Lisa terdiam. Ryan terdiam. Masing-masing melayani perasaan.
Lisa memerhatikan ombak yang menghempas
pantai. Dia tidak sanggup memandang wajah Ryan di sisinya. Wajah yang penuh
kehampaan dan kekecewaan.
“Kenapa
baru sekarang kau terangkan pada aku semua ini? Kenapa tidak dari dulu lagi?”
Ryan menyambung kembali bicaranya yang terputus.
Lisa
menggelengkan kepala. Tak tahu apa yang harus diungkapkan agar hati Ryan tidak
terus terluka.
“Kenapa
kau sanggup berpura-pura dengan aku? Kenapa?” Soal Ryan yang menahan sebak. Dia
tidak menyangka gadis yang dincintainya itu telah membohonginya selama ini.
Mati-mati dia menyangka Lisa mencintainya sepenuh hati seperti dia mencintai
gadis itu separuh mati.
“Maafkan
aku.” Hanya itu yang mampu diucapkan oleh Lisa.
“Tapi,
kau sendiri tahukan…” Ryan menarik nafas. “Aku ikhlas mencintai kau. Hanya kau
di hati aku. Tapi kenapa kau pura-pura balas cinta aku?” Ryan melepaskan
kemarahan.
“Maafkan
aku kerana terpaksa berpura-pura selama ni. Aku tak sampai hati nak bagitahu perkara
sebenar bila tengok usaha kau yang bersungguh-sungguh. Aku tak pernah cintakan
kau. Aku cuma menganggap kau sahabat baik aku, tak lebih dari itu.” Ujar Lisa,
dengan harapan dapat membetulkan keadaan.
“Sahabat
baik? Kau kata aku ni sahabat baik? Sedangkan semua orang tahu kita adalah
pasangan kekasih!” Ryan meninggikan suara.
“Mereka
juga tersalah anggap. Maafkan aku. Aku
perlu pergi sekarang.” Lisa tidak sanggup lagi berada lebih lama di situ.
“Tunggu
dulu.” Ryan menahan Lisa. Wajahnya serius.
“Kau
nak apa lagi? Aku dah terangkan segalanya.”
“Kenapa
kau sanggup tolong aku ketika aku dalam kesusahan? Kenapa kau sanggup menolong
aku keluar dari dunia aku yang tak menjanjikan masa depan? Kenapa kau sanggup
lakukan semua itu pada aku, bukan lelaki lain?”
“Itu
dah sebahagian tugas aku, sama-sama membantu mereka yang memerlukan.”
“Kenapa
aku yang kau pilih?” Ryan masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang
diberikan.
Lisa
terdiam. Mulutnya seolah-olah terkunci.
“Susah sangatkah kau nak mengaku yang kau pun sayang dan
cinta aku?”
“Ryan,
aku harap kau faham apa yang telah aku terangkan. Janganlah kau nak memutarbelitkan
keadaan. Segalanya dah aku terangkan, terpulang kepada kau sama ada mahu
menerimanya atau tidak. Tugas aku dah selesai.”
“Tugas
apa yang kau maksudkan?”
“Mengubah
engkau menjadi lelaki yang berguna pada bangsa, agama dan negara. Bukannya
menjadi kutu lepak, mat rempit yang menyusahkan semua orang.”
Ryan
tergamam mendengar bicara Lisa. Jadi, selama ini Lisa hanya mahu membantu dirinya
tetapi fikirannya telah melangkau jauh. Sangkanya, Lisa sudi membantunya kerana
cinta. Dan kerana cintanya kepada Lisa, maka dia sanggup beubah.
Lisa
mengatur langkah. Ingin sahaja dia berlari dari situ. Dia tidak sanggup lagi
bertentang mata dengan lelaki yang amat dicintainya. Lelaki yang dalam
kehampaan. Sebenarnya, Lisa sendiri berada dalam kekecewaan. Dia kecewa dengan
apa yang telah ditakdirkan. Namun dia tetap akan tabah mengharungi segala
dugaan.
***
Lisa
masih belum dapat melelapkan mata. Kenangan petang tadi masih mengganggu
fikirannya. Terasa ingin diundur masa untuk kembali kepada lelaki yang
dicintainya. Tetapi dia sedar itu semua adalah mustahil. Walau apa yang
dilakukannya, tak mungkin dapat merubah keadaan. Perpisahan tetap akan berlaku.
Cinta mereka tetap tak akan kesampaian.
Saat-saat suka
dan duka bersama Ryan bermain-main di kotak fikiran. Ryan dahulu berbeza dengan
Ryan sekarang. Dahulu, dia seorang lelaki yang tidak pernah memikirkan masa
depan. Dia sering melepak di pusat membeli-belah di sebelah siang dan berada di
pusat-pusat hiburan pada sebelah malamnya. Dia juga suka menyertai aktiviti lumba
haram.
Dalam
diam, Lisa berjanji untuk mengubah hidup Ryan ketika pertama kali berjumpa
setelah berpisah beberapa tahun. Lisa mengenali Ryan ketika berada di tingkatan
tiga. Mereka berada di kelas yang sama. Lisa adalah pelajar baru dan Ryan telah
banyak membantunya menyesuaikan diri di sekolah baru. Lisa kemudiannya
berpindah ke sekolah berasrama penuh setahun kemudian setelah berjaya mendapat
keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan PMR. Sejak bersekolah di tempat
lain, dia tidak mendengar khabar lagi dari Ryan. Kawan baiknya yang bersekolah
di sekolah lama telah memberitahunya yang Ryan telah berpindah ke luar negara.
