak si Mastura tu.”

Farhan termangu apabila melihatkan kelibat Mak Sinah hilang dari pandangan matanya.

30 Ramadhan….

Esok, umat islam akan menyambut hari raya. Farhan leka membantu Angah mengacau dodol. Mastura pula asyik menyempurnakan ketupat. Mak Sinah dan Najwa pula sibuk di dapur menyiapkan rendang, kuahkacang dan sambal untuk juadah esok hari. Sedang leka membantu Angah, Farhan terdorong melihatkan seorang lelaki yang membawa bungkusan laju menuju ke arah Mastura. Namun belum sempat lelaki itu mendekati, Mastura lebih dulu lari masuk ke dalam rumah. Akhirnya lelaki itu pasrah dan menyerahkan plastik berisi daging ke tangan Mak Sinah. Sambil lelaki itu menjeling ke arah Farhan seolah tanda tiada berpuas hati. Namun entah mengapa Farhan menyambut pandangan mata Murshid dengan sedikit cemburu.

Mastura keluar saat kelibat lelaki itu hilang dari pandangan mata. Debaran hati Mastura masih lagi bergelora. Semuanya bersatu. Segan, marah, benci, sayang semuanya bercampur baur.

“Apa apa yang boleh saya tolong?” Pelawaan itu mematikan lamunan Mastura. Kini debaran yang lain pula menyelinap di dalam sanubarinya.

“Tadi tu Murshid, kan?” Mastura memandang ke arah Farhan.

“Saya tahu semuanya.”

Mastura senyap.

“Kenapa awak lari dari dia?” Ternyata Mastura tersentak dengan pertanyaan Farhan itu. Dia tidak sangka Farhan akan bertanyakan tentang Murshid.

“Saya belum bersedia untuk berjumpa dengan dia. Setelah apa yang telah dia lakukan pada saya.” Tegas Mastura.

“Itu bukan penyelesaiannya.”

“Bagaimana pula dengan Encik Farhan? Sekurang-kurangnya saya masih boleh teruskan hidup. Bangkit dari kekecewaan. Sedangkan Encik Farhan? Masih belum dapat menerima hakikat. Masih hidup dalam bayangan Encik Farhan yang lalu.”

Farhan senyap. Dia mengamati wajah jujur milik Mastura.

“Encik Farhan beruntung. Cinta Encik Farhan mati saat jasad melayang. Kerana kita tahu, walau jasad hilang namun kasih sayangnya masih utuh di hati. Cuma kita yang tidak tahu menilai. Sedangkan saya? Cinta saya mati walau pun jasadnya ada didepan mata. Saat itu kasih dan sayang hancur dan menjadi kubur.”

Bergetar tangan mendengarkan kata-kata Mastura itu.

“Kerana takdir, Encik Farhan menidakkan segala apa yang terjadi disekeliling. Encik Farhan merasakan cinta yang hilang itu tidak akan tumbuh dan tidak akan ada cinta yang lain. Saat saya pulang ke kampung, saat Murshid melangkah di ruang mata, saya tidak tahu ke mana cinta ini patut saya bawa. Tidak seperti Encik Farhan. Encik Farhan boleh melimpahi doa untuk si dia.”

Kebenaran yang terluah dari hati Mastura itu membuatkan Farhan bertindak dengan hanya diam membisu. Setelah memenuhkan ketupat di dalam periuk, nama Angah mula dilaung. Diminta untuk menghidupkan api. Ketika itu juga Mastura berlalu meninggalkan Farhan keseorangan. Farhan, masih lagi kaku dan hilang kata-kata. Entah mengapa dia mula merasa kalah di saat itu. Dia mula tersentak dari mimpi yang sudah lama terkurung di dalam hati.

Takbir raya mula berkumandang di cuping telinga Farhan. Kedinginan pagi itu membuatkan Farhan bangkit dengan penuh rasa kesyukuran. Kehadiran mimpi yang tidak dijangka membuatkan Farhan memanjatkan doa dan Al-Fatihah untuk arwah Lily. Saat itu ada satu semangat baru yang mengalir di dalam segenap urat darahnya. Dia yakin kini dan dia pasti tidak akan berpaling lagi.

Setelah selesai bersembahyang sunat hari raya, Farhan pulang dengan hati penuh riang dan gembira. Kelibat Mastura mula dicari. Namun hampa.

“Najwa, Kak long mana?” Najwa diam seribu bahasa. Perubahan wajah Farhan membuatkan Najwa mati kata.

“Najwa!” Tersentak anak dara itu.

“Ha? Kak Long? Ada dalam bilik. Segan katanya. Bila mak kata baju abang Farhan dengan baju Kak Long sedondon. Farhan membelek baju melayu pucuk pisang yang dibelinya tempoh hari. Kini keyakinannya mula memekar.

