Home Novelet Seram/Misteri Nang Tani (Bahasa Melayu)
Nang Tani (Bahasa Melayu)
Adithya Aryan Arjuna
4/12/2024 11:15:36
1,051
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Bab 7

Bab 7

Bhikkhu Kang memandang Tom dan berkata, “Pada mulanya Nang Tani dengan tegas enggan berkompromi. Tetapi selepas berunding dan memujuknya, Nang Tani akhirnya mengalah dan meminta perkahwinan sebagai pertukaran untuk memaafkan Tom atas penghinaan dan rasa tidak hormatnya.

            “Perkahwinan? Perkahwinan hantu?” Somchai bertanya.

            Bhikkhu Kang memandang Somchai pula dan berkata, “Ya, perkahwinan hantu. Tapi, pelik permintaannya. Tidak pernah saya menemuii permintaan yang begitu pelik. Biasanya entity begini, pengampunan diberi hanya dengan persembahyangan dan persembahan. Yang ini memang pelik.”

            “Baguslah. Sekurang-kurangnya dia bersetuju untuk memberi pengampunan kepada Tom. Apa yang dia mahukan sebagai pengantin lelaki? Sebuah patung?” Somchai bertanya lagi.

            Bhikkhu Kang menggelengkan kepalanya dan berkata, “Tidak. Dia mahukan Tom sebagai pengantik lelaki,” sambil memandang semula ke arah Tom. "Saya percaya ada pautan karma antara kamu berdua."

            Apabila Somchai  menterjemahkan apa yang diperkatakan oleh Bhikkhu Kang kepada Tom, Tom terpegun. Tom berasa hairan dan pelik. Dia tidak pernah seumur hidupnya mendengar permintaan sepelik yang diminta oleh Nang Tani. Kenapa Nang Tani hendak mengkahwininya? Apa niat Nang Tani sebenar? Pelbagai persoalan bermain-main di dalam minda Tom ketika itu. Dia bingung dan keliru dengan permintaan Nang Tani itu.

“Ini satu gurauan kan?” Tom berkata sambi ketawa kecil. “Kamu nak saya berkahwin dengan hantu? Itu mustahil. Bagaimana mungkin? Manusia dan hantu ibarat air dan minyak. Mereka tidak boleh bergaul. Dan apakah yang anda maksudkan dengan pautan karma? Apa kena mengena saya dengan dia?”

            Somchai menterjemahkan apa yang Tom katakan kepada Bhikkhu Kang. Kemudian, Bhikkhu Kang membisikkan sesuatu kepada Somchai.

            Somchai beralih kepada Tom sambal berkata, “Bhikkhu Kang berkata jika kamu menuangkan minyak dan air ke dalam mangkuk, minyak secara semula jadi akan naik ke atas, manakala air menyokongnya dari bawah. Jika sumbu diletakkan di dalam minyak dan dinyalakan, ia akan menyala dan menerangi seluruh persekitaran dengan cahayanya. Mungkin ada sesuatu hikmah tersembunyi yang belum kita ketahui.”

            Somchai kemudian menjelaskan kepada Tom bahawa konsep pautan karma ialah apabila ikatan terbentuk antara dua individu akibat peristiwa lampau, menyebabkan mereka bersatu semula dalam kehidupan seterusnya sehingga tujuan ikatan mereka tercapai.

            Tom kelihatan keliru, kemudian menjawab, “Apa kaitannya dengan saya berkahwin dengan hantu? Saya tidak pernah mengenalinya. Saya tidak dapat melihatnya. Macam mana saya boleh kahwin dengan dia?”

            Somchai sekali lagi menerjemahkan kata-kata Tom kepada Bhikkhu Kang. Bhikkhu Kang memandang Tom dan menggelengkan kepalanya tanda tidak setuju.  Selepas perbincangan yang panjang dengan Somchai, Bhikkhu Kang berpaling kepada Tom dan memandang Tom dengan khusyuk. Tom pula, memandang Somchai dengan penuh tanda tanya, mengharapkan sesuatu yang munasabah dan boleh diterima akal daripada Somchai. Setakat ini, semua perbicaraan mengenai dirinya dan Nang Tani kedengaran pelik dan mengelirukan baginya. Mungkin persekitaran barat di mana dia dibesarkan tidak mengizinkan dia memahami konsep budaya dan amalan timur. Tom berasa dia terperangkap di dalam kemelut barat-timur yang bercanggah. Dia seperti berada di tengah dataran yang tidak teercondong ke barat mahu pun ke timur.

