Berjalan
laju dari apartmentnya di First Avenue menuju ke sub-way station di Fifty One
Street setiap pagi sudah menjadi kebiasaan Natasha. Melihat pelbagai ragam
manusia yang sentiasa bergerak pantas kerana tidak mahu membuang masa merupakan
satu phenomena yang lumrah di Bandar Metropolitan ini. Selama tiga tahun
menetap di sini, Natasha juga telah menjadi salah seorang dari mereka, pantas
di dalam segala gerak geri tertutama waktu musim salji.
“Along,
kami di sini semua rindu sangat pada Along. Emak selalu menangis ketika
menghadapi bulan puasa kerana terkenangkan Along. Ayah selalu beli air cendol
untuk berbuka puasa kerana itu kegemaran Along. Emak dan ayah berharap sangat
Along akan balik pada Hari Raya kali ini. Baliklah Along……. Adik tak ada kawan
nak main bunga api…. Dan tak ada siapa nak tolong adik pasang langsir pada
malam hari raya nanti.”
Surat
yang dihantar oleh adik bungsunya yang masih belajar di tingkatan dua amat
menyayukan hati Natasha. Setiap kali membaca surat itu, hati Natasha bagai
terusik., lebih-lebih lagi apabila Natasha menerima e-mail dari sahabatnya “Isaac”
dari Malaysia yang dikenalinya melalui “chat-room” di internet lebih kurang dua
tahun lalu menyertakan gambar-gambar peniaga bazaar ramadhan di Kampong Baru
telah bersiap sedia untuk menyambut bulan Ramadhan tidak lama lagi. Rindunya
pada emak ayah dan adik-adik semakin membuak-buak. Kesedapan menghirup cendul
pulut gula Melaka ketika berbuka puasa menyemarakkan lagi rindunya pada kampung
halaman.
Ah!...
bagaimana aku mahu menghadapi mereka semua??… keluh Natasha sedih. Malu Natasha pada semua kawan-kawannya dan
juga orang kampung masih menebal.
“Encik Hassan, Puan Lijah… kami minta ma’af
banyak-banyak kerana terpaksa membatalkan perjanjian kita pada hari ini. Saya
tahu ianya terlalu suntuk tetapi apakan daya saya kerana itu adalah permohonan Fazlur.
Dia tidak sanggup lagi bertemu dengan Natasha. Maka kami tiada jalan lain
melainkan membatalkan perjanjian kita ini. Saya sekeluarga faham bahawa pihak
kami yang bersalah di dalam perkara ini, tetapi apakan daya kami. Sudah
ditakdirkan begini jadinya, maka kami terpaksa menerimanya dengan redha.
Ma’afkanlah kami. Kami rela menerima apa sahaja tuntutan dari pihak Encik
Hassan sekeluarga.”
Masih
terngiang-ngiang lagi di telinga Natasha suara bapa Fazlur yang merayu kepada ayah dan emaknya pada hari raya
yang keempat iaitu tiga hari sebelum hari perkahwinan mereka tiga tahun lalu.
Hancur luluh perasaan Natasha, hanya Allah yang mengetahui. Hari Raya yang disambut
meriah pada awalnya bertukar menjadi hari yang paling sedih bagi Natasha.
Tidak
sanggup rasanya Natasha bertemu mereka yang mengetahui majlis perkahwinannya
dengan Fazlur, yang dijadualkan pada Hari Raya ke tujuh tiga tahun lalu terpaksa dibatalkan pada
sa’at-sa’at akhir atas kehendak Fazlur. Segala persiapan bilik pengantin yang
telah dihias rapi terbiar begitu sahaja. Kenduri perkahwinannya bertukar
menjadi kenduri menyambut Hari Raya sahaja tanpa Raja Seharinya. Kesihan
Natasha melihat emak ayahnya menanggung malu atas perbuatan Fazlur yang telah
mengkhianati kesetiaannya. Sedih benar perasaan Natasha bila mengenangkan
bahawa Fazlur di tangkap khalwat pada malam hari raya ketiga dengan gadis
sepejabatnya ketika berduaan di rumah sewa gadis itu.
“Apakah
dayaku untuk menolak takdir Allah. Aku redha dengan apa yang terjadi. Aku
menganggap ada hikmah disebaliknya kerana aku dapat mengetahui kecurangan
Fazlur sebelum aku sempat menjadi isterinya. Bayangkanlah betapa malangnya
hidupku sekiranya aku hanya dapat mengetahui kecurangan Fazlur setelah aku
menjadi isterinya dan setelah beranak pinak. Alangkah malangnya nanti nasib
anak-anakku. Aku bersyukur kepada Allah yang menyelamatkan aku dari manusia
khianat seperti Fazlur.” Natasha memujuk hatinya lagi. Cepat-cepat dia menyeka
air yang mula bergenang di kelopak matanya. Khuatir kalau-kalau dilihat oleh
rakan-rakan sepejabatnya.
