Home Cerpen Cinta Cinta Bertamu Satu Jam
Cinta Bertamu Satu Jam
Siti Norshimah Binti Md Yasan
24/10/2015 21:28:10
4,277
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

CINTA BERTAMU SATU JAM

Eisya mencapai mug dari tangan Ikhsan. Tanpa sebarang kata Ikhsan meninggalkan Eisya dengan keadaan terpinga-pinga. Tidak pernah Ikhsan masuk ke dalam pantry ni. Hari ni entah apa angin dia boleh pulak datang ke pantry pulangkan mug. Selalunya dia akan meninggakan mug di dalam biliknya. Paling tidak pun dia akan tinggalkan mug di meja Rina, setiausahanya. Ah, lantaklah… bukan masalah aku pun. Pejabat ni dia yang punya. Takkan nak halang dia nak ke mana pun. Getus hati Eisya. Tapi… peliklah. Sekali lagi hati Eisya berkata-kata. Hish! Kenapa pula nak risaukan hal orang lain? Eisya duduk kembali. Dia tersenyum sendiri.

“Kompang dipalu pengantin baru…. Duduk bersanding pengantin baru…” Riang sahaja Eisya menyanyi. Saat dia disunting dan menjadi tunangan orang, dia merasa dunianya begitu indah. Saban hari dia hanya melemparkan senyuman yang tidak pernah dapat digambarkan.

“Amboi…. Rakan kita seorang ni. Bukan main lagi menyanyi. Maklumlah orang dah bertunang. Dah nak kahwin pula tu.” Eisya tersenyum dengan usikan Diya itu.

Walau pun hatinya berbunga riang namun di dalam hatinya terselit rasa getar dan seribu persoalan. Apakah jodoh yang diaturkan oleh keluarganya ini adalah benar-benar jodoh buat dirinya. Sikap dingin yang dilemparkan oleh tunangnya setiap kali dia menelefon kadang-kala membuatkan dia menjadi takut. Air mata? Sudah puas untuk dia tangisi. Yelah, mana tahu tunangannya itu terpaksa menerimanya untuk menjadi bakal surirumahnya.

Namun di saat jari manisnya tersarung cincin pertunangan dia menyimpan perasaan yang sukar untuk dia gambarkan. Perasaannya berbaur. Walau pun dia tidak pernah berjumpa dengan tunangannya itu namun dia berharap dengan jodoh yang telah diatur untuk dirinya adalah jodoh yang akan kekal abadi. Dia yakin cinta dan kasih sayang boleh disemai.

Diya melabuhkan punggung di hadapan Eisya. Segala kerja telah pun diselesaikan. Semua segala ceruk penjuru pejabat telah dilaksanakan tugas dengan sempurna. Eisya yang lebih awal sampai telah pun membersihkan bilik Ikhsan di saat Ikhsan keluar makan. Memang itu tugas harian Eisya. Dia ditugaskan membersihkan bilik Ikhsan, pantry dan tandas. Dan setiap hari juga sebelum Ikhsan masuk ke pejabat dia akan menghidangkan kopis ‘o’ panas buat majikannya itu. Jika dia terlewat datang kerja atau bercuti barulah Diya yang akan mengambil tugas Eisya. Namun selalu sahaja sahabatnya itu bersuara. Ikhsan selalu komen dengan air yang dihidangkan oleh Diya. Katanya tidak sama dengan yang Eisya buat. ‘Lagi sedap kawan awak buat.’ Yelah! Tuan lain-lain. Tangan pun lain-lain juga. Dan saat itu juga muncung Diya bagaikan sedepa apabila mendengarkan komen dari Ikhsan itu. Bukan nak ucap terima kasih. Komen je yang lebih!

Namun Eisya sering tertanya akan kehidupannya selepas berkahwin. Berjumpa pun tak pernah, macam mana nak bincangkan hal dikemudian hari? Bila ditanya jawab pun antara nak atau tidak. Namun untuk akan datang tugasnya kian bertambah. Menjaga makan minum…. Baju dan juga keperluan untuk suami. Itu yang akan menjadi kepastian. Namun corak perjalanan untuk hidup berdua masih lagi samar-samar dan Eisya masih lagi di dalam teka-teki.

“Kau ada berjumpa dengan tunang kau?” Bingo! Pertanyaan dari Diya itu bagaikan soalan cepu mas yang berat untuk dia menjawab. Akhirnya dia menggelengkan kepala. Malas pula untuk bersoal jawab di dalam hal yang diutarakan oleh Diya itu. Dia sendiri pun tidak dikenalkan pada hari pertunangannya. Yang datang cuma keluarga dan sanak saudara. Bila ibunya bertanya, bakal mertuanya meminta maaf. Cuma yang dia tahu ibunya memanggil dengan nama Adam. Adam? Hai Adam! Saya hawa…. Hehehe….

Ada masa dia membayangkan bagaimana rupa tunanganya. Gemuk ke kurus ke tua ke, muda ke yang pasti kini dia sudah menjadi tunangan orang. Namun dia tidak memberikan harapan yang tinggi. Apa yang penting sedap mata memandang. Yang penting juga hati dan keimanan yang mana boleh membimbing dirinya menjadi isteri yang solehah. Jika dia ditanya bagaimana rupa tunangannya Cuma satu sahaja yang boleh menjadi jawapan kepada persoalan itu. ‘Wait and see.’ Nak buat macam mana? Dia sendiri pun tidak tahu bagaimana rupa tunangannya. Buatnya rupa macam monyet? Ah, terimalah seadanya. Mungkin ada kebaikan yang kita sendiri tidak tahu. Dah kalau itu menjadi jodoh…. Yang penting saling menyayangi.

“Kau biar betul. Takkan kau tak pernah jumpa dengan dia barang sekali pun?” Terkejut juga Diya mendengarkan pengakuan ikhlas Eisya itu. Tak percayalah. Eisya menggeleng kepala sekali lagi. Memberikan jawapan yang sama seperti tadi. Zaman sekarang bila dah bertunang je kalau boleh hari-hari nak berjumpa. Si Eisya ni? Tak pernah berjumpa. Macam kena kahwin paksa je bunyinya.

