Home Alternatif Travelog Keperitan Musim Sejuk di Kosova
Keperitan Musim Sejuk di Kosova
Zaf Zafirah
17/11/2016 10:22:42
8,569
Kategori: Alternatif
Genre: Travelog
Senarai Bab
Bab

Keperitan Musim Sejuk di Kosova

Ketibaan musim sejuk di penghujung tahun ini membuatkan fikiranku melayang kepada  saudara-saudaraku di Kosova. Bekas gabungan negara Albania ini pernah melalui zaman kegemilangannya. Beberapa legasi pemerintahan seperti Empayar Turki Uthmaniyah pernah menjejakkan kaki di negara yang kini digelar Kosovo oleh puak Serb. Walaubagaimanapun, penduduk di sana lebih gemar negara muda mereka dipanggil dengan nama Kosova. Setelah hampir 10 tahun mencapai kemerdekaan,Kosova masih perlukan perubahan. Masih ramai lagi yang mengalami trauma akibat perang serta tindakan pelampau Serb yang sering mencabuli sempadan negara mereka. Kosova mempunyai penduduk seramai 1.8 juta dan kebanyakan mereka adalah penganut agama Islam dengan nisbah sebanyak 90%. Walaupun begitu, masyarakat disana kurang mengamalkan ajaran Islam mengikut acuannya yang sebenar. Mungkin kerana tiada pendedahan dan pantauan dari pihak berkuasa. Manakala bagi aktiviti utama ekonomi mereka, penanaman gandum menjadi tanaman terbesar di negara tersebut.

Awal tahun 2015, rakan-rakanku dari Islamic Relief Malaysia (IRM) menjalankan Misi Kemanusiaan ke Kosova untuk merasai sendiri keperitan yang dilalui oleh rakyat Kosova selepas kemerdekaan mereka. Selain itu, mereka perlu memantau dan menilai projek-projek IRM yang dijalankan di sana. Rintihan masyarakat Kosova yang masih kesamaran cuba difahami oleh rakan-rakanku itu.

Dengan bantuan Islamic Relief Kosova, perjalanan rakan-rakanku menjadi mudah. Mereka dibawa menziarahi dan menyantuni keluarga-keluarga penerima manfaat yang dibantu IRM.Tidaklah mereka menyangka bahawa dalam pelbagai barangan bantuan yang dibawa, kayu api yang paling dikehendaki selain daripada makanan. Kesempitan hidup membuatkan mereka tidak mampu untuk memiliki alat pemanas di dalam rumah. Disebabkan itu, mereka perlu mencari dahan-dahan atau ranting pokok untuk dijadikan bahan pemanas. Namun kedudukan hutan yang terletak jauh dari kediaman mereka menyukarkan lagi proses untuk mendapatkan bahan tersebut. Permintaan yang tinggi dari penduduk pula menyebabkan pembekal kayu api menaikkan harga jualan. Justeru, rakan-rakanku mengambil keputusan untuk membeli kayu api dan mengagihkannya kepada penduduk tempatan. Ternyata, mereka gembira dan bersyukur dengan bantuan itu.

Melihat kesukaran hidup penduduk Kosova menghadapi musim sejuk membuatkan rakan-rakanku bersyukur dengan iklim di Malaysia. Kosova tidak mempunyai akses kepada sistem bekalan air yang sempurna dimana kesemua rumah di sana hanya menggunakan air perigi sebagai sumber air. Selama lima hari di sana, IR Kosova membawa rakan-rakanku menelusuri kehidupan masyarakat Kosova yang serba kekurangan. Suhu musim sejuk yang mencecah -11°C pada satu-satu masa menggetarkan tubuh badan mereka namun bagi masyarakat Kosova,tiada pilihan lain selain meneruskan kehidupan seperti biasa.

Dengan kesukaran berjalan di atas jalan yang beku dan berliku, IR Kosova sangat komited dalam menyampaikan bantuan yang diamanahkan oleh penderma dari seluruh dunia. Memikul 25 kilogram tepung bukanlah satu tugas yang mudah. Namun bagi Blerim Gashi, pegawai IR Kosova, beliau sanggup berkorban demi memastikan bantuan sampai kepada yang mereka memerlukan. Bagi misi itu, IRM telah memperuntukkan sebanyak 80,000 euro untuk bantuan makanan, kayu api dan barangan keperluan musim sejuk yang lain.

Kebanyakan keluarga yang diziarahi pasukan misi merupakan pelarian dari sempadan Kosova-Serbia yang mencari perlindungan di kawasan pedalaman akibat gangguan dari puak Serb. Sebanyak sepuluh buah keluarga sempat rakan-rakanku lawati dan rata-ratanya hidup dibawah paras kemiskinan.Tidak mempunyai pilihan, mereka terpaksa berlindung di mana-mana rumah atau bangsal kosong yang hanya berkeluasan 10’ x20’. Mereka menetap di kawasan lapang atau lereng-lereng bukit di kawasanPristina, Fushe Kosove, Skenderaj, Drenas, Stanterg, Mitrovica, Vushtri dan Bukosh. Keluarga-keluarga ini kebanyakannya berlatar belakang keluarga miskindan anak yatim.

Bagi rakan-rakanku, mereka mengagumi semangat juang masyarakat Kosova untuk meneruskan kelangsungan hidup walaupun serba kekurangan. “Kelahiran baru”, itulah jolokan yang rakan-rakanku berikan kepada negara termuda di Eropah ini. Mereka tinggalkan Kosova dengan harapansuatu hari, negara tersebut akan bangkit standing dengan negara-negara maju yang lain.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.