Home Cerpen Cinta Jodoh Di Aidilfitri
Jodoh Di Aidilfitri
Siti Norshimah Binti Md Yasan
26/6/2016 13:54:55
7,041
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Jodoh Di Aidilfitri

Amy melangkah masuk ke dalam pejabat sambil menyanyi kecil. Helmet di tangan kirinya dihayun ke depan dan belakang. Dia kemudiannya singgah di meja Sofiah tetapi kosong tidak berpenghuni. Lantas Amy melirik jam di tangan kanannya. Patutlah… awal lagi rupanya. Ini mesti tengah bergossip dekat kedai Mak Senah lorong hujung tu. Aduh! Takkan nak tunggu dia orang tu. Hish! Laparlah pulak. Melantak best juga ni. Amy melangkah ke dalam pantry. Nasi lemak dan helmet di letakkan di atas meja. Dia kemudiannya menyelongkar apa sahaja di dalam pantry untuk dia membuat air.

‘Cantik. Nescafe dengan susu ada. Buat nescafe Tarik best juga.’ Omong Amy sendiri. Setelah dia membuat air, dia lantas membuka nasi lemak yang dibelinya tadi. Hari ni kena makan puas-puas. Esok dah nak puasa. Bila dah masuk bulan puasa nanti susah pulak nak cari nasi lemak.

Belum sempat dia menyuapkan nasi lemak ke dalam mulutnya pintu bilik dikuak orang. Amy terhenti. Dia sedaya upaya untuk tidak memandang ke belakang. Jangan pandang belakang, nanti lain pulak yang datang. Hello! Siang-siang macam ni mana ada hantu. Manusia bertopengkan hantu adalah. Amy menelan air liur yang tersekat dikerongkong.

“Amy!” Terkejut Amy apabila dia disergah begitu.

“Bos… hilang semangat saya. Kenapa bos tak beri salam dulu. Hish! Bos ni.” Bebel Amy sambil memandang kepada Zarif yang juga merupakan penolong pengarah di syarikat itu.

Amy melemparkan senyuman kepada Zarif. Walaupun Zarif seorang penolong pengarah namun dia tidak kekok untuk bersama-sama dengan pekerjanya. Pada Zarif, setiap pekerjanya adalah nadi di dalam syarikatnya. Amy pun yang juga seorang despatch pun dia boleh masuk group.

“Makan nasi lemak nampak. Tak pelawa saya langsung.”

“Yelah bos… Takkan nasi lemak boleh tukar jadi spaggeti pulak. Ada sebungkus je. Bos nak tak?” Zarif tersenyum dengan usikan Amy itu.

“Dari jauh saya tercium bau nescafe awak tu. Itu yang buat saya kemari. Awak buat satu cawan saja ke? Saya punya mana?”

“Bos ni…. Dah saya seorang je. Takkan saya nak buat sepuluh cawan pulak.”

“Awak ni Amy…”

“Yelah… saya tengok seorang pun tak ada jadi saya makanlah dulu. Nanti si Sofiah tu bagi saya segunung surat tak sempat pulak saya nak makan. Ni…. Nak raya… dengan kad raya lagi… mahu termuntah saya.” Luah Amy.

Zarif tersenyum dengan kata-kata Amy itu. Dia memandang sekilas kepada Amy, seorang despatch wanita. Tegas, brutal, suka membebel tetapi dia sebenarnya seorang yang lemah lembut. Lagak macam lelaki tetapi kalau membebel terserlah sifat kewanitaannya.

“Awak buatkan saya secawan.” Pinta Zarif. Berbular biji mata Amy mendengarnya. Betul ke apa yang dia dengar sebentar tadi? Oh! Tidak. Belum pekak lagi. Buatnya nanti kena muntah darah macam mana? Jangan Amy. Untuk tekak sendiri bolehlah.

“Ala bos…. Air panas tak ada. Saya masak air pun cukup-cukup untuk saya.” Amy memberi alasan agar dia terlepas dari membuat air untuk Zarif. Amy kemudiannya menyuap nasi lemak masuk ke dalam mulut tanpa memandang kepada Zarif. Nanti kalau pandang sekali lagi mahu dia dipaksa untuk membuat air.

“Ye ke? Saya tengok kejap.” Zarif berlalu dan menuju ke arah meja menempatkan kettle. Zarif menjengah. Dia memandang kepada Amy. Nak bohong pun agak-agaklah. Dia bercekak pinggang.

“Ni… apa? Bukan air panas?”

“Er…. Susu dengan nescafe dah habislah bos. Lupa nak beli. Nanti saya beli… eh, lupa. Esok dah puasa. Okey, nanti lepas raya saya belikan. Bolehlah ye bos.” Helah Amy lagi.

“Oh, ye ke?” sekali lagi Zarif menyelongkar. Ke sana ke sini dia mencari apa yang boleh dibuat air.

“Ini apa? Ini bukan nescafe dengan susu ke?” Tunjuk Zarif kepada Amy. Amy tersenyum.

“Ha… apa kata alang-alang bos dah pegang benda tu bos buatlah sendiri.” Zarif lantas memandang kepada Amy. Kita suruh dia, kita pulak yang kena suruh.

“Saya suruh awak buat. Awakkan perempuan. Tak pernah saya rasa air yang awak buat. Please Amy…. Awak buatkan air untuk saya.”

Tercekik Amy mendengarkan kata-kata Zarif itu. Aduh bos ni! Dia guna perkataan keramat itu yang buat dia kalah. Potong stim betullah nak makan pun tak senang. Hilang langsung nafsu nak makan. Tapi kalau tak ikut nanti kata tak ikut arahan. Akhirnya Amy kalah. Amy bangkit dan terus menuju ke arah Zarif yang masih lagi memegang nescafe dan juga susu.

