Home Novel Umum Stigma
Stigma
Aqila Nuwairah
12/10/2021 21:15:47
1,230
Kategori: Novel
Genre: Umum
EPILOG

Hari demi hari, bulan berganti bulan, malah tidak sedar peperiksaan SPM sudahpun berakhir. Masa itu terlalu mencemburui setiap pergerakan kita dari hari ke hari.

Dan selama itulah Wajdi menjadi seorang yang ceria, tidak dingin dan malah menjadi contoh kepada pelajar lain. Pelajar yang lain menerimanya dengan baik dan meminta maaf atas semua yang terjadi sebelum-belum ini. Guru-guru dan para ustaz memuji dan menjadikan Wajdi sebagai ikon untuk semua pelajar

Amirul? Mereka sudah menjadi rakan baik Wajdi begitu juga dengan Azhar, Fahmi, Johan dan Hilman.

Dengan kepintaran yang tinggi, Wajdi berhasil memperoleh semua markah tertinggi di setiap peperiksaan termasuk percubaan SPM.

Tidak mementingkan diri, Wajdi akan mengajarkan semua rakan yang tidak memahami dengan membuat kelas tersendiri.

Wajdi tersenyum memandang langit malam. Malam di mana semua pelajar SPM yang lain sibuk merayakan dengan BBQ di padang, Wajdi malah memilih untuk duduk di port lamanya di belakang musolla. Menatap ribuan bintang yang berkedipan di atas sana.

"Tak join dieorang?"

Wajdi tidak terkejut dan berpaling ke sebelahnya. Tidak lama kemudian, dia tersenyum tipis.

"Nanti sikit,"

Faiz tersenyum sembari membetulkan posisi duduknya di sebelah Wajdi.

"Sedar tak sedar kamu dah nak habis dah sekolah," Faiz memulakan bicara.

"Ya, saya tahu. Jujur saya bersyukur. Allah SWT memberikan saya peluang merasai bagaimana seronoknya belajar di sini meskipun beberapa bulan,"

Bahu Wajdi ditepuk perlahan. "Kamu sudah banyak berubah9"

"Kerana Allah SWT itu Maha Penyayang. Dia hadirkan ustaz dan rakan yang lain untuk bantu saya. Kalau bukan kerana Allah SWT yang mempertemukan kita, saya rasa saya masih orang yang sama,"

Faiz terharu.

"Terima kasih ustaz, untuk segalanya."

"Sama-sama Wajdi. Terima kasih juga kerana sentiasa berusaha untuk berubah,"

Wajdi tersenyum lebar.

"Boleh ustaz nak tanya kamu soalan? Dah lama ustaz nak tanya kamu tapi ustaz lupa,"

"Apa dia ustaz?"

"Perakam yang kamu beri pada ustaz semasa kes itu, Azhar kata kamu selalu bawa. Untuk apa ya sebenarnya?"

Wajdi mendiamkan diri sebelum mengukirkan senyuman kecil.

"Sebenarnya saya tak mahu bagitahu hal ni tapi ustaz dah tanya kena la jawabkan?"

"Ish macam tu pun boleh ke?"

Wajdi tertawa kecil.

"Saya bawa dua perakam. Yang saya berikan pada ustaz tu adalah perakam tambahan. Perakam yang saya bawa dan guna tu mengandungi ayat-ayat suci Al Quran alunan Syeikh Ahmad bin Ali al Ajmi. Saya pernah kata yang saya tak pernah mengulang ramai-ramai sebab saya boleh mengulang dengan mendengar alunan merdu Al Quran. Sebab itulah saya tak pernah duduk sehalaqah kecuali semasa ustaz Nurhan pegang halaqah saya. Saya cuba juga dalam dua tiga minggu tapi saya tak boleh mengulang."

"Kejap. Mengulang? Maksud kamu?"

"Saya dah jadi al Hafiz sewaktu saya 12 tahun sebelum masuk ke sini,"

Faiz tertegun. Al Hafiz pada umur 12 tahun? Kenapa dia tidak mengetahui itu?

"Semua orang tak tahu kecuali mudir. Saya biasanya tasmik dengan mudir secara senyap-senyap. Lagipun saya nak mengulang semula. Proses mengulang lagi mencabar dari proses menghafaz. Dan alhamdulillah saya dah syahadah 5 kali termasuk tahun ini,"

Sekali lagi Faiz tertegun. Sungguh insan di hadapannya ini bukan sembarangan orang.

"Ini semuanya pinjaman dari Allah SWT untuk saya gunakan sepanjang saya hidup. Sama ada digunakan untuk yang bermanfaat ataupun tidak. Selama ini saya rasa sia-sia sahaja hafazan saya kerana tingkah saya selama ini. Jadi, saya sebolehnya ingin memperelokkan diri sesuai dengan apa yang diberikan oleh Allah SWT kepasa saya,"

"Niatkan dalam diri kamu. Tanamkan azam supaya kamu dapat memberi manfaat kepada orang lain. Kerana orang yang disukai Allah SWT itu adalah orang yang banyak memberi manfaat kepada orang lain. Tidak kisah bagaimana masa lalunya dahulu. Dia ambilkan sebagai pengajaran dan kekuatan supaya dia dapat meneruskan menyebar kebaikan."

"InshaAllah ustaz9"

Faiz dan Wajdi sama-sama mendongakkan kepala, melihat langit yang dihiasi ribuan bintang berkelipan dan sangat cantik. Bagi semua orang pasti menganggap Wajdi adalah bintang namun bagi Faiz, Wajdi itu adalah matahari. Matahari yang akan sentiasa ada dan bersinar sehinggalah pengakhiran tiba.





كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya: Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.

Riwayat Ibn Majah (4392)


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aqila Nuwairah