Masih
terbayang di mata Natasha bagaimana ibunya menangis berhari-hari kerana amat
sedih apabila Natasha memberitahu bahawa dia akan ditugaskan bekerja di
cawangan syarikatnya di Amerika selepas sebulan peristiwa pahit itu. Ibunya yang selama ini sentiasa sabar dan
redha dengan kejadian yang berlaku tidak dapat menahan kesedihannya apabila mengetahui
yang Natasha akan pergi jauh, kerana sebagai ibu dia tahu perasaan Natasha.
Walaupun pada zahirnya Natasha tabah menerima dugaan itu tetapi kekecewaan dan
kesedihan Natasha hanya ibunya yang dapat memahami. Ibunya faham bahawa Natasha
pergi bukan kerana terpaksa bertugas di sana tetapi kerana membawa hati yang
luka.
“Hei
Tasha!... Mr. Robert panggil you di biliknya sekarang” terkejut Natsaha apabila
kedengaran setiausaha Ketuanya memanggil.
Oh!...
jauh sungguh lamunanku, keloh Natasha lalu bangun berjalan menuju ke bilik
Ketuanya.
“Natasha,
ini Encik Iskandar Pengurus Kewangan dari pejabat kita di Malaysia. Dia akan
dipinjamkan di sini bagi mempelajari proses sistem kewangan kita yang baru
supaya dapat diselarikan dengan pejabat di Malaysia. Jadi saya mahu awak bantu
Encik Iskandar sepanjang dia bertugas di sini,” jelas Encik Robert sambil
memperkenalkan lelaki yang duduk di hadapanya, sebaik sahaja Natasha masuk ke
biliknya.
“Apa
khabar Cik Natasha?” Iskandar bangun lalu menghulurkan tangan untuk bersalaman
dengan Natasha. Bola mata mereka bertembong. Hati Natasha bergetar tidak karuan.
“Alhamdulillah.
Berapa lama Encik Iskandar akan berada di sini?”
“Lebih
kurang dua minggu kerana saya perlu siapkan repot tugasan ini sebelum
orang-orang di Malaysia bercuti panjang kerana menyambut hari raya.”
“Hhhmmmm….”
Natasha mengangguk-nganggukkan kepalanya sebagai tanda faham akan tugas yang
perlu mereka selesaikan.
Natasha
terpaksa balik agak lewat petang itu kerana membantu Iskandar di dalam tugas
yang diarahkan oleh Ketuanya. Kesihan juga dia melihat Iskandar tercari-cari
beberapa dokumen yang diperlukan tetapi tidak dapat dicari. Kebanyakan
pekerja-pekerja lain terutamanya orang-orang tempatan negara tersebut agak
keberatan untuk membantu.
“Alaah!…
memang sikap mereka yang sentiasa ego dengan kebolehan mereka.“ Natasha
memberitahu Iskandar ketika Iskandar menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap
sikap mereka.
“Habis
tu, macam mana awak boleh berkerja dengan baik bersama mereka selama ini?”
“Dah
terpaksa. Lagi pun saya tak mengharapkan sangat bantuan mereka. Saya ambil
inisiatif sendiri bagi membuktikan bahawa saya juga boleh memberikan
perkhidmatan yang baik walaupun tanpa bantuan mereka. Alhamdulillah, pihak
pengurusan pun nampak akan usaha saya ini dan sekarang mereka telah memberikan
kepercayaan sepenuhnya kepada saya. Malahan Encik Robert selalu kata saya boleh
buat lebih elok dari mereka” sambil tersenyum Natasha memberi semangat kepada
Iskandar.
“Saya
kagum dengan awak Natasha! Seorang gadis Melayu yang lemah lembut tetapi
mempunyai hati yang kental untuk maju dalam kerjaya, lebih-lebih lagi di negara
asing seperti di Amerika ini”
“Terima
kasih. Jangan puji tinggi-tinggi sangat. Nanti kalau saya jatuh tiada siapa nak
angkat!..” Natasha cuba bergurau.
Iskandar
tergelak besar mendengar kata-kata Natasha itu. Hhmmm… manis sungguh gadis ini.
Kenapa pula dia mahu bertugas di sini ya? Mungkinkah dia hendak bersama
kekasihnya yang ada di sini ke? Bermacam-macam soalan yang menerjah ke fikiran
Iskandar bila dia diberitahu bahawa Natasha telah bertugas di NYC in selama
tiga tahun dan masih belum berkahwin.
“Hai…
kat sini kan ramai Mat Saleh yang besar-besar tubuhnya. Kalau takat awak
yang kecil molek tu, tentu tak jadi masaalah nak angkat. Lagi pun sekarang…..
saya kan ada!.…” Iskandar membalas gurauan Natasha. Seronok benar dia dapat
bersama orang sebangsa bila jauh di perantauan ini.