            Memandang air muka Tom yang kelihatan keliru, Bhikkhu Kang membisik sesuatu lagi kepada Somchai, lalu Somchai menterjemahkan apa yang diperkatakan oleh Bhikkhu Kang kepada Tom.  

“Bhikkhu Kang berkata tidak ada apa lagi yang boleh dia lakukan. Nang Tani adalah kuasa yang kuat dan mampu melakukan apa sahaja. Tindakan kamu telah banyak menghina dan melukakannya, dan sekarang kamu mesti menghadapi akibatnya. Walau bagaimanapun, dia telah menunjukkan belas kasihan dengan menawarkan kamu peluang untuk menebus dosa kamu padanya. Keputusan untuk menerima atau menolak tawaran ini terletak pada kamu. Walaupun Bhikkhu Kang mungkin tidak begitu mahir dalam adat perkahwinan hantu, dia mempunyai seorang rakan yang pakar dalam perkara itu. Rakannya itu mungkin boleh menawarkan bantuan dan nasihat berharga sekiranya anda memilih untuk menerima tawaran itu."

            Tom termenung seketika. Pada ketika itu, kedengaran bunyi gemerisik dari arah rumpunan pokok pisang. Jelas sekali Nang Tani sedang mencuri dengar perbualan mereka dan sedar akan niat mereka. Mereka pasti apa bunyi gemerisik itu adalah kehadiran Nang Tani. Jelas pada mereka Ketika itu bahawa Nang Tani bukanlah sesuatu entiti yang mudah mengalah. Nang Tani tidak mudah berputus asa menganggu dan mengacaui mereka, sehingga mereka tunduk kepada kemahuannya.

            Bhikkhu Kang dapat merasa ketidakselesaan mereka lalu itu memberi keyakinan kepada mereka, Bhikkhu Kang berkata, "Jangan takut, suatu penghalang rohani melindungi rumah ini, menghalang kemasukan Nang Tani. Saya akan tinggal di sini malam ini." Ini meredakan kebimbangan mereka yang berada dalam rumah itu.

            Somchai tiba-tiba bertanya kepada Bhikkhu Kang, "Adakah ibu bapa saya akan menghadapi sebarang bahaya?" Dia takut memikirkan ibu bapanya menanggung kemarahan Nang Tani. Dia takut Nang Tani mengalih kemaharannya kepada ibu bapanya.

            “Semuanya terpulang pada Tom, sama ada dia menerima dengan rela kehendak Nang Tani,” jawab Bhikkhu Kang. Somchai tidak menterjemah apa yang diperkatakan oleh Bhikkhu Kang kepada Tom. Dia tidak mahu Tom berasa bersalah. Tom merenungnya dengan penuh harapan sekali lagi. Apabila Somchai berdiam diri, Tom tidak dapat menahan keinginannya dan dia bertanya, "Apa yang dia katakan?"

            Somchai menjawab, “Tidak banyak. Tetapi Tom, kamu perlu mempertimbangkan dengan serius cadangan Naang Tani itu. Nyawa kamu mungkin bergantung pada penerimaan kamu terhadap kehendak Nang Tani" Riak wajah Somchai seperti merayu pada keihsanan Tom.

            Somchai berasa sedikit kesal apabila dia terpaksa memberi jawapan sedemikian kepada rakan baiknya Tom. Tetapi dia buntu jalan. Dia tidak ad acara lain kerana dia takut akibatnya kepada ibu bapanya. Ketakutan Somchai berpunca daripada kisah hantu pokok pisang, yang dikhabarkan mempunyai kuasa untuk membunuh dengan kebolehan mereka untuk menyebabkan penyakit. Kepercayaan ini telah menanamkan rasa berhati-hati dalam masyarakat tempatan, menyebabkan mereka mengelak daripada membuat Nang Tani marah. Masyarakat tempatan takut pada Nang Tani dan pada masa yang sama, mereka menghormatinya. Ini adalah keseimbangan yang harmonis yang wujud sejak turun temurun. Kesseimbangan yang harmonis ini telah dipecahkan oleh tindakan Tom yang tidak menghormati adat masyarakat tempatan. Tindakannya yang cuai telah menyusahkan orang lain.