“Dahlah bos. Duduk jelah. Kalau jari ni kena air panas saya claim insuran dengan bos nanti.” Bebel Amy sambil menyiapkan air buat Zarif. Zarif tersenyum melihatkan riak wajah Amy yang masa itu. Dia kemudiannya duduk semula ditempat tadi dan menantikan Amy yang sedang membuat air. Setelah siap semuanya Amy kemudianya meletakkan air nescafe itu dihadapan Zarif.

“Sedap air yang awak buat ni. Nampak gayanya dah boleh kahwin.” Usik Zarif. Dia kemudiaanya menantikan balasan dari Amy. Sudah tentu dia kena ‘tembak’ dengan Amy.

“Bos jangan nak banyak bunyi. Nanti saya buatkan air satu teko bagi bos minum baru tahu kembung air nanti.” Zarif tersenyum dengan kata-kata Amy itu. Ha, kan dah kata.

“Sebelum terlupa. Saya nak beritahu yang pagi ni ketua pengarah kita akan mulakan tugas.”

“Siapa nama dia bos?”

“Shahzlan. Juga abang saya. Saya harap awak selesa kerja dengan dia.”

“La… kenapa pulak bos cakap macam tu? Bukan ke dia tu abang bos. Mesti macam mana adik dia, macam tu juga abang dia.” Zarif tersenyum lagi.

“Awak belum kenal dengan dia. Nanti kalau awak dah kenal tahulah awak. Belum apa-apa lagi semua setiausaha yang kita orang temuduga semua tak nak kerja bawah dia.” Terang Zarif.

“Oh! Ye ke?”

Amy diam.

“Eh, maksud bos?”

“Awak tunggu dan lihat sajalah.” Ujar Zarif dalam memberikan senyuman yang penuh bermakna dan bererti. Sekali lagi Amy tercekik.

“Despatch!” Laungan itu membuatkan Amy melompat. Terkejut dia dengan jeritan suara yang memetir itu. Dia kemudiannya berlari menghampiri suara itu. Oh! Ini ke Encik Shazlan? Ketua pengarah?

“Bos…”

“Awak siapa?” Tegas sahaja suara yang dilontarkan oleh Shazlan.

“Despatch bos.” Jawab Amy tanpa memandang sedikit pun kepada pemilik suara itu.

“Awak ni lelaki ke perempuan.” Sudah! Tadi suara tak ada volume low note. Sekarang ni mata pulak yang ada masalah. Sampai tak kenal lelaki atau pun perempuan.

“Er…”

“Simple question. Lelaki ke perempuan?”

“Perempuan bos.”

“Agaknya dah tak ada lelaki ke yang nak buat kerja ni sampai nak ambil perempuan bekerja?” serta-merta Amy mendongakkan kepala. Wah! Ini dah melampau.

“Amboi! Galaknya bos cakap. Apa? Ada undang-undang ke yang kata perempuan tak boleh buat kerja ni?” Tegas sahaja suara Amy berbunyi.

Ah! Berani betul budak ni.

“Menjawab. Awak bawa surat-surat ni ke alamat yang tertera. Urgent! Mesti sampai sebelum pukul tiga.”

Amy memandang ke arah jam dinding. Pukul satu.

“Tapi bos… sekarang pukul satu. Tengah makan. Takut dia orang tak ada kat pejabat je.” Shazlan membesarkan matanya. Kecik besar dia memandang kepada Amy. Inilah padah ambil orang perempuan bekerja. Ada je alasan.

“Saya tak nak ada sebarang alasan dari mulut awak tu. Kalau nak buat kerja tu buat cara nak bekerja. Ke saya yang nak kena ajarkan?”Jerkah Shazlan. Uh! Macam langit dan bumi mereka adik beradik. Agaknya kurang kasih sayang mamat seorang ni.

What ever.” Amy berlalu.

Excuse me?”

What ever!” Laung Amy sekali lagi. Kali ini Amy kian menjauh. Shazlan membulatkan matanya. Tak hormatkan majikan langsung.

Wajah Amy masam saat dia masuk semula ke pejabat setelah selesai menghantar surat seperti yang diminta oleh Shazlan. Nasib baiklah dia pergi menghantar surat dengan menaiki motosikal. Kalau naik kereta mahu kematu dibuatnya. Silap haribulan pukul berapa pula dia akan sampai ke pejabat. Amy melabuhkan punggung di atas sofa sambil menghela nafas lega.

“Kenapa lambat?” Terkejut Amy apabila dia sergah begitu. Ha, yang ini memang sama perangainya. Suka nak sergah orang.

“Ala bos…. Sepuluh minit je. Bukannya lama sangat.”

“Awak ni kalau tak menjawab memang tak sah ke? Wajib ke nak menjawab?”

“Dah fungsi mulut adalah untuk bercakap. Bukannya fungsinya untuk melihat.” Lancang sahaja Amy menjawab. Jelingan tajam milik mata Shazlan tidak dipeduli. Ada aku kisah. Memang betul apa? Mulut untuk bercakap.

“Apalah malang nasib saya dapat despatch perempuan macam awak ni. Kalau dah perempuan tu perempuan juga.” Bebel Shazlan. Amy tidak mendengar akan bebelan Shazlan itu sebaliknya dia bermain dengan handphonenya. Layan candy crush lagi best!

“Awak dengar tak apa yang saya cakapkan ni?” Tekanan darah Shazlan kian memuncak. Kalau macam ni memang senang kena darah tinggi. Macam cakap dengan tunggul je. Dia boleh buat tak tahu je.

“Em…” Jawab Amy acuh tak acuh.