“Minta
simpang Malaikat empat puluh empat!... Janganlah saya terpikat dengan Mat-Mat
Saleh ni…” Natasha menjawab sambil menggeleng-gelengkan kepalanya
seolah-seolah takut benar dia akan perkara itu.
“Awak tinggal di
mana? Kalau awak sudi, saya nak belanja makan malam ni.” Iskandar mula berasa
senang bersama Natasha.
“Di
Fifty Four Street First Avenue, Mid Town. Saya jarang makan di luar. Saya lebih
selesa masak sendiri. Tapi kalau Encik Iskandar nak belanja, you are most
welcome!”
“Saya
pun sewa hotel apartment di Mid Town. Jadi bolehlah awak tunjukkan kedai yang
sesuai yang boleh kita pergi makan.”
Natasha
dan Iskandar makan pizza di kedai yang diusahakan oleh seorang taukeh Arab di
Lexington Avenue. Semua makanan di kedai itu memang halal dan ramai orang Islam
di NYC makan di situ. Sungguh selera mereka makan sambil berbual dan berjenaka.
Macam-macam perkara yang Natsaha tanya berkenaan tanah airnya yang telah lama
ditinggalkannya. Natasha yang selama ini sentiasa diselubungi perasaan
kekecewaan bagaikan terlupa kisah sedihnya ketika mendengar gurau senda dan
jenaka Iskandar. Dia merasakan ada satu tarikan yang membuatkan hatinya berasa
tenang dan gembira ketika bersama Iskandar.
Sampai
di apartmentnya, Natasha terus membuka komputernya dan melayari ‘chat room’
cuba mencari Isaac yang selalu dihubungi di ‘chat room’. Tetapi Natasha hampa lagi. Telah hampir
seminggu Isaac tidak menyambut chatting Natasha apabila dia mencarinya
di ‘chat room’. Begitu juga e-mail yang dihantar Natsaha juga tidak
berjawab. Rindu juga Natasha dibuatnya kerana selama ini hanya berinteraksi
dengan Isaac sahajalah yang dapat menghiburkan hati Natasha yang kesunyian di
perantauan ini. Memang sengaja Natasha tidak memberikan namanya yang sebenar
dan mengatakan dia adalah rakyat Indonesia yang menetap di NYC ini. Natasha
tidak mahu Isaac mengenalinya sebagai seorang gadis dari Malaysia. Dengan
menggunakan alamat e-mail dot@hotmail, Natasha tahu Isaac tidak akan dapat
mengesan siapa Natasha sebenarnya. Takut nanti Isaac akan mencarinya di
Malaysia dan alangkah malunya sekiranya Isaac dapat mengetahui segala peristiwa
malang yang telah menimpanya dulu.
“If
you really care about me, please response! I missed you so much!”
Natasha menuliskan nota dalam e-mail yang dihantar kepada Isaac sebelum Natasha
menutup komputernya.
Sampai
di pejabat pagi itu, Natasha melihat Iskandar telah pun menghadap komputer di mejanya
dengan penuh khusyuk sekali. Natasha mencuri pandang apa yang terpampang di skrin
komputer tersebut dan terlihat bahawa Iskandar sedang berinteraksi di dalam
skrin e-mailnya. Natasha hanya tersenyum sambil melambaikan tangannya pada
Iskandar sebagai tanda memahami situasi yang Iskandar tidak mahu diganggu masa
itu.
“Hhmmmm…
khusyuk sangat saya tengok Encik Iskandar menulis e-mail pagi tadi!…”
“Hantar
message pada pejabat di KL.
Bertanyakan khabar mereka. Lagi pun terasa rindu juga pada kampung halaman. Tambahan
pula kita dah mula nak berpuasa. Jadi saya hantar message pada kakak saya untuk disampaikan pada emak. Saya kata di
NYC ini saya tak dapat nak rasa cendol pulut gula Melaka yang selalu emak buat
untuk buka puasa hari pertama nanti. Saya minta emak buatkan sebaik sahaja saya
balik nanti.”
“Hhhmmm!…,
Sudah dua tahun saya tidak merasa masakkan emak ketika berbuka puasa.
Seronoknya ya kalau dapat berbuka puasa bersama keluarga. Menghirup cendol
pulut gula Melaka. Alangkah enaknya!….” Tanpa Natasha sedari dia telah mengeloh
sedih. Hatinya bagai digamit-gamit untuk balik ke Malaysia pada Hari Raya ini
apabila mendengar Iskandar menyebut cendol pulut gula Melaka yang amat
digemarinya.
“Natasha
suka cendol pulut gula Melaka?.” Iskandar bertanya. Natasha segera mengangguk
tanda setuju.
“Jadi…
Kenapa Natasha tidak mahu balik berpuasa dan berhari raya di Malaysia?”
tiba-tiba Iskandar bertanya. Cuba mengorek rahsia gadis di hadapannya sambil
merenung wajah yang putih bersih itu.
“Entahlah!...”