“Takkan aku nak tipu dengan kau, Diya. Memang aku tak pernah berjumpa dengan dia. Biarlah masa yang akan menentukan. Dah dia tak nak berjumpa dengan aku. Takkan aku nak paksa, kan? Tentu-tentu dia kata aku ni anak dara yang tak tahu malu. Jodoh maut ditangan Allah, Diya. Kita merancang dan Dia yang akan menentukan.”

“Aku peliklah Eisya. Betul ke dia nak jadikan kau sebagai isteri dia? Entah-entah dia nak bermain dengan kau tak? Saja je dia nak mainkan perasaan kau. Yelah… siapalah kita ni kan? Kerja cleaner je. Dah tentu orang pandang kita sebelah mata pun tidak.” Tersentak Eisya mendengarkan bicara yang baru dilontarkan oleh Diya sebentar tadi. Diya, jangan nak beri takut boleh tak? Takkan orang seperti aku tidak boleh berkahwin? Getus hati Eisya. Kata-kata Diya itu sedikit sebanyak membuatkan hatinya tidak senang.

“Aku yakin dengan jodoh orang tua aku, Diya. Lagi pun mereka kawan baik keluarga aku. Takkan mereka nak main-main dalam hal ni. Aku tengok mereka keluarga yang baik-baik.” Eisya cuba untuk mempertahankan jodohnya walau pun di dalam masa yang sama dia merasa sangsi. Ya Allah! kau tetapkan hatinya untuk meneruskan perhubungan ini. Saban hari hanya itu yang menjadi hidangan doanya.

“Entahlah Eisya, aku rasa macam tak yakin je dengan tunang kau tu. Kalau memang betul dia nak jadikan kau sebagai isteri dia, sekarang ni juga dia dah berjumpa dengan kau. Uruskan hal perkahwinan kau dengan dia Cari baju pengantin, cari barang hantaran, pergi kursus kahwin. Ini tidak. Nak berjumpa pun tak pernah. Apa lagi nak buat semua tu. Aku takut tak jadi je Eisya.” Berdiri bulu roma Eisya mendengarnya. Dia memandang kepada Diya dengan penuh makna.

“Engkau janganlah bagi aku takut. Yang kau ni mulut macam tak ada insuran langsung. Cubalah kau mendoakan yang baik untuk aku. Semoga panjang jodoh aku . Ini tidak. Cakap yang bukan-bukan je.” Saja Eisya merajukkan diri. Dia mencebikkan bibirnya. Tanda tidak puas hati.

“Ala…. Bukan niat aku nak menakutkan kau. Aku memang nak tengok kau bahagia. Cuma aku tak nak tengok kau terlalu mengharap. Nanti aku takut kau yang merana nanti.” Diya meluahkan dengan apa yang dilihat dan dirasa. Namun Eisya masih berpegang kepada kata hatinya.

“Kau janganlah bimbang, Diya. Aku okey. Lagi pun aku bertunang tak lama. Tiga bulan. Walau pun aku tahu untuk tempoh itu macam-macam yang akan berlaku, aku berserah kepada yang Esa.” Perlahan sahaja nada suara Eisya.

“Kau yakin ke dengan apa yang kau lakukan sekarang ni, Eisya?”

“Kalau ada jodoh aku, kau akan dapat kad jemputan dari aku. Kalau sudah tiada jodoh aku dengan dia apa yang boleh aku buat? Jodoh, maut ditangan tuhan. Kita merancang dan Allah yang akan menentukan.” Kali ini Eisya seperti mengalah.

“Hah, memonteng ye.” Tersentak Eisya dan Diya bila dia disergah sebegitu.

“Kau ni Kamal dah tak reti nak beri salam ke? Main terjah macam tu je? Kalau aku ada sakit jantung boleh gol aku kat sini tau.” Eisya memberi serang balas. Kamal pula tersenyum seperti kerang busuk. Kali ini dia melabuhkan punggung di sebelah Eisya. Eisya berkalih sedikit.

“Ala…. Janganlah marah. Aku bergurau je.”

“Nak kata orang memonteng, yang kau ni dah habis hantar surat?” Tanya Diya pula.

“Dah… kalau tak takkan aku kat sini. Eisya, esok Eisya free tak? Kita keluar nak?” Terbuntang biji mata Eisya mendengarkan pelawaan Kamal itu. Angin tak ada, rebut tak ada tetiba je budak Kamal ni ajak keluar. Apa hal pulak? Jangan kata platform nak mengurat sudahlah.

“Kau ni bukan main sombong sekarang ni ye. Aku ajak keluar je. Bukan nak buat apa pun.” Entah mengapa rasa meluat pula dia melihatkan telatah Kamal yang agak berlebihan itu. Sebelum ini tak ada pula dia bertindak seperti itu. Sekarang sudah agak keterlaluan.

“Maafkan aku, Kamal. Aku tak boleh. Kau ajak orang lain jelah.” Tolak Eisya perlahan. Kamal terdiam. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini kelibat Eisya cuba dicari walau pun dia tahu Eisya sudah pun bertunang. Begitu juga dengan dia.

“Ala… Eisya…. Kita pergi makan dengan tengok wayang je.” Pujuk Kamal lagi.

“Maaflah Kamal. Memang aku tak boleh. Aku harap kau faham. Maaf, aku ke surau dulu.” Eisya bangkit tanpa memandang ke arah Kamal. Dia perlu menjaga maruah demi perhubungan yang baru bermula. Memang benar kata orang. Dugaan di dalam bertunang memang kuat. Dan dia perlu mengharungi semua itu agar dia tidak terjatuh.

“Eisya!”

Kamal menghela nafas kecewa.

“Kamal, Eisya bakal menjadi milik orang. Kau kena faham. Selama ini tak pernah kau nak dekat dengan dia.” Diya pula yang masuk campur. Mungkin ada benar kata-kata Diya itu. Dia beristifar seketika.

“Wei, aku free. Kau nak tengok cerita apa?” Saja Diya ingin memacing Kamal.

“Gila kau! Kau tu bini orang. Nak kena buku lima? Dahlah…. Aku keluar dengan tunang aku lagi bagus.”

“Kan senang. Esok lusa dah nak nikah, kan? Jangan nak cari bala, Kamal. Kesian Eisya. Kau buat dia tak senang tau tak? Dan kesian juga dengan tunang kau tu. Tak pasal-pasal kau keluar dengan Eisya kau putus tunang.”

“Nampak sangat ke?”

