Home Cerpen Cinta JODOH DI SEBALIK MIMPI
JODOH DI SEBALIK MIMPI
28/5/2015 12:00:50
4,138
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

‘Assalamu’alaikum Rania Humairah. Suatu hari nanti, kamu bakal menjadi isteriku dunia akhirat’, kata lelaki berbaju melayu putih sambil tersenyum sebelum berlalu pergi tetapi tidak jelas di penglihatan Rania wajah sebenarnya.

Allahu Akbar.. Allahu Akbar…(Azan subuh berkemundang).

Mata Rania celik akibat terkedu dengan sapaan lelaki yang tidak diketahui identiti dirinya itu. Itu adalah kali ketiga dia bermimpikan situasi yang sama. “Suatu hari nanti, kamu bakal menjadi isteriku dunia akhirat” masih terngiang-ngiang di cuping pendengaran Rania.

Rania bingkas bangun dari katil, menuju ke bilik air untuk bersiap-siap menunaikan solat subuh dan ke tempat kerja.

***

Seperti biasa, Rania Humairah bersiap ringkas ke tempat kerja. Mengenakan tudung bawal separa labuh dan berbaju kurung kosong berwarna ungu lembut. Wajahnya yang cerah dan terdapat sedikit jerawat halus di kiri dan kanan pipinya hanya disapu krim pelembab dan bedak tabur sahaja. Bibirnya yang tersedia merah hanya disapukan Vaseline.

Jika dilihat dari luaran, tiada siapa percaya bahawa umurnya sudah menginjak 32 tahun. Sosok tubuhnya yang kurus dan kecil di tambah dengan wajahnya yang manis sering menipu orang ramai tentang umurnya. Tapi apakan daya, jodohnya masih belum sampai. Rania sudah lali diusik oleh sanak-saudara dan sahabat handai mengenai umurnya yang meningkat tetapi masih lagi membujang. Kekadang, ada juga gurauan kasar memanggilnya sebagai ‘Andalusia-anak dara lanjut usia.’

Walaupun hati kecilnya sedikit sayu, tetapi dia tetap positif dengan ketentuan Allah untuknya. Padanya, Allah telah aturkan jodoh yang terbaik untuknya, cuma belum sesuai waktunya untuk ditemu dan disatukan. ‘Innallaha Ma’as Sobirin’, bisik hati Rania jika ditanya tentang jodoh.

***

Rania hanya berjalan kaki ke tempat kerjanya iaitu sebuah Taska Mustika Embun di Jalan Gelang Patah, Johor Bahru. Rania berkhidmat sebagai pengasuh di taska tersebut dan mendapat penginapan asrama oleh majikannya. Tahun ini, merupakan tahun ke-10 dia berkhidmat di situ bersama anak-anak kecil yang menawan.

Majikannya, Puan Norimah begitu menyayangi Rania kerana beliau merupakan pekerja yang sangat komited dan penyayang kepada kanak-kanak. Para pengasuh dan kanak-kanak di situ juga amat menyenagi beliau.

***

“Ummi Rania!!! Jerit seorang kanak-kanak perempuan berumur 3 tahun dari kejauhan sambil melambai-lambai tangan kearahnya.”

Rania menoleh dan senyum girang ke arah Qalisya Insyirah dan memeluk kanak-kanak genit itu dengan erat. Begitulah tingkah Rania tiap kali menyambut kanak-kanak yang dihantar ke taska tersebut. Jika ada yang datang dengan tangisan, Rania akan memujuknya dengan sabar sehingga kanak-kanak tersebut tersenyum gembira bertemu kawan-kawan lain.

“ Qalisya rindu Ummi Rania”, ngomel anak kecil itu.

“Qalisya memang rindu betul ummi Rania dia”, tambah Puan Rohani, nenek Qalisya yang tidak jemu menghantarnya ke taska sebelum ke kelas pondok berhampiran untuk belajar ilmu agama.