Keloh Natasha lagi sambil cepat-cepat mengalihkan pandanganya kerana tidak
sanggup menentang renungan tajam Iskandar.
“Kenapa
Natasha minta tukar kerja di NYC ni? Semasa Natasha di KL dulu, saya belum lagi
bekerja di syarikat ini. Sebab tu saya tak kenal Natasha lagi!”.
Natasha
terkedu mendengar soalan Iskandar lalu dia berpaling ke arah lain. Membelakangkan
Iskandar bagi mengelakkan Iskandar terlihat air matanya yang mula bergenang.
Iskandar memerhatikan gerak geri Natasha dengan penuh minat. Hatinya yang
memang menyenangi kehadiran gadis itu terus tertanya-tanya mengapakah Natasha
melarikan diri ke NYC ini semenjak tiga tahun lalu.
Petang
itu Natasha pulang awal kerana Iskandar ada urusan di pejabat Kedutaan Malaysia
dan kemudian menghadiri jamuan makan malam yang dianjurkan oleh pihak Kedutaan.
Sampai sahaja di apartmentnya, Natasha terus melayari ‘chat room’ mencari
Isaac tetapi hampa kerana tiada tindak balas. Kemudian Natasha membuka
e-mailnya. ‘You have 3 new mails’ terpapar di skrin e-mailnya.
“Nina, ma’af kerana lambat membalas e-mail mu
sayang….. Isy terpaksa bekerja di luar negara dan ketika di dalam perjalanan
Isy tidak dapat membaca e-mail Nina. Isy amat gembira bila mengetahui Nina missed me so much! Mengapa selama ini
Nina tidak beritahu Isy? Isy lebih lagi… Kalau boleh Isy mahukan Nina sentiasa
bersama Isy. Bilakah agaknya kita dapat bertemu? Love; Isaac.” Natasha
membaca message pertama dalam
e-mailnya yang telah diterima pada jam 8.25 pagi tadi.
Message
e-mailnya yang kedua juga dari Isaac yang diterimanya pada jam 12.30 tengahari.
“Nina, Isy tidak tahu mengapa hati ini
sentiasa berdebar apabila mengenangkan mu sayang!.. Isy terasa seolah Nina
sedang bersama Isy walaupun pada jasadnya kita berjauhan. Adakah ini cinta
namanya sayang?” Berderau hati Natasha membacanya.
Natasha
terus membuka message e-mailnya yang
ketiga yang diterima pada pukul 2.30 petang. “Isy amat merindumu sayang… Isy pasti akan bertemu Nina dalam sedikit
masa lagi. Isy juga pasti bahawa Nina adalah gadis yang menjadi idaman Isy
selama ini. Sudikah Nina menjadi permaisuri hidup Isy?”
Hati
Natasha terus bergetar membaca e-mail Isaac itu. Ya Allah… Adakah ini realiti
atau pun satu fantasi? Hati kecil Natasha bertanya sendirian. Natasha bagai
tidak percaya dengan apa yang dibaca. Adakah ini yang dikatakan “Cinta Cyber”?
Natasha masih sangsi. Memang di dalam mereka berhubungan selama ini banyak
latar belakang dan personaliti masing-masing yang dibincangkan. Banyak seloka
dan luahan perasaan yang dibayangkan. Hanya gambar rupa paras sahaja yang tidak
mereka berikan kerana Natasha tidak mahu Isaac mengenali wajahnya. Maklumlah
Malaysia bukannya besar sangat. Dan disebabkan Natasha tidak mahu memberi
gambar wajahnya, maka Isaac juga tidak mahu memberikan gambarnya. Natasha
selalu mengatakan bahawa rupa paras adalah sifat fisikal luaran yang tidak
kekal dan tidak penting. Apa yang penting adalah hati dan perasaan yang jujur
dan ikhlas, kerana itu akan kekal abadi. Tidak dapat Natasha nafikan bahawa dia
dan Isaac banyak keserasian. Natasha dapat rasakan bahawa Isaac adalah seorang
lelaki yang jujur, penyayang dan romantis. Alangkah bahgianya gadis yang
menjadi kekasihnya. Apatah lagi kalau dapat menjadi isterinya. Teringin juga Natasha
untuk bertemu dengan Isaac. Tetapi bila mengenangkan peristiwa pahit tiga tahun
lalu, hati Natasha menjadi takut untuk jatuh cinta lagi. Malam itu Natasha
membiarkan e-mail Isaac tanpa balasan.
Natasha
tergamam ketika membuka pintu apartmentnya untuk keluar ke pejabat pagi itu. Iskandar
yang berdiri di luar pintu apartment Natasha tersenyum lebar apabila melihat muka
Natasha yang pucat lesi akibat kejutan itu.
“Encik
Iskandar buat saya terkejut besar!… Anyway, kenapa datang pagi-pagi ni?”
“Sengaja
nak kejutkan tuan puteri!..” jawab Iskandar sambil tersenyum nakal melihat
gelagat Natasha yang terkejut dengan kehadirannya yang tidak diundang itu.