Pertama
kali terserempak dengan Ryan, dia hampir tidak mengenali lelaki itu. Ryanlah
yang terlebih dahulu menyapanya di sebuah pasaraya. Lisa ketika itu berada di
Semester 1, Kolej Aspirasi. Dan Ryan penganggur sepenuh masa. Mereka bertukar
nombor telefon.
Peretemuan
pertama diatur, telah melahirkan bibit-bibit cinta dalam diri masing-masing.
Mereka menukar cerita setelah sekian lama berpisah. Lisa dapat merumuskan punca
Ryan hanyut dalam arus kehidupan. Setelah berpindah ke luar negara, Ryan
terpengaruh dengan gejala negatif di sana.
Dia tidak mendapat perhatian dari bapanya yang semakin sibuk menguruskan
syarikat mereka yang semakin berkembang maju. Ibu Ryan pula telah meninggal
dunia di sana kerana
terlibat dalam kemalangan jalan raya. Setahun yang lalu, Ryan dan bapanya pulang
ke Malaysia.
Bapanya telah berkahwin dengan wanita asing. Dia telah mencurahkan kasih
sayangnya kepada isterinya yang cantik. Manakala, segala kemewahan dilimpahkan
kepada anaknya, Ryan.
Sebelum
Ryan terus hanyut, Lisa dalam diam berjanji hendak membawa Ryan ke pangkal
jalan. Dulu, Ryan banyak membantunya menyesuaikan diri di sekolah baru, dan
kini tiba masanya untuk Lisa pula membantu Ryan.
Lisa
tidak menyangka niat baiknya tercapai dengan mudah. Ryan berubah sedikit demi
sedikit. Dia mendaftar di kolej yang sama dan mengambil kursus yang sama.
Mereka tinggal di asrama yang disediakan oleh pihak kolej. Setiap hari mereka
ke kolej bersama-sama. Waktu terluang digunakan untuk mengulangkaji pelajaran.
Akhirnya Ryan melupa terus sikap buruknya dahulu yang suka berpeleseran.
Lisa
tidak dapat mengelak perasaan yang terbuku di dalam hati. Sejak kali pertama
memandang lelaki itu dia sebenarnya sudah jatuh hati. Dia mencintai Ryan
sepenuh hati. Sangkanya dia bertepuk sebelah tangan namun sebaliknya yang telah
berlaku. Ryan telah meluahkan perasaannya pada Lisa. Cuma Lisa yang masih belum
mengakui perasaannya dengan lidah. Dia mahu menantikan saat yang sesuai untuk
meluahkannya.
Panas
disangka hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Lisa menganggap perkara
biasa apabila dia sering merasa sakit kepala terutamanya di sebelah pagi. Sakit
kepalany ajuga bertambah teruk apabila dia bersin. Disangkanya dia mengidap
migrain. Hinggalah suatu hari apabila dia jatuh pengsan ketika sedang melayari
internet di rumahnya. Dia telah dibawa ke hospital. Pemeriksaan segera
dilakukan.
Keputusan yang mengejutkan
diterima beberapa hari kemudian. Sakit kepalanya bukan penyakit biasa tetapi
disebabkan oleh sesuatu. Barah otak yang dihadapinya sudah ke peringkat paling
berbahaya.
Pelbagai
perasaan menyelubungi dirinya. Takut, kecewa, marah dan sebagainya dengan nasib
yang menimpanya. Agak lama untuk dia menerima kenyataan hidup. Mujurlah ada ibu
dan ayah yang sentiasa memberi semangat kepadanya.
Perhubungannya dengan Ryan tidak boleh
pergi lebih jauh. Dia tidak sanggup berkongsi rasa sedih dengan Ryan. Pasti
Ryan tidak dapat menerima kenyataan. Lisa tidak sanggup melihat insan yang
dicintainya diselubungi kedukaan. Dia tidak sanggup menghadapi saat-saat
perpisahan di katil wad. Setelah difikir semasak-masaknya, Lisa membuat
keputusan untuk menjauhkan diri dari Ryan. Namun Ryan dapat mengesan perubahan
pada dirinya. Ryan mendesaknya untuk berterus-terang. Dan, petang tadi, di tepi
pantai, Lisa menerangkan kedudukan perhubungan mereka.
Malam
semakin larut. Lisa masih gagal melelapkan mata.
***
Teman-teman
sekuliah heboh bercerita tentang perhubungan Ryan dan Lisa yang sudah putus.
Masing-masing mengeluarkan pendapat sebab-sebab Ryan dan Lisa memutuskan
perhubungan. Ramai yang menuduh Ryan berlaku curang. Ryan pula mengambil sikap
berdiam diri dan tidak menafikan tuduhan rakan-rakan. Lisa tidak sanggup lagi
mendengar tohmahan yang dilemparkan kepada Ryan. Dia berterus-terang bahawa dia
dan Ryan tidak menjalin sebarang perhubungan istimewa, hanya sebagai kawan. Rakan-rakan
yang tersalah anggap keakraban hubungan mereka.
Shira
dan teman-temannya adalah pelajar yang paling gembira bila mendengar berita
tersebut. Memang sudah maklum oleh seluruh pelajar kolej selama ini Shira menagih
cinta Ryan. Shira berharap dia mampu menawan hati Ryan yang dalam kesepian.
***
“Aku
tak percayalah Lisa.” Ujar Linda.
“Kenapa
pula aku nak berbohong. Itulah kenyataannya.” Luah Lisa.