            “Tiada banyak yang boleh kita lakukan buat masa ini. Saya nasihatkan kamu semua pergi tidur. Puan Voon dan saya akan berjaga dan mengurus perkara yang perlu dilakukan,” Bhikkhu Kang akhirnya memberi cadangan kepada mereka.

            Mereka semua menuruti cadangan Bhikkhu Kang dan masuk ke bilik masing-masing untuk tidur, kecuali Bhikkhu Kang dan Voon. Tom masuk ke dalam biliknya. Lampu dimatikan, dan cahaya dari luar membentuk bayang-bayang ngeri di dinding biliknya. Sambil membaring atas katilnya, Tom terpandang tingkap terbuka. Dia segera bangun dan tergesa-gesa menutup tingkap itu. Biasanya Tom akan membiarkan tingkap bilik tidurnya terbuka untuk membenarkan angin masuk. Dia terasa panas dan tidak selesai dengan cuaca di Malaysia. Selepas itu dia balik semula ke katilnya dan cuba untuk tidur. Walaupun dia memejam matanya, tetapi dia tidak dapat tidur.

Dia memikirkan akibat dari tindakan cuainya itu. Tetyapi yang lebih merungsingkan Tom adalah idea berkahwin dengan Nang Tani. Idea itu tidak masuk akal pada Tom. Keraguan mula menyelubungi fikirannya. Mungkinkah ini suatu tipu muslihat yang dirancang oleh Bhikkhu Kang untuk menakutkannya kerana dia telah melanggari adat dan pantang larang masyarakat tempatan? Mungkinkah ini semua suatu gurauan yang disengajakan? Semua keraguan ini bermain-main di fikirannya, membuatkan dia resah dan gelisah.

            Tiba-tiba Tom terasa sakit di bahagian perutnya. Perutnya terasa seperti ada jarum-jarum halus mencucuk perutnya. Kesakitan itu bermula dengan rasa sakit yang sedikit, kemudian meningkat ke tahap dan intensity yang tinggi, Kemudian tahap kesakitan akan perlahan-lahan berkurangan, tetapi akan meningkat semula, rasa seperti seribu jarum halus mencucuk perutnya. MataTom tidak dapat lelap dan dia tidak dapat tidur dengan nyenyak. Sepanjang malam, mata Tom sentiasa mengimbas biliknya, cuba mengesan sebarang pergerakan atau bayang-bayang yang pelik. Cahaya dari luar yang memancarkan bayang-bayang ngeri menambahkan lagi kegelisahannya. Dia tidak dapat menghilangkan perasaan bahawa ada seseorang atau sesuatu sedang memerhatikannya. Walaupun dia cuba untuk mengabaikan bunyi aneh dan tangisan yang bergema sepanjang malam, bunyi pelik serta tangisan itu masih berjaya menimbulkan rasa takut dalam dirinya. Bulu roma di seluruh badan Tom meremang tegak. Bunyi dentuman yang bergema dari atas bumbung juga membuatkan Tom tersentak dari tidur-tidur ayamnya. Tom Nang Tani sengaja cuba menarik perhatiannya. Namun, tumpuannya lebih kepada rasa sakit di perutnya yang kelihatan semakin memuncak setiap jam berlalu.

            Ketika malam semakin larut dan subuh semakin hampir, Tom merasakan sekali lagi bulu di lehernya meremang tegak apabila bunyi gemerisik di luar rumah semakin kuat. Kekacauan yang dirasai Tom memberi bayangan seolah-olah Nang Tani semakin resah dan gelisah. Tangisannya semakin kuat, dan bunyi dentuman di atas bumbung pula tidak terhenti-henti.

            Dengan tiba-tiba, kedua-dua selempang tingkap biliknya terbang terbuka seolah-olah seseorang telah membukanya dengan kuat. Tom terkejut, tetapi dia cuba mengabaikannya. Kemudian, dari sudut matanya, dia terpandang kemunculan kabus putih yang berpusar dan membentuk satu penampakan. Tom cuba mengabaikannya juga, tetapi tidak terdaya. Tom terasa seperti ada sesuatu kuasa yang sedang menarik dan memanggilnya. Akhirnya Tom tidak terdaya menahan atau menolak. Dia menoleh ke arah tingkap. Di tengah-tengah kabus yang berpusar itu, satu penampakan sedang terbentuk.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.