“Kenapa?
Ada mimpi indah ke malam tadi?”
“Mimpi
menghirup cendol pulut gula Melaka dengan Nina!….”
Bagai
nak luruh jantung Natasha bila mendengar Iskandar menyebut nama “Nina” kerana
itu adalah namanya yang diberikan kepada Isaac dan tiada siapa pun yang tahu
dia menggunakan nama itu. Kakinya jadi lemah dan Natasha segera memberhentikan
langkah kakinya. Memandang muka Iskandar dengan seribu pertanyaan. Iskandar
tetap tersenyum sambil merenung wajah yang kebingungan itu. Bola mata mereka
bertembung. Jantung berdegup, hati masing-masing terusik!
“Nurnina
Natasha, gadis Indonesia yang sebenarnya gadis Malaysia yang merajuk membawa
hati ke NYC!”
Lidah
Natasha kelu untuk berkata. Kerongkongnya rasa tersumbat menyebabkan suaranya
tidak keluar. Natasha menyandarkan tubuhnya ke dinding pintu apartmentnya
kerana kakinya yang lemah bagaikan tidak tertampung lagi tubuhnya yang kecil
molek itu. Segera Iskandar memegang kedua bahu Natasha sambil menarik tubuh itu
rapat ke dadanya. Lalu memeloknya. Dibelainya rambut gadis yang dirinduinya
selama ini dengan penuh kasih sayang. Air yang bertakung di kelopak mata
Natasha sudah tidak dapat disekanya lagi. Lalu bercucuran membasahi pipi yang
putih bersih itu. Natasha yang masih tergamam dan kebingungan itu membiarkan
sahaja Iskandar memeloknya. Tidak tahu apa yang harus dilakukan. Hanya sedunya yang
mula beralun.
“Maafkan
Isy kerana membuatkan Nina kebingungan pagi ini!...” Iskandar mengangkat dagu
Natasha supaya memandangnya setelah esakan Natasha berkurangan.
Iskandar
mengambil sapu tangan dari poketnya lalu menyapu lembut air mata Natasha yang
masih merebes. Ditenungnya mata Natasha. Dia nampak kesyahduan dan kesucian
dalam mata gadis itu. Natasha menundukkan kepalanya lalu menarik tubuhnya dari pelokan
Iskandar. Dia berundur dan duduk di atas sofa diruang tamu apartmentnya sambil
menutup mukanya dengan kedua tapak tangannya. Terdengar Natasha mengeloh
panjang. Tidak mahu menerima hakikat bahawa Iskandar yang berada di depannya
sekarang adalah Isaac yang selama ini dikenalinya hanya melalui internet.
Iskandar melabuhkan punggungnya di sebelah Natasha. Dipegangnya kedua tangan
Natasha dengan lembut.
“Nina…
maafkan Isy!... Isy tahu tentu Nina hairan macam mana Isy boleh mencari dan
mengenali Nina. Dan Nina pasti masih tidak percaya bahawa Isy adalah Isaac
bukan?”
Natasha
terus membungkam. Memandang jauh keluar tingkap. Tidak mengendahkan Iskandar
yang duduk di sebelahnya. Seolah-olah tidak mahu mendengar apa yang mahu
diperkatakan oleh Iskandar.
“Bagaimana
Encik Iskandar pasti bahawa saya adalah “Nina” dan bagaimana pula saya boleh
percayakan bahawa Encik Iskandar ini ialah Isaac? Kita tidak pernah bertemu.
Mungkin Encik Iskandar sajer nak perangkap saya!...” Akhirnya Natasha bertanya
dengan nada yang agak keras. Melepaskan kesangsian yang terpendam di dalam
pemikirannya.
“Pertama
kali Isy melihat gambar gadis bernama Natasha di rumahnya semasa Isy mengikut
emak dan ayah menziarahi sahabat lamanya dua tahun lalu, Isy jatuh cinta
pandang pertama. Isy suarakan hasrat hati pada ayah dan emak. Tetapi bila ayah
dan emak merisik keluarga Natasha, Isy diberitahu bahawa Natasha bekerja di NYC
dan besar kemungkinan Natasha tidak akan balik dalam jangka masa terdekat.” Dengan
suara perlahan Iskandar cuba menerangkan.
“Isy
tidak berputus asa. Lalu Isy risik di mana Natasha bekerja. Mungkin sudah
ditakdirkan Allah yang kita akan bertemu jua. Kebetulan Isy baru bertukar kerja
di syarikat kita ini dan melalui rekod pekerja-pekerja, Isy dapati yang Natasha
juga bekerja di syarikat ini tetapi di Ibu Pejabat di NYC. Isy cuba menghubungi
Natasha melalui urusan kerja tetapi tiada jalan yang membolehkan kita
berhubungan kerana bidang tugas kita berlainan. Dalam pada itu, Isy suka
melayari ‘chat room’ di internet dengan harapan Natasha juga akan melayari
‘chat room’ kerana Nazwan, adik Natasha ada memberitahu yang Natasha suka
melayari internet. Tambahan pula Natasha adalah seorang Juruanalisa Sistem.