“Kalau
kau anggap Ryan tu cuma kawan, takkanlah sampai kau sanggup mengubah hidupnya
hingga Ryan menjadi orang yang berbeza, dulu dan sekarang.”
“Kenapa?
Salahkah jika aku bant dia tanpa menyimpan apa-apa perasaan?”
“Manalah
aku tahu, aku ingatkan kau ada hati pada dia, sebab tu kau sanggup menolongnya.
Datang kolej bersama… makan pun bersama… Takkanlah kau anggap dia kawan biasa
kot.”
“Sudahlah
tu. Aku hanya anggap dia sebagai kawan, itu saja.”
“Yelah tu. Mesti ada sesuatu, kan?
Kau tangkap dia dengan gadis lain ke?” Linda terus cuba mengorek rahsia.
“Taklah. Kalau dia dengan gadis
lain pun aku tak kesah. Aku tak boleh halang.”
“Yelah tu.” Linda mencebik.
“Dah beberapa hari aku tak nampak
dia.” Luah Lisa. Kerinduannya pada Ryan semakin menyiksa jiwanya.
“Kau
dah rindu pada dia ke?” Sindir Linda.
“Rindu
sebagai seorang kawan, tak salah, kan? Dah beberapa hari tak nampak dia kat
kolej.”
“Aku
dapat cerita dari Intan yang Ryan dah berubah sikap. Dia kembali kepada
aktivitinya yang dulu.”
Lisa
terdiam. Dia menghelas nafas. Dia benar-benar tidak menduga Ryan akan kembali kepada
sikapnya yang dulu. Lisa mula gelisah. Kalau benar seperti yang diceritakan,
Lisa turut merasa bersalah.
***
Wadi
memandu kereta mengelilingi kotaraya. Dia mencari teman serumahnya, Ryan yang
masih belum pulang sejak semalam. Wadi bimbang jika Ryan mengambil tindakan
yang bukan-bukan gara-gara putus cinta. Wadi memandu kereta menuju ke tanah
tinggi di pinggir bandar. Dia teringat akan Ryan yang suka pergi ke situ untuk
bersendirian.
Wadi
mematikan enjin kereta. Dia melangkah
keluar dari keretanya.
“Ryan
!” Sapa Wadi.
Ryan
menoleh ke arah Wadi.
“Jangan
seksa diri kau. Orang dah tak terima, lupakan saja.” Pujuk Wadi.
“Bukan
mudah nak lupakan dia...”
“Lupakanlah
gadis yang tak pernah cintakan kau. Buat apa kau nak ingat lagi. Ramai lagi
gadis yang minat dekat kau.” Wadi menenangkan sahabatnya. Dia tidak mahu Ryan
terus-terusan menyeksa diri.
Ryan
tidak dapat melelapkan mata. Dia masih tidak percaya dengan apa yang telah
berlaku. Selama ini hanya dia yang terhegeh-hegeh menagih cinta dari Lisa sedangkan
Lisa sedikitpun tidak menaruh perasaan padanya. Dia tak dapat hidup tanpa cinta
Lisa. Selama ini impiannya hanya ingin bersama Lisa selama-lamanya. Setelah
Lisa pergi, terasa hidupnya tidak bererti lagi. Segala impiannya telah musnah
bersama perginya cinta Lisa.
Hari-hari
yang mendatang tidak dinantikannya lagi. Sepi dan sepi menguasai seluruh
hidupnya. Segala yang dilakukan terasa bosan dan tidak beerti lagi. Mahu sahaja
dia berhenti dari kolej tetapi telah dihalang Wadi. Dia tak sanggup lagi untuk bertentang
mata dengan Lisa. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu lagi terserempak dengan gadis
itu. Gadis yang telah memusnahkan segala impiannya. Gadis yang telah
menghancurkan perasaannya.
Malam
itu, buat pertama kalinya setelah berpisah dengan Lisa, dia menerima pelawaan
Shira untuk keluar. Dia mahu mengisi kekosongan di hati.
***
Lisa
dan Linda melangkah keluar dari apartment. Mereka berdua menuju ke medan selera berhampiran.
Linda
memberi isyarat pada Lisa agar menoleh ke sebelah kiri. Lisa perlahan-lahan
menoleh ke sebelah kirinya. Nun tidak jauh di hujung sana, Ryan sedang menjamu selera bersama
Shira. Lisa mengawal perasaan. Dia tidak mahu Linda membaca apa yang tertulis
di hatinya saat itu.
“Dia
dah dapat pengganti.” Bisik Linda.
“Baguslah.”
Jauh di sudut hatinya dia sebenarnya terkilan. Terkilan dengan perbuatan Ryan.
Sekejap benar dia mencari pengganti. Namun dalam masa yang sama, Lisa turut
merasa gembira andai Ryan tidak lagi dihimpit kekecewaan dengan perbuatannya.
Jika Ryan gembira, dia turut akan gembira.
Nasi
goreng kerabu yang sepatutnya membangkitkan selera langsung tidak menarik
perhatiannya. Dia yang sejak pagi tadi mengidam nasi goreng kerabu telah
tertutup selera dek perbuatan Ryan yang telah mengguriskan perasaannya.
“Hai!”
Shira tiba-tiba datang menyapa. Dia tidak keseorangan. Lelaki idaman hati
berada di sebelahnya.
Lisa
hanya memandang. Mulutnya seolah-olah terkunci bila melihat Ryan dan Shira
berpegangan tangan. Dia tahu, Ryan hanya mahu menyakitkan hatinya. Lisa
terpaksa menahan sabar.