“Ala… abang Farhan. Jangan dilayan sangat kak Long tu. Jom kita ke dapur. Angah dah lapar sangat ni. Farhan akur namun hatinya teringin sekali untuk berjumpa dengan Mastura. Matanya masih lagi tidak lepas mencari kelibat Mastura. Namun dia hampa. Dia ke dapur dengan sedikit kekecewaan.

Farhan mencedok kuah kacang dan meletakkan di dalam pinggannya. Satu suap, dua suap dia menyempurnakan dengan nikmat yang tidak terhingga.

“Bukankah angah dah kata. Abang Farhan kalau dah buang jambang dengan misai tu kan nampak kacak. Senyuman abang tu, kenapa sembunyikan? Bukan ke senyuman abang tu manis? Eh, Kak Long dan jumpa abang selepas abang cukur semua ni?”

“Belum lagi.”

“Kalau Kak Long nampak ni, mesti dia pengsan.” Ujar Angah. Farhan hanya sekadar ketawa. Dia sendiri pun tidak sabar melihat perubahan wajah Mastura apabila melihatkan apa yang telah dia lakukan untuk wajahnya. Kalau tidak Angah yang memujuk dan juga apa yang telah terjadi semalam, sudah pasti wajahnya masih lagi dihiasi jambang dan misai. Kesian Angah yang terpaksa bangun awal gara-gara Farhan bertanya cukur.

Mastura tidak betah untuk keluar di saat dia mengetahui akan warna bajunya sama dengan Farhan. Dia sendiri tidak tahu. Kalau dia tahu Farhan membeli baju sama dengan warna bajunya sudah tentu dia akan menukarkannya. Nak pakai baju lain? Nanti apa pulak kata ibunya. Susah payah ibunya menjahit baju disulami manik takkan dia nak meruntuhkan perasaan ibunya? Akhirnya dia mengambil keputusan untuk berdiam diri dan berkurung di dalam bilik.

“Mas…”

“Eh, Mak. Kenapa?” Senyuman penuh makna dari ibunya membuatkan Mastura berada di dalam tanda tanya.

“Kenapa dengan mak ni? Senyum macam ada apa-apa je.”

“Anak mak dah kena pinang.” Mastura tersentak.

“Apa mak kata?”

“Anak mak dah kena pinang. Mak rasa sudah sampai masanya Mas berumah tangga. Buang yang keruh dan ambil yang jernih. Mak dah setuju dengan peminangan tu. Tapi sebelum tu mak nak tanya Mas dulu. Kalau Mas setuju…. Al-hamdulillah. Kalau Mas tak setuju mak tak boleh nak buat apa.”

Mastura diam. Dia tahu tiada siapa untuk dia nantikan. Tiada siapa yang menemani hatinya saat ini. Dia tahu, jodoh dari bibir ibunya itu adalah tanda restu. Dia bersedia dengan siapa sahaja. Andai dengan Mushid juga. Walau pun cinta sudah retak sebelum ini dia bersedia untuk menyantumnya.

“Kalau mak rasa sesuai dengan Mas, dan mak pun dah bersetuju Mas ikut sahaja.” Entah mengapa kata-kata itu laju sahaja meluncur keluar dari bait katanya.

“Al-hamdulillah….. jom keluar, jumpa dengan bakal mertua Mas. Murshid pun ada juga.” Murshid? Hatinya bergolak. Andai itu sudah aturannya, dia pasrah.

Keluar sahaja dari bilik, Mastura terlihatkan keluarga Murshid. Namun begitu. Bukan keluarga Murshid sahaja yang ada. Malahan dia melihatkan Puan Juita yang sedari tadi melemparkan senyuman buat dirinya. Dia mendapatkan majikannya itu. Di salam dan dia melemparkan senyuman buat Puan Juita. Entah mengapa dia begitu hairan dengan Puan Juita yang tidak mahu melepaskan pelukan dan linangan air mata Puan Juita membuatkan dia berkeadaan serba salah.

“Saya cuti lama sangat ke?” Puan Juita menggeleng.

“kami semua rindukan Mas. Nanti balik ye.” Mastura mengangguk. Dia merasa tidak senang berada di situ memandangkan hari itu adalah hari untuk dirinya juga. Dia berlalu dan segera ke dapur. Di dapur pula dia berhadapan dengan Farhan. Farhan yang duduk di kerusi makan membelakanginya. Dia tidak tahu mahu ke mana. Sedangkan arahan dari ibunya perlu dipatuhi.

“Potong ketupat tu. Hidangkan pada tetamu kita ni.” Ah, nak atau tidak dia perlu berhadapan dengan Farhan. Dan dia juga perlu menyatakan bahawa dia sudah menjadi milik orang dan tidak mungkin untuk dia bekerja di rumah Puan Juita. Untuk dia memberitahu dengan Puan Juita sebentar tadi, dia tidak betah. Mungkin melalui Farhan dia berharap Puan Juita akan dapat memahaminya.