Baru hari pertama mulut tak boleh nak nak rendahkan volume tu. Asyik nak tinggi je pitching tu. Buat sakit telinga je. Nasib baik esok dah start berpuasa. Harap-harap panas baran dia pun berpuasa juga. Tenang dunia ni sekejap.

“Ini…. Surat perlu dihantar.” Hah? Melopong mulut Amy mendengarkan arahan dari Shazlan itu.

“Bos… saya baru je balik. Dah nak pergi lagi? Kenapa tak bagi terus je tadi?” Amy merasa bengang melihatkan wajah Shazlan seperti tidak bersalah. Mahu sahaja dia menelan Shazlan bulat-bulat. Tak pun cicang halus baru padan muka.

“Dah saya baru siapkan proposal tu. Dah! Kerja awak adalah menghantar surat. Jangan nak banyak bunyi. Tunggu apa lagi? Pergilah. Lagi lambat awak pergi lagi lambatlah awak balik.” Argh!!!!! Rasa ingin menjerit pula!

Amy bangkit dengan mempamerkan wajah yang masam. Surat yang berada di tangan Shazlan disambut kasar. Menunjukkan tanda protes terhadap Shazlan. Dia berlalu tanpa sebarang kata tetapi hatinya bagaikan mendidih, geram, marah dan sakit hati. Semuanya bersatu menjadi satu. Menyampah! Benci!

Untuk hari-hari berikutnya Amy merasakan tekanan bekerja di bawah seliaan Shazlan. Dengan Zarif dia tiada masalah langsung. Tetapi dengan Shazlan? Uh! Macam anjing dengan kucing. Tanggapan Amy pada bulan puasa seperti ini kuranglah runner dia untuk keluar pejabat. Namun semuanya hampa. Semakin galak pula Shazlan mengerahkan ke sana dan kemari.

“Along! Apa yang kalut sangat ni?”Tegur Zarif saat dia keluar dari biliknya. Dari dalam dia mendengarkan suasana kecoh. Adegan bertegang leher antara Amy dan Shazlan menarik perhatiannya.

“Encik Shazlan.” Shazlan memperbetulkan. Zarif mengangguk. Terlupa pula dia berada di pejabat. Dia memang kenal akan abangnya itu. Dulu dia tidak seperti itu. Tetapi saat pulang dari belajar di luar negara perangai dan tingkahlaku abangnya berubah. Semenjak dia ditinggalkan kekasih hati. Puas juga dan dan mamanya menasihati abangnya itu. Namun hatinya sudah kian menjauh.

“Zarif! Nasihatkan staff you jangan nak kurang ajar dengan bos sendiri.” Zarif menangguk lagi.

“Kenapa ni Amy?”

“Ini bos. Bukan saya yang tak nak buat buat. Sekarang dah pukul 430 petang. Mana sempat saya nak runner ke Shah Alam. Jauh tu bos. Esok sajalah bos.” Kali ini Amy merayu kepada Zarif agar dia diberi pelepasan.

“Encik Shazlan, rasanya sudah lewat sangat dia nak ke sana.” Zarif pula yang merayu. Namun Shazlan tidak mendengarkan kata-kata Zarif itu.

“No excuse. Saya kata pergi! Pergi sajalah. Lepas tu balik semula ke pejabat. Saya bayar gaji awak supaya awak kerja. Bukan nak goyang kaki.” Ha! Sebab itu Amy mula naik angin. Sudahlah diberi surat last minute, lepas tu nak ke pejabat pulak. Ada kerja gila!

“Nak buat apa patah balik?”

“Saya nak spot check awak sama ada awak sudah hantar surat tu ke belum.” O…. memang dia ni kurang ingatan agaknya.

“Saya tahu yang bos belajar tinggi. Tapi IQ tu pun kena tinggi juga. Apa guna orang cipta telefon. Apa susah? Call sajalah. Tanya dia orang dah terima ke tidak.” Shazlan terdiam. Zarif pula menyembunyikan tawanya. Ha! Ambik kau. Kena terus sebijik.

“Saya tak kira. Saya nak awak balik juga.” Tegas Shazlan. Tinggi betul ego mamat lidah pedang ni.

“Yelah!yelah! ikut suka hati bos lah. Layan pun buat darah tinggi je.” Amy berlalu meninggalkan Shazlan. Berbuku hatinya dengan kerenah Shazlan itu. Tak perikemanusiaan langsung! Hati kering!

“Along ni, keras sangat dengan si Amy tu.” Tegur Zarif. Sekali lagi Shazlan menjeling. Zarif menutup mulutnya. Ah! Terlepas lagi!

“Siapa? perempuan kayu tu? Jangan nak bagi muka sangat dengan dia tu. Nanti naik lemak pulak. Sebab kau manjakan sangat dia sampai tak hormatkan aku.” Zarif ketawa dengan kata-kata Shazlan itu.

“Sungguh pun dia kayu kalau buat air sedap tau. Kalau kena penangan air yang dia buat gerenti nak lagi.”

“Perempuan macam kayu tu pun pandai buat air? Setakat buat air masak semua orang pun boleh buat.” Zarif menggelengkan kepala bila mendengarkan kata-kata itu.

“Pelik betullah dengan Encik Shazlan ni. Dengan staff lain tak ada pula garang macam ni. Dengan Amy pantang bertemu ada je yang tak kena dengan mata tu. Kesian tengok dia. dia dahlah penat hantar surat tadi. Lepas tu nak suruh hantar lagi. Ke Shah Alam pula tu.”

“Yang kamu ni dah tak ada kerja lain nak buat selain nak membebel? Kenapa? Nak gantikan tempat dia pulak?” Zarif berlalu saat Shazlan menjeling tajam sekali lagi. Lepas ni kalau dia tidak berganjak juga mahu dia kena makan pasir cukup bulan.