“Marilah
makan sekali.” Lisa ajak-ajak ayam. Dia tidak mahu sesiapapun dapat membaca apa
yang tertulis di dasar hatinya. Kecewa!
“Kami
dah makan… kan sayang.” Shira memandang Ryan yang hanya membatu.
Lisa
mengawal perasaan. Dia tidak sanggup melihat lelaki yang dicintainya
berdampingan dengan gadis lain. Sabar, sabar, sabar wahai hati. Dia sedaya
upaya menahan air mata daripada mengalir.
“Kami
nak tengok wayang. Bye!” Shira dan Ryan terus berlalu.
“Pandai
kau berlakon.”
Lisa
merenung dalam ke dalam anak mata Linda. “Berlakon?”
“Kau
kecewakan.”
“Tak
adalah.”
“Tu
lah… siapa suruh kau tinggalkan lelaki sekacak Ryan tu. Ramai yang sedang
menunggu tau!”
“Biarlah
dia. Aku tak kesah pun.”
“Yelah
tu. Macamlah aku tak tahu.”
“Dah,
dah, stop! Aku nak menikmati nasi goreng kerabu sekarang ni okey. Jangan cakap
lagi.”
Linda
akur. Mereka tidak lagi berbual soal Ryan.
***
“Ryan,
kau nak main ke tak?” Soal Didi, kapten bola sepak bila mendapati Ryan tidak
bermain dengan bersungguh-sungguh.
Ryan
hanya membisu.
“Kau
nak main ke tak nak?” Didi meninggikan suara. “Kalau tak nak, aku gantikan
orang lain.”
“Kau
diam boleh tak? Aku nak main macam mana kalau kau asyik arah itu ini. Aku
tahulah tugas aku.”
“Masalahnya
bola kat kaki kau semua terlepas!”
“Jaga
sikit mulut kau!” Ryan mengacukan penumbuk. Bengang Ryan bila diejek Didi.
“Kau
ni, memang tak guna! Sebab tu Lisa tinggalkan kau.” Didi sengaja mengapi-apikan
kemarahan Ryan.
Ryan
tidak mampu bersabar lagi. Dia melepaskan tumbukan ke muka Didi. Didi membalas
tumbukannya. Pemain-pemain bola sepak yang sejak tadi hanya membisu segera
meleraikan pergaduhan di antara Ryan dan Didi.
Encik
Razak, jurulatih bola sepak telah memanggil Ryan dan Didi ke biliknya. Mereka
disoal siasat dan dikenakan hukuman yang setimpal. Ketika keluar dari bilik
Encik Razak, Ryan telah terserempak dengan Lisa. Dia langsung tidak
mengendahkan gadis itu. Benci menguasai dirinya.
Lisa
teringin untuk berbicara dengan Ryan. Tetapi mulutnya terkunci. Sikap Ryan yang
dingin menyebabkan Lisa tidak berani untuk menegurnya.
***
Malam
itu keluarga Encik Farid mengadakan mesyuarat. Mereka membincangkan tentang
rawatan yang harus diterima oleh Lisa bagi mengubati penyakitnya. Datuk dan
nenek Lisa yang menetap di USA turut berada di situ, melawat cucu kesayangan
mereka. Mereka mencadangkan agar Lisa mendapat rawatan di sana.
“Kita
ke sana ye sayang?” Pujuk Puan Aishah Jane, ibu Lisa.
Lisa
keberatan untuk ke luar negara. Dia tidak sanggup berpisah dengan orang-orang
di sekelilingnya. Lagipun, barah otak yang dihadapinya sudah peringkat empat.
Lisa tak yakin dia akan kembali normal.
“Lisa
akan mendapat rawatan yang lebih baik di sana.
Ibu akan teman Lisa di sana
selain datuk dan nenek.” Pujuk Encik Farid.
Setelah
dipujuk, Lisa akhirnya bersetuju. Harapannya yang sebelum ini telah layu
kembali subur bila dapat tahu ada rawatan terkini untuk pesakit kanser di New
York.
Sebelum
tidur Lisa berfikir semasak-masaknya. Sebelum ke USA, Lisa mahu menerangkan
kedudukan yang sebenar kepada Ryan. Peluang untuk dia selamat daripada
pembedahan tersebut ialah 70-30. Jadi dia mahu Ryan memberi semangat kepadanya
untuk melawan penyakit tersebut. Impiannya untuk bersama Ryan mungkin akan
menjadi kenyataan sekiranya pembedahan tersebut berjaya.
***
Wadi
tumpang gembira kerana Ryan sudah dapat menerima kenyataan. Lisa tidak lagi
menjadi penyebab kesedihan Ryan. Namun begitu Wadi bertambah risau kerana Ryan
kini semakin rapat dengan Shira. Dia tahu sikap Shira. Gadis itu mungkin akan
membawa Ryan kembali ke perangai lamanya.
“Kau
serius dengan Shira?” Soal Wadi yang ingin mencungkil rahsia temannya.
“Mestilah.
Kami dah declare.”
“Kau
ni biar betul!” Wadi terkejut mendengar pengakuan Ryan. “Kau dah lupa ke sikap
Shira tu? Aku tak nak harta mak bapak kau dikikis budak tu macam yang dia
lakukan pada Carlos, Adam…”
“Aku
tak kesah. Yang penting, aku berjaya berdamping dengan gadis paling lawa di
kolej.”
“Aik,
cepat benar kau cari pengganti Lisa.”
