KEHADIRAN
Tika kehadiran
dengan tertib
mengusung diri
ke teratak budi
bersimpuh adat
menyimpul adab
sopan tersulam indah
bersama janji termateri
umpama Adam dan Hawa
rindu berpadu syahdu
dalam skroll tabie insani
sunnah pun menyubur di taman
madu cinta jua mengairi
basah lurah kedamaian
bersama segar titisan nikmat
dari syurgawi.
Dan kini
dengan rela tulus budi
kau pun bergelar isteri.
Kehadiranmu
bak cahaya menyinari
alam baru hidup sang lelaki
menyusun bata-bata fikir
digauli kalimah zikir
menghulur tawakkal pada Illahi
tapak zuriat dipacak gagah
tahan air api dan angin bersatu
dalam bilah-bilah konkrit
agam tersergam
berteraskan keyakinan hakiki
maka terbina
mahligai tabie insani
sunnah Rasul penyatu ummah.
Lalu duniamu berubah rupa
ciri keibuan hawa terserlah jua
bersama titipan amanah
dari alam rahim
alaqah menggumpal tiupan roh
kini menjelma di alam maya pada
seorang insan kecil dalam dakapan
bersama sekeping suratan baru
kau yang kan melakar di wajahnya
coretan cinta lakaran cita
warna akhlaq wasiat agama
garis aqidah di dada
di hatinya memancar nur iman
di wajahnya terserlah budi suci
beban tergalas dibahumu
pasti penuh rela
demi Pencipta yang menjanjikan
kebahagiaan esok nan abadi
kau pun pasrah.
Kehadiran itu
pasti penuh erti
buat seluruh insani
yang mengharap belai kasihmu
wahai perempuan solehah.
Nukilan:
Diansutera
Kg.Chat Rimau, Tanah Merah, Kelantan.
15092006(2:55 ptg Sabtu)