Kebetulan bila Isy bertemu gadis bernama Nina di ‘chat room’, hati Isy bagai
ditarik untuk mengenali Nina dengan lebih rapat. Walaupun Nina mengatakan Nina
dari Indonesia dan bekerja di NYC, tetapi dari bahasa Nina, Isy dapat merasakan
bahawa Nina adalah gadis yang dibesarkan di Malaysia. Isy terus menghubungi
Nina dengan harapan mungkin Nina akan dapat membantu Isy mencari Natasha di NYC
ini. Tetapi bila Isy melihat biodata Natasha di pejabat dan mendapati nama
penuh Natasha adalah Nurnina Natasha, hati Isy jadi tambah kuat mengatakan
bahawa Nina adalah Natasha. Sebab itu Isy lebih suka berhubung melalui e-mail
dari di ‘chat room’ kerana tidak mahu orang lain mengganggu interaksi kita.”
“Mengapa
Isy…. Eerrr….. Encik Iskandar tidak menghubungi saya melalui alamat e-mail kita
di pejabat sekiranya Encik Iskandar betul-betul ikhlas mencari Natasha dan mengapa
pula menggunakan nama Isaac di dalam ‘chat room’ dan e-mail?”
“Nina,
please!... No moreEncik Iskandar tetapi Isy sahaja…..” rayu Iskandar
perlahan.
“Mengapa
pula begitu? Saya mengenali awak sebagai Iskandar bukannya Isaac!.” bentak
Natasha cuba melarikan diri dari kenyataan sambil menjeling tajam kepada
Iskandar.
“Dari
risikan emak, Isy mendapat tahu Natasha pernah putus tunang. Emak kata itu bukan
salah Natasha tetapi Fazlur yang menolak tuah.
Emak dan ayah amat setuju sekiranya Isy mahu melamar Natasha kerana
mereka tahu benar siapakah gadis yang bernama Natasha itu. Tetapi apabila
keluarga Isy menghantar rombongan meminang Natasha, ibu bapa Natasha tidak
dapat membuat keputusan kerana kata mereka Natasha tidak mahu langsung perkara
ini dibincangkan. Jadi Isy ambil keputusan untuk mengenali dulu Nina secara
rahsia supaya Nina tidak akan melarikan diri dari Isy.” Dengan suara sayu
Iskandar menceritakan.
Natasha
menundukkan kepalanya. Tidak mahu Iskandar melihat akan kesedihan yang mungkin
tergambar di wajahnya. Natasha masih ingat yang emaknya pernah menghubunginya,
menyuruh dia balik kerana ada seorang sahabat baik ayahnya ketika sama-sama
bertugas di Sarawak ingin melamar Natasha sebagai menantunya. Natasha menolak
pinangan itu dan dia berkata sekiranya emak ayahnya terus mendesak, dia tidak
akan balik langsung ke Malaysia. Semenjak dari itu, emak ayahnya tidak lagi
memperkatakan soal perkahwinan Natasha. Setiap kali berhubungan, emaknya hanya
merayu agar Natasha balik dan memulakan hidup baru di negara sendiri. Emaknya
selalu berkata, “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, elok
lagi negeri sendiri kerana ada kaum keluarga yang membantu”.
“Nina,
ingat tak semasa kita minum petang di Starbuck di Lexington Avenue semasa hari
pertama saya bertugas di sini, Natasha ada memberitahu Isy bahawa Natasha
selalu mengikuti perkembangan di Malaysia melalui sahabatnya yang selalu
dihubungi melalui e-mail dan kadang-kadang di ‘chat room’. Isy juga pernah
bertanya kepada Natasha adakah Natasha suka cendol pulut gula Melaka semasa
Natasha mengusik Isy yang sedang khusyuk menjawab e-mail tempoh hari. Natasha
mengatakan memang Natasha suka benar cendol pulut gula Melaka, malah Natasha
amat rindu untuk menghirupnya ketika berbuka puasa!..” Iskandar bertanya seolah cuba mengingatkan
Natasha.
Natasha
hanya mengangguk, tanda mengiyakan semua perkara yang dinyatakan Iskandar.
“Di
dalam e-mail Isy kepada “Nina” semasa bulan puasa tahun lepas, pernah Isy
bertanya samada Nina pernah datang ke Malaysia dan apakah makanan Malaysia yang
unik yang Nina paling suka. Nina memberitahu yang dia amat gemar cendol pulut
gula Melaka. Semasa kami sekeluarga berbuka puasa di rumah Natasha, emak
ayahnya pula ada memberitahu yang Natasha amat suka cendol pulut gula Melaka.