“Iye? Ummi Rania pun rindukan Qalisya juga.” Jawabnya sambil memimpin anak kecil itu ke bilik No.3 iaitu bilik kanak-kanak dari umur dua tahun setengah ke tiga tahun setengah. Terdapat lapan orang semuanya dengan tiga penjaga. Qalisya adalah anak kecil yang paling mesra dan rapat dengannya.

Begitulah yang berlaku setiap kali selepas cuti hujung minggu. Qalisya akan ‘berkepit’ dengan Rania yang dipanggilnya sebagai umi sepanjang hari di taska tersebut.

Qalisya Insyirah binti Rafa Affandi adalah anak tunggal dalam keluarga. Kanak-kanak ini tidak pernah menikmati kasih-sayang seorang ibu apabila ibunya mengalami kompilasi semasa melahirkannya sehingga mengorbankannya nyawanya.

Sejak itu, Qalisya dibesarkan oleh ayahnya Rafa Affandi bersama keluarga mertuanya.

Qalisya dihantar ke pusat taska lebih kurang setahun yang lalu supaya dapat menghilangkan sunyinya kerana ketiadaan ibu. Dengan adanya kawan-kawan sebaya dan pengasuh yang baik, Qalisya semakin ceria.

***

Di rumah, Qalisya tidak putus menceritakan tentang Ummi Rania kepada ayahnya. Rafa hanya mendengar sahaja tanpa reaksi. Sejak kehilangan isteri tercinta, hidupnya berubah. Keluar pagi, balik sampai tengah malam sehingga masanya bersama Qalisya diabaikan.

Puan Rohani pula sudah habis modal menasihati menantunya itu supaya mencari ganti demi Qalisya. Tapi, nasihat itu hanya singgah di cuping telinganya, tetapi tidak masuk ke hati.

“ Saya masih belum bersedia. Hati saya sudah tertutup untuk bercinta selepas Hani pergi meninggalkan kami. Qalisya sudah ada saya, dan ibu itupun dah cukup” Jelas Rafa kepada ibunya itu.

“Rafa, kamu tak faham hati seorang anak. Qalisyah perlu juga kasih-sayang seorang ibu. Kamu pun ibu lihat tidak lekat di rumah, sehingga Qalisya dibiarkan. Kasihan dia Rafa.” Jawab ibunya.

Rafa Affandi memandang ibunya kosong. Sepi.

“Ayah, hari ini Ummi Rania ikat rambut Qalisya. Cantik tak?”Tanya Qalisya kepada ayahnya yang datang kepadanya dengan lari-lari anak.

“Cantik sayang anak ayah.” Jawab Rafa sambil memeluk dan mencium dahi anaknya yang petah berkata-kata itu.

“Jom, masuk tidur. Esok nak ke taska lagi.” Kata Rafa kepada Qalisya sambil mendukung anaknya.

“Ibu, saya minta diri dulu ya. Ibu pun jangan lewat sangat berjaga malam.” Tambah Rafa.

“Baiklah,” jawabnya ringkas lalu mencium pipi cucunya sebelum masuk ke bilik untuk tidur.

***

Malam itu, Rafa tidak boleh melelapkan mata.

Dia terjaga apabila didatangi allayarhamah Hani, isterinya tercinta.

“Abang, saya sayangkan abang. Abang carilah pengganti saya untuk menemani abang dan anak kita. Saya redho dan berbahagia untuk abang.” Ucap Hani di dalam mimpi Rafa.

“Hani…Hani…Hani..”, jerit Rafa tetapi Hani telah hilang dalam kabus tebal.

“ Astaghfirullah al ‘azim”, mimpi rupanya.” Bicaranya dalam hati sambil menekup wajahnya dengan kedua tangannya.

Rafa segera bangkit menuju ke bilik anak kecilnya. Dielus wajah polos Qalisya.

“Kasihan kamu Qalisya. Maafkan Ayah pentingkan diri sendiri sehingga abaikan kamu. Ayah terlalu ikutkan perasaan.”Ciumnya di dahi Qalisya.