“Tolonglah
Wadi, kau jangan sebut nama dia lagi di depan aku!” Ryan meninggikan suara. Dia
menyampah bila mendengar nama gadis yang telah memusnahkan impiannya itu.
“Sorry. Kita tukar topik okey. Kau join tak camping minggu depan?”
“Tentulah.
Aku pergi dengan Shira. Kalau kau nak ikut aku boleh kenalkan Aida, kawan Shira. Dia pun nak pergi jugak,
tapi tak ada teman.”
“Yes!” Wadi menjerit kegembiraan.
***
Lisa dan Linda berjalan menuju ke
arah bas yang sedang menanti.
“Cepat sikit cek kak oi!” Laung
Zarul yang menganjurkan perkhemahan tersebut. Dia sedang berdiri di kaki tangga
bas.
“Sorry, sorry, lambat sikit.” Linda tersengih-sengih meminta maaf.
Zarul memberi laluan kepada mereka
berdua. Lisa dan Linda melangkah ke atas bas. Mereka memilih tempat duduk yang
telah dikhaskan untuk mereka berdua. Lisa terpandang ke arah Ryan dan Shira
berserta rakan-rakan mereka di tempat duduk belakang. Ryan dan Shira rancak
berbual.
Lisa menyertai perkhemahan
tersebut semata-mata kerana Ryan. Kalau ikutkan hati, dia memang tak ingin
sertai perkhemahan tersebut kerana sakit kepalanya semakin menjadi-jadi. Orang
tuanya juga agak berat hendak melepaskannya. Lisa berjaya memujuk orang tuanya
dengan memberi janji itu adalah aktiviti terakhirnya bersama rakan-rakan satu
kolej sebelum bertolak ke luar negara. Lepas ini dia mungkin tidak akan bersua
dengan mereka lagi.
Lisa sebenarnya mahu menerangkan
kedudukan sebenar kepada Ryan. Hendak bertemu lelaki itu di kolej memang tak
ada peluang langsung. Ryan asyik berkepit dengan Shira. Bila dia dapat tahu
Ryan sertai perkhemahan anjuran Kelab Reakreasi, Lisa segera mendaftar nama dan
mengajak Linda menemaninya. Pada mulanya dia menyangka Shira tidak ikut kerana
dia faham benar sikap Shira yang tidak mungkin dapat hidup tanpa bersolek,
berskirt pendek dan berkasut tumit tinggi. Malangnya, dia ternampak Shira di
dalam bas!
Kawasan air terjun menjadi tapak
perkhemahan para pelajar Kolej Aspirasi. Pelajar lelaki dan perempuan
berganding bahu untuk menyiapkan khemah masing-masing. Mereka turut dibahagikan
kepada empat kumpulan. Lisa berada sekumpulan dengan Linda.
Satu malam telah berlalu. Lisa
langsung tidak berkesempatan untuk mendekati Ryan. Dia mana ada Ryan di situ
ada Shira. Walaupun mereka sentiasa bersama, Lisa yakin Ryan tidak menyimpan
perasaan pada Shira. Ryan berdampingan dengan Shira kerana mahu menyakiti
hatinya. Itulah matlamatnya.
Malam itu adalah malam kedua dan
malam terakhir mereka berkhemah. Lisa masih mencari peluang untuk berbicara
dengan Ryan dan dia berharap malam ini dia dapat memberi tahu kedudukan yang
sebenar kepada Ryan.
Ryan, Wadi, Lisa dan Linda
ditugaskan untuk berjaga pada waktu yang sama iaitu dari jam 2.00 hingga 4.00
pagi. Tepat jam dua pagi. Lisa dikejutkan oleh Julia yang ditugaskan berjaga
sebelumnya. Lisa kemudiannya mengejutkan Linda. Mereka membawa lampu suluh
menuju ke sungai yang tidak jauh dari situ. Setelah mencuci muka, mereka
bergerak ke tapak perkhemahan.
Lisa menghampiri Ryan dan Wadi
yang sedang menghirup secawan kopi.
“Ada sesuatu aku nak bagitahu kau.”
Lisa memulakan bicara. Dia berdebar menanti reaksi Ryan.
Ryan tidak mengendahkan kehadiran
Lisa di situ. Dia meneruskan perbualannya dengan Wadi. Mereka rancak berbual
tentang keputusan permainan di antara Manchester United dan Arsenal seolah-olah
tiada insan lain lagi di situ kecuali merka berdua.
“Lima minit saja Ryan. Please…” rayu Lisa yang masih mengharap
agar Ryan sudi berbicara dengannya.
“Jangan kacau aku, boleh tak?” bidas
Ryan. “Sambung cerita kau balik, Wadi.”
Lisa terpinga-pinga dengan reaksi
Ryan. Lelaki itu tidak pernah berkasar dengannya sebelum ini.
“Aku tahu kau marahkan aku. Aku
faham, dalam hal ni aku yang bersalah. Ada sebab kenapa aku buat macam tu.”
“Aku tak nak dengar dan aku tak
berminat nak dengar.”
“Aku tak akan ambil banyak masa
kau. Lima minit saja please.”
“Cakaplah!” Ryan bersuara setelah
terdiam sejenak. Matanya masih enggan menatap gadis di sebelahnya.
“Kita… kita ke sana.” Lisa membuat
permintaan. Dia hanya mahu berbual dengan Ryan seorang.
Wadi terus bangun, faham yang
dirinya tak diperlukan.
“Sayang, temankan I ke tandas.” Shira
tiba-tiba muncul.