“Yelah… dah, jangan kau nak ganggu dia lagi. Esok lusa dia pun nak jadi milik orang. Eisya bukan macam orang lain, tau. Dia betul-betul setia kau tau tak.” Kamal tersedar dari silapnya sendiri. Memang benar kata orang. Dugaan semasa bertunang memang begitu mencabar.

“Dahlah…. Aku pergi dululah. Terima kasih kau dah tegur aku.”

“Tak ada hallah. Kau tu. Jangan nak berlebih sangat.” Pesan Diya keras. Kamal mengaku akan silap dan salahnya. Dia kemudiannya menyalahkan diri sendiri dengan apa yang telah dia lakukan.

Eisya keluar dari tandas setelah mengambil wuduk. Dia terus berlalu ke arah surau. Namun saat dia menolak pintu surau, ada tangan lain yang menolak pintu itu. Dia berpaling dan ternyata dia terkejut. Ikhsan!

“Encik Ikhsan nak solat ye. Encik Ikhsan masuklah dulu.”Eisya cuba memberi laluan kepada Ikhsan untuk menunaikan fardu 5 waktu itu.

“Tak mengapalah awak solat dulu. Saya tunggu luar.” Kali ini Ikhsan pula yang mengalah.

“Tak apa…. Encik Iksan masuklah dulu.”

“Tak apa…. Awak dulu.” Erm…. Sudah macam tarik talilah pulak.

“Tak mengapa. Encik Ikhsan dulu.” Ikhsan sudah bercekak pinggang.

“Ke awak nak berjemaah dengan saya?” Kali ini Eisya kalut. Dia kalah. Mendengarkan kata-kata Ikhsan itu membuatkan Eisya serba tak kena. Cepat-cepat dia masuk ke dalam surau untuk menunaikan fardu asar. Buatnya bosnya itu mengamuk mahu pecah dinding pejabat nanti. Bukan tak kenal dengan Ikhsan. Tegas dan serius sahaja di pejabat.

Lama juga Eisya berada di dalam surau. Setiap kali dia menunaikan kewajipan itu, setiap kali itulah dia memanjatkan doa untuk jodohnya agar berkekalan. Namun tiba-tiba dia teringatkan Ikhsan yang masih lagi menanti untuk menunaikan solat asar. Nasib baiklah dia bukan jenis yang suka bersolek. Kalau tidak sudah tentu Ikhsan terpaksa menunggu lebih lama lagi.

“Maafkan saya Encik Ikhsan. Saya terlewat.” Eisya tunduk tanpa memandang kepada Ikhsan. Rasa bersalah mula bertandang di hatinya.

Eisya segera beredar dari situ. Entah mengapa dia merasa amat kerdil ketika bersama dengan Ikhsan. Dia diibaratkan seperti langit dan bumi. Bagaikan enggang dan pipit. Tidak betah untuk dia berkata-kata apalagi bertentang mata. Eisya kemudiannya menuju ke bilik pekerja yang meneruskan kerjanya. Untuk waktu terakhir ini dia perlu mencuci tandas dan membantu Diya mengutip sampah sebelum balik. Bila dia teringatkan terserempak dengan Ikhsan entah mengapa hatinya dari tadi tidak keruan. Ah, lantaklah….

Saat jam menunjukkan ke angka 7.30 malam hati Eisya mula resah. Tidak pernah seumur hidupnya bekerja di Berjaya Holding sebagai seorang cleaner dia pulang selewat itu. Jika tidak dia berjanji dengan Rina untuk menyerahkan baju kurung yang dijahitnya sudah tentu dia sudah bersenang lenang di rumah. Kalau tidak pun dia sudah pun menyediakan makan malam.

Rina, setiausaha kepada Ikhsan memang kerap pulang jam tujuh malam. Biasanya dia akan keluar bersama-sama dengan Ikhsan. Senyuman Eisya akhirnya bertamu apabila dia melihatkan kelibat Rina yang kelihatan kalut. Rina seperti bergegas dan langkahnya kian laju.

“Sorrylah aku lambat. Encik Ikhsan tadi suruh aku hantar emergency report ke HQ. Nah, ini upah kau. Nanti kalau ada lagi baju yang nak aku upah aku bagi kat kau ye. Aku balik dulu. Assalamualaikum.” Belum sempat Eisya berkata apa, langkah Rina sudah dulu meninggalkannya.

“Cik Rina, Lebih ni.” Laung Eisya. Namun tiada reaksi. Rina sudah pun menghilang dari pandangan matanya. Ah! Keseorangan lagi.

Eisya memandang sekeliling. Ke kiri dan ke kanan. Kali ini meremang pula bulu tengkuknya saat dia keseorangan di situ. Ingatkan boleh juga dia bersaing balik dengan Rina tapi…. O….. tak boleh jadi. Dia mesti keluar dengan segera dari situ. Dengan cepat dia menutup lampu dan terus menuju ke pintu lif. Tidak pernah dia balik selewat itu. Keseorangan pula tu. Saat pintu lif terbuka ternyata dia tidak keseorangan. Wajah Ikhsan bermain diruang matanya. Tiba-tiba Eisya menyalahkan dirinya. Ikhsan lagi. ‘Kenapalah boleh kerap berjumpa dengan dia hari ni?’

Eisya tunduk dan masuk ke dalam lif dengan harapan tiada suara sumbang yang akan dilontarkan oleh Ikhsan. Mungkin Ikhsan yang berfikir yang bukan-bukan tentang dirinya yang pulang lewat. Ah, kalau bukan sebab setiausahanya tidaklah dia pulang lewat sebegini.

“Lewat awak balik.” Teguran dari Ikhsan itu membuatkan Eisya tersentak.

“Hari ini je Encik Ikhsan. Maafkan saya. Saya dah berjanji dengan Cik Rina untuk serahkan baju yang dia upah dengan saya.” Ada nada getar disitu. Perasaannya sudah menjadi seram sejuk. Teruklah kalau dia serang lagi oleh Ikhsan. Kenapalah tak beri saja baju tu tengahari tadi. Kalau tidak sudah tentu dia akan balik awal dan tidak perlu pulang lewat. Eisya menyalahkan dirinya lagi.