Kedua-dua informasi yang mungkin dianggap secara kebetulan ini, menguatkan lagi
kepercayaan Isy bahawa Nina adalah Natasha!...” Iskandar cuba menjelaskan.
Natasha
terkedu. Tiada lagi hujjah yang dapat dikatakanya bagi menolak segala kebenaran
yang dikatakan oleh Iskandar itu. Tiada lagi helah untuk Nurnina Natasha
melarikan diri dari Isaac atau Iskandar!.
Iskandar
memegang kedua tangan Natasha sambil cuba mengelos lembut jari jemari gadis
itu. Namun Natasha segera menepis perbuatan Iskandar itu. Bukan kerana marah
tetapi sebagai tanda dia amat menjaga tatasusila seorang muslimah walau pun
ketika berada di Negara yang asing itu.
Iskandar
yang bagaikan dapat membaca tindakan Natasha, segera melepaskan tangan gadis
itu. Iskandar terus merenung Natasha
dengan tenungan yang susah untuk dimengertikan.
“Nina,
mengapa Nina tidak membalas e-mail Isy malam kelmarin? Semalam bila Isy
menyemak e-mail, tidak ada sebarang pesanan dari Nina. Isy lihat Nina pula
sentiasa termenung ketika di pejabat. Nampak fikiran Nina selalu melayang jauh.
Isy tidak mahu mengganggu Nina ketika di pejabat. Malam tadi Isy ajak Nina pergi makan dengan
tujuan untuk menjelaskan perkara ini tetapi Nina tak mahu. Semalaman Isy tidak dapat
tidur mengenangkan Nina. Kenapa Nina buat Isy begini? ” dengan perlahan
Iskandar terus bertanya sambil merenung wajah Natasha dengan penuh kasih sayang
yang tidak berbelah bagi.
“Entahlah!...”
Natasha mengeluh lagi. Tidak berminat untuk memberikan jawapan.
“Nina!...
Lusa kita akan berpuasa dan tak lama lagi kita akan berhari raya. Tak rindu ke
Nina pada emak dan ayah di kampung? Marilah ikut Isy balik ke Malaysia minggu
depan.” Iskandar cuba memujuk.
“Untuk
apa Nina balik? Untuk menambah lagi luka dihati ini?... Nina malu untuk bertemu
dengan orang-orang kampung dan kawan-kawan Nina. Hari Raya sudah tidak ada
makna bagi Nina…” jawab Natasha spontan sambil mengalihkan pandangannya ke luar
tingkap. Seolah tidak mahu memandang lagi wajah Iskandar.
“Mengapa
Nina perlu malu? Sebab putus tunang? Sebab perkahwinan Nina perlu dibatalkan
pada sa’at akhir kerana Fazlur telah ditangkap khalwat?.. Oohhh Nina!…..”
Iskandar bertanya dengan nada suara yang agak tinggi sambil mengeloh panjang
dan menggomol kepalanya sendiri seakan tidak faham dengan sikap Natasha.
“Nina….Nina….. Lebih
elok perkahwinan Nina dibatalkan dari Nina terus menjadi isteri lelaki curang
seperti Fazlur itu. Nina tidak perlu malu kerana ia bukan salah Nina. Semua orang
faham dan semua simpati pada Nina. Percayalah Nina!.. Isy telah merisik semua
kawan-kawan Nina di pejabat di KL, semuanya menyebelahi Nina dan mereka amat
mengharapkan Nina akan balik dan membina hidup baru di Malaysia”.
“Bagaimana
anggapan orang kampung? Nina anak gadis yang majlis perkahwinannya terpaksa
dibatalkan kerana tunangnya lebih mencintai gadis lain. Nina anak dara yang
kena reject!…” Natasha medengus lagi sambil menutup mukanya dengan kedua
tapak tangannya. Air mata yang sudah mulai kering merebes kembali. Sedu yang
sudah reda beralun lagi.
“Nina… Cuba lihat mata
Isy!… “ Iskandar menarik dagu Natasha sambil memaksanya merenung wajahnya. Bola
mata mereka bertemu.
“Nina…Nina….
Siapa kata Nina gadis kena reject?... Nina adalah gadis yang boleh
membuatkan hati lelaki cair apabila melihat wajah dan kelembutannya. Tetapi ia
pula bagaikan merpati, senang didekati tetapi susah untuk dimilikki. Isy tahu
Razlan, bekas pengurus Nina di KL dulu bagai nak gila bila mengetahui Nina
bertunang dengan Fazlur. Sampai sekarang dia masih mengharapkan cinta Nina. Isy
tahu semua tu. Tapi Isy tak peduli. Isy
yakin jodoh Isy adalah dengan Nina dan sebab itulah Isy suruh emak ayah melamar
Nina walaupun Nina tidak ada di Malaysia. Isy berjanji pada emak dan ayah yang
Isy tidak akan berkahwin dengan gadis lain selain Nina!...” Iskandar terus
memujuk Natasha dengan harapan gadis itu tidak akan menolaknya lagi.