“Allah!” Terjatuh semuanya ketupat yang baru diambil dari para. Nasib baik yang belum dipotong lagi. Itu pun di saat dia terpandangkan Farhan dengan perubahan yang berbeza. Apatah lagi saat dia bertentang mata. Mastura membongkok mencapai semua ketupat yang jatuh. Debaran Mastura kian kencang. Sehinggakan menyesakkan nafasnya. Dia cuba untuk menarik nafas. Namun senyuman yang dilemparkan oleh Farhan membuatkan dia terpana.

Mastura tersedar dari lamunan di saat namanya dipanggil.

Mastura memotong ketupat dengan perasaan yang penuh dengan debaran. Sedangkan Farhan hanya sekadar menjadi pemerhati.

“Encik Farhan janganlah pandang saya.” Farhan tersenyum apabila Mastura merasa tidak senang bila dipandang sebegitu. Dia tidak pernah melihat Farhan tersenyum. Ah, alangkah manis senyumannya. Hati Mastura sudah tidak keruan. Tanganya mula menggeletar. Ya Allah! Tetapkanlah hati hambamu ini….

Mastura tidak mahu tunggu lama. Dia perlukan bantuan. Dia mencari kelibat Najwa. Namun belum sempat dia berpusing, wajah Puan Juita menghiasi ruang matanya.

“Eh, puan. Kenapa masuk dapur pulak. Pergilah atas. Puan kan tetamu saya.”

“Saya nak tengok bakal menantu saya.”

“Tak pe puan. Nanti saya balik puan boleh…..” Mastura memandang ke arah Farhan. Kemudian kepada Puan Juita. Puan Juita mengangguk.

“Puan ada anak lelaki lain ke?”

“Farhan sajalah buah hati pengarang jantung saya.”

“Puan…. Saya tak layak puan. Encik Farhan pun bukan suka pun dengan saya.”

“Dia sendiri yang suruh saya datang….” Mastura berpaling.

“Memang saya tak suka dengan awak. Tapi saya sudah mulai sayang awak. Saya sudah mula jatuh cinta dengan awak. Cinta awak kini dalam hati saya.”

“Kenapa saya?”

“Awak adalah jodoh saya. Pertama kali saya melakukan perkara yang bodoh dalam hidup saya. Saya cabut kertas, tertera nama Mas. Itu jodoh kita yang pertama.”

“Farhan bawa Mas balik ke rumah dikatakan Mas adalah calon isteri dia.”

“Itu jodoh kita yang kedua. Saya minta maaf kerana menggunakan Mastura untuk menutup kelemahan saya. Saya tidak mahu berkahwin dengan Diana. Itu cara saja untuk saya melepaskan diri dari Diana.”

“Saya tak faham.”

“Saya mengatakan kepada Mas bahawa Mas adalah orang gaji. Tetapi dengan ibu saya mengatakan Mas adalah calon isteri saya. Maaf abang, Mas.”

Saat Farhan mengungkapkan kata keramat ‘abang’ air mata Mastura tidak dapat dibendung lagi.

“Bila abang terpaksa menghantar Mas pulang ke kampung hati abang menjadi marah. Namun bila bersama-sama dengan Mas abang dapat semangat abang semula. Semangat yang sudah lama hilang. Mas adalah penyuluh hidup abang.”

“Abang tak sangka apa yang ibu buat telah merubah hidup abang. Kalau abang balik KL juga malam tu dah tentu abang tidak akan kenal rapat dengan Mas dan abang tidak akan bertemu jodoh dengan Mas. Dan abang tidak akan berubah.”

“Pagi tadi bila abang tahu Mas sedondon dengan abang…. Itu pun dah kira jodoh juga, kan?”

Mastura mengangguk.

“Yang sebenarnya Mas, mak Mas dan ibu adalah sahabat dari dulu lagi. Tahu tak apa angan mereka berdua?”

Mastura menggeleng.

“Mereka nak menjadi besan. Itu pun jodoh kita, Mas. Dan, Murshid lewat 2 minit apabila ibu meluahkan keinginan untuk Mas menjadi menantu dia. Kalau tidak abang melepas nak dapatkan Mas.”

Air mata Mastura terus mengalir. Farhan menyeka air mata Mastura. Dia melemparkan sebuah senyuman yang paling manis untuk Mastura.

“Dan yang paling penting, sayang….. cincin yang sayang pilih hari tu memang kena dan padan dengan jari manismu, sayang.” Saat tersarung cincin yang pernah diimpinya dan dipilih ketika keluar dengan Puan Juita dulu dia tiada dapat berkata apa dan memeluk Puan Juita dengan seerat-eratnya.

“Abang tak nak tunggu lama. Nanti bila Kak Long kahwin…. Kita tumpang sekaki ye.” Mastura tersenyum…. Ternyata ada sinar bahagia untuk dirinya….

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.