Entah mengapa, dengan tiba-tiba lif terhenti. Tidak bergerak. Ah! Sudah! Apa pula bala yang datang ni? Kering darah Eisya apabila lif itu tiba-tiba tidak bergerak. Ikhsan menekan punat dipintu lif. Namun tiada apa yang berlaku. Lif itu masih lagi tidak bergerak. Ikhsan menekan loceng kecemasan untuk mendapatkan bantuan. Namun hampa. Dia melirik ke arah jam di tangan kanannya. Patutlah! Mesti guard sedang waktu rehat. Sudah pukul lapan. Memang waktu rehat mereka.

“Macam mana ni Encik Ikhsan?” Ada riak cemas nada yang dilontarkan oleh Eisya. Dia memang benar-benar risau ketika ini. Sudahlah lewat. Tergendala dalam lif pulak. Air mata Eisya bagaikan ingin keluar namun dia gagahi juga.

“Cubalah awak bawa bersabar sikit. Guard tengah rehat sekarang ni. Pukul sembilan baru mereka masuk kerja balik. Tapi tak apalah. Saya cuba call dia.” Ikhsan menyeluk saku seluarnya. Kemudiannya dia menepuk dahi.

“Kenapa Encik Ikhsan?” Kali ini Eisya kelihatan lebih kalut lagi. Melihatkan Ikhsan mengeluh keras dia tahu ada sesuatu yang telah terjadi. Berubah riak wajah Ikhsan apabila melihatkan telefon bimbitnya kehabisan bateri.

“Bateri habis le pulak. Hish!” Ikhsan tertekan. Nak menjerit tak ada gunanya. Bukannya orang boleh dengar pun. Paling tidak dia akan menyakitkan telinga Eisya nanti. Sudahlah gadis itu diselubungi rasa takut dan cemas. Silap hari bulan kalau menjerit mahu dia histeria dalam tu nanti.

“Sabar Encik Ikhsan.” Pujuk Eisya. Namun getaran hatinya kian rancak berlagu. Masa inilah telefon bimbit kehabisan bateri.

“Awak ada handphone?” Eisya mengangguk. Namun dia berat hati untuk memberikan kepada Ikhsan. Dia takut jika Ikhsan akan mentertawakan apabila dia menyerahkan telefon bimbit.

“Tapi saya tak ada kredit.” Jujur sahaja pengakuan Eisya. Dia terlupa untuk menambah baki kreditnya tadi.

“Guna sim kad saya untuk sementara waktu. Mana handphone awak? Bagi saya.” Dengan berat hati Eisya mencapai dari beg tangannya. Telefon bimbit yang tidak secanggih Ikhsan itu diserahkan. Terbuntang anak mata Ikhsan melihatkan telefon bimbit Eisya itu. Sudahlah telefon bimbit itu diikat dengan getah dan…

“Handphone awak pun habis bateri juga?” Argh!!!!! Apalah malang nasib hari ini!!!

“Habis kita nak buat macam mana ni Encik Ikhsan?”

“Nak buat macam mana lagi? Kena tunggu diaorang habis rehat barulah kita minta pertolongan.” Akhirnya Ikhsan menggalah. Dia terduduk. Meraup wajahnya dan menggarukan kepala yang tidak gatal. Sudah tentu mamanya sedang menanti di rumah.

Eisya juga terduduk apabila mendengarkan penjelasan dari Ikhsan itu. Nasib baik ada aircond di dalam lif itu. Kalau tidak? Mahu mati kering dia di situ. Suasana sepi seketika dan masing-masing melayani perasaan sendiri. Ikhsan melonggarkan tali lehernya. Briefcase di letakkan di sisi. Agak lama juga mereka berdiam diri.

“Dah lama awak kerja sini?” akhirnya Ikhsan bersuara memecah kesunyian. Dia cuba untuk memulakan perbualan.

“Dah setahun, Encik Ikhsan.” Ikhsan mengangguk dan kemudian dia sepi semula. Dia cuba untuk berbual dan menyusun cerita.

“Asal dari mana?” Eisya berpaling memandang kepada Ikhsan. Sudah macam orang kena interview kerja pulak. Tanya macam-macam. Cubalah tanya dah makan ke belum. Ini tanya soalan formal sangat. Tahulah awak tu boss.

“Melaka.” Sepatah sahaja jawapan yang dilemparkan oleh Eisya. Tiba-tiba perasaan malu menyelubungi hatinya. Dia bangkit dan cuba menekan punat di pintu lif. Namun gagal.

“Kena panggil teknikal juga.” Eisya akur dan duduk semula. Sebenarnya dia sudah keletihan. Sudahlah dia kelaparan. Belum mandi lagi. Namun dia kumpul rasa kesabaran di dada. Ah, mengapa ini harus terjadi? Mungkin ada hikmah dengan apa yang telah terjadi.

“Er…. Awak ke yang sediakan kopi buat saya setiap pagi?” Eisya mengangguk tanpa memberikan jawapan.

“Sedap.” Puji Ikhsan ikhlas. Memang saban hari dia sering menantikan kopi ‘o’ yang dibuat oleh Eisya. Jika kopi ‘o’ itu berganti dengan orang lain yang membuatnya Ikhsan merasa tidak senang hari itu. Bagaikan dicari-cari.

“Terima kasih.” Berbunga hati Eisya dengan pujian seumpama itu. Senyumannya melebar. Inilah kali pertama dia mendapat pujian dari Ikhsan.

“Awak dah kahwin?” Entah mengapa soalan itu laju sahaja diajukan kepada Eisya. Eisya berbagi untuk memberi jawapan.

“Kahwin belum. Tunang sudah.” Eisya sedaya upaya menggumpul semangat untuk berbual dengan Ikhsan. Apalagi melibatkan hak peribadinya. Dia sebenarnya tidak beberapa gemar bila dia ditanya sebegitu.

“Oh, ye ke? Bila nak kahwin?” Ikhsan kelihatan lebih tenang berbanding tadi. Jika tadi dia agak tegang dengan apa yang terjadi. Dia sebenarnya bersyukur dengan kehadiran Eisya di situ. Boleh juga dia ajak berborak. Jika dia keseorangan di dalam lif sekarang ini mahu dia buat tahi mata saja.

“Tiga bulan lagi.”

“Jangan lupa menjemput saya.” Seloroh Ikhsan.

“Encik Ikhsan bos saya. Takkan saya lupa nak jemput kot?” Eisya mula selesa berbual dengan Ikhsan.