Serta-merta wajah Amy menjelma di ruang matanya. Entah mengapa dia begitu dingin dengan Amy. Bila bertemu dengan pekerjanya itu intonasi suaranya tidak pernahnya rendah. Mungkinkah penampilan gadis itu menjengkelkan hatinya? Entah! Dia sendiri tiada jawapannya.

Amy menyerahkan buku despatch ke tangan Shazlan. Waktu itu sudah hampir untuk berbuka. Geram dan sedih melingkar di segenap hati Amy. Dia juga punyai hati dan perasaan. Perasaan seorang wanita. Dia juga sensitif jika dia diperlakukan sedemikian. Kalau beginilah setiap hari di bulan puasa boleh berhenti kerja dibuatnya.

“Awak nak pergi mana pula?” Amy mengeluh keras. Ni…. Nak apa pulak ni?

“Bos nak apa lagi? Sekarang dah lepas waktu kerja. Lagi pun dah nak berbuka ni. Apa? Bos tak puasa ke?” Shazlan tergamam dengan keberanian Amy itu.

“Awak ni, saya tak habis lagi bertanya awak dah ‘tembak’ saya macam mesin gun. Cubalah saya habiskan ayat saya ni dulu.” Serta-merta Amy menutup mulutnya. Malu pula dia dengan sikapnya yang terburu-buru.

“Awak berbuka kat mana?” Amy mengerutkan dahinya. Sudah! Bos ni takkan nak suruh hantar surat kat restoran pulak? Bos aku ni betul ke tidak?

“Ala bos…. Dah lepas waktu kerja. Saya merayu dengan bos. Saya janji. Esok saya pergi.”

“Saya rasa soalan saya tu tak ada simpang kanan ke simpang kiri. Hish! Awak ni. Jawab sajalah soalan saya.”

“Oh ye ke?”

“So?”

“Saya makan tepi jalan je bos. Lepas makan saya nak buat part time pulak.” Ternyata pengakuan Amy itu membuatkan Shazlan terkejut.

“Awak buat part time apa malam-malam buta ni?”

“Bos jangan fikir yang bukan-bukan ye. Saya tahulah haram dan halal. Bos ni kecoh sangatlah. Suka hati sayalah nak buat part time kat mana.” Amy kelihatan tidak selesa dia diserang soalan oleh Shazlan.

“Awak tu pekerja saya. Jadi saya patut tahu. Saya tak nak awak buat part time sampai prestasi kerja awak jatuh terduduk.” Amboi! Bahasa…. Cantik sangat.

“Saya pekerja di syarikat ini dari 8 hingga 5 petang. Selepas itu ke mana saya nak pergi Encik Shazlan tak patut tahu.” Amy tidak mahu bersoal jawab dengan akhirnya meninggalkan Shazlan sendirian.

Namun Shazlan tidak begitu mudah melepaskan Amy. Dia mengekori Amy dari belakang dan Shazlan lantas memotong Amy. Dia tidak puas hati selagi dia tidak tahu.

“Awak tak jawab soalan saya.”

“Saya kerja di Seven Eleven. Okey? Puas hati? Bos tak perlu risaulah…. Saya bukan adik bos yang nak dirisaukan dan saya bukan kekasih atau isteri yang bos nak ambil peduli. Sudah! Saya nak balik.”

Shazlan terdiam.

“Saya nak belanja awak makan.”

“Bos biar betul. Saya makan ala kadar je. Pukul lapan saya nak masuk kerja. Berapa minit je saya boleh rehat. Bos simpan sajalah belanja bos tu. Esok lusalah bos belanja saya. Saya dah penat. Malas nak layan bos makan.” Shazlan tersentak buat kali kedua.

Berani betul budak ni melawan cakap. Shazlan akhirnya melepaskan Amy pergi. Dia menghantar Amy dengan pandangan mata dan perasaan yang serba salah. Salah dia juga kerana memaksa Amy keluar saat hampir waktu pejabat. Akhirnya dia keluar dan mencari tempat untuk dia berbuka.

Shazlan pulang ke rumah saat jam ke angka sepuluh setengah. Sempat juga dia berhenti di masjid untuk bersembahyang terawikh. Memang sengaja dia menyediakan beberapa pakaian bersih dan kain pelikat di dalam kereta. Bukan apa, senang untuk dia menunaikan tanggungjawab sebagai seorang islam. Dengan perlahan Shazlan membuka pintu dengan hati yang penuh rencah. Rasa bersalah, geram, kasihan semuanya ada. Kalau ditumbuk atau diblender mahu boleh dijadikan gulai masak lemak cili api. Di ruang tamu kelihatan Zarif dan ibunya Puan Sakinah yang sedang leka menonton televisyen.

“Hai, lambat anak mama ni balik.” Tegur Puan Sakinah kepada anak bujangnya itu.

“Banyak kerja ke?” Pertanyaan dari Puan Sakinah itu tidak segera dijawab. Sebaliknya dia melabuhkan punggung di sebelah Puan Sakinah.

“Nampak macam penat sangat anak mama ni. Dah makan ke belum? Kalau belum mama boleh siapkan.” Shazlan mengangguk. Zarif pula sekadar menjadi pemerhati sahaja.

“Dah mama…” Perlahan sahaja jawapan yang diberikan oleh Shazlan itu.

“Pukul berapa Amy sampai pejabat tadi?” Kali ini Shazlan terkejut dengan pertanyaan dari Zarif.

“Amy? Siapa Amy?”

“La mama…. Amy mana lagi? Amy kitalah.”

“Shaz keluar dengan Amy ke? Kenapa tak cakap awal-awal. Boleh bawa sini. Macam tak percaya je Shaz keluar dengan Amy.”

