Segalanya indah belaka. Namanya Airell. Aku mengenalinya
tiga tahun lalu. Kenal melalui mak su. Bukan mak su yang kenalkan kami. Jangan
salah anggap. Mak su dua tahun lebih muda dari aku. Orangnya kecil molek,
cantik dan ayu. Kata Airell, dia terpikat pada mak su kerana keayuannya.
Cemburu? Yelah, tentulah aku cemburu. Tapi itu mula-mula dulu. Semasa baru mula
nak mengenali Airell. Sekarang perasaan cemburu itu tiada lagi. Opss tipu.
Takkan tak ada rasa cemburu langsung. Mustahil. Ye, aku mengaku perasaan cemburu
itu yang dulunya 100% kini dan berkurang menjadi 10%. Ambil masa tiga tahun
untuk turunkan peratus cemburu.
Airell, jejaka berusia 27 tahun itu dulu adalah teman lelaki mak su. Mereka
bercinta sejak di bangku sekolah lagi. Ketika Airell berada di Tingkatan 5, mak
su baru di Tingkatan Satu. Mula dengan cinta monyet akhirnya kekal sehingga
mereka tinggalkan alam persekolahan. Mereka pasangan secocok. Sama padan.
Sama-sama cantik, sama-sama lawa. Setia bersama sentiasa.
Hinggalah pada suatu hari...
Mak su berubah bila masuk kolej. Berubah 100%. Mak su yang sekarang bukan mak
su yang dulu lagi. Enam bulan belajar di kolej, barulah mak su balik kampung.
Aku dah tak cam rupa mak su. Airell terkejut beruk. Opah terkejut bagai nak
pengsan. Atuk diam tak terkata. Tak siapa menyangka mak su akan pusing
perwatakan 360 darjah.
Mak su oh mak su…
Mak su dah tak boleh dipanggil mak su lagi. Janggal jadinya. Mak su dah jadi
pak su sekarang. Kasihan opah, kasihan atuk. Anak bongsu mereka yang dicurahkan
kasih sayang melebihi anak-anak yang lain terlah berubah. Hati siapa yang tidak
luluh. Tapi berbeza dengan mak su. Dia tetap ceria walaupun dah lukakanhati
insan-insan sekeliling. Dia tidak mahu dikenali sebagai Farah lagi. Dia nak
orang panggil dia abang Ef.
Airell couple dengan abang Ef??? Janggal bunyinya, kan?
Di situlah segalanya bermula. Airell mula hantar mesej pada aku masa mak su
sedang mengalami perubahan akan transformasi. Dia nak minta aku tolong. Tolong
nasihatkan mak su agar jangan tinggalkannya. Pada mulanya aku sangka mak su dah
ada orang lain. Sebab tu Airell meraung minta bantuanku. Ingat mak su dah jumpa
pak we lagi handsome kat kolej nun.
Rupanya mak su dah tak suka Airell sebab dia dah tak ada
perasaan pada kaum Adam lagi. Perasaannya dah berubah. Berubah pada
perempuan!!!
Puas dinasihati, mak su tetap mak su. Dia tak terima nasihat yang diberikan.
Dia tetap mahu jadi jantan. Tudung dah terbang. Baju kurung dan hilang. Sekali
tengok, mak su memang dah jadi jantan. Sampai situ dia berubah, terikut dengan
kawan-kawan yang ditemuinya di kolej. Kawan-kawan yang mengajak melakukan
kemungkaran. Kawan yang mengajak jalan ke neraka.
Bukan setakat itu, mak su juga dah berani bawak balik awek
ke rumah!!! Gila!!!
Biarlah mak su dengan ceritanya…
Airell memanjang mengadu pada aku tentang mak su. Dia pada
mulanya juga menyangka mak su ada lelaki lain. Airell minta aku siasat. Aku cakap
sibuk. Ah, malas aku nak layan. Jadi spy pun bukan berbayar. Airell rayu lagi. Konon
aku anak saudara yang paling rapat dengan mak su sebab jarak usia kami yang
dekat. Cair jugak aku akhirnya. Bukan apa, aku kasihan kerana Airell setia
sangat walaupun mak su dah terang-terang tolak dia.
Siasat punya siasar, akhirnya terbongkarlah transformasi mak
su. Airell mulanya tak percara. Aku pulak dituduh tak pandai jadi penyiasat. Aku
sabar. Orang dah tolong tapi tak ada ucapan terima kasih, hanya sindiran tajam.
Tak apa, aku sabar.
Nah, sekali mak su balik, terkejut Airell bukan kepalang. Sampai
nak panggil nama mak su pun dia tak mampu. Bukan main sedih lagi Airell masa
tu, seolah-olah dunia dah berakhir. Baru je dia rancang nak pinang mak su
sebaik mak su tamat belajar, dah jadi macam ni pula.