“Seronok bertunang?” ala…. Soalan ini lagi yang keluar. Kalau tak nak jawab boleh tak? Sudahlah tadi dengan Diya. Sekarang ni dengan Ikhsan pula. Eisya menjadi pendiam. Dia hilang kata-kata.

“Seronok.” Mungkin itulah jawapan yang perlu untuk masa ini. Tidak perlulah dia membuka aib sendiri. Walau pun itu adalah jawapan yang mungkin di dalam kotak simpanannya. Kerana semenjak dia bertunang dia sendiri tidak tahu bagaimana seronoknya orang bertunang.

“Macam tak ikhlas je jawapan yang beri tu. Kenapa? Awak takut?” Hish! Pandai betul mamat meneka. Agak-agak dia ni adik beradik dengan nujum pak belalang kot. Eisya menghela nafas perlahan. Mengapa perlu untuk menjawab persoalan itu?

“Saya takut sebab saya tidak mengenali dia.” Ternyata jawapan yang diberikan oleh Eisya itu membuatkan Ikhsan terkejut.

“Kenapa?” kan dah kata. Memang dia akan menggali dengan sedalamnya. Untuk tidak bercerita nanti dia dikatakan sombong. Tetapi jika dia bercerita dikatakan membuka pekung di dada. Dia sendiri tidak mahu membuka aib tunangnya itu.

“Saya bertunang dengan pilihan keluarga.” Ikhsan berpaling memandang ke arah Eisya. Cuba untuk mencari kebenaran.

“Awak tak pernah bertemu dengan dia?” Eisya menggeleng dan Ikhsan tersenyum menyindir. Dia sudah mengaggak akan jawapan yang diberikan oleh Ikhsan itu.

“Takkan awak tak pernah jumpa dengan dia? mana tahu dia gemuk ke? Kurus ke? Jalan dah pakai tongkat ke? Miskin ke? Apa ke?” Serkap Ikhsan membuatkan wajah Eisya berubah.

“Kenapa bila berkata tentang jodoh pilihan keluarga semuannya ingin menggambarkan jodoh itu yang buruk saja? Sebab saya tidak pernah berjumpa dengan dia? Tapi saya yakin dengan jodoh yang diaturkan oleh keluarga saya. Lagi pun takkan seorang ibu dan ayah tidak ingin melihat anaknya bahagia? Dan saya tak rasa yang Encik Ikhsan punyai hak untuk menilai tunang saya.”

Ikhsan tersentak dengan keberanian Eisya bersuara. Dalam kelembutan terselit juga kelantangan bersuara oleh Eisya.

“Apa yang penting adalah restu keluarga, Encik Ikhsan.” Tegas Eisya mempertahankan hubungan yang baru dibina itu.

“Tapi awak boleh buat pilihan sendiri, kan?” Eisya tersenyum dengan kata-kata Ikhsan itu.

“Kalau pilihan sendiri tanpa restu ibu bapa pun tak ada gunanya. Lebih baik saya terima jodoh yang telah diaturkan oleh mereka.”

Ikhsan terdiam.

“Saya yakin, bercinta selepas berkahwin adalah lebih manis dan lebih indah lagi.” Eisya cuba mempertahankan prinsipnya.

“Tanpa awak mengenali akan hati budinya?” Perangkap Ikhsan. Namun Eisya tidak mengalah disitu.

“Bukankah saya katakan tadi, ibu dan ayah tahu apa yang terbaik buat kita. Bukankah ikatan perkahwinan itu saling melengkapkan? Saya ada dia untuk menutup kelemahan saya. Begitu juga dengan dia. Dan saya yakin ibu dan ayah kita berkahwin pun dulu dengan pilihan keluarga. Jadi tak salah,kan?”

“Tapi awak perlu tahu isi hatinya.” Perbualan semakin rancak dan panas. Eisya bagaikan tidak senang bila dia di’serang’ bertalu-talu. Apatah lagi dengan desakan yang amat kuat. Kali ini Eisya tekad, segala apa yang bersarang di dalam hati pasti diberitahu.

“Encik Ikhsan, disaat tersarungnya cincin dijari manis saya ni, saya yakin dengan jodoh saya dan saya yakin dia boleh terima saya. Dan disaat itu jugalah saya berjanji dengan diri saya untuk setia dan menutup setiap aib dirinya.” Tegas Eisya sambil menunjukkan cincin di jari manisnya. Puas hatinya dengan jawapan yang diberi. Selepas ini kalau Ikhsan nak berkata apa dia terima sahaja. Walau pun segala yang negatif akan ditelan juga.

Kali ini tiada soalan dan serangan dari Ikhsan. Ikhsan mati akan kata-kata. Dia memandang ke arah Eisya yang begitu tenang. Ada sesuatu yang menarik tentang gadis itu yang selama ini dia tidak pernah pun berbual bersama. Jika di pejabat pun Eisya akan masuk sebelum dia melangkah ke pejabat. Dan kalau bertemu pun tiada sapaan dan bertanya khabar. Dan kali ini hati Iksan pula yang tidak tentu arah.

“Jadi awak yakin dengan jodoh awak?” Ikhsan masih lagi menduga Eisya. Eisya mengangguk tanpa berfikir panjang.

“Saya tahu saya tidak sempurna. Namun saya tahu, ada ruang untuk saya bahagia. Kasih sayang dan cinta kita sendiri pun tak tahu bila ianya akan hadir. Namun pada saya, cinta dan sayang saya hadir saat saya disunting.” Cerita Eisya.

Ikhsan hilang dengan kata-kata sekali lagi. Dia mendiamkan diri. Dia melayani perasaannya sendiri. Begitu jauh dia mengelamun dan memikirkan apa yang telah diperkatakan oleh Eisya itu. Eisya memandang kepada Ikhsan. Dia menyalahkan dirinya. ‘Aduh! Aku banyak sangat cakap ke?’ Eisya menggarukan kepalanya yang tidak gatal.

“Saya minta maaf kalau saya ada menyinggung perasaan Encik Ikhsan. Saya cuma berkata benar. Ianya benar-benar ikhlas dari hati saya.”