Shira yang mamai terus segar bila
menyedari Lisa di hadapan Ryan.
“Ryan dah tinggalkan kau, buat apa
kau terhegeh-hegeh lagi?”
Lisa mengetap bibir, kecewa dengan
kehadiran Shira.
“Dia cuba goda you ke sayang?”
“Siapa?”
“Perempuan di hadapan you la.”
“Mana? Ada orang di hadapan I ke?
Tak nampak pun.”
Lisa hanya mampu menahan sabar
dengan ejekan Ryan. Shira ketawa terbahak-bahak. Wadi yang duduk tidak jauh
dari situ juga tumpang ketawa.
Lisa mengawal perasaan yang sedang
menggelegak di hati. Dia tidak menyangka Ryan akan mempermainkan perasaannya sampai
begitu sekali. Dia seolah-olah macam sampah. Lisa tidak menanti lebih lama
untuk beredar dari situ. Dia menuju ke
arah Linda yang sedang memanggang sosej di tempat memasak.
“Jangan pedulikan mereka.” Ujar
Linda yang terdengar perbualan Lisa, Ryan dan Shira.
Lisa menggetap bibir. Geram! Dia
sedaya upaya mengawal air mata yang bertakung di kelopak mata. Kebencian Ryan terhadapnya
semakin menjadi. Namun, dia masih mengharap agar Ryan memberi peluang kepadanya
untuk menerangkan kedudukan sebenar.
Ryan rasa berdosa. Tak sepatutnya
dia mempermainkan Lisa. Hatinya sedikit pun tidak berniat untuk menghina Lisa,
namun egonya sebagai seorang lelaki menahannya dari berbaik semula dengan Lisa.
Bila mengingati yang Lisa telah mempermainkan perasaannya dan tidak menghargai
cintanya, dia mula benci yang meluap-luap pada Lisa.
Lisa terpaksa menerima suratan
yang sudah tertulis. Dia dan Ryan takkan mungkin kembali bersama. Selepas
perkhemahan, dia tidak akan ke kolej lagi. Dia perlu menguruskan pasport dan
visa sebelum berangkat ke New York
minggu hadapan.
Sebelum berangkat, Lisa tetap akan
mencari peluang untuk memberitahu Ryan tentang keadaan dirinya. Dia tidak mahu
Ryan terus-terusan membencinya. Sekiranya Ryan tidak ingin kembali kepadanya
lagi, dia pasrah. Yang penting Ryan tahu kenapa dia mengambil keputusan untuk
meninggalkan lelaki itu.
***
Lisa mengemaskan barang-barangnya
di asrama. Linda membantunya.
“Bila abah kau datang jemput?” soal
Linda.
“Pukul enam.”
“Tinggal dua jam lagi. Semua
barang dah siap dikemas. Kau ada nak buat apa-apa lagi?”
“Aku nak jumpa Ryan.”
“Ish, kau ni! Kan dia tak sudi jumpa kau lagi.”
“Aku mesti bercakap dengan Ryan.”
“Dulu, kau yang tinggalkan dia.
Dan sekarang, kau nak kembali padanya semula. Aku tak fahamlah sikap kau ni.”
“Nanti kau tahulah sebabnya.”
“Sampai bila? Kau berhenti dari
kolej pun aku masih tak tahu sebabnya. Kenapa kau nak berahsia sangat?”
“Linda, nanti kau akan tahu
segalanya. Kau sabarlah. Sekarang ni, aku nak pergi jumpa Ryan dulu.
Minta-minta dia ada di asrama.”
Lisa
melangkah menuju ke kediaman pelajar lelaki. Beberapa orang pelajar lelaki
sedang bermain sepak takraw di hadapan blok kediaman. Lisa tercari-cari Ryan.
“Kau
cari Ryan ke?” Soal Wadi.
“Emm!
Dia ada tak?”
“Dia
keluar.”
“Bila
dia balik?” Soal Lisa yang mengharapkan agar Ryan akan balik segera kerana dia
sudah tidak punya waktu.
“Tak
tahulah. Mungkin lambat sebab dia keluar dengan Shira.”
Lisa
telan air liur. Malam nanti baru mereka balik asrama.
“Kenapa
kau beria-ia sangat nak jumpa Ryan?” soal Wadi.
“Tak
apalah. Kirim salam pada Ryan.”
Lisa melangkah lemah lalu beredar dari
situ. Harapannya untuk memberitahu Ryan perkara sebenar kian tipis. Jika Ryan
sudah tahu perkara sebenar pun, mungkin ianya sudah terlewat untuk
menyelamatkan perhubungan mereka. Ryan kini sudah menemui penggantinya, Shira.
Lisa sedar, dari dulu lagi Shira cuba memikat Ryan. Dan kini, bila
Ryan sudah berada dalam genggamannya, tentu sukar untuk dia melepaskannya.
***
Lisa
merasa gembira dengan kunjungan sepupunya dari New York. Joshua datang untuk
membawanya ke sana. Mereka akan berangkat ke negera Uncle Sam lusa.
“Do you like this dress?” Soal Joshua
sambil menayangkan dress warna merah
jambu.
“Yes, but I don’t like pink.”
“What colour do you like?”
“Light blue.”
“Let me find it at another side.” Joshua gigih mencari pakaian
berwarna biru muda.
Lisa
pula leka memilih topi dan skarf. Sedikit hari lagi dia tentu memerlukan
benda-benda tersebut untuk menutup kepalanya. Tiba-tiba dia terdengar suara
seseorang di belakangnya. Lisa segera
menoleh ke belakang. Ryan dan Shira juga sedang memilih topi.