“Bukan dia ajak Amy keluar mama. Dia suruh Amy tu runner ke Shah Alam pada hal jam dah pukul 430. Lepas tu boleh pulak dia suruh si Amy tu balik pejabat balik.”

“Shaz, kenapa buat dia macam tu? Tak baik tau buat pekerja macam tu.”

“Dah kerja dia despatch kan? So… kena buatlah.”

“Tapi ada hadnya, Shaz. Bukan dengan ada kuasa Shaz boleh buat sesuka hati je.”

“Mama dengan Zarif sama je. Suka sangat nak sebelahkan pekerja kita. Macam mana pekerja nak hormat kita kalau kita ni asyik nak beri muka dengan mereka.”

“Dan kenapa along arlegi sangat dengan si Amy tu?”

“Amy? Mama kenal dengan dia. kalau buat menantu bagus juga kan Zarif.”

“Betul tu mama.”

Puan Sakinah tersenyum saat Zarif bertanyakan soalan cepu emas kepada Shazlan. Ha! Ambik kau. Kelu lidah nak menjawab.

“Siapa? Budak perempuan yang berlagak jantan tu? Tak ada faedahnya nak buat baik dengan perempuan jenis macam tu.”

“Along tak kenal dengan dia lagi. Along, tak kenal maka tak cinta tau.” Saja Zarif menyakat abangnya itu.

“Mama macam nak masuk meminang je si Amy tu untuk along kamu.” Kali ini Puan Sakinah pula yang menjadi nasi tambahnya.

“Ah, malaslah nak layan mama dengan Zarif ni. Dahlah. Shaz nak masuk dalam. Penat.” Shazlan berlalu saat dirinya galak menjadi bahan usikan. Ah! Mama dengan Zarif sama saja!

Semakin hari Shazlan merasakan serba tak kena saat bertemu dengan Amy. Ada sahaja salah Amy dicari. Apa sahaja yang Amy lakukan semuanya tidak kena dengan matanya.

“Bos! Balik dulu! Selamat hari raya!” Jerit Amy dari jauh dengan penuh gembira. Zarif menyambut lambaian Amy itu dengan penuh senyuman. Hanya wajah Shazlan sahaja yang tidak begitu mesra.

“Amboi! Bukan main sakan lagi. Ingat! Awak tu dah bertunang.” Ingat Shazlan.

“Ala Along…. Relakslah. Balkis pun kenal dengan dia. Kita orang selalu lepak sama.”

“Em… elok sangatlah tu. Manjakan sangat.”

“Hish! Tak faham betullah dengan along ni. Malaslah nak layan along.” Zarif mula berlalu. Namun dia kemudiannya berhenti.

“Oh ya. Sebelum Zarif lupa. Mama pesan balik nanti mama nak ajak kita pergi pasar. Beli bahan untuk raya nanti. Esok along kena tolong mama kat Rumah Pengasih tu.”

“Apa?” Zarif tersenyum apabila melihatkan perubahan riak wajah abangnya itu. Masam dan kelat sahaja wajahnya. Shazlan menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Dia menggeluh. Selama ini puas dia mencari alasan untuk tidak pergi ke Rumah Pengasih itu. Dan selama itu juga dia tidak pernah menjejaki kaki ke Rumah Pengasih itu walaupun mamanya adalah seroang pengasas rumah anak-anak yatim itu.

Keesokkan harinya, Shazlan seperti kehilangan arah. Dia tidak tahu apakah yang perlu dilakukan. Sedangkan Zarif sudah pun mendapat pekerjaan. Akhirnya Shazlan sekadar menjadi pemerhati. Dia melihat kanak-kanak yang sedang sibuk dengan kerja masing-masing. Shazlan kemudiannya mendekati seorang kanak-kanak yang sedang mengangkat kayu.

“Nak abang tolong ke?” Shazlan cuba memberikan pertolongan sambil melemparkan senyuman kepada anak kecil yang berusia lingkungan 10 tahun itu.

“Ini abang Shaz kan?” Shazlan mengangguk.

“Nama adik?”

“Aiman.”

“Macam mana Aiman tahu nama abang?”

“Mama selalu ceritakan pasal abang pada kami.” Ah! Ini mesti mama. Patutlah mama kata dia ada 83 orang anak. Tapi siapa seorang lagi?

“Mama kata ada 83 orang anak. Masuk abang dengan abang Zarif baru 82 orang. Siapa lagi seorang ye?” Tanya Shazlan.

“Kak Lia. Mama pun sayang dengan Kak Lia.” Lia? Siapa pulak Lia? Selama ini pun tak dengar nama tu di bibir mama.

“Kak Lia?”

“Dia mesti ada kat belakang memasak. Kak Lia pandai masak. Jom bang. Kita pergi sana.” Ajak Aiman sehinggakan Shazlan menjadi pak turut.

Sampai sahaja di belakang Shazlan memerhatikan suasana yang begitu meriah sekali. Mamanya sedang khusyuk memasukkan beras di dalam kelongsong ketupat bersama-sama dengan seorang gadis. Gadis yang berambut panjang itu seperti dikenalinya.

“Itu Kak Lia ke?” Tanya Shazlan.

“Yelah. Itulah Kak Lia. Dia baik. Baik macam abang.” Shazlan hanya terseyum dengan pujian Aiman itu.

Dengan perlahan Shazlan menghampiri Puan Sakinah dan gadis yang dilihatnya dari jauh. Dalam erti yang sama hatinya bagaikan membuak perasaan ingin tahu siapakah gadis yang bersama-sama dengan ibunya.