Ikhsan menyambutnya dengan senyuman yang hambar. Dia terpukul dengan kata-kata Eisya itu. Dalam diam dia menggagumi gadis itu. Akhirnya Ikhsan mengalah. Dia mendiamkan diri dan melayani perasaanya. Ikhsan melirik jam di tangan kanannya. Sudah pukul 915 malam. Sudah satu jam dia tersekat di dalam lif dengan Eisya. Ikhsan bangkit. Dia kemudiannya menekan butang kecemasan. Dia menghela nafas lega apabila panggilannya berjawab dan tidak lama lagi mereka akan diselamatkan. Begitu juga dengan Eisya. Dia menarik nafas lega dan yang penting dia tidak lagi menjadi bahan serang balas dari Ikhsan.

Tiba-tiba pintu lif terbuka. Eisya memanjat rasa syukur yang tidak terhingga. Dia melemparkan senyuman untuk Ikhsan dan Ikhsan membalas dengan senyuman yang penuh keikhlasan. Berjaya juga dia melepaskan dari dari Ikhsan. Eisya melangkah ke bus stop untuk menantikan bas yang seterusnya. Dia memerhatikan papan waktu kedatangan bas rapid. Ah, perlu menanti 20 minit lagi?

“Saya hantarkan awak balik.” Pelawaan dari Ikhsan itu ternyata membuatkan Eisya tersentak. Bermimpikah aku? Tidak Eisya. Eisya memandang sekeliling. Ternyata dia keseorang. Untuk keseorangan dia merasakan tidak selamat. Namun dia juga tidak mahu menumpang Ikhsan yang pasti dia akan ‘diserang’ lagi.

“Tak perlulah Encik Ikhsan. Menyusahkan Encik Ikhsan je. Tak pe saya boleh naik teksi je.” Eisya menolak pelawaan Ikhsan. Dia sebenarnya risau. Nanti apa pula orang kata. Dan lagi satu dia tidak mahu dia ditanya dengan soalan-soalan peribadi.

“Tak menyusahkan pun. Lagi pun dah malam ni. Bahaya awak balik seorang diri. Marilah…. Kereta saya ada di sana.” Tunding Ikhsan ke arah keretanya di parkir VVIP. Eisya kemudiannya akur. Yang sebenarnya dia memang merasa takut untuk pulang sendirian. Lebih-lebih waktu malam begini. Macam-macam dia dengar cerita yang buruk. Tambahan lagi dia sebagai anak dara. Kan ke best kalau dapat insan tersayang yang boleh hantar dan menjemput.

Masuk sahaja di dalam perut kereta sekali lagi dia dilanda resah dan gelisah. Kekok bila dia berada di dalam kereta yang serba mewah itu. Bagaikan dia merasakan tidak layak berada di dalamnya.

“Nampak gayanya saya terpaksa tukar kereta ni tak lama lagi. Agak-agak awak apa kereta yang patut saya tukar?” Eisya tidak ambil peduli dengan kata-kata Ikhsan itu. Kerana tiada kena mengena dengan dirinya pun. Untuk apa dia memberikan pendapat? Ikhsan seorang yang kaya. Petik jari apa kereta pun dia mampu beli. Dan sekarang ni pun kereta porshe yang ada ini pun dah memang cukup mewah. Nak tukar apa lagi? Omong Eisya sendiri.

“Terpulanglah pada Encik Ikhsan. Lagi pun Encik Ikhsan mampu untuk beli kereta apa pun.”

“Agak-agak awak bagaimana agaknya kehidupan awak selepas kahwin nanti?” sengaja Ikhsan ingin menduga Eisya.

La…. Ingatkan dah habis temuduga seisi temuduga tadi. Rupanya ada lagi. Apa lagi yang ingin ditanya?

“Saya akan menjaga makan dan pakai dia. Dalam erti kata saya akan menjadi penjaga, sahabat, rakan dan kekasih kepada dia. Saya tak kisah jika saya teruskan kerja sekarang ni kalau andai kata boleh membantu dia.”

“Kuat betul kepercayaan awak kepada dia.” Eisya tersenyum. Ikhsan benar-benar menduga perasaannya.

“Kepercayaan adalah penting untuk menguatkan jodoh kita, Encik Ikhsan. Dan saya percaya kepada dia.”

Ikhsan membiarkan perbualan mereka mati di situ. Eisya pula menghela nafas lega. Bolehlah dia bernafas dengan tenang. Ikhsan tenang dalam pemanduannya. Namun begitu tanpa disedari dia mencuri lihat kepada Eisya.

“Eh! Encik Ikhsan rumah saya simpang kanan.” Jerit kecil Eisya. Rasa takut mula melanda hatinya. Sama juga ketika dia di dalam lif tadi. Rasa menyesal pula dia menumpang Ikhsan untuk pulang ke rumah. Ini….. entah kepada pula dibawa pergi.

“Awak ni kalut sangatlah. Tak adanya saya nak bawak awak lari. Kita pergi makan dulu. Saya tahu awak lapar. Saya pun lapar juga.” Kus semangat. Ingatkan nak buat scene penculikan tadi. Hish! Menyesal pulak fikir yang bukan-bukan. Kesian Ikhsan.

“Kita pergi rumah saya.” ‘Rumah saya?’ Ayat itu sudah cukup buat darah Eisya menyirap. Kering dan pucat rasanya wajah Eisya ketika itu. Dah ajak makan, makan jelah. Ini siap nak bawa rumah apa hal?

“Maaf Encik Ikhsan. Rasanya Encik Ikhsan turunkan saya di bus stop sana. Saya rela naik bas atau teksi. Tak elok saya ke rumah Encik Ikhsan. Lagi pun saya tunangan orang.” Eisya menolak pelawaan Ikhsan yang dirasanya melampau oleh Eisya itu. Berani betul boss aku ni. Berani tak bertempat. Senang-senang nak ajak anak dara orang.

“Ada saya kisah?” Terbuntang anak mata Eisya mendengarkannya. Air mata Eisya hampir mengalir apabila melihatkan Ikhsan bertindak tenang.

“Encik Ikhsan, lebih baik turunkan saya sekarang. Tolonglah….” Rayu Eisya.

Ikhsan tidak mengendahkan kata-kata Eisya sebaliknya dia meneruskan pemanduannya. Eisya semakin gelisah. Buatnya dia diapa-apakan…. Huh! Selisih!

Masuk sahaja di perkarangan rumah banglo 3 tingkat itu Eisya bagaikan tidak tentu arah. Tangannya sejuk beku. Ikhsan masih lagi tenang. Hish! Benci! Tidak lama kemudian seraya Ikhsan memarkirkan kereta didatangi oleh seorang wanita yang melebihi separuh abad. Eh…. Macam kenal je.