“Awak
pun di sini? Intip Ryan ke?” Shira terus bersuara bila terlihat Lisa.
Lisa
membisu. Dia mengawal perasaan. Malas dia hendak berbalas mulut dengan Shira.
“Kau
nak aku tolong pilih topi yang sesuai untuk boyfriend
kau tak?” Ryan menawar diri.
Dia yakin Lisa tidak sudi
bersamanya kerana Lisa sudah bertemu dengan lelaki lain. Walaupun dia masih
belum ada bukti, namun dia cukup yakin apabila melihat Lisa memilih topi yang
coraknya hanya untuk dipakai kaum Adam. Setahunya lagi, Lisa tidak gemar
memakai topi.
“What happen?” Soal Joshua yang baru
muncul. Dia perasan perubahan air muka Lisa.
“Nothing. Let’s go.” Lisa menarik tangan Joshua.
Ryan
terpaku. Sentap perasannya bila melihat Lisa bersama lelaki lain. Dia tidak
menyangka akan melihat dengan mata kepala sendiri teman lelaki Lisa yang baru. Sejak
bila Lisa bercinta dengan lelaki kulit putih? Dia masih enggan percaya walaupun
matanya sudah menyaksikan sendiri.
“Mentang-mentang
dapat mat saleh handsome, berlagak
bukan main!” Shira membebel.
Ryan
masih sentap dengan apa yang berlaku.
“Jom
makan!” Shira menarik tangan Ryan.
***
“Is that guy… Ryan?” Soal Joshua dalam perjalanan
pulang.
Lisa
diam saja.
“What’s wrong? He is your boyfriend, right?”
“Please…..don’t talk about him anymore.”
Joshua
ingin mengetahu apa yang sedang berlaku sebenarnya. Setahunya, perhubungan Lisa
dan Ryan sangat kukuh. Lisa sering menghantar email beserta gambar menceritakan
kemesraannya bersama Ryan. Dia ingin tahu apa yang telah terjadi. Namun dia
menghormati permintaan Lisa yang tidak mahu mereka membicarakan perkara
tersebut lagi.
“What date is today?”
“March
8.”
Lisa
teringat sesuatu. Esok, hari lahir Ryan. Tahun ini, tiada lagi kejutan untuk
Ryan seperti yang sering dilakukannya sejak dua tahun lalu.
Sampai
sahaja di rumah, Lisa terus mengeluarkan kertas warna, reben, gam dan gunting.
Dia menghasilkan kad hari lahir dan menyelit sekeping surat di dalamnya bagi menerangkan perkara
sebenar. Lisa tidak mahu Ryan berpandangan serong terhadapnya. Dia juga tidak
mahu Ryan terus diselubungi misteri.
Lisa
terbayangkan wajah Ryan ketika melihat Joshua menghampirinya. Lisa dapat
membaca perasaan Ryan ketika itu. Dia tidak mahu Ryan menganggapnya yang
bukan-bukan. Tambahan lagi, Shira ada bersamanya. Pasti Shira akan terus
memburukkan namanya.
***
“Nah,
pos laju untuk kau. Aku jumpat kat pejabat asrama masa kat bawah tadi.” Wadi
menghulurkan sekeping surat
kepada Ryan.
Ryan
mencapai surat
dari Wadi. Dia segera membaca nema pengirimnya. Bila melihat nama Lisa tercatat
di situ, dia segera melempar surat
tersebut ke atas meja.
“Siapa?’
Soal Wadi.
Ryan
hanya membisu. Dia terus membaca majalah Bola Sepak yang baru dibelinya.
Wadi
mencapai surat
tersebut lalu membaca nama pengirimnya. “Oh, patutlah. Kau tak nak baca isi di
dalamnya ke?”
“Tak
ada masa.”
“Baca
majalah ada masa pula?” sindir Wadi. “Bacalah surat tu. Mungkin dia nak bagi tahu sesuatu.
Zaman sekarang ni, mana ada orang utus surat dah. Tu mesti ada hal penting tu.
Sebab tu dia sanggup tulis surat.”
“Alah,
kad hari lahir. Tak ucap pun tak apa, aku tak kesah.”
“Bro,
hari ni hari jadi kau ke?”
“Semalam.”
“Lisa
pun satu… hantar kad saja. Cubalah selit hadiah sekali, baru kawan aku ni teruja
nak buka, kan?” usik Wadi.
“Tak
naklah aku hadiah dari perempuan macam dia tu. Dah ada pak we pun sibuk nak
hantar kad kat aku buat apa… menyemak je!”
“Kau
macam cemburu aje.”
“Dah,
dah! Aku nak baca majalah ni.”
“Oh
ye, kau dah tahu ke Lisa dah berhenti kolej.”
Ryan
terus meletakkan majalah kembali ke atas meja. Dia memandang Wadi, mohon
penjelasan.
“Mana
kau tahu?”
“Aku
terserempak dengan Linda kat café tadi. Biasanya dia dengan Lisa. Tapi aku
tengok dia sorang kat meja makan. Aku join dia sekali. Kami borak-borak. Keluar
la cerita pasal Lisa.”
“Dia
pindah kolej ke?”
“Linda
pun tak pasti punca sebenar Lisa berhenti. Tapi katanya, sikap Lisa memang
pelik sejak dua menjak ni.”
“Takkan
dia nak kahwin dan ikut lelaki tu.”