“Awak Amy?” Ternyata Amy terkejut dengan kedatangan Shazlan itu. Seperti yang dia tahu Shazlan memang tidak mahu melangkah ke Rumah Pengasih itu. Memang terang-terangan mamat ni kurang dengan kasih sayang. Entah mengikut perangai siapa pun tak tahu. Tidak seperti Zarif dan Puan Sakinah yang lebih suka menghabiskan masa di rumah anak yatim itu. Tetapi mengikut kata Zarif abangnya walau pun garang tetapi dalam hati ada taman. Taman? Taman bunga tahi ayam agaknya.

“Bos? Apa bos buat kat sini?”

“Saya yang sepatutnya tanya soalan tu. Bukan awak.” Walau pun nada suara Shazlan perlahan namun begitu perit untuk Amy menelannya.

“Maafkan saya.”

“Tahu pun nak minta maaf. Ingatkan tak pandai.”

“Bos, sekarang ni bukan waktu kerja. Jangan nak tunjuk lagak sangat boleh tak?” Oh ye ke? Shazlan diam. Mati dengan kata-kata.

“Kenapa di tempat kerja nak panggil Amy? Kat sini menggatal nak panggil Lia?” Shazlan memeluk tubuh dan menantikan jawapan dari Amy.

“Amboi bos… sampai nama saya pun bos nak jadikan isu. Apa kes? Nama saya pun. Tak ada kena mengena dengan bos.” Hish! Kat pejabat nak tunjuk kuasa, kat sini pun sama juga ke?

“Eh! Nanti! Nanti! Yang kamu berdua ni nak bergaduh kenapa? Nah! Shaz. Ambik ni isi beras. Tolong Lia.” Arah Puan Sakinah. Dia bangkit dan bercekak pinggang.

“Kalau tak siap dalam masa satu jam tahulah apa yang mama nak buat nanti.”

“Mama!” Laung Shazlan. Puan Sakinah tidak mempedulikan sebaliknya dia meninggalkan Shazlan bersama-sama dengan Amy dengan pantas.

“Apa kelas nak isi ketupat ni?”

“Tak nak tolong tak apa. Tak jadi kudis pun. Entah tahu entah tidak nak isi beras ni.” Sindir Amy.

“Yang awak tu, buat apa kat sini? Apa? Awak tak ada kampung ke nak balik? Mana mak dan ayah awak? Buat semak je kat sini.” Kali ini Amy benar-benar mati kata. Dia tidak tahu untuk membidas kata-kata Shazlan itu. Terguris pula bila Shazlan berkata begitu. Tiba-tiba hati Amy dilanda pilu. Kesedihannya mula bertandang.

Entah mengapa kata-kata Shazlan itu membuatkan Amy menitiskan air mata. Akhirnya dia kalah dengan Shazlan. Amy cuba untuk tidak menangis tetapi dia tidak betah. Dia menyeka air mata dan hatinya benar-benar terluka. Ternyata air mata Amy itu membuatkan Shazlan terkejut.

“Kak Lia! Aiman pengsan.” Shafiqah yang tiba-tiba datang membuatkan Amy meninggalkan kerjanya. Dengan pantas dia mengikut Shafiqah dari belakang. Begitu juga dengan Shazlan.

“Aiman! Bangun! Mama, kenapa dengan Aiman?” Puan Sakinah juga kelihatan kelam-kabut.

“Tak tahulah mama. Tiba-tiba je dia rebah.”

“Tolong angkat dia ke dalam.” Arah Amy. Shazlan memandang sekeliling. Cuba mencari kelibat Zarif. Pulak dah. Mana pula budak bertuah ni pergi.

“Tunggu apa lagi?”

“Saya ke?”

“Habis tu? Saya ke yang nak kena angkat dia ke?” Kali ini Shazlan pula yang menjadi pak turut. Sebelum ini puas dia membuli Amy. Dan sekarang bila dia disergah oleh Amy, dia pula yang mati kutu.

Shazlan akur. Dia mengangkat Aiman masuk ke dalam bilik. Amy mengikut sahaja Shazlan dari belakang. Begitu juga yang lain. Namun sampai sahaja di dalam bilik Aiman entah mengapa pintu bilik itu dikunci dari luar.

“Mama!” Laung Amy.

“Mama! Buka pintu ni!” Kali ini Shazlan pula yang menjerit. Dia mengetuk pintu bilik bekali-kali.

“Kenapa?” Sergah Zarif.

“Kenapa kunci pintu?”

“Ha… takut. Mama kata along dengan Amy kena jaga Aiman.”

“Ah! Tak kuasa. Malas!”

“Tak nak? Tak nak Zarif kunci.” Ugut Zarif.

“Okeylah! Okeylah! Hish! Anak dengan mak sama je.”

“Ala… adik along juga,kan?” Senggeh Zarif. Amy pula membebel di dalam diam. Kurang asam punya bos. Zarif berlalu meninggalkan abangnya bersama-sama dengan Amy dan Aiman.

“Kita bawa dia ke klinik.” Ujar Shazlan. Dia memerhatikan Amy yang masih setia dengan Aiman. Kasih sayang yang ditunjukkan oleh Amy membuatkan Shazlan terkesima. Betapa Amy menyayangi anak itu.

“Kita tunggu Aiman bangun dululah.” Ujar Amy sambil mengelap Aiman dengan tuala basah. Shazlan akur. Ada benarnya kata-kata Amy itu. Inilah baru pertama kali dia bersependapat dengan Amy.

Lama juga mereka mendiamkan diri. Shazlan cuba mencuri lihat kepada Amy yang manis berbaju kurung itu. Entah mengapa hati lelakinya mula berbicara. Selama ini Amy yang dikenalnya hanya tahu berbaju kemeja, berseluar jeans dan bertopi. Kalau bercakap hanya tahu menentang. Susah untuk dia mendengar suara Amy yang manja. Dan hari ini memang penampilan Amy benar-benar berbeza.