“Awak masuk dan duduk dulu. Saya nak naik mandi dan tukar baju.” Kerah Ikhsan. Lama juga Eisya di dalam kereta sehingga dia diberi isyarat oleh Ikhsan. Eisya akhirnya keluar dari perut kereta dan menghampiri wanita itu.

“Eh, makcik Siah.” Jerit Eisya kegembiraan. Tidak sangka dia berjumpa dengan kenalan lama keluarganya itu.

“La… Eisya ke. Ingatkan siapa tadi. Masuklah. Kenapa datang tak beritahu dengan mama?” Sambut Puan Sri Rosiah

“Mama?”

“Kan dah beritahu dengan Eisya hari tu jangan panggil makcik. Panggil mama je.”

“Tapi….”

“Dah masuk. Tak sangka Eisya datang rumah. Eh! Mana budak bertuah ni? Hilang pulak dia.” Puan Sri Rosiah mencari kelibat Ikhsan. Dah kemudian dia memanggil.

“Abang! Marilah tengok siapa yang datang.” Laung Puan Sri Rosiah dari ruang tamu. Tan Sri Ahmad turun dengan segera. Alangkah terkejutnya bila dia melihatkan Eisya berada di ruang tamu.

“Eisya ke? Abang mimpi ke Siah?” Meleret senyuman Tan Sri Ahmad. Eisya mula tecenggang-cenggang. Dia tidak pasti untuk apa dia disitu.

“Yelah…. Bang. Eisya datang ni.” Puan Sri Rosiah memandang gembira kepada Eisya.

“Mama tengok Eisya ni macam letih je. Mesti Eisya belum makan lagi. Macam tak bermaya je mama tengok.” Eisya menggeleng. Memang dia masih belum makan dari tadi. Perutnya sudah mula minta diisi. Yang sebenarnya dia masih lagi dalam keadaan tertanya-tanya.

“Mari mama sediakan makan.”

“Eisya tolong.” Spontan sahaja Eisya bersuara. Puan Sri Rosiah hanya menurut. Mereka bersama-sama di ruang makan untuk menyediakan hidangan. Dua pinggan disediakan. Hanya Ikhsan dan Eisya yang masih belum makan lagi.

Ikhsan turun setelah membersihkan diri. Dia berbaju t-shirt dan berseluar track. Dia tampak lebih santai dan simple.

“Bertuahnya anak mama ni. Kenapa tak beritahu awal-awal dengan mama nak bawa Eisya? Kalau mama tau mama masak yang sedap-sedap tadi.” Ikhsan tersenyum dan lantas memeluk ibunya.

“Kami makan dululah mama. Lapar sangat ni.” Renggek Ikhsan.

“Yang awak kacau mereka tu kenapa?” Ternyata suara itu adalah milik Tan Sri Ahmad.

“Makcik, temankan saya makan.” Eisya sebenarnya malu untuk makan bersama-sama dengan Ikhsan. Jika ada Puan Sri Rosiah sekurang-kurangnya dia tidaklah segan sangat.

“Mama.” Puan Sri sekali lagi membetulkan.

“Er…. Mama temankan saya makan.” Puan Sri Rosiah tersenyum. Sejak dia bertemu dengan Eisya dia yakin memang itulah gadis pilihannya. Gadis itu begitu lurus dan jujur.

“Tak apa. Mama beri peluang Eisya kenal dengan Adam.” Adam? Eisya seolah mencari. Yang ada pada ketika itu dia, Ikhsan, Puan Sri Rosiah dan Tan Sri Ahmad. Ke ada orang lain dalam rumah ni.

“Eisya cari siapa?”

“Abang Adam.” Tersedak Ikhsan mendengarkannya. Puan Sri pecah tawanya.

“Eisya duduk sini. Duduk dengan abang Adam Eisya ni.” Langkah Eisya bagaikan dipaku. Dia memandang kepada Puan Sri Rosiah yang masih berbaki tawanya.

“Tapi ini Encik Ikhsan.” Ikhsan tidak bersuara sebaliknya dia sudah pun menikmati hidangan malam itu. Penuh tekun dan penuh selera. Dia mengabaikan sahaja perbualan antara ibunya dan juga Eisya.

“Memang anak mama ni nama dia Ikhsan. Cuma keluarga yang panggil dia Adam. Itulah…. Masa kecik-kecik suka sangat menangis. Ibu Eisya pun panggil dia Adam.” Lidah Eisya kelu mendengarnya. Melihatkan Puan Sri Rosiah meninggalkan dia membuatkan hati Eisya gementar. Hatinya berdebar-debar.

Akhirnya Eisya melabuhkan punggung dihadapan Ikhsan. Entah mengapa selera makannya mati dengan tiba-tiba. Kesempatan itu Ikhsan melirik memerhatikan Eisya yang tidak senang duduk. Meja yang penuh dengan lauk dipandang kosong oleh Eisya. Ikhsan kemudiannya menyendukan lauk dan meletakkan di dalam pinggan Eisya. Eisya terkedu dengan tindakan Ikhsan itu. Ternya dia pelik dan tertanya.

Tan Sri Ahmad sedari tadi senyumannya sering bertamu di bibirnya. Kalau tidak sebelum ini Ikhsan hanya murung dan sedih semenjak dia bertunang. ‘Tiada cinta dihati’ katanya. Namun dia dapat melihat dengan riak wajah Ikhsan yang kini lebih berseri. Senyuman kini sudah pun menghiasi wajah anaknya. Sebelum ini puas dia menasihati anak terunanya itu. Namun hampa. Dia berharap dengan perubahan itu, Ikhsan dapat menerima Eisya di dalam hidupnya. Dan seterusnya melayari bahtera perkahwinan.

Usai makan malam, Ikhsan mula mencuci tangan. Tinggallah Eisya yang masih menikmati hidangan. Ikhsan memerhatikan kedua orang tuanya yang leka menonton televisyen. Ikhsan bangkit dan kali ini dia melabuhkan punggung di sebelah Eisya. Ah! Sudah. Eisya merasakan nasi yang ditelan tersekat dikerongkong. Haruman minyak wangi CK milik Ikhsan mula menyapa hidungnya.

“Eh, Encik Ikhsan nak buat apa ni?” Ikhsan tidak bersuara sebaliknya dia melemparkan senyuman kepada Eisya. Memang dia suka melihat wajah Eisya yang mula bertukar merah menahan malu.

