Sudah masuk hari kedua, Dahlia tidak mampu melupakan rasa ingin tahu yang membuak-buak mengenai kejadian rompakan tempoh hari. Pagi-pagi lagi sebelum masuk waktu bekerja dia sudah tiba di Galeri Seni Antonio untuk mengumpul bukti. Dan kini, dia berada di depan bilik kawalan.
Dahlia tertinjau-tinjau ke dalam bilik kawalan yang menempatkan CCTV. Tiada sesiapa di situ, lega rasanya tidak perlu bersoal jawab dengan pengawal bertugas. Dan, memang dia tidak ingin sesiapa sahaja mengetahui apa yang sedang dilakukannya.
Pintu bilik dikunci dengan harapan tiada sesiapa melihat perlakuannya sebentar nanti. Sempat dia menjenguk lagi sekali ke luar untuk memastikan keadaan selamat untuk tindakan seterusnya.
Dahlia membuka folder rakaman beberapa minggu lepas. Setelah berteka-teki dengan tarikh tepat peristiwa yang ingin dilihat kembali menerusi rakaman CCTV, Dahlia bertawakal dan hampir mengklik fail tersebut. Kemudian, dia berkira-kira sama ada mahu meneruskan niatnya untuk membuka video itu ataupun tidak.
Ternyata, itu memang ulang tayang yang ingin dilihatnya. Dahlia melihat rakaman dirinya sendiri beberapa hari sebelum pameran self-portrait bermula. Dia yang sedang berdiri memerhatikan beberapa orang pekerja meletakkan lukisan ‘Si gadis pembunuh’ di tempat yang dikhaskan untuknya. Setelah memastikan susunan itu memuaskan hati Dahlia, pekerja-pekerja meminta izin untuk berlalu pergi.
Dengan sabar Dahlia melihat dirinya dalam rakaman itu sedang bercekak pinggang memerhatikan ‘Si gadis pembunuh’. Walaupun hanya melihat rakaman, harus diakui jantungnya berdebar dengan kencang ibarat baru lepas menyertai acara larian marathon, menunggu adegan seterusnya. Dengan jelas dia mengingati apa yang akan berlaku seterusnya tetapi dia ingin menyaksikan perkara itu di dalam rakaman untuk memastikan kesahihannya.
Beberapa saat kemudian, dirinya dalam rakaman itu sedang menyebak rambut berjuntai di dahi ke belakang. Sepit rambut disisipkan berhampiran telinga terjatuh ke lantai lalu dia membongkok untuk mengambilnya.
Klak! Bunyi itu tiada di dalam rakaman CCTV tetapi Dahlia dapat mengingati dengan baik sekali bagaimana kedengaran bunyi sesuatu diperbuat daripada besi terjatuh berlaga dengan lantai berhampiran dengannya ketika tangannya ingin mencapai sepit rambut di lantai. Spontan Dahlia mendongak sambil memerhatikan sekeliling yang sunyi tanpa kunjungan individu lain.
Walaupun menyaksikan ulang tayang perkara yang pernah berlaku kepadanya, Dahlia terasa seperti perkara itu sedang berlaku kepadanya sekali lagi ketika ini. Hampir terdorong ke belakang sampai hampir terjatuh dari kerusi ketika melihat dirinya dalam rakaman itu jatuh terduduk.
“Eh…”
Dahlia berasa pelik kerana dalam rakaman itu hanya dirinya sahaja berada di situ ketika itu, tidak seperti apa yang dilaluinya sebelum ini. Dirinya sedang kaku semasa terduduk seoalah-olah sedang menonton fiem di layar perak.
Dahlia memerah kembali fikirannya, memikirkan kembali apa sebenarnya sedang dialami ketika itu yang tidak terakam menerusi CCTV.
Imbas kembali…
DAHLIA jatuh terduduk, tidak percaya dengan apa yang sedang dilihatnya ketika ini. Ingin menjerit dengan sekuat hati, akan tetapi suaranya tidak terkeluar kerana lidahnya kelu daripada untuk berkata-kata. Lantai tempatnya jatuh terduduk dipenuhi dengan limpahan darah pekat yang menerbitkan bau hamis. Perasaan ingin muntah membuak-buak menyebabkan dia menekup mulut dengan kuat. Serta-merta, dia lemas dalam lautan darah pekat itu.
Persoalan bagaimana lantai itu dipenuhi dengan cecair merah likat, dia sendiri tiada jawapan yang pasti. Anggap sahaja, dia sedang bermimpi tetapi bauan itu terasa nyata sekali. Tangannya terketar-ketar semasa menyentuh cecair itu. Rasa ingin pengsan lantaran dirinya hampir mabuk melihat sesuatu diyakini darah.