Sekembalinya semula ke bilik tidurnya, Rafa bergegas menunaikan solat tahajud dan istikharah.

Rafa menjadi buntu dan memohon petunjuk Allah untuk perancangan hidup dia dan anaknya yang terbaik.

Di akhir solat malamnya, Rafa memanjatkan doa dengan penuh syahdu dan pengharapan.

“Ya Allah, Engkaulah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, tolonglah kami agar kami mengerti, menerima, percaya, memaafkan dan dimaafkan. Memberi dan menerima, mencintai dan dicintai serta berani menatap jauh ke depan untuk kehidupan yang lebih baik, lebih indah dan membahagiakan.

“Ya Allah, lihatlah air mata kami ini, kepedihan dihati kami. Hanya Engkaulah sumber kebahagiaan kami, ku mohon ubahlah kesedihan kami menjadi kebahagiaan dan ubahlah air mata kami menjadi senyuman.”

“Aku mohon kepadaMu Ya Allah,

Kurniakanlah aku petunjuk dalam meneruskan kehidupan didunia ini. Hilangkanlah kesakitan dan kesedihanku di atas kehilangan isteriku tercinta. Pertemukan aku dengan pilihan terbaik, yang akan mengubat duka di hati anakku khususnya. Kasihanilah anakku Qalisya. KepadaMu kami serahkan segala.

Amin Ya Rabbal ‘Alamin.” Rafa kemudiannya menekup mukanya syahdu.

***

“Ibu, hari ni saya hantar Qalisya ke Taska. Lagipun, hari ini ibu tiada kelas di Pondok kan?” Tanya Rafa ketika menikmati sarapan pagi di meja makan bersama ibu dan anaknya.

“ Baguslah. Molek benar tu.” Ibu tersenyum dan angguk setuju.

“Yeah! Hari ni ayah hantar Qalisya. Bolehlah Qalisya kenalkan dengan Ummi.” Seloroh Qalisya dengan gembira.

***

Seperti biasa, Rania menunggu anak-anak jagaannya di hadapan pintu masuk taska dengan senyuman tidak lekang di bibirnya. Senyumannya itu boleh buat semua orang melihatnya rasa tenang.

Rania pula anak tunggal dan yatim piatu. Ibu bapanya telah meninggal dunia ketika itu beliau masih kecil kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya. Dia dibesarkan oleh neneknya. Ketika umurnya menginjak 18 tahun, neneknya jatuh sakit akibat serangan angin ahmar.

Oleh kerana kepayahan hidup, Rania tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran walaupun beliau memperoleh keputusan cemerlang. Dia memilih untuk menjaga dan berbakti kepada neneknya yang telah uzur itu. Neneknya pulang ke rahmatullah setelah empat tahun terlantar di atas katil.

Rania merasakan kehilangan yang besar. Demi mengubat hatinya yang lara, dia mengambil keputusan berhijrah untuk melupakan segala rasa sakitnya itu.

Kebetulan, sepupunya, Tiara Nurhusna yang bekerja di JCorp sebagai pegawai keselamatan mempelawanya untuk ikut serta tinggal bersamanya di Johor Bahru. Sepupunya itu adalah teman baiknya dari sejak bangku sekolah lagi. Sudah berkahwin dan mempunyai dua orang cahaya mata manakala suaminya pula sering ikut belayar dan jarang sekali di rumah.

Sepupunya itu tidak pernah jemu membantunya tatkala dilanda kesusahan. Anak-anaknya pula disayang sebagai anak sendiri. Walaupun belum berkahwin, Rania penuh dengan kasih sayang seperti seorang ibu.

“Rania, ada peluang kerja sebagai cikgu di Taska Mustika Embun, tempat saya hantar anak-anak saya. Berminat tak?” Tanya Tiara suatu pagi.