“Teringin nak dengar Eisya panggil ‘abang Adam’. Kali ini kena short cut. Panggil abang lagi best.” ‘Encik Ikhsan! Mengapa menguji saya!’ Jerit hati Eisya.

“Kenapa? Dah jadi bisu? Tadi bukan main dengan celoteh dia.” ‘aku mati dengan kata-katalah! Tambah lagi kena panggil abang. Lagilah tak bersuara.’

“Macam mana Encik Ikhsan…”

“Abang.”

“Er… Encik Ikhsan tahu….”

“Abanglah. Cuba tengok mulut abang ni. A….bang.” Eisya memberontak. Ini kena paksa ke? Atau nak buli orang? Mana aci macam ni.

“Er….”

“Abang!”

“Okeylah…. Okeylah…. Macammana abang tahu saya ni tunang abang?” Jahat! Paksa orang pulak.

“Mula-mula abang tak tahu pun yang tunang abang ni kerja satu pejabat dengan abang. Tukang cuci dan tukang buat air untuk abang pulak tu.”

“Jadi sekarang ni abang dah tahu, kan? Jadi abang malu dengan kerja saya ni?” Ikhsan menggelengkan kepala. Memang tiada niatnya untuk menyinggung perasaan Eisya. Sekali-kali tidak.

“Pertama sekali abang tengok cincin tu masa sama-sama tolak pintu surau petang tadi. Tapi… abang tak ambil peduli semua tu.”

“Sampai masa kita tersangkut di dalam lif tadi. Masa Eisya tunjukkan cincin tu. Rupanya ada hikmah disebalik apa yang telah berlaku. Abang dengar semua luahan Eisya dan membuatkan abang sedar dan yakin.”

“Maksud abang?”

“Abang sedar, insan yang abang sunting selama ini memang benar-benar menyayangi dan menyintai abang. Malahan juga mempercayai abang. Kesetiaan Eisya membuatkan abang terharu.”

“Bukankah Eisya dah beritahu dengan abang….”

“Ye, abang ingat. ‘Encik Ikhsan, disaat tersarungnya cincin dijari manis saya ni, saya yakin dengan jodoh saya dan saya yakin dia boleh terima saya. Dan disaat itu jugalah saya berjanji dengan diri saya untuk setia dan menutup setiap aib dirinya.’ Kata-kata itulah yang akan abang pahat selamanya.” Berlinang air mata Eisya mendengarkan kata tulus dari Ikhsan itu.

“Eh, sayang. Janganlah menangis. Nanti kalau mama tengok teruk abang kena.” Bisik Ikhsan. Dia merasa serba-salah. Macam mana ni? Nanti kalau dilihat dek mama mahu puas dia menjawab kenapa si Eisya ni menangis. Silap haribulan kena bebel 24 jam. Eisya menyeka air mata dan lantas dia membasuh tangan. Tidak betah untuk dia berada di sisi Ikhsan.

“Jangan buat macam ni, sayang.” Cair perasaan Eisya apabila mendengarkan kelembuatan suara Ikhsan. Ikhsan yang dikenalinya di pebabat memang berbeza apa yang dilihatnya ketika ini. Jika dipejabat Ikhsan dilihat lebih tegas dan serius orangnya. Dan sekarang? Wahai hati… tenanglah dikau.

“Memang benar kata mama. Abang beruntung sekiranya mendapat sayang sebagai seorang isteri. Kali ini biar abang pula yang berjanji.”

Eisya menantikan kata-kata Iksan dengan penuh debaran.

“Abang berjanji sayang akan menjadi sebahagian rusuk abang. Dan saat ini abang akan menyintai, menyayangi dan melindungi sayang.” Eisya mengukirkan senyuman. Dia memejam erat matanya dan cuba menikmati kebahagiaan yang bakal ditempuhinya. Dia yakin, dengan berkat kesabaran dan kesetiaannya cinta yang dicambah kini disambut. Perancangan jodoh buat dirinya adalah yang terbaik.

“Mama! Papa! Boleh cepatkan tarikh nikah tak?” Terkejut Eisya mendengarkan jeritan Ikhsan itu. Tan Sri Ahmad dan Puan Sri Rosiah juga tekejut.

“Papa no hal. Esok kita jumpa dengan Pak Sahak kamu. Kita cepatkan tarikh nikah. Perkara yang elok tidak boleh ditangguh.”

“Esok…. Adam dengan Eisya nak minta cuti. Settle apa yang patut. Siap semuanya kami nak menikah.” Eisya memandang kepada Ikhsan yang kelihatan bersemangat. Puan Sri Rosiah agak terkejut dengan keputusan Ikhsan itu.

“Mama tak faham…” Walau pun dia terkejut dengan keputusan Ikhsan namun dia memanjat kesyukuran kerana akhirnya dia dapat melihat Ikhsan dan juga Eisya bakal bersatu.

“Memang benar kata mama. Eisya memang seorang yang istimewa. Dan Adam tidak mahu kehilangan dia. Adam mahu dia menjadi hak Adam. Terima kasih mama…” Puan Sri Rosiah memeluk erat anak terunanya. Kemudian dia melangkah menuju kepada Eisya yang berdiri membatu.

“Terima kasih sayang beri peluang kepada anak mama.” Air mata Puan Sri Rosiah mula mengalir. Air mata Eisya juga pantas mengalir. Dia memanjat kesyukuran dengan sinar kebahagiaan yang kian tampak sinarnya.

“Macam mana Adam boleh berubah seperti ini?”

“Biarlah ianya menjadi kisah saya dan Eisya papa. Ada masa Adam akan cerita semuanya. Tapi sekarang Adam benar-benar berterima kasih dengan papa dan mama kerana memberikan seorang insan yang istimewa untuk Adam. Adam berjanji akan menjaga dia seperti mana papa dan mama menjaga saya.”

Tan Sri Ahmad tersenyum puas.

“Papa!”

“Apa dia?” Terkejut Tan Sri Ahmad bila mendengarkan Ikhsan menjerit.

“Ah! Tak sabarnya nak kahwin!” Jerit Ikhsan. Semua yang ada tertawa. Dan Eisya tertunduk malu…. Dan kini dia yakin jodohnya adalah milik Ikhsan. Tiada siapa sangka….

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.