Selalunya, dia menggemari warna merah kerana baginya itu lambang keberanian. Hari ini, dia berasa benci sekali dengan warna itu kerana menerbitkan perasaan takut yang meluak-luak. Matanya sakit melihat terlalu banyak warna merah.
“Dahlia…”
Dahlia melihat seseorang terbaring kesakitan di atas cecair likat tidak jauh darinya sedang menghulurkan tangan untuk disambut olehnya. Kerana terperanjat, Dahlia mengesot ke belakang dalam keadaan ketakutan.
Apabila Dahlia menoleh kembali, seseorang itu hilang. Dahlia berusaha untuk bertenang walaupun terasa ingin menangis dan menjerit nyaring meminta tolong. Nafasnya turun naik sehingga sukar bernafas.
“Cinta memerlukan pengorbanan dan keberanian kadangkala keghairahan untuk membalas dendam.”
Dahlia tergamam kerana figura menyerupai ‘Si gadis pembunuh’ betul-betul duduk berhampiran dengannya.
Tangkai jantung bagai direntap apabila ekor matanya menoleh ke arah lukisan di dinding itu. Subject matter untuk karya ‘Si gadis pembunuh’ itu sendiri lesap. Kanvas itu putih bersih seperti tidak pernah disentuh dengan sebarang sapuan warna. Kegilaan apa yang sedang disaksikan? Dahlia sangat berharap ia segera berakhir.
Satu persatu kelopak bunga mawar merah dicabut seseorang yang diyakini sebagai ‘Si gadis pembunuh’ dengan kadar perlahan. Lantai dipenuhi dengan kelopak-kelopak bunga dan batangnya. Dengan sengaja, pelakunya tidak menghiraukan jarinya yang berdarah terkena duri batang bunga mawar itu. Darah menitik mengenai kelopak bunga dengan banyak sehingga hampir tidak percaya Dahlia melihatnya. Menurut logik akalnya, tidaklah akan sampai berdarah begitu dengan kesan kecederaannya itu.
“Aku mungkin tiada berjasad yang mampu kau lihat dan sentuh. Tapi, aku ada di mana-mana.”
Suara perempuan itu penuh dengan kelembutan namun ayatnya membawa makna yang sangat berbahaya jika difahami.
Kemudian, Dahlia mendengar dia bersenandung sesuatu yang tidak difahami tetapi Dahlia berasa ingin menangis dan meratap pada sesuatu yang tidak pasti. Dahlia tiba-tiba berasa dikhianati dan ditinggalkan sendirian oleh orang tersayang. Dia memegang dada yang menempatkan jantungnya, tidak semena-semena teringatkan dirinya kehilangan ibu bapa dalam usia yang sangat muda. Keperitan hidup tanpa kasih sayang ibu bapa.
‘Si gadis pembunuh’ nampaknya menyukai perasaan yang sedang dialami Dahlia. Tidak tersangka dia menguntum senyuman misteri dari balik selendang hitam menutupi wajah. Perasaan negatif Dahlia membuatkannya kuat malah terus hidup di alam nyata.
Tawanya yang mengerikan menukarkan situasi di situ.
Dahlia kaget kerana bukan lagi berada di ruangan pameran tetapi di suatu tempat yang putih bersih. Termangu-mangu dia sendiri, segala kesedihan yang dialami sebentar tadi lenyap begitu sahaja. Tempat yang putih bersih bertukar perlahan-lahan ke suatu tempat yang lain.
Badannya terjatuh dan duduk di atas sesuatu bersifat empuk. Sesuatu cahaya terpancar pada layar putih, memainkan tayangan berbentuk filem. Dahlia melopong, mata terbeliak melihat dialah salah satu watak dalam filem itu.
*****
Dahlia terperanjat dan hampir melatah ketika terdengar tombol pintu bilik kawalan bergetar-getar dipulas kuat seseorang dari luar. Sudahlah imbasan kejadian itu cukup membuatkannya berkeringat.
“Ada sesiapa ke di dalam?” Dahlia terdengar suara Zamri dari luar, cemas dibuatnya.
Berdebar-debar Dahlia dengan hebat seperti sedang berbuat salah besar dan menyalahi peraturan kerja Galeri Seni Antonio. Terketar-ketar tangan Dahlia menyalin fail video rakaman itu ke dalam pendrive. Tujuannya untuk menjadikan video ulang tayang itu sebagai rujukan di masa akan datang.
Dahlia hanya mengikut naluri yang menyuruhnya berbuat sedemikian. Dia percaya, kebarangkalian besar nalurinya benar. Selalunya begitu.