“ Wah, menarik juga tu. Saya pun dah seminggu di rumah kamu. Segan pula makan budi orang. Saya ingat nak cubalah. Mana tahu ada rezeki.” Jawab Rania dengan teruja.

“ InsyaAllah. Esok saya cuti bawa kamu pergi sana untuk temuduga ya.” Tiara cuba membantu sedayanya.

Dengan takdir Allah, Rania diterima sebagai pengasuh aka cikgu di Taska tersebut. Maka bermulalah perjalanannya bertemu dengan anak-anak kecil yang menceriakan hari-harinya sehinggalah sudah hampir 10 tahun disitu.

***

Dari kejauhan, Qalisya sudah tersenyum, berlari-lari anak menuju ke arah Rania di muka pintu taska.

Tetapi, Rania sedikit musykil kerana tidak kelihatan Puan Rohani seperti selalu.

“ Ayah…ayah, inilah ummi Rania yang Qalisya selalu ceritakan tu.” Bicara anak kecilnya itu mengenalkan Rania kepada ayahnya.

“ Owh, apa khabar? Maaflah anak cilik saya ni memang petah sedikit persis allayarham ibunya yang ceria.” Jelas Rafa dengan rasa janggal.

“Alhamdulillah, sihat. Tak mengapalah Encik. Budak-budak lagi.” Jawabnya ringkas.

“ Saya minta diri dululah ya cikgu. Qalisya baik-baik ya dengan ummi Rani.” Pesannya ringkas sebelum berlalu pergi.

***

“Ayah, Qalisya rasa sunyilah tanpa ibu.” Kata Qalisya tiba-tiba ketika Rafa ingin menidurkannya malam itu.

“ Qalisya suka Ummi Rania jadi ibu Qalisya.” Tambahnya lagi.

“ Dah..dah. Qalisya tidur dulu ya.” Potong Rafa supaya anaknya tidak bertanya lagi.

Itu bukan kali pertama anaknya berkata begitu. Sudah berkali-kali sehingga dia dia tidak ada alasan lagi untuk mengelak.

***

“ Rafa, kenapa ni? Termenung dari tadi.” Sergah Tiara kepada rakan sekerjanya itu.

Rafa dan Hani adalah teman baiknya ketika menuntut di UTM, Skudai sebelum ni. Tiara juga perasan Rafa banyak berubah selepas kehilangan isterinya itu.

“ Bercinta ke?” Seloroh Tiara lagi.

Rafa tersenyum.

“Ish, kamu ni Tiara. Tak adalah. Cuma terfikirkan perihal anak aku, Qalisya.” Terangnya ringkas.

“ Lorr, kenapa dengan Qalisya? Tak sihat ke?” Tanyanya beria-ia.

“Eh, tak adalah. Sihat. Cuma dua tiga menjak ni asyik berkata nak ibu baru..” Kusut saya.

“ Owh itu puncanya kamu termenung.” Gelak Tiara kepada Rafa.

“ Rafa, saya rasa kamu patut berumahtangga lagi. Dan 3 tahun Hani pergi. Kasihan Qalisya tidak dapat menikmati kasih-sayang seorang ibu. Kamu pun perlu simpan kenangan bersama Hani dan mulakan hidup baru. Kalau saya jadi Hani, pasti saya sedih kamu macam ni. Sampai bila?” Bicaranya panjang lebar.

Rafa Affandi hanya tersenyum. Sepi sebelum masing-masing meneruskan kerja masing-masing.

***

“ Abang, kasihanilah anak kita. Carilah ibu baru untuknya. Saya redho. Saya yakin ibu barunya akan menyayangi dia sepenuh hati seperti anak sendiri. Abang…saya izinkan abang berkahwin lagi.” Akhiri Hani di dalam mimpi Rafa.

Rafa terjaga dari tidur. Seperti biasa, dia akan bangkit menunaikan solat tahajud dan istikharah memohon petunjuk dari Ilahi.

Begitulah berlalu rutinnya selama beberapa bulan.