Aku pun hantar mesej ucapan simpati dan mohon Airell
bertabahlah dengan ujian yang sedang dilaluinya. Masih ramai lagi gadis di luar
sana yang mengharapkan cintanya. Sumpah, dalam ramai gadis yang meminatinya,
nama aku tidak termasuk. Tapi Airell pulak fikir lain. Dia usik-usik aku konon
aku salah sorang gadis yang mencintainya.
Aku jual mahal. Tak layan.
Mula-mula je aku tak layan… lama-lama pandai pulak hati ni
terbuka. Dipendekkan cerita akhirnya aku jadi kekasih kepada bekas kekasih ibu
saudaraku. Dipendekkan cerita lagi, akhirnya kami bertunang. Biasalah, dalam
tempoh bertunang pasti ada dugaan. Tiap kali bergaduh, aku mesti sebut ayat
satu ni – awak suka saya sebab wajah saya ni sama dengan ex awak kan. ..
sebenarnya awak bukannya suka saya pun…saya ni hanyalah bayangan ex awak –
Tiap kali itulah jugak, Airell akan bantah dakwaanku.
Katanya dia suka aku sebab aku adalah aku, bukan sebab aku ni bayangan mak su. Dia
akan memujukku dengan coklat dan bunga. Sekeras-keras hati perempuan, akan cair
jugak kalau dapat Baryl’s Choc dan sekuntum rose.
Tiga hari lagi majlis pernikahan aku dan Airell. Semakin hampir
tarikh, semakin berdegup kencang jantungku. Sesaat terlintas rasa ingin terus
hidup membujang, sesaat pula terasa nak cepat-cepat jadi isteri orang. Macam-macam
yang mengganggu fikiran.
Dah dua minggu tak menatap wajah arjunaku. Dah dua minggu
juga kami tak berhubungan. Whatsapp, wechat, twitter...semua off. Saja kami
buat rancangan masing-masing kena ‘senyap’ supaya bertambah rindu di hati. Mula-mula
seksa juga nak bertahan walaupun hanya 24 jam. Resah gelisah aku dibuatnya.
Rasa nak hantar seseorang suruh pergi siasat apa yang Airell sedang buat
sekarang. Gila, sampai ke tahap tu sekali. Dah masuk hari ke dua, ketiga,
perasaan dah boleh kawal. Dan sekarang…. Tiga hari lagi. Yeah!!!
Tiba-tiba…
Handset berdering. Nama tunangku tertera di skrin. Lupa ke
apa mamat ni. Kan dah janji tak nak berhubungan lagi sampai hari perkahwinan
kami. Dah tak boleh tahan ke? Aku biarkan deringan. Airell hubungi aku lagi dan
lagi.
Ada hal penting barangkali. Jadi aku pun jawab panggilan.
“Awak, saya nak jumpa awak petang ni. Ada hal penting. Datang
ke Pizza Hut okey, jam 5.00 petang. Saya tunggu di sana.”
“Hal apa…”
Mati panggilan.
Jam lima aku dah tercongok di Pizza Hut sorang diri. Airell tak
kelihatan. Geram aku! Dia yang beria-ia ajak jumpa aku, tapi dia…
Melopong aku melihatnya datang bersama seseorang. Seseorang yang
berbaju kurung dan bertudung lilit.
Airell jatuh cinta sekali lagi dengan mak su. Dia dah
berjaya kembalikan mak su ke pangkal jalan. Hendak dibiarkan, Airell tak sampai
hati. Takut mak su kembali ke jalan yang salah. Kata Airell, dia tak dapat
tidur seminggu memikirkan bagaimana harus menerangkan segalanya kepada aku. Dia
tidak mahu hati aku terluka bila dapat tahu dia kembali kepada mak su.
Saat itu jugak, ringan saja tanganku mencapai gelas berisi
air kosong atas meja lalu aku curahkan ke muka Airell. Semua orang pandang. Ada
aku kesah??? Aku terus meninggalkan Pizza Hut.
Hari perkahwinanku bertukar menjadi hari perkahwinan mak su
dan Airell. Aku terpaksa menerima keputusan opah dan atuk yang setuju bila
Airell menyuarakan hasrat hati hendak mengambil mak su sebagai suri hati. Opah
dan atuk bimbang mak su akan kembali ke masa lalu. Jalan sebaiknya adalah
dengan menikahkannya. Kenduri mereka meriah seperti yang dirancang. Aku tak
dapat nak bantah sebab majlis tersebut banyak guna duit opah dan atuk dari mula
lagi.
Selesai majlis, aku melangkah meninggalkan rumah opah dan atuk
untuk kembali tinggal dengan orang tuaku. Aku berdoa agar lelaki yang aku temui
selepas ini tidak pernah menjadi kekasih wanita lain. Aku bimbang pisang akan
berbuah dua kali. Dan aku juga ingatkan hati, jangan mudah cair dengan pujuk
rayu lelaki. Coklat Baryls dan bunga mawar kini menjadi musuhku.