Terasa lambat sekali proses penyalinan video, tak sabar betul rasanya menunggu. Tangannya gatal untuk segera mencabut pendrive namun prosesnya belum selesai.
Dahlia tidak tentu arah apabila Zamri sudah mengetuk pintu bertalu-talu. Rasa-rasanya kalau diteruskan, pasti tertanggal engsel pintu dibuatnya.
Setelah selesai proses itu, Dahlia mencabut dengan deras pendrive. Malangnya, dia terlupa untuk mengembalikan paparan skrin CCTV sepatutnya. Lantas, Dahlia memulas tombol pintu lalu tergesa-gesa keluar sehingga berlanggaran dengan Zamri.
Zamri pelik tujuan perempuan itu berada dalam bilik kawalan. Sudah begitu, sempat lagi Dahlia mengunci tombol pintu. Fikirnya, apa yang sedang dikerjakan Dahlia sendirian di situ. Mencurigakan sungguh tingkah lakunya.
Kedengaran keluhan kesakitan dari mulut Dahlia yang sedang mengurut tapak tangannya yang sakit akibat menahan dirinya daripada terjatuh tadi.
“Cik Dahlia?” Tegur Zamri, mahu membantu Dahlia bangkit.
Cepat-cepat Dahlia tersedar pendrive tiada dalam genggamannya. Tanpa mempedulikan kesakitan dan pertolongan daripada Zamri, matanya meliar mencari pendrive serata sudut.
“Mana… mana…” Dahlia menepis kuat huluran tangan Zamri.
Dalam hati ingin sekali dia berkata, ‘Jangan menyibuk urusan akulah!’
Pengawal muda itu berkecil hati diperlakukan sedemikian. Habis kepala yang tidak gatal digaru-garu, apa Dahlia mahu sebenarnya?
Teraba-raba Dahlia mencari sesuatu di lantai. Matanya membulat terlihat sebuah pendrive berhampiran dengan pasu bunga. Cepat-cepat dia mengambilnya agar tidak kedapatan oleh orang selain dirinya sahaja.
Dahlia bangkit sendiri, melulu pergi. Lagi sekali mereka berlanggaran bahu. Zamri seakan dinafikan kewujudannya.
Tidak sempat langsung untuk Zamri bertanya apa-apa. Tapi, kemudian dia memandang ke arah monitor skrin CCTV. Lantas terus duduk di atas kerusi.
Apa yang pelik ialah, paparan CCTV bukan paparan langsung hari ini tetapi ulang tayang paparan pada suatu tarikh. Zamri tertanya-tanya, apa maunya Dahlia di situ? Perginya juga dalam keadaan tergesa-gesa seperti dikejar hantu sahaja.
*****
Bagai terlepas daripada perangkap, baru kini Dahlia dapat menarik nafas lega. Mujur sahaja, bayangan Zamri tidak mengikutinya sampai ke mari. Malas mahu bersoal jawab, biarlah ini menjadi rahsianya seorang diri.
Dahlia selesa masalah membelenggu tidak dikongsi dengan sesiapa. Biarlah dianggap sombong, dia rela.
“Tak percaya aku akan buat semua ini.”
Dahlia duduk kepenatan, nafasnya kedengaran kuat. Lelahnya bukan main kerana berjalan kaki dengan agak laju ditambah lagi dengan jantungnya berdengup kencang bagai mahu pecah dibuatnya.
Tekaknya terasa haus, dia membuka penutup botol air mineral lalu meneguknya. Dahlia hampir tersedak apabila mendengar sayup-sayup suara seperti Encik Antonio sedang memarahi seseorang. Dahlia mencuba menangkap butir-butir bicara mereka yang tidak jelas itu.
Baru sahaja ingin bangkit dari duduknya untuk mendengar butir perbualan dengan lebih jelas, tidak lama itu, anak matanya terpandangkan Encik Antonio yang tergesa-gesa keluar dari bilik pejabat miliknya.
Dahlia seperti biasa cuba memaniskan roman wajah namun, apakan daya wajah lelaki itu masam mencuka sahaja apatah lagi ingin mempedulikannya. Dahlia kaget sendiri kerana kebiasaan Encik Antonio itu suka sekali beramah mesra dengan orang terdekat lagi-lagi dengan staffnya sendiri.
Bunyi mesej Whatsapp masuk memeranjatkan Dahlia yang sempat mengelamun. Dia mengurut-ngurut dada sambil laju membuka pesanan yang baru diterima.
Rupanya pesanan daripada Encik Antonio mengatakan dia keluar sebentar, ada hal yang perlu diselesaikan.
“Apalah agaknya urusannya tu?”