“Saya minta maaf.” Akhirnya Shazlan kalah. Dia cuba untuk tidak melafazkan kata-kata itu. Tetapi entah mengapa ego yang selama ini bersusun akhirnya runtuh.

Amy berpaling. Cuba mencari akan kebenaran kata-kata Shazlan itu. Biar betul. Selama ini suara yang pernah dikenalinya itu bagaikan memetir entah mengapa hari ini lembut macam angin bayu pulak. Mimpi ke apa bos aku ni?

“Dengar tak apa yang saya cakap ni?” Mendatar sahaja suara Shazlan ketika itu.

“Dengar. Tak ada apa yang nak dimaafkan. Saya dah biasa.” Amy sedikit pun tidak memandang kepada Shazlan. Tumpuannya hanya kepada Aiman. Entah mengapa Amy dipaut rasa gelisah. Nak bertentang mata pun dia tak berani. Kalau tidak sebelum ini selamba sahaja dia membidas majikannya itu.

“Dah lama Lia tinggal sini?” Amy tersentak. Dia memandang kepada Shazlan. Ah! Sudah. Memang mimpi agaknya bos aku yang sorang ni. Selama ini tak pernah pulak nak panggil nama. Paling baik pun ber’awak’ sahaja. Sekarang ni nak panggil nama pulak. Pulak tu panggil nama yang jarang digunakan olehnya dan panggilan yang sebelum ini menyapa cuping telinganya. Panggilan yang selalu digunakan oleh arwah ayah ibunya. Amy tidak segera menjawab sebaliknya dia menganggukkan kepala.

“Kenapa?” ah! Soalan itulah yang susah untuk dia jelaskan. Bos aku ni ada pulak yang kena makan dengan tuala basah ni.

“Nak perlu jawab ke?”

“Saya tak paksa.” Amy senyap. Dia cuba untuk mengumpul semangat menceritakan apa yang tersirat di dalam hatinya.

“Encik Shazlan beruntung mempunyai kasih sayang seorang ibu. Mempunyai adik untuk Encik Shazlan bergurau senda. Sedangkan saya? Saya kehilangan kasih sayang ibu dan ayah semenjak saya berumur sepuluh tahun dan tiada adik-beradik untuk saya bergurau senda. Cuma mama sahaja tempat saya menumpang kasih. Saya tiada sesiapa di dunia ini.

Shazlan diam dan memandang kepada Amy sekilas. Namun ada persoalan yang sering bermain di fikirannya ketika ini. Kenapa penampilanya berbeza berbeza saat dia bekerja.

“Dan anak-anak di sini tempat saya bergurau senda dan tempat saya mencurahkan kasih dan sayang.”

“Habis tu kenapa dengan ‘Amy’?” Amy faham akan soalan Shazlan itu.

“Saya tidak punyai pelajaran yang tinggi untuk kerja yang bagus dan berpangkat. Hanya kerja despatch sahaja cara untuk saya membalas jasa mama. Malam saya bekerja untuk mereka. Saya ingin menolong mama. Mama sudah banyak menolong kami. Walau pun dia tidak pernah meminta untuk membalas jasanya namun saya patut membantunya.”Shazlan terharu dengan pengakuan ikhlas Amy itu.

“Sebab itulah saya perlu tukar akan penampilan saya agar tidak diperlekehkan orang. Saya keseorangan, Encik Shazlan. Saya perlu menjadi kuat dan tabah. Dan hanya perubahan itu mampu untuk saya lakukan segalanya.” Sekali lagi Shazlan kagum dengan gadis itu.

Shazlan menghampiri kepada Amy dan Aiman. Dia kemudiannya mengusap lembut rambut Aiman.

“Lia suka dengan anak kecil?”

“Bodohlah saya kalau saya tak suka. Mereka semua saya dah anggap macam adik saya. Ramai tau adik saya. Ada 80 orang. Bos mampu? Kalau bos belum tentu boleh nak jaga mereka semua. Macam-macam ragam mereka. Tapi seronok kalau mereka ada. Tak bosan.”

“Tak nak tambah satu lagi ke?” Tanya Shazlan.

“Itulah. Hari tu mama ada cakap juga. Nak tak adik baru. Saya tak kisah. Lagi ramai lagi best. Meriah sikit rumah ni.”

“Abang?”

“Bos ni agak-agaklah. Mama cuma ambil anak sampai umur tujuh belas tahun je. Kalau orang yang berumur lebih dari itu rasanya dah boleh hidup sendiri. “Shazlan tersenyum dengan kata-kata Amy itu. Ternyata gadis itu tidak faham dengan apa yang dikatakan. Entah mengapa pertemuan singkat yang tidak formal itu dia dapat mengenali lebih dekat dengan Amy.

Aiman tiba-tiba bangkit. Itu pun sebab dia terbersin. Tersentak Amy dan Shazlan apabila dia melihatkan Aiman yang tiba-tiba bangun itu.

“Dah tak gaduh lagi ke?” Pertanyaan Aiman itu mengundang seribu pertanyaan dari Amy dan Shazlan.

“Kalau dah tak gaduh lagi baguslah. Susah tau nak jadi orang pengsan ni. Yang Kak Lia ni pun asyik nak lap Aiman je. Rimas tau.” Amy berpaling kepada Aiman. Tidak faham dengan kata-kata Aiman itu.

“Dahlah. Aiman nak terkencing ni. Dari tadi Aiman tahan je. Dah! Lepas ni jangan nak gaduh lagi. Penat nak berlakon tau.” Bulat anak mata Amy dan Shazlan mendengarnya. Berlakon? Shazlan sudah pun bercekak pinggang. Begitu juga dengan Amy. Shazlan berlalu membuka pintu. Kelihatan Puan Sakinah dan Zarif sedang memasang telinga.