“Lelaki
mat saleh yang kau jumpa tu? Mungkin jugak.”
“Tapi,
setahu aku, Lisa bukan jenis orang yang macam tu. Dia takkan berhenti belajar
semata-mata nak kahwin.”
“Daripada
kau dok berteka-teki, baik kau telefon dan tanya terus kat dia.”
“Aku
dah deletenombor telefon dia.”
“Ish
kau ni! Marah sangat pun jangan la sampai nombor telefon dia pun kau nak delete.”
“Aku
kena jumpa dialah.” Ryan tak sedap hati. Dia dapat rasakan macam ada sesuatu
yang tak kena.
“Sebelum
tu, ha ambik ni… baca dulu surat dari dia. Mana tahu dia mungkin ada ceitakan
segalanya dalam surat ni.”
Ryan
menyambut surat yang dihulurkan. Dia berharap agar Lisa tidak terjebak dengan
kes yang sering melibatkan gadis-gadis Malaysia; keldai dadah. Orang tua Lisa
bukannya tak berduit sampai Lisa sanggup dipergunakan lelaki mat saleh itu
semata-mata kerana wang. Mungkin Lisa tertipu dengan janji manis lelaki itu.
Perlahan-lahan
Ryan membuka sampul surat.
Patutlah dia tidak melihat kelibat Lisa di kolej lagi sejak pulang dari
perkhemahan tempoh hari. Dia tercari-cari juga ke mana menghilangnya Lisa namun
dia segan untuk bertanya kepada Linda, teman baik Lisa. Walaupun di mulutnya,
dia membenci Lisa, namun jauh di sudut hati, hanya gadis itu sahaja yang
bertakhta di hatinya. Dia sebenarnya masih menyesal kerana enggan memberi masa
lima minit yang diperlukan Lisa. Keegoannya mengatasi segalanya.
Ryan
membuka kad hari lahir. Sekeping surat melayang jatuh dari dalam kad tersebut.
Ryan membongkok lalu mencapai surat itu. Kad diletakkan atas meja.
Ryan,
Terima kasih kerana sudi membaca
surat ini. Bulan lalu, Lisa telah mendapat pengesahan yang Lisa mengidap barah
otak. Lisa putus harapan dan patah semangat bila mengetahui barah yang
menyerang sudah di peringkat bahaya. Lisa hanya mampu hidup untuk beberapa
bulan sahaja lagi. Sebelum keadaan Lisa menjadi lebih teruk, Lisa mengambil
keputusan untuk meninggalkan Ryan. Lisa tak sanggup membiarkan Ryan lihat Lisa
di saat Lisa sudah tidak berdaya lagi. Maafkan Lisa kerana membohongi Ryan
perkara yang sebenar.
Lisa akan berlepas ke New York pada 10 Mac,
penerbangan jam 6.30 petang. Sebelum ke sana, Lisa berharap sangat agar dapat
bertemu dengan Ryan. Maafkan Lisa atas apa yang telah berlaku. Izinkan Lisa
pergi.
Air
mata bergenang di kelopak mata Ryan. Surat
itu masih berada dalam genggamannya. Dia amat kesal dengan segala perbuatannya
yang telah menuduh Lisa yang bukan-bukan. Padahal Lisa sebenarnya sedang
bertarung dengan maut. Lisa, maafkan aku!
“Kenapa?”
Soal Wadi yang kebingungan melihat keadaan kawannya.
Ryan
menghulurkan surat
kepada Wadi. Wadi segera membacanya.
“Eh,
hari ni 10 Mac! Kenapa kau berlengah lagi.” Wadi mengejutkan sahabatnya yang
masih termangu di kerusi.
“Dia
berangkat hari ni ke?”
“Cepatlah!
Dah pukul 4.30 petang sekarang.”
Ryan
segera mencapai kunci kereta lalu bergegas menuruni anak tangga. Dalam kepala
otaknya sekarang, hanya ada perasaan menyesal kerana menuduh Lisa yang
bukan-bukan. Kalaulah dia menyiasat apa yang telah berlaku sebenarnya, tentu
dia tidak akan menuduh Lisa sewenang-wenangnya.
***
Pengumuman
kedengaran meminta para penumpang ke New
York segera beratur kerana pintu akan dibuka. Jam
menunjukkan tepat 5.50 petang. Penerbangan akan berlepas sebentar saja lagi.
Lisa
menggenggam telefon kemas. Dia berharap agar sekurang-kurangnya Ryan akan
menghubunginya. Dia tidak dapat menghubungi lelaki itu kerana dia sudah
membuang nombor telefon Ryan sejak hari mereka berpisah. Konon-kononnya dia mahu
membuang Ryan terus dari hidupnya. Ternyata dia gagal kerana perasaan cintanya
pada Ryan masih menebal.
“Mari
Lisa, kita kena masuk sekarang.” Pujuk Puan Aisyah Jane.
Joshua
menghulurkan sapu tangan. Lisa menyapu air mata yang tak henti-henti mengalir.
Mereka
bertiga menuju ke barisan penumpang yang akan ke New York.
***
Ryan
masih termangu di lapangan terbang. Jam sudah melewati 7.00 malam. Ryan lambat
tiba kerana terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Ryan menggetap bibir,
kecewa kerana gagal bertemu dengan Lisa. Dia mengawal perasaan sedih yang
menyesak di sanubari. Permergian Lisa menyeksa hati.
Ryan
melihat tiket. Pagi Khamis dia akan berangkat ke New York. Dia akan menemani
Lisa sehingga hari pembedahannya.