Home Alternatif Alternatif Seorang Lelaki Berkerusi Roda dan Doktor Gemuk: Tentang harapan
Seorang Lelaki Berkerusi Roda dan Doktor Gemuk: Tentang harapan
12/9/2015 01:33:43
963
Kategori: Alternatif
Genre: Alternatif
Senarai Bab

Kalau kamu mahu mencari tempat yang memperlihatkan wajah-wajah harapan, saya fikir, hospital adalah tempatnya. Kamu akan berjumpa dengan wajah-wajah sebegitu. Itulah yang saya jumpa. Setiap kali melintasi ramainya manusia di hospital, saya melihat adanya harapan pada wajah mereka. Andai kata harapan itu seperti panau. Maka putihlah seluruh muka mereka dek kepanauan itu. Begitulah makna banyaknya harapan....

Mereka punyai harapan yang melangit.

Mungkin ia, si suami berharap isterinya selamat melahirkan anak yang comel seperti anak Che’ Ta dan Zain, sedangkan dia tidak sedar wajahnya sendiri seperti manusia zaman Paleolitik.

Mungkin, si pesakit yang berharap dapat sembuh dan keluar daripada wad setelah tidak lagi tertahan dengan makanan hospital dan asyik teringatkan roti canai mamak.

Mungkin juga si penjaga pesakit yang berharap orang yang dijaganya segera keluar supaya dia tidak lagi terpaksa menahan kantuk dan tidur di lantai dalam keadaan tidak sempurna.

Oh, saya juga melihat wajah harapan seorang guard yang mahu lekas pulang, setelah malamnya dia menjadi pengawal keselamatan yang datang hanya untuk tidur.

Itu semua sekadar contoh, wajah-wajah harapan.

Hari itu, saya bertemu dengan wajah harapan ini; seorang lelaki berkerusi roda.

Kakinya berbalut. Dia ditolak oleh seorang wanita. Tentunya seorang isteri yang sangat setia dan selalu memberi dan menerima.

Katanya, kakinya luka. Asalnya hanya luka kecil. Melecet katanya. Dia bomba. Melecet semasa memakai kasut but bombanya. Luka kecil menjadi besar. Bertambah parah doktor menyatakan, dia punyai kencing manis dan lukanya sukar diubati.

Bertahun dia berulang alik ke hospital. Lukanya semakin teruk. Kerjayanya terganggu. Dan sudah tentu rutin gembiranya terbantut. Luka hatinya bertambah parah.

Dia ada temujanji.

Lalu seorang doktor gemuk berjalan malas melintasinya. Lelaki itu menjeling doktor gemuk yang tentunya seorang pendusta. Kerana bukankah doktor yang selalu menasihati kita tentang amalan pemakanan yang bagus. “Kamu kena bersenam untuk sihat.” Tetapi hari ini kami terpandang doktor gemuk yang tentunya suka makan benda-benda bukan-bukan ... benda tak sihat. Doktor munafik.

Kata lelaki itu; “Itulah doktor yang mahu potong kaki abang. Dia ingat potong kaki tu macam potong buah betik atau sedap macam aiskrim potong. Kalau kaki abang kena potong, abang bukan sahaja kehilangan kaki tetapi abang juga akan kehilangan hati, jiwa, semangat, cita-cita, harapan dan impian abang untuk menjadi bomba yang paling banyak bermain takraw di tempat kerja. Semua itu akan hilang.”

Saya memang pendengar yang baik.

Lalu lelaki itu menyambung rintihnya; “Abang datang ke hospital ini dengan harapan. Harapan agar kaki abang kembali pulih. Doronglah abang dengan kata-kata semangat walaupun hakikatnya berlainan. Ini tidak, segera sahaja mahu dipotong kaki abang.”

Keluhnya lagi; “Abang ni anggota bomba yang kerjanya memadam kebakaran. Tak bolehkah abang dihargai. Padamkanlah kebakaran yang ada dalam hati abang...”

Kemudian, lelaki itu senyap seketika. Kata orang, malaikat lalu kalau kita senyap tiba-tiba. Tapi entahlah, yang lalu dan melintasi kami tadi hanya seorang misi. Yang gemuk juga.

“Dia tu pun mungkin tak lama lagi kena kencing manis. Tengoklah badannya tu.” Tiba-tiba lelaki itu menyambung kata setelah lama mulutnya terkunci. (“Dia” itu merujuk kepada doktor dan bukannya misi yang baru melintas)

Saya tak tahu sama ada lelaki itu menyumpah atau berdoa agar doktor itu terkena diabetes. Hakikatnya begitulah manusia. Selalu mendoakan yang tidak baik.

Saya melontarkan pendapat. Saya tidak mahu lelaki itu menyangka saya bisu atau saya tidak sukakan dia. “Abang kena bersabar. Kena usaha. Jangan putus harap.”

Ah, memang klise kata-kata saya tu. Entah, drama petang-petang mana yang saya kutip dialognya.

Lelaki itu hanya mengangguk. Mungkin dia kecewa respons saya itu. Mungkin dia berharap saya memaki-maki doktor itu. Malangnya saya lelaki budiman. Saya bukan begitu.

Saat ditolak masuk ke dalam bilik doktor gemuk itu, saya melihat ada dua harapan. Satu pada lelaki itu. Dan satu pada isterinya.

Saya masih menunggu giliran. Saya terpandang cermin. Saya lihat wajah saya. Ada harapan tertulis, yang merayu-rayu, agar dicepatkan giliran saya sampai.

Dari dalam bilik doktor.Terdengar seorang lelaki menjerit aduh ... aduh ... dan sedikit carutan. Sah, lelaki itu kena cuci luka.

Entah apa pula harapan doktor gemuk itu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.