“Jadi ini mesti kerja mama dengan Zarif ye.” Puan Sakinah dan Zarif tersenyum.

“Peace yo!”

“Banyak kau punya peace. Sini kau!” Zarif tidak tunggu lama. Sebaliknya dia sudah membuka langkah seribu apabila dia dikejar oleh Shazlan.

Suasana meriah dengan hidangan di pagi hari raya itu. Selesai sahaja sembahyang sunat hari raya Rumah Pengasih itu begitu meriah sekali. Shazlan yang tidak pernah menemani ibunya ke rumah anak yatim itu mula jatuh hati saat berada di situ. Gelagat anak-anak kecil begitu menghiburkan hatinya. Patutlah mamanya sering menghabiskan masa di rumah anak yatim itu.

Puan Sakinah mendekati Amy yang sedang melayan anak-anak yatim itu. Dia kemudiannya menarik tangan gadis itu. Puan Sakinah dan Amy melabuhkan punggung di atas sofa.

“Kenapa mama?”

“Macam yang mama beritahu dengan Lia. Mama dah jumpa dah adik baru untuk Lia.”

“Oh, ye ke mama? Lelaki ke perempuan?” Tanya Amy dengan penuh teruja.

“Lelaki.”

“Mana?” Amy memerhatikan sekelilingnya. Tiba-tiba dia merasakan kehangatan tangan Puan Sakinah. Kemudiannya Puan Sakinah menundingkan jari kepada seseorang.

“Encik Zarif?” Dia benar-benar tidak faham. Puan Sakinah mengangguk.

“Mama harap Lia terima Zarif dalam hidup Lia.”

“Maksud mama? Encik Zarif bukankah dah bertunang?”

“Mama tahu. Maksud mama Zarif jadi adik Lia. Boleh?”

“Adik?”

“Ye. Adik Ipar. Ini permintaan mama. Dan mama berharap Lia boleh terima Shaz dalam hidup Lia sebagai seorang suami.” Lidah Amy menjadi kelu. Sebentuk cincin sudah pun tersarung di jari manisnya.

“Tapi mama… saya tak layak. Lagi pun Encik Shazlan mana nak suka dengan saya yang kasar ni.”

“Itu mama tak tahu. Yang mama tahu Shaz beria-ia suruh sarungkan cincin pusaka ini di jari Lia.”

“Maksud mama?”

“Betul-betul muat dengan jari Lia. Dah, mama tak payah nak pening kepala beli cincin yang lain. Kalau dah muat tu tanda setujulah ye.” Ujar Puan Sakinah.

“Tapi mama…”

“Okeylah. Mama nak layan tetamu. Nanti kata Shaz nak buat majlis bertunang dan bernikah sekali. Yang penting sebelum Zarif berkahwin. Dia kata biar dia yang kahwin dulu. Kalau Zarif kahwin dulu pulak dia kata langkah bendul.”

Hah? Langkah bendul? Lelaki ni ada ke istilah melangkah bendul? Pelik. Dalam keadaan yang masih terkejut Amy bertambah terkejut melihatkan Puan Sakinah kini bertukar milik Shazlan? Shazlan kini duduk bersebelahan dengan Amy.

“Kenapa? Malu?”

“Kenapa bos buat saya macam ni?”

“Ini yang saya malas ni.”

“Kenapa bos?”

“Erm… bos lagi.”

“Yelah. Encik Shazlan kan bos saya.”

“Saya tahulah saya ni bos. Tapi itu kat pejabat je. Di luar pejabat dah tak boleh panggil saya bos.”

“okeylah. Saya panggil Encik Shazlan sajalah.”

“Tengok tu.”

“Nak tengok apa?”

“Jangan panggil bos atau Encik Shazlan….”

“Habis nak panggil apa pulak?”

“Dah abang kata jangan…”

“Habis tu?”

Shazlan tersenyum nakal. Dia teringin sekali melihat senyuman Amy. Gadis itu memang sukar untuk tersenyum.

“Lia panggil abang boleh?” Menguit badan Amy mendengarnya saat Shazlan membisikan ketelinganya.

“Tak naklah bos.”

“Ala… bolehlah….Panggil abang.”

Debaran Amy kian kencang. Jari jemarinya bagaikan beku. Sejuk.

“Akhirnya Lia dah dapat adik baru. Adik ipar yang gila-gila tu.” Amy tersenyum.

“Ha… manis pun. Kan manis kalau senyum selalu macam ni.” Usik Shazlan.

“Lepas ni ada satu lagi yang abang pinta.”

“Apa dia bos?”

“Selain nak jaga anak-anak di sini abang nak juga jaga anak sendiri. Apa macam? Sekarang dah ada 80 orang. Kalau nak genapkan seratus orang berapa nak kena tambah ye sayang?”

“Abang!”

“Yes! Akhirnya.” Saja Shazlan menyakat bakal isterinya itu.

“Terima kasih kerana terima abang yang buta kasih sayang ni. Abang berjanji. Lepas ni abang akan limpahkan kasih sayang buat Lia dan Lia akan ada teman nak bergurau senda. Siaplah…. Lepas ni abang buli Lia cukup-cukup.”

“Abang!” Merah muka Amy bila dia usik seperti itu.

“Terima kasih dengan hadiah yang paling bermakna buat abang.” Amy tunduk dengan bicara Shazlan itu.

Dan dari kejauhan Puan Sakinah memanjat rasa syukur yang tidak terhingga kerana niat untuk menjodohkan Shazlan dan Amy kini kian tampak sinarnya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Siti Norshimah Binti Md Yasan