Natasha terus
membisu. Ya Allah, berilah aku petunjukMU… Doa hati kecilnya. Bukan Natasha
tidak sayang pada Iskandar tetapi dia takut. Malah pada pertama kali Natasha
melihat wajah Iskandar semasa diperkenalkan oleh Encik Robert tempoh hari, hati
Natasha bagaikan cair dari kedegilannya untuk bercinta lagi. Malah Natsaha juga
dapat merasakan bahawa banyak persamaan antara Isaac dan Iskandar di sepanjang
pergaulan mereka. Malah pernah Natasha berharap agar Iskandar adalah Isaac ketika
Natasha membaca e-mail Isaac malam kelmarin. Natasha teringat kata-kata Isaac
di dalam e-mailnya dulu bahawa “Cinta boleh datang berkali-kali, tetapi cinta
sejati hanya datang sekali”. Adakah cinta Iskandar terhadapku cinta sejati??
Natasha terus menyoal di dalam hatinya. Direnungnya mata Iskandar. Terlihat
keikhlasan dan kejujuran dalam mata itu. Kesyahduan wajah Iskandar yang penuh
mengharap itu melemahkan hati Natasha.
“Maafkan Nina kerana
berkasar dengan Isy tadi…” Akhirya Natasha berkata perlahan. Iskandar terlihat
air mata menitis setitik demi setitik di pipi yang polos itu. Lantas disapunya
air mata itu dengan penuh kesyukuran dan kasih sayang. Bunga cintanya terhadap
gadis itu terus berkembang.
*****
Kelihatan Mak Lijah sibuk
mengacau rendang di dapur dan Nazwan sorang-sorangnya anak lelakinya
terbongkok-bongkok meniup api membakar lemang di belakang rumah. Di ruang tamu
kelihatan Nelly Hanani terkekeh-kekeh mentertawakan kak longnya
terjingkit-jingkit menyangkut langsir pada tingkap yang agak tinggi. Pak Hassan
yang baru sudah menyapu sampah dan duduk berehat di bawah pokok mangga di
halaman rumah berasa amat seronok melihat semua anak-anaknya berkumpul untuk
menyambut Hari Raya esok.
Pagi
tadi Iskandar dan bapanya datang menyerahkan surat dari Pejabat Kadi yang
meluluskan permohonan Iskandar untuk bernikah dengan Natasha. Keluarga Iskandar
dan keluarga Natasha bersetuju supaya Iskandar dan Natasha dinikahkan pada Hari
Raya Ketiga nanti. Tak perlu buat kenduri besar-besar memadailah dengan
kehadiran kaum keluarga dan jiran-jiran terdekat sahaja. Itu pinta Natasha
semasa mereka meminta persetujuannya tempoh hari.
Di
radio kedengaran lagu-lagu selamat Hari Raya berkumandang. Setelah siap
memasang langsir baru, Natasha turun ke dapur untuk menolong emaknya menyiapkan
lauk-pauk untuk hidangan Hari Raya esok. Seronok benar Natasha dapat menjamu
selera bersama keluarganya. Dua kali Natasha keseorangan tanpa gelak ketawa dan
gurau senda kaum keluarga apatah lagi sahabat handai ketika menyambut Hari Raya
di perantauan. Oh… alangkah bodohnya aku mengikut kata hati selama ini!… Hati
kecil Natasha berbisik, kesal.
“Orang yang beriman akan sentiasa sabar dan
menganggap segala musibah yang berlaku adalah qada’ dan qadar Tuhan. ALLAH
marah hambaNYA yang cepat berputus asa kerana seolah ia tidak percaya kepada
qada’ dan qadarNYA. Ingatlah, ALLAH menjadikan malam LailatulQadar untuk semua
hambaNYA yang beriman mendapat ganjaran dariNYA”. Natasha tiba-tiba teringatkan
kata-kata Iskandar yang berjaya menyejukkan hatinya untuk kembali ke Malaysia
tempoh hari.
“Hello
Sayang, sedang buat apa tu? Semenjak balik ke Malaysia ni tak teringin ke nak chatting
dengan Isaac di chat room?. Tiap-tiap malam Isaac cari Nina di ‘chat
room’ tetapi tiada response. I missed you so much!... Nina ke
mana?” kedengaran suara Iskandar
mengusik nakal bila Natasha mengangkat telefon yang berdering-dering di ruang
tamu.
“Berdo’a
dan bermunajad di malam LailatulQadar!”
“Itu
sahaja? Apa yang Nina minta semasa malam LailatulQadar?”
“Suami
yang jujur dan pengasih sepanjang hayat supaya kehidupan rumahtangga Nina sentiasa
manis macam manisnya cendol pulut gula Melaka!…..”
“InsyaALLAH,
wahai permaisuriku!..” Kedengaran Iskandar menjawab sambil tergelak dihujung
talian. Natasha tersenyum sendirian penuh harapan.
- TAMAT -