Pagi itu, dia meyiapkan anaknya sebelum dihantarkan ke taska. Hari Jumaat itu, Rafa mengenakan baju Melayu berwarna putih. Entah kenapa, dia terasa ingin memakai baju tersebut yang sebelum ini hanya digunakan ketika pernikahannya bersama Hani.

Di Taska, Rania sudah setia menanti, juga memakai baju kurung berwarna putih dengan tudung bawal bercorak hijau pucuk pisang dengan bunga-bunga kecil berwarna putih.

“Ummi Nampak cantik hari ini. Sama warna dengan baju ayah. Qalisya suka tengok.” Laju sahaja percakapan anak kecil itu.

Kedua-dua Rania dan Rafa kelihatan malu-malu.

Tetapi, entah kenapa, sejak itu kedua-duanya seakan-akan berdebar apabila bertentang mata.

“ Assalamu’alaikum Cikgu Rania, boleh saya tanya sesuatu?” Mesej Rafa kepada Rania di suatu malam.

“ Wa’alaikum salam. Ya silakan encik?” balasnya ringkas.

“ Saya dapat maklumat cikgu masih lagi belum berpunya. Bolehkah saya hantar keluarga saya untuk datang merisik cikgu?” Tulisnya lagi terus-terang.

Rania tergumam. Tidak sangka. Dia tidak membalas mesej tersebut.

Lama Rania menyepi.

“ Assamu’alaikum cikgu Rania. Maaf kalau saya telah melukakan hati cikgu. Tapi saya tidak dapat tipu hati saya lagi. Suatu hari nanti, jika diizinkan Allah, saya akan menyunting cikgu sebagai isteri saya dan ibu Qalisya. Saya akan jadikan cikgu sebagai isteri saya dunia akhirat.” Mesej Rafa kepada Rania apabila berminggu-minggu Rania menyepikan diri.

Rania sekali lagi rasa terkedu.

Malam itu, dia bermimpikan lelaki berbaju melayu mengatakan bait-bait seperti mimpi-mimpi sebelum ini. Kali ini, jelas wajahnya, Rafa Affadi bin Tajul Nizam.

Rania terus bangkit dan menunaikan solat istikharah.

“ Assalamu’alaikum Encik Rafa. Saya bukanlah bunga idaman para jejaka. Saya tidak pernah mengenal erti cinta. Tetapi saya sudi menjadi bunga penyeri hidup encik dan dan Qalisya dengan izin Tuhan. Saya ikhlas terima encik sebagai cinta halal saya, dan begitu juga saya harapkan daripada encik.” Rania menghantar teks melalui SMS.

Perasaan segannya hanya Allah yang Maha Mengetahui.

***

Setelah lima bulan pertungangan, Rania Humairah binti Azhar dan Rafa Affandi bin Tajul Nizam telah selamat disatukan dalam sebuah majlis yang cukup sederhana atas permintaan Rania sendiri.

“Tahniah korang. Sungguh kecil dunia.” Ucap Tiara kepada keduanya dengan gembira.

Ibu dan anaknya Qalisya tersenyum gembira melihat kedua-duanya.

“Nenek, Qalisya dah dapat ibu. Suka.” Tuturnya jujur.

***

“ Terima kasih dinda Rania Humairah, sudi terima abang sebagai suami. Abang berjanji akan menjadi imam untuk dinda dan Hani sehingga di syurga. Biiznillah.” Bisik Rafa sebelum mencium dahi isterinya itu.

Rania menyalami tangan suaminya sambil menitiskan air mata kerana terharu. Akhirnya, jodohnya ditemukan ketika umurnya 32 tahun. Bukan sahaja memperoleh suami pendamping hidup hingga akhir hayatnya, tetapi juga seorang anak syurga bernama Qalisya.

Kedua-duanya menunaikan solat sunat bersama-sama tanda syukur di atas aturan Allah ini.